Sebelum ini saya cuba nak bincangkan mengenai kerukunan hidup orang melayu dulu dan kini..

Kehidupan yang berakhlak dan bermoral tinggi merupakan perkara yang dititikberatkan dalam kehidupan bertamadun. Menurut Bellwood (1997) Melayu merupakan satu masyarakat peribumi atau masyarakat asal rantau ini, rantau atau wilayah kebudayaan yang disebut sebagai Malay Archipelago, Kepulauan Melayu atau Alam Melayu, Kesatuan Melayu ini hidup aman, damai dan rukun lantaran sifat adaptif, akmodatif dan assimilatif. Kesatuan Melayu begitu mantap dalam kalangan masyarakat Melayu kerana nilai kemelayuan yang dimilik. Nilai kemelayauan inilah yang memberi pengertian kehidupan bangsa Melayu dalam membina jati diri bangsa.

Biarpun Islam telah mengubah kepercayaan dan fahaman keagamaan kepada orang Melayu, namun masyarakat Melayu masih tekal dengan identiti dan entiti kemelayuan dengan mengekalkan nilai dan struktur yang tidak berlawanan seperti lemah lembut, sopan santun, dan sebagainya. Didikan ibu bapa atau keluarga sangat dalam sehingga nilai kemelayuan tidak terhapus dengan kedatangan Islam. Secara kebetulan pula nilai murni orang Melayu selari dengan Nilai Islam. Ini menyebabkan orang Melayu mudah menerima Islam dan pada masa yang sama masih mengekalkan indentiti kemelayuan. (Darusalam, 2014)

Menurut sejarah, kedatangan Islam di alam Melayu bukan sahaja mengubah landskap kepercayaan agama bahkan juga membina tamadun Melayu yang baru. Umat Melayu Berjaya membina kecemerlangan dan kegemilangan tamadunnya dalam pelbagai bidang yang dimulai dengan keagungan pemerintahan, pelaksanaan undang-undang, amalan Pendidikan, kerancakan ekonomi, keindahan seni estetika, kemurniaan budaya serta kesepaduan sosialnya.

Walau bagaimanapun, budaya, peradaban dan tamadun orang Melayu akan berubah atau terkesan mengikut peredaran masa pada setiap kali datangnya pengaruh peradaban luar terutamanya daripada pengaruh tamadun dan peradaban Barat moden. Kita dapat lihat perubahan dari segi ideologi, hiburan, intelektual, makanan, fesyen, kebudayaan, bahasa dan komunikasi, sosial dan sebagainya. (Darusalam, 2014).

Persoalannya, bagaimana untuk menangkis pengaruh yang negatif apabila nilai dan akhlak telah menyimpang dari norma sosial sebenar. Sedangkan tamaduan Melayu telah menunjukkan aspek kemajuan yang telah dibangunkan secara bersepadu antara kekuatan spiritual, intelektual, emosional dan material. Agama dan negara akan menjadi hebat, kuat, cemerlang dan terbilang apabila umatnya mencapat tahap gemilang dari segenap aspek.

Justeru, kita akan membincangkan tentang fungsi nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian masyarakat Islam yang tidak menyimpang, beretika dan berisi dengan unsur-unsur ajaran Islam yang sebenar agar dapat mengecapi keharmonian dan kebaikannya.

PENJELASAN TENTANG MEDIA SOSIAL: JENIS, PENGGUNAAN DAN POPULARITI.

Menurut, Andreas Kaplan dan Michael Haenlein mendefinisikan media sosial sebagai sebuah kelompok aplikasi berasaskan internet yang membangun di atas dasar ideologi dan teknologi Web 2.0 dan yang memungkinkan penciptaan dan pertukaran user-generated content.

Secara umumnya, media merupakan salah satu alat komunikasi sebagai contoh surat khabar dan radio. Manakala, media sosial bermaksud instrumen sosial dalam berkomunikasi. Media sosial adalah sebuah media di atas talian internet dan penggunanya dengan mudah boleh berkomunikasi dengan pelbagai cara sama ada melalui blog, forum dan jejaring sosial seperti facebook, twitter, whatapps dan sebagainya. Jejaring sosial adalah kaedah yang sering digunakan oleh masyarakat di dunia.

Media biasa seperti surat khabar atau televisyen memberi limitasi kepada para pengguna kerana para pengguna sukar untuk memberi pendapat atau pandangan bebas terhadap sesuatu perkara yang disiarkan. Akan tetapi dengan adanya media sosial, para pengguna dengan mudah dapat melemparkan pendapat masing-masing dan dapat berkomunikasi ke seluruh dunia tanpa halangan. (Naqiah Azizan et.al, 2017)

Kini, media sosial cepat berkembang dan popular adalah melalui Facebook misalnya yang mula diperkenalkan pada tahun 2004 oleh Mark Zuckerberg, seorang pelajar di Universiti Harvard. Pada awal pengenalan Facebook, hanya pelajar Universiti Harvard yang mempunyai e-mel pelajar (edu. email address) sahaja boleh mendaftar sebagai pengguna. Selepas dua minggu pertama diperkenalkan kepada umum, seramai 4300 pelajar mendaftar sebagai pengguna Facebook. Populariti laman web Facebook kemudiannya berkembang ke serata dunia termasuklah Malaysia.

Menurut (Ibrahim, 2014) tinjauan Persatuan Digital Malaysia (MDA) mendapati jumlah pengguna berdaftar bagi laman jaringan sosial Facebook adalah 8 juta orang. Ini menjadikan Facebook sebagai laman sosial yang terbanyak merekodkan jumlah pengguna berdaftar di Malaysia. Jumlah ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa Facebook merupakan laman sosial yang paling popular di Malaysia. Populariti Facebook telah menarik minat ramai pengkaji untuk menyelidik penggunaan laman sosial ini.

Mengikut Ritcher dan Koch (2008) fungsi laman jaringan sosial adalah untuk mengurus identiti, mencari pakar, menyedari konteks, mengurus kenalan dan menukar maklumat. Sarjana juga mengemukakan motif penggunaan Facebook adalah untuk mengekalkan hubungan, meluangkan masa, menyertai komuniti maya, menghiburkan, merasa hebat, mencari teman, (Sheldon, 2008) mendedahkan diri, dan mencari maklumat (Ishii, 2008).

PERBINCANGAN TENTANG KANDUNGAN MEDIA SOSIAL DAN KESAN

Mengikut (Ibrahim, 2014) Perkembangan teknologi yang cukup pesat dewasa ini menyebabkan sarjana turut memecahkan agihan masyarakat berdasarkan kepada penguasaan teknologi. Misalnya pembahagian kepada Generasi X (dilahirkan pada tahun 1965-1979) dan Generasi Y (dilahirkan pada tahun 1980-2000). Generasi X didefinisikan sebagai generasi yang dilahirkan antara tahun 1965 dan 1977 yang mewakili generasi usahawan terkemuka dalam sejarah dunia.

Generasi X turut merupakan generasi yang berpendidikan, literasi teknologi, komitmen yang tinggi terhadap kehidupan berkeluarga dan mempunyai etika kerja yang tinggi. Manakala generasi Y pula merupakan digital natives, mempunyai jaringan sosial secara atas talian sebagai satu bentuk komunikasi yang penting dan merupakan golongan yang dianggap sebagai high-performance dan high-maintenance.

Secara tradisinya, Generasi X dikenali sebagai mereka yang mencari keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan. Generai Y pula dikatakan merupakan generasi yang mahu membina jaringan hubungan di luar waktu pejabat. Hasil kajian menunjukkan terdapat perbezaan dari segi ciri kerja antara kumpulan yang digolongkan sebagai Baby Boomers dan Xers (Yu & Miller, 2003).

Ini termasuklah perbezaan dari segi nilai kerja, sikap terhadap kerja dan jangkaan terhadap kerja. Banyak kajian berkaitan dengan elemenelemen ini menumpukan terhadap nilai dan sikap di barat (Robbins, 1998).

Ini menyebabkan generalisasi kajian dalam konteks budaya yang lain dari Barat mungkin mendatangkan hasil kajian yang berbeza. Perbezaan antara dua golongan ini akibat dari perubahan teknologi berkemungkinan turut mendatangkan implikasi terhadap ekologi komunikasi dalam sesebuah keluarga.

Kalau dulu, secara tradisinya komunikasi ibubapa dan anak banyak berlaku secara bersemuka, kini pelbagai saluran komunikasi boleh digunakan. Ibubapa kini tidak lagi menjadi sumber utama rujukan anak-anak. Pelbagai maklumat boleh diperolehi melalui Internet dan rakan-rakan atas talian. Terdapat ibubapa yang turut menggunakan media sosial untuk berhubungan dengan anak-anak termasuklah memantau tingkahlaku anak-anak. Pakar-pakar psikologi sebenarnya seringkali meneroka idea dan motif berkaitan dengan kesan penggunaan media sosial melalui Internet untuk memahami apa yang berlaku apabila seseorang menggunakan Internet. Internet sebenarnya adalah merupakan peralatan yang memandu kita kemana kita ingin tuju. Salah satu kelebihannya ialah berkomunikasi pada tahap antarabangsa dengan individu yang tidak kita kenali dan memperolehi perspektif dari mereka yang berbeza latarbelakang dengan kita.

Internet sebenarnya boleh memberikan kebaikan dan keburukan. Antara punca-punca kenapa Internet menyumbang kepada pepecahan keluarga ialah kadar penggunaan Internet. Di Korea, masa yang dihabiskan untuk melayari Internet ialah 1- 4 jam sehari. Ramai pelajar menjawab bahawa mereka menghabiskan 9-14 jam sehari lepas sekolah melayari Internet serta kurang mempunyai pengawalan diri.

Internet hanyalah melibatkan aktiviti menekan butang dan boleh berhubung dengan laman sedunia 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu dan Internet membawa kepada ketagihan. Lama kelamaan penggunaan Internet mengurangkan masa untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga. Dalam masa yang sama penggunaan intensif peralatan moden seperti telefon selular dan komputer yang mempunyai akses kepada Internet telah membuatkan komunikasi bersemuka menjadi kurang penting. Peralatan berkenaan dicipta memudahkan kita berdepan dengan permasalahan ketagihan Internet.

Di Korea, berita tentang pasangan yang ketagihan bermain permainan atas talian menyebabkan anak mereka berumur tiga bulan mati kelaparan. Alatan yang dicipta ini menyebabkan mereka kehilangan masa dalam dunia siber. Namun begitu, terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa telefon selular dan Internet tidak menjejaskan keakraban hubungan dengan keluarga mereka (60%), 25% mengatakan telefon selular dan komunikasi atas talian meningkatkan hubungan kekeluargaan, dan 11% mengatakan Internet mempunyai kesan yang negatif. Ini membawa kepada rumusan bahawa penggunaan teknologi sebegini boleh mendatangkan pelbagai implikasi positif mahupun negatif.

Dalam satu analisis statistik yang diperoleh daripada Internet World Statistics (2011) berkaitan dengan bilangan pengguna Facebook, menunjukkan Malaysia berada pada tangga ketiga dari segi bilangan ahli Facebook yang mendaftar. Begitu juga dari segi nisbah pengguna Facebook dengan populasi yang juga menunjukkan Malaysia berada di tangga ketiga dengan 31.2% daripada popluasi rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai ahli Facebook. (Ibrahim, 2014)

Selain itu, (Yazid, 2017) menjelaskan tiga contoh yang dapat mempengaruhi pengguna sekiranya tidak mengikut nilai moral yang mulia sebagaimana berikut:

i- Melayari sumber-sumber atau cerita-cerita atau gambar-gambar yang tidak bermoral.

Perkara ini nampak seolah-olah satu perkara kecil, tetapi mempunyai kesan yang besar kepada psikolgi dan tindak-tanduk remaja. Akibat daripada sistem pemakanan dan taraf hidup di Malaysia, (khususnya di kawasan Bandar) umumnya seseorang yang berumur 13 tahun ke atas telah mempunyai tahap kematangan biologi yang mencukupi untuk menjadi seorang ibu atau bapa. Bermakna seseorang perempuan itu telah mampu mengandung dan melahirkan bayi, (telah timbul keinginan seks) tetapi dari segi sosial (dan keperluan sosial dan ekonominya) seseorang itu dalam konteks masyarakat Malaysia kini dia masih belum mampu. Dia masih memerlukan masa di antara 8-10 tahun lagi bagi menamatkan pengajian, mendapatkan pekerjaan yang sesuai (terjamin kewanganya) dan kemudiannya mendirikan keluarga. Dengan melayari gambar-gambar dan cerita-cerita seks (atau berunsur seks) ini boleh meningkatkan ransangan dan keinginan melakukan hubungan seks.

Seseorang remaja bukan tidak mengetahui bahawa hubungan seks luar nikah adalah berdosa, risiko yang besar dan akan menghadapi kesan yang buruk bagi masa depannya, tetapi ketidak-seimbangan rohani, sosial dan keinginan biologinya menyebabkan seseorang itu terdorong melakukan hubungan kelamin luar nikah. Meningkatnya bilangan remaja berumur di antara 13-20 tahun yang sanggup melakukan hubungan seks dengan rela dipercayai mempunyai hubungan dengan sumber-sumber gambar atau cerita daripada ICT yang berleluasa dan tidak terkawal. Ianya juga mempunyai hubungan dengan kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

ii- Berhubung rapat dengan orang yang tidak dikenali secara terbuka dan penuh percaya

Kemudahan ICT juga telah membuka ruang yang sangat luas bagi seseorang mengenali dan berhubung dengan seseorang secara lebih bebas dan terbuka. Seorang remaja yang mudah percaya kepada seseorang yang tidak dikenali (hanya kenal dan berhubung melalui ruang siber) akan membuka ruang seseorang yang berniat jahat mengambil peluang ke atasnya. Tahap kematangan yang rendah serta pengaruh emosi serta tekanan keinginan biologi tanpa kawalan social dan undang-undang yang benar-benar ketat mendorong berlakunya hubungan rapat yang tidak sepatutnya berlaku.

Struktur masyarakat, persekitaran kejiranan serta struktur keluarga memudahkan seseorang yang berniat jahat mengambil peluang ke atas sesorang. Misalnya seorang gadis yang tinggal di kawasan yang jiranjirannya tidak saling mengenali di antara satu sama lain dan kedua-dua ibubapanya bekerja dengan kemudahan ICT akan memudah dan mendorong dia berhubung dengan seseorang yang tidak dikenalinya. Keadaan akan menjadi lebih mudah jika si-gadis itu berada dalam kesunyian serta si-lelaki yang dikenalinya itu pula benar-benar pandai berpura-pura bersifat baik padanya. Kes-kes gadis hilang dan mengikuti lelaki yang tidak sepatutnya dipercayai mempunyai hubungan dengan persoalan ini. Bahkan ada kes yang si-gadis yang berkenalan melalui alam siber ini, sanggup terbang ke luar negara (ke Amerika Syarikat dan ke United Kingdom dan sebagainya) semata-mata kerana benar-benar percaya berdasarkan semata-mata maklumat daripada komputer. Melalui ICT dan salah guna serta salahtafsir telah banyak gadis-gadis yang menjadi mangsa dan telah diperdagangkan dan dijadikan mangsa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

iii- Terlibat atau melibatkan dengan penipuan-penipuan berbentuk kewangan secara terlindung.

Penipuan dalam bentuk kewangan ini telah semakin merebak dan semakin ramai mangsanya. Penipuan yang bermotifkan kewangan ini dilakukan dengan banyak cara di antara contohnya; tawaran hadiah tertentu kepada seseorang kerana telah terpilih berdasarkan sesuatu sebab (misalnya alamat e-mail anda bertuah melalui pilihan rambang); kerjasama dalam pengurusan membawa keluar danadana tertentu dalam jumlah yang besar (misalnya 2 juta USD) dan juga kategori yang lebih kecil jumlahnya seperti anda telah menerima sebuah kotak hadiah tetapi mesti membayar (melalui pindahan akaun bank atau kad kredit) sebelum hadiah itu dapat dihantar dan dituntut. Walaupun kadang-kadang mangsa terasa bahawa ianya mungkin ditipu, tetapi kadang-kadang penipuan terlindung ini licik dan banyak juga mangsa yang terkena tipu.

KEUPAYAAN NILAI DAN ETIKA MASYARAKAT MELAYU DALAM MENDISIPLIN PENGGUNA MEDIA SOSIAL

Kini, sosialisasi boleh dilakukan di mana saja termasuk media sosial yang boleh diakses menerusi komputer atau telefon pintar yang disambungkan ke rangkaian internet. Tetapi malangnya, kemudahan ini membuatkan ramai orang ketagih menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, dan sebagainya. Apabila ini berlaku maka impak itu boleh menjadi sangat buruk. Orang tidak lagi menjaga kehidupan mereka di dunia nyata tetapi lebih suka berinteraksi dengan orang lain melalui ruang siber. Ketagihan ini perlu diatasi sebelum kehidupan sebenar kita menjadi kacau bilau kerana terlalu kerap di media sosial sehingga menimbulkan keghairahan, keruntuhan keluarga, penipuan dan jenayah siber.

Menurut (Shalaby, 2001) Islam telah menyediakan tatacara dan nilai-nilai akhlak bagi penganutnya, diantaranya ialah berhubung dengan kehidupan sosial yang menjamin kebahagiaan kaum Muslimin.

Kini, kaum Muslimin sendiri lebih banyak menjauhkan diri dari asas-asas baik yang telah diletakkan oleh Islam itu, dan mereka terus hidup tanpa mengikut petunjuk atau telah mencampur-adukkan fikiran yang sihat dengan fikiran yang menyimpang datang meresap dari berbagai-bagai sudut sehingga menzahirkan akhlak yang buruk melalui media social menyebabkan ancaman kepada kerukunan masyarakat Melayu.

Ketinggian dan keluhuran kebudayaan Melayu sebenarnya terhasil kesan daripada ajaran Islam dengan mengamalkan segala ajaran agama Islam dengan ikhlas dan taat, maka ia dengan jelas telah mempengaruhi kebudayaan masyarakat Melayu itu dengan pancaran kebudayaan Islam itu sendiri. Maka, Islam juga dikatakan sebagai agama akhlakiah yang benar telah mempengaruhi dan menyerapi seluruh kefahaman kehidupan masyarakat Melayu. (Othman, 2015)

Oleh itu keupayaan nilai dan etika masyarakat Melayu dalam mendisiplin diri dalam penggunaan media social seharusnya berteraskan kepada ilmu dan akhlak yang telah digariskan dalam Islam.

Menurut (Che Bakar Che Mat.et.al, 2007) asas utama dalam hubungan sosial dari perspektif Islam adalah konsep saling bantu-membantu sebagaimana Islam menggesa umatnya hidup dalam sebuah masyarakat yang saling bekerjasama sesuatu kearah kebaikan antara satu sama lain. Amalan-amalan baik tersebut dapat melahirkan masyarakat Islam yang erat dan teguh. Mengikut ajaran Islam, sifat tolong menolong mendatangkan kebaikan jika mengikut landasan syarak dan bukannya ke arah kejahatan dan kemaksiatan. Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk melakukan kebajikan dan bertaqwa, janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. (al-Maidah: 2)

(Zahid Emby, 2009) pula berpendapat, kebanyakan ahli falsafah dan ahli teori sosial sering menekankan tiga prinsip yang menjamin keutuhan masyarakat, iaitu bekerjasama, saling menghormati serta kebebasan daripada pelbagai bentuk cengkaman yang menghalang kemajuan hidup. Maka, konsep hidup bermasyarakat adalah satu perkongsian saling perlu memerlukan, lebih rapat perkongsian itu maka lebih kukuh dan dinamiklah masyarakat tersebut.

Misalnya melalui pengamalan amalan gotong-royong dikalangan masyarakat Melayu, bahawa konsep gotong royong adalah aktiviti berkumpulan yang sama-sama melakukan secara sukarela. Semangat kerjasama dengan ikatan silaturrahim akan melahirkan perpaduan dan kesejahteraan manusia. Berikutan dengan itu, persefahaman dan bermuafakat akan mencerminkan keperibadian mulia dan ketamadunan sesebuah negara, bermula dari sikap toleransi dan keterbukaan seterusnya dapat bersama-sama mempertahankan ancaman luar yang boleh menggugat keharmonian dalam sesebuah masyarakat. Peribahasa menyebut: “Bulat air kerana pembentung bulat manusia kerana muafakat”. Selain itu, individu akan dapat menimba pengalaman dan pengetahuan serta dapat merasakan betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan kerja dengan tenaga kerja yang ramai.

Oleh itu, keupayaan nilai dan etika masyarakat Melayu dalam mendisiplin penggunaan media social mesti berasaskan kepada prinsip :

i- Pegangan Agama dan Pendidikan

Menurut (Suhid, 2017) pendekatan Islam dalam pendidikan akhlak amat menekankan kepada penanaman aqidah atau rohani. Ini kerana, aqidah merupakan teras Islam yang utama. Kepentingan aqidah dalam Islam dapat dilihat menerusi nas-nas al-Quran dan Hadith yang banyak mengaitkan pembentukan akhlak dengan aqidah atau iman. Misalnya, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya” (Imam Ahmad, Juz 3, no. 7406) dan “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri” (Sahih Bukhari, Jilid 1, Bil. 10).

Oleh itu, penerapan nilai akhlak bermula daripada intipati tauhid kepada Allah SWT demi melahirkan insan soleh dan berakhlak. Beliau membuat kesimpulan bahawa pengajaran nilai akhlak yang berkesan akan berlaku apabila dikaitkan dengan kepercayaan kepada Tuhan.

Begitu juga, menurut Mohd. Kamal Hassan (1987) kuat atau lemahnya iman seseorang dapat diukur dan diketahui daripada perilaku akhlaknya. Iman yang kuat akan mewujudkan akhlak yang baik dan mulia, sedangkan iman yang lemah melahirkan akhlak yang buruk dan keji.

Dengan kata lain, agama merupakan asas dalam pembentukan akhlak manusia. Tanpa ikatan agama, suatu pendidikan akhlak itu tidak akan mantap dan kekal malah hanya bersifat sementara yang akhirnya membawa kepada kegagalan pendidikan akhlak. Tegasnya, pendidikan agama dipercayai berupaya mempengaruhi cara pemikiran anak-anak khususnya remaja dan seterusnya tingkah laku mereka.

Oleh itu, orang yang berpendidikan agama lebih terarah untuk mengamalkan nilai akhlak Islam dan mengelakkan diri daripada perbuatan buruk. Seperti yang dijelaskan oleh Sezali Din (1997), selain mempunyai ketahanan diri (mental dan fizikal) dan nilai atau harga diri, individu hendaklah memiliki pegangan agama yang kukuh dalam menghadapi cabaran hidup.

ii- Memelihara budaya – Masyarakat Melayu sangat menjaga halal dan haram sesuatu budaya seperti dari aspek makanan, berpakaian menutup aurat kerana mentaati perintah agama, pergaulan dan kesenian.

iii- Menjaga Bahasa- Menjaga adab dan sopan santun atau komunikasi terhadap semua orang. Interaksi sosial bermaksud hubungan antara individu dalam masyarakat dengan mengawal pertuturan dan tulisan.

iv- Mengutamakan Etika- Masyarakat melayu sangat mengutamakan kebersihan, akhlak dan adab pergaulan khususnya dalam aspek hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam. Masyarakat Melayu tidak membenarkan unsur yang membawa kepada matlamat menghalalkan cara seperti penindasan dan penipuan.

v- Pengurusan Masa- Islam menggariskan kehidupan manusia bermula dari saat kelahiran hinggalah kesaat kematian. Kehidupan dunia ini umpama ladang untuk kita bercucuk tanam dengan tanaman yang baik, subur dan berkualiti, kemudian seluruh hasil tanaman tersebut akan dipetik di akhir kelak sebagai satu ganjaran kepada usaha yang kita lakukan semasa hidup di dunia, lantaran itu amat rugilah jika kita tidak memanfaatkan kehidupan ini dengan menguruskan masa kita.

Pengurusan masa amat penting dalam kehidupan seharian, kerana ia adalah aset yang bernilai dalam kehidupan kita, semua perkara bergantung kepada ketentuan masa sama ada ia memberi keuntungan atau kerugian. Ia juga bergantung kepada sejauh mana kita pandai menyesuaikan masa tersebut. Allah berfirman : ( Surah Al Asr, ayat 1 – 3)

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

Berdasarkan firman Allah tersebut, Islam amat menitik beratkan tentang penggunaan masa, sehingga di akhir nanti Allah SWT. akan mempersoalkan mengenai (umur) masa dan bagaimana ia diuruskan.

Islam telah menjadikan pengurusan masa sebahagian daripada hidup manusia, jadi seseorang yang peka akan pengurusan dan penggunaan masanya dengan bijak. Jika ianya diabaikan walaupun sesaat, kita akan menghadapi berbagai-bagai konflik dan penyakit, pelbagai tekanan, kecelaruan sehingga memberi kesan negatif terhadap budaya kerjanya. (Harjin, 2010)

KESIMPULAN

Tuntasnya, sejarah perkembangan masyarakat Malaysia, didapati faktor sosial ternyata saling berinteraksi dan berperanan dalam memastikan keamanan dan kestabilan masyarakat dan negara terus dinikmati. Apa yang perlu dilakukan oleh setiap anggota masyarakat ialah kesepaduan yang terbina dan tersulam perlu diperkukuhkan dengan nilai-nilai Islam yang bertunjungkan kepada aqidah, syariah, akhlak dan ilmu supaya kegemilangan yang dicita-citakan oleh masyarakat dan negara akan dapat dicapai secara berterusan. Namun, tamadun Melayu akan terhakis dan boleh lenyap dari dunia ini jika bangsa Melayu gemar, suka, teruja, cepat meniru dan rela mengadaptasi pengaruh Barat dalam kehidupan mereka seharian.

Maka, penekanan terhadap akhlak mulia dan budi pekerti yang tinggi menjadi perkara yang diutamakan oleh masyarakat Melayu dalam menjalani kehidupan sekali gus membentuk kebudayaan mereka, tanpa kefahaman terhadap akhlak yang mulia segala bentuk kebudayaan itu akan hanya membibitkan kehancuran kepada sesebuah masyarakat. Keruntuhan kerukunan Melayu dengan teknologi media sosial tanpa batas dan tidak beretika dengan syariat membawa impak yang besar agama dan kepada struktur sosial dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Oleh itu, kesedaran individu kepada pegangan agama yang sebenar dan peranan pihak berkuasa harus berganding dalam menyucikan akhlak yang mazmumah kepada akhlak mahmudah dengan memperluaskan dan penyertaan aktiviti khidmat sosial oleh semua pihak.

Walau bagaimana pun, hubungan keakraban dalam sistem kekeluargaan membantu masyarakat dan negara dari segala ancaman luar yang boleh menimbulkan banyak kerosakan dan keruntuhan sosial dalam negara.

RUJUKAN

Azlina Abdullah. (2014). Pembangunan,Kelas dan Kepelbagaian Masyarakat Malaysia : Ke Arah Kesepaduan dan Perpaduan Nasional. Selangor: Persatuan Sains Sosial Malaysia.
Che Bakar Che Mat.et.al. (2007). Pengenalan Kepada Sistem Kemasyarakatan dan Kenegaraan. Shah Alam: Pusat Penerbitan (UPENA) UiTM.
Darusalam, G. (2014). Tamadun Islam dan Tamaduan Asia. Selangor: Open Universiti Malaysia.
Harjin, A. A. (2010, September 18). Pentingnya Pengurusan Masa Dalam Islam. Didapatkan dari http://ctu151.blogspot.my/2010/09/pentingnya-pengurusan-masa-di-dalam.html
Ibrahim, C. S. (2014). Persepsi Dan Penggunaan Media Sosial Dari Perspektif Ibu Bapa : Kajian Kualitatif. Jurnal Komunikasi, 43-74.
Naqiah Azizan et.al. (2017, Oktober 01). Didapatkan dari Implikasi Undang-Undang : Media Sosial: http://mediasosial2012.blogspot.my/p/pengenalan.html
Othman, S. (2015). Islam dan Kebudayaan Melayu. Selangor: Open Univerisit Malaysia.
Shalaby, A. (2001). Kehidupan Sosial Dalam Pemikiran Islam. Terj. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
Suhid, A. (2017, Oktober 05). Pengajaran Adab dan Akhlak Islam Dalam Membangunkan Modal Insan. Didapatkan dari Jurnal Pengajian Umum : Universiti Kebangsaan Malaysia: http://www.ukm.my/jmalim/images/vol_08_2007/artikel%209%20-%20asmawati%20-%20167-178.pdf
Yazid, M. N. (2017, September 30). Universiti Malaysia Sabah. Didapatkan dari Eprints UMS: http://eprints.ums.edu.my/86/1/CONF2010003.pdf
Zahid Emby, S. S. (2009). ABXS1103 : Pengantar Sains Sosial. Selangor: Open University Malaysia.

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.