Dalam Islam, apabila kita mempelajari kitab fiqh, kita akan menemui bab pertama berkaitan Taharah, iaitu kesucian. Dalam bab tersebut, Islam mensyariatkan wuduk sebelum menunaikan solat lima waktu dan sebahagian ibadat lain. Begitu juga disyariatkan mandi dan bersugi untuk kebersihan diri. Ini bermakna kebersihan dan kesucian diri ialah asas penting ke arah kesihatan jasmani. Malah, ia antara sifat utama bagi orang yang bertakwa kepada Allah SWT.
Seterusnya, Islam menunjukkan keprihatinannya dalam hal kesihatan dengan memberikan panduan ke arah penjagaan kesihatan berterusan. Antaranya sabda Rasulullah SAW: Lima amalan ini daripada fitrah, iaitu mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku. (HR Bukhari)
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…” (Surah al-Ma’idah, ayat 6)
Wuduk dalam bahasa Arab berasal daripada al-wada’ah yang membawa makna al-hasan iaitu kebaikan dan makna an-nazofah (kebersihan). Daripada istilah ‘kebaikan’ dan ‘kebersihan’ ini dapat difahami bahawa pensyariatan wuduk membawa satu mesej penting dalam kehidupan kita sebagai Muslim yang perlu sentiasa melakukan kebaikan dan menjaga kebersihan zahir mahupun batin.
Imam Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwuduk.”
Walau bagaimanapun, apabila kita melihat wabak penyakit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 atau singkatannya COVID-19 yang berkaitan dengan penjagaan kebersihan dengan meningkatkan pematuhan kebersihan tangan. Wabak ini pada mulanya dikesan pada pertengahan Disember 2019 di bandaraya Wuhan, Hubei China.
Wabak ini telah diwartakan sebagai penyakit pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020. Sehingga 18 April, lebih daripada 2.3 juta (2,300,000) kes COVID-19 telah dilaporkan mereka kepada lebih 200 negara. Pada 13 Mac WHO mengumumkan bahawa Eropah telah menjadi pusat baru pandemik. Manakala di Malaysia, peningkatan kes setiap hari turun memberi kesan kepada semua rakyat sehingga Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula pada 18 Mac 2020. Virus ini kebanyakannya menular antara seseorang dengan cara yang serupa dengan influenza, melalui titisan pernafasan daripada batuk atau bersin.
Sehingga kini, masih tiada vaksin yang dapat memusnahkan wabak tersebut, cuma dengan mengamalkan langkah pencegahan penularan Novel Coronavirus (2019-nCoV) yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia seperti kerap mencuci tangan dengan sabun sekurangnya 20 saat setiap basuhan, mengelak mengelak menyentuh mata, hidung dan mulut dengan tangan yang tidak dicuci, mencuci tangan terutamanya selepas batuk atau bersih, sebelum atau selepas ke tandas, sebelum makan atau menyediakan makanan, duduk di rumah sekiranya sakit dan menutup mulut dengan tisu ketika batuk atau bersih dan buang tisu tersebut ke dalam tong sampah (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2020) .
Justeru, tugasan ini bertujuan untuk membincangkan kebenaran bahawa pengamalan wudhu dapat menghindarkan dan mengurangkan jangkitan Covid-19 kerana dari awal lagi Islam mengambil berat tentang penjagaan kebersihan dan hubungan wudhu dengan kesihatan.
Hubungan Wudhu Dengan Kesihatan
Menurut Ibrahim Ahmad (2015) wudhu ialah perbuatan menyucikan diri dengan air sebelum beribadah seperti solat. Dari segi istilah fiqh wudhuk bermaksud membasuh dan menyapu anggota-anggota tertentu dengan niat tertentu. Islam sangat menggalakkan ibadah wudhu, bahkan ia sampai ke tahap wajib jika ia dilaksanakan untuk tujuan mendirikan solat sebagai syarat untuk solat itu sah dilakukan. Pensyariatan wudhu yang berlaku serentak dengan turunnya perintah solat kepada umat Islam (Qurratul Aien Fatah Yasin, 2012).
لا يَقْبَلُ اللهُ صَلاةَ أحَدِكُمْ إذَا أحْدَثَ حَتَى يتوضأ
Sabda Rasulullah SAW bermaksud : Tidak diterima solat seseorang yang berhadas sehingga dia berwudhu`. (Muttaqun Alaih)
Selain itu, wudhu` juga merupakan sebagai pengenalan diri umat Rasulullah SAW di akhirat kelak sebagai sabda Baginda SAW ketika menjawab persoalan daripada sahabat RA : Ya Rasulullah, engkat mengenali kami, bagaimana dengan umatmu yang engkau tidak kenal ? Baginda SAW menjawab persoalan mereaka dengan satu soalan, apakah pendapatmu sekiranya ada seekor kuda yang berkepala putih dalam kalangan 100 ekor kuda hitam, bolehkah kamu mengenalinya ? Para sahabat RA menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah.Kemudian Baginda SAW bersabda : Sesungguhnya umatku akan datang dengan wajah yang bercahaya (kesan daripada) wudhu.( Riwayat Sahih Muslim: 249)
Jelaslah kepada kita betapa besarnya hikmah wudhu yang bukan saja untuk kebersihan diri, menunaikan solat bahkan baginda SAW dapat mengenali umatnya di padang mahsyar hanya dari wajah yang bercahaya kesan dariapda kesempurnaan wudhu seseorang semasa di dunia.
Maka, pensyariatan wudhu dalam ibadah berdasarkan kepada firman Allah bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…” (Surah al-Ma’idah: 6)
Kita boleh melihat betapa Islam awal-awal lagi memberi perhatian serius dalam isu kesihatan. Jika diperhatikan secara halus, Islam menyediakan garis panduan lengkap kepada umatnya mengenai kesihatan dari segi penjagaan, pengekalan dan pengawalannya. Selain dengan amalan berwudhu`, Islam juga menggalakkan umat agar sentiasa mandi yang selalu dibincangkan dalam fiqh ibadah sama ada melibatkan mandi wajib atau sunat (Muhammad Mushfique Ahmad Ayoup, 2017). Terdapat hikmah pensyariatan mandi berdasarkan kitab fiqh al-Manhaji. Mandi mempunyai hikmah dan faedah yang banyak, antaranya ialah:
i- Mendapat pahala
Mandi mengikut pengertian syara’ adalah ibadat. Hal ini kerana melaksanakan perintah syara’ dan beramal dengan hukumnya. Ia diberikan pahala yang besar. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda:
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Bersuci adalah sebahagian daripada iman”. [Riwayat Muslim (222)]
Oleh itu, maksud bersuci ini adalah termasuk wudhu’ dan mandi.
ii- Menghasilkan kebersihan
Apabila seseorang muslim itu mandi, dia dapat membersihkan kotoran yang melekat pada badan atau peluh yang keluar daripada tubuh. Tubuh badan yang bersih ini boleh menghindarinya daripada kuman-kuman yang menyebabkan penyakit. Bau tubuh badannya pula menimbulkan kemesraan dan kasih sayang sesama manusia.
Ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah RA, katanya:
كَانَ النَّاسُ أَهْلَ عَمَلٍ وَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ كُفَاةٌ فَكَانُوا يَكُونُ لَهُمْ تَفَلٌ فَقِيلَ لَهُمْ لَوِ اغْتَسَلْتُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ. وَفِي رِوَايَةٍ لَهُمَا: فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَوْ أَنَّكُمْ تَطَهَّرْتُمْ لِيَوْمِكُمْ هَذَا
Maksudnya: “Orang ramai yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai pembantu, badan mereka berbau busuk, lalu dikatakan kepada mereka, elok kamu mandi pada hari Jumaat”. Dalam riwayat yang lain bagi al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Eloklah kamu bersuci pada hari ini (Jumaat)”. [Riwayat al-Bukhari (861) dan Muslim (847)]
iii- Menghasilkan Kecergasan
Mandi boleh menjadikan tubuh badan cergas dan aktif, hilang rasa lesu dan malas terutamanya selepas berlaku sebab-sebab yang mewajibkannya mandi seperti jima’.
Jika kita meneliti kepada sifat virus coronavirus (COVID-19) sebagaimana didedahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bahawa sifat semula jadinya suka kepada manusia, COVID-19 akan menjadikan tubuh badan manusia sebagai perumah (manusia) untuk terus hidup dan menggandakan kekuatannya dan virus ini tidak akan berdaya sekiranya seseorang individu mempunyai imuniti badan yang tinggi dan penjagaan kebersihan yang teratur. Mengikut kajian yang dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) melaporkan COVID-19 mampu bertahan di permukaan udara selama beberapa jam sahaja.
Kajian tersebut juga, Saintis mendapati bahawa virus yang menyebabkan penyakit COVID-19 mempunyai tahap yang sama di luar tubuh seperti yang berlaku ketika Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Ini bermaksud transmisi yang lebih banyak di antara mereka yang tidak menampakkan simptom menjadikan pandemik ini kelihatan lebih serius berbanding SARS sekitar 2002-2003. Kertas kajian baru ini diterbitkan dalam New England Journal of Medicine (NEJM) yang dilakukan oleh saintis dari Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), University of California, Los Angeles dan Princeton. COVID-19 baru ini boleh dikesan selama dua hingga tiga hari pada plastik dan keluli tahan karat, dan sehingga 24 jam pada kadbod.
Maka, setakat ini menurut Pakar Kesihatan Awam Dr Aizuniza Abdullah, pencegahan bagi menghindari COVID-19 yang paling utama adalah dengan pengamalan mencuci tangan dengan sabun sebagai amalan seharian, jika seseorang berada di luar rumah, perlu mencuci sekerap mungkin terutama apabila menyentuh sebarang permukaan (Aizuniza Abdullah, 2020)
Justeru, apakah hikmah berwuduk di sudut sains dan perubatan ? perkara ini amat menarik untuk dibincangkan agar ia menimbulkan keyakinan kita terhadap amalan umat Islam lakukan hampir setiap masa dan hari. Menurut kajian Dr Magomedov, pembantu kepada Lembaga Hygiene and Ecology (Kesihatan Umum dan Ekologi) di Daghestan State Medical Academy, dalam artikel Muslim Rituals and Their Effect the Person Health, wudhu menurutnya dapat merangsang aura tubuh secara semula jadi. Menurutnya rangsangan ini muncul pada seluruh tubuh, khususnya kawasan yang disebut Biological Active Spots (BASes) atau titik aktif biologi. BASes hamper sama dengan titik-titik refleksiologi ala Cina. Biasanya bagi memberikan kesan urutan itu, perlu tekanan atau tusukan jarum.
Walaupun berwudhu` hanyalah sekadar usapan dan sapuan lembut tetapi ia sebenarnya amat mencukupi untuk memberikan kesan kepada Biological Actives Spots (BASes) ini. Ini kerana, walaupun terdapat 700 BASes ditubuh kita tetapi 65 daripadanya akan memberi kesan refleksi yang cepat. Tempat ini dikenal sebagai drastic spot. Menurutnya lagi, kesan sapuan muka yang didalam perubatan moden dipanggil sebagai hidromassage akan memberi kesan positif pada ginjal dan system saraf ataupun pada organ genital.
Disamping itu, wudhu juga berkesan mencegah daripda masuknya kuman penyakit melalui kulit. Ini kerana kulit adalah organ terbesar tubh kita. Kulit yang membungkus tubuh kita memiliki keberatan 10 paun, seluas dua meter persegi dan ketebalan satu perpuluhan empat hingga empat milimeter dengan kemampuan regenerasi yang dahsyat.
Setiap hari, hampir 10 juta sel kulit mati. Kematian sel-sel kulit ini adalah kotoran daki. Kulit juga berfungsi untuk menutup seluruh tubuh serta melindungi daripada pelbagai jangkitan kuman, racun, bahan kimia berbahaya dan sinar radiasi. Antara fungsi lain kulit adalah mengatur suhu tubuh, melakukan fungsi perkumuhan dengan membuang zat-zat yang tidak berguna melalui liang-liang peluh. Kulit juga adalah media komunikasi antara sel-sel saraf bagi rangsangan haba, sentuhan serta tekanan.
Melalui berwudhu` kita menyapu permukaan tujuh bahagian anggota tubuh kita yang tidak dilindungi oleh pakaian secara minimum sebanyak 15 kali dengan air bersih. Ini juga anggota tubuh yang paling banyak terdedah kepada dunia luar. Oleh itu, kulit mempunyai paling banyak populasi mikroorganisma. Berwuduk bertindak mengurangkan mikroorganisma serta menurunkan risiko kewujudan bakteria di dalam tubuh kita.
Dalam kajian lain, dibuktikan bahawa berwudhu` membantu proses regenerasi kulit, iaitu pengantian sel-sel lama dan baru. Kesetabilan kulit ditentukan oleh nilai pH iaitu keasidan dan kelembaban kulit. Bersuci adalah salah satu cara menjaga kesetabilan itu khususnya kelembaban kulit. Kulit yang terlalu kering juga merbahaya bagi kesihatan kulit. Ini memudahkan ianya dijangkiti kuman.
Melalui amalan membasuh tangan ketika berwuduk kita dapat mengawal daripada terkena wabak penyakit dan sebagainya. Ini kerana melalui telapak tanganlah kita banyak berinteraksi dengan dunia luar seperti bersalaman, menggengam, menyentuh ataupun memetik jari. Menggunakan tangan juga kita bersentuhan dengan segala benda sekeliling kita. Bahkan lebih daripada 70% penyakit berjangkit seperti cacing disebabkan oleh kontaminasi melalui sentuhan tangan.
Oleh yang demikian, amalan membasuh tangan di awal berwudhuk sebenarnya menepati kaedah standard yang diamalkan di dalam bidang perubatan. Ini terbukti di dalam dunia perubatan, protokol standard yang pertama sebelum pekerja perubatan mula bekerja juga adalah mencuci tangan dan membilasnya dengan sabun. Ini berlaku terutamanya apabila hendak melakukan pembedahan ataupun lain-lain rawatan perubatan yang invasivf. Oleh itu, tidak hairanlah wuduk dimulakan dengan mencuci kedua belah tapak tangan.
Kemudian melalui amalan berkumur ketika berwuduk juga akan menjaga aspek kesihatan kita. Berkumur akan melindungi mulut dan tekak daripada inflamasi dan membersihkan gigi dan sisa makanan. Terdapat tidak kurang daripada 100 juta bakteria per milimeter dalam sampel biasa permukaan gigi ataupun kelenjar ludah manusia normal yang sihat. Dengan berkumur ketika berwuduk dapat membersihkan mulut dan seterusnya dapat mencegah risiko jangkitan penyakit.
Seterusnya amalan Istinsyaq ataupun menghirup air kedalam hidung adalah perbuatan yang mungkin tidak pernah dilakukan oleh seseorang melainkan ketika berwuduk.
Menurut pakar bedah tumur Dr Bahar Azwar, apabila terdapat tumur yang tersembunyi di dalam hidung aliran air ke dalam hidung yang menyapu bahagian nasopharyng merangsang pendarahan pada tumur itu. Melalui kegiatan istinsyaq ini dapat membantu dalam pengesanan awal tumur di bahagaian nasopharyng yang tersembunyi.
Begitu juga melalui istinsyaq kita berupaya membersihkan selaput lender hidung yang mungkin kontiminasi oleh udara kotor dan kuman. Ini kerana hidung adalah organ terbuka dan di dalam rongga hidung juga mungkin terdapat kuman-kuman. Satu ketika dahulu apabila penyakit SARS merebak ke seluruh Asia termasuk Malaysia ia merebak melalui titisan air yang keluar di udara semasa penghidapnya bersin ataupun batuk. Melalui istinsyaq ia akan dapat mencegah jangkitan seperti SRAS diperingkat awal lagi (Mohd Noor Shawal, 2019).
Maka kajian tersebut telah membuktikan dengan jelas bahawa amalan berwudhu membawa banyak hikmah dan kelebihan berwudhu` kerana memberikan pengamalnya faedah di dunia dan juga akhirat dan sains membuktikan kepada kita kebenaran ajaran Rasulullah SAW kerana virus atau bakteria akan termusnah dengan air dan tanah. Islam telah menterjemahkan kepada kita bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman, sehingga Nabi SAW bersabda yang bermaksud,
Daripada Jabir RA katanya, sabda Rasulullah SAW, bandingan sembahyang lima waktu adalah seperti air sungai yang mengalir, melimpah ruah pada pintu rumah seseorang yang dia mandi lima kali pada tiap-tiap hari.
Aplikasi wudhu sebagai pencegahan Pandemik Covid-19
Dalam sudut kesihatan awam sekarang, mengatakan bahawa berwudhu` mampu mencegah Covid-19. Masjid atau surau hanya menyediakan sabun di tempat wudhu`. Oleh itu cara untuk mengaplikasikan bagi orang awam seperti:
i- Menggunakan sabun bersekali dengan wudhu`
ii- Sentiasa dalam keadaan wudhu` dan memperbaharui wudhu
iii- Kerap berwudhu` antara waktu lima kali sehari atau lebih
iv- Mengamalkan sunat dalam berwudhu seperti membasuh tiga kali dan memasukkan air dalam hidung dan mengeluarkan.
v- Berdoa selepas wudhu dan doa menghindari wabak penyakit COVID-19
vi- Mengamalkan solat sunat lepas wudhu`
Oleh itu, amalan berwudhu` ini adalah besar manfaat selain menghindari daripada bakteria dan virus, sebagai orang Islam amalan berwuduk inilah yang akan menjadi asbab untuk kita dimasukkan ke dalam syurga Allah. Ini berdasarkan kisah Saidina Bilal RA sebagimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Mengikut kisahnya, Bilal Bin Rabbah, antara sahabat utama Rasulullah SAW, memiliki amalan khusus iaitu beliau selalu menyumpurnakan wudhu`nya. Keistemewaan amalan itu, Bilal disebutkan oleh Rasulullah sebagai seorang sahabat yang dipastikan menghuni syurga.
Abu Hurairah melaporkan, selepas solat subuh, Rasulullah berkata kepada Saidina Bilal, “ Wahai Bilal, ceritakan kepadaku mengenai amalan yang kamu lakukan selepas berada di dalam Islam. Kelmarin aku ada mendengar suara terompah kamu di dalam Syurga. Bilal berkata, “ Aku tidak pernah melakukan suatu amalan (yang besar pahalanya) pun dalam Islam, tetapi selagi Allah mentadirkan aku mengerjakan solat, maka aku berwudhu` dengan sempurna setiap malam atau siang hari.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, mengambil wuduk merupakan syarat utama dalam kebanyakan ibadat. Namun setakat mengambil wuduk sahaja tidak memadai jika tidak dilakukan dengan sempurna. Hanya dengan mengambil wuduk dengan cara yang paling sempurna barulah terhasilnya pencapaian matlamat dan kepentingan wuduk yang maksimum. Banyak hadis yang menggunakan istilah seperti asbagha (sesempurna), isbagh (kesempurnaan), ahsana (sebaik-baik) dan ihsan (pembaikan) bagi menggambarkan wudhu dengan cara yang terbaik yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW Wuduk yang sempurna bermaksud melaksanakan segala rukun wuduk dengan sunat-sunatnya sekali tanpa melakukan perkara yang makruh apatah lagi perkara yang haram (Kamarul Azmi Jasmi, 2016).
Kepentingan wuduk yang sempurna ini sebagaimana Nabi SAW bersabda:
عَنْ عَبد الزخمن بن غنم أنّ أبا مالك الأشعريّ خذته، أنَّ رَسُولَ اللَّهِ يَةِ قَالَ : إسباغ الوضوء شطر الإيمان
Maksud: Abu Malik al-Ash‘ari RA melaporkan Rasulullah SAW bersabda, “Kesempurnaan berwuduk sebahagian daripada tanda keimanan.” (Al-Nasa’i dan Ibn Majah)
Hadis tersebut dianggap oleh ulama sebagai huraian lanjut daripada hadis sebelumnya, iaitu hadis yang yang direkodkan oleh Imam Muslim. Hal ini demikian bermaksud tuhur dalam hadis sebelumnya merujuk kepada wuduk. Selain itu, tuhur itu juga mestilah sempurna segala rukun, sunat dan adabnya sebagaimana yang dijelas-kan dalam hadis yang direkodkan oleh Imam al-Nasa’i dan Ibn Majah ini. Oleh itu, tanda keimanan seseorang itu, ialah apabila dia menjaga wudhu`nya dengan cara yang paling sempurna, iaitu dengan menjaga segala rukun, sunat, dan adabnya.
Peranan Wudhu` Dalam Kebersihan Diri
Air merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia yang digunakan sebagai agen pembersihan dan penyucian. Penggunaan air untuk berwuduk menunjukkan bahawa ibadah ini sangat berkait-rapat dengan kebersihan diri manusia secara langsung kerana umum mengetahui bahawa air mutlak yang digunakan untuk berwuduk merupakan air yang suci lagi bersih dan boleh digunakan untuk membersihkan serta menyucikan sesuatu.
Hakikatnya, wudhu mendidik umat Islam semenjak usia kanak-kanak agar bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan diri.
Setiap hari anggota tubuh manusia pasti akan melakukan pekerjaan yang menjadi punca kekotoran dan penyakit pada jasmani manusia. Anggota yang paling banyak melakukan pekerjaan ialah tangan, kemudian kaki dan seterusnya mulut dan hidung. Manakala anggota lain yang biasanya terdedah kepada debu dan kuman ialah muka, telinga dan kepala.
Justeru, wudhu` dilakukan dengan menyapukan air ke bahagian-bahagian ini agar kuman dan kotoran yang menjadi punca pelbagai penyakit tidak dapat bertapak lama pada anggota tubuh manusia.
Dalam satu kajian ke atas kandungan bakteria yang terdapat dalam air yang telah digunakan untuk berwuduk di masjid-masjid, madrasah dan pejabat-pejabat sekitar Mekah dan Jedah di Arab Saudi mendapati bahawa di dalam air tersebut terdapat kandungan bakteria kolon yang sangat tinggi. Hal ini berlaku kerana kebanyakan orang yang berwuduk akan membuang air besar atau air kecil terlebih dahulu. Oleh itu, tangan mereka membawa bakteria yang datang dari usus manusia. Ketika membasuh tangan untuk berwuduk, bakteria tersebut akan jatuh ke dalam air bekas wuduk mereka.
Ini membuktikan bahawa wudhu` sememangnya mampu membersihkan tubuh badan manusia daripada sebarang bakteria dan kuman. pertalian rapat antara wuduk dan kebersihan diri terletak pada dua perkara utama iaitu:
a- Agen penyucian: Air mutlak yang bersih lagi suci yang digunakan untuk berwuduk membuktikan bahawa ibadah ini tidak dapat dipisahkan dengan kebersihan diri.
b- Anggota-anggota wuduk: Anggota yang disucikan ketika berwuduk merupakan bahagian anggota yang paling mudah terkena kotoran dan najis kerana ia biasanya terdedah dan sering digunakan untuk melakukan pekerjaan seperti tangan, kaki, muka dan sebagainya.
Selain itu, wudhu merupakan satu agen penyucian fizikal manusia dan ia adalah rukun bagi kesihatan tubuh badan. Dari sudut saintifik, bahagian tubuh yang dibersihkan ketika berwuduk merupakan bahagian terdedah yang sentiasa menjadi tumpuan mikro organisma pembawa penyakit. Apabila berwuduk, bahagian kulit tersebut dibersihkan sekaligus dapat menghindarkan pelbagai jenis penyakit kulit.
Secara khusus, setiap anggota wuduk yang dibersihkan pula sangat berkait-rapat dengan pemeliharaan kesihatan tertentu bagi anggota tersebut. Antaranya ialah berkumur yang dapat memelihara mulut dan tekak daripada pelbagai radang, melindungi gusi daripada bernanah,melindungi gigi dari mudah reput dan membersihkannya daripada sisa makanan yang melekat di celah gigi. Berkumur juga merupakan senaman yang dapat menguatkan otot wajah.
Selain itu, membersihkan lubang hidung ketika berwuduk dapat menjauhkan bakteria yang masuk melalui hidung daripada dipindahkan ke bahagian organ tubuh lain dalam badan manusia yang menjadi punca pelbagai penyakit. Membasuh muka dan tangan pula dapat membersihkan permukaan kulit yang berminyak dan sangat terdedah kepada bakteria di mana sekiranya ia tidak dibersihkan secara rutin, maka kulit akan menjadi sarang pembiakan bakteria dan mikro organisma.
Membasuh kedua kaki dapat memberi ketenangan kepada seseorang seolah-olah dia membelai seluruh tubuhnya kerana kaki menyimpan titik refleksi yang bersambung dengan seluruh anggota tubuh manusia.
Dalam ilmu perubatan Islam, Ibnul Qayyim menyebut tentang wuduk yang diperintahkan oleh Rasulullah saw agar dilakukan selepas memakan daging unta adalah berperanan untuk menyejukkan kembali tubuh badan kerana daging unta bersifat panas.
Penyejukan ini diperlukan bagi mengelak daripada berlakunya sebarang penyakit yang berpunca daripada kepanasan badan yang melampau.
Manakala, menurut ilmu perubatan akupunktur, wuduk mampu mengatasi masalah insomnia jika dilaksanakan dengan cara yang tepat sesuai dengan hukum ilmu akupuntur. Akupunktur juga mampu mengekang nafsu makan dan pelbagai penyakit lain.
Perubatan akupunktur yang telah diamalkan oleh masyarakat Cina semenjak berabad yang lalu ini adalah berasaskan titik-titik akupunktur pada anggota tubuh manusia di mana titik ini adalah penerima rangsangan sentuhan berupa basuhan, gosokan, usapan, urutan dan tekanan. Rangsangan tersebut akan mampu mengubati pelbagai penyakit yang terdapat dalam badan manusia.
Rawatan tradisional Cina ini dipercayai menjadikan 2000 titik akupunktur pada badan seseorang sebagai aliran tubuh manusia dimana ia akan berhubung dengan 20 aliran (14 aliran terbesar dan 6 aliran tambahan) yang dipanggil ‘meridian’ dan antara bahagian tubuh yang mempunyai aliran ini ialah bahagian telinga, tangan, tapak kaki, kulit kepala dan otak. Bahagian-bahagian tubuh ini merupakan sebahagian daripada anggota wuduk. Selain itu, terdapat beribu-ribu titik akupunktur lagi yang terdapat pada anggota wuduk lain seperti muka, kaki dan sebagainya.
Oleh itu, jika kita melihat kepada sejumlah titik akupunktur yang terdapat pada anggota wuduk ini, maka berwuduk dengan cara yang betul sudah pasti akan dapat membantu seseorang menjalankan terapi akupunktur, sekaligus menghindarkan seseorang daripada penyakit-penyakit kronik yang berkaitan dengan organ-organ dalaman manusia.
Secara keseluruhan, Ibnul Qayyim dalam kitabnya al-Tibb al-Nabawi, telah menyenaraikan wudhu` sebagai salah satu daripada aktiviti yang dapat memelihara kesihatan diri. Kini, fakta tersebut telah dibuktikan secara nas dan bukti saintifik.
Kesimpulan
Hasil daripada perbincangan ini maka dapat disimpulkan bahawa, al-Quran, ibadah wudhu` hanya dinyatakan sekali sahaja secara jelas dan nyata, namun ia tidak menggunakan perkataan wuduk untuk menjelaskan ibadah tersebut. Al-Quran banyak menggunakan perkataan bersuci untuk menjelaskan ibadah wuduk sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para mufassirin.
Di sebalik pensyariatan wuduk, terdapat pengaruh luar biasa terhadap tubuh badan manusia samada secara jasmani mahupun rohani. Maka, ibadah wudhu` yang dilaksanakan dengan kaedah yang tepat sepatutnya dapat menghindarkan umat Islam daripada pelbagai penyakit kronik yang berkaitan dengan organ-organ dalaman manusia. Demikian juga wudhu sebenarnya boleh menjadi terapi yang baik dalam mengubati pelbagai penyakit. Oleh itu, umat Islam seharusnya sentiasa berusaha untuk berwuduk dan mengekalkannya selagi tidak ada keuzuran yang menghalang.
Justeru, mengambil wuduk merupakan syarat utama dalam kebanyakan ibadat. Namun setakat mengambil wuduk sahaja tidak memadai jika tidak dilakukan dengan sempurna. Hanya dengan mengambil wuduk dengan cara yang paling sempurna barulah terhasilnya pencapaian matlamat dan kepentingan wuduk yang maksimum.
Bibliografi
[zotpress items=”{5090062:EN78UUSR},{5090062:KF23CB9G},{5090062:9KRCD3KA},{5090062:VAYZ49HS},{5090062:6JRZU3Y9},{5090062:GG8B86ZH}” style=”apa”]
[…] sebelum ini, penulis hanya menulis tentang “Pemimpin Zaman Covid-19” dan ” Kesan Wudhu Sebagai Penghindar Covid-19 yang berbeza dengan tulisan ini yang membicarakan tentang penemuan dan kelulusan dua vaksin yang […]