Tulisan jawi dan huruf hijaiyyah adalah warisan khazanah bangsa Melayu yang sangat bernilai. Tulisan jawi ini telah memainkan peranan penting dalam perkembangan ilmu dan kebudayaan bangsa Melayu.
Berbagai bidang ilmu terutama agama Islam, kesusasteraan, sejarah dan perubatan telah ditulis dalam bahasa Melayu dan tulisan jawi. Tulisan jadi di Tanah Melayu adalah berasal daripada huruf Arab atau Hijaiyyah.
Menurut Ismail Hamid (1983) menerangkan bahawa ejaan jawi telah diperkenalkan dan disebarkan oleh pedagang-pedagang yang mengembangkan Islam di Nusantara ini khasnya di Tanah Melayu.
Batu bersurat yang ditemui di Terengganu bertarikh pada hari jumaat 4 Rejab 702 Hijrah bersamaan 22 Februari 1303 Masihi (S.M.N. Al Attas, 1970) menunjukkan bahawa tulisan jawi telah digunakan sebalum tahun 1303M lagi dan sehingga hari ini tulisan jawi masih terus digunakan.
Penemuan tulisan jawi telah membuka satu era baru dunia Melayu. Sejarah tamadun Melayu mencatatkan bahawa tulisan jawi berjaya membangunkan keintelektualan Melayu dan menyatukan ummah Melayu sehingga meniti arus kecemerlangan sistem pendidikan. Tulisan jawi bukan sahaja mendidik bangsa melalui didikan para ulama, malah wahana persuratan ini dipilih untuk dicoretkan pada watikah pengisytiharan kemerdekaan negara sebagai lambang penyatuan ummah dan jati diri negara.
Maka, kemahiran pengajaran dan pembelajaran Jawi dalam bilik darjah dengan menggunakan pelbagai kaedah dan teknik seperti kemahiran mengenal dan menyebut huruf-huruf hijaiyyah, suku kata dan perkataan serta kemahiran membaca perkataan berimbuhan dan pinjaman, ayat dan frasa ayat atau rangkai kata dan petikan pendek.
Kini tulisan jawi dimertabatkan kembali di Malaysia apabila Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan bahawa kerajaan serius memartabatkan tulisan Jawi dan menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini, Hari jumaat dikenali sebagai hari jawi, Menurut Zulkifli (2020) bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan jawi bagi urusan rasmi. Di samping itu, penggunaan tulisan jawi di media sosial juga diperluaskan kepada setiap media sosial rasmi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),
Oleh itu, penulisan ini akan menjelaskan konsep tulisan jawi dan huruf hijaiyyah yang digunakan dalam sistem Pendidikan Islam negara. Juga, menghuraikan faktor peminggiran penggunaan tulisan jawi masyarakat Islam. Kemudian memberi beberapa cadangan langkah yang perlu dilakukan untuk memartabatkan kembali penggunaan tulisan jawi di Malaysia.
Konsep tulisan jawi dan huruf Hijaiyyah
Menurut Shaidan (2019) Tulisan Jawi (توليسن جاوي), juga dipanggil Yawi di Pattani. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tulisan Jawi bermaksud tulisan yang menggunakan huruf Jawi. Manakala huruf Jawi bermaksud huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan yang digunakan untuk menulis dalam bahasa Melayu. Tulisan Jawi merupakan salah satu daripada dua sistem tulisan rasmi di Brunei, dan juga dijadikan sistem tulisan alternatif di Malaysia.
Dari segi penggunaannya, tulisan Jawi dahulunya merupakan abjad piawai bahasa Melayu tetapi sudah diganti oleh abjad Rumi, maka penulisan Jawi hanya terhad kepada kegunaan keagamaan dan kebudayaan. Penulisan Jawi seharian dipelihara di kawasan-kawasan yang diduduki masyarakat Melayu yang lebih konservatif, misalnya Sulu di Filipina, Pattani di Thailand, Kelantan di Malaysia dan beberapa kawasan petempatan Melayu di Indonesia.
Perkataan hijaiyyah berasal dari kata kerja hajja ( هجى ) yang bererti mengeja, menghitung huruf, membaca huruf demi huruf dengan harakat-harakatnya. Huruf hijaiyyah ialah huruf-huruf Arab dan cara menulis huruf-huruf tersebut adalah mendatar dan dimulai dari arah kanan ke kiri. Jumlah keseluruhan huruf ini ialah 30.
Walau bagaimanapun, sejarah pendidikan di Malaysia menunjukkan bahawa Pendidikan Islam diajar melalui pelbagai cara dengan menggunakan buku-buku atau teks yang ditulis dalam tulisan Jawi. Tulisan Jawi ialah hasil daripada pengubahsuaian danpenambahan huruf-huruf Arab untuk disesuaikan dengan lidah orang Melayu bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, huruf Ga ( ڬ (diperkenalkan dengan berasaskan bunyi huruf Kaf ( ك ) dan Jim ( ڄ ) serta Cha ( چ ) berasaskan bunyi huruf Ta ( ت ) dan Jim ( ج) (Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1990).
Oleh itu, tulisan Jawi merupakan medium asas untuk pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah Malaysia pada hari ini terutama dalam pembelajaran al-Qur’an (Kang Kyoung Seouk, 1990).
Maka, matlamat pelajaran Jawi adalah untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran menulis dan membaca Jawi bagi membolehkan pelajar memahami pelbagai bidang ilmu dalam Pendidikan Islam.
Selain itu, pengajaran Jawi adalah untuk melahirkan murid yang dapat mengenal, membaca dan menulis Jawi dengan baik. Matlamat ini akan dapat dicapai sekiranya guru dapat melaksanakan pengajaran yang berkesan. Guru-guru perlu menggunakan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran yang bersesuaian dan tepat bagi mencapai matlamat pengajaran Jawi. Manakala. penguasaan murid dalam penulisan dan bacaan Jawi yang baik adalah bermula daripada pengenalan dan penguasaan asas pembelajaran Jawi agar dapat melahirkan murid yang dapat menguasai Jawi daripada pelbagai sudut akan melahirkan generasi Islam yang mampu memperjuangkan tulisan Jawi dan mampu memperkasakan warisan bangsa dan agama agar tidak lenyap ditelan zaman.
Antara faktor penyumbang kepada masalah ini mungkin kerana:
i- Kurangnya pendedahan tulisan jawi kepada generasi sekarang. Ibu bapa yang pandai mungkin tidak lagi mahu mengajar atau melatih anaknya kemahiran bahasa jawi.
Kemampuan masyarakat Melayu di Malaysia masa kini dalam penguasaan bacaan dan ejaan tulisan Jawi sangat menyedihkan, seolah-olah tulisan Jawi tidak mendapat tempat yang jitu di hati mereka. Terdapat beberapa kajian ilmiah telah dibuat untuk membuktikan fenomena ini berlaku, misalnya, merujuk kepada kajian Sabariah (2008) mendapati prestasi murid dalam Model Pemulihan Jawi masih berada pada tahap sederhana (min 2.5 – 2.99). Kajian ini melibatkan 305 guru j-QAF ambilan tahun 2005, 2006 dan 2007 di sebuah institusi perguruan di Sabah.. Hasil dari kajian lain juga menunjukkan majoriti anak-anak muda Melayu di Malaysia tidak dapat menguasai pembacaan dan penulisan Jawi. Perkara ini cukup menyedihkan, ia boleh diibaratkan “seperti kacang lupakan kulit”.
Menurut Isahak Haron et.al (2005), fenomena ini berlaku mulai tahun 1960an apabila penguasaan Jawi dalam kalangan pelajar Islam di sekolah merosot, kerana tulisan Jawi telah diganti dengan tulisan Rumi dalam penerbitan buku teks dan buku-buku rujukan Pendidikan Islam. Kemudian,pada pertengahan 1980an atas desakan daripada masyarakat Islam umumnya, tulisan Jawi diguna semula untuk pengajaran Pendidikan Islam. Walau bagaimanapun penguasaan membaca dan menulis Jawi dalam kalangan pelajar adalah kurang memuaskan.
ii- Kurang penggunaan, selepas bahasa rumi secara rasminya mengganti tulisan jawi.
Pertahanan tulisan Jawi akhirnya roboh dan terancam apabila wujudnya Akta Bahasa 1963 yang menetapkan tulisan Rumi menjadi tulisan Rasmi Bahasa Melayu. Pelbagai kekangan terus dihadapi dalam memurnikan tulisan jawi sesuai dengan peredaran semasa untuk mewujudkan satu sistem ejaan Jawi baru melalui pembakuan ejaan Jawi dan penerbitan ejaan Jawi yang baru.
Pengisytiharan Akta Bahasa Kebangsaan yang dibuat pada tahun 1963, mengakibatkan tulisan jawi mula dipinggrkan walaupun tiada larangan secara langsung penggunaan tulisan jawi (Mohd. Alwee Yusoff, 2005). Lanjutan ini, pengajaran tulisan jawi telah diabaikan di sekolah rendah dan di sekolah menengah kecuali di sekolah agama ( Muhammad Bukhari Lubis et.al,2006) Selain itu buku-buku keagamaan dan majalah-majalah dakwah yang dahulunya menggunakan tulisan jadi telah pun diterbitkan dalam tulisan jawi (Ahmad Faisal dan Noralina, 2009). Akibatnya, penguasaan dalam bacaan dan penulisan tulisan jawi masyarakat Melayu telah beransur hilang.
iii- Kurang sumber pendedahan dan minat tulisan jawi
Pada 29 Februari 2006, sebuah akhbar UM (Utusan Melayu) yang lahir pada 29 Mei 1939 telah terhenti terbitannya. Maka menjelaskan tiada tiada lagi akhbar Jawi di Malaysia. Editor akhbar UM dan Johan Jaaffar (2006) mengatakan penghentian akhbar UM kerana ia tidak lagi mendapat tahap sambutan yang diperlukan untuk membolehkannya diterbitkan tanpa merugikan penerbitnya, Utusan Melayu Sdn Bhd. Tanpa sokongan yang diperlukan itu, terutama daripada generasi muda, akhabr itu akan dihentikan setelah generasi tua yang ada sekarang ini pergi.
Sokongan daripada generasi muda sukar didapait kerana mereka tidak tahu membaca dan menulis jawi selain tidak berminat dengannya.
- Penggunaan Multimedia
Kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil inisiatif yang lebih inovatif dalam mempertahankan tulisan Jawi dalam masyarakat hari ini. Malah sebenarnya tulisan Jawi dapat dimantapkan melalui bidang pendidikan. Pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah bermula daripada Tahun 1 lagi akan memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak untuk belajar menulis dalam tulisan Jawi. Pendidikan bukan sahaja bersifat satu hala atau satu lawan satu dalam kelas tetapi perkembangan multimedia dapat membantu perkembangan tulisan Jawi dalam pendidikan melalui perisian kursus dalam CD atau VCD yang memudahkan pengedaran yang lebih luas.
- Perbanyakkan bahan pengajaran
Bahan pengajaran perlu diperbanyakkan misalnya buku-buku latihan yang berorientasikan pembelajaran kendiri dan juga melalui akhbar Utusan Melaysia yang dapat membantu perkembangan korpus bahasa melalui tulisan Jawi. Penggunaan akbar Jawi dalam darjah merupakan langkah yang perlu digalakkan di semua sekolah agar pembelajaran menjadi lebih menarik dan praktikal. Kementerian Pelajaran seharusnya mengambil inisiatif untuk mengembangkan penulisan Jawi melalui peruntukan dalam jadual waktu persekolahan untuk pembelajaran. Kepentingan mempelajari tulisan Jawi samalah juga dengan kepentingan mempelajari Bahasa Melayu.
- Memperluaskan pameran seni khat
Pameran seni khat juga seharusnya diperbanyakkan dan pelajar sekolah harus digalakkan mengunjungi pameran sedemikian supaya mendapat pendedahan yang sewajarnya tentang warisan Melayu yang kian dilupakan ini. Bengkel tentang penulisan Jawi dalam kalangan belia dan pelajar peringkat remaja dapat mempertingkatkan lagi kesedaran mempertahankan tulisan Jawi sebagai alat pengembangan ilmu. Selain daripada kemudahan bahan pengajaran, guru yang berpengalaman perlu dilahirkan untuk memenuhi keperluan pengajaran. Latihan dapat meningkatkan kaedah pengajaran yang lebih berkesan.
Kesimpulannya, pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi perlu kepada kemahiran dan teknik yang tersendiri bagi menarik minat pelajar. Kini dalam konteks Pendidikan, penguasaan murid terhadap tulisan jawi sering menjadi satu topik perbincangan untuk melihat perkembangan penguasaan jawi masa kini. Perbincangan ini telah menjelaskan konsep dan huruf hijaiyyah yang digunakan dalam system Pendidikan Islam negara kita. Begitu juga dengan membentangan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan untuk memartabatkan penggunaan tulisan jawi sebagai sebahagian daripada warisan dan budaya Islam di Malaysia.Maka, sewajarnya, tulisan jawi mesti dimemartabatkan agar tulisan ini diangkat sebagai indentiti Malaysia dan menarik ramai pelancong lebih ramai ke negara ini.
Bibliografi
Ahmad, S. F. (2019, Oktober 30). Laman Menulis Gaya Sendiri. Didapatkan dari Tulisan Jawi Semakin Terancam: https://webctfatimah.wordpress.com/2010/10/30/ct20-tulisan-jawi-semakin-terancam/
Ismail Abas, e. (2012). Kaedah Pengajaran Pendidikan Islam. Selangor: Open Universiti Malaysia.
Jamriy, Z. A. (2016). Strategi Pengajaran Pemulihan Jawi J-Qaf : Di Sekolah Rendah, Perak. Perak: Unviersiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd Shaidan Ahmad, e. (2019, September 19). Jawi Kuala Nerang : Tulisan Jawi Tulisan Bangsa Melayu. Didapatkan dari http://jawinerang.blogspot.com/2014/05/definisi-dan-makna-tulisan-jawi.html
Othman, S. (2015). Islam dan Kebudayaan Melayu. Selangor: Open Univerisit Malaysia.
Yaacob, N. R. (2007). Penguasaan Jawi dan Hubungannya Dengan Minat Dan Pencapaian Pelajar Dalam Pendidikan Islam. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, 161-172.
[zotpress items=”{5090062:HEUSSYDR},{5090062:4ES43DLP}” style=”apa”]