Menurut Nor Azam Abdullah (2020). rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam dikejutkan dengan isu daging import yang bercampur dan diragui status halalnya. Pelbagai spekulasi timbul, cerita antara benar dan palsu juga tersebar luas, ada jabatan kerajaan yang tak lena tidur dibuatnya.
Hakikatnya, semua ini menunjukkan betapa umat Islam di Malaysia amat mengambil berat tentang isu halal haram terutamanya yang membabitkan makanan. Ini satu sikap yang amat terpuji dan bertepatan dengan kehendak Allah SWT dan Rasul-Nya.
Hikmahnya pula, rakyat mula memilih untuk mengutamakan daging tempatan. Harga daging tempatan yang biasanya sedikit tinggi sudah tidak menjadi isu. Yang penting status halal terjamin. Sebenarnya daging tempatan sangat sedikit dan tidak mampu menampung keperluan penggunaan daging negara.
Statistik pada 2018 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menunjukkan bahawa pengeluaran daging lembu tempatan adalah sebanyak 46,923.6 tan metrik, sedangkan penggunaannya pula mencecah 205,082.2 tan metrik.
Ini menunjukkan pengeluaran daging lembu tempatan hanya dapat menampung 10.95 peratus sahaja daripada penggunaan, manakala selebihnya iaitu 89.05 peratus masih diimport.
Sama seperti lembu, pengeluaran daging kambing dan bebiri tempatan juga sangat rendah berbanding import. Daripada jumlah penggunaan 40,500.1 tan metrik, pengeluaran daging kambing tempatan hanya 4,433.7 tan metrik sahaja, yang hanya dapat menampung 22.88 peratus daripada keperluan pasaran.
Dengan kata lain, statistik itu mendedahkan betapa besarnya peluang yang ada untuk kita rakyat menceburi bidang penternakan.
Untuk lebih jelas lagi, mari kita baca nombor terbabit dalam bentuk bilangan haiwan. Jika diambil purata berat seekor lembu 300 kilogram (kg), maka bilangan lembu yang masih perlu diternak bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan adalah sebanyak 527,195 ekor, manakala kambing pula sebanyak 721,328 ekor.
Bayangkan berapa ramai usahawan ladang yang boleh dilahirkan bagi mencapai angka itu.
Malangnya bidang penternakan bukanlah pilihan kerjaya anak-anak muda negara kita, tidak kira tahap pendidikan mereka.
Sehinggakan jika ada graduan yang mengusahakan industri perladangan dan penternakan, terus dia menjadi tular dan popular, seakan-akan perkara itu satu keajaiban.
Mungkin antara satu sebab perkara ini berlaku adalah kurangnya pendedahan anak-anak muda terhadap potensi industri penternakan, khasnya di peringkat persekolahan menengah.
Pada pendapat saya, pelajar sekolah menengah sudah boleh diperkenalkan kepada industri penternakan dan perladangan. Jangan hadkan program lawatan ke pusat sains, muzium dan Putrajaya sahaja.
Bawa murid ini melawat ladang. Beri mereka peluang ‘berkenalan’ dengan lembu, kambing dan ayam. Beri mereka pengalaman memerah susu kambing, memungut telur puyuh dan menghalau itik masuk reban.
Dedahkan mereka kepada industri dan teknologi berkaitan penternakan. Bawa mereka ke makmal biogenetik untuk melihat kajian berkaitan baka, kawalan penyakit dan teknologi makanan.
Boleh juga bawa mereka ke pusat penyembelihan berdaftar yang bersih, lengkap dan berteknologi tinggi. Perusahaan daging sejuk beku juga satu bidang yang menarik untuk diberi pendedahan.
Melangkah setapak lebih jauh, saya berpandangan koperasi sekolah juga perlu berani menceburkan diri dalam industri penternakan. Seperti mana yang kita maklum, koperasi sekolah adalah medan untuk murid belajar mengenai perniagaan, pelaburan, saham dan untung rugi.
Jika kini sudah ada koperasi sekolah yang meneroka bidang selain peruncitan, seperti percetakan, pelancongan dan inap desa, kenapa tidak koperasi memanfaatkan kawasan hujung padang sekolah untuk aktiviti penternakan seperti arnab, burung puyuh ataupun ayam yang diternak secara lepas bebas.
Malah, tidak mustahil juga untuk koperasi mengusahakan penternakan lembu dan kambing.
Sebagai ahli koperasi sekolah, pelajar yang berminat boleh membantu menguruskan ladang koperasi secara amali, terutamanya pada waktu petang ataupun semasa hari minggu.
Dari sudut jangka pendek, pelajar akan memperoleh pengalaman. Koperasi pula berpotensi mengaut keuntungan hasil jualan ternakan.
Namun, dari sudut jangka panjang, pelajar terbabit terbuka minda mereka ke arah industri perladangan dan penternakan, sekali gus mereka mempunyai pilihan apabila tamat belajar di universiti nanti sama ada untuk mencari kerjaya dalam bidang dipelajari atau kembali menceburkan diri secara profesional dalam bidang penternakan yang mereka minati.
Akhirnya, selain potensi keuntungan yang besar, mereka akan mendapat pahala berganda kerana melaksanakan fardu kifayah iaitu membekalkan daging yang berstatus halal lagi suci kepada umat Islam seluruh Malaysia.
Rujukan
[zotpress items=”{5090062:VTQNP9NB}” style=”apa”]