Maksud dilalah lughawiyyah adalah berasal daripada perkataan دلّ iaitu daripada دلالة yang menunjukkan ke atas petunjuk kepada sesuatu. Manakala, menurut al-Jurjani, dilalah dari segi terminologi adalah menjadikan sesuatu dengan keadaannya. (Abdul Qahar Al-Jurjani, t.t)

Menurut Dr. Kamal Ahmad menyatakan bahawa maksud ad-dilalah lughawiyyah adalah satu kepentingan asas yang dipegang oleh para mufassir untuk memahami makna al-Quran. Maka, para mufassir tidak berpegang dengan satu kalimat sahaja, bahkan mereka melihat kepada kesan dilalah lughawi yang memberi kesan kepada pentakwilan kalimah dan istinbat hukum hakam (mengeluarkan sesuatu hukum hakam) kepada para fuqaha yang tertakluk kepada perbuatan mukallaf.

Oleh itu, didapati bahawa pentakwilan para mufassir yang mengandungi kalimah seperti isim, fi’il ataupun harf (Dr. Kamal Ahmad, 2009, Athar Ad-Dalalah Lughawiyyah Fi Takwili Inda Mufassirin, jil. 5, hal. 249). Terdapat juga didatangkan dalam bentuk fi’il (دلّ) dengan makna yang banyak dan di antaranya adalah petunjuk atau hidayah.

إن الدال على الخير كفاعله

Maksudnya: Orang yang menunjukkan jalan berbuat kebaikan (beroleh pahala sama seperti orang yang mengerjakannya).

(Riwayat Tarmizi: 2670).

Perbincangan pada ayat daripada surah al-Ankabut 1-5

الٓمٓ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ٣ أَمۡ حَسِبَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلسَّيِّ‍َٔاتِ أَن يَسۡبِقُونَاۚ سَآءَ مَا يَحۡكُمُونَ٤ مَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ ٱللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ ٱللَّهِ لَأٓتٖۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ

  • أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ

Kalimah dilalah lughawi di atas berbentuk isim istifham inkari (menyangkal) yang digunakan untuk orang yang ingkar dan menunjukkan di atas penetapan dan berterusan (يدل على الثبوت والاستمرار). Menurut pandangan ahli balaghah, al-Istifham bermaksud meminta keterangan sesuatu yang belum diketahui. Perbincangan mengenai pertanyaan terlalu luas dan pola ayat pertanyaan juga menggunakan pelbagai bahagian tertentu.

Justeru itu, al-Istifham ini termasuk dalam bahagian al-Istifham lil inkari sebagai pertanyaan untuk menyangkal ke atas orang munafik yang mendakwa mereka telah beriman kepada Allah. Golongan yang menyangkal dalam ayat ini adalah fa’il (pelaku). Antara syarat gaya bahasa pertanyaan dalam bahagian al-Istifham mesti diringi dengan kata kerja ataupun fa’il (pelaku), maf’ul bih (kata objek), hal (keadaan), jar (kata penghubung) bersama dengan kata nama majrur dan kata keterangan.

Ini menjelaskan pertanyaan tersebut untuk memberi penggertakan dan menyangkal orang munafik terhadap keimanan kepada Allah dan adakah mereka termasuk dalam golongan yang benar atau golongan yang mendustakan.

Menurut tafsir at-Tahrir Wa Tanwir, Al-Instifham dalam kalimat (أَحَسِبَ) menggunakan dalam pengingkaran dan حَسِبَ dengan makna menyangka sebagaimana Allah telah mendahului ayat pada surah al-baqarah :

أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ

Maksudnya : Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga.   (Al-Baqarah” 214)

Berdasarkan kitab Tafsir Munir, menyatakan bahawa أَحَسِبَ  bermaksud sebagai pengugutan, penghinaan dan pengingkaran. Pertanyaan yang dilakukan dalam bentuk istifham inkari itu bersifat mengecam tanggapan manusia terhadap konsep keimanan dan sangkaan mereka (Az-Zuhaili, Wahbah, 2016, jil.10, hal. 446).

Menurut Tafsir al-Qurtubi pula, kalimah أَحَسِبَ memberi pemahaman melalui suatu penegasan. Ini berdasarkan kepada penjelasan Allah SWT bahawa orang yang membuat dakwaan atau andaian itu tidak sesekali terlepas sehingga mereka merasai sendiri ujian tersebut (Muhammad Ibn Ahmad Ibn Abu Bakr Ibn Farhj, 2016, jil.13, hal. 823).

  • أَن يُتۡرَكُوٓا

Kalimah dilalah lughawi di atas berbentuk fi’il sebagai maf’ul awal dan menunjukkan ke atas yang telah berlaku dan memperbaharui, (يدل على الحدوث والتجدد).

Berdasarkan tafsir Tahrir dan Tanwir, telah menyatakan bahawa menyebutkan أَن يُتۡرَكُوٓاْ di sini membawa maksud orang yang beriman dan telah bercampur dengan musyrik lalu mereka meninggalkan kekufuran. Lanjutan itu, mereka menyangkakan bahawa mereka telah pun beriman. Namun begitu, adakah mereka mengira dan beranggapan bahawa mereka sudah beriman sedangkan mereka belum lagi diuji daripada Allah SWT. Sebagai contohnya, mereka mengatakan bahawa mereka mempunyai sifat sabar tetapi mereka belum lagi diuji dengan ujian Allah.

  • صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ

صَدَقُوا والْكاذِبِينَ بينهما طباق

Dalam ilmu badi`, al-Thibaq merupakan ungkapan yang mengandungi dua perkataan yang berlawanan erti atau jenisnya. Sebagaimana ayat tersebut. kata nama (صَدَقُوا) berlawanan dengan kata (ٱلۡكَٰذِبِينَ) bentuk thibaq di sini merupakan berlawanan antara isim kata nama dengan kata nama. Bentuk thibaq kategori ini adalah thibaq antara dua patah perkataan dari jenis yang sama  iaitu dua kata nama. (Az-Zuhaili, Wahbah, 2016, jil.10, hal. 446).

Menurut kitab Tafsir Munir, mengatakan bahawa Allah telah menguji dan memberi ujian kepada orang Mukmin termasuklah para nabi pada zaman dahulu dengan berbagai-bagai kesengsaraan, kesulitan dan bahaya untuk mengetahui secara ilmu zhuhut (mengetahui dari segi tersurat) dan ilmu inkisyaf (mengetahui dari segi tersurat), yakni dalam makna yang mudah ialah orang jujur dalam ayat ini merujuk kepada orang yang benar dalam pengakuan imannya, manakala orang-orang yang dusta pula merujuk kepada orang-orang yang dusta dalam pengakuan imannya. Namun begitu, Allah SWT tetap mengetahui apa yang telah terjadi, yang akan terjadi, mengetahui apa yang tidak akan terjadi dan apakah akibatnya seandainya hal itu terjadi. Setiap perbuatan yang dilakukan di dunia akan dibalas setimpal dengan amalannya. (Az-Zuhaili, Wahbah, 2016, jil.10, hal. 449).

  • فَإِنَّ أَجَلَ ٱللَّهِ لَأٓتٖۚ

Dari sudut ilmu nahu, kalimah Fa` di atas berbentuk jawab syarat dalam ilmu lughah yang menjawab daripada ayat sebelum ini iaitu مَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ ٱللَّهِ yang berbentuk jumlah syartiyyah. Apa jua kalimah مضارع yang menyusuli huruf-huruf “syarat” berakhir dengan tanda ـْـ . Bila Huruf-huruf Syarat إِذَا، مَنْ، لَئِنْ، إِنْ disusuli oleh Fi’il Madhi (perbuatan yang lalu), maksud ayat sebenarnya adalah mudhari’ (masa sekarang).

Oleh itu dalam ayat فَإِنَّ أَجَلَ ٱللَّهِ لَأٓتٖۚ, huruf Fa, Jawab Syarat ialah memberikan jawapan (hasil) kepada keadaan atau situasi yang di syaratkan. Dalam bahasa Arab, “syarat” dan “jawapan”nya digunapakai dalam ayat-ayat yang ada kalimat perbuatan.

Berdasarkan Tafsir Munir,إِنَّ أَجَلَ اللَّهِ لَآتٍ التأكيد بإن واللام لأن المخاطب منكر .

Justeru, jika dilihat dari sudut ilmu ma`ani. Ayat ini mengandungi Al-Khabar Al-Inkari, pendengar jenis berita inkari menolak maklumat yang disampaikan kerana sifat degil, ingkar atau ego. Berita tersebut dipertikaikan kesahihannya dan ditolak bulat-bulatnya. Golongan ini perlu diungkapkan dengan berita yang dikukuhkan dengan memasukkan pengukuhan (adawat taukid) iaitu INNA dan LAM TAUKID sebagai cara menguatkan berita. Partikel yang menjadi penguat ayat dalam bahasa arab amat banyak. Antaranya partikel Inna dan lam ibtida`.

Ayat ini adalah jawapan di atas pengharapan dan kerinduan. Kemudian, ayat dijawab dengan jawapan yang tegas dan menenangkan hati serta diringi dengan memberi keyakinan yang diserapkan ke dalam hati itu iaitu Allah mendengar harapan hati-hati itu dan mengetahui kerinduannya kerana Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Menurut Tafsir al-Bughawi dalam Ma`alim al-Tanzil, sebagaimana menurut kata Saad bin Jabir; Sesiapa yang inginkan pahala daripada Allah (فإن أجل الله لآت) iaitu apa yang telah dijanjikan daripada pahala dan seksaan. Sesiapa yang takut kepada Allah dan berharap untuk berjumpa dengannya, maka mereka bersiap sedia dengan amalan yang baik sebagaimana juga pada ayat dalam Surah al-Kahfi ayat 110:

فمن كان يرجو لقاء ربه فليعمل عملا صالحا

Maksudnya: Barang siapa yang mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh. (Al-Kahfi: 110) (Al-Baghawi, 464H, Jil.3, hal. 461)

Selain daripada itu, berdasarkan Tafsir Qurtubi, mengatakan bahawa para ahli tafsir sepakat bahawa makna dari ayat tersebut adalah barangsiapa yang takut dengan kematian, maka hendaklah dia memperbanyakkan amal soleh kerana kematian itu pasti akan datang kapadanya sebagaimana disebutkan o|ch An-Nulas. Az-Zujaj mengatakan bahawa makna dari يَرۡجُواْ لِقَآءَ ٱللَّه “mengharap pertemuan dengan Allah”, maksudnya pahala daripada Allah SWT. (Al-Qurtubi, Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakr bin Fahr Al-Ansori Al-Khazraji, 2016, Jil.13, hal.833)

  • وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ 

صيغة مبالغة على وزن فعيل

Menurut Kitab Tafsir Munir, ayat tersebut termasuk dalam sighah mubalaghah. Sighah mubalaghah’ (صيغ المبالغة) merupakan antara pecahan daripada ‘isim musytaq’ (المشتقات)yang dibina daripada fi’il bagi menunjukkan makna isim fa’il bersama ta’kid al-ma’na (تأكيد المعنى ) iaitu membawa maksud melampau-lampau atau berlebih-lebihan (المبالغة). Dan asma al-husna antara yang banyak menggunakan sighah mubalaghah bagi menunjukkan Allah SWT yang Maha Agung, Maha Mendengar. Sighah mubalaghah ini tidak diterbitkan kecuali daripada fiil thulasi (الثلاثي) sahaja. (Az-Zuhaili, Wahbah, 2016, jil.10, hal. 446).

Gaya ungkapan ini ditujukan kepada penerima ingkar yang berkeras dengan pegangan mereka tetapi penutur mempunyai alasan bahawa jika golongan ingkar ini memerhatikan bukti-bukti yang ada dan memikirkanNya dengan mendalam dia pasti akui kepada kebenaranNya. Kebiasaan gaya ayat yang digunakan merupakan gaya penerima tiada makluman.

Berdasarkan Kitab Tafsir Munir, ayat di atas menyatakan bahawa kepada manusia yang mengharapkan kebaikan, bersikap tamak dalam mengharapkan pahala Allah yang besar di negeri akhirat serta selalu melakukan kebaikan, maka Allah akan merealisasikan harapannya. Ini kerana AIlah Maha Mendengar semua doa hamba-hambaNya. Semua ucapan daripada hamba-hamba-Nya sama sekali tidak samar bagi-Nya kerana Dia Maha Mengetahui dan Maha Melihat tanpa batasan serta mengetahui aqidah-aqidah dan amal-amal perbuatan hambaNya.

Seterusnya, setiap pembalasan akan dibalas sesuai dengan apa yang dikerjakan kerana dalil terjadinya janji dan ancaman juga anjuran sebagai inisiatif untuk melakukan amal saleh yang membenarkan harapan dan merealisasikan cita-cita serta berusaha memperoleh kedekatan dengan Allah. (Az-Zuhaili, Wahbah, 2016, jil.10, hal. 451).

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.