syarieGambar ini melambangkan pengukuhan sistem Mahkamah Syariah di Malaysia dengan elemen-elemen keadilan, teknologi, dan akses kepada keadilan.

Pengukuhan Mahkamah Syariah: Isu dan Cadangan antara analisis yang sering berlegar dan dilaksanakan melalui pelbagai jurnal atau artikel.

Pengenalan

Malaysia mengamalkan sistem dwi undang-undang yang diimplementasikan oleh dua institusi kehakiman berbeza, iaitu Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang tertinggi negara, menetapkan bahawa Mahkamah Sivil terletak di bawah bidang kuasa persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 7, Jadual Kesembilan, Senarai I (Senarai Persekutuan). Sebaliknya, Mahkamah Syariah diletakkan di bawah bidang kuasa negeri sebagaimana yang diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri), yang merangkumi undang-undang Islam dan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Perlembagaan Persekutuan secara khusus menyentuh undang-undang keluarga, diri, serta klausa ‘hukum Syarak’ dan ‘hukum dan doktrin Syarak’, yang menjadi intipati dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah (Federal Constitution, 1957).

Perkembangan Status Kerjaya Kakitangan Mahkamah Syariah di Malaysia

Secara umum, bidang kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia tidak banyak berubah sejak zaman kemerdekaan. Namun, Mahkamah Syariah telah mengalami perkembangan positif dari aspek status kakitangan, pentadbiran, penaikan taraf mahkamah, dan infrastrukturnya. Oleh itu, perbincangan ini meneliti perkembangan status kerjaya kakitangan Mahkamah Syariah di Malaysia, termasuklah usaha menaik taraf Mahkamah Syariah demi menegakkan keadilan bagi semua pihak, serta cadangan penyelesaian untuk kes-kes tertangguh yang diuruskan oleh Mahkamah Syariah.

Status Kerjaya Kakitangan

Status kerjaya kakitangan Mahkamah Syariah di Malaysia memerlukan peningkatan profesionalisme, melibatkan lantikan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang terdiri daripada kakitangan kumpulan sokongan dan kumpulan profesional. Penaiktarafan ini seharusnya bermula dengan kajian serius untuk menyelesaikan kes-kes di Mahkamah Syariah dengan adil, sejajar dengan motto “Syariah Asas Keadilan.” Keadilan ini harus merangkumi semua pihak yang terlibat, termasuk kakitangan JKSM. Status kerjaya akan lebih efisien apabila semua pihak dapat menanganinya dengan baik dan saksama.

Pengambilan dan lantikan untuk kerjaya dalam bidang ini masih rendah, sedangkan kes di Mahkamah Syariah semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan pasangan Islam di negeri-negeri maju seperti Selangor dan Johor. Pada tahun 2021, sebanyak 45,420 kes perceraian didaftarkan di seluruh negara, dengan Selangor mencatatkan 8,811 kes, diikuti Johor dengan 5,058 kes (Tuty Haryanti Ahmad Rodzi, 2022).

Isu Pengambilan dan Lantikan

Misalnya, ketika meneliti peranan pegawai syariah lantikan JKSM, status kerjaya dari segi pusingan kerja melibatkan pelbagai tugas seperti Peguam Syarie, Pendakwaan, Pegawai Sulh, Hakim Syarie, dan Pentadbiran JKSM. Walau bagaimanapun, perlantikan tetap yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) bagi Pegawai Syariah (LS41) dari tahun 2018 hingga 2020 hanya berjumlah 2 orang, Penolong Pegawai Syariah berjumlah 8 orang, dan Pembantu Syariah berjumlah 26 orang. Jumlah ini jelas tidak mencukupi untuk menampung peningkatan kes yang semakin mencabar (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, 2021).

Selain itu, terdapat pandangan bahawa kaedah pengambilan pegawai dan kakitangan sewajarnya tidak hanya tertumpu kepada lepasan fakulti syariah semata-mata. Walaupun kuliah Pengajian Islam, Pengurusan Islam, Fiqh dan Fatwa atau Usul Fiqh adalah wajar dipertimbangkan, pengambilan ini juga boleh diperluas kepada mereka yang menuntut dalam bidang-bidang berkaitan sama ada di dalam atau di luar negara. Kepelbagaian latar belakang akademik ini, yang masih berkait rapat dengan pengajian syariah, dapat memperkukuhkan pengurusan kes dan pelbagai inovasi, seterusnya memudahkan urusan masyarakat Islam dengan lebih cekap dan berkesan. Ini juga akan membantu mengurangkan isu lambakan kes yang sering berlaku dan karenah birokrasi serta kesukaran masyarakat berurusan di Mahkamah Syariah.

Usaha-Usaha Menaik Taraf Mahkamah Syariah

Setelah membincangkan statistik pendaftaran kes di Mahkamah Syariah yang semakin meningkat, perbincangan ini meneliti usaha-usaha untuk menaik taraf Mahkamah Syariah demi menegakkan keadilan bagi semua pihak. Faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes termasuk masalah dalam hubungan suami isteri, isu kewangan, keganasan, dan penderaan fizikal serta emosi. Semua ini memerlukan keadilan dalam kalangan orang Islam yang dirujuk ke Mahkamah Syariah.

Kerajaan telah mengusahakan penambahbaikan Mahkamah Syariah sejak tahun 2012, meliputi aspek prasarana, struktur hierarki, perjawatan, dan emolumen. Namun, kesungguhan untuk memartabatkan Mahkamah Syariah sering terlepas pandang oleh pihak eksekutif. Contohnya, kedudukan Mahkamah Syariah masih diperdebatkan kerana hierarki mahkamah dan perjawatan hakim tertinggi belum sama dengan Mahkamah Sivil (Zainul Rijal Abu Bakar, 2021).

Isu Keseragaman Perundangan

Isu keseragaman perundangan Syariah antara negeri-negeri juga menimbulkan konflik. Perbezaan dalam enakmen dan kekurangan penguatkuasaan menyumbang kepada kontroversi, seperti yang dilihat dalam kes-kes sensitif melibatkan agama dan bangsa. Di Mahkamah Sivil, undang-undang yang seragam di seluruh negara diterima pakai, tetapi prinsip duluan mengikat tidak terpakai di Mahkamah Syariah, menyebabkan keputusan hakim berbeza antara negeri (Saiful Bahri Kamarudin, 2014).

Menaik Taraf Struktur Mahkamah

Usaha memartabatkan perundangan Islam juga termasuk cadangan menaik taraf Mahkamah Syariah kepada lima peringkat, sebagaimana yang diamalkan di Mahkamah Sivil. JKSM mempergiatkan usaha untuk mendapatkan persetujuan dari Ketua Agama setiap negeri bagi menambah peringkat mahkamah di Mahkamah Syariah, iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah, dan Majlis Rayuan Syariah (JKSM, 2022).

Cadangan untuk Menyelesaikan Kes-Kes Tertangguh

Memaksimumkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Walaupun usaha untuk menyelesaikan kes-kes tertangguh sedang giat dilakukan, keperluan inovasi teknologi maklumat (ICT) dan komunikasi masih perlu dipertingkatkan. Pendigitalan aplikasi e-Syariah 2.0 dan i-Syariah adalah langkah ke arah pengurusan Mahkamah Syariah yang lebih sistematik, tetapi masih banyak aspek teknologi maklumat yang perlu dibangunkan (Zulzaidi Mahmod & Ahmad Hidayat Buang, 2022).

Penggunaan teknologi maklumat yang lambat menyumbang kepada penangguhan kes-kes di Mahkamah Syariah. Dunia hari ini memerlukan interaksi pantas, dan teknologi M2M (Machine to Machine) harus dimanfaatkan untuk mempercepatkan proses dokumentasi dan pengurusan kes.

Memartabatkan Majlis Sulh dan Mediasi

Majlis Sulh, sebagai kaedah perundingan dalam menyelesaikan pertikaian, mampu mengatasi kelemahan dalam pentadbiran Mahkamah Syariah. Pegawai Sulh yang profesional diperlukan untuk menangani kes-kes tertunggak, terutamanya di negeri-negeri dengan jumlah kes Syariah yang tinggi. Perlaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah adalah adaptasi kepada peruntukan Fiqh mazhab Syafie, dan ia perlu diperluaskan ke pelbagai aspek perundangan untuk menyokong sistem kehakiman yang sedia ada (Raihanah Azahari, 2004).

Walau bagaimanapun, peranan Sulh perlu diperluaskan dalam pelbagai aspek, bukan hanya dalam kes-kes kekeluargaan di Mahkamah Syariah tetapi juga dalam pengurusan hartanah dan pentadbiran awam. Pendedahan mengenai Sulh kepada masyarakat juga harus dipertingkatkan melalui media massa, kerana ia berperanan besar dalam menyelesaikan pertikaian. Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim, sebanyak 32,718 kes daripada 38,683 kes berjaya diselesaikan melalui Majlis Sulh. Ini menjelaskan bahawa tanpa Sulh, banyak masa akan terbuang dan kes tertunggak akan meningkat, sedangkan Sulh telah terbukti berkesan dengan 85% kes di seluruh 114 Mahkamah Syariah di Malaysia berjaya diselesaikan melalui proses ini dalam tempoh 2019 hingga akhir tahun 2022 (Amree Ahmad, 2023). Selain, persijilan kompetensi Sulh juga wajar diiktirafkan oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seperti Skuad-Sulh JKSM yang bekeperluan di semua tempat pada masa kini terutama dalam kes-kes kekeluargaan masyarakat Islam (Abu Zeckry, 2024).

Peningkatan Profesionalisme

Peningkatan profesionalisme dalam kalangan kakitangan JKSM adalah penting untuk menangani kes-kes tertunggak dengan lebih cepat dan berkesan. Latihan kemahiran dalam bidang perundangan syariah harus dihebatkan, dan negara harus memperkenalkan sijil profesional yang kompeten untuk pegawai syariah, seperti yang diamalkan dalam bidang perubatan. Peningkatan profesionalisme juga memerlukan pembahagian bidang tugas yang lebih khusus dan kemahiran dalam mengatasi kes-kes di Mahkamah Syariah (Hafizulfaiz Md Fuad et.al, 2022).

Kesimpulan

Kesimpulannya, perkembangan dalam aspek status kerjaya kakitangan Mahkamah Syariah di Malaysia memerlukan penambahan perlantikan dan pengkhususan bidang profesionalnya. Terdapat keperluan untuk kajian menyeluruh bagi menaik taraf kebajikan kakitangan dan menangani bebanan tugas hakiki. Usaha menaik taraf Mahkamah Syariah perlu seimbang antara pembangunan fizikal dan pembangunan dalaman kakitangan. Cadangan yang dikemukakan ini, termasuk peningkatan perjawatan, penggubalan enakmen, dan pemerkasaan Majlis Sulh, adalah penting untuk memartabatkan perundangan Syariah di Malaysia. Akhirnya, perjuangan memartabatkan perundangan Islam memerlukan penglibatan semua pihak, dan kajian-kajian dalam bidang ini perlu dipraktikkan demi kesejahteraan dan keharmonian masyarakat Islam di Malaysia.

Bibliografi

Amree, A. (2023, Januari 30). 85 peratus kes daftar mahkamah syariah selesai secara sulh. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/nasional/2023/01/85-peratus-kes-daftar-mahkamah-syariah-selesai-secara-sulh/

Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM). (2022). Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod > JKSM: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. JKSM: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. http://www.jksm.gov.my/fungsi-bahagian/bahagian-pendaftaran-keurusetiaan-dan-rekod/

Saiful Bahri Kamarudin. (2014, September 30). Undang-undang Islam perlu diseragamkan bagi semua negeri. UKM News Portal. https://www.ukm.my/news/arkib-berita/year-2014/september-2014/undang-undang-islam-perlu-diseragamkan-bagi-semua-negeri/

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. (2021). Trend urusan perlantikan tetap mengikut skim 2018-2020. Bahagian Dasar Perancangan. https://imej.spa.gov.my/dev/pdf/statistikpelantikan/BUKU-TREND-URUSAN-PELANTIKAN-TETAP-MENGIKUT-SKIMJAWATAN-2018-2020.pdf

Tuty Haryanti Ahmad Rodzi. (2022, Maret 23). Selangor, Johor catat kes cerai paling tinggi. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/03/937674/selangor-johor-catat-kes-cerai-paling-tinggi

Zainul Rijal Abu Bakar. (2021, Juni 20). Martabat Mahkamah Syariah. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/145230/martabat-mahkamah-syariah

Zulzaidi Mahmod, & Ahmad Hidayat Buang. (2022). Perkembangan penggunaan teknologi maklumat di Mahkamah Syariah Malaysia. University of Malaya.

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan Sains Sosial [Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perundangan Syariah] di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial dan Perujuk Amanah Raya Berhad (ARB). PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.