Saya ada terbaca antara isu sensasi sekarang ni kt Malaysia kt pautan ini https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lima-cabaran-dan-peluang-ekonomi-belia-malaysia-apa-yang-perlu-diketahui-508266
Isu tersebut menyoroti cabaran yang dihadapi oleh golongan belia dalam pasaran kerja Malaysia serta peluang yang tersedia jika mereka mengambil langkah proaktif. Antara cabaran utama ialah ketidaksepadanan pekerjaan, kurangnya minat terhadap Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), kebergantungan terhadap pelaburan asing, serta trend keusahawanan yang masih belum menyeluruh ke sektor berteknologi tinggi.
Namun, peluang tetap ada bagi mereka yang bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi, termasuk meneroka pasaran global dan meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi.
Dalam era digital ini, graduan perlu lebih fleksibel dan bersedia memanfaatkan sokongan kerajaan serta trend teknologi bagi membina kerjaya yang lebih stabil dan berdaya saing. Walau bagaimanapun, masih ramai pelajar yang terperangkap dalam mentaliti lama, memilih laluan konvensional tanpa mempertimbangkan alternatif yang lebih relevan dengan keperluan industri masa kini.
Teringat satu kisah untuk aku lakarkan untuk kalian fahami terutama buat makcik dan pakcik kampung yang ada cucu muda2 dan tengah nak up zaman sekarang ni…..
Malam tu, suasana rumah Tok One tenang. Angin luar sepoi-sepoi bahasa, tapi dalam rumah, Tok One dah mula pasang enjin. Tiba-tiba, tanpa amaran, dia mengetuk meja.
“Bapak budak! Mak budak! Cucu aku sekalian! Mari sini, duduk depan Tok!” suara Tok One bergema, menggoncang jiwa-jiwa muda yang baru nak buka TikTok.
Cucu-cucu dan menantu-menantu yang sedang main telefon pun terkejut. Ada yang baru nak suap Maggi, terus letak balik.
“Apa hal Tok? Nak kawin lagi ka?” soal cucu bongsu, si Fizi, sambil tersengih.
“Kawin kepala hangguk! Ni Tok nak cakap pasal kerja, pasal masa depan, pasal dunia yang korang ni semua buat tak kisah!” Tok One mencekak pinggang, misai dia bergerak-gerak, tanda marahnya dah tahap maksimum.
“TVET! TVET! Sejak 10 tahun lepas Tok dah suruh cucu sulung Tok masuk TVET, sekarang dia dah jadi jurutera automasi! Dapat gaji besar, pakai kereta baru, rumah ada pagar elektrik, tapi budak-budak zaman sekarang ni, haaa… SPM pun malas nak masuk exam!” Tok One mengetap bibir sambil memandang cucu-cucunya dengan penuh keinsafan.
Mak Ayah cucu-cucu Tok One pun tunduk. Satu per satu suara batuk kecil kedengaran, tanda masing-masing cuba elak daripada kena tempias leteran Tok.
“Kamu semua ni ingat kerja zaman dulu lagi ka? Zaman mengharap kerja kerajaan? Zaman nak jadi pegawai duduk dalam pejabat minum kopi ja? Sekarang dunia dah lain! Teknologi dah takeover!” Tok One makin bersemangat, tangan kanan dah naik ke udara macam tengah beri ceramah politik.
“Dulu, Tok cakap, masuk TVET, boleh belajar welding, elektrik, automasi… Boleh kerja mana-mana, gaji lebih tinggi dari budak ijazah yang baru habis belajar! Tapi kamu semua pandang rendah TVET, anggap TVET tu macam kelas budak gagal! Sekarang tengok, negara lain dah maju dengan teknologi, Malaysia? Masih lagi nak harap pelaburan luar negara. Kita kena berdikari, oi!”
Menantu Tok, Pak Din, yang kerja kilang, cuba mencelah. “Tapi Tok, budak-budak sekarang takut TVET ni susah, kena kerja tangan, kena lasak sikit…”
“LASAK?!!” Tok One hampir tersedak dengan kata-kata itu. “Oi, dulu atuk-atuk kita potong getah, tanam padi, masuk hutan tebang kayu, tu lagi lasak! Ni zaman mesin, zaman robot, zaman AI, zaman industri 4.0! TVET bukan kena duduk tengah panas macam buruh binaan ja! Sekarang boleh belajar mekatronik, automasi, robotik! Nak kerja dalam air-cond pun boleh kalau masuk industri yang betul!”
Semua terdiam. Fizi, yang tadi seronok main PUBG, dah mula termenung.
“Tok, jadi kalau saya masuk TVET, boleh kerja luar negara?” Fizi bertanya dengan suara perlahan.
Tok One tersenyum. “Ha, baru ada akal! Sekarang ni banyak syarikat luar cari tenaga kerja mahir dari TVET. Kalau kamu belajar betul-betul, tak payah kerja dalam Malaysia pun boleh, pergi Korea, Jepun, Jerman!”
Pak Din angguk-angguk. “Betul tu, Tok. Sekarang banyak syarikat besar nak ambil tenaga kerja teknikal. Dulu saya pun ada kawan masuk TVET, sekarang dia dah jadi jurutera AI kat Singapura! Gaji masyuk!”
Tok One ketuk meja lagi. “Haa, nampak?! Jadi, kepada bapak budak, mak budak, jangan dok paksa anak-anak nak masuk universiti saja kalau mereka tak minat akademik! Zaman sekarang ni, TVET bukan pilihan kedua, tapi laluan utama kepada masa depan cerah!”
Malam tu, semua orang termenung panjang. Fizi dah mula Google “kursus TVET terbaik di Malaysia”. Pak Din mula teringat kisah kawannya yang berjaya di luar negara. Mak-mak budak mula terfikir untuk bincang pilihan pendidikan dengan anak-anak.
Sementara itu, Tok One puas hati. Misi menyedarkan generasi baru tentang TVET berjaya! Dia bangun, tarik nafas lega, dan duduk semula di kerusi sambil menghirup kopi O panas.
“Haa, sekarang baru Tok boleh layan drama pukul 9. Jangan ada lagi yang malas masuk exam SPM!” katanya sambil mengangkat jari telunjuk memberi amaran terakhir.
Moral cerita ni..
TVET bukan laluan kegagalan, tapi peluang keemasan. Jangan malu masuk TVET, sebab dunia sekarang lebih perlukan kemahiran teknikal berbanding sekadar kertas ijazah. Kalau dulu ramai tak percaya, sekarang ramai dah buktikan TVET boleh bawa kejayaan besar dalam hidup!
“Jangan tunggu 10 tahun lagi baru nak faham!” – Tok One