Kalau anda sedang buat tesis, proposal, atau ulasan artikel untuk kelas, berikut adalah format yang mantap untuk meringkaskan mana-mana artikel kelas atas termasuk yang dari Zeckry.net. Panduan ini bukan saja bantu anda tulis ringkasan, tapi juga tunjukkan cara berfikir secara kritis dan profesional.

1. Pengenalan & Objektif Kajian

➡️ Tujuan artikel secara ringkas dan padat

Mulakan dengan menjawab: β€œArtikel ini ditulis untuk apa?” Nyatakan objektif utama penulis. Adakah untuk menjawab persoalan teori, menyelesaikan isu praktikal, atau menguji model baru?

Contoh ayat:

Artikel ini bertujuan menilai keberkesanan model literasi digital dalam kalangan guru sekolah rendah di Malaysia, dengan meneliti hubungan antara latihan profesional dan tahap pengaplikasian ICT dalam pengajaran.


2. Metodologi Kajian: Bagaimana Kajian Ini Ditadbirkan

➡️ Apa yang penulis buat dan bagaimana caranya?

Sebut secara ringkas jenis penyelidikan (kuantitatif/kualitatif/campuran), kaedah pengumpulan data, saiz sampel, instrumen kajian, dan teknik analisis.

Contoh ayat:

Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan soal selidik diedarkan kepada 250 guru. Data dianalisis menggunakan SPSS melalui regresi berganda dan analisis korelasi.


3. Dapatan Kajian & Maklumat Penting Lain

➡️ Apa yang penulis jumpa? Kenapa penting?

Senaraikan penemuan utama dan maklumat yang sangat signifikan. Jangan masukkan semua, pilih yang benar-benar relevan.

Contoh ayat:

Dapatan menunjukkan bahawa latihan profesional secara signifikan mempengaruhi pengaplikasian ICT, manakala pengalaman mengajar tidak mempunyai hubungan yang ketara.


4. Perbincangan Kritis Terhadap 2–3 Kajian yang Dibincang Penulis

➡️ Bandingkan, puji atau persoalkan pandangan penulis terhadap kajian orang lain.

Pilih dua atau tiga artikel yang penulis rujuk dan bincang: adakah penulis bersetuju atau menolak dapatan kajian terdahulu? Apa hujahnya? Anda boleh bersetuju atau tidak, tapi kena beri sebab.

Contoh:

Penulis memetik kajian oleh Ahmad et al. (2020) yang menegaskan latihan teknikal sahaja tidak mencukupi. Namun, penulis artikel ini menolak pandangan tersebut dan menekankan pentingnya sokongan organisasi, satu hujah yang valid tetapi memerlukan sokongan empirikal yang lebih kukuh.


5. Implikasi Kajian (Makna Dapatan)

➡️ Kenapa dapatan ini penting dan kepada siapa?
Satu atau dua perenggan untuk menerangkan implikasi praktikal dan teori dapatan kajian.

Contoh ayat:

Dapatan ini menunjukkan keperluan kepada polisi pendidikan yang lebih menyeluruh yang bukan sekadar menyediakan peralatan, tetapi juga menyokong perubahan budaya organisasi di sekolah.


6. Kritikan & Penambahbaikan

➡️ Di sini anda boleh β€˜kondem’ dengan berhemah

Tunjukkan kelemahan yang wujud dari segi metodologi, rangka teori, atau analisis. Kemudian cadangkan penambahbaikan.

Contoh ayat:

Kajian ini menghadkan data kepada satu negeri sahaja, menyebabkan generalisasi terhad. Penambahan kaedah temubual boleh memberi gambaran lebih mendalam tentang cabaran sebenar guru.


7. Cadangan Kajian Lanjutan & Hala Tuju Masa Depan

➡️ Apa yang patut dikaji selepas ini?

Fikirkan bagaimana penulis boleh kembangkan dapatan atau alih fokus.

Contoh ayat:

Penulis boleh memperluas kajian dengan menguji model ini di kalangan guru sekolah menengah atau dalam konteks luar bandar. Kajian lanjutan juga boleh meneliti impak jangka panjang terhadap prestasi pelajar.


8. Penilaian Muktamad: Sumbangan Artikel

➡️ Apa nilai artikel ni pada dunia ilmu dan pembaca?

Satu perenggan penutup yang ringkaskan nilai artikel ini . Adakah ia mengubah cara kita fikirkan satu isu, atau membuka ruang baru untuk kajian masa depan?

Contoh ayat:

Secara keseluruhan, artikel ini memberikan sumbangan besar dalam bidang teknologi pendidikan di Malaysia, khususnya dalam memahami faktor-faktor kejayaan pengaplikasian ICT di bilik darjah. Ia membuka ruang kepada pendekatan yang lebih strategik dalam merangka dasar latihan guru.


BONUS UNTUK KAJIAN ANDA SENDIRI:

Jika anda gunakan artikel ini sebagai rujukan dalam kajian anda, sila tambah:

  • Objektif sorotan – Apa tujuan anda sorot artikel ini?
  • Huraian konsep – Bagaimana konsep utama artikel ini kait dengan tajuk anda?
  • Teori & hipotesis – Ada tak teori atau hipotesis yang anda boleh guna semula?
  • Jurang kajian – Apa yang artikel ni tak jawab, dan bagaimana kajian anda boleh bantu?
  • Implikasi teori – Bagaimana dapatan dari artikel ini mencabar atau menyokong teori sedia ada?

Saya sangat yakin, kalau anda ikut template ni, tak mustahil ringkasan artikel anda akan nampak macam siap untuk jurnal Q1. Tapi pastikan anda baca artikel tu betul-betul ya, jangan ringkaskan tajuk je

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.