Di sebuah rumah PPR di Hiliran Ampang, di sebalik hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur, tinggal sepasang suami isteri bersama empat anak kecil, seorang puteri dan tiga putera yang lincah dan gemar menyanyikan lagu “Baby Shark” waktu subuh.

Farah, seorang juru andaman yang juga menjual kuih-muih secara kecil-kecilan, adalah wanita yang kelihatan tabah, tapi menyimpan banyak luka di dada. Suaminya, Rizal, bekerja sebagai operator buggy di sebuah pusat beli-belah ternama. Kalau orang lain sibuk buat “food review”, Rizal sibuk pusing-pusing pelancong di buggy dengan senyuman paksa, walaupun dalam hati dia menanggung beban kewangan dan perkahwinan yang semakin goyah.

Mereka berkahwin atas dasar cinta, bukan paksaan. Tapi bak kata TokOne di warung: “Cinta tanpa ilmu, macam roti jala tanpa kari. Kosong.”

Luka Yang Tak Terlihat

Farah pernah lebam. Dia tak suka cerita, tapi matanya bercerita lebih awal dari mulut. Dia penat, bukan kerana anak, tapi kerana rasa dihina, dibiar, diprovok.

Rizal pula mendakwa dia tak sempat rehat, asyik kerja siang malam. Dia mengaku, ya, dia pernah tampar Farah. Tapi katanya, itu sebab dia digigit dulu. Mereka saling menyakiti… dengan kata, dengan sikap. Dalam diam, masing-masing menjerit minta difahami.

Kuih vs Buggy

Pernah sekali Farah buat promosi kuih seri muka dan jeli kelapa di Facebook. Rizal menyampuk dalam komen:
“Beli 2 percuma naik buggy 10 minit.”

Farah block dia tiga hari.

Mereka pernah gaduh sebab Rizal balik lewat. Tapi bila ditanya kenapa, Rizal kata dia pergi “gig ekstra” bantu rakannya potong rumput. Tapi Farah dapat tahu Rizal tolong rakannya buat TikTok buggy drifting.

“Bukan kau kata cari rezeki?” marah Farah.

“Buat content tu rezeki juga sekarang, awak!” Rizal jawab sambil gelak, tapi lehernya senget ditampar dengan sebatang selendang.

Jalan Pulang

Setelah bertahun-tahun hidup bersama, mereka ke JAWI. Berkali-kali.

Setiap kali sesi, Rizal berubah. Manis. Lembut. Tapi dua minggu kemudian, dia kembali menjadi “abang kelam kabut”. Farah pula makin dingin. Namun jauh di sudut hati, masih ada bara harapan yang belum padam.

Sebelum tarikh sebutan kes di Mahkamah, mereka dipanggil ke sesi runding damai. Wakil Rizal, ayahnya yang pernah kena hempap besen masa nak nasihatkan mereka dulu, berkata dengan air mata di mata:

“Takde siapa menang kalau anak-anak jadi mangsa. Cuba lagi. Tapi kali ni, cuba dengan ilmu, bukan ego.”

Di akhir sesi, Farah dan Rizal saling bermaafan. Tak semua luka sembuh hari itu. Tapi mereka mula belajar kembali iaitu cara bercakap, cara sabar, cara menghargai. Dan paling penting, mereka belajar cara mencintai tanpa menyakiti.

Cahaya Dari Roti Jala

Beberapa bulan kemudian, Farah viral. Bukan sebab cerai, tapi sebab roti jala pandan dia muncul di TV. Rizal buat kerja penghantaran dengan buggy.”Buggy Delivery by Abang Roti Jala”.

Mereka tak sempurna. Tapi kini mereka jadi contoh kepada jiran-jiran. Bila ditanya rahsia, Farah hanya tersenyum:

“Cinta itu bukan bila kau menang. Tapi bila kau pilih untuk terus belajar, walaupun luka lama belum sembuh.”

Moral Cerita:

  1. Perkahwinan bukan tentang siapa betul, tapi siapa sanggup berubah.
  2. Komunikasi bukan sekadar bertanya balik pukul berapa, tapi bertanya dengan hati.
  3. Wanita bukan lemah bila minta cerai. Lelaki bukan jahat bila hilang sabar. Kita semua manusia.
  4. Tuhan bagi peluang kedua bukan untuk kita sia-siakan. Tapi untuk kita bina semula, lebih baik, lebih kuat.

Buat semua wanita dan lelaki di luar sana, jangan pernah rasa kalah bila kau pilih untuk sayangi dirimu, dan pilih jalan damai. Rumahtangga bukan tentang sempurna. Tapi tentang dua hati yang tak berhenti mencuba.

Kalau Farah dan Rizal boleh… kita pun boleh.

By Abu Zeckry

Zeckry.net merupakan sebuah platform penyelidikan dan jaringan ilmiah yang berperanan sebagai Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) dalam bidang Sains Sosial Islam. Berasaskan keperluan kepada pendekatan yang lebih berakar pada warisan keilmuan Melayu-Islam dan responsif terhadap cabaran kontemporari, Zeckry.net menghimpunkan penyelidik, penulis, dan pemikir dari seluruh Alam Melayu. Zeckry.net bukan sekadar laman web. Tetapi sebagai ekosistem penyelidikan, pemikiran, dan penerbitan yang memperjuangkan pendekatan Islamik dalam sains sosial yang kontekstual dan membumi di rantau ini. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.