Sesungguhnya permasalahan nikah mut’ah adalah salah satu permasalahan yang terdapat banyak perselisihan pendapat ulama, terutamanya selepas sahaja berkuasanya Mazhab Syi’ah di Iran. Mereka berusaha sedaya mungkin untuk mencari sebarang helah agar nikah mut’ah ini dihalalkan untuk penganut-penganut mereka. Mereka membolehkan pernikahan ini di atas alasan darurat pada satu masa dan pada masa yang lain mereka beralasan agar para pemuda yang sudah bernikah mut’ah terbiasa dengan satu permasalahan pernikahan.

Apabila mereka membincangkan tentang permasalahan nikah mut’ah ini, mereka seringkali menuduh Sayyidina Umar al-Khattab sahajalah yang telah mengharamkan nikah mut’ah ini selepas pernikahan ini dihalalkan pada zaman Rasulullah SAW.

 Maka di dalam kitab ini, penulis telah mendatangkan beberapa hujah untuk menebat segala tuduhan yang telah dilemparkan oleh mereka itu,  mendebat penipuan penganut-penganut mazhab ini, lebih-lebih lagi beberapa perbuatan bid’ah yang telah dilakukan oleh Khomeini.

Kemudian, penulis telah memberikan beberapa hujah bahawa pengharaman nikah mut’ah itu juga dibicarakan oleh Rasulullah SAW semasa peperangan Khaibar, sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Sayyidina Ali RA sendiri.

Penulis juga telah mendatangkan hujah pengharaman nikah mut’ah dengan ayat al-Qur’an di dalam Surah al-Mukminun ayat 5-7.

اَلَّذِيْنَ هُمْ لِفُرُوْجِهِمْ حٰفِظُوْنَۙ اِلَّا عَلٰىۤ اَزْوَاجِهِمْ اَوْ مَا مَلَـكَتْ اَيْمَانُهُمْ فَاِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُوْمِيْنَۚ
فَمَنِ ابْتَغٰى وَرَآءَ ذٰلِكَ فَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْعٰدُوْنَ

Maksudnya:

Dan mereka yang menjaga kehormatan mereka, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Barang siapa yang mencari selain itu (hubungan selain dengan isteri atau hamba), maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

    Ayat ini dijadikan hujah oleh ramai ulama bahawa hubungan seksual hanya diharuskan dengan isteri yang sah atau hamba yang dimiliki secara syarie, dan hubungan lain seperti mut’ah (yang hanya berdasarkan kontrak waktu) termasuk dalam kategori melampaui batas (الْعَادُونَ).

    Di dalam surah ini telah ditunjukkan dengan jelas tentang keterangan haramnya beristimta’ dengan sebarang wanita selain isteri sendiri atau hamba yang dimiliki. Oleh sebab itu, orang yang beristimta’ dengan wanita secara nikah mut’ah adalah perbuatan yang diharamkan berdasarkan kepada beberapa sebab, di antaranya ialah:

    1) Allah SWT telah berfirman di dalam al-Qur’an Surah ar-Rum ayat 21:

    وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجاً لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

    Ayat di atas menunjukkan bahawa tujuan sebuah perkahwinan itu adalah untuk menimbulkan satu ketenangan, kecintaan kasih-sayang dan kerahmatan. Adakah seorang lelaki yang beristimta’ dengan seorang wanita yang hanya dilakukan dalam beberapa waktu yang telah ditentukan itu boleh menjalinkan suatu kasih-sayang yang abadi?

    2) Wanita yang telah dinikahi dengan nikah mut’ah itu tidak boleh mewarisi harta lelaki yang telah menikahinya itu, sekalipun wanita itu seorang muslimah. Ini satu dalil yang amat kukuh sekali bahawa wanita yang dinikahi secara mut’ah itu bukanlah seorang isteri kepada lelaki yang menikahinya, lantaran beliau tidak berhak mendapat harta warisan!! Kalau begitu, wanita itu akan mendapat satu penganiayaan yang tidak tertanggung olehnya sekiranya beliau diceraikan pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, pernikahan mut’ah adalah hanya untuk mendapatkan suatu keseronokan hubungan seks, bukannya membela nasib kaum wanita!!

    3) Dalam pernikahan mut’ah itu, seorang wanita itu boleh mensyaratkan kepada lelaki pemut’ah untuk tidak menyetubuhinya di farajnya (menyalahi nikah syar’i). Kalau begitu, nikah mut’ah adalah sama dengan perbuatan liwat yang telah diharamkan oleh Ijmak Ulama!!

    Cuba kita lihat pula bicara Khomeini di dalam bukunya yang bernama Kasyful Asrar di dalam hal. 117-118 seperti yang dinukil oleh penulis. Beliau telah mendakwa bahawa pengharaman nikah mut’ah itu adalah salah satu pendapat Sayyidina Umar al-Khattab yang bercanggah dengan keterangan al-Qur’an. Khomeini berkata di dalam buku itu: “Mut’ah wanita telah disepakati oleh Ijmak Muslimin pada zaman Rasulullah SAW tentang penghalalannya sehingga kewafatan baginda!! Tidak ada satu hukum pun yang telah menasakhkan tentang hukum halalnya itu…” (??). Oleh sebab itulah penulis telah mengarang buku ini untuk menebat tuduhan melulu Khomeini ini!!!

    MAUQIF SAYYIDINA UMAR TENTANG NIKAH MUT’AH

    Di dalam hal. 15, Mazhab Syiah telah merasa iri-hati terhadap Sayyidina Umar RA, di mana mereka telah memburuk-burukkan dan memerangi Sayyidina Umar RA. Di dalam halaman 17, penulis menerangkan bahawa Sayyidina Umar RA mengharamkan nikah mut’ah bukanlah mengikut pendapat beliau sahaja, malahan pengharaman itu adalah hasil daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA yang bermaksud: “Apabila Umar ibnu Khattab telah mendapat jawatan Khalifah, maka beliau telah berkhutbah di hadapan khalayak ramai seraya berkata, ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengizinkan kita sebelum ini untuk bermut’ah sebanyak tiga kali, tetapi akhirnya pernikahan itu diharamkan.

    Demi Allah, sesungguhnya aku tidak mengetahui hukum lain apabila seseorang yang telah berkahwin itu bermut`ah, melainkan dia itu direjam dengan batu Kecualilah, beliau itu akan membawa empat orang saksi yang menyaksikan bahawa Rasulullah SAW akan menghalalkan selepas nikah itu diharamkannya”. [Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Majah].

    Di dalam Hadis Bukhari bahawasanya Sayyidina Ali telah berkata kepada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW telah mengharamkan pernikahan mu’tah dan daging himar jinak semasa peperangan Khaibar. [Fathul Bari, Jil. 9, Hal. 166].

    Daripada keterangan Hadis ini, kita sudah mengetahui bahawa pengharaman yang telah dibuat oleh Sayyidina Umar RA itu adalah daripada kesan pengharaman yang telah diturunkan oleh Rasulullah SAW sendiri. Kalau begitu, Sayyidina Umar RA bukanlah membuat undang-undang baru, malahan beliau hanya menyampaikan apa yang telah didengar daripada Rasulullah SAW. Ketika Sayyidina Umar RA menyampaikan pengharaman hukum mut’ah itu di hadapan Muhajirin dan Ansar, tiada seorang pun yang ingkarkan dan menentang ucapan beliau itu.

    Oleh sebab mereka itu tidak ingkarkan tentang pengharaman itu, maka sabitlah bahawa nikah mu’tah itu dimansukhkan di dalam Syari’at Islam untuk selama-lamanya. Hanya orang-orang yang tidak percayakan tentang kethiqahan para sahabat RA sahajalah yang akan tetap menghalalkan nikah mu’tah seperti pendapat ajaran Syiah.

    Oleh itu, ajaran Syiah adalah menyalahi ijmak para sahabat RA. Para sahabat RA yang meriwayatkan tentang pengharaman nikah mu’tah ini adalah Sayyidina Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Mas’ud, Abdullah bin Zubair dan Abdullah bin Abbas. Ibnu Abbas telah menarik semula fatwanya yang pada mulanya menghalalkan pernikahan ini.

    Dalam mengukuhkan hujah ini, penulis telah menukilkan kata-kata Imam al-Fakhrur Razi di dalam Tafsir Kabir  Jil. 3, Hal. 287, bahawa “Pengharaman nikah mu’tah adalah berdasarkan kepada ijmak para sahabat dan tiada seorang sahabat RA pun yang ingkarkan akan pengharamannya.” Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah Jil. 4, Hal. 293-294, hadis diriwayatkan daripada Hisyam bin Ghar berkata:

    “Aku telah mendengar Makkhul berkata bahawa sekiranya seorang lelaki mengahwini seorang wanita di dalam satu tempoh yang tertentu adalah dinamakan sebagai zina.”

     Yang peliknya di dalam kitab Biharul Anwar (kitab rujukan hadis Mazhab Syiah terbesar 110 jilid!!) yang dikarang oleh al-Majlisi jil. 53, hal. 28-29, dinyatakan bahawa Sayyidina Umar RA mengharamkan pernikahan mut’ah itu adalah kerana untuk mempertahankan pendapat dirinya sendiri. Al-Majlisi juga telah membuat satu pembohongan kerana di dalam hadis ciptaannya dinyatakan bahawa Sayyidina Umar RA mempunyai adik perempuan yang bernama ‘Afra’, di mana beliaulah yang dikatakan sedang menyusukan anaknya hasil daripada pernikahan mut’ahnya.

    Tetapi setelah diselidiki daripada kitab-kitab nasab keturunan Arab seperti Kitab Jamharatul Ansabil Arab oleh Ibnu Hazam, Kitab Nasabul Quraisy dan sebagainya, tidak pun menyebutkan bahawa Sayyidina Umar RA mempunyai adik perempuan yang bernama ‘Afra’. Sayyidina Umar RA hanya mempunyai adik-beradik yang bernama Soffiah dan Umaimah. Soffiah adalah isteri Sufian bin Abdul Asad, sementara Umaimah yang telah memeluk Islam adalah isteri Said bin Zaid.

    Kalau kita rujuk lagi kitab Hadaiqul Unsi karangan Ibrahim al-Musawi di hal. 210, dinyatakan bahawa sebab Sayyidina Umar RA mengharamkan nikah mut’ah adalah kerana beliau telah melihat adik perempuannya yang bernama Khadra` sedang menyusukan seorang bayi. Sayyidina Umar RA sangat marah kepada adiknya, seraya berkata, dari manakah engkau telah mendapat seorang anak sedangkan engkau tidak mempunyai suami? Adik perempuannya berkata bahawa anak itu adalah daripada pernikahan mut’ah. Lantaran itu, Sayyidina Umar RA pun pengharamkan nikah mut’ah.

    Pelik sekali di dalam kitab Biharul Anwar disebut nama adik Sayyidina Umar RA itu bernama ‘Afra’, tetapi di dalam kitab Hadaiqul Unsi adik Sayyidina Umar RA itu bernama ‘Khadra’!! Jelaslah satu cerita yang dibuat-buat!! Dan apa yang lebih hebat sepertinya yang disebutkan di dalam kitab al-‘Anwarun Nukmaniah karangan al-Jazairy as-Syi`ie di dalam Jil. 2, hal. 320 telah menuduh Sayyidina Ali telah bermu’tah dengan adik Sayyidina Umar RA tanpa bernikah sama sekali. Laa haula wa laa quwwata illa billah!

    Di halaman 120, penulis telah menukilkan daripada kitab Man La Yahdhuruhul Faqeh (kitab fiqh rujukan Mazhab Syiah) karangan Imam Ibnu Babweh al-Qummi di dalam Jil. 2, Hal 148, dinyatakan bahawa orang-orang Syiah apabila menganggap sesuatu itu perkara yang baik dan sesuai dengan kesukaannya, maka mereka akan berijtihad untuk meletakkan perkara itu sebagai satu asas agama, sehingga Jaafar as-Shodiq telah berkata bahawa seseorang itu tidak termasuk daripada Mazhab Syiah sekiranya tidak akan menghalalkan nikah mut’ah.

    Di dalam halaman 128, penulis menyatakan bahawa Mazhab Syiah telah mengharuskan bermu’tah lebih daripada empat orang perempuan, sekalipun lelaki itu telah mempunyai empat orang isteri. Malah seseorang lelaki boleh beristeri lebih daripada 1,000 orang isteri!!

    Penulis juga telah menukilkan daripada kitab Man La Yahdhuruhul Faqeh jil. 2, Hal. 150, bahawa seorang lelaki atau perempuan yang bermu’tah tidak akan memperoleh harta warisan apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Nikah mu’tah harus dijalankan tanpa meminta izin terlebih dahulu daripada wali perempuan itu.

    Di halaman 145, penulis menukilkan daripada kitab Biharul Anwar jil. 100, Hal. 326, al-Hassan al-Attoer telah berkata bahawa dia telah bertanya kepada Abu Abdullah AS tentang peminjaman kemaluan perempuan.

    Beliau berkata, peminjaman itu tidak mengapa (??) Bukankah ini satu dalil bahawa pernikahan mu’tah itu adalah satu penzinaan?! Dan di dalam halaman 149, penulis menyatakan bahawa Mazhab Syiah telah menghalalkan persetubuhan di dubur!! Bukankah ini juga satu perlakuan liwat yang telah dilakukan oleh umat Nabi Luth?! Mazhab Syiah juga mengharuskan untuk menghimpunkan di antara seorang perempuan, emak saudaranya di sebelah ibunya untuk dijadikan sebagai madu-madu kepada seorang lelaki!!

    Sebagai mengakhiri ulasan ini, saya menyeru kepada pengikut-pengikut Syiah agar meneliti semula ajaran ini. Rujuklah kitab-kitab rujukan Syiah maupun kitab-kitab Ahli Sunnah untuk membuat perbandingan agar kita tidak mengikut sesuatu ajaran itu dengan melulu tanpa alasan yang terkuat!

    Perkahwinan dengan seramai 10 orang wanita yang telah berlaku di tanah air tidak boleh dijadikan sebagai hujah untuk membolehkan perkara ini. Hujah adalah menggunakan dalil syara`, bukannya dengan melihatkan perlakuan manusia biasa yang hanya untuk memenuhi kemahuan kebejatan hawa nafsunya sahaja.

     Apa yang memelikkan kita ialah mengapa orang-orang Syiah itu hanya hendak mengahwini orang lain secara mut`ah, tetapi orang lain tidak boleh mengambil anak-anak mereka untuk dinikahi secara mut`ah? Jelaslah bahawa nikah mut`ah adalah satu penganiayaan terhadap wanita secara tanpa sedar.

    Bibliografi

    Abou Ali. (1995, Mac). SUKEJ – Suara Kampus Mahasiswa Johor, Kaherah, hlm. 32–33.

    Ulasan buku:

    الشيعة والمتعة
    المؤلف: محمد ملول الله
    الناشر: مكتبة ابن تيمية، ١٤١٣هـ
    عدد الصفحات: ١٥١ صفحة

    By Abu Zeckry

    Zeckry.net merupakan sebuah platform penyelidikan dan jaringan ilmiah yang berperanan sebagai Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) dalam bidang Sains Sosial Islam. Berasaskan keperluan kepada pendekatan yang lebih berakar pada warisan keilmuan Melayu-Islam dan responsif terhadap cabaran kontemporari, Zeckry.net menghimpunkan penyelidik, penulis, dan pemikir dari seluruh Alam Melayu. Zeckry.net bukan sekadar laman web. Tetapi sebagai ekosistem penyelidikan, pemikiran, dan penerbitan yang memperjuangkan pendekatan Islamik dalam sains sosial yang kontekstual dan membumi di rantau ini. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

    Tinggalkan Balasan

    Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

    Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.