Baru-baru ni saya terbaca satu artikel menarik oleh Mahanum Abdul Aziz (2024) dalam Berita Harian. Tajuk dia pun dah cukup buat kita terfikir: “Enam graduan rebut satu jawatan kemahiran tinggi.” Fuh, enam orang kelulusan universiti berebut satu kerja yang betul-betul setaraf kelulusan mereka? Memang mencabar hidup anak muda sekarang.
Bukan nak salahkan sesiapa, tapi bila data dari Bank Dunia sendiri cakap macam tu, kita kena akui – ada yang tak kena dengan sistem kita. Ramai graduan kerja bawah kelayakan, gaji rendah, dan makin ramai terpaksa cari rezeki dalam ekonomi gig semata-mata untuk terus hidup. Jadi, saya cuba buat analisis ringkas, bukan sekadar untuk mengeluh, tapi untuk kita sama-sama fikir: apa sebenarnya yang perlu kita ubah? Hakikatnya, Malaysia bukan kekurangan pemimpin.
Kita sudah lalui kerajaan silih berganti. daripada Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional hinggalah kerajaan campuran pasca PRU15. Tapi, peliknya, masalah tetap sama.
- Graduan tetap menganggur.
- Gaji tetap tak naik.
- Rasuah tetap berakar.
- Birokrasi tetap lambat.
- Pendidikan tetap tidak seiring industri.
Apa sebenarnya yang tak kena?
Masalahnya Bukan Hanya Siapa Memerintah…
Setiap kali kerajaan baru naik, kita dijanjikan “era baharu”, “Malaysia baharu”, “reformasi”, “madani”, “makmur” dan entah berapa banyak slogan lagi.
Tapi struktur pentadbiran dan budaya kerja dalam sistem masih lama:
- Polisi kitar semula,
- Program yang gah di atas kertas, gagal di lapangan,
- Pelaksanaan lemah kerana pegawai takut buat keputusan,
- Agensi kerajaan masih beroperasi seperti era fail kertas tebal tahun 90-an.
Isu Ketara: Graduan Masih Merana
- 1 kekosongan kerja mahir direbut oleh 6 graduan.
- 60% graduan baharu gaji bawah RM2,000.
- 37.3% graduan kerja bawah kelayakan.
Itu bukan angka tahun 2000, itu angka tahun 2022 yakni zaman 5G dan AI.
Persoalannya, apa gunanya pertukaran kerajaan jika isu asas seperti ini tak berganjak?
Apa Yang Kita Sebenarnya Perlu Ubah?
1. Ubah Budaya Politik Lama
Tolak pemimpin yang pandai retorik, tapi malas reformasi sebenar. Kita perlukan pemimpin yang berani rombak sistem ..walau tidak popular.
2. Ubah Sistem Pentadbiran
Pentadbiran awam mesti berasaskan kecekapan, bukan senioriti semata. Kementerian dan agensi tak boleh lagi beroperasi macam jabatan pos era 1980-an.
3. Ubah Cara Kita Memilih
Cukuplah pilih ikut kaum, parti atau nostalgia. Pilih berdasarkan rekod kerja dan komitmen untuk ubah sistem.. bukan sekadar tukar orang.
4. Ubah Persepsi Rakyat Sendiri
Jangan tunggu PRU untuk marah. Gunakan media sosial, petisyen, forum dan NGO untuk beri tekanan berterusan. Kuasa rakyat bukan lima tahun sekali.
Ubah Dasar, Bukan Sekadar Slogan
- Mahu dasar pendidikan disemak semula setiap 5 tahun ikut keperluan industri.
- Mahu TVET jadi aliran utama, bukan pilihan kedua.
- Mahu sektor ekonomi digital dan hijau dibuka seluas-luasnya kepada belia.
- Mahu perlindungan sebenar kepada pekerja gig, bukan ucapan manis semata.
Kerajaan boleh bertukar 10 kali… tapi kalau sistem tak berubah, masalah akan kekal.
Rakyat Malaysia sudah cukup matang. Kita tahu menilai. Yang kita mahu bukan janji bulan bintang.. kita mahu kerja yang setimpal, gaji yang bermaruah, dan sistem yang menghormati kebolehan rakyat.
Kalau kerajaan hari ini gagal berubah, maka ubahlah ia dengan tangan rakyat.
Analisis Ketidakpadanan Pekerjaan Graduan di Malaysia
Aspek | Dapatan Utama | Sumber / Tahun |
---|---|---|
Persaingan Pekerjaan Mahir | 1 kekosongan kerja mahir direbut oleh 6 graduan | Bank Dunia, 2024 |
Guna Tenaga Tidak Penuh (Underemployment) | Meningkat dari 27.2% (2010) kepada 37.3% (2022) bagi graduan yang bekerja di sektor rendah/separa mahir | Bank Dunia MEM ke-30 |
Ketidakpadanan Kemahiran | 82% majikan dapati pekerja sedia ada tidak cukup mahir | HRD Corp |
Kekurangan Soft Skills | 40% syarikat sukar cari pekerja dengan kemahiran kepimpinan, komunikasi, penyelesaian masalah, IT | Bank Dunia, 2020 |
Trend Ekonomi Gig | Menarik minat graduan sebab fleksibiliti, tapi berisiko dan kurang perlindungan sosial | Bank Dunia |
Risiko Brain Drain | Berlarutan ketidakpadanan boleh tingkatkan penghijrahan keluar pekerja mahir | Bank Dunia |
Gaji Permulaan Graduan | 60% terima bawah RM2,000 (2021); tiada perubahan ketara sejak 2010 (61%) | Kajian KRI, 2021 |
Stagnasi Pekerjaan Mahir | Pertumbuhan kerja mahir tidak berkembang sejak 2002 | Kajian KRI |
Kesan Jangka Panjang Graduan | 1/3 terus alami ketidakpadanan kelayakan; 1/4 terus bergaji rendah akibat mula kerja bawah kelayakan | Kajian KRI |
Malaysia berdepan krisis struktur pekerjaan mahir, ramai graduan berpendidikan tinggi terpaksa bekerja di sektor rendah kemahiran, bergaji rendah, atau beralih ke ekonomi gig yang tidak stabil. Ini bukan sekadar masalah guna tenaga, tetapi ancaman jangka panjang kepada produktiviti nasional, keseimbangan pasaran kerja dan cita-cita Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.
Atasi Ketidakpadanan Pekerjaan Graduan
Bidang Tindakan | Cadangan Dasar |
---|---|
1. Penjanaan Pekerjaan Mahir | Galakkan pelaburan sektor teknologi tinggi dan industri 4.0 melalui insentif cukai dan geran kepada syarikat. |
2. Pendidikan & Latihan Semula | Kukuhkan TVET dan latihan semula graduan melalui kerjasama industri-universiti secara wajib (dual training model). |
3. Audit Kurikulum IPT | Selaras kurikulum IPT dengan kehendak pasaran semasa ,wajibkan komponen soft skills dan digital literacy. |
4. Reformasi Ekonomi Gig | Gubal dasar perlindungan sosial untuk pekerja gig seperti caruman PERKESO, KWSP, dan cuti sakit bergaji. |
5. Skim Gaji Minimum Graduan | Perkenal skim gaji minimum bersasar untuk pekerjaan mahir graduan baharu sektor awam dan GLC sebagai penanda aras. |
6. Sokongan Mobiliti Graduan | Tawar insentif sewaan rumah/relokasi kepada graduan luar bandar yang bekerja di pusat ekonomi utama. |
7. Dasar Anti-Brain Drain | Laksana program pengiktirafan antarabangsa dan ganjaran insentif untuk pekerja mahir kekal di Malaysia. |
Matlamat Utama:
- Mengurangkan underemployment graduan.
- Menyelaraskan pendidikan dengan keperluan pasaran.
- Meningkatkan daya saing modal insan negara.
- Menjamin pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi.
Kesimpulan
Isu enam graduan berebut satu kerja mahir bukan lagi statistik yang perlu dibaca dengan nada biasa. Ia adalah jeritan senyap generasi muda yang semakin terhimpit dalam sistem yang gagal berubah mengikut zaman.
Mereka belajar bertahun-tahun, menanggung hutang PTPTN, menggalas harapan ibu bapa, tapi akhirnya, ramai terpaksa menerima pekerjaan yang langsung tidak setimpal dengan kelulusan, malah ada yang bergaji bawah RM2,000. Lebih menyakitkan, sistem terus bergerak seperti biasa, seolah-olah ini semua normal.
Sampai bila kita nak biarkan perkara ini berlarutan?
Ini bukan soal tukar kerajaan semata-mata. Ini soal keberanian untuk merombak sistem dari pendidikan hingga peluang pekerjaan. Kalau kita tidak segera ubah dasar, struktur dan cara fikir, Malaysia bukan saja akan kehilangan graduan mahir, tetapi juga masa depan yang sepatutnya lebih cerah.
Anak muda Malaysia bukan malas. Mereka rajin, kreatif dan sanggup bekerja keras. Tapi kalau sistem terus berat sebelah dan tidak mesra generasi baharu, maka jangan salahkan mereka jika akhirnya mereka mencari rezeki di negara lain.
Sudah tiba masanya kita berhenti menormalisasikan ketidakadilan ini. Negara ini tidak akan ke mana kalau bakatnya terus terbuang. Bangkit Anak Muda….!!!
Rujukan
Abdul Aziz, M. (2024, November 5). Enam graduan rebut satu jawatan kemahiran tinggi. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1325351/enam-graduan-rebut-satu-jawatan-kemahiran-tinggi