Di sebuah kampung bernama Kampung Batu Basah, hiduplah sepasang suami isteri, Awang Siri dan Cik Timah Kurier. Mereka sudah tujuh tahun berkahwin dan dikurniakan dua orang anak yang sangat comel iaitu Tino dan Tina.

Pada awalnya, hidup mereka ibarat filem P. Ramlee, penuh gelak ketawa, walaupun rumah kecil dan lauk kadang-kadang cuma ikan bilis goreng. Awang Siri bekerja sendiri, kadang jual air tebu, kadang jual cendol, kadang jual angin (sebab tak semua jadi). Sementara itu, Cik Timah pula baru dapat kerja sebagai penghantar barang, naik motor kapcai merah keliling kampung dan bandar.

Namun, sejak Cik Timah kerja dan ada gaji tetap, hujan mula turun dalam rumah tangga mereka. Awang Siri makin jarang belanja dapur, katanya “ehhh, Timah gaji dah masuk, aku pulak nak minta, tak malu ke?”. Timah pula stress, susu anak pun kadang-kadang dia kena beli sendiri.

Yang peliknya, Awang Siri jadi makin cemburu buta. Setiap hari dia skodeng Timah kat tempat kerja, sampai sanggup pergi jumpa ketua Timah dan kata:

“Tolonglah pecat Timah… dia kerja ramai lelaki, hati saya panas!”

Ketua kurier tu pun geleng kepala…”ni syarikat kurier, bukan taman bunga.”

Timah makin lama makin penat mental dan fizikal. Bayangkan, baru lepas bersalin dua minggu, dah kena naik motor buat delivery sebab duit tak cukup. Sekali, Awang Siri tolak Timah jatuh depan anak-anak—anak pun trauma, jiran-jiran pun mula berbisik.

Sampai satu hari, Ustazah Nini (jiran sebelah) datang bawa nasi lemak. Dia cakap:

“Timah… kadang-kadang kita bukan nak lawan suami, tapi kalau dah jatuh maruah dan tubuh kita ditolak sampai luka, itu bukan rumahtangga… itu rumahtangga ‘tangga hancur’.”

Timah akhirnya buat keputusan besar: nak berpisah.

Di belah Awang Siri pula, dia rasa dia yang paling banyak berjasa.

“Aku jaga anak, aku masak nasi, aku jaga rumah… tapi Timah makin jauh. Lepas kerja kurier ni, dia makin ego. Dah tak cium tangan aku pun!”

Mak Awang Siri dari Sarawak sanggup datang Aidilfitri, konon nak damai, tapi Timah tak buka pintu pun. Katanya:

“Saya buka pintu rumah, bukan hati.”

Wakil dari keluarga Awang Siri mulanya marah sangat pada Timah. Tapi bila diselidik, rupanya Timah pun bukan sebaik yang disangka. Kuat merokok, marah anak, dan suka berbohong tentang hal-hal kecil. “Saya kerja kuat!” katanya, tapi banyak masa lepak sambil ‘scroll’ TikTok.

Akhirnya, jawatankuasa kampung pun panggil dua-dua pihak. TokOne jadi pengerusi.

“Kita dah cuba. Dah nasihat. Dah pujuk. Tapi kalau hidup tu jadi medan perbalahan, lebih baik masing-masing cari jalan baru. Allah tak suruh kita duduk dalam derita. Tapi anak-anak jangan dilupa.”

Pengajaran

-Bahagia bukan bila rumah besar dan gaji banyak, tapi bila hati saling memahami dan menghormati.

-Cemburu perlu berpada, jangan sampai cemburu jadi penyakit.

-Perempuan pun manusia, bukan robot. Baru lepas bersalin pun perlukan rehat, bukan disuruh buat kerja macam tak ada hati perut.

-Lelaki pun perlu muhasabah, nafkah itu bukan “pilihan”, tapi tanggungjawab.

-Anak-anak jadi mangsa bila ibu bapa hanya fikir ego masing-masing.

Akhir Cerita

Cik Timah sekarang bahagia tinggal bersama anak-anak, jual kuih online dan kadang-kadang masih hantar barang naik motor. Awang Siri pula… entah ke mana. Tapi khabarnya dia jadi content creator TikTok, buat video motivasi sambil minum air kelapa.

Bersambung……

By Abu Zeckry

Zeckry.net merupakan sebuah platform penyelidikan dan jaringan ilmiah yang berperanan sebagai Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) dalam bidang Sains Sosial Islam. Berasaskan keperluan kepada pendekatan yang lebih berakar pada warisan keilmuan Melayu-Islam dan responsif terhadap cabaran kontemporari, Zeckry.net menghimpunkan penyelidik, penulis, dan pemikir dari seluruh Alam Melayu. Zeckry.net bukan sekadar laman web. Tetapi sebagai ekosistem penyelidikan, pemikiran, dan penerbitan yang memperjuangkan pendekatan Islamik dalam sains sosial yang kontekstual dan membumi di rantau ini. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.