Buku yang berjudul Amalan Masjid Alam Melayu Siri 1 : Terjemahan dan Tahqiq Wirid Seusai Solat tahun 2022 ditulis oleh Mohd Syukri Yeoh Abdullah, Arief Salleh Roman dan Md Zuraini Mashrom mempunyai empat (4) bab iaitu pemerihal zikir dalam kehidupan manusia, Ijtihad Tarbiyah Ruhiyyah, Riwayat hidup penyusun wirid selepas solat dan terjemahan dan tahqiq wirid seusai solat. Matlamat penulisan ini adalah untuk melihat bagi melihat asal usul, sejarah, sanad, kaifiat pengamalannya, terjemahannya dan tahqiq (penelitian) dalil dan nas.
Lantaran itu, mengajak umat Islam memahami amalan zikir bersanad yang memfokuskan kepada wirid seusai solat yang diamalkan pada setiap selepas solat fardhu. Oleh yang demikian, buku ini hasil daripada penyelidikan dan penelitian terhadap manuskrip-manuskrip Alam Melayu serta kitab turath Arab untuk memberi penjelasan tentang amalan wirid seusai solat berbahasa Melayu secara bersanad.
Tuntasnya, penulisan yang dikemukakan oleh penulis tersebut, dapat membuktikan bahawa wirid selepas solat memiliki jaluran sanad atau silsilah yang diwarisi sehingga sampai kepada Nabi S.A.W. Justeru, amalan sekian lama yang dilakukan oleh mereka terdahulu meyakinkan generasi terkemudian berdasarkan nas-nas sahih yang dikemukakan. Buku ini memenuhi tuntutan untuk mendidik umat Islam daripada kelalaian kepada mengingati Allah SWT sebagai pembentukan dan kekuatan rohani yang lebih kukuh. Maka, tuntutan dalam buku ini juga menjadi panduan melakukan perkara-perkara yang disukai Allah SWT sebagai hubungan-Nya dan hubungan sesama manusia sebagai aktiviti sosial bagi mengeratkan silaturrahim umat Islam di seluruh alam Melayu.
Biodata Penulis
Buku Amalan Masjid Alam Melayu Siri 1 : Terjemahan dan Tahqiq Wirid Seusai Solat ini ditulis secara kumpulan yang terdiri tiga orang penulis iaitu:
1. Prof. Madya Dr. Mohd Syukri Yeoh Abdullah (Felo Penyelidik Kanan) di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau berkepakaran dalam bidang Sejarah Pemikiran Dakwah Alam Melayu, Tarekat Rohani Alam Melayu dan Manuskrip Alam Melayu. Maka, beliau menumpukan kepada penyelidikan pemikiran tokoh dan dakwah, ulama dan tarekat rohani dan manuskrip Ahlilah Alam Melayu. Beliau juga penerima Anugerah Khas Maal Hijrah Daerah Seremban pada 2019, Pengerusi Yayasan Sirat al-Mustaqim dan tiga Ijazah Mursyid Tarekat Shattariyyah. Di antara penulisan lain beliau seperti berjudul Bunga Rampai Alam Melayu. Siri 1. (2019), Pesan Shaykh Ahmad al-Qushashi Dalamal-Durrah al-Taminah (2015), Permata Berharga untuk Para Pengunjunga Madinah al-Munawarah (2018).
2. Prof. Arieff Salleh Rosman adalah anak kelahiran di Kota Tinggi, Johor merupakan Profesor di Akedemi Temadun Islam dan Penyelidik Kanan Perundangan Islam dan Kefatwaan, Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFIRST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor. Memiliki kepakaran dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh. Beliau aktif dalam bidang penulisan dan telah menerbitkan buku, kertas kerja seminar, kertas kerja kursus motivasi dan artikel majalah. Di antaranya buku berjudul Murtad menurut Perundangan Islam dan Harta intelektual menurut Fiqh Islam yang diterbitkan oleh Penerbit UTM, buku Panduan Solat Jamak Qasar yang diterbitkan oleh Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial UTM. Buku Membentuk Jati Diri Remaja dan Remaja sukses yang diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors.; dan
3. Dr. Md Zuraini Mashrom merupakan pensyarah di Pusat Kecemerlangan Pedagogi Bahasa Arab di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam yang mempunyai kepakaran dalam bidang Pedagogi Bahasa Arab dan Pendidikan Rohani. Di antara penulisan lain seperti buku berjudul Tarekat Shattariyyah Alam Melayu, Disiplin Ilmu Tarekat Rogani Berasaskan Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Amalan Masjid Alam Melayu Siri 3: Hizb Al-Wiqayah.
Berdasarkan latar belakang penulis, ternyata mereka memiliki kemahiran dan kepakaran dalam perbahasan amalan kerohanian iaitu amalan wirid seusai solat yang diselidiki daripada manuskrip Umdat al-Muhtajin dan kitab turath berbahasa arab bagi mengembangkan ilmu dari aspek asal usul amalan tersebut dengan mentahqiq dalil (al-Quran) dan nas (al-Hadith). Saya percaya bahawa buku ini telah diolah dan disampaikan hasil kolaborasi mereka yang mahir dalam bahasa arab dan sejarah serta sudut pandang sehingga memberikan input yang relevan dan diyakini. Tambahan pula, kajian seperti ini tidak pernah diketengahkan oleh para Ulama Alam Melayu terdahulu dan sekarang.
Ringkasan isi-isi utama
Pada bab 1, buku ini membicarakan pemerihalan zikir dalam kehidupan manusia yang menekankan konsep zikir yang harus difahami berdasarkan sumber utama iaitu al-Quran dan mentahqiq dengan al-Hadith dan pandangan ulama seperti Imam An-Nawawi bagi menjelaskan makna zikir (ingat). Perbahasan kaedah lafaz (sebutan) adalah luas yang meliputi pelbagai bentuk seperti lafaz Hauqalah, Hamdalah, Basmalah, Tahmid, Tahlil, Ta`awwuz, Istighfar, Takbir, Taqdis dan Hasballah berdasarkan nas al-Quran dan petunjuk daripada hadith S.A.W. Kemudian, penulis tersebut membincangkan dari aspek latihan yang merupakan pengamalan zikir tersebut yang dirumuskan daripada kitab Jawahir Khamsah. Terdapat enam jenis zikrullah yang dijelaskan iaitu zikir fi`li (perbuatan), lisan (sebutan), Sirr, Qalb, Anfas dan Istila`.
Bab ini bertujuan untuk menjelaskan dan membuka kefahaman pembaca mengenai maksud zikir dan kaedah implementasi zikirullah dalam kehidupan. Oleh itu, penjelasan ini adalah penting agar pintu-pintu pertengkaran dan pergaduhan dalam kalangan umat Islam dan menjadikan mereka sentiasa dalam keadaan berpecah belah kerana permuafakatan dalam mendefinisikan makna-makna kalimah atau perkataan zikir dapat fahami dengan jelas. Cuma, dari segi perlaksanaan dan kaedah pengamalan yang sering menjadi perselisihan dalam masyarakat Islam sehingga menimbulkan bida`ah dan fitnah dalam sesetengah masyarakat disebabkan menyempitkan dalam memahami tema zikir dari segi pengalaman.
Maka, penulis telah menjelaskan tema zikir bersesuaian dengan dalil dan nas yang dikemukakan mengikut struktur ilmiah yang ditahqiqkan agar amalam seperti wirid selepas solat, bacaan Yasin, tahlil dan al-Manzil (Hirs) yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Alam Melayu sekian lama memiliki sandaran yang jelas. Hal ini kerana sebahagian awrad Qushashiyyah yang disusun oleh seorang ulama mujtahid tarbiyah ruhiyyah iaitu Shykh Ahmad al-Qushashi dan diamalkan oleh jumhur ulam Haramyn pada zaman itu.
Kemudian, dalam bab 2 pula, bertujuan untuk menjelaskan riwayat hidup penyusun wirid selepas solat iaitu Shaykh Ahmad al-Qushashi yang telah berjaya meninggalkan jasanya yang besar dan penting dalam perkembangan Islam pada abad ke-17 dan abad seterusnya. Pengorbanan masa, tenaga dan harta dalam dakwahnya dan pelbagai disiplin ilmu agama lebih daripada 100 ulama terkemuka di Hijaz sehingga beliau muncul sebagai ulama tersohor pada zamannya dan mendapat pengiktirafan yang tinggi khususnya tareka rohani. Akhirnya, jasa dan pengorbanannya tersebar di Alam Melayu yang membuktikan bahawa beliau adalah tokoh alim pendakwah yang berusaha gigih untuk menyebarkan Islam.
Berdasarkan riwayat hidup penyusun wirid tersebut untuk membuktikan dan mengukuhkan kayakinan bahawa amalan yang dibawa dan diajarkan telah menjadi jatidiri amalan masyarakat Alam Melayu adalah mempunyai sanad atau silasilah daripada Rasulullah S.A.W. Bab ini disusun dengan ketelitian oleh penulis untuk menyatakan bahawa Shaykh Ahmad al-Qushashi adalah tokoh yang memiliki disiplin ilmu agama yang terkenal dalam kalangan pencinta-pencinta ilmu yang terdiri daripada pelbagai lapisan sama ada orang biasa, pembesar atau tokoh-tokoh ulama di bumi Hijaz. Maka, bab ini disusun mengikuti kronologi beliau sebelum, semasa dan selepas dalam penyebaran dakwahnya.
Bab terakhir iaitu wirid seusai solat merupakan kemuncak perbincangan wirid yang telah disusun oleh Shaykh Ahmad al-Qushashi dan diperturunkan kepada Shaykh Abdul Rauf Singkil, seterusnya tersebar ke seluruh alam Melayu. Amalan ini adalah setanding dengan wirid daripada sebahagaian amalan tarekat Shattariyyah. Hal ini kerana, dalam manuskrip Umdat al-Muhtaqin Ila Suluk Masluk al-Muffdin yang disebut oleh Shaykh Abdul Rauf Singkil dikenali seabgai awrad Madinah dan awrad Haramyn pada zamannya yang menjadi amalan dalam kehidupan seharian masyarakat pada abad ke-17M. Amalan awrad ini telah menjadi amalan masyarakat seluruh alam Melayu yang berpengaruh terhadap para ulama Melayu yang belajar di sana dan membawa pulang daripada Haramyn (Mekah dan Madinah) ke Alam Melayu sehingga kini. Dalam bab ini penulis membentangkan wirid-wirid, doa selepas solat, doa hajat, doa tahlil dan doa tolak bala dalam teks bahasa arab, kemudian ditahqiqkan dengan dalil dan nas, disamping diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang bertujuan untuk memudahkan pengamalan umat Islam di Malaysia. Oleh yang demikian, amalan tersebut turut diwarisi oleh penulis yang secara bersanad daripada Abu Dahlan al-Fayrusi al-Baghdady yang meninggal dunia pada 2007M.
Secara keseluruhan daripada bab-bab yang dibincangkan oleh penulis untuk mengukuhkan pembuktian berdasarkan dalil, nas dan athar daripada sahabat, tabi` dan tabiin bahawa wirid yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia dari dulu sehingga ke generasi ke sekarang mempunyai punca pertalian daripada Rasulullah S.A.W yang wajar diamalkan dengan tekun dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kesucian rohani dan hati agar sentiasa dengan Allah S.W.T dalam kehidupan mereka dengan mengingatiNya.
Kekuatan dan kelemahan penulisan
Kekuatan penulisan ini dengan menjelaskan definisi zikir, gaya dan struktur yang menarik dan jelas yang disusun dengan dalil (al-Quran), nas (al-Hadith) dan athar-athar sahabat serta pandangan-pandangan ulama terdahulu untuk menyampakan maksud zikirullah dan kaedah pengalamannya. Selain itu, kekuatan penulisan ini mempunyai gaya penghujahan yang menarik untuk menangkis secara ilmiah dengan perbincangan ulama terdahulu untuk memberi kefahaman dalam konteks zikrullah seperti wirid selepas solat, bacaan Yasin, tahlil dan al-Manzil (Hirs) yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Alam Melayu. Penulisan ini berstruktur dari sudut penyusunannya yang membolehkan kita menelaah dalil dan hujahan ulama sebelum ini yang konsisten. Penulisan ini termasuk dalam sumber sekunder iaitu sumber maklumat yang terhasil daripada intepretasi seseorang terhadap sumber primer yang dapat dikenal pasti seperti maklumatnya bukan mengenai pengetahuan yang baharu, hasil analisis, sintesi, penilaian atau tafsiran daripada maklumat lain, petikan daripada sesuatu sumber dan maklumatnya terjemahan daripada manuskrip bertulisan tangan dan bahan-bahan dari kitab-kitab berbahasa arab. Oleh yang demikian, penulis telah membuktikan bahawa umat Islam sejak dahulu lagi, memiliki amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T yang diambil secara bersalasilah yang sampai kepada amalan yang Rasulullah S.A.W amalkan.
Di samping itu, kekuatan penulisan ini membolehkan dijadikan sumber yang boleh dipercayai sebagai bahan ilmiah dan rujukan utama kerana ditulis oleh penulis-penulis yang pakar dalam bidang dakwah, tamadun Melayu dan tarekat rohani. Menurut Neuman (2011) sumber merupakan bahan-bahan ilmiah yang ditulis oleh individu yang pakar dalam bidang berkenaan salah satunya buku yang merupakan bahan ilmiah yang boleh dijadikan rujukan utama. Tambahan pula, buku ini dibincangkan secara meluas dalam konteks bidang tasawwuf dan tarekah rohani iaitu daripada aspek dakwah dan amalan yang umum kepada yang khusus. Pada pandangan saya, dengan merujuk hasil tulisan mereka, saya dapat mengenal pasti penyelidikan tersebut adalah mereka yang berkemahiran dalam bidangnya dalam akademik dalam membahaskan mengenai tarekat kerohanian terutama amalan yang berkaitan dengan masyarakat umum seperti amalan wirid seusai solat.
Manakala, kekurangan penulisan ini pula, penulis tidak mengaitkan tasawwuf dengan tarekat rohani secara terperinci. Di samping itu, menjelaskan dakwaan terhadap idea tasawwuf yang masuk ke Nusantara mengandungi elemen pengaruh Syiah sehingga sesetengah masyarakat di alam Melayu tidak dapat menerima amalan-amalan tarekat, tasawuf dan wirid-wirid. Menurut Wan Haslan Khairuddin et al. (2020), beberapa sarjana cuba menjelaskan bahawa aliran Islam yang terawal diterima oleh masyarakat melayu di Alam Melayu adalah fahaman Syiah sebelum dikuasai oleh aliran teologi Asya`irah bermazhab Syafie. Kenyataan tersebut telah cuba dinafikan oleh beberapa sarjana yang menganggap bahawa Syiah tidak memiliki pengaruh teologi selain hanya telah bercampur aduk dengan budaya Arab-Parsi yang telah meresap dalam pemikiran tasawuf Sunni dan sastera Melayu klasik. Namun, terdapat teori yang menolak kewujudan fahaman Syiah secara ideologi agama dan kuasa politik sekaligus menyatakan Sunni merupakan aliran pertama yang tiba ke Indonesia (Alam Melayu) dan terus menerus menjadi pegangan majoriti masyarakat sehingga hari ini.
Secara keseluruhan, penulisan buku tersebut adalah bermanfaat untuk membuka kefahaman dan mengukuhkan keyakinan masyarakat Melayu bahawa amalan yang mereka lakukan dan diwarisi selama ini adalah amalan ahli sunnah wal jamaah yang berasal daripada Haramyn (Mekah dan Madinah) dan penulis telah mengaplikasikan kaedah fiqhiyyah iaitu asal sesuatu itu diharuskan (diperbolehkan) sehingga terdapat dalil yang menunjukkan ianya haram. Kaedah tersebut sangat relevan untuk memurnikan kefahaman dan memandang seorang terhadap amalan wirid seusai solat. Begitu juga, amalan-amalan tarekah rohani yang diperakui sahih yang telah meresap masuk ke alam Melayu, yang berasal daripada Haramyn untuk mendidik hati manusia untuk mentaati dan mengingati Allah S.W.T setiap masa dalam kehidupan mereka dan salah satu modul ke arah pembentukan akhlak muslim.
Menurut Abdul Hayei Abdul Sukor (2003), memperbaharui atau mentajdidkan agama, tidak bermakna membawa sesuatu yang baru, tetapi maksudnya ajaran Islam yang sedia ada diberi pendekatan yang baru, sesuai dengan zaman dan waktu yang berubah-ubah. Konsep tajdid diibaratkan baik pulih sebuah rumah lama dengan cara yang terbaik dan kini rumah itu dicat dan diberi warna baru supaya kelihatan lebih menarik dan menawan hati lebih ramai orang. Oleh yang demikian, konsep tajdid sebagai dakwah kerana Allah untuk menghidupkan sunnah dan mengikis bid`ah sayyiah dengan berhikmah dan mau`izah hasanah serta saintifik. Oleh kerana itu, tujuan ulama-ulama terdahulu berdakwah kerana Allah dengan segala kepatuhan dan ketaaan kepada syariat Allah dari pelembagaan yang termaktub di dalam al-Quran mahu pun bersumber dari sunnah rasulNya.
Walau bagaimanapun, penulisan ini boleh tambah baik dari aspek idea, pendekatan penyelidikan, implikasi, teori dan rangka kajian serta reka bentuk kajian seperti kaedah kuantitatif untuk mendapatkan data di lapangan yang lebih meluas untuk mendapatkan tahap kefahaman masyarakat awam dalam konteks zikrullah kerana sering belaku perselisihan dalam kalangan masyarakat kini di antara perkara sunnah dan bid`ah, sedangkan nas sahih tetapi kefahaman yang sering mengelirukan disebabkan kejahilan. Misalnya mengenai Hadith yang biasa kita dengar iaitu telah meriwayatkan kepada kami oleh Abu Ja`far Muhammad Bin As-Sobah dan Abdullah Bin A`un al-Hilali kesemuanya daripada Ibrahim Bin Sa`d. Berkatalah Ibnu Sobah, telah meriwayatkan kepada kami oleh Ibrahim Bin Sa`ad Bin Ibrahim Bin Abdur Rahman Bin Auf, telah meriwayatkan kepada kami oleh bapaku daripada al-Qasim Bin Muhammad daripada:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: قَالَﷺ : مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya:
Dari Saidatina A`isyah bahawa beliau berkata, sabda Rasulullah ﷺ : Sesiapa yang melakukan perkara baharu yang diada-adakan (direka-reka) dalam urusan agama kami ini, perkara yang bukanlah mempunyai asal daripada, maka ia adalah ditolak.
Berdasarkan di atas, telah disalah ertikan sesetengah pihak untuk menjadikan umat Islam menjadi hilang punca dan pemahaman yang bercelaru apabila maklumat disampaikan tidak meneliti dengan sempurna, seolah-olah telah mengheretkan dan mengeluarkan umat Islam di zaman teknologi digital kepada zaman batu. Setiap orang menilai segala perkara dan benda pada zaman ini sebagai bid`ah. Kita menjadi semakin sukar dengan menghuraikan segala perkara sesuka hati. Oleh itu, perbincangan yang hilang definisi dan konsep bid`ah, sedangkan definisi adalah penting untuk kita qiaskan (timbangkan) segala-galanya, apabila jahil tentang ta`rif hilanglah segala kaedah dan neraca. Perkataan Bid`ah (بِدْعَةٌ ) merupakan perkataan dari bahasa Arab yang berasal dari kalimah “بدع “ yang bermaksud mereka, mencipta, mengeluarkan[1].
Ibn Manzur dalam Lisan al-‘Arab mendefinisikan perkataan tersebut iaitu:
بدَع الشيءَ يَبْدَعُه بَدْعاً وابْتَدَعَه: أَنشأَه وبدأَه.
Dalam mazhab Syafie pula, bid`ah bermaksud segala sesuatu perkara baru dalam agama bukan dalam kehidupan seharian yang meluaskan dan merangkumi sama ada bid`ah baik atau bid`ah buruk.
Sesetengah mazhab lain, menyempitkan bid`ah itu kepada perkara ibadah yang khusus sahaja. Manakala, al-Qardhawi membahagikan bid`ah mengikut hukum ada yang dinamakan bid`ah mughalazah, mukhaffah, bid`ah haram, harus atau syirik. Tetapi, pada sudut terminologi, terdapat perbahasan yang panjang di antara fuqaha’ dalam menentukan takrifan bid`ah. Secara amnya takrifan bid`ah dari sudut terminologi terbahagi kepada tiga kefahaman iaitu:
i- Kefahaman yang mentafsirkan bid`ah kepada dua iaitu hasanah (baik) dan dalalah (sesat).
ii- Mereka yang memahami bid`ah dengan mentafsirkannya kepada setiap perkara baharu yang berlaku dalam urusan agama selepas zaman Rasulullah ﷺ, termasuk di dalam batasannya perkara yang kelihatan baik secara zahirnya mahupun jelas keburukannya dan kedua-duanya merupakan perkara yang dilarang dan ditegah dalam agama.
iii- Kefahaman yang mentafsirkan bid`ah kepada setiap perkara baharu yang bercanggah dengan hukum syarak yang menatijahkan ianya sebagai perkara yang terkeji.
Perbincangan Muammar Ghaddafi Hanafiah, (2019) dalam jurnal bertajuk Isu Membidaahkan Amalan Masyarakat Melayu: Analisis Wacana Media Massa telah menyatakan bahawa isu membid`ahkan amalan masyarakat Melayu boleh mengancam perpaduan umat Islam. Meskipun kerajaan Malaysia telah mewartakan fatwa untuk menjaga keharmonian. Namun, masalah ini belum dapat dibendung dan dihapuskan dalam pemikiran umat Islam di Malaysia khususnya. Sehubungan itu, kajian tersebut dilakukan bagi menganalisis isu membid`ahkan amalan masyarakat Melayu menerusi wacana media massa. Hasil kajian tersebut, menunjukkan terdapat enam perspektif yang perlu diberi perhatian dalam isu membid`ahkan amalan masyarakat Melayu, iaitu konsep bid`ah yang tidak jelas atau belum dapat diterima oleh sebahagian masyarakat.
Kekeliruan masyarakat antara persoalan bid`ah dan khilafiah (perselisihan pandangan), kelemahan memahami konsep sunnah yang sebenar, kekaburan menyentuh konsep difusi antara agama dan budaya, kebimbangan masyarakat terhadap sifat taksub sesetengah pihak dengan kefahaman yang dipegangnya tentang bid`ah dan kerisauan masyarakat terhadap sifat ekstrem pada sesetengah pihak yang keras menentang pihak yang dianggapnya ahli bid`ah.
Saya berpandangan, konsep bid`ah berdasarkan kepada nukilan daripada Muhammad Mudarris Nadzir (2006) dan Mohd Fadhil (2011) menukilkan daripada Al-Arif Billah As-Syeikh Mukhtar Ali ad-Dasuqi :
البِدْعَةُ هِيَ إِطْلَاقُ مَا قَيَّدَهُ اللهُ وَرَسُولُهُ أَوْ تَقْيِيْدُ مَا أَطْلَقَهُ اللهُ وَرَسُولُهُ
Maksudnya: Bid`ah ialah meluaskan apa yang telah dihadkan atau ditentukan oleh Allah S.W.T dan Rasulnya atau membataskan(menyempitkan) apa yang telah diluaskan oleh Allah dan RasulNya.[2]
Dalam memahami makna bid`ah yang digagaskan daripada perkataan مُحْدَثَة Muhdasah (perkara baru yang belum ada dijumpai sebelum ini). Berdasarkan kepada Hadith:
عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي، وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ،
فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
Maksudnya: Hendaklah kamu berpegang teguh terhadap sunnahku dan sunnah Khulafa` Ar-Rasyidin yang mendapatkan petunjuk, gigitlah (genggamlah dengan kuat) dengan geraham. Hendaklah kalian menghindari perkara yang diada-adakan, kerana semua perkara bid`ah adalah sesat.[3]
Adakah kebaharuan ini boleh menjadi tercela? Jika tidak, kenapa harus dikatakan bid`ah dan terus dengan pukulan dalalah (kesesatan). Kekeliruan penyingkapan atas tema bid`ah tersebut menyebabkan kekhilafan kita memahami nas (teks) pada Hadith:
عنْ عَائِشَةَ ، قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
“Maksudnya: Sesiapa menciptakan dalam urusan atau perkaraku ini sesuatu yang tidak berasal darinya, maka tertolak[4].
Hadith tersebut sangat dipercayai sebagai petunjuk kepada muhdasah dan bid`ah kerana dari penelitian Hadith tersebut menerbitkan hukum bahawa pembaharuan yang tertolak adalah produk atau keluaran yang bukan hasil istinbat[5] atau bertentangan dengan syarak dan dengan dalil مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ (sesuatu yang bukan berasal daripadanya, maka tertolak).
Sedangkan makna disebaliknya, bahawa bentuk ‘kebaharuan’ yang merupakan istinbat, maka dikategorikan sebagai keadaan yang islami مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ مقبول (sesuatu yang bukan berasal daripadanya, maka diterima).
Maka tidak semua bid`ah adalah tercela, sebagaimana tidak semua muhdasah dihukumkan buruk dalam kaca mata agama sehingga membezakan antara bid`ah hasanah (baik) dan bid`ah sayyi`ah (buruk). Misalnya, al-khamru (minuman keras) dan zabib (kismis). Kedua-duanya adalah muhdasah yang diperbuat daripada buah anggur. Namun, minuman keras menjadi bid`ah sayyiah yang haram, sedangkan kismis termasuk sebagai bid`ah hasanah yang halal sehinggakan bid`ah tersebut menjadi tradisi dan terus berkembang, maka hukumnya menjadi sunnah hasanah. Sebaliknya minuman keras(arak)bersumber daripada bid`ah sayyi`ah. Maka, definisi bid`ah sayyi`ah dalam hal ibadah dikonsepkan sebagai bentuk “meluaskan” apa yang “disempitkan oleh Allah dan Rasulullah S.A.W seperti menambah rakaat dalam solat, mengubah waktu perlaksanaan ibadah haji yang merupakan contoh kecil bid`ah sayyiah.
Adapun pengamalan berzikir berjemaah, bacaan surah yasin malam jumaat, berselawat atau berzanji, maulidur rasul, amalan wirid selepas solat dan sesetengah amalan adat orang melayu adalah dibolehkan kerana tidak termasuk dalam لَيْسَ مِنْهُ (bukan daripadanya) dan tidak terdapat nas yang mengharamkannya. Hal ini sesuai berdasarkan kaedah fiqh iaitu “hukum asal sesuatu adat adalah harus” sebagaimana dinukilkan oleh al-`Allamah Syeikh Abdul Rahman Nasir al-Sa`diy (Az-Zeckry, 2021).
وَالْأَصْلُ فِى عَادَاتِنَا فِى الإِبَاحَةِ حَتَّى يَجِئَ صَارِفُ الإِبَاحَة
Maksudnya: “Dan asal bagi adat-adat kita ialah harus, sehingga datangnya sesuatu yang mengubah keharusan itu”
Ini menjelaskan bahawa hukum asal sesuatu adat kebiasaan seharian kita ialah harus selagi mana tidak ada dalil syara` yang mengubah hukum asal tersebut kepada wajib, sunat, haram atau makruh. Asas ini menunjukkan agama merangkumi semua aspek kehidupan, bukan sekadar terhenti di masjid atau surau, solat, puasa dan haji sahaja termasuk amalan wirid seusai solat.
Kesimpulannya, perbincangan pada buku Amalan Masjid Alam Melayu, Terjemahan dan Tahqiq seusai solat telah menjelaskan kepada kita bahawa peranan penulis untuk mengembangkan ilmu dan dakwah yang telah mengorbankan masa dan tenaga semata-mata untuk membawa masyarakat yang lebih harmoni dan bersatu padu melalui amalan-amalan kerohonian ini dapat menyokong amalan-amalan zahir kerana amalan batin sering menjadi punca ke arah sifat-sifat mazmumah seperti iri hati, hasad, fitnah dan seumpamanya. Oleh itu, pendekatan yang dibawa dalam penulisan buku tersebut telah membuka kefahaman kepada kita mengenai sanad wirid yang dibawa dan diamalkan sekian lama, maka dapat menghakis kejahilan sesetengah umat Islam yang mendakwa amalan selepas solat adalah bid`ah. Justeru, saya menyokong agar sasaran buku ini diperluaskan untuk bacaan masyarakat awam dan dipromosikan dengan lebih efektif serta buku ini wajar menjadi rujukan oleh penceramah, guru takmir di surau dan masjid dan masyarakat umum.
[1] Osman Khalid et.al (2015) Mu`jam al-Arabi-al-Malayuwi al-Kabir : Kamus Besar, Arab-Melayu.Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
[2] Ad-Dasuqi, Mukhtar Ali. (2002). Al-Bid`ah wal Khid`ah, Akhbar Soutul Ummah, Bil.94 didapatkan dari http://lahzetnour.com/new/2010/07/14.
[3] Ibn Majah
[4] Al-Bukhari: 2697
[5] Kamus Dewan Edisi Keempat (2016), Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur hlm.592. Istinbat bermaksud: amalan mengeluarkan hukum atau keputusan berdasarkan al-Quran atau hadis tertentu.
Rujukan:
Al-Quran
Al-Hadith
Abu Muhammad Soulhiey Az-Zeckry. (2021). Analisis: Bid`ah dan Sunnah. Pulai Pinang: Al-Ahlam Resources.
Amalan Masjid Alam Melayu Siri 1: Terjemahan dan Tahqiq Wirid Seusai Solat. Bangi, Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2016). Kamus Dewan Edisi Keempat (4 ed.). Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Fadil Ariffin. (2009). Islam, Iman dan Ihsan. Kelantan: Pustaka al-Baqir.
Mohd Fadil, A. (2011). Sekelip Cahaya. Kota Bharu: Al Baqir Enterprise.
Mohd Syukri Yeoh Abdullah, Arieff Sallah Rosman, & Md Zuraini Mashrom. (2022)
Muammar Ghaddafi Hanafiah. (2019). Isu Membidaahkan Amalan Masyarakat Melayu: Analisis Wacana Media Massa (Accusations of Heresy Against the Practice of Malay Community: A Mass Media Discourse Analysis). Jurnal Komunikasi: Malaysian Journal of Communication,Universiti Kebangsaan Malaysia, 35(2), 68–86. https://doi.org/10.17576/JKMJC-2019-3502-05
Muhammad Mudarris Nadzir. (2006). Mengusik Keheningan Hakekat. Lajnah Ta`lif wa Nasyr Nahdlatul Ulama (LINU), (NUASA).
Sukor, Ab Hayei Ab. “Sumbangan Tok Kenali kepada gerakan tajdid islam di Kelantan.” Al-Bayan Journal of Al-Quran & al-Hadith 1 (2003): 1-26.