Kadang-kadang kita dengar orang kata, kalau tengah solat berjemaah dan tiba-tiba ada jemaah yang rebah atau pengsan, jangan batalkan solat sebab solat lebih penting daripada menyelamatkan nyawa.

Sebenarnya, kenyataan macam ini menunjukkan salah faham tentang Syariah dan juga maqasid Syariah.

Dalam Islam, nyawa manusia sangat berharga. Para ulama mazhab Syafie sendiri seperti Imam al-Ramli dalam Fath al-Rahman dan al-Izz dalam al-Qawaid menyebut bahawa harus bahkan wajib membatalkan solat untuk menyelamatkan nyawa yang maksum (nyawa yang dilindungi syarak seperti orang Islam).

Kenapa?

Sebab kalau nyawa hilang, ia tak boleh diganti. Tapi solat? Solat boleh diulang atau diqada. Malah, para ulama menyatakan jika seseorang benar-benar mampu menyelamatkan orang yang hampir mati tetapi dia tidak bertindak kerana mahu teruskan solat, dia berdosa.

Maksudnya, dalam keadaan darurat yang jelas, menyelamatkan nyawa lebih utama.

Dari sudut maqasid Syariah pula, ada yang keliru tentang bila agama didahulukan dan bila nyawa didahulukan.

Islam ada susunan keutamaan.

Kalau agama dalam bentuk besar dan umum terancam, contohnya musuh menyerang negara dan mahu menghancurkan Islam, ketika itu mempertahankan agama boleh didahulukan walaupun melibatkan nyawa.

Tetapi kalau agama dalam bentuk ibadah individu seperti solat atau puasa bertembung dengan situasi menyelamatkan nyawa seseorang, maka ketika itu nyawa didahulukan.

Ini bukan bermakna nyawa lebih mulia daripada agama.
Tetapi kerana menjaga nyawa juga sebahagian daripada tuntutan agama.

Kalau orang itu diselamatkan, dia masih boleh terus hidup dan beribadah.
Tetapi kalau dibiarkan mati, bukan sahaja nyawanya hilang, malah peluangnya untuk terus beribadah juga terputus.

Islam bukan agama yang keras tanpa pertimbangan.
Ia agama yang ada hikmah, ada susunan, ada keutamaan.

Jadi jika berlaku situasi seperti itu, jangan ragu untuk bertindak menyelamatkan nyawa. Itu juga ibadah.

Insya-Allah, penerangan lebih terperinci boleh dihuraikan lagi supaya kita semua lebih faham dan tidak tersalah dalam memahami hukum dan maqasid Syariah.

Fadzil, F. (2024, May 10). Membatalkan solat untuk menyelamatkan nyawa… [Status update]. Facebook. https://www.facebook.com/

By Abu Zeckry

Zeckry.net merupakan sebuah platform penyelidikan dan jaringan ilmiah yang berperanan sebagai Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) dalam bidang Sains Sosial Islam. Berasaskan keperluan kepada pendekatan yang lebih berakar pada warisan keilmuan Melayu-Islam dan responsif terhadap cabaran kontemporari, Zeckry.net menghimpunkan penyelidik, penulis, dan pemikir dari seluruh Alam Melayu. Zeckry.net bukan sekadar laman web. Tetapi sebagai ekosistem penyelidikan, pemikiran, dan penerbitan yang memperjuangkan pendekatan Islamik dalam sains sosial yang kontekstual dan membumi di rantau ini. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.