Apakah khunsa sama dengan pondan, mak nyah dan lelaki lembut?

Definisi khunsa

  • Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah menyatakan:
    • Dari segi bahasa: Yang tidak murni lelaki dan tidak juga murni wanita. Atau seseorang yang mempunyai semua yang ada pada lelaki dan semua yang ada pada wanita dari sudut kelembutan.
    • Dari segi istilah syarak: Mereka yang mempunyai dua alat kelamin, iaitu alat kelamin lelaki dan wanita, atau mereka yang tidak mempunyai kedua-dua alat kelamin berkenaan, tetapi mempunyai lubang untuk kencing.
    • Al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (bab mirats ‘ashobah) menyatakan, khunsa ialah mereka yang mempunyai kemaluan lelaki dan kemaluan wanita.
    • Menurut al-Imam al-Sayuthi, jika disebut lafaz ‘khunsa’ secara mutlak, ia bermaksud khunsa musykil.

Mukhannas (Lelaki Berperwatakan Wanita) Bukan Khunsa

  • Menurut Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah ini lagi, khunsa itu tidak sama dengan lelaki lembut atau lelaki yang berpewatakan wanita. Lelaki begini dinamakan sebagai mukhannas.
  • Mukhannas ialah lelaki yang menyerupai wanita lemah gemalainya, tutur katanya, cara melihatnya, pergerakannya dan seumpamanya.
  • Mukhannas bukanlah khunsa mereka adalah lelaki.
  • Terdapat hadis-hadis sahih dari Nabi s.a.w. yang melaknat mukhannas. Antaranya adalah riwayat al-Bukhari, Ahmad dan Abu Daud.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنَّثِينَ مِنْ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجِّلَاتِ مِنْ النِّسَاءِ

Terjemahan: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Nabi s.a.w. melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan perempuan yang menyerupai laki-laki (al-Bukhari)

  • Terdapat dua jenis mukhannas:
    • Pertama: Mereka yang asal kejadiannya adalah begitu, iaitu lembut, gemalai dengan gaya seperti wanita.
      • Golongan ini tidak berdosa dan tidak dilaknat.
  • Kedua: Mereka  yang asal kejadiannya bukan seperti wanita tetapi mereka meniru dan bergaya serta berlagak seperti wanita, termasuk gerak-gerinya dan tutur katanya.
    • Mereka inilah yang golongan yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w.

 Hukum-hakam Yang Berkaitan Dengan Jantina

  • Oleh kerana khunsa mempunyai dua alat kelamin atau tiada alat kelamin samasekali, jadi, apa status jantina mereka?
  • Menentukan apa jantina mereka sangat penting kerana ia membabitkan hukum-hakam Islam yang berkaitan dengan perbezaan jantina antara lelaki dan wanita. Bermula dari hukum-hakam taharah, solat, dan ibadah lainnya sehinggalah kepada hukum-hakam muamalah, faraidh, warisan, nikah kahwin dan jenayah.
  • Contohnya, solat berjamaah, seorang wanita boleh menjadi makmum kepada lelaki. Sebaliknya lelaki tidak boleh menjadi makmum kepada imam wanita. Kalau khunsa bagaimana?
  • Akan datang akan dijelaskan secara ringkas masalah-masalah hukum yang berkaitan dengan jantina.

Pembahagian Khunsa

  • Khunsa ada dua jenis, iaitu:
  1. Khunsa ghair musykil

Iaitu yang jelas jantinanya, samada lelaki atau wanita melalui beberapa tanda. Jika terdapat tanda bahawa dia adalah lelaki, maka dia adalah lelaki. Kalau ada tanda wanita, maka dia adalah wanita.

Golongan ini adalah lelaki atau wanita yang mempunyai anggota tubuh yang lebih.

Dari segi hukum-hakam yang berkaitan dengan jantina, maka mereka dihukum berdasarkan apa yang nyata dari tanda jantinanya.

  1. Khunsa musykil

Iaitu yang tidak jelas jantinanya. Tidak ada tanda-tanda untuk mengenal pasti jantinanya.

Khunsa musykil ini samada:

      i.        Mempunyai dua alat kelamin, lelaki dan wanita, namun tidak ada tanda-tanda alat kelaminnya cenderung kepada mana-mana jantina samada ke arah lelaki atau wanita.

     ii.        Tidak mempunyai alat kelamin samasekali. Yang ada hanyalah lubang untuk kencing.

Bagaimana Menentukan Jantina Khunsa?

  • Para fuqaha’ ada membahaskan persoalan ini di dalam kitab-kitab mereka. Mereka menyenaraikan beberapa cara untuk menentukan jantinanya.
  • Al-Imam al-Nawawi menyatakan bahawa jantina khunsa dapat dikenal pasti dengan melihat:
  1. Kencingnya melalui alat kelamin yang mana.
  2. Mengira jumlah tulang rusuk
  • Untuk menentukan jantina khunsa, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah membahagikannya kepada dua tahap:

Tahap 1: Sebelum baligh

  • Menurut jumhur ulama pada usia ini, pada tahap ini jantina ditentukan melalui kencingnya alat kelamin yang mana. Kalau alat kelamin lelaki, maka dia adalah lelaki, kalau alat kelamin wanita, maka dia adalah wanita.
  • Berikut ini beberapa masalah di sekitar penentuan melalui kencing:
    • § Bagaimana kalau khunsa itu kencing melalui kedua-dua alat kelaminnya?
    • § Menurut Ali, Muawiyah, Said bin Musayyib, Jabir bin Zaid dan ahli ilmu lainnya; jantina ditentukan dengan melihat kencing keluar melalui alat kelamin yang mana dahulu.
    • § Menurut ulama Malikiyah, Hanabilah, Abu Yusof, Muhammad dari kalangan Hanafiyah bahawa penentuan jantinanya berdasarkan kuantiti air kencingnya. Iaitu dengan melihat alat kelamin mana yang lebih banyak mengeluarkan air kencing. Kerana kuantitinya menunjukkan ciri jantinanya. Dan jika kuantitinya sama banyak, maka dia termasuk khunsa musykil.
    • § Namun sebahagian ulama Malikiyah berpendapat, bahawa yang dimaksudkan dengan kuantiti kencing di sini bukanlah dari sudut timbangannya. Ia bermaksud, jika dia kencing dua kali melalui faraj dan sekali melalui zakar, maka jantinanya adalah wanita. Sekalipun ketika itu, dari segi kuantiti timbangan yang keluar melalui zakar lebih banyak lagi.
    • § Di sana terdapat sebahagian fuqaha yang tidak bersetuju penentuan jantina dengan cara melihat kepada kuantiti air kencing. Kerana tidak hujah yang kukuh mendokongnya. Kuantiti keluar air kencing bukan disebabkan asli atau tidak alat kelamin berkenaan, tapi lebih kepada luas atau sempitnya saluran kencing.

Tahap 2: Selepas baligh

  • Berjanggut – Lelaki
  • Keluar mani melalui zakar – Lelaki
  • Hamil – Perempuan
  • Boleh menghamilkan perempuan – Lelaki
  • Mempunyai sifat berani dan sifat kepahlawanan – Lelaki
  • Mempunyai daya tahan terhadap musuh – Lelaki
  • Tumbuh payu dara – Perempuan
  • Keluar susu dari payu dara – Perempuan
  • Kedatangan haidh – Perempuan
  • Boleh disetubuhi – Perempuan
  • Dapat melahirkan – Perempuan
  • Keinginan khunsa ke arah mana-mana jantina dapat diguna pakai apabila tidak mampu mengesan tanda-tanda yang dinyatakan sebelum ini. Jika dia mempunyai keinginan terhadap lelaki, maka dia adalah perempuan. Kalau ke arah perempuan, maka dia adalah lelaki. Kalau keinginannya terhadap lelaki dan perempuan, maka dia adalah khunsa musykil.
  • Menurut al-Fiqh al-Manhaji, dengan perkembangan sains perubatan pada masa kini, menyebabkan kemungkinan khunsa musykil adalah minima. Ini kerana kecanggihan perubatan masa kini dapat menentukan status jantina khunsa.
  • Jika diandaikan perubatan moden gagal menentukan status jantina khunsa musykil, maka ia akan tetap kekal sebagai khunsa musykil.

Tulang Rusuk Hawa Dari Adam?

  • Tulang rusuk Hawa berasal dari Adam menyebabkan timbul kepercayaan bahawa kuantiti tulang rusuk lelaki tidak sama dengan wanita.
  • Sebenarnya tulang rusuk lelaki dan wanita adalah sama banyak, iaitu 24 (12 kanan dan 12 kiri)
  • Kisah yang popular bahawa hawa berasal dari tulang rusuk Adam adalah riwayat Israiliyat dan berlaku salah faham dalam memahami teks al-Quran dan al-Hadis. Ia lebih berbentuk perumpamaan, bukan sebenarnya.
  • Berlaku perselisihan pendapat mengenai apakah nas-nas syarak yang ada itu berbentuk hakikat atau hanya perumpamaan.
  • Bilangan cabang rusuk (ms.wikipedia.org/wiki/Sangkar_rusuk_manusia)
    • Jumlah bilangan cabang rusuk telah dicatatkan oleh ahli anatomi Flemish iaitu Vesalius dalam kerja kuncinya berkenaan dengan anatomi De humani corporis fabrica pada tahun 1543, dimana penemuannya tu telah mencetuskan gelombang kontroversi yang besar, berdasarkan catatan biblikal berkenaan kisah Adam dan Hawa, wanita diciptakan dari tulang rusuk kiri lelaki, sekaligus menyifatkan lelaki mempunyai satu cabang tulang rusuk yang hilang berbanding wanita, atau lebih tepat lelaki mempunyai 23 cabang rusuk, dan wanita ada 24 cabang rusuk. Namun dalam penemuan Vesalius, kedua-dua jantina biasanya mempunyai jumlah cabang rusuk yang sama iaitu 24 cabang rusuk. Variasi bilangan cabang rusuk telah pernah terjadi. Namun nisbahnya 1 dalam 200-500 orang sahaja yang mempunyai tambahan rusuk servikal, dan biasanya wanita mendominasinya. Intratorasik rusuk supernumerari biasanya jarang berlaku.

Hukum-hakam Berkaitan Khunsa Musykil

Kaedah umum dalam hukum-hakam berkaitan dengan khunsa musykil ialah dengan mengambil yang lebih berhati-hati dan lebih dipercayai dalam urusan agama.

  • Aurat
  • Batal atau tidak wudhuk dengan menyentuh kemaluan
  • Kewajiban mandi dengan ilaj tanpa inzal
  • Azan
  • Kedudukan saf solat jamaah
  • Imam solat jamaah
  • Haji dan ihram
  • Hukum memandang dan khalwat
  • Penyusuan
  • Iqrar
  • Kesaksian dan penghakiman
  • Qisas
  • Diyat
  • Aqilah dalam diyat
  • Qasaamah
  • Had qazaf
  • Khitan
  • Memakai perak dan sutera
  • Mandi mayat, kafan dan pengkebumian
  • Warisan

bolehkah jelaskan berkenaan dengan definisi khunsa dan hukum-hakam yang berkaitan dengannya serta apakah khunsa ini sama dengan transgender atau transeksual ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Khunsa dari sudut istilah para fuqaha ialah: Seseorang yang mempunyai dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan juga kemaluan perempuan. Ataupun seseorang yang tidak memiliki kedua-duanya dan dia mempunyai lubang yang keluar daripadanya air kencing. Rujuk Hasyiah Ibn Abidin (5/464), Nihayah al-Muhtaj (6/31).

Manakala khunsa menurut Kamus Dewan adalah: Orang yang mempunyai dua alat kelamin. Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat.

Merujuk kepada kitab-kitab para fuqaha, kita dapati bahawa mereka membahagikan khunsa kepada dua jenis :

  • Khunsa musykil: Seseorang yang tidak jelas tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan pada dirinya. Tidak dapat diketahui sama ada dia merupakan seorang lelaki atau perempuan. Khunsa musykil juga memiliki dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan kemaluan perempuan dan tidak dapat dipastikan keadaannya dari kedua jenis tersebut iaitu sama ada dia lelaki ataupun perempuan.
  • Khunsa ghayru musykil: Seseorang yang jelas padanya tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan. Dia dapat diketahui sama ada dia merupakan seorang lelaki ataupun perempuan. Individu seperti ini tidak dikategorikan sebagai khunsa musykil. Ini kerana dia merupakan seorang lelaki atau perempuan, tetapi dalam masa yang sama mempunyai anggota lebihan. Hukum untuknya dalam mirath (pembahagian harta pusaka) dan selainnya dari hukum-hakam adalah hukum terhadap apa-apa yang jelas dari tanda jantinanya. Sekiranya jelas tanda-tanda kelelakian, maka ke atasnya hukum-hakam seorang lelaki dan begitulah sebaliknya.

Dalam bidang perubatan, khunsa dikenali sebagai Disorder of Sex Development (DSD). Penemuannya lebih kompleks daripada perbahasan para ulama terdahulu.

Kaedah Menentukan Identiti Khunsa

Oleh yang demikian, terdapat beberapa faktor lain selain daripada kelainan fizikal alat kelamin seperti kromosom dan gonad (testis dan ovari) yang turut boleh digunakan untuk mengklasifikasikan seseorang itu sebagai khunsa.

Para fuqaha turut mengambil kira beberapa faktor selain perbezaan fizikal alat kelamin dalam menentukan identiti khunsa. Antaranya ialah faktor pertumbuhan bulu yang lebat pada tubuh badan, misai, janggut, suara yang lebih keras, dan seumpamanya, maka para fuqaha lebih kuat menyatakan dia adalah seorang lelaki. Jika sebaliknya, maka dia diklasifikasikan sebagai seorang perempuan.

Demikian juga para fuqaha menyatakan beberapa cara lain untuk mengenalpasti jantina khunsa. Di antaranya ialah kecenderungan perasaan kepada jantina berlainan. Sekiranya seorang khunsa itu kecenderungan perasaannya kepada seorang lelaki maka dia adalah perempuan dan jika kecenderungannya kepada perempuan maka dia adalah lelaki.

Perlu juga dijelaskan bahawa khunsa yang dimaksudkan di sini adalah khunsa musykil. Kata Al-Imam Al-Suyuthi Rahimahullah : Ketika digunakan perkataan khunsa di dalam feqah maka yang dimaksudkan dengannya adalah khunsa musykil. Rujuk Al-Asybaah wal Nazhair, Al-Suyuthi (1/202).

Imam Al-Nawawi Rahimahullah berkata: Khunsa itu ada dua jenis: Ada yang mempunyai faraj orang perempuan dan juga zakar orang lelaki. Manakala terdapat juga khunsa yang tidak memiliki satupun daripada keduanya (sama ada faraj atau zakar). Akan tetapi dia memiliki lubang yang keluar daripadanya sesuatu. Bagi golongan yang pertama (yang memiliki zakar dan juga faraj), terdapat beberapa tanda-tandanya:

Pertama: Air kencing.

Sekiranya dia kencing melalui saluran zakar lelaki sahaja, maka dia adalah lelaki. Manakala jika dia kencing melalu faraj, maka dia adalah perempuan. Namun jika dia kencing melalui kedua-duanya, maka diambil kira saluran manakah yang dahulu ia keluar.   

Kedua dan Ketiga: Keluar mani dan darah haid.

Sekiranya keluar air mani dan darah haid pada waktunya, maka jika air mani tersebut keluar melalui zakar maka dia adalah lelaki. Sekiranya air mani keluar melalui faraj ataupun keluar darah haid, maka dia adalah perempuan. Dengan syarat ia keluar secara berulangkali bagi menguatkan lagi sangkaan akan perkara tersebut.

Keempat: Kelahiran anak.

Wiladah ataupun proses melahirkan anak membawa bukti yang pasti akan sifat keperempuanannya. Bahkan ia mendahului kesemua tanda-tanda lain yang bercanggah dengannya.

Kelima: Tidak datang haid pada waktunya.

Ini merupakan tanda kelelakian bagi khunsa tersebut. Ia juga boleh menjadi tanda penentuan ketika seorang khunsa tersebut sama dari sudut keluar air kencing. Maka keluar haid pada waktunya atau tidak menjadi pemberat ke arah jantinanya.

Keenam: Kecenderungan

Sekiranya seorang khunsa itu cenderung perasaannya kepada orang perempuan maka dia adalah lelaki. Begitu juga jika dia cenderung kepada lelaki maka dia adalah perempuan. Namun, tanda ini digunakan apabila sudah tidak mampu mencari tanda-tanda yang lain.

Ketujuh: Munculnya keberanian, bersabar dalam melawan musuh, serta sifat-sifat kekuatan. Maka ini menunjukkan akan kelelakiannya.

Kelapan: Tumbuhnya janggut, atau timbulnya buah dada, serta keluarnya susu badan.

Manakala bagi golongan yang kedua (tidak memiliki zakar ataupun faraj), maka tanda-tandanya tidak dapat ditentukan melainkan dengan melihat kepada kecenderungannya.

Bolehkah Khunsa Menjadi Imam ?

Isu ini turut dijadikan perbincangan apabila para fuqaha membahaskan berkenaan susunan saf ketika solat berjamaah. Imam Al-Nawawi menyatakan: Tidak sah apabila seorang perempuan dan khunsa menjadi imam kepada orang lelaki. Tidak sah pada solat fardhu dan tidak juga pada solat sunat. Adapun sekiranya yang mengikut solat tersebut merupakan orang perempuan (menjadi makmum), maka tidak disyaratkan kelelakian untuk menjadi imam mereka (orang perempuan) di sisi mazhab Al-Syafieyyah dan juga Al-Hanabilah. Maka sah bagi orang perempuan untuk menjadi imam kepada orang perempuan yang lain di sisi mereka (Al-Syafi’eyyah dan Al-Hanabilah). Berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Sayyidah A’isyah, Ummu Salamah, dan juga Atha’ bin Abi Rabah bahawa: Sesungguhnya orang perempuan boleh menjadi imam kepada orang perempuan yang lain. Lihat Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/96).

Justeru, jelas ditunjukkan dalam kenyataan dari Imam Al-Nawawi bahawa golongan khunsa tidak boleh menjadi imam kepada orang lelaki. Pendapat Imam Al-Nawawi ini menepati pandangan daripada Imam Al-Syafie Rahimahullah yang berkata:  Dan begitulah, kalau sesiapa yang solat bersama orang perempuan (menjadi makmum kepadanya) seperti khunsa musykil, nescaya tidak sah solatnya bersama perempuan tadi. Kalau seorang khunsa musykil solat bersama orang perempuan (menjadi makmum) dan tidak selesai solatnya sehingga nyata bahawa ia perempuan, aku lebih suka baginya untuk dia mengulangi solat. Dan aku menganggap bahawa tidak memadai solatnya itu kerana dia tidak tergolong di kalangan orang yang boleh berimamkan perempuan tersebut ketika dia mengerjakan solat. Rujuk Al-Umm, Al-Syafie (1/191).

Kata Al-Imam Al-Shirazi Rahimahullah: Tidak dibolehkan untuk seorang lelaki itu solat di belakang khunsa musykil kerana terdapatnya kebarangkalian yang dia itu seorang perempuan. Bahkan begitu juga tidak boleh untuk seorang khunsa di belakang khunsa yang lain, kerana boleh jadi makmum itu adalah lelaki dan imamnya itu adalah perempuan. Rujuk Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab (4/152).

Maka kesimpulan yang boleh dibuat berkenaan isu ini adalah:

  • Khunsa musykil boleh menjadi imam kepada orang perempuan.
  • Khunsa musykil tidak boleh menjadi imam kepada orang lelaki dan golongan khunsa yang lain.

Kedudukan Khunsa Dalam Saf Solat

Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya yang hadir mengerjakan solat itu terdiri daripada orang lelaki, kanak-kanak, golongan khunsa, serta orang perempuan, maka didahulukan orang lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa, kemudian orang perempuan. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al Nawawi (3/132).

Di dalam kenyataannya yang lain Imam Al-Nawawi mengatakan: Para ashab kami mengatakan: Kesemuanya ini (susunan solat) hukumnya adalah mustahab (sunat) dan menyelisihinya adalah makruh namun tidak membatalkan solat.

Imam Al-Mawardi Rahimahullah di dalam kitabnya Al-Hawi Al-Kabir (2/340menukilkan kenyataan Imam Al-Syafie yang berkata: Apabila seorang lelaki menjadi imam, maka makmum (lelaki) berdiri di bahagian kanannya. Sekiranya makmum tersebut merupakan khunsa musykil atau perempuan maka setiap seorang dari mereka berdiri di belakangnya (imam) secara bersendirian.

Maka adalah makruh untuk seorang khunsa musykil solat bersebelahan dengan orang lelaki di dalam saf, dan begitulah juga makruh untuk dia solat bersebelahan dengan orang perempuan. Ini kerana, terdapat kemungkinan dia adalah seorang lelaki apabila solat bersebelahan orang perempuan dan begitulah juga sebaliknya.

Bagaimanakah Aurat Khunsa ?

Berkenaan dengan aurat golongan khunsa musykil, para fuqaha seperti golongan Al-Hanafiyah dan Al-Syafi’eyyah berpendapat bahawa aurat mereka adalah sama seperti aurat orang perempuan. Bahkan rambut seorang khunsa yang gugur dari kepala juga turut dianggap sebagai aurat. Kecuali muka dan kedua tapak tangan. Dan seorang khunsa tidak boleh untuk mendedahkan anggota badannya ketika proses istinja dan juga ketika mandi. Ini kerana, sekiranya dia mendedahkan anggota badannya di sekitar orang lelaki, ada kemungkinan bahawa dirinya itu seorang perempuan. Jika dia mendedahkan anggotanya di sisi orang perempuan, terdapat kemungkinan yang dirinya itu seorang lelaki. Rujuk Raudhah Al-Thalibin, Al-Nawawi (1/283)Hasyiah Ibn Abidin (1/105)Al-Asybaah wal Nazhair, Ibn Nujaim (384).

Berkata Imam Al-Buhuti Rahimahullah: Langkah ihtiyath (berhati-hati) bagi seorang khunsa musykil adalah supaya dia menutup auratnya seperti orang perempuan. Rujuk Syarah Muntaha Al-Iradaat, Al-Buhuti (1/150).

Khunsa Dan Transgender

Menurut sumber Wikipedia, transgender didefinisikan sebagai: Transgender people are people who have a gender identity or gender expression that differs from their assigned sex. Transgender people are sometimes called transsexual if they desire medical assistance to transition from one sex to another.[1]

Melalui definisi di atas, perbuatan mengubah jantina asal kepada jantina yang berlawanan dinamakan sebagai transsexual. Menurut Kamus Dewan transeksual adalah: (transéksual) seseorang (lelaki atau perempuan) yg berperasaan dan berpe­nampilan sbg anggota jantina yg satu lagi, dan kadang-kadang menukar organ jantina­nya melalui pembedahan. Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat.

Berdasarkan definisi dan ciri-ciri khunsa musykil yang telah kami nyatakan di atas, jelas kelihatan perbezaan di antara khunsa dan juga transeksual. Khunsa adalah asl al-khilqah (penciptaan asal Tuhan sejak dia dilahirkan) manakala transeksual pula adalah taghyir al-khilqah (mengubah ciptaan Tuhan). Perbuatan mengubah ciptaan Tuhan ini jelas dilarang di dalam Islam. Larangan ini dapat dilihat berdasarkan beberapa nas daripada al-Quran dan juga hadis. Firman Allah S.W.T:

 وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَنْعَامِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا 

Maksudnya: Dan aku (syaitan) benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka mengubahnya. Barangsiapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.

Surah Al-Nisaa (119)

Imam Al-Thabari Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau berkata: Para ulama berbeza tentang tafsiran ayat فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ . Sebahagian mereka mengatakan: “Nescaya mereka akan mengubah ciptaan Allah daripada haiwan-haiwan dengan cara mengkasikannya”. Manakala sebahagian ulama lain mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan mengubah ciptaan Allah adalah membuat tatu. Beliau kemudiannya menyertakan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ، وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: Allah melaknat pembuat tatu, orang yang meminta supaya dibuatkan tatu kepadanya, orang yang mencukur kening, serta menjarangkan gigi dengan tujuan untuk kecantikan, dan golongan yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat Al-Bukhari (5943)

Demikian juga Al-Thabari menukilkan persoalan yang ditanyakan kepada Al-Hasan Rahimahullah: Apa pandangan kamu terhadap seorang perempuan yang mengukir wajahnya ? Lalu Al-Hasan menjawab: “Apa kena dengan dia ? Laknat Allah ke atasnya, kerana dia telah mengubah ciptaan Allah”.

Kesimpulan

Akhir kalam, perlulah dijelaskan bahawa perbuatan mengubah ciptaan Tuhan dengan cara menukar jantina adalah haram lagi berdosa besar. Ia tidak boleh sama sekali disamakan dengan khunsa musykil kerana golongan transeksual ini pada asal kejadiannya adalah seorang lelaki atau perempuan, tetapi mengubah jantinanya kepada yang berlawanan. Manakala khunsa musykil pula memang pada asal kejadiannya mempunyai dua kemaluan. Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.