Kalau dulu, Sukan Para sering dipandang sepi ekoran kurang popular di kalangan masyarakat, kini sukan itu semakin mendapat tempat selepas meraih pelbagai kejayaan besar di peringkat antarabangsa. Bermula dengan kejayaan tiga atlet negara iaitu Mohamad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Mohd. Ridzuan Puzi (100m T36) muncul juara dunia di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2015 di Doha yang berjaya membuka mata banyak pihak kemampuan atlet kurang upaya ini yang dikatakan luar biasa.
Selepas menempa nama di temasya Sukan Paralimpik 2016, ketiga-tiga anak muda ini kemudiannya terus menggalas cabaran negara di kejohanan dunia dalam edisi kali ini di London dengan impian mempertahankan kejuaraan yang diraih dua tahun lalu. Kini wira-negara luar biasa menjadi sebutan rakyat Malaysia, sekaligus telah membuka mata rakyat Malaysia untuk sokongan moral dan cabaran bahawa Malaysia Boleh ! (Hidzir, 2018)
Menurut sejarah, sukan paralimpik bermula di Burylesburg, England pada tahun 1948 yang disertai oleh orang yang mengalami kecederaan tulang spina. Sukan tersebut diilhamkan semasa Sukan Olimpik berlangsung di London pada ketika itu.Sukan paralimpik tersebut diadili oleh Sir Ludwing Guttman. Beliau digelar Bapa Sukan Paralimpik atau Bapa Sukan Kurang Upaya. Sukan Paralimpik yang pertama berlangsung di Kota Rome, Itali pada tahun 1960.
Sebanyak 23 buah Negara telah mengambil bahagian dan lebih kurang 200 orang atlet yang menyertai sukan tersebut.Sejak itu, Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik bergerak bersama iaitu diadakan setiap empat tahun sekali di bandar yang sama.Sebelum tahun 1984, ia dikenali sebagai Olimpik untuk orang kurang upaya dan selepas tahun 1984, namanya ditukar menjadi Sukan Paralimpik.
Pada tahun 2001, International Olympic Commite (IOC) dan International Paralympic Commite (IPC) telah menandatangani satu perjanjian di mana setiap bandar yang ingin menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2012, hendaklah juga bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Paralimpik. (Zeckry, 2013)
Menurut (Karim, 2016) kejayaan dua atlet paralimpik ini bukan sahaja berjaya mengharumkan nama negara, malah mereka menjulang martabat serta nama Malaysia dalam persada atlet golongan OKU yang berprestasi tinggi dan berwibawa, sebagaimana pingat emas pertama dimenangi Mohamad Ridzuan dalam acara 100m T36 (celebral palsy) dengan catatan 12.07 saat, sekali gus memadam rekod kejohanan milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s yang dilakukan di Beijing pada 2008.
Manakala, pingat emas kedua diraih Muhammad Ziyad dengan rekod baharu dunia acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran). Catatannya 16.84 meter itu mengatasi rekod lama 16.29m milik Todd Hodgetts dari Australia yang dilakukan pada Sukan Paralimpik London.
Walau bagaimanapun, pencapaian Malaysia dalam Sukan Paralimpik Rio 2016 lalu adalah yang terbaik dalam sejarah penyertaan apabila memperoleh tiga pingat emas dan sebutir pingat gangsa. Pingat emas negara disumbangkan oleh pelari pecut paralimpik, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi; atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli; atlet lompat jauh dan Abdul Latif Romly manakala pingat gangsa oleh atlet lompat jauh wanita, Siti Noor Radiah Ismail.
Meskipun Sukan Paralimpik tidak mempunyai prestij yang sama dengan Sukan Olimpik, pertandingan tersebut telah berkembang ke tahap yang amat tinggi sehingga diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Namun, olahraga sudah pasti menjadi sandaran utama buat kontinjen paralimpik negara untuk menghadirkan kejayaan terutamanya dengan kehadiran tiga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli menerusi acara lontar peluru F20, Mohamad Ridzuan Puzi (100 meter T36), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan pemenang gangsa, Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh T20). Selain itu, antara sukan yang berpotensi menghadirkan kejayaan buat negara adalah boling, basikal trek, badminton dan renang.
Pencapaian atlet negara kita dalam sukan-sukan tersebut juga amat membanggakan kerana atlet negara boleh mendapat kutipan pingat yang tinggi serta mampu berada di rangking yang baik berbanding dengan atlet normal. Sebagai contoh, dalam kejohanan Sukan Para ASEAN V pada tahun 2009, atlet negara kita berjaya memperoleh 94 pingat emas, 81 pingat perak dan 71 pingat gangsa dan berada pada kedudukan kedua dalam senarai negara ASEAN yang menyertainya. Atlet Negara juga cemerlang pada edisi pertama Sukan Para Asia di Guangzhou, China apabila berjaya memperoleh 9 pingat emas,13 pingat perak dan 23 pingat gangsa.
Ini menunjukkan bahawa atlet paralimpik juga mampu memberikan sumbangan berharga kepada negara serta telah mengharumkan nama negara di persada dunia. (Utusan Online, 2016)
Memandangkan golongan OKU dipandang sinis dan hina oleh masyarakt disebabkan orang yang kurang bernasib baik. Mereka dilahirkan dalam keadaan cacat. Ada juga yang menjadi cacat akibat mengalami kemalangan yang menjejaskan anggota badan. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang dimiliki.
Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu peluang dalam apa jua bidang yang dimiliki oleh orang normal. Maka, Kempen Masyarakat Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media massa. Maklumat tersebut boleh disalurkan melalui iklan, kempen dan melalui drama. Kesannya, orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU secara telus. Jelaslah, nasib OKU akan terbela dengan adanya peranan media massa apabila kini ada ikon dari insan istimewa yang boleh menjadi wira negara sekaligus golongan OKU tidak akan rasa diri mereka itu kekurangan dan menyakinkan diri mereka.