Hudud Di Kelantan

Halangan sebenar pelaksanaan hudud di Kelantan

PELAKSANAAN undang-undang Islam termasuk yang berkaitan dengan jenayah telah menjadi hasrat dan cita-cita pejuang Islam di Malaysia sejak sekian lama.

Apabila Pas mula memerintah Kelantan pada tahun 1990, satu pasukan khas telah diwujudkan untuk merealisasi hasrat tersebut. Pasukan ini menggabungkan pelbagai kepakaran dari kalangan pemimpin politik, ahli akademik dan mengamalkan undang-undang.

Hasilnya pada tahun 1993, satu Rang Undang-undang Jenayah Syariah II telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Kelulusan undang-undang ini merupakan satu kejayaan besar kepada perjuangan Islam di dalam negara.

Walau bagaimana pun, hasrat ini mendapat tentangan keras dari pemimpin negara pada waktu itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menulis satu surat bertarikh 15 Julai 1994 yang menyatakan secara jelas larangan pelaksanaannya serta memberikan amaran bahawa tindakan akan diambil jika ia diteruskan.

Dengan mengambil kira amaran itu dan pengalaman kerajaan Kelantan di bawah Pas pernah berdepan dengan pengisytiharan darurat dan dirampas kuasa melalui tindakan Mageran (Majlis Gerakan Negara) pada tahun 1977, maka hasrat murni itu terpaksa ditangguhkan.

Usaha yang serupa dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu di bawah pemerintahan Pas (1999-2004) apabila Enakmen Jenayah Syariah 2002 telah diluluskan.

Undang-undang ini telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu pada 2 September 2002, disiarkan dalam warta pada 23 September 2002 dan diisytiharkan berkuat kuasa pada 27 Oktober 2003.

Namun, ia tidak dapat dikuatkuasakan kerana tiada kerjasama dari kerajaan Persekutuan Malaysia.

Walau pun undang-undang jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu belum dapat dilaksanakan, ia merupakan satu kejayaan dalam dakwah kepada rakyat Malaysia dan juga masyarakat dunia.

Pertamanya, ia membuktikan bahawa undang-undang jenayah Islam boleh dikanunkan dengan sempurna dan baik melalui mekanisme perundangan moden. Kedua, ia meneroka medan ijtihad yang berani khususnya berkaitan dengan perlaksanaannya dalam sebuah negara berbilang kaum.

Ketiga, ia menunjukkan perlaksanaan hukum Allah adalah satu kewajipan sebenar, bukan sekadar menjadikannya sebagai retorik atau propaganda politik.

Keempat, ia menjinakkan hati masyarakat agar semakin dekat dengan syariat Islam dan yakin dengan kemampuan Islam menyelesaikan kemelut jenayah yang membarah.

Hasilnya, selepas hampir 20 tahun, semakin ramai pihak yang mempunyai sikap terbuka untuk menerima hudud. Demikian juga dengan lonjakan ketara sokongan bukan Islam terhadap undang-undang jenayah Islam.

Persoalan yang timbul kini ialah dari sudut pelaksanaannya. Apakah sebenarnya penyelesaian kepada penguatkuasaan yang tertangguh ini. Di manakah ia sepatutnya bermula.

Apa halangan sebenar?

Pada dasarnya terdapat dua bentuk halangan pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 Terengganu.

Halangan pertama ialah halangan politik iaitu sikap kerajaan Persekutuan yang tidak menyokong, tidak memberikan kerjasama serta melarang pelaksanaannya. Halangan kedua ialah halangan perundangan. Berikut dijelaskan terlebih dahulu halangan perundangan.

Halangan Perundangan

Halangan perundangan yang jelas ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 mengehadkan skop kuasa Mahkamah Syariah. Seksyen 2 Akta itu memperuntukkan bahawa:

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Akta ini menetapkan had dari sudut jenis atau skop kesalahan iaitu ‘kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut’. Buat masa ini skop kesalahan ini ditafsirkan secara luas sesuai dengan keluasan Syariah Islam itu sendiri.

Dalam enakmen-enakmen jenayah syariah yang sedia ada sudah mengandungi kesalahan-kesalahan seperti berjudi, mencuri, zina, sumbang mahram, persetubuhan luar tabii dan seumpamanya.

Bahkan bentuk kesalahan yang ada dalam jenis hukum hudud seperti zina dan qazaf pun sudah ada dalam undang-undang hari ini. Lihat contohnya seksyen 22 hingga 38 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Sesetengah kesalahan yang disebut dalam enakmen ini sebenarnya juga diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan.

Contohnya seseorang yang didakwa melakukan kesalahan liwat, dia tertakluk kepada dua undang-undang iaitu enakmen jenayah syariah dan juga Kanun Keseksaan. Berdasarkan hakikat ini dapat disimpulkan bahawa kewujudan kesalahan-kesalahan seperti mencuri, bunuh dan lain-lain seperti yang disebutkan dalam Enakmen Jenayah Syariah 2 Kelantan adalah tidak bercanggah dengan Akta.

Jika hukuman bagi kesalahan itu ada disebut dalam ajaran Islam, maka ia juga sepatutnya dianggap sebagai sebahagian dari jenayah Syariah.

Namun demikian, seksyen 2 mengehadkan bidang kuasa jenayah mahkamah Syariah dari sudut hukuman. Mahkamah Syariah tertakluk kepada had hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman terbabit.

Had inilah merupakan halangan sebenar kepada enakmen jenayah syariah Kelantan dan Terengganu.

Memandangkan enakmen jenayah Syariah menetapkan hukuman yang lebih tinggi seperti iaitu seratus rotan dan penjara yang lebih lama, maka ia dikira pertentangan dengan Akta.

Demikian juga hukuman yang tidak disebut oleh akta itu seperti rejam dan potong tangan tidak boleh berkuat kuasa kerana bertentangan dengan Akta. Mana-mana undang-undang negeri yang bercanggah dengan undang-undang Persekutuan akan dikira tidak sah dan batal.

Bagi mengatasi halangan ini Parlimen perlu membuat pindaan ke atas Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 iaitu dengan menaikkan had yang disebut itu sesuai dengan kadar yang ditetapkan oleh enakmen-enakmen terbabit.

Bercanggah Perlembagaan?

Isu kedua adalah berkaitan dengan percanggahan antara enakmen jenayah syariah Kelantan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 4 secara jelas  menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah terbatal.

Mana-mana akta atau Enakmen, termasuk enakmen jenayah syariah tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan.

Aspek yang disebut bercanggah ialah Perkara 74 memperuntukkan agihan kuasa antara negeri dan Persekutuan berdasarkan Jadual Kesembilan. Kerajaan persekutuan dan negeri hanya boleh membuat undang-undang dan mentadbir dalam ruang bidang kuasa masing-masing.

Jika mana-mana kerajaan membuat undang-undang di luar bidang kuasanya, undang-undang itu adalah pertentangan dengan Perlembagaan.

Oleh itu enakmen ini dianggap bercanggah dengan Perlembagaan kerana ia mengadakan kesalahan-kesalahan seperti mencuri, membunuh, merompak yang sebahagian besarnya bertindan dengan kesalahan-kesalahan yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan dan kesalahan-kesalahan ini terdapat dalam undang-undang Persekutuan iaitu Kanun Keseksaan.

Ini juga bercanggah dengan butiran 1, Senarai Negeri yang mengehadkan kuasa membuat undang-undang jenayah Islam setakat mana ia tidak ‘berkaitan dengan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan’.

Namun begitu dakwaan bahawa ia bercanggah dengan perlembagaan masih boleh dipertikaikan. Ini kerana, jika ia dianggap bercanggah maka undang-undang ke atas kesalahan berjudi, mencuri, zina, sumbang mahram, persetubuhan luar tabii, zina dan qazaf yang sedia ada kini dalam enakmen-enakmen jenayah syariah negeri juga dianggap bercanggah.

Namun setakat ini tiada orang yang mencabarnya, dan ia diterima umum sebagai undang-undang yang sah.

Pertembungan kuasa

Contoh terbaik untuk menggambarkan pendekatan mahkamah dalam kes ini ialah kes Mamat bin Daud lwn. Kerajaan Malaysia (1988) 1 MLJ 119. Dalam kes ini plaintif-plaintif telah dituduh di bawah seksyen 298A Kanun Keseksaan, yang baru dipinda bagi menambah satu kesalahan baru iaitu melakukan tindakan di atas asas agama, yang boleh menjejaskan perpecahan atau menyebabkan atau menjejaskan keharmonian di antara rakyat yang menganut agama yang sama atau berbeza.

Mereka dituduh melakukan tindakan yang menjejaskan perpaduan di kalangan masyarakat Islam iaitu apabila bertindak sebagai bilal, khatib dan imam yang tidak bertauliah. Mereka menuntut pengisytiharan bahawa s. 298A adalah ultra vires dengan Perkara 74 kerana ia secara ‘inti pati dan isi’ (pith and substance) berkaitan dengan agama Islam yang tertakluk kepada bidang kuasa negeri, dan Parlimen tidak ada kuasa untuk membuat undang-undang tersebut.

Setelah meneliti secara terperinci, Mahkamah Agung telah memutuskan dengan majoriti tiga daripada lima orang hakim, bahawa tindakan yang dilarang oleh akta tersebut tiada kaitan langsung dengan ‘keselamatan awam’ yang tertakluk kepada bidang kuasa Persekutuan, sebaliknya ia menyentuh secara langsung dengan agama Islam yang terletak di bawah bidang kuasa negeri. Menurut Salleh Abas KHN :

Dengan melihat dari sudut pandangan yang sepatutnya, setakat untuk perlaksanaan ke atas orang-orang Islam, seksyen yang dipertikaikan ini adalah satu undang-undang yang bertujuan untuk memastikan agama Islam diamalkan di negara ini menepati panduan, aturan dan amalan yang dibenarkan oleh negeri-negeri…. Dalam meluluskan seksyen yang dipertikaikan ini, saya tidak fikir bahawa Parlimen boleh bergantung kepada kuasa perundangan berasaskan ketenteraman awam kerana penggunaan kuasa tersebut akan menyebabkan pertembungan secara langsung dengan kuasa kerajaan negeri untuk membuat undang-undang dan mengawal urusan amalan agama Islam.

Seah dan Mohamad Azmi HHMA yang turut bersetuju dengan keputusan pengisytiharan pembatalan seksyen berkenaan menjelaskan;

…apa yang perlu diambil kira adalah isi atau inti pati kepada sesuatu statut bukannya bentuk atau sifat luarannya… sebanyak mana pun ‘kosmetik’ digunakan untuk membuat ‘hiasan perundangan’  tidak dapat menutup penyamaran dalam perundangan.

Matlamat, tujuan dan bentuk seksyen yang berkenaan mesti diterokai untuk mengenal pasti rupa sebenar dan inti pati sesuatu undang-undang dan untuk mengenal pasti kategori undang-undang tersebut…

Hujah majoriti berkisar di sekitar tujuan dan matlamat sebenar yang membawa kepada kewujudan seksyen 298A Kanun Keseksaan itu. Walaupun diakui bahawa ia mempunyai kaitan dengan ketenteraman awam, tetapi hubungannya dengan pengamalan agama Islam adalah lebih dekat dan hampir dengan tujuan undang-undang itu diperkenalkan.

Keputusan ini memberikan ‘perlindungan’ kepada kuasa perundangan terpenting kerajaan negeri iaitu hal ehwal agama Islam.

Contohnya dalam kes terdahulu iaitu Tengku Nik Maimunah lwn Majlis Ugama dan Adat Melayu Negeri Terengganu [1979] 1 MLJ 157, mahkamah telah memutuskan bahawa persoalan wakaf adalah di bawah bidang kuasa negeri berdasarkan Perkara 74 dan Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, maka undang-undang negeri yang berkaitan iaitu Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Terengganu 1955 adalah berkuat kuasa.

Selagi negeri-negeri tidak menyerahkan kuasa membuat undang-undang kepada kerajaan Persekutuan melalui beberapa mekanisme seperti Perkara 76 yang membenarkan kerajaan Persekutuan membuat undang-undang di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri dengan sebab-sebab tertentu, selagi itulah Negeri mempunyai kuasa perundangan mutlak ke atas urusan agama Islam.

Jika di lihat kepada pendekatan yang telah digunakan dalam kes-kes ini, kita dapat andaikan bahawa enakmen jenayah syariah yang melibatkan hudud dan qisas di Kelantan dan Terengganu adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Langkah penyelesaian

Walau bagaimana pun, halangan utama ialah halangan politik. Jika ada kemahuan politik kekangan yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana akta boleh dirungkaikan dengan mudah. Jika kekangan politik ini dapat diatasi tindakan yang wajar dilakukan untuk menjamin kelancaran pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa) 1965 bagi membolehkan Mahkamah Syariah membicarakan kes-kes jenayah berkaitan dan menjatuhkan hukuman-hukuman seperti potong tangan, sebat dan mati.

Peluasan kuasa ini bukan hanya dapat dinikmati oleh Kelantan dan Terengganu, bahkan juga untuk negeri-negeri lain.

Selain itu, bagi memberikan laluan yang lebih selesa, agar tidak dianggap wujud percanggahan antara enakmen jenayah syariah dan undang-undang Persekutuan, maka perkataan ‘kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan’ perlu digugurkan dari Butiran 1 Senarai Negeri.

Bagi memberikan ruang yang lebih selesa perkataan jenayah syariah dan skopnya perlu dimasukkan dalam Senarai Negeri.

Pilihan yang lain ialah dengan memberikan kuasa khusus kepada Kelantan dan Terengganu untuk meluluskan dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan  jenayah. Pada dasarnya bidang kuasa jenayah adalah di bawah bidang kuasa Pusat melalui Jadual Kesembilan Perlembagaan, namun Parlimen boleh meluaskan kuasa kerajaan negeri melalui Perkara 76A. Oleh itu enakmen jenayah syariah boleh berkuat kuasa jika ia diberikan laluan melalui kaedah ini.

Hak bukan Islam

Pemimpin dan rakyat bukan Islam tidak seharusnya gusar dengan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah di Kelantan. Undang-undang yang diluluskan itu hanya meliputi orang-orang Islam sahaja. Oleh itu penganut agama lain tidak tertakluk kepada undang-undang hudud.

Selain itu, persoalan hak asasi sewajarnya menjadi pertimbangan pemimpin dan rakyat bukan Islam. Ini kerana hasrat untuk diadili melalui undang-undang Islam adalah sebahagian dari hak asasi rakyat Kelantan untuk beramal dengan agama sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Jika mereka dihalang untuk mendapat keadilan melalui sistem perundangan Islam, mereka sebenarnya dinafikan hak asasi untuk mengamalkan agama mereka sendiri.

Selain itu, hak untuk diadili dengan undang-undang jenayah syariah juga merupakan hak demokratik rakyat Kelantan. Pas secara terbuka dan jelas menyatakan hasratnya untuk menguatkuasakan undang-undang Islam.

Undi majoriti yang diberikan kepada Pas di Kelantan pada pilihan raya umum 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 membuktikan kewujudan hasrat rakyat Kelantan untuk mengamalkan undang-undang jenayah Islam. Menghalang pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bermakna menafikan hak demokratik rakyat Kelantan.

Selain itu perlu diingat juga bahawa undang-undang berkenaan hanya mahu dilaksanakan di Kelantan. Kedudukan Kelantan sebagai sebuah negeri yang mempunyai ciri-ciri khusus perlu dihormati.

Penghayatan kepada semangat federalime meliputi pengiktirafan perbezaan yang wujud antara satu negeri dengan negeri lain. Fakta bahawa undang-undang tersebut mendapat sokongan kerajaan dan juga pembangkang di Kelantan juga satu yang unik.

Seruan dan titah Baginda Sultan Kelantan agar undang-undang itu dikuatkuasakan mengukuhkan pandangan bahawa Kelantan perlu dibenarkan menjalankan undang-undang hudud.

Tegasnya, kini terpulang kepada pihak berkuasa khususnya kerajaan Persekutuan untuk menggerakkan langkah bagi memberikan laluan perlaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Sebenarnya kebenaran perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah 2 Kelantan boleh dilakukan oleh kerajaan Persekutuan tanpa perlu menunggu usul Rang Undang-undang Persendirian dari wakil Kelantan.

Jalan yang paling mudah ialah dengan meminda Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965. Pindaan ini boleh diusulkan oleh Menteri kerajaan Persekutuan menggunakan kaedah biasa. Ia boleh diluluskan dengan sokongan majoriti mudah, tanpa perlu persetujuan dua per tiga ahli Parlimen.

Dr Muhammad Fathi Yusof
Pensyarah Kanan
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi
UTM Kuala Lumpur.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/halangan-sebenar-pelaksanaan-hudud-di-kelantan-1.278617

Tebus talak tidak jatuh martabat wanita

ADA yang memandang rendah atau prejudis terhadap wanita yang membuat tuntutan perceraian melalui tebus talak.

Ini kerana pihak isteri yang meminta perceraian dan suami boleh meletakkan ‘harga’ untuk ‘melepaskan’ isteri terbabit.

Sudah banyak kes termasuk terbaru membabitkan pasangan selebriti, Jimmy Jimmy Shanley dan isteri, Nursuhaila Eliani Suhaimy yang sah bercerai talak satu secara khuluk (tebus talak) berjumlah RM1 di Mahkamah Rendah Syariah.

Bagi yang melihat secara sinikal, jumlah RM1 bagai satu penghinaan terhadap isteri seolah harga dirinya serendah itu.

Hakikatnya, itu bukan sesuatu yang salah, tetapi dibenarkan dalam Islam di mana tebus talak merupakan pilihan kepada wanita yang berhadapan dengan kemelut rumah tangga.

Tebus talak atau dalam bahasa Arab disebut khuluk iaitu berasal daripada kata-kata khala’a al-thauba yang bermaksud menanggalkan pakaian.

Khuluk adalah pembubaran perkahwinan yang dilakukan oleh pihak isteri dengan membayar ganti rugi kepada suami.

Ataupun, pembubaran perkahwinan melalui satu pembayaran yang dibuat oleh isteri kepada suami untuk melepaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan.

Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Shamsiah Md. Supi berkata, walaupun kos tebus talak sebanyak RM1 ataupun RM10 di sesetengah negeri seperti di Sabah, ia sebenarnya perceraian secara taklik yang diubah kepada tebus talak.

“Ada juga negeri yang tidak memperuntukkan khuluk dalam lafaz taklik.

“Dalam hal ini, pada saya tidak timbul soal martabat wanita itu menjadi rendah, sebab wanita berkenaan datang ke mahkamah untuk menuntut haknya yang telah dilanggar oleh pihak suami.

“Contohnya, suami tidak menunaikan tanggungjawab nafkah selama empat bulan berturut-turut. Suamilah yang menjadi punca dia membuat pengaduan di mahkamah,” katanya.

Siti Shamsiah menambah, dalil keharusan pembubaran perkahwinan menurut kaedah ini adalah berdasarkan kepada ayat 229 surah al-Baqarah dan ia menjadi dalil kepada semua ulama.

“Dalil tersebut menyebut, Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil kembali sesuatu daripada apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri kamu), kecuali jika kedua-duanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.

Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).

“Satu hadis yang lain pula menyebut bagaimana Jamilah binti Abdullah, isteri kepada Thabit bin Qais mengadu kepada Rasulullah SAW tentang isi hatinya yang tidak berkenan dengan penampilan dan perawakan suaminya. Jamilah menyatakan kebimbangan akan melakukan dosa dan tidak berlaku taat kepada Thabit sebagai suami.

“Dalam kes tersebut, Jamilah menyatakan bahawa Thabit tidak mempunyai masalah akhlak mahupun dalam perkara-perkara bersangkutan agama, akan tetapi beliau bimbang akan menjadi seorang hamba Allah yang berdosa disebabkan tidak mampu memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai seorang isteri, disebabkan keadaan lahiriah Thabit yang disebutkan tadi.

“Rasulullah SAW (yang memaklumi Thabit secara peribadi) telah bertanya pada Jamilah, iaitu sebagai suatu dorongan jalan penyelesaian kepada beliau, dengan cara mengembalikan semula sebidang tanah kebun yang diberikan oleh Thabit sebagai mahar pada waktu pernikahan. Persetujuan di pihak Jamilah dilanjutkan dengan saranan Rasulullah kepada Thabit untuk menerima semula mahar tersebut, dan berakhirlah kemelut perkahwinan antara Jamilah dengan Thabit dengan baik.”

Syarat tebus talak

Siti Shamsiah berkata, secara umumnya melalui pemahaman hadis tersebut, khuluk tidak boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya.

Ia tidak diharuskan kecuali apabila berlaku perselisihan antara suami isteri. Ada juga ulama berpendapat, jika isteri mengugut untuk tidur dengan lelaki lain atau orang yang dibenci suaminya, maka adalah wajib bagi suami tersebut untuk menerima khuluk.

“Kalau dalam suasana pada hari ini, isteri yang mengakui mempunyai hubungan intim dengan orang lain dan tidak mahu lagi meneruskan perhubungan suami isteri dan menawarkan sejumlah wang kepada pihak suami sebagai pelepasan, maka suami perlu menerima.

“Sesetengah ulama meletakkan kederhakaan atau nusyuz sebagai syarat kepada sah tebus talak atau khuluk, namun Abu Hanifah dan Imam Syafie menolak syarat tersebut.

“Pendirian Imam Abu Hanifah dan juga Imam Syafie dilihat selaras dengan kaedah penyelesaian yang didorongkan oleh Rasulullah terhadap konflik yang berlaku antara Jamilah dan juga Thabit. Jamilah tidak menderhakai suaminya, malah kerisauannya tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab seorang isteri dengan sempurna telah menjadi alasan dan juga keterangan untuk membuat tuntutan perceraian.

“Baginda Rasulullah SAW selanjutnya menerima potensi ketidaktaatan yang boleh berlaku itu sebagai alasan bagi tuntutan perceraian dan tidak sedikit pun mempertikaikannya. Dan ini dalam keadaan Rasulullah SAW mengetahui keperibadian Thabit.

“Pengetahuan Rasulullah SAW dianggap oleh sesetengah pengamal perundangan sebagai indikator atau qarinah dalam kes seumpama ini,” katanya.

Siti Shamsiah berkata, walaupun tebus talak nampak seperti jalan keluar yang luas dan mudah bagi pihak isteri untuk melepaskan ikatan perkahwinannya, tetapi secara rasional mana-mana isteri tidak akan tega membuat sebarang tindakan yang akan memberi kerugian kepada diri sendiri sehingga sanggup mengeluarkan sejumlah wang melainkan untuk tujuan yang jauh lebih penting.

Antaranya mungkin demi kesejahteraan dan keselamatan diri yang tentunya jauh lebih penting buat dirinya sehingga terpaksa mengorbankan perkahwinan yang telah dibina.

“Ada kemungkinan banyak rahsia pahit dan duka yang tersimpan dalam sesebuah rumah tangga yang tersimpan tetapi pada masa yang sama pihak isteri tidak mahu mendedahkannya demi menjaga nama baik suami

“Maka tebus talak ataupun khuluk adalah jalan keluar yang boleh diambil tanpa memburukkan mana-mana pihak,” jelasnya.

Sumber : Utusan Online ARKIB : 13/12/2012 : http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121213/ba_03/Tebus-talak-tidak-jatuh-martabat-wanita

1 2 3 4
Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.