Islam Itu Mudah

Menurut (K.H. Miftah Faridi, 2014) menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang sangat sesuai dengan Fitrah kerana Islam diturunkan oleh Tuhan yang menciptakan manusia sebagai pemilik Fitrah itu sendiri. Maka, setiap detik dalam kehidupan manusia merupakan sebuah kesempatan untuk beribadah kepada-Nya. Allah memberi kesempatan kepada manusia untuk sentiasa berhubung dengan-Nya. Dia juga menyediakan banyak peringkat untuk keperluan itu, misalnya, solat lima waktu yang ditentukan tatacara dan waktu menunaikannya di samping solat-solat sunat sebagai penyempurna. Namun, Allah SWT memberi panduan yang lengkap tentang cara menjalinkan hubungan sesama manusia serta mengatur diri daripada hal-hal yang dihalalkan dan diharamkan.

Walau bagaimanapun, konsep rukhsah yang dianugerahkan kepada hamba yang dalam kesukaran diberi kelonggaran jika memenuhi syarat-syarat tertentu seperti keuzuran dan dalam keadaan musafir. Ini menunjukkan bahawa Islam hadir bukan untuk menyusahkan manusia, bahkan untuk mempermudahkan urusan kehidupan manusia. Firman Allah SWT bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu” (QS. 2:185). Manakala, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mengutusku untuk mempersulit atau memperberat, melainkan sebagai seorang pengajar yang memudahkan” (HR. Muslim). ( DDHK , 2014)

Justeru itu, Islam adalah mudah, malah setiap Insan mampu mengikutinya kerana setiap kewajipan yang ditaklifkan (suruhan dan larangan syarak) tidaklah membebankan, sekiranya membebankan, ada cara lain pula untuk keringanan yang dibolehkan dalam Islam. Contohnya solat. Jika ada kesulitan menunaikan solat dalam perjalanan, maka Allah turunkan hukum rukhsah untuk memudahkannya hukum solat qasar (memendekkan) dan jamak (menghimpunkan) khusus bagi orang musafir. (Anisah Abdul Ghani, 2010)

Tulisan ini akan membincangkan konsep Islam agama mudah dan tidak membebankan dan menjelaskan bukti-bukti konsep Islam agama mudah. Di samping itu, penulis akan mengupaskan konsep rukhsah atau keringanan kepada pesakit yang mengalami penyakit kronik dalam melaksanakan ibadah mereka ketika dalam rawatan.

 

  • KONSEP ISLAM AGAMA MUDAH

 

Menurut (Ghonim, 2012) Agama Islam merupakan agama yang menyempurnakan dan terpilih untuk semua Nabi dan Rasul serta umat terdahulu yang bukan untuk umat Nabi Muhammad SAW sahaja bahkan untuk semua umat sekelian alam. Bersandarkan kepada Firman Allah SWT bermaksud: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al-Imran: 85) Selanjutnya, Nabi Ibrahim mewasiatkan kepada anaknya Nabi Ismail dan Nabi Ishaq untuk menerima dan berpegang teguh kepada agama Islam berdasarkan Firman Allah SWT bermaksud: (Ingatlah) ketika Tuhan berfirman kepadanya (Ibrahim), “Berserah dirilah!” Dia menjawab, “Aku berserah diri kepada Tuhan alam semesta Dan Ibrahim mewasiatkan (ucapan) itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya’kub. “Wahai anak-anakku sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untukmu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim. (QS Al-Baqarah: 131-132).

 

(Astuti, 2014) pula berpendapat bahawa Nabi Ibrahim AS dikenal sebagai bapa para Nabi dan kebanyakan Nabi utusan Allah SWT berasal dari keturunan Nabi Ibrahim. Kemudian diteruskan kepada anaknya Nabi Ismail dan Nabi Ishaq sehingga berakhir kepada Nabi Muhammad SAW.  Hal tersebut tentu bukan sekadar kebetulan dan bukan pula sekadar keberuntungan bagi Nabi Ibrahim AS. Namun, peranan yang begitu besar dari Nabi Ibrahim AS adalah sebagai peribadi yang lurus dan benar (hanif) dan seorang yang memiliki visi ke depan. Dengan kata lain, beliau bukan saja berfikir bagaimana kehidupan anak keturunannya esok hari di dunia, bahkan beliau telah memikirkan bagaimana kehidupan anak keturunannya di akhirat kelak. Walaupuan beliau lahir dari seorang ayah penyembah berhala.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu Imam (pemimpin) bagi seluruh manusia”. Ibrahim berkata: “(Dan saya mohon juga) dari keturunanku”. Allah berfirman: “Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim” (Al-Baqarah:124).

 

Selain itu, Islam juga dikenali sebagai agama yang syumul amat menitikberatkan keperluan dan kebajikan umatnya. Ajaran yang terkandung di dalamnya mudah dan tidak membebankan penganutnya untuk memahami dan mengamalkannya. Kita sebagai orang Islam hanya perlu menurut segala suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya untuk mendapatkan kesenangan yang kekal abadi di akhirat nanti. Bagi mereka yang sentiasa redha dan ikhlas pula begitu merasai ketenangan walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran dalam menegakkan agama Allah itu.

 

Tiada kepayahan dan kesukaran dalam beribadah. Allah telah memfardukan ibadah dalam keadaan mudah bagi meringankan umatnya dan bersesuaian pula dengan keupayaan kita sebagai manusia. Firman Allah yang bermaksud: ‘Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (al-Baqarah: 185)

 

Pelbagai kemudahan diberikan dengan mengadakan rukhsah bagi mereka yang tidak berupaya beramal sebagai contoh, mereka yang tidak mampu berwuduk kerana faktor tertentu dibolehkan bertayamum. Begitu juga mereka yang bermusafir dibenarkan menunaikan solat secara jamak dan qasar. (Bicara Agama, 2007)

Sesungguhnya, Islam juga merupakan agama yang menekankan konsep rukhsah dalam menjalani kehidupan seharian.  Ia merupakan manhaj al-Quran dan al-Nabawi yang banyak diterapkan dalam pelbagai tingkah laku manusia termasuk konteks ibadah, muamalat dan sebagainya.  Penerapan konsep al-taysīr atau rukhsah bukan sahaja akan memudahkan urusan penghambaan seorang mukallaf dalam bentuk ibadah, malah akan lebih memudahkan segala urusan kehidupan yang berbentuk keduniaan. (Syh Noorul Madihah Syed Husin, Raihanah Azahari & Asmak Ab Rahman, 2014)

 

Walau bagaimanapun, konsep Islam agama mudah dapat difahami dengan membincangkan bukti kebenaran konsep tersebut sebagaimana menurut (Wan Mukhtar Wan Muda, 2009) sebagaimana berikut:

  1. Syariat Islam adalah mudah.

 

Allah SWT telah berjanji menjadikan Syariat Islam sebagai syariat yang mudah. Ini bersandarkan pada firman Allah SWT yang bermaksud:

“Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah. (Surah An-Nisaa`:28)

 

Manakala (Izham, 2013) pula berpendapat dalam konteks perbandingan Syariat dalam agama Yahudi dan Nasrani misalnya, dalam agama yahudi seorang perempuan yang haid itu tidak boleh digauli oleh suaminya selama mana dalam keadaan haid dan tujuh hari selepasnya. Jika dia melanggari perkara tersebut maka akan ditambah bilangan hari seterusnya. Dalam masa yang sama pasangan tidak dibenarkan berkedudukan sekali.

 

Tetapi, dalam Syariat Islam pula, perempuan yang haid juga tidak boleh digauli. Namun apabila perempuan itu bersuci maka larangan itu terbatal. Selain contoh itu, kaum Yahudi tidak boleh kahwin dengan selain mereka bahkan ada beberapa kumpulan mazhab dalam Yahudi tidak membenarkan kahwin dengan mazhab yang lain.

 

(Izham, 2013) juga menegaskan bahawa keperluan manusia kepada agama sebenarnya bersesuaian dengan fitrah manusia. Begitu juga dengan dalam agama Kristian yang tidak membenarkan paderi berkahwin dan dalam agama Hindu tidak membenarkan makan daging lembu dan sebagainya. Maka ini menggambarkan kepada skop keadilan dan mudahnya Islam itu adalah lebih jelas apabila ada perbandingan dengan agama selainnya.

 

  1. Keyakinan menghapuskan syak

 

Keyakinan ialah perihal yakin, kepercayaan yang sungguh-sungguh, kepastian, kesungguhan, ketentuan. Syak pula didefinisikan sebagai rasa kurang yakin, curiga, sangsi dan was-was.

 

Kaedah ini ialah perasaan syak atau was-was tidak dapat menghapuskan keyakinan seseorang. Contohnya ialah seseorang yang telah yakin mengambil wudu`, kemudian timbul perasaan syak adakah ia terbatal atau tidak, dia masih dianggap berwudhu`. Berdasarkan dalil kaedah hadis dari Nabi SAW telah bersabda, jika kamu menghadapi masalah kesakitann perut, namun tidak pasti adalah terkentut atau tidak, janganlah keluar daripada masjid (tidak perlu berwudhu`) sehinggalah terdengar bunyi ataupun berbau’ (Muslim t.th:276)

 

Cara pendalilannya ialah, asalnya seseorang yang berwuduk kekal dalam keadaan berwudu`. Ia tidak terbatal dengan semata-mata syak atau zann. Justeru, dia kekal dalam keadaan yakin berwuduk sehinggalah terdapat bukti berhadas yang menyakinkan seperti bunyi kentut atau berbau. (Abdul Manan Ismail, 2005)

 

  • Kesukaran membawa keringanan.

 

Konsep ini bermaksud bebanan dalam ibadah misalnya menjadi kesukaran terhadap hamba-hamba, untuk itu kesusahan tersebut juga menjelaskan kepada kita bahawa agama Islam itu membawa konsep kemudahan terhadap umatnya dan memberi keringanan bukan kesusahan dan kesempitan. Walaupun begitu, kita terlebih dahulu menentukan kesusahan (musyaqqah) yang menjadi sebab keringanan. (Tayibah, 2016)

 

Menurut (Abdul Manan Ismail, 2005) secara umumnya kaedah ini bermaksud hukum hakam yang mendatangkan kesukaran untuk dilaksanakan oleh mukallaf akan diringankan cara pelaksanaanya oleh Syarak. Namun demikian, ia bukan bererti semua kesukaran diberikan keringaan.

 

Oleh sebab itu, dabit (penentu) kesukaran yang diberikan rukhsah atau keringanan oleh Syarak yang mana kesukaran yang tidak dapat dielakkan dalam menjalani ibadah. Kesukaran ini tidak diberikan keringana oleh Syarak kerana ia pasti berlaku dalam mengerjakan ibadah, contohnya ialah kesukaran dalam pelayaran untuk menunaikan haji atau jihad bukan merupakan alasan untuk tidak melaksanakan tuntutan tersebut kerana kesukaran tersebut tidak dapat dielakkan. Selain itu, kesukaran yang biasanya dapat dielakkan dalam menjalani ibadah ia terbahagi kepada tiga peringkat iaitu:

 

  1. Kesukaran besar, ia diberikan keringanan oleh Syarak. Contohnya, kesukaran yang akan melibatkan kehilangan nyawa, maruah atau harta. Oleh demikian, jika perjalanan menuju ke Baitullah (Mekah) tidak selamat, ibadah haji tidak wajib.

 

  1. Kesukaran sederhana, jika lebih hampir kepada kesukaran besar, ia mengambil hukumnya dan begitulah sebaliknya. Contohnya ialah demam biasa.

 

  1. Kesukaran kecil yang mungkin berlaku, ia tidak diberikan keringanan oleh Syarak seperti kesukaran timbul apabila ingin mengambil wuduk dengan air sejuk di tempat dingin.

Selanjutnya (Wan Mukhtar Wan Muda, 2009) menyatakan berdasarkan kaedah feqh, Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan dan keringanan. Maka kesukaran yang melampaui batasan biasa dan tidak mampu ditanggung oleh manusia menjadi sebab kepada keringanan. Misalnya orang yang uzur daripada menggunakan air untuk berwudhuk diharuskan bertayamum.

 

  1. Mengharuskan yang haram sebab terpaksa

 

Definisi ad-darurah dari sudut bahasa: Ad-darurah berasal dari perkataan ‘ad-dhar’ dan mempunyai maksud: Berlawanan dari manfaat, ‘Masyaqqoh’ iaitu kesusahan dan al-hajat iaitu keperluan. Menurut al-Jurjani pula, ad-Dharurah bermaksud ‘menghilangkan apa yang tidak mampu ditanggung olehnya’.

 

Manakala takrif dari segi istilah: Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaily ad-Darurah bermaksud: Keadaan berbahaya atau kesusahan yang menimpa seseorang manusia dan keadaan itu menyebabkan dia takut akan berlaku kemudaratan atau kesakitan kepada diri, anggota badan, harta benda, akal fikiran, dan sebagainya.

 

Oleh itu, diharuskan untuk membuat apa yang diharamkan, meninggalkan apa yang diwajibkan atau mengakhirkan dari waktu yang sepatutnya mengikut kehendak syarak”. (Zaharudin, 2015)

 

Sehubungan itu, mengikut kaedah fiqh: Darurat mengharuskan yang dilarang (al-Dharurat tu bihu al-mahzurat). Ia mengharuskan sesuatu yang haram kerana darurat tetapi kekal pengharamannya apabila hilang darurat tersebut. Misalnya diharuskan makan makanan yang haram sekadar untuk menjaga nyawa ketika ketiadaan makanan yang halal. (Wan Mukhtar Wan Muda, 2009)

   

  • KONSEP RUKHSAH SEBAGAI SEBAB KEMUDAHAN DALAM IBADAH

 

Menurut (Ismail Abdur Rahman, 2001) mentakrifkan Rukhsah dari segi bahasa bermaksud: Memudahkan dalam sesuatu urusan dan menyenangkan. Manakala dari sudut istilah fiqh adalah sesuatu yang telah disyariatkan daripada hukum yang telah tetap kerana keuzuran dan membelakangi hukum asal bersama terdirinya sebab yang diharamkan.

Selain itu, ulama fiqh juga mentakrifkan Rukhsah adalah apa yang telah disyariatkan oleh Allah SWT kerana kesukaran bagi mereka yang keuzuran dalam keadaan yang khusus. (Khalaf, 1984)

Menurut (Wan Mukhtar Wan Muda, 2009) matlamat syariat Islam menghilangkan kesulitan daripada manusia adalah untuk mencapai kemaslahah dalam kehidupan. Oleh itu, ulama fiqh telah menggariskan beberapa sebab yang boleh meringankan serta menggugurkan taklif antaranya ialah:

  1. Keuzuran atau sakit

Orang yang uzur tidak mampu untuk melaksanakan perintah Allah SWT dengan kaedah yang sempurna seperti pesakit yang menghadapi penyakit yang kronik yang dalam keadaan sedar dan ketika dalam rawatan. Ini kerana keupayaannya amat terhad dan terbatas. Contohnya, orang yang sakit dibolehkan berbuka puasa di siang hari pada bulan Ramadhan dan dibolehkan bertayammun sekiranya ketiadaan air atau anggota badan yang tidak boleh terkena air.

 

Menurut (Ismail Abdur Rahman, 2001) bagi pesakit yang menyebabkan kelonggaran dalam melaksanakan ibadah berdasarkan Firman Allah yang bermaksud: Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian) (Al-Nur: 61 dan Al-Fath:17)

 

Ayat diatas yang menjadi sumber hukum Syarak bagi pesakit seperti berbuka pada siang hari pada bulan Ramadhan, menyapu ke atas balutan, bertayammun, berpaling daripada masyarakat dan mengadap kiblat serta melakukan solat ketika sakit samada dengan duduk, berbaring atau menggunakan isyarat.

 

Justeru itu, tidak ada alasan bagi seseorang Islam untuk menunaikan kewajipannya dalam mendirikan solat walaupun ketika dalam keadaan sakit. Islam telah menggariskan cara-cara tertentu bagi memberi peluang kepada orang sakit untuk beribadah selagi akalnya masih dalam keadaan sedar dan waras. (Ismail Kamus, 2015)

 

  1. Musafir

Bermusafir membolehkan seseorang itu untuk mendapat keringanan dalam melaksanakan ibadah. Contohnya dibolehkan orang yang bermusafir untuk menghimpunkan (jamak) serta memendekkan (qasar) solat fardhu.

 

(Ismail Abdur Rahman, 2001) meringkaskan yang dinukilkan daripada al-Ghazali, dalam penentu sebab keringanan bagi orang yang bermusafir seperti menyapu dua khuff (sejenis kasut dalam masyarakat Arab yang menutupi kedua mata kaki) , bertayammum, menqasarkan solat, menjamakkan solat, menaiki kenderaan, pejalan kaki yang jauh dan berbuka di siang hari bulan Ramadhan.

 

  1. Kejahilan

Orang yang jahil tidak akan dikira pentaklifannya kerana kejahilannya. Misalnya kisah Arab Badwi yang telah kencing dalam masjid kerana kejahilannya. Dia tidak dikira berdosa kerana dia tidak tahu bahawa haram kencing dalam masjid sehingga dinasihati dengan berhemah dan berhikmah oleh Rasulullah SAW. (Wan Mukhtar Wan Muda, 2009)

 

Menurut (Abu Numair Nawawi Subandi, 2011) menyatakan antara faedah dapat kita ambil melalui hadis yang mengisahkan Arab Badwi yang kencing dalam masjid itu, antaranya:

  1. Menunjukkan larangan kencing atau membuat kekotoran di dalam masjid. Kerana masjid adalah tempat yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya. Masjid adalah tempat untuk berzikir (mengingati Allah), melaksanakan solat, membaca al-Qur’an, dan majlis ilmu.

 

  1. Menunjukkan air kencing manusia adalah suatu yang kotor dan najis. Cara menyucikannya adalah dengan membersihkannya menggunakan air.

 

  • Hadis ini menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam menangani orang yang jahil. Iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan membuat kekotoran di masjid, tetapi Nabi SAW tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan dan sebab-sebab tertentu. Rasulullah SAW menasihati dan menunjukkan contoh yang tepat kepada para sahabatnya dalam menghadapi karenah orang-orang jahil.

 

  1. Menolak kemudharatan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut dicegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudharat serta membahayakannya. Kerana kencing yang dihentikan dengan tiba-tiba boleh mengundang risiko dan sakit. Atau mungkin ia akan terkejut lalu berpindah atau lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh badannya pula. Tetapi dengan sebab contoh kebijaksanaan Rasulullah SAW, maka najis tersebut hanya terkena pada satu tempat sahaja. Orang Badwi tersebut pula berjaya dinasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah serta tidak diperlakukan dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Dan najis tersebut dapat dibasuh dengan sempurna hanya dengan sebaldi atau sebekas air.

 

  1. Terpaksa

Terpaksa tanpa kerelaan juga merupakan sebab yang membolehkan seseorang Islam itu digugurkan taklif. Misalnya seseorang yang sangat lapar boleh makan makanan yang haram jika tiada makanan yang halal seperti memakan bangkai atau meminum arak dengan sebab tiada makanan atau minuman halal yang memudharatkan nyawa. (Wan Mukhtar Wan Muda, 2009)

 

Menurut (Ismail Abdur Rahman, 2001) Al-Ikrah ialah terpaksa dan menanggung selain atas apa yang tidak diredhainya atau kerelaannya daripada perkataan atau perbuatan. Bermaksud paksaan yang selain daripada hak ataupun paksaan dengan hak seperti penghutang mampu membayar hutang. Manakala, paksaan pada perbuatan seperti membunuh tanpa hak atau meminum arak atau berzina dan mengharuskan berlafazkan dengan kalimah kafir dan bersumpah ketika dipaksa disamping hati tetap beriman kerana Allah SWT. Firman Allah bermaksud: Sesiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang berlapang dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar (An-Nahl:106)

 

  • KESIMPULAN

Sesungguhnya agama Islam yang menjadi pegangan dan pengamalan kepada kita adalah bersumber dari al-Quran dan al-Sunnah yang merupakan asas ilmu dalam pemanduan umat Islam ke jalan yang benar dan sebagai pemudah cara dalam mengatur kehidupan manusia sehingga kini.

Sungguhpun Allah SWT mencipta manusia adalah untuk mencapai kesempurnaan ibadah kepada-Nya dan memakmurkan bumi ciptaan-Nya. Namun dalam konsep peribadatan kepada-Nya, telah diperuntukkan rukhsah dalam perlaksanaan ibadah bagi mereka yang tidak berkemampuan melaksanakan dengan sumpurna agar agama dianuti sebati dalam kehidupan yang telah ditetapkan peraturan yang telah disyariatkan.

Demikianlah, Islam sebagai agama yang rahmatan lil’ ‘alamin yang mencerminkan aspek hikmah dan kemudahan dalam ajaran-ajarannya. Kita sebagai umat, telah dipilih oleh Allah SWT untuk menikmati kemudahan-kemudahan tersebut.

Akan tetapi, kemudahan dalam Islam bukan bererti sebagai landasan untuk meremehkan dan melalaikan kewajiban-kewajiban yang telah ditetapkan. Rukhshah bukan untuk dijadikan apologi, keringanan yang dianugerahi oleh Allah SWT kepada kita, jangan sampai membuat kita jauh dari-Nya. Namun, Islam sebagai agama yang mudah merupakan manifestasi nyata bahawa ajaran Islam bukanlah larangan yang menyusahkan, melainkan ajaran yang penuh kasih-sayang dan rahmat.

 

Justeru itu, kita seharusnya menyedari dalam memeliharakan agama dan mengamalkan dengan penuh penghayatan serta dapat disebarkan melalui proses tauladan kepada masyarakat bukan Islam agar Islam dapat dilihat melalui konsep yang agama yang amat mudah sebagai cara hidup sebagaimana yang telah diterangkan, bahawa Allah SWT sayang kepada hamba-Nya dengan tidak membebankan dalam melakukan ibadah dan menjalankan kehidupan, maka seharusnya Islam disebarkan dengan penuh kasih sayang dan berhikmah kepada orang Islam dan masyarakat bukan Islam dengan cara yang terbaik dan nilai-nilai murni.

 

Rujukan :

DDHK . (2014, Januari 02). Islam Itu Mudah dan Memudahkan. Diambil kembali dari DD Hongkong.Org: http://ddhongkong.org/islam-itu-mudah-dan-memudahkan-2/

Abdul Manan Ismail. (2005). Kajian Syariah dan Undang-Undang. Kaedah-kaedah Fiqh : Satu Pengenalan Ringkas, 9.

Abu Numair Nawawi Subandi. (2011, Jun 03). Mengambil Faedah Hadis Badwi Kencing Di Masjid . Diambil kembali dari Fiqh Sunnah: http://fiqh-sunnah.blogspot.my/2011/06/mengambil-faedah-dari-hadis-badwi.html

Anisah Abdul Ghani. (2010). ABSB3103. Selangor: Open University Malaysia (OUM).

Astuti, A. A. (2014, Oktober 10). Meneladani Nabi Ibrahim dalam Mendidik Anak. Diambil kembali dari Majalah Embun: http://majalahembun.com/meneladani-nabi-ibrahim-dalam-mendidik-anak/

Bicara Agama. (2007, Jun 11). Utusan Online. Diambil kembali dari Bicara Agama: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

Ghonim, S. M. (2012, Disember 12). Agamo Comey : Islam as a beautiful. Diambil kembali dari Youtube: https://www.youtube.com/watch?v=AF3K58lE8jg

Ismail Abdur Rahman, M. M.-M. (2001). Dirasat Fi Ilmu Al-Usul. Mansoura, Arab Republic Of Egypt: Al-Azhar University Al-Mansoura.

Ismail Kamus. (2015). Indahnya Hidup Bersyariah. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd.

Izham, M. U. (2013, Februari 12). Agama: Apakah Maksud Islam Itu Mudah? Didapatkan dari Langit Ilahi Dot Com: http://langitilahi.com/v2/11859

K.H. Miftah Faridi. (2014). Indahnya Ibadah Muslim Kosmopolitan : Kaedah beribadah dalam kesulitan,kesibukan dan kesempitan kehidupan di Bandaraya. Selangor: PTS ISLAMIKA SDN.BHD.

Khalaf, A. W. (1984). Ilmu Usul Al-Feqh. Qaherah: An-Nashir Lil Taba`ah Wa Nashr Wal Tauzi`.

Syh Noorul Madihah Syed Husin, Raihanah Azahari & Asmak Ab Rahman. (2014). Konsep al-Taysir dalam Perbelanjaan Perkahwinan Islam. Jurnal Syariah, UKM, 324.

Tayibah. (2016, 07 01). Tayibah.Com. Diambil kembali dari Qawaid Feqhiyyah: http://www.tayibah.com/eIslam/kesusahan_membawa_kemudahan.php

Wan Mukhtar Wan Muda. (2009). ABSY1103 Pengenalan Kepada Syariah. Selangor: Open University Malaysia (OUM).

Zaharudin, B. (2015, Mei 22). Konsep ad-Dharurah Dalam Islam. Diambil kembali dari bintuzaharudin92: https://bintuzaharudin92.wordpress.com/2015/05/22/konsep-ad-dharurah-dalam-islam/

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.