lelaki_spiderman

Suatu ketika dulu, dia pernah menggemparkan Malaysia dalam cubaan memanjat Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur. Perbuatan itu dilakukan kira-kira pada tahun 1997. Namun, usaha tersebut gagal membawanya sampai ke puncak apabila dia ditahan pada tingkat 60. Dia bukanlah pelakon utama watak Spiderman. Malah, gelaran lelaki Spiderman atau labah-labah manusia diberi kerana keberanian luar biasa melakukan aksi memanjat seperti dalam filem tersebut.

Siapa sebenarnya dia? Spiderman realiti ini dikenali sebagai Alain Robert. Boleh dikatakan keghairahan melihat bangunan pencakar langit menyebabkan dia sering memanjat struktur binaan tersebut meskipun puncaknya mencapai status tertinggi di dunia. Sebelum itu, perlu anda ketahui bagaimana cara lelaki ini mendapat gelaran labah-labah manusia cuba lihat bagaimana labah-labah memanjat dinding. Tiada sebarang alat bantuan bukan? Cara begitu adalah gambaran sebenar kepada perlakuan lelaki Perancis ini tatkala memanjat binaan tertinggi di negara-negara tertentu. Wow, hebat bukan?

Tidak kira sama ada abah-abah atau peralatan keselamatan lain, semuanya tidak terlibat langsung dalam aktiviti memanjat bangunan. Robert hanya menggunakan kekuatan tangan dan kaki semata-mata. Namun, siapa sangka tanpa peralatan keselamatan lelaki ini mampu sampai ke puncak menara yang ditakluki. Semua ini bermula dengan perasaan teruja selepas menonton cerita “ The Grieving Snow ‘. Filem yang mengisahkan tentang dua beradik menyelamatkan individu di Gunung Mont Blanc memberi inspirasi ketika dia berusia lapan tahun. Sejak itu, dia berazam untuk menjadi lebih berani dalam meneruskan aktiviti kesukaannya.

Percaya atau tidak, Robert menggunakan bahagian bangunan yang timbul seperti besi atau bingkai tingkap untuk memudahkan langkahnya setiap kali memanjat. Selalunya cara tersebut Berjaya membantu Robert untuk berpaut sehingga tiba ke puncak menara. Selain itu, bagi mengelakkan tangannya berpeluh, Spiderman manusia ini menggunakan serbuk kapur supaya permukaan tangan sentiasa berada dalam keadaan kesat dan tidak licin. Untuk memudahkan kerja, serbuk kapur ini dimasukkan ke dalam uncang lalu diikat pada bahagian pinggang.Tujuannya supaya senang dibawa bersama sepanjang melakukan aktiviti tersebut.

Walaupun sering terdedah dengan risiko kematian, lelaki luar biasa ini tidak pernah kenal erti gayat. Sehingga kini, lebih 100 buah bangunan tinggi berjaya dipanjat oleh Robert. Antaranya Menara Eiffel, Opera House di Sdyney, Menara Montparnasse di Paris, Willis Tower, di Chicago dan banyak lagi. Namun begitu, pelbagai dugaan berlaku di sebalik kejayaan Robert memanjat binaan pencakar langit. Terbaru, Alain Robert menakluki bangunan berputar tertinggi dunia di Dubai. Rekod terbaru yang dilakukan pada April 2015 itu berjaya diraih apabila berjaya memanjat bangunan berukuran 1007 kaki dalam masa 70 minit.

Persoalannya, bagaimana Robert mampu memanjat sampai ke puncak menara?

Majalah Infiniti, berjaya mendapatkan penjelasan pakar dari Pensyarah Kanan dan Penyelaras Makmal Penyelidikan Anatomi dan Histologi 1, Jabatan Anatomi Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putera Malaysia, Dr. Che Norma Mat Taib mengenai lelaki Spiderman.

Menurutnya, faktor kandungan atau bilangan serat otot yang banyak membolehkan otot Robert tidak mudah penat. Keadaan ini sekaligus menyebabkan dia memiliki daya ketahanan tinggi walaupun melibatkan tempoh aktiviti yang lama (endurance). Ini terbukti dengan penemuan sains bahawa semakin besar saiz otot, semakin kuat ia bekerja.

Namun, ada juga individu yang kuat tanpa mempunyai saiz otot besar atau sasa terlibat dalam aktiviti angkat berat. Situasi itu digambarkan seperti keadaan Alain Robert.

Menjelaskan perkara ini lebih lanjut, Dr.Che Norma Mat Taib berkata, faktor kedua pula kemungkinan Robert mempunyai tangan istimewa yang membolehkan dia memegang benda

dengan cukup sempurna/baik. Ini disebabkan oleh permukaan tapak tangan dan hujung jari manusia adalah tidak sekata dan mempunyai pusaran ‘fingerprint’ (lebih jelas dilihat menggunakan kanta pembesar atau mikroskop). Bagi mereka yang dilahirkan tanpa cap jari, ia dipanggil ‘Adermatoglyphia‘. Golongan ini mengalami kesukaran untuk memegang sesuatu benda terutama objek permukaan licin seperti gelas. Kesannya, barang mudah terlepas daripada genggaman.

Tambahnya, kelebihan ini dapat dilihat pada haiwan jenis memanjat seperti orang utan, monyet dan kera. Hujung jari haiwan ini lebih istimewa jika dibandingkan dengan manusia. Sebenarnya, saiz dan panjang anggota badan menyokong kebolehan manusia dan haiwan. Sebagai contoh,orang hutan mempunyai tangan lebih panjang berbanding dengan anggota bawah (kaki) yang jarang digunakan. Sebabnya, haiwan tersebut lebih banyak menghabiskan masa bergayut di dahan pokok berbanding berjalan di tanah rata.

Berbalik kepada cerita manusia Spiderman, Dr. Che Norma Mat Taib memberitahu sememangnya wujud kemungkinan untuk individu lain menjadi seperti Alain Robert. Melalui latihan berterusan serta amalan gaya hidup sihat mampu menjadikan sistem badan sentiasa kekal cergas dan kuat. Di samping itu, azam dan semangat tidak mudah berputus asa menambahkan lagi keyakinan dalam melakukan aktiviti tersebut.

Pada September 2009, sekali lagi dia melakukan aktiviti memanjat Menara Berkembar Petronas untuk kali ketiga. Seperti biasa, Robert Berjaya sampai ke puncak menara tanpa

bantuan abah-abah. Selain kejayaan menakluki binaan pencakar langit, Robert turut memperoleh pelbagai anugerah. Antaranya di dalam Rekod Guiness Book sebagai pendaki Burj Khalifa terpantas pada tahun 2011.

Sumber : Majalah Infiniti Ogos 2015 m.s 39-41

Oleh : Nur Amirah Tuah

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net adalah Rakan Penyelidik Nusantara dalam pembangunan dan perkembangan kajian Sains Sosial , Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perundangan Syariah di Nusantara. Selain itu, menyediakan Perkhidmatan & Perundingan Guaman Syarie dan Pengurusan Harta Islam. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.