hamba

Apa yang dialami akan mudah ditulis. Sungguh ! apabila kita menulis sesuatu yang sudah dialami, tulisan kita akan mudah dirasai. Bahasa yang jadi tajam dan indah. Istilah akan jadi tepat dan memikat. Untuk alami mesti amali. Untuk merasai sesuatu, kita perlu mengamalkannya. Apabila sudah mengamalkannya, bermakna kita sudah bersedia untuk menulisnya. jangan atau elakkan daripada menulis sesuatu yang belum kita rasai, nanti tulisan kita akan jadi kejang, kontang dan keras. Tidak kukuh apalagi menyentuh.

Amalan Jadi Tulisan

Bayangkan kita diminta menggambarkan keistimewaan sate kajang tanpa pernah merasainya. Jika maklumat yang kita dapat hanya melalui buku-buku, cerita orang atau Internet, penjelasan dan penerangan kita akan hambar : ‘Bahasa tubuh’ dalam tulisan kita hampir tidak ada. Yang ada hanya perkataan dan intonasi yang terlalu terbatas untuk dirasai.

Kita hanya dapat menceritakan rupanya. Resipi, bahan dan cara membakar sate kajang. Semasa menulis tentang kelazatan sate kajang, hati dan fikiran kita sendiri tertanya-tanya, apakah benar sate kajang itu seenak maklumat yang kita miliki ? Ya, kita cuba meyakinkan diri sendiri. Namun, kita baru ‘cuba’ meyakinkan diri, belum benar-benar yakin. Berbeza jika orang yang telah merasainya atau terlibat secara langsung menghasilkan sate kajang. Matanya, mulutnya, tangannya, bahunya akan bergerak sekali ketika menceritakan keenakan sate kajang itu. Jika dia punya kemahiran berbahasa, menguasai perbendaharaan kata, insyaAllah, tulisannya akan ‘hidup’. Ayat, bahasa, istilah dan tanda bacaan akan terluncur secara automatik menzahirkan apa yang ada dalam hati dan fikirannya.

Begitulah para ulama yang beramal dengan ilmunya apabila mereka menulis. Mereka bukan menulis dengan ilmu tetapi dengan amalan. Bacalah tulisan Imam al-Ghazali apabila menerangkan tentang solat. Beliau menggambarkan betapa apabila mendengar azan, seseorang mesti membayangkan seoiah-olah panggilan itu untuknya menuju ke padang mahsyar. Bayangkan pula apabila beliau menjelaskan tentang khusyuk dan terbukanya hidayah dan dikurniakan rohaniah bagi seorang hamba dalam solat yang tidak akan terbuka di luar solat.

Ya, ramai orang yang menulis tentang solat, tetapi kenapa tulisan imam-imam besar yang terasa dan menusuk ke hati? Jawabnya, kerana mereka mengalaminya setelah mengamalkannya.

Berkali-kali telah diperingatkan, bahawa untuk menyampaikan satu mesej dalam tulisan, maka penulisnya mestilah terlebih dahulu menjadi mesej itu. Hanya orang yang yakin dapat meyakinkan.

Lebih-lebih lagi penulis Islam, mereka sentiasa diperingatkan oleh firman Allah: “Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan!” [1]

Makna Melahirkan Kata-kata

Makna mencari bahasa, bukan sebaliknya. Maksudnya, apabila makna sudah ada dalam jiwa, secara automatik makna akan mencari bahasa yang tepat untuk menggambarkan dirinya. Misalnya, apabila seorang jatuh cinta dan rasa cinta itu berkobar-kobar dalam jiwanya, secara tidak sedar, tanpa belajar, dia jadi pandai mencari bahasa untuk menyatakan rasa cinta kepada yang dicintainya.

Tidak hairan apabila seorang lelaki yang jatuh cinta tiba-tiba menjadi seorang penyair. Daripada seorang yang tegar dia bertukar menjadi peminat puisi dan lagu. Mengapa? Jiwanya! Jiwanya merasai keindahan cinta. Begitulah, makna yang sudah bersemi dalam jiwa akan menjemput kemahiran dan kebijaksanaan berbahasa. Bandingkan puisi ahli sufi yang mencintai Allah dan puisi seniman yang memuji kekasihnya. Ada kalanya sama indah. Yang berbeza hanya tujuan dan kesan. Ahli sufi memuji Allah, menyatakan kebenaran dengan keindahan.

Sebaliknya pemuja wanita menyatakan kebatilan dengan keindahan. Yang satu menjadikan hati bertambah kukuh, yang satu lagi membuat hati menjadi runtuh.

Apa ada di hatimu? Apa yang sedang ! kau rasai ? ltulah yang terluah melalui lisan dan tulisanmu. Jika indah, indahlah bahasa dan ayat-ayatmu. Jika benar, maka benarlah tulisan dan mesejmu.

Justeru, menjadi seorang penulis, bukan hanya menjadi pemikir tetapi menjadi seorang ‘perasa’ yang sentiasa mencari pengalaman-pengalaman rohani dalam perjuangannya membawa diri dan hatinya kepada Allah SWT.

Rasa Sebagai Tinta

Ada kalanya kalah. Lalu kekalahan itulah yang ditulis penuh sayu, kesal dan air mata menangis, lalu tangisan itulah yang menjadi dakwat tintanya yang mencakar-cakar hati orang yang membaca tulisananya nanti. Dia kalah, namun dia tidak pernah mengalah. Lalu lahirlah tulisan-tulisan yang sentiasa membangunkan harapan dan menghidupkan impian untuk terus menuju Allah dalam hatinya sendiri dan dalam diri pembaca tulisannya.

Sesekali, ketika penulis itu ‘direzekikan’ oleh keindahan rasa ketika bercanda dengan kebenaran, bermesra dengan kebaikan, maka terhasil pula puisi, tulisan dan coretan yang harum, segar dan menghidupkan siapa yang membacanya. Tidak hairan nanti akan ada pembaca yang berkata, “Aduhai, dia menulis apa yang aku rasai !”

Kata-kata tidak bermakna kecuali setelah, dimakna oleh penulis. Justeru, hidupkanlah jiwa setiap kali menulis.

Itulah yang akan menghidupkan tulisan. Itulah roh dalam tulisan. Roh itu wujud sebelum jasad. Ertinya, makna terlebih dahulu hadir kemudian barulah kata-kata. Milikilah makna, insya-Allah kita

akan menemui kata-kata. Benarlah, penulisan suatu kemahiran. Kemahiran ada yang boleh dipelajari ada yang hanya boleh dirasai. Ada yang boleh diajar, dan ada pula yang hanya boleh dipelajari. Sukar? Tidak sekali-kali. Hanya perlu hati yang tulus. Tuluslah, insya` Allah, jalan akan menjadi lurus. Insya-Allah apabila jiwa sudah merasa, tinta akan bijaksana mencari kata-kata. [2]

————————————————

[1] Al-Saff : 61: 2-3)

[2] Lihat : Pahrol Mohamad Judi, Makna Itu Yang Mencari Bahasa, Telaga Biru (Majalah Solusi) : Kuala Lumpur, 2015, m.s 96

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.