Al-Quran merupakan kitab rujukan yang utama bagi umat Islam. Sepatutnya umat Islam pada hari ini tidak mempunyai masalah dengan pembelajaran al-Quran. Ini kerana kita telah dihidangkan dengan pelbagai kemudahan untuk memahami al-Quran, tidak sebagaimana zaman mula-mula al-quran diturunkan. Semuanya serba kekurangan. Sukar untuk mendapat alat tulis, kertas dan sebagainya. Bahkan sukar juga mendapatkan guru yang mampu mengajarkan al-Quran. Tetapi zaman itulah yang telah dibuktikan oleh sejarah sebagai sebaik-baik zaman dalam melahirkan generasi al-quran. Persoalannya sekarang adalah masalah sikap dan bukannya alatan atau bahan, kerana kita sudah mempunyai segala-galanya tetapi menyalahgunakan apa yang ada. Sepatutnya kita gunakan nikmat yang diberi oleh Allah SWT dengan memahami kitab Allah agar kita lebih dekat dengan Allah SWT. (Hanim Abdullah, 2015)

Menurut (Zahadi Jaafar, 2015) Isu ketidakupayaan pelajar untuk menguasai bacaan al-Qur’an dengan baik ( bertajwid ) amat membimbangkan. Pada peringkat sekolah rendah, guru-guru Pendidikan Islam telah memperkenalkan tulisan jawi dan tilawah selain ibadah, akidah, sirah, dan akhlak.

Dalam masa yang sama tugas guru tersebut turut dibantu oleh guru J-QAF.(Jawi, al-Quran, Arab dan Fardhu Ain). Manakala, pada sesi petang pula, pelajar akan mengikuti kelas KAFA (Kelas Agama Fardhu Ain). Di peringkat sekolah menengah pula, pelajar masih lagi belajar membaca al-Quran selain bahagian-bahagian lain.

Persoalannya ialah kenapa masalah ketidakupayaan penguasaan bacaan al-Quran  masih berlarutan?

Berdasarkan pemerhatian (Zahadi Jaafar, 2015) tempat bertugasnya, dikatakan hampir 20% pelajar tidak dapat membaca dengan baik dan hampir 3% pelajar tidak boleh membaca al-Quran.

Oleh yang demikian, beliau juga merujuk kepada kajian yang dilakukan oleh Fazlina Binti Fadzil dan Nurulazidah bt Jaafar : Unit Pengajian Islam Jabatan Pengajian Am, Politeknik Port Dickson Negeri Sembilan, telah mengaitkan permasalahan ini dengan kurang dorongan daripada ibu bapa dan kurang kesedaran oleh diri sendiri tentang kepentingan bacaan dan amalan al-Quran dalam kehidupan seharian. Justeru itu, perlu ada kepelbagaian teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk memudahkan pelajar menguasai bacaan al-Quran.

(Nor Asikin Arbain, 2015) berpendapat, masalah dalam menguasai bacaan al-Quran kebiasaannya melibatkan guru dan pelajar, selain itu peranan ibubapa dan masyarakat juga mempunyai pengaruh yang besar dalam menjamin keberkesanan dalam pendidikan.

Justeru itu, pihak pemimpin, masyarakat dan ibubapa perlu menyedari bahawa pelajar di sekolah adalah sebahagian daripada masyarakat, apa jua tindak tanduk dan perlakuan yang berlaku dil uar sekolah tentunya akan mempengaruhi jiwa pelajar.

Oleh itu,masyarakat pada masa kini tidak boleh bertindak menyalahkan guru atau sistem pendidikan semata-mata. Murid yang tidak berupaya membaca atau menguasai sepenuhnya al-Quran biasanya hanya belajar disekolah semata-mata dan tiada pengukuhan dan kesinambungan bacaan dan bimbingan dirumah.Maka, ibubapa perlu diberi pendedahan serta memahami bahawa pendidikan suatu proses membentuk insan.Tanggungjawab mendidik pelajar terhadap bacaan al-Quran tidak boleh diserahkan kepada guru semata-mata.

Walau bagaimanapun, masalah ketidakuapayaan membaca al-quran bukan masalah pada kekurangan bahan atau kaedah pembelajaran al-Quran. Pada zaman al-Quran mula diturunkan tidak terdapat kaedah-kaedah yang sepertimana kita lihat pada hari ini dengan kepelbagaian bahan, alat dan kaedah yang ada pada masa kini, tetapi kita masih menghadapai masalah yang sama.

Oleh itu, sebenarnya kita perlu lebih tegas dan keras dalam menangani pelajar yang tidak boleh menguasai bacaan al-quran. Cuba kita ingat kembali bagaimana kita berjaya menguasai bacaan al-Quran ketika mana kita masih di usia kecil. Ini semua berkat ibu bapa kita dahulu yang amat keras dan tegas tanpa ada kompromi dalam soal belajar al-Quran. Kalau dahulu tidak ada mainan yang canggih, tetapi ibu bapa tetap berkeras, apatah lagi dewasa ini yang pelajar didedahkan dengan pelbagai mainan yang melalaikan, sudah tentu ibu bapa perlu melipat gandakan ketegasan mereka. (Hanim Abdullah, 2015)

References

Hanim Abdullah. (2015, Oktober 18). Masalah Ketidakupayaan Membaca al-Quran. Didapatkan dari Universiti Perguruan Sultan Idris: https://myguru3.upsi.edu.my/

Nor Asikin Arbain. (2015, Oktober 20). Masalah Ketidakupayaan membaca al-Quran. Didapatkan dari Universiti Perguruan Sultan Idris: https://myguru3.upsi.edu.my

Zahadi Jaafar. (2015, Oktober 17). Masalah Ketidakupayaan Membaca al-Quran. Didapatkan dari Kaedah Mengajar Al-quran: https://myguru3.upsi.edu.my/

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.