Persoalan Umat : Perbezaan Pandangan Mazhab

Kepelbagaian identiti yang merupakan himpunan komponen-komponen budaya, bahasa, agama, sejarah, geografi dan sosial yang membezakan seorang manusia daripada manusia lain. Namun, komponen yang paling penting bagi identiti Islam yang dikongsi oleh semua Muslim dan membezakan mereka daripada bangsa, puak dan tamadun lain adalah As-Syariah Al-Islamiyyah. (Auda, 2014)

Menurut (Mohd Syariefudin , 2014) Malaysia majoriti penganut beragama Islam di Malaysia mengikuti Mazhab Syafie mempunyai bilangan penganut terbesar, sekitar 60 % daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

Walau bagaimanapun, bermazhab adalah bertujuan memudahkan kita mengamalkan agama dengan fahaman yang sebenarnya kerana kita tidak mampu dan kebanyakan kita tidak layak kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk berijtihad. Para ulama yang muktabar telah memudahkan kita memahami Islam dengan lebih mudah. (Bicara Agama, 2011)

Manakala, perselisihan pendapat di kalangan Mazhab Fiqh dan penyimpulan hukum-hakam Syariah dari pelbagai sumber yang bukan dilakukan atas kepentingan tertentu. Tetapi, berlandaskan metode tertentu yang harus dipegang oleh seorang mujtahid agar ijtihad yang dihasilkannya dapat diterima untuk mendapat kesimpulan yang sahih. (Muhammad Amar Adly, 2013)

Justeru, penulis akan menghuraikan empat Mazhab fiqh muktabar dalam Islam yang muncul setelah kewafatan Rasulullah SAW bagi memberi penjelasan dalam perkara-perkara yang tidak dijelaskan secara muktamad setelah dirujuk melalui al-Quran dan al-Sunnah.

Disamping itu, penulis akan mengupas beberapa sebab berlakunya perbezaan pendapat di antara Fuqaha` dalam Islam dan menganalisis perkara-perkara yang menjadi khilafiyyah pendapat dalam Mazhab serta membincangkan hikmah di sebalik perbezaan pandangan di kalangan Mazhab dengan mengaitkan isu yang menjadi persoalan umat hari ini.

Empat Mazhab Fiqh Muktabar yang terdapat dalam Islam.

 

Menurut (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2004) Mazhab bermaksud cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam.  Sebenarnya, perkataan Mazhab  adalah berasal daripada bahasa arab,  bermaksud kecenderungan dalam sesuatu perkara. (Bicara Agama, 2011)

Mengikut sejarah, ramai tokoh ulama’ mujtahidin muncul daripada awal kurun kedua hijrah hingga pertengahan kurun keempat. Mereka telah memainkan peranan dalam menyuburkan dan memajukan fiqh, seterusnya mengasaskan madrasah fiqh yang berjaya melahirkan ulama’-ulama’ besar dan pengikut-pengikut yang berpengaruh. Madrasah inilah yang dinamakan Mazhab-mazhab Islam atau fiqh beserta nama pengasasnya. (Mohd Salleh, 2007)

Munculnya Mazhab muktabar disebabkan keilmuan dan kebijaksanaan yang dimilki oleh para Imam Mazhab disamping faktor geografi yang menuntut para imam harus mengeluarkan hukum-hukum Islam yang berkenaan dengan kaedah fiqh yang sesuai dengan situasi masyarakat pada ketika itu. (Muhammad, Nasri & Sollehuddin, 2013)

Menurut (Muhammad, Nasri & Sollehuddin, 2013) Mazhab fiqh masyhur yang terus menerus memberi khidmat dan mempunyai pengaruh dalam bidang fiqh seperti berikut:

-Imam Abu Hanifah (80-150H)

-Imam Malik bin Anas (93-179H)

Imam al-Syafi’i (150-204H)

Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H)

 

Mazhab Hanafiyyah

Mazhab Hanafi merupakan Mazhab Fiqh dalam Islam yang diamalkan terutamanya di kalangan orang Islam di Iraq, Mesir, Turki, India dan sebahagian Afrika Barat. Mazhab ini merupakan Mazhab terbesar pengikutnya di seluruh dunia yang diasaskan oleh al-Nu`man bin Thabit bin Zuwata, dilahirkan di Kufah pada tahun 80 Hijriah dan berasal dari keturunan Parsi yang lebih dikenali sebagai Abu Hanifah. Antara tokoh gurunya yang masyhur ialah Ati bin Abi Rabah, al-Syai`bi, Ikrimah Maula Abdullah bin Abbas, Nafi maula Umar, Hammad bin Abi Sulaiman dan lain-lain lagi.

Dasar-dasar Abu Hanifah melalui sumber seperti al-Quran, al-Sunnah, ijmak, aqwal al-sahabah dengan kata lain beliau memilih mana-mana pendapat yang difikirkan benar dengan al-Qias dan ijtihad. Selain itu, Abu Hanifah terkenal sebagai imam yang banyak menggunakan pemikiran atau al-Qias dan bentuk ijtihad yang lain seperti al-istihsan dan al-`Uruf .

Namun, disebabkan tercetusnya pelbagai fitnah dan munculnya kelompok politik yang terdiri daripada golongan Khawarij, Syiah dan lain-lain daripada kalangan mereka yang berkepentingan dengan mencipta Hadis Palsu bagi menyokong pemikiran mereka. Oleh itu, beliau begitu teliti untuk menerima al-Hadis lain sebagai sumber hukum dan beliau akan menggunakan sumber-sumber ijtihad hanya apabila tidak ada nas al-Quran, al-Hadis sahih dan ijmak. Dengan itu, beliau dikenali sebagai Imam Ahl al-Ra`yi

 

Misalnya beliau menggunakan kaedah Al-Qias (persamaan) yang merupakan salah satu sumber utama dalam Syariah Islam yang menjadi sumber penetapan hukum seperti, Saidina Abu bakar al-Siddiq telah memberikan datuk hak yang sama seperti hukum bapa dalam perkara harta pusaka, qias atas persamaan sifat dan peranan kebapaan antara bapa dan datuk. (Wan Mukhtar , 2009).

 

Mazhab Syafieyyah

 

Mazhab kedua terbesar jumlah pengikutnya setelah Mazhab Hanafi. Pengasas Mazhab ini ialah Muhammad bin Idris bin Al-Abbas bin Uthman bin Syafie bin al-Saib bin Ubayd bin Abu Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdul Manaf. Beliau dilahirkan pada tahun 150 Hijrah bertempat di Gazza dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 204 Hijrah.

 

Imam Syafie` pada awalnya pernah menetap di Baghdad, selama beliau tinggal di sana, ia mengeluarkan ijtihad-ijtihadnya yang biasa disebut dengan istilah qaul qadim (pendapat yang lama).

 

Kemudiannya, Imam Syafie` berpindah ke Mesir kerana munculnya aliran Mu`tazilah yang telah berjaya mempengaruhi khalifah. Beliau melihat kenyataan dan masalah yang berbeza dengan yang sebelumnya ditemui di Baghdad. (Jainal , 2009)

 

Beliau kemudian mengeluarkan ijtihad-ijtihad baru yang berbeza, biasanya disebut dengan istilah qaul jaded (pendapat baru) di Mesir. Imam Syafie berpendapat bahawa qaul jaded tidak bererti menghapus qaul qadim (pendapat lama).

 

Jika terdapat keadaan yang baik dengan qaul qadim ataupun dengan qaul jaded, maka dapat dipilih untuk digunakan salah satu daripadanya. Oleh yang demikian, kedua pendapat tersebut sampai sekarang masih tetap dianggap berlaku oleh para pengikut dalam Mazhab Syafie.

 

Kitab-kitab Imam Syafie ialah al-Risalah, kitab yang mengupas persoalan ilmu usul fiqh yang pertama dan kitab al-Umm, yang merupakan kitab besar ilmu fiqh. (al-Zuhayli, 1999)

 

Contohnya: Terlupa membaca Al-Fatihah dalam solat. Qaul Qodim: Solatnya sah. Qaul Jadid: Solatnya tidak sah. (Ahmad Nahrawi , 2011)

 

Mazhab Hanabilah

 

Mazhab ini kebanyakannya diamalkan oleh masyarakat Islam di Semenanjung Arab. Pengasas Mazhab ini ialah Abu Abdullah Ahmad bin Hanbal al-Syaybani al-Baghdadi. Dilahirkan di Baghad pada tahun 164 Hijrah dan meninggal pada tahun 241 Hijrah di tempat yang sama. Keyatiman beliau ini menjadi perangsang kekuatan jiwanya, kecerdikan akalnya dan ketinggian hikmahnya. Namanya terkenal Imam al-Sunnah dan himpunan al-Hadisnya juga terkenal dengan nama Musnad al-Imam Ahmad Hanbal yang berjaya menghimpun sejumlah 40,000 hadis dalam kitab Musnadnya.

 

Dasar Mazhabnya dalam ijtihad adalah hampir sama dengan prinsip Imam Syafie kerana beliau dididik oleh Syafie. Beliau menerima al-Quran, al-Sunnah, fatwa sahabat, ijmak, al-Qias, al-istishad, al-masalih al-mursalah dan sadd al-dharai dengan

mengutamakan al-Hadis mursal dan daif daripada al-Qias.

 

Konsep Sadd al-Dharai bermaksud menutup atau mencegah perkara-perkara yang dapat mendorong seseorang kepada hal yang dilarang dalam agama. Setiap perbuatan yang pada asalnya diizinkan tetapi datang sesuatu yang menyebabkan perbuatan itu seringkali bertukar menjadi mafsadah (kerosakan). Misalnya firman Allah SWT berfirman maksudnya:

 

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. (6:108)

 

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT melarang kita daripada mencaci tuhan-tuhan bukan Muslim kerana, ia akan membuka peluang kepada bukan muslim untuk mencaci semula Allah SWT. (Usul Fiqh, 2011)

 

Mazhab Malikiyyah

 

Mazhab Maliki diamalkan di Utara Afrika dan sebahagian Afrika Barat. Pengasas Mazhab Maliki ialah Malik bin Anas. Beliau lahir di Kota Madinah pada tahun 93 Hijrah. Imam Malik dilahirkan 13 tahun selepas kelahiran Imam Abu Hanifah.

Sewaktu hidupnya, Imam Malik mengalami dua corak pemerintahan iaitu Ummaiyyah dan Abbasiyyah, apabila pertelingkahan sengit dua pemerintahan sering berlaku. Maka, pengaruh ilmu pengetahuan Arab, Parsi dan Hindi tumbuh dengan suburnya dalam kalangan masyarakat.  Kelebihan Imam Malik merupakan seorang mempunyai daya kekuatan ingatan al-Quran dan al-Hadis apabila beliau mendengar al-Hadis daripada guru lalu menyimpulkan tali sebagai tanda mengingatkan bilangan al-Hadis yang dipelajarinya.

 

Mazhab ini berbeza daripada tiga Mazhab yang lain kerana terdapat tambahan kepada sumbernya. Selain menggunakan al-Quran, al-Hadis, Ijmak dan al-Qias, ia juga menggunakan amalan orang Islam Madinah pada zamannya itu sebagai sumber yang kelima.

 

Penerapan amalan orang Madinah dilihat sebagai al-Sunnah yang hidup pada hijrah Rasulullah SAW di Madinah, itulah antara yang pernah disebut dengan jelas dalam kitabnya ‘al-Muwatta` bahawa beliau menggunakan amalan ahl al-Madinah ini. (al-Zuhayli, 1999).

 

Contohnya, Imam Malik menggunakan kaedah zakat hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang mana Rasulullah SAW tidak mewajibkan. Sekiranya sayur-sayuran atau buah-buahan tersebut dijual, maka wang hasil penjualannya barulah wajib dizakatkan apabila berada di tangan pemiliknya selama setahun, itulah yang dikatakan amalan penduduk Madinah. (Anas Syauqi, 2016).

Sebab berlakunya perbezaan pendapat dalam Islam.

 

Permasalahan khilafiyah adalah masalah yang hukumnya tidak disepakati oleh para ulama. (Ilda Hayati, 2015). Menurut, (Haron Din, 2013) di antarara sebab-sebab perbezaan pandangan itu berlaku, antaranya:

Pertama:  Perbezaan arahan Nabi Untuk Individu Tertentu

Isu fiqh ibadah misalnya, Imam Muslim meriwayatkan terdapat sahabat yang cacat penglihatan mengatakan, “Aku tidak mempunyai pemandu untuk ke masjid untuk solat berjemaah, maka berilah aku keizinan untuk menunaikannya di rumah sahaja”. Lalu Baginda SAW memberikan keizinan kepadanya. Namun, apabila Baginda mengetahui orang tersebut menetap berhampiran masjid sehingga boleh mendengar laungan azan, Baginda S.A.W menarik semula keizinannya. (Sahih Muslim) Walaupun begitu, Nabi pernah memberi keizinan kepada saorang sahabat yang lain bernama ‘Itban bin Malik, tanpa ditarik semula keizinan. (Sahih Muslim,).
Namun, arahan tersebut mempunyai maksud tersendiri, tetapi ularna mempunyai pendirian berbeza dalam menanggapi kedua peristiwa ini sehingga memberi kesan kepada ijtihad dan kaedah mereka meletakkan hukum, lalu perbezaan pendapat mula tersebar. Contoh tersebut
menunjukkan Nabi SAW mernberikan arahan dan keputusan berbeza kepada orang yang berbeza.

Oleh itu, keperluan kepada kebijaksanaan dan kajian mendalam oleh para ulama dan ahli fiqh, untuk menentukan hukum yang lebih tepat bagi situasi yang berada di hadapannya. Mereka akan menentukan sumber rujukan hadis dan latar di sebalik hadis terbabit, bagi mengeluarkan jawapan hukum yang paling sesuai bagi keadaannya.

Kedua: Arahan Khusus Dilihat Sebagai Arahan Umum

Kes seorang sahabat Nabi yang miskin bernama Sulaykh al Ghartafani, memasuki masjid di ketika khutbah sedang berjalan, Nabi SAW rnengarahkannya untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid dua rakaat terlebih dahulu. (Sahih Muslim).

 

Terdapat ulama yang memahami arahan Nabi itu sebenarnya adalah khusus untuk sahabat miskin ini sahaja, ia adalah kerana Nabi inginkan para sahabat yang lain dapat melihat tahap kemiskinan sahabat tersebut (sewaktu beliau solat), seterusnya tergerak untuk membantunya kelak.

Dengan kayakinan itu, Mazhab Hanafi melarang sesiapa solat tahiyyatul masjid ketika khatib sedang berkhutbah, fatwa tersebut berbeza dengan beberapa Mazhab lain yang menggangap kebenaran tersebut adalah untuk semua umat Islam dan umum bukan khas untuk seorang sahaja.

Para sahabat Nabi yang berada di masjid ketika itu juga mempunyai perspektif berbeza terhadap arahan Nabi, lalu ada yang meriwayatkannya tanpa dikhususkan kepada apa-apa kes tertentu manakala ada yang memahami sebaliknya. Hasilnya, perbezaan pendapat dan ijtihad berlaku, sama ada di kalangan sahabat sendiri dan tentunya di zaman selepas itu.

Ketiga: Perbezaan Ilmu Bahasa Arab

 

Allah menurunkan al-Quran dengan bahasa arab, Firman Allah SWT bermaksud: Dan demikianlah kami telah menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab (Taha: 113). Disamping itu. Allah memilih Rasul yang fasih dalam bahasa arab dan ada ulama tidak mampu untuk memahami al-Quran dan sabda-sabda Nabi SAW dengan jelas. Perbezaan ulama dalam pendirian hukum syariah di antara kita dengan sebab ada jurang kefahaman bahasa arab sehingga menghasilkan perbezaan di antara fuqaha` dengan sebab jurang kefahaman di antara fuqaha`. (Risywan, 2001)

Keempat: Satu Perkataan Dengan Pelbagai Maksud

 

Dalam mana-mana bahasa, satu perkataan mempunyai dua atau lebih maksud, sama ada perbezaan itu berdasarkan bahasa rasmi dan persuratan ataupun terpengaruh oleh dialek setempat. Dalam hal ini, perkataan wudhu` adalah jelas merupakan perbuatan ibadah khusus untuk menunaikan solat dan memegang Al Quran. Namun begitu dari sudut bahasanya, wudhu` juga membawa maksud membersih dan membasuh tangan dan boleh membawa maksud wudhu pada istilah ibadah.

Imam At Tirmidzi menyebut dalam kitab beliau “Shama’il Muhammadiah“, seorang sahabat bernama Salman bertanya kepada Nabi, katanya menurut kitab Taurat, wudhu` selepas makan boleh membawa berkat, lalu beliau meminta ulasan dari Baginda Nabi, Nabi kemudiannya menjawab, “Wudhu` sebelum dan juga selepas makan adalah sumber keberkatan dalam makanan tersebut”. (Shamail, No:186)

Manakala, hadis yang disebutkan oleh Salman ini, majoriti ulama berpendapat lafaz wudhu` yang digunakan merujuk kepada erti asalnya iaitu basuhan tangan dan bukan wudhu pada istilah Fiqh (iaitu basuhan beserta niat bermula dari wajah dan seterusnya).

Demikian juga sebuah dalam situasi yang direkodkan oleh Bazzar, bahawa sahabat Nabi Muadz R.A ditanya, “Adakah kamu mengarnbil wudhu` selepas menikmati makanan yang dibakar oleh api? Beliau menjawab, “Kami hanya membasuh tangan dan mulut sahaja”. Namun ia dilafazkan sebagai wudhu`.

Keadaan ini menyebabkan para ulama Mazhab boleh berbeza ijtihad dalam menentukan sama ada perlu berwudhu` dalam bentuk ibadah khusus setiap kali selepas menikmati makanan yang dibakar di atas api atau hanya perlu membasuh mulut dan tangan? Majoriti berpegang kepada erti wudhu` secara bahasa iaitu basuhan sahaja, namun terdapat ulama yang berpandangan selainnya.
Bersandarkan kepada sebab tersebut, hukum di dalam pelbagai bab dan bidang hukum juga turut terkesan, lalu muncul pandangan dan ijtihad yang berbeza dari seorang alim kepada yang lain.

Perkara-perkara khilafiyyah dalam Mazhab.

 

Perbezaan pendapat para ulama itu tidak dapat dielakkan khususnya dalam hal-hal ranting yang terperinci dalam ibadat yang bersifat ‘cabang-cabang’ dalam hukum Islam yang tidak mampu untuk diseragamkan menjadi satu walaupun ribuan ulama telah berselisih pendapat sekian lama. Justeru, selama kita mengikuti pandangan majoriti para imam Mazhab, maka kita berada di atas landasan dan jalan yang benar. (Nik Roskiman , 2009)

Menurut (Basri Ibrahim, 2013) isu yang menjadi khilafiah dalam Mazhab antaranya seperti berikut:

  • Penetapan Jarak Musafir

 

Pandangan Ulama: Perselisihan pendapat mengenai jarak yang membolehkan qasar solat ketika musafir kepada tiga mazhab iaitu:

 

Mazhab Pertama:  Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali berpendapat, jarak yang membolehkan qasar solat ialah 4 Burd,16 Farsakh atau 84 Batu.

 

Dalil: Hadis riwayat al-Bukhari secara ta`liq dengan lafaz: Ibnu Abbas dan Ibnu Umar mengqasarkan solat dan berbuka puasa di dalam jarak perjalanan sejauh 4 Burd iaitu 16 Farsakh. (Sahih Bukhari Ma`a Fath Al-Bari, 2/565)

 

Sesetengah `Ulama berpendapat, jaraknya dua hari perjalanan dengan menggunakan unta, manakala sebahagian yang lain pula menetapkan perjalanan yang melibatkan masa 1 hari 1 malam.

 

Mazhab Kedua: Mazhab Hanafi berpendapat jarak yang membolehkan solat qasar ialah yang melibatkan perjalanan 3 hari 3 malam dengan menggunakan unta.

 

Dalil:  Daripada Saidina Umar daripada Nabi SAW, Sabda SAW: Wanita tidak boleh bermusafir selama 3 hari kecuali bersama dengan mahramnya. (Sahih Bukhari dan Sahil Muslim)

 

Mazhab Ketiga: Mazhab Zahiri berpendapat, tidak ada penentuan tertentu kepada jarak yang membolehkan qasar solat, sebaliknya harus dilakukan qasar di dalam setiap perjalanan yang dinamakan sebagai musafir dari segi `uruf dan juga bahasa, termasuklah bermusafir ke luar Negara, bermusafir dengan menaiki kenderaan walaupun sekadar jarak 3 batu sahaja dan membawa bekalan pula. Pandangan ini juga dipegang oleh Ibnu Taimiyah dan muridnya Ibnu al-Qayyim.

 

Dalil: Firman Allah SWT bermaksud:

 

Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. (An-Nisa: 101)

 

Punca Perselisihan: Penetapan jarak yang membolehkan qasar, merujuk kepada pertentangan makna yang boleh diterima `aqal dengan lafaz yang dinaskan di dalam syara`.

 

Pandangan terpilih: Pendapat yang dipegang oleh `ulama Mazhab Zahiri dan `ulama-ulama yang sependapat dengannya, iaitu tidak ada penentuan tertentu berkaitan dengan jarak yang mengharuskan qasar solat, sebaliknya harus qasar solat pada setiap perjalanan yang dinamakan sebagai musafir dari segi `uruf dan juga bahasa kerana zaman lampau, seseorang menggunakan binatang, berpindah daripada kampungnya ke bandar sejauh 50 kilometer dinamakan musafir. Hari ini 80 kilometer sudah boleh dianggap sebagai jarak yang membolehkan qasar solat.

 

  • Bacaan Basmalah Dengan Kuat

 

Perselisahan mengenai persoalan adakah Basmalah termasuk dalam ayat dalam surah al-Fatihah atau tidak. Sebahagainya berpendapat bahawa wajib membaca Basmalah kerana merupakan ayat daripada al-Fatihah. Sebaliknya yang lain berpendapat bahawa Basmalah adalah ayat daripada awal setiap surah dan wajib membacanya bersama surah.

 

Mazhab Pertama: Mazhab Hanafi berpendapat, Basmalah bukan ayat daripada surah al-Fatihah, tetapi membacanya ketika solat adalah sunat beserta surah al-Fatihah, membaca secara perlahan sama ada ketika solat Sirriyyah atau Jahriyyah. Malah tidak menunjukkan Basmalah adalah ayat setiap surah.

 

Dalil: Riwayat daripada Nabi SAW, sesungguhnya Nabi bersabda: Terdapat surah dalam al-Quran yang mengandungi 30 ayat yang dapat memberi syafaat bagi pengamalnya sehingga mendapat keampunan baginya iaitu (Tabarakallazi biyadihi al-Mulk).

 

Perbincangan: Ulama` Qurra` dan selainnya, sesungguhnya 30 ayat itu tidak termasuk Basmalah, sekiranya demikian maka 31 ayat dan demikian khilaf dengan sabda Nabi SAW.

 

Mazhab Kedua: Mazhab Maliki menegah membacanya dalam solat wajib samada solat Jahar atau Sir dan tidak termasuk ayat kepada al-Fatihah, tetapi diharuskan membaca pada solat sunat. Mereka berpendapat bahawa membaca Basmalah adalah makruh.

 

Dalil: Daripada Saidinatina `Aisyah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW memulakan solat dengan takbiratul ihram dan terus membaca dengan surah al-Fatihah. (Riwayat Muslim)

 

Mazhab Ketiga: Mazhab Syafie berpendapat, Basmalah termasuk ayat daripada surah al-Fatihah dan mereka mewajibkan membaca dalam setiap solat sama ada Sir atau Jahr. Yakni sekiranya seseorang solat sirr maka dibaca perlahan dan solat Jahr dibaca kuat.

 

Dalil: Hadis dari Abu Hurairah daripada Nabi SAW sabdanya, apabila kamu membaca surah al-Fatihah, maka bacalah Basmalah sesungguhnya al-Fatihah adalah Ummu al-Kitab dan Sab`ah al-Mathani, maka Basmalah salah satu ayatnya.

 

Pandangan Tepilih: Mazhab Hanafi adalah Mazhab yang berpandangan secara pertengahan di antara dua pendapat yang menentang kerana Mazhab Syafie mengatakan Basmalah termasuk ayat daripada al-Fatihah dan daripada awal setiap surah dalam al-Quran. Manakala, Mazhab Maliki berpendapat, Basmalah bukan ayat daripada al-Fatihah dan tidak daripada al-Quran. Manakala Mazhab Hanafi berpandangan ayat daripada al-Quran dan terdapat bagi memutuskan di antara surah. Ini menjelaskan kepadanya hadis daripada Ibnu Abbas RA: Rasulullah SAW tidak mengetahui potongan setiap surah itu sehingga diturunkan kepadanya Basmalah. Dan ini menjadikan Basmalah daripada al-Quran. (Risywan, 2001)

 

  • Menghadiahkan Pahala Membaca Al-Quran Kepada Si Mati

 

Mazhab berbeza pendapat dalam isu ini di antara yang mengharuskannya dan yang tidak mengharuskannya.

 

Mazhab Pertama: Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat, setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah boleh dihadiahkan pahalanya kepada mana-mana orang Islam.

 

Dalil: Nabi SAW pernah menyembelih dua ekor kibasy, salah satunya untuk diri Baginda dan yang satu lagi untuk umatnya. (Sahih Bukhari 7/130)

 

Hadis tersebut menjelaskan menyembelih binatang dan menghadiahkan pahalanya kepada umatnya, ia merangkumi umatnya yang masih hidup dan juga yang telah mati dan yang berada pada zamannya dan juga yang datang selepas daripada generasi Baginda.

 

Mazhab Kedua: Mazhab Asy-Syafie dan Maliki. Mazhab ini membezakan di antara ibadah yang boleh digantikan dengan orang lain, dengan ibadah yang tidak boleh diganti dengan orang lain. Dalam ibadah yang boleh digantikan dengan orang lain, boleh menghadiahkan pahalanya kepada si mati. Dalam ibadah yang tidak boleh digantikan dengan orang lain, tidak boleh menghadiahkan pahalanya kepada si mati.

 

Dalil: Firman Allah SWT:

Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya (An-Najm: 39)

 

Ayat tersebut imenjelaskan, amal soleh adalah hasil usaha manusia, manakala pahala, adalah natijah daripada amal soleh tersebut. Seseorang manusia tidak memperolehi melainkan apa yang diusahakannya saja.

 

Dari sudut zahir ayat itu menafikan kebolehan orang yang telah meninggal, mengambil manfaat dengan sesuatu. Yang dapat diambil manfaat ialah apa yang diusahakannya saja. Tetapi nas-nas yang mensabitkan kebolehan orang yang telah mati, mengambil manfaat daripada usaha yang bukan dilakukan olehnya sendiri sebagaimana yang terdapat pada hadis Nabi SAW menyembelih dua ekor kibash.

 

Pandangan terpilih: Mazhab Hanafi dan Hambali yang menghukumkan pahala bacaan sampai kepada si mati apabila dengan niat dengan ikhlas untuknya. Tidak bermaksud orang yang meninggal itu, tidak perlu beramal, membaca al-Quran, berdoa dan beristighfar semasa hidupnya.

 

  • Menyentuh Wanita Asing.

 

Perselisihan pandangan di dalam isu batal atau tidak wudhu, apabila seorang lelaki menyentuh seorang wanita asing (bukan mahram). Pandangan ulama terbahagi kepada tiga Mazhab yang masyhur dalam masalah ini.

 

Mazhab Pertama: Lelaki menyentuh perempuan membatalkan wudhu`nya sama sekali. Pendapat ini dipegang oleh Mazhab Asy-Syafie dan juga merupakan satu pendapat yang dipegang oleh Mazhab Hambali.

 

Dalil: Sabda SAW berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A: Tangan itu zinanya ialah menyentuh (Diriwayatkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya).

 

Mazhab Kedua: Tidak batal wudhu` kerana menyentuh wanita asing kecuali jika bertemu dua alat kelamin dan berlaku ketegangan pada alat kelamin lelaki yang menyentuh itu, sekalipun tidak mengeluarkan mani. Pendapat ini dipegang oleh Imam Abu Hanifah.

 

Dalil: Hadis riwayat `Aisyah R.A, Nabi SAW mengucup sesetengah isterinya, kemudia Baginda menunaikan solat tanpa mengambil wudhu`. (Sunan Abu Daud, Sunan An-Nasa`i, dan Ad-Dar Al-Qutni)

 

Perbahasan: Hadis tersebut adalah sebuah hadis yang lemah (dhaif) Dalilnya berdasarkan kepada laporan yang dikemukan oleh Ahmad bin Hanbal iaitu salah seorang perawainya bernama Habib bin Abi Sabit melakukan kesalahan dari bab puasa sehinggalah kepada bab wudhu` (Nail Al-Authar, , Sunan At-Tarmizi, , Al-Majmu` dan Tafsir Al-Qurtuby)

 

Mazhab Ketiga: Batal wudhu` dan jika sebaliknya iaitu sekiranya sentuhan itu berlaku dengan syahwat, misalnya untuk menunjukkan belas kasihah, tidak membatalkan wudhu`. Ini yang diterima pakai oleh Imam Malik, pendapat ini juga dipegang oleh Mazhab Hambali.

 

Isu perbezaan di antara sentuh dengan syahwat, membatalkan wudhu` dan sentuh tanpa syahwat, tidak membatalkan wudhu` dengan dalil seperti di bawah:

 

Dalil: Firman Allah SWT:  “ atau kamu bersentuh dengan perempuan….(An-Nisa : 43)

 

Mereka mengatakan, ayat di atas termasuk ke dalam bab umum yang mempunyai maksud yang khusus. Umum dari segi lafaz sentuhan, manakala khusus dari segi timbulnya rasa syahwat.

 

Ibn Rusyd menyatakan: Punca dalam persoalan ini, merujuk kepada pengkongsian nama sentuhan (al-Mas) berdasarkan yang digunakan oleh orang-orang Arab dengan dua makna sama ada istilah al-Mas digunakan sentuhan dengan tangan dan dalam masa yang lain pula, mereka menggunakannya untuk makna persetubuhan.

 

Pandangan Jumhur Fuqaha`: Ramai dikalangan `ulama cenderung untuk memilih pendapat yang mengatakan, menyentuh wanita tidak membatalkan wudhu`, jika tidak disertai dengan syahwat. Mazhab yang paling pertengahan di dalam masalah ini yang mengumpulkan ke semua hadis-hadis di atas ialah Mazhab yang berpendapat tidak batal wudhu` kerana menyentuh perempuan kecuali dengan syahwat. (Nail al-Authar 1/233)

 

 

Hikmah perbezaan pendapat dalam Islam dalam suasana hari ini.

 

  • Rahmat

 

Ketika Rasulullah saw masih hidup, segala perbezaan yang terjadi di antara umat dapat diselesaikan bersama Rasulullah. Tetapi setelah beliau wafat, para sahabat juga mengalami perbezaan pendapat ketika berhadapan dengan suatu masalah. Sebagai contoh, ketika Umar bin Khatab mengusulkan kepada Abu Bakar RA agar al-Quran sebaiknya dibukukan, disebabkan ramai penghafal Alquran yang syahid di medan jihad dan khuatir akan hilangnya al-Quran.

 

Pada mulanya Abu Bakar RA tidak setuju dengan idea Umar RA dengan alasan Rasulullah saw tidak pernah memerintahkannya. Akhirnya Abu Bakar pun setuju dengan usulan Umar atas kemaslahatannya yang besar bagi umat Islam jika al -Quran dibukukan. Dasar kemaslahatan itulah al-Quran kita miliki sekarang ini dibukukan hingga kini (Saidi, 2015)

 

 

  • Berlapang Dada

 

Hadis mengenai doa dan permohonan Nabi SAW kepada Allah di sebuah masjid yang dikenali dengan nama Masjid al-Ijabah, Baginda memohon tiga perkara, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Aku memohon kepada Tuhanku tiga perkara, maka Dia memperkenankan kepadaku dua perkara dan tidak memperkenankan satu perkara.

“Aku memohon kepada Tuhanku supaya Dia tidak membinasakan (seluruh) umatku dengan kebuluran, maka Dia memperkenankannya untukku. Dan aku memohon kepadaNya supaya dia tidak membinasakan (seluruh) umatku dengan tenggelam (dalam banjir), maka Dia memperkenankannya untukku. Dan aku memohon kepadaNya supaya Dia tidak menjadikan permusuhan berlaku di antara mereka (umatku), maka Dia tidak memperkenankannya untukku”.

Hikmah tertolaknya permintaan Nabi agar tidak wujud sebarang permusuhan dalam kalangan umat Islam adalah kerana Allah ingin menguji hambaNya perihal menguruskan perbezaan dan perselisihan yang secara fitrahnya wujud dalam kehidupan manusia. Justeru itu, umat Islam amat menekankan adab-adab perbezaan pandangan seperti berlapang dada meraikan pandangan yang berbeza dan tidak taksub dengan pendapat sendiri. (Asyraf , 2015)

 

  • Komunikasi dan bermusyawarah

 

Apabila berlaku pandangan berbeza ia memerlukan kesediaan untuk kita bertemu mata, bermesyuarat dan berbincang untuk menyelesaikan masalah dan mencari kata sepakat berbanding cakap-cakap di belakang. Melalui al-Quran kita disarankan untuk saling berbincang dan bermesyuarat antara satu sama lain. Firman Allah  bermaksud: “berundinglah di antara kamu dengan cara yang baik”.(Surah at-Talaq : 6) (Asyraf , 2015)

 

  • Idea dan keilmuan.

Berkembangnya dunia ini kerana kepelbagaian idea dan keilmuan yang dianugerahi oleh Allah SWT kepada seseorang. Demikian itu, Islam mengiktiraf dan meraikan tentang kepelbagaian. Misalnya, seorang mendapat maklumat, seorang lagi tidak mendapat maklumat. Ia boleh terjadi berbeza pandangan. Firman Allah dalam surah an-Nahl: 93 bermaksud: “Dan kalau Allah menghendaki, niscaya Dia menjadikanmu satu umat (saja). Ini menggambarkan seperti satu pandangan sahaja, tetapi Allah SWT jadikan manusia berbeza-beza pandangan yang mana pandangan itu pasti berteraskan daripada pengalaman keilmuan masing-masing. (Asri , 2012)

 

6.0       Kesimpulan

 

Perselisihan pandangan adalah lumrah yang tidak dapat dielakkan, para ulama usul telah merumuskan bahawa kebenaran dalam perkara ranting (furu’) itu berbilang-bilang. Namun begitu, ia tidak dapat mengelak dari perbezaan persepsi yang akhirnya membawa kepada kesimpulan hukum yang berbeza.

Walau bagaimanapun, perbezaaan ini bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya dapat difahami asasnya, ia hanya akan menjadi negatif apabila orang ramai tidak memahaminya, ketaasuban kepada sesuatu pandangan serta tidak pandai rnengendalikannya.

Sekiranya umat Islam hari ini sibuk memberi perhatian kepada perbezaan pandangan yang hanya akan membawa kepada kerugian. Sewajarnya, carilah titik-titik persamaan ke arah memajukan umat Islam dalam segenap aspek supaya umat ini menjadi kuat, disegani dan cemerlang di dunia dan di akhirat serta mendalami ilmu sepanjang hayat dalam pebagai sudut agar kita mendapat gambaran yang jelas.

 

 

Rujukan

Ahmad Nahrawi . (2011, Jun 16). Mazhab Al Syafie. Retrieved from Beberapa Contoh Qaul Qodim Dan Qaul Jadid: http://mazhab-alsyafie.blogspot.my/2011/06/beberapa-contoh-qaul-qodim-dan-qaul.html

Anas Syauqi. (2016, Mei 03). Amal Ahli Madinah. Retrieved from http://anasyauqiilaika.blogspot.my/2016/05/amal-ahli-madinah.html

Asri . (2012, 05 02). Hikmah Dijadikan Manusia Dengan Pandangan Berbeza. Retrieved 10 2016, 06, from https://drive.google.com/file/d/0B2Yv8MnhWeeIdllZbkxrSE5hdWc/edit

Asyraf . (2015, 09 10). Fahami prinsip mengurus perbezaan pandangan. Retrieved 11 2016, 10, from Bicara YADIM: http://www.yadim.com.my/v2/?p=24609

Auda, J. (2014). Memahami Maqasid Syariah : Marwan Bukhari A.Hamid. Selangor: PTS Islamika Sdn.Bhd.

Basri Ibrahim. (2013). Fiqh Perbandingan : Isu-isu Fiqh Terpilih. Selangor: Al-Hidayah Publications.

Bicara Agama. (2011, 11 21). Retrieved from Utusan Online : http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Haron Din. (2013, 02 22). Mengapa Ulama Berbeza Pendapat ? Retrieved 10 11, 2016, from Tarbawi: http://www.tarbawi.my/2013/02/mengapa-ulama-berbeza-pendapat.html

Ilda Hayati. (2015, April 26). IKHTILAF (PERBEDAAN PENDAPAT ULAMA) DALAM HUKUM ISLAM. Retrieved Oktober 2016, 14, from Perbandingan Mazhab Fikih: http://ildahayati.com/2015/04/26/ikhtilaf-perbedaan-pendapat-ulama-dalam-hukum-islam/

Jainal . (2009). Persoalan Mazhab : Kenapa Perlu Mengikut Mazhab? Johor Bahru: Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2004). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mohd Salleh. (2007). Khilaf Ulama’ Dalam Hukum Fiqh : Sebab dan Adab-Adabnya. Pulau Pinang: Jabatan Mufti Pulau Pinang.

Mohd Syariefudin . (2014). Hubungan Etnik. Selangor: Universiti Terbuka Malaysia.

Muhammad Amar . (2013). Kaedah Usul Fiqah. Selangor: Pustaka Al-Ehsan.

Muhammad Amar Adly. (2013). Kaedah Usul Fiqah. Selangor: Pustaka Al-Ehsan.

Muhammad, Nasri & Sollehuddin. (2013). Mengurus Harta Menurut Fiqh Muamalat. Kedah Darul Aman: Universiti Utara Malaysia.

Mutiara Zuhud. (2015, Jun 02). Pegangan Mazhab Syafii. Retrieved from Mutiara Zuhud: https://mutiarazuhud.wordpress.com/2015/06/02/pegangan-mazhab-syafii/

Nik Roskiman . (2009, 11 26). Beradab Dalam Berbeza Pendapat. Retrieved 10 11, 2016, from IKIM: http://www.ikim.gov.my/index.php/en/utusan-malaysia/8032-beradab-dalam-berbeza-pendapat

Risywan, D. M. (2001). Masail Muqaranah Min Fiqh al-Ibadah. New Damietta: Kuliah ad-Dirasah al-Islamiyyah Wal Arabihah, Universiti Al-Azhar.

Saidi. (2015, 10 02). Hikmah Perbedaan Pendapat. Retrieved 11 2016, 09, from http://aceh.tribunnews.com/2015/10/02/hikmah-perbedaan-dalam-islam

Tinta Guru. (2012, Januari 03). Al-Ikhtilaf: Sejarah dan Sebab-sebab Kemunculannya . Retrieved 10 14, 2016, from http://www.tintaguru.com/2012/01/al-ikhtilaf-sejarah-dan-sebab-sebab.html

Usul Fiqh. (2011, April 26). Retrieved from Isu-Isu Semasa Berkenaan Sadd Al-Dhara`i: http://usulfiqh20102011.blogspot.my/2011/04/isu-isu-semasa-berkenaan-sadd-al-dharai.html

Wan Mukhtar . (2009). ABSY1103 Pengenalan Kepada Syariah. Selangor: Open University Malaysia (OUM).

 

 

Artikel Berkaitan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *