Perundangan Islam adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem hidup dan nilai murni yang ditetapkan oleh al-Quran dan as-Sunnah, yang kemudiannya dihuraikan dengan lebih terperinci oleh para ulama Islam awallin dan mutakhirin. Sumber-sumber bagi undang-undang Islam atau lebih tepat syariah, ialah al-Quran, Sunnah, Ijma` dan Qiyas, di samping sumber-sumber tambahan tertentu seperti Istihsan, Istishab dan maslahah mursalah, yang diakui oleh mazhab-mazhab fiqh Islam. Sumber-sumber tambahan bagaimanapun bukanlah sesuatu yang asing atau terpisah dari sumber-sumber asasi tadi, khususnya al-Quran dan Sunnah.

Walau bagaimanapun, perundangan Islam sentiasa berkembang dan terarah kerana nilai-nilai dan batasannya sudah ditetapkan oleh sumber-sumbernya utamanya. Maka, sehingga hari ini perundangan Islam tidak berbeza dengan apa yang diajar dan dipraktikkan oleh junjungan besar Rasulullah SAW dan para sahabatnya hampir 1400 tahun yang lalu.

Namun, dari segi pelaksanaan, ada yang menghujah bahawa setakat mana undang-undang Islam dapat dilaksanakan terpulanglah kepada kemampuan si pelaksanaanya, sesuatu yang menjadi alasan kepada wujudnya rukhsah yang diizinkan oleh Syariat Islam sendiri. Bagaimanapun, ini tidak harus dikelirukan dengan penerimaannya, yang mesti total dan menyeluruh. Soal penerimaan hukum Islam berkait terus dengan soal keimanan,

Secara umumnya undang-undang keterangan berfungsi sebagai kaedah untuk menentukan fakta dan bukti yang boleh dikemukakan di dalam mahkamah.  Undang-undang keterangan  Islam  di  Malaysia  diperuntukkan  di  dalam enakmen keterangan melalui Mahkamah Syariah negeri-negeri.

Oleh yang demikian, topik ini akan membincangkan konsep pembukitan dalam tatacara perundangan Syariah yang berkaitan dengan jenayah zina yang melibatkan anak tidak sah taraf dan jenayah tuntutan pampasan terhadap kecederaan.

Di samping menganalisis isu DNA yang menjadi bukti dakwaan dan tuntutan menurut perspektif Islam dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah. Penulis juga, akan membincangkan berkaitan dengan syarat yang menjadi kesaksian dalam Islam, sebagai contoh tatacara dan keterangan jenayah zina tidak sama dengan jenayah curi. Begitu juga kesaksian dalam kes zina, tidak sama dengan kesaksian kes curi, sekalipun zina dan curi dalam komponen jenayah hudud.

KONSEP PEMBUKTIAN DALAM UNDANG-UNDANG ISLAM

 

Mengikut prosedur perundangan Syariah, apabila seseorang pendakwa atau yang menuntut sesuatu hak mengemukakan dakwaannya, maka hakim akan meminta supaya dia membuat penjelasan dakwaannya kemudian barulah hakim itu akan bertanya yang kena dakwa (yang kena tuntut) tentang sesuatu yang didakwa oleh pendakwa itu.

Sekiranya dia (yang kena tuntut) mengaku/ikrar dengan dakwaan itu maka sabitlah hak yang didakwa oleh pendakwa itu dengan pengakuan pihak yang kena dakwa (yang kena tuntut). Keputusan akan dikeluarkan berdasarkan kepada pengakuan itu, tetapi jika yang kena dakwa itu membantah atau menafikan apa yang didakwa oleh pendakwa itu maka ketika itu barulah hakim meminta orang yang mendakwa mengemukakan keterangannya bagi membuktikan apa yang didakwanya itu.

Contohnya seperti saksi-saksi yang adil, sekiranya dia dapat mengemukakan keterangannya maka sabitlah dakwaannya dan keputusan yang akan dikeluarkan adalah berdasarkan keterangan itu. Sebaliknya jika dia gagal mengemukakan keterangannya, hakim hendaklah menawarkan kepadanya hak menuntut lawannya bersumpah, maka jika dia meminta lawannya bersumpah dan yang kena dakwa pun bersumpah, hakim akan menolak dakwaan itu, tetapi jika yang kena dakwa itu enggan bersumpah, nescaya hakim akan menganggap dari segi hukumnya dia telah membuat pengakuan dan sabitlah ke atasnya hak yang dituntut oleh pendakwa dan dikeluarkan keputusan sabit hak itu sama ada berdasarkan kepada keengganan bersumpah ( yang kena dakwa ) atau setelah dikembalikan sumpah itu kepada yang mendakwa dan setelah dia bersumpah.

Saluran bagi mensabitkan hak yang didakwa oleh pendakwa boleh terjadi dengan cara pengakuan yang kena dakwa sendiri atau keterangan saksi-saksi yang adil bagi pihak pendakwa atau dengan keengganan yang kena dakwa untuk bersumpah. Di sana terdapat beberapa saluran dan bukti-bukti yang lain bagi mensabitkan hak yang didakwa, walaupun ada berlaku sedikit perselisihan pendapat dikalangan, fuqaha mengenai sejauh mana ia boleh dijadikan sebagai hujah bagi membuktikan dakwaan. (Zaidan, 2014)

Di dalam mahkamah, hakim akan memastikan kehadiran pendakwa dan terdakwa sebelum memulakan perbicaraan. Pendakwa akan membentangkan pertuduhan dan menerangkan secara ringkas dakwaan ke atas tertuduh. Sekiranya tertuduh tidak mengaku salah, pendakwa dikehendaki mengemukakan keterangannya.

Prinsip ini berasaskan kaedah fiqh yang bermaksud: ‘Pada asalnya seseorang itu bebas daripada sebarang tanggungan’. Kaedah ini menjelaskan bahawa seseorang itu adalah bebas daripada sebarang tanggungan jenayah kecuali jika dibuktikan sebaliknya.

Ini bermakna beban bukti terletak pada pihak pendakwa. Jika pendakwa gagal mengemukakan keterangan yang dapat membuktikan kesalahan didakwa, maka mahkamah akan membebaskan didakwa dari sebarang kesalahan. Seseorang itu tidak boleh dihukum atau ditahan di bawah mana-mana undang-undang tanpa dibicara dan dibuktikan bersalah.

Berdasarkan prosedur jenayah di atas, adalah dapat difahami bahawa Islam amat mengambil berat soal hak asasi manusia di samping mengutamakan nilai-nilai kemasyarakatan dan akhlak. (Abu Mazaya & Abu Izzat al-Sahafi, 2015)

Undang-undang Islam berusaha untuk memastikan semua pihak yang melakukan jenayah dihukum dengan seadilnya, pada masa yang sama Islam tidak mengabaikan hak mereka untuk membela diri.

Seorang hakim tidak akan mendengar perbalahan atau persengketaan yang berlaku di kalangan manusia kecuali setelah mereka mengemukakan dakwaan kepada beliau dengan tujuan untuk mendapatkan penyelesaian. Hakim akan meneliti atau mendengar sesuatu dakwaan itu berdasarkan kepada kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan yang tertentu yang dinamakan ‘Usul Istima` al-Da`wa (Prinsip-prinsip pendengaran dakwaan).

Sesuatu dakwaan itu tidak akan sabit di sisi hakim kecuali ia telah dapat dibuktikan menurut peraturan-peraturan tertentu yang dikira sah pada pandangan syarak. Antara istilah-istilah yang digunakan ialah : Wasail Ithbat al-Da`wa, Wasail al-Ithbat dan Turuq al-Ithbat. Istilah tersebut adalah membawa erti yang sama iaitu “tatacara keterangan”. (Alias, 2011).

ANALISIS ISU DNA SEBAGAI BUKTI DAKWAAN DAN TUNTUTAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Persoalan yang sering ditimbulkan adalah mengenai isu bukti dengan DNS adakah dibolehkan ujian DNA ini diterima pakai di Mahkamah Syariah di Malaysia.  Persoalan ini menarik dan  amat relevan kerana pada zaman yang canggih ini penjenayah juga bijak menyembunyikan bahan kes.

Walau bagaimanapun, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) memang diketahui oleh kebanyakan kita sebagai ujian klinikal yang digunakan untuk mensabitkan kesalahan bagi penjenayah, mengenal nasab keturunan, pengecaman anggota tubuh yang terputus dan mengenal pasti jantina.

Ujian DNA wujud kerana kepesatan pembangunan sains dan teknologi, dan dalam hal ini, tamadun Islam sangat mengiktiraf penggunaan sains dan teknologi kerana ia sebenarnya mampu menyelesaikan permasalahan umat manusia. Malah, sebahagian daripada ayat-ayat al-Quran yang dianugerahkan kepada manusia sebenarnya membentuk nilai-nilai dan rahsia sains. (Supi, 2007)

Selanjutnya, mereka yang berada dalam kerjaya ini adalah kalangan pakar yang diiktiraf dan pandangan mereka memang diterima oleh mahkamah sebagai salah satu cabang keterangan (Al-Bayyinah) dalam membuat keputusan perbicaraan. (Dr. Zulfakar Ramlee Saad, “Keterangan Forensik dalam Islam”, Majalah VISI, November 2006).

Menurut (Saad, 2015), dalam isu ini rujukan perlulah dibuat  kepada  status yang paling relevan, iaitu Akta Keterangan Mahkamah Syariah (WP)1997.  Akta ini telah menerima pakai konsep al-Bayyinah yang cukup luas. Seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 3 al-Bayyinah telah ditakrifkan sebagai “ keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah”.

Maka jelaslah disini bahawa hasil ujian DNA dapat dikemukakan di Mahkamah Syariah sebagai salah satu keterangan yang berupaya membuktikan sesuatu dakwaan atau tuntutan.

Oleh itu, hasil ujian DNA juga boleh  diterima  pakai  di  Mahkamah  Syariah sebagai satu bahagian daripada pandangan pakar. Seksyen 33 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (WP)1997 memperuntukkan:

1) Apabila Mahkamah perlu membuat sesuatu pendapat atas sesuatu perkara  mengenai  undang-undang  negara  asing  atau  mengenai  sains  atau  seni,  atau  tentang  identiti  atau  ketulenan  tulisan  tangan atau cap jari atau berhubungan dengan penentuan nasab, maka pendapat atas perkara itu daripada orang yang mempunyai kemahiran khusus dalam undang-undang negara asing, sains atau seni itu, atau dalam soal tentang identiti atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari atau berhubungan dengan penentuan nasab ialah qarinah.

(2) Orang sedemikian itu dipanggil pakar.

Seksyen ini dengan jelas memberikan ruang yang luas untuk pihak terbabit mengemukakan pandangan daripada pakar atau lebih berdasarkan hasil  uji  kaji  sains  termasuklah  ujian  DNA  ini.    Sebagai  contoh,  analisis  daripada pakar kimia dapat menyelesaikan isu keaslian atau ketulenan sesuatu penulisan atau dokumen. Seterusnya analisis daripada pakar genetik dapat merungkaikan isu pewarisan atau yang berhubung kait dengan isu anak tidak sah taraf.

Pembuktian berdasarkan analisis daripada pakar perubatan mengenai sesuatu kecederaan atau pembunuhan dapat menyelesaikan kes jenayah atau tuntutan  pampasan  terhadap  kecederaan  ang  dialami.  Hasil  ujian  DNA  dapat digunakan dalam membuktikan sesuatu kesalahan yang dilakukan dan pada masa yang sama juga dapat menafikan penglibatan seseorang dalam sesuatu kes yang didakwa.

Dalam kes  Pendakwa  Syarie  Negeri  Sabah lawan Rosli  bin  Abdul Japar yang merupakan kes pertama di Mahkamah Syariah di Malaysia yang menggunakan kaedah DNA  sebagai keterangan bagi membuktikan berlakunya kesalahan persetubuhan haram atau zina. Mahkamah menjatuhkan hukuman salah terhadap tertuduh berdasarkan kesamaan pada hasil ujian DNA tertuduh, pasangannya dan anak yang dilahirkan oleh pasangannya.

Mahkamah dalam kes ini telah memberikan  ruang  atau  peluang  kepada tertuduh untuk menafikan penglibatannya melalui kaedah yang sama tetapi ujian DNA yang dilakukan sendiri bagi pihak tertuduh gagal dikemukakan kepada mahkamah.

Menurut Seksyen 3 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, keterangan ialah bayyinah dan syahadah. Keterangan lisan pula ialah segala pernyataan yang dibuat oleh saksi yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah berhubung perkara-perkara fakta yang disiasat manakala keterangan dokumentar pula merupakan segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan mahkamah. Secara umumnya, terdapat lima jenis keterangan di bawah Undang-undang Keterangan Islam iaitu:

  1. Keterangan Lisan;
  2. Keterangan Dokumen;
  • Keterangan Keadaan;
  1. Keterangan Secara Langsung; dan
  2. Keterangan Dengar Cakap

Oleh itu, kaedah keterangan yang terbaik adalah keterangan yang berasaskan sumber primer atau sumber asal yang sahih. Misalnya, jika keterangan tersebut berbentuk dokumen, maka dokumen yang terbaik adalah dokumen asal manakala bagi keterangan secara langsung pula, keterangan terbaik ialah pernyataan secara langsung oleh seseorang saksi yang hadir bagi memberikan keterangannya berhubung sesuatu kes di mahkamah.

Menurut, (Adnan, 2015) terdapat banyak kaedah pensabitan yang boleh digunakan bagi membuktikan sesuatu kes di mahkamah dalam Undang-undang Keterangan Islam iaitu:

Iqrar: Pengakuan atau pengiktirafan yang khusus sebagai salah satu cara pembuktian bagi mensabitkan hak atau kepentingan orang lain, ke atas dirinya sendiri, atau mensabitkan sesuatu kesalahan atau tanggungan ke atas dirinya seperti pengakuan berzina.

Syahadah: Pemberitahuan yang bersifat benar menggunakan lafaz kesaksian atau “aku naik saksi” yang dilakukan dalam majlis kehakiman atau mahkamah yang diberikan bagi kepentingan orang lain ke atas orang lain.

Khabar: Sesuatu perkara (kes) yang disampaikan dan dibuktikan melalui perkhabaran mutawatir kepada mahkamah.

Sumpah (al-yamin): Suatu perkataan yang disertakan dengannya nama Allah, digunakan untuk menyatakan kesungguhan (tahqiq) terhadap sesuatu perkara yang tidak akan sabit tanpa bersumpah. Ini termasuklah perkara yang telah berlalu atau yang akan datang.

Qarinah: Setiap sesuatu (sama ada ia boleh dilihat, dirasa, didengar, dipegang dan sebagainya) yang boleh dijadikan bukti atau keterangan bagi mensabitkan tentang ada sesuatu atau tiada sesuatu.

Pendapat Pakar (Ra’yu al-Khabir): Pendapat yang diberi oleh seseorang yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang atau persoalan.

Qiyafah: Pembuktian untuk mensabitkan nasab berdasarkan persamaan di antara seorang dengan seorang yang lain.

Catatan (al-Kibah): Tulisan atau catatan yang dibuat oleh seseorang sama ada pemerintah, hakim atau rakyat biasa.

Pengetahuan Hakim (Ilmu al-Qadi): Sesuatu kejadian yang disaksikan dan diketahui oleh seorang hakim yang mengetahui latar belakang dan fakta-fakta kejadian tersebut.

Qasamah: Sumpah yang diulang-ulang dalam dakwaan pembunuhan, sebanyak 50 kali oleh 50 orang lelaki.

Lian: Satu proses sumpah yang mengakibatkan perpisahan suami isteri kerana kegagalan suami membuktikan kecurangan isterinya.

Undian: Satu proses untuk menetapkan orang atau pihak yang akan menikmati sesuatu hak atau kepentingan di antara mereka yang setaraf, yang sama-sama telah memenuhi syarat untuk menikmati hak atau kepentingan tersebut.

Walaupun keterangan forensik melalui ujian DNA berada dalam kategori qarinah, dan qarinah menjadi sebahagian daripada bayyinah (keterangan) dengan kedudukannya tidak sama seperti syahadah (kesaksian) dan iqrar, tetapi ia masih dapat membantu para penyiasat dan pihak berkuasa untuk mendapatkan tahap pembuktian sekurang-kurangnya di peringkat ghalabah al-dhan (beyond doubt).

Pensabitan nasab atau identiti melalui DNA dikatakan mencapai ketepatan melebih 99.9 peratus yang hampir mencapai tahap yakin. Pendekatan ini selaras dengan pandangan sesetengah ulama menyatakan bahawa tahap yakin yang perlu untuk mensabitkan kes-kes jenayah bukanlah semata-mata dengan pendekatan kesaksian atau iqrar. Gabungan beberapa keterangan yang saling kuat-menguatkan antara satu sama lain juga boleh membawa kepada tahap yakin, sekali gus memberi pengajaran kepada pihak penjenayah bahawa mereka tidak mudah terlepas begitu sahaja. (Supi, 2007).

EMPAT SYARAT KESAKSIAN DALAM ISLAM

Kesaksian adalah salah satu saluran untuk mensabitkan hak yang didakwa, bahkan sebahagian fuqaha berpendapat kesaksian atau syahadah adalah hujah dan cara yang paling kuat dan tiada kekhilafan tentang kewajipannya untuk diamalkan syahadah dalam dalam kes-kes hudud, qisas, mal dan furuj. Dengan sebab ini sebahagaian fuqaha apabila menggunakan nama atau istilah “al-Bayyinah.” Yakni keterangan apa yang mereka maksudkan ialah syahadah kerana dianggapkan ia adalah yang lebih nyata daripada yang lain dari sudut menjelas dan mensabitkan hak.

Menurut Ibnu Qudamah, Syahadah atau kesaksian yang digunakan oleh Fuqaha`: Sesuatu perkhabaran yang benar di Majlis Kehakiman dengan lafaz syahadah (menyaksi) untuk membukti dan mensabitkan hak ke atas orang lain.”

Syahadah dinamakan Al-Bayyinah” (keterangan) kerana ia menerangkan sesuatu yang ada di dalam jiwa seseorang dan menjelaskan hak yang sebenar pada sesuatu yang dipertikaikan.

Oleh itu, “Syahadah atau kesaksian bermaksud memberitahu kebenaran ketika perjalanan prosiding mahkamah dengan menggunakan perkataan kesaksian tertentu bagi membuktikan hak atau kewajipan untuk kepentingan orang lain atau pihak lain. Ia juga ditakrifkan sebagai menyatakan tentang hak atau kepentingan untuk manfaat orang lain ke atas pihak yang lain, berkaitan dengan hak Allah SWT atau hak orang lain. Keterangan yang diberikan mestilah jelas dan bukan berasaskan sangkaan atau syak. Perkara ini berasaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika kamu melihatnya dengan terang seperti terangnya sinar matahari, maka kamu patut menjadi saksi, jika kamu tidak melihatnya seperti demikian, tinggalkan sahaja. ”

Kesaksian adalah satu keterangan yang sah di mahkamah dan jika terdapat kesaksian yang sempurna, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain dari menghukumkan seperti yang dinyatakan oleh para saksi. Terdapat beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menunjukkan penerimaan kesaksian sebagai keterangan sah. Di antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jangan kamu menyembunyikan kesaksian, dan sesiapa yang menyembunyikan kesaksian sesungguhnya berdosalah hatinya. ” (Al-Baqarah: 283)

 

Oleh itu, syarat-syarat kelayakan bagi seseorang saksi antaranya :

 

-Saksi mesti seorang yang adil iaitu tidak melakukan dosa besar dan tidak mengekalkan dosa kecil serta menjauhkan diri dari melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruahnya. Seperti dalam kes-kes lain keterangan saksi dalam kes qisas dan diat saksi mestilah adil. Penilaian ke atas keadilan saksi didasarkan kepada kebaikannya lebih banyak daripada kejahatannya di samping tidak melakukan dosa besar. Ini dijelaskan di dalam ayat 2 surah al-Talaq. Firman Allah: Maksudnya: Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi adil dari kalangan kamu.

-Saksi mesti seorang muslim. Kesaksian orang bukan Islam adalah harus jika kesaksian itu dibuat terhadap orang bukan Islam juga. Kesaksian bukan Islam ke atas orang Islam dibolehkan menurut Mazhab Hambali baggi menjadi saksi ke atas wasiat orang Islam dalam masa musafir apabila tidak didapati saksi-saksi Islam.

-Saksi mengetahui sesuatu yang disaksikannya. Ini bermaksud seorang yang dapat melihat, sekiranya dia seorang yang buta tidak akan diterima kesaksiannya menurut pendapat Abu Hanifah dan Imam Syafie. Alasan mereka bahawa suara-suara itu mempunyai beberapa persamaan, maka tidak diyakini benar mereka yang disaksikan ke atasnya oleh orang buta.

-Tiada tohmah atau keraguan akibat daripada hubungan yang baik atau hubungan yang buruk dengan seseorang yang berkaitan dengan kes yang dibicarakan. Kesaksian yang dikemukakan saksi mestilah tidak ada unsur-unsur keraguan dari mana-mana aspek. Kewujudan keraguan membuatkan kesaksiannya ditolak.

Bagi menjamin ketelusan saksi, Islam menghendaki agar latar belakang saksi disiasat sebelum mereka diterima untuk memberikan kesaksian. Penyiasatan ini dikenali sebagai ‘tazkiyah syuhud’. Penyiasatan ini dilakukan secara tersembunyi atau secara terbuka. Hakim perlu memastikan bahawa saksi yang benar-benar layak sahaja tampil untuk memberikan penyaksian. (Abu Mazaya & Abu Izzat al-Sahafi, 2015)

Bagi mendapat maklumat yang tepat, mahkamah boleh melantik penyiasat-penyiasat yang dikenali sebagai muzakki yang membuat siasatan dan seterusnya melaporkan latar belakang bakal saksi kepada hakim.

Manakala, bilangan saksi adalah bergantung kepada bentuk kes yang dibicarakan. Empat orang saksi lelaki diperlukan bagi kesalahan zina. Bagi kesalahan hudud dua orang saksi diperlukan.

Begitu juga bagi kes-kes lain seperti nikah. rujuk, talaq, zihar, nasab dan wakalah serta beberapa kes lain memerlukan dua orang saksi menurut sebahagian Fuqaha`.

Manakala jumlah saksi yang lain seperti tiga orang lelaki, dua orang wanita bersama seorang lelaki, seorang lelaki dan seorang wanita ditentukan menurut kes-kes yang berbeza. Misalnya, Contohnya, Jenayah yang melibatkan hukuman ke atas badan, seperti sebat diperlukan dua saksi adil. Tidak diterima saksi seorang lelaki dan dua saksi perempuan. Juga tidak diterima saksi seorang lelaki dan sumpah pendakwa. Bagi jenayah melibatkan hukuman kehartaan, seperti diat diperlukan dua orang saksi lelaki. Diterima juga seorang lelaki dan dua orang perempuan. Juga diterima seorang saksi dan sumpah pihak pendakwa.

Oleh itu, sebarang kekurangan syarat kesaksian ataupun saksi menarik balik penyaksian, maka tuduhan digugurkan di mana para peguam dibenarkan untuk meneliti semua perkara ini, bukan sahaja para hakim. (Zaidan, 2014)

KESIMPULAN

 

Tuntasnya, prinsip-prinsip keadilan yang digunapakai dalam undang-undang keterangan yang dipakai oleh Mahkamah Syariah. Umpamanya dalam Akta Keterangan Mahkamah Syariah (AKMS) Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam Bahagian: Bila Pendapat Orang Ketiga Menjadi Qarinah, dalam Seksyen 33(2) yang memperuntukkan; “Orang yang sedemikian itu dipanggil pakar. Oleh itu, hasil ujian DNA dapat dikemukakan di Mahkamah Syariah sebagai salah satu  keterangan yang dapat membuktikan sesuatu dakwaan atau tuntutan.

Juseru, Islam telah menetapkan syarat-syarat yang terlalu ketat berhubung dengan penyaksian dalam perkara ikrar. Pengakuan kepada sesuatu kesalahan mestilah oleh orang yang berakal, secara sukarela bukan secara paksaan, dalam keadaan siuman, tidak mabuk atau gila. Sementara orang yang berikrar pula boleh menarik balik, walaupun ketika hukuman sedang dijalankan dan hukuman itu hendaklah diberhentikan. Mengikut undang-undang Islam, sekiranya seseorang itu disebat dengan sebab pengakuan kesalahan, jika ketika sedang disebat dia menarik balik pengakuannya, maka hukuman itu hendaklah diberhentikan serta merta.

Oleh kerana itu, ketika hukuman dijalankan, pesalah tidak boleh diikat atau digari, begitu juga dalam perkara saksi, mestilah dari kalangan orang-orang yang layak, bukan sahaja pancaindera dan akal fikiran, tetapi juga akhlak-akhlak yang mulia, iaitu tidak fasiq dengan melakukan dosa-dosa besar, kekal dengan dosa-dosa kecil dan melakukan perkara yang boleh menjatuhkan maruah walaupun tidak haram.

Apa yang dibincangkan ini menunjukkan bahawa dengan keterangan-keterangan yang dinyatakan dalam al-Quran, manusia sebenarnya sentiasa dapat mengungkai persoalan dan permasalahannya sendiri sekalipun zaman dan masa berubah. Maka kesedaran berkaitan hal harus dimainkan oleh semua pihak akan dapat menjernihkan keadaan dalam mengiktiraf dan memartabatkan nasab setiap insan itu adalah amanah dan mulia.

 

Rujukan

 

Abdul Hadi Awang. (2013). Perlaksanaan Syariat Islam Adalah Suatu Keutamaan. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.

Abu Mazaya & Abu Izzat al-Sahafi. (2015). Fiqh Jenayah Islam. Selangor: Al-Hidayah Publications.

Adnan, F. (2015, Februari 24). Isu Pembuktian di Mahkamah Syariah. Didapatkan dari https://peguamsyariefas.com.my

Alias, O. (2011). Fiqh Jinayat. Selangor: Open University Malaysia.

H.Danni Nursalam, e. (2012). Al-Quran Cordoba. Bandung: Cordoba.

Saad, Z. R. (2015). Pembuktian Dalam Kes Jenayah Syariah. Jurnal Kanun, 139-140.

Supi, S. S. (2007). Islam iktiraf ujian DNA . Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad.

Zaidan, A. K. (2014). Sistem Kehakiman Islam (Mohd Saleh Ahmad). Selangor: Pustaka Haji Abdul Majid.

Zulkifli Hasan et.al. (2013). Hudud Di Malaysia : Cabaran Pelaksanaan. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.

Zulkifli Muhammad al-Bakri. (2011). Hudud Satu Pencegahan dan Pendidikan Bukan Hukuman. Kota Bharu: Seminar Undang-Undang Syariah Peringkat Kebangsaan.


 

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.