Budaya Bersukan

Merujuk kepada Kamus Dewan, budaya ditakrifkan sebagai kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya). Budaya merupakan salah satu komponen penting dalam membicarakan tentang hubungan etnik dan sosial kerana manusia dapat dikatogarikan berasaskan budaya yang diamalkan. Umumnya, budaya ialah perkara yang seriang dilakukan oleh seseorang. Budaya dapat ditafsirkan dalam bentuk perbuatan dan tingkah laku yang dibawa oleh kita. Manakala, sukan ditakrifkan sebagai segala kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga seperti bersenam, beriadah  yang dilakukan sebagai acara hiburan (acara pertandingan, kegiatan untuk menyihatkan badan). (Kamus Dewan, 2004)

 

Menurut Amirullah dan Hamidah (2012) menyatakan bahawa aktiviti fizikal adalah pergerakan badan yang dihasilkan dari pengecutan otot dan meningkatkan penggunaan tenaga sama ada berjalan, berbasikal, bermain, angkat berat, membuat kerja rumah dan lain-lain.  Oleh itu, penyertaan seseorang dalam aktiviti fizikal yang kerap dapat menyumbangkan ke arah pencapaian kecergasan yang lebih baik dan kesejahteraan keseluruhannya.

 

Kini, Malaysia telah menjadikan aktiviti sukan sebagai budaya yang diperkenalkan Hari Sukan Negara bermula tahun 2015 agar semua lapisan masyarakat dapat mengikutinya ke arah kesejahteraan dan kesihatan. Malahan, sukan juga mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

Kementerian Belia dan Sukan telah memperkenalkan sambutan Hari Sukan Negara yang mengorak langkah pro aktif di dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ (Sporting Nation). Oleh yang demikian, Hari Sukan Negara di jadikan agenda Nasional yang selari dengan matlamat negara ke arah Wawasan 2020.

Justeru itu, catatan bertujuan untuk mengukur kefahaman terhadap aktiviti sukan sebagai budaya dalam masyarakat dan menghuraikan Hari Sukan Negara 2016. Disamping membincangkan kepentingan sambutan Hari Sukan Negara kepada masyarakat yang pelbagai budaya bagi membendung sentimen perkauman. Penulis juga berkongsi pandangan bagaimana masyarakat Malaysia boleh menyesuaikan diri dengan budaya baru ini dalam gaya hidup mereka.

HARI SUKAN NEGARA 2016

Pada tahun 2015, Hari Sukan Negara mencatat sejarah apabila menganjurkan 17,648 acara dalam masa sehari secara serentak di seluruh negara, kejayaan yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records. (Sinar Harian, 2015)

Menurut, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin lebih lima juta rakyat termasuk pelajar sekolah, orang kelainan upaya dan warga emas menyertai program julung kali diadakan pada tahun lepas.

Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2016 merupakan tahun yang kedua diadakan serentak di seluruh negara baru-baru ini telah disambut meriah termasuk di kawasan kampung dan daerah, melibatkan sejumlah 22,500 aktiviti.

Sekretariat HSN 2016 menyasarkan seramai tujuh juta orang iaitu 20 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia akan menyertai program-program yang telah diatur di seluruh negara berbanding 4.2 juta orang tahun lepas, iaitu tahun pertama sambutan HSN diadakan.

Menurut laporan, pada tahun lepas, sambutan utama yang berlangsung di Putrajaya membabitkan penyertaan kira-kira 30,000 orang yang mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama ribuan rakyat Malaysia turut menyertai acara bersenam ketika merasmikan HSN 2016 di Presint 2.

Sambutan Hari Sukan Negara 2016 disambut dengan meriah di seluruh negara dengan kepelbagaian aktiviti sukan seperti sukan tradisonal,kayuhan basikal, senam robik, larian dan sebagainya. Aktiviti sukan yang diadakan pada Hari Sukan 2016 yang mendapat sambutan dengan pelbagai acara untuk semua peringkat umur termasuk golongan kurang upaya seperti OKU Fun Walk, Family Fun Walk dan Fun Run.

Najib dalam ucapannya menyarankan agar rakyat Malaysia menjadikan sukan satu budaya ke arah gaya hidup sihat dan wadah penyatuan untuk meningkatkan semangat patriotisme kepada negara.

Turut hadir memeriahkan sambutan ini dengan kehadiran Duta Asing seperti Duta Emiriah Arab Bersatu ke Malaysia Abdulla Matar Al Mazrouei, Samkelisiwe Mhlanga (Afrika Selatan), Saad Abdullah Saleh Al-Asousi (Kuwait) dan Anne Namakau Mutelo (Namibia).

Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan menawarkan kepada orang ramai yang menyertai dapat menggunakan semua kemudahan sukan di kompleks sukan berkenaan secara percuma sempena sambutan HSN bermula dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam. (Ismail, 2016)

KEPENTINGAN SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA KEPADA MASYARAKAT YANG PELBAGAI BUDAYA DI MALAYSIA

 

-Melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera

Hari Sukan Negara dilihat menjadi medium terbaik dalam menjadikan rakyat di negara ini membudayakan sukan di samping melahirkan rakyat yang sihat dan sejahtera. Sambutan itu juga dapat memberi kesedaran masyarakat mengenai kepentingan bersukan dalam kehidupan seharian untuk tubuh badan yang sihat dan cergas.

Menurut kajian,  kadar penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti fizikal dan sukan tidak sampai 40 peratus berbanding negara-negara bersukan seperti Australia, Jepun dan United Kingdom yang melebihi 60 peratus. Ini menggambarkan bahawa apabila kadar penglibatan di Malaysia rendah, sukan tidak terterap dalam budaya dan gaya hidup kita.

Budaya ini sebenarnya dapat memberi impak kepada pencapaian kita di peringkat tertinggi. Bila tiada budaya bersukan, tapak penyertaan sukan kita semakin menyusut. Bila tiada budaya bersukan, ibubapa tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk menyemai minat dan mengasah bakat dalam sukan.

Oleh itu, sukan adalah membantu meningkatkan tahap kesihatan pengamalnya.  Misalnya, cara rentak kuda melompat dan berlari dalam sukan berkuda seperti equestrian menyebabkan vetebra tulang belakang penunggan kuda tersebut bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni.  Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah yang berkaitan dengan tulang belakang manusia.

Selain itu, sukan renang pula mampu menguatkan mental dan fizikal perenang kerana sukan ini memerlukan satu gerakan yang berkoordinasi antara anggota kaki dan tangan di samping meransang system kardiovaskular mereka.  Ringkasnya, semua aktiviti sukan memiliki kebaikannya yang tersendiri terhadap kesihatan pengamalnya justeru setiap individu perlu melakukan aktiviti ini agar terhindar daripada sebarang penyakit berbahaya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. (Suhaili, 2014)

-Memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum

Pembinaan negara bangsa memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakyat sesebuah negara agar mendapat persefahaman tanpa mengira fahaman politik, agama dan budaya dengan bersukan mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.  Misalnya, sesebuah pasukan bola sepak mesti terdiri daripada pelbagai latar belakang.  Untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat dan digeruni oleh pihak lawan, mereka mesti mewujudkan persefahaman yang antara satu sama lain.  Situasi ini sangat penting untuk mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan yang disertai bak kata peribahasa, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.”

 

Bukan setakat pemain sahaja  semangat perpaduan itu terjalin tetapi juga penyokong atau penonton yang menyaksikan perlawanan juga mendapat manfaat yang sama.  Mereka berkesempatan untuk berkenal-kenalan dan bertukar-tukar pendapat semasa acara tersebut diadakan. Jalinan persahabatan ini akan mengurangkan sentimen perkauman atau kenegerian yang mampu menggugat keharmonian negara.

 

Contohnya baru-baru ini, apabila Chong Wei melangkah masuk ke gelanggang badminton pertandingan akhir sukan Olimpik, apakah yang mahu kita lihat; bukankah kejayaan memenangi pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik. Sokongan padu dan harapan setiap warga Malaysia pasti akan dihargai oleh beliau kerana Chong Wei bukan sekadar mewakili dirinya tetapi beliau juga menjunjung semangat jati diri 28 juta populasi Malaysia.

 

Beliau dan atlet lain adalah milik Malaysia sebagaimana kita mempunyai tanggungjawab mempertahankan apa sahaja yang boleh mengancam keselamatan negara, biarlah ‘yang ringan sama dijunjung, yang berat sama dipikul’ kerana kita rakyat Malaysia. Ia boleh dimanfaatkan secara berterusan melalui sukan.

-Menggalakkan pembangunan ekonomi negara melalui pembangunan industri sukan.

 

Pembangunan ekonomi dapat dipertingkatkan di hari Sukan Negara dengan mengadakan pameran dan jualan produk kesihatan serta barangan sukan yang berkualiti dan berjenama dengan harga murah yang melibatkan semua kaum turut sertai. Begitu juga di pusat membeli belah mengadakan jualan  murah dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Hari Sukan Negara 2015.

 

Di peringkat antarabangsa dengan acara sukan juga dapat menjana ekonomi negara, contohnya, penganjuran sukan di peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel, Le Tour de Langkawi, Sukan SEA dan Formula 1 telah banyak menyumbang pendapatan kepada negara.  Tidak dapat dinafikan bahawa penganjuran sukan komanwel pada tahun 1998 telah membantu menangani kemelesetan ekonomi negara pada tahun tersebut.

Misalnya, Amerika Syarikat yang pernah menganjurkan Sukan Olimpik di Atlanta telah mendapat keuntungan sebanyak USD20 billion.  Pendapatan negara terjana melalui kedatangan pelancong yang ramai untuk menyaksikan temasya sukan yang berprestij.  Pengaliran wang asing masuk ke negara ini akan bertambah rancak sekaligus meningkatkan ekonomi sekaligus menjana sumber ekonomi negara. (Suhaili, 2014)

-Mengekalkan kesihatan dan bebas dari penyakit

Kesihatan makin dititikberatkan oleh masyarakat masa kini disebabkan oleh terdapatnya pelbagai serangan penyakit dan juga keghairahan khalayak yang tidak suka akan obesiti dan mahukan berat badan yang ideal.

Obesiti didefinisikan sebagai jumlah lemak yang tidak normal pada tubuh yang mana pada kebiasaannya, lelaki dengan lebih 25% peratus lemak tubuh dan wanita dengan lebih 30% peratus lemak tubuh daripada segi perubatan dianggap obes. Dari segi saintifik, obesiti dedifinisikan sebagai mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) 30 atau lebih (27 bagi orang Asia).

Obesiti boleh menyebabkan berlakunya berbagai serangan penyakit dan risikonya amat tinggi seperti penyakit jantung koronari, kegagalan jantung kongestif, strok, tekanan darah tinggi, kolestrol darah tinggi(dislipidemia), diabetis, osteoartritis, gangguan psikologi(seperti murung dan rasa rendah diri) dan sebagainya.

Selain itu, penyakit mental turut terjadi dengan gangguan yang melibatkan perubahan pemikiran, emosi dan tingkah-laku yang menjadikan kehidupan seseorang menjadi sukar yang mana kecelaruan perasaan adalah salah satu daripada pelbagai jenis kecelaruan mental yang ada.

Oleh yang demikian, senaman boleh mengurangkan perasaan negatif, mengurangkan perasaan negatif, dapat menambah keyakinan diri, melawan kemurungan, mengurangkan stress dan mengurangkan masalah tingkah- laku yang disebabkan oleh masalah psikologi dalaman seseorang individu. (Singkir, 2009)

-MASYARAKAT MALAYSIA BOLEH MENYESUAIKAN DIRI DENGAN BUDAYA BARU INI DALAM HIDUP MEREKA.

Pada pandangan penulis, masyarakat Malaysia boleh menyesuaikan diri dengan budaya ini bermula daripada kesedaran daripada ibu bapa bagi memupuk tabiat bersenam dan bersukan merupakan peranan sangat besar kerana mereka boleh mempengaruhi anak-anak melalui beberapa mekanisme termasuk persepsi mereka terhadap aktiviti tersebut, sikap dan juga sokongan yang mereka berikan untuk anak-anak melakukan aktiviti tersebut. Bagi menggalakkan pembentukan amalan bersenam, ia haruslah diterap daripada usia muda. Kajian tabiat bersenam dalam kalangan orang dewasa menunjukkan bahawa tabiat mereka itu terbentuk semenjak daripada kecil. Bagi kanak-kanak, peranan agen sosial seperti ibu bapa dan keluarga adalah sangat penting. (Sojak, 2015)

Selain itu, sikap positif dari semua individu, ibu bapa dan masyarakat berperanan penting dalam konteks senaman dan sukan, persepsi terhadap kepentingan aktiviti-aktiviti sukan dan senaman ini berbanding aktiviti-aktiviti lain dalam kehidupan anak mereka akan mempengaruhi pendekatan dan tingkah laku ibu bapa terhadap aspek ini. Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai pandangan yang positif terhadap aktiviti sukan senam akan menggalakkan anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti ini.

Walau bagaimanapun, jika kita lihat dari segi pembentukan sesebuah masyarakat, tamadun tradisional begitu menghayati prinsip keluarga sebagai asas. Menurut Konfusianisme, kesetian dan pertalian yang erat melalui konsep kekeluarga. Melalui budaya ini juga, pembentukan komuniti dapat diperkuatkan dan berpengaruh dalam menentukan personaliti dan identiti seseorang manusia. Komuniti juga dapat memastikan bahawa nilai dan norma murni dalam masyarakat sentiasa dihormati.

Justeru, sepertimana bidang-bidang dalam masyarakat yang lain, konsep kesihatan dalam tamadun tradisional tidak terpisah daripada pandangan semesta sesebuah agama. Sifat yang penting dalam konsep kesihatan tamadun tradisional ialah pandangan dan pendekatan holistiknya. Holistik bermakna suatu pandanggan yang mengakui bahawa kesihatan seseorang dipengaruhi oleh alam sekitarnya yang lebih luas, lebih menyeluruh dan saling berhubungan.

Menurut konsep holistik, mengubati penyakit bermaksan memulihkan kesimbangan seseorang dan dengan melalui proses ini, keharmonian dapat dipulihkan dalam tubuh badan pesakit dan seterusnya mencapai keseimbangan dalam kehidupannya.

Oleh itu, keharmonian sosial antara individu dalam masyarakat dengan berteraskan ilmu, kesepakatan dan toleransi yang mempunyai wawasan boleh meningkatkan martabat bangsa dan meninggikan tamadun yang dibina.

Hal inilah yang dapat kita saksikan semasa pemerintahan awal kerajaan Melayu Melaka, biarpun sentiasa diancam oleh musuh luar, namun mereka mampu membina masyarakat yang berkualiti. Pembinaan tamadun Melayu yang ditunjangi oleh sosial secara harmoni antara masyarakat Melayu zaman itu mampu mengembangkan tamadun ke seluruh pelosok alam Nusantara sehingga ke China, malah terus berkembang ke seluruh dunia timur dan barat sehingga Portugis dan Inggeris datang menjajah,merampas hasil bumi Melaka sehingga meruntuhkan tamadun Melayu Melaka. (Darussalam, 2014)

Secara umumnya, sukan tidak pernah mengira latar belakang agama, keturunan, kepercayaan dan batasan yang boleh menghalang interaksi antara pemain, penyokong, pengurusan dan massa. Walaupun tidak dinafikan sukan juga menjadi ancaman provokasi perkauman sebagaimana yang berlaku dalam liga bola sepak luar negara, namun seringkali kita melihat sukan akan menjadi alat perpaduan dalam kalangan masyarakat umum walaupun mempunyai pelbagai perbezaan termasuk fahaman politik masing-masing.

Menurut sejarah, ketika Perang Dunia Kedua, sukan menjadi alat untuk mengetepikan perbezaan masing-masing dan tempat penyatuan negara-bangsa yang boleh bersama walaupun mempunyai latar belakang pemerintahan dan struktur tadbir-urus berbeza.

Maka, perpaduan bukan sekadar dalam kalangan masyarakat; tetapi juga segenap lapisan stratifikasi kepimpinan dan organisasi sukan agar perpaduan tidak dikompromi tetapi dijadikan sebagai benteng pembinaan jati diri menyeluruh. Ini kerana sukan merupakan antara mekanisme penting dalam melentur semangat ‘kekitaan’.

Dalam membangunkan prestasi sukan, ia sekali gus juga dapat memaparkan usaha memupuk penerimaan ke atas kepelbagaian sukan yang wujud dari masyarakat pelbagai etnik. Sukan mampu memecah tradisi dominasi oleh sesuatu etnik terutama dengan penampilan ‘kemajmukan’ bukan sahaja dari segi penyertaan tetapi lebih dari itu, menghargai dan mencipta ‘semangat satu negara, satu Matlamat’. (Pandian, 2012)

Justeru, sukan mempunyai nilai-nilai murni yang boleh melahirkan generasi cergas, sihat bukan sahaja dari segi fizikal dan rohani tetapi keupayaan mengukuhkan kesejahteraan pelbagai masyarakat dalam memastikan perpaduan terus utuh juga mampu menjadi sebahagian dari proses meraikan kepelbagaian kelompok etnik yang ada di negara ini.

Menurut A. Aziz Deraman (2001), pembentukan budaya adalah melalui manusia itu sendiri dan perkembangan budaya dapat dikesan melalui perkembangan masyarakat itu sendiri. Maka dapat disimpulkan bahawa dengan cara kesukanan ini boleh dijadikan budaya atau kebiasaan bagi rakyat apabila semua pihak memberi dan mendapat kesedaran kepentingan kesejahteraan dan mengekalkan hidup sihat jasmani dan rohani.

KESIMPULAN

 

Tuntasnya, penglibatan masyarakat Malaysia secara konsisten dalam sukan mempunyai banyak kelebihannya kepada masyarakat dan negara.  Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya menambah frasarana sukan seperti gelanggang, dewan, padang dan sebagainya untuk menarik minat masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar.

Walau bagaimanapun, tujuan aktiviti sukan adalah perpaduan antara masyarakat menjadi lebih erat untuk kesejahteraan dalam lapangan kehidupan. Di Malaysia, masyarakat terdiri daripada masyarakat majmuk. Maka, seharusnya diperkasakan lagi aktiviti yang berguna untuk merapatkan persefahaman antara kaum dan tidak dapat dinafikan bahawa kesukanan mampu membentuk masyarakat yang kondusif .

Sesiapa sahaja boleh memilih untuk menceburi bidang sukan mana yang mereka rasa bersesuaian mengikut kemampuan masing-masing. Pendekatan terbuka seperti ini sudah tentunya dapat menggalakkan dan menarik sesiapa sahaja untuk bersukan dan beriadah kerana tidak membebankan dan memerlukan kos yang tinggi.

Mereka boleh melakukan aktiviti sukan dan beriadah pada bila-bila masa dan secara konsisten kerana kemudahan atau kelengkapan sukan yang berkonsepkan mudah, murah dan menarik itu ada di persekitaran tempat tinggal mereka. Sekurang-kurangnya di taman-taman awam atau padang permainan kanak-kanak.

Bagi memastikan konsep bersukan sedemikian dapat diperluaskan semua yang terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan kemudahan untuk tujuan bersukan itu ada. Maksudnya peralatan dan kemudahan sedia ada di taman-taman awam, padang permainan, taman rekreasi atau pusat-pusat sukan untuk orang ramai diganti, ditambah dan diselenggara dengan baik.

 

RUJUKAN

 

Astro Awani. (2015, Oktober 09). Khairy Jamaluddin-Apa Guna Hari Sukan Negara. Didapatkan dari Surat Pembaca: http://www.astroawani.com/

Darussalam, G. (2014). Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Selangor: Open University Malaysia.

Ismail, R. (2016, Oktober 08). Rencana Sukan. Didapatkan dari Membudayakan Sukan Riadah: http://m.utusan.com.my/

Kamus Dewan. (2004). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mohd Syariefudin . (2014). Hubungan Etnik. Selangor: Universiti Terbuka Malaysia.

Mohd Syariefudin Abdullah. (2014). Cabaran Dalam Usaha Integrasi Nasional. In M. S. Abdullah, Hubungan Etnik (pp. 210-211). Selangor: Open Universiy Malaysia.

Pandian, S. (2012, Ogos 07). Sukan Alat Perpaduan Di Malaysia. Didapatkan dari http://ww1.utusan.com.my

Sinar Harian. (2015, Oktober 10). Hari Sukan Negara Cipta Malaysia Book Of Records. Didapatkan dari Rencana Sukan: http://www.sinarharian.com.my/sukan/hari-sukan-negara-cipta-malaysia-book-of-records-1.438971

Singkir. (2009, Mei 30). Sukan Dan Budaya Popular. Didapatkan dari http://dsingkir.blogspot.my/

Sojak, S. H. (2015, Oktober 12). Hari Sukan Negara Lakar Sejarah. Didapatkan dari http://www.utusan.com.my

Suhaili, S. (2014, November 01). Kepentingan Bersukan Kepada Masyarakat. Didapatkan dari http://fasilitatorbahasa.blogspot.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.