Cara Menangani Kepercayaan Dan Pengamalan Terhadap Hadis Palsu

Hadis Mawdu` atau hadis palsu dari segi bahasa berasal dari perkataan Wadha`, bererti meletak dan maksud pada istilah, hadis dicipta dengan disandarkannya kepada Nabi SAW atau sahabat atau Tabi`in secara dusta, ekoran ada agenda tertentu, samada pendustaan itu dilakukan secara sengaja dan sebaliknya atau hadis yang diriwayatkan oleh perawi dusta. Oleh itu, konsepnya adalah hadis rekaan dan ditokok tambah yang diriwayatkan oleh pendusta dengan menyandarkan dari Rasulullah SAW (Dr Fauzi Deraman, 2009).

 

Sebagaimana kita maklum, bahawa kedudukan hadis merupakan sumber rujukan utama agama Islam selain al-Quran selepas kewafatan SAW yang membabitkan pengamalan dan kepercayaan seseorang umat Islam. Penyebaran hadis palsu bukan sahaja boleh memberi kesan buruk terhadap agama dan umat Islam, yang lebih parah adalah menggugat aqidah seseorang Muslim secara tidak sedar daripada amalan dari hadis palsu adalah sia-sia, kerana hadis palsu bukanlah asas sebenar ajaran Islam.

 

Namun, sekiranya percanggahan antara hadis palsu dengan hadis sahih dan nas al-Quran tanpa dibendung pasitinya memberi peluang kepada musuh yang sentiasa memerhatikan Islam untuk memburuk-buruk serta mencari kelemahan agama Islam. Oleh kerana bukan daripada sumber yang sama sebagaimana Rasulullah SAW menerima hadis dan ayat-ayat al-Quran, maka seringkali hadis palsu ini bercanggah dengan kedua-dua sumber asal ini. Kesannya mengakibatkan kekeliruan dan umat Islam akan berlaku perpecahan sesama sendiri. (Zulhilmi Mohamed Nor, 2016)

 

Maka, catatan ini bertujuan mengenal pasti hadis-hadis palsu popular dalam perkara ibadat yang diamalkan dalam kalangan masyarakat setempat. Melaporkan hasil dari temu bual dalam membincangkan tahap pengetahuan dan penerimaan ahli jemaah masjid kariah. Kemudian penulis  akan menjelaskan hukum beramal dengan hadis palsu dan kesannya dalam masyarakat. Disamping itu, penulis akan mengemukakan cadangan langkah menangani kepercayaan dan pengamalan terhadap hadis-hadis palsu yang tesebar dalam masyarakat Islam hari ini.

HADIS POPULAR BERKAITAN IBADAT DALAM MASYARAKAT SETEMPAT

 

Berikut di antara hadis yang popular digunakan berkaitan dalam ibadat dalam masyarakat Islam menurut (Amin, 2012)

Hadis Pertama : Hadis yang dikatakana diriwayatkan oleh Saidina Ali KW daripada Rasulullah SAW sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi SAW tentang fadhilat (kelebihan)sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadhan:

Malam 1: Keluar dosa-dosa Orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.

Malam 2 : Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka orang beriman).

Malam 3 : Berseru malaikat di bawah Arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus-menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

Malam 4 : Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam 5 : Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidil haram,Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam 6 : Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitil Ma’mur (70 ribu Malaikat sekali tawaf) serta batu-batu dan tanah- tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.

Malam 7    : Seolah-olah ia dapat bertemu dengan nabi Musa serta menolong nabi Alaihissalam menentang musuh ketatnya Fir’aun dan Hamman.

Malam 8    : Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada nabi Allah Ibrahim AS.

Malam 9     : Allah mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad SAW.

Malam 10       : Allah Subhanahuwataala mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.

Malam 11    : Keluar ia daripada dunia ( mati) bersih daripada dosa seperti ia baharu dilahirkan.

Malam 12      : datang ia pada hari Qiamat dalam muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya)

Malam 13      : Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

Malam 14       : Datang malaikat menyaksikan ia sembahyang terawih , serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.

Malam 15  : Semua Malaikat yang menanggung Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakanya supaya Allah mengampunkannya.

Malam 16     : Allah subhanahuwataala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Malam 17   : Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala nabi-nabi.

Malam 18   : Seru malaikat :Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau ( yang masih hidup atau mati)

Malam 19     :Allah Subhanahuwataala tinggikan darjatnya di dalam syurga Firdaus.

Malam 20 :  Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam 21 :    Allah binakan sebuah istana dalam syurga daripada nur.

Malam 22 :  Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-taip dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru-hara di padang Mahsyar).

Malam 23: `Allah SWT binakan kepadanya sebuah bandar di dalam syurga daripada Nur.

Malam 24 : ` Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang  berterawih malam ini (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25 : Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur.

Malam 26 :  Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.

Malam 27: Allah kurniakan orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian siratol mustaqim seperti kilat menyambar.

Malam 28: Allah SWT kurniakan kepadanya 1000 darjat di akhirat.

Malam 29: Allah SWT kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

Malam 30: Allah SWT beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali ,lalu ber Firman:   “Hai hambaku : makanlah segala jenis buah–buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga dan mandilah engkau daripada air syurga  yang bernama Salsabila,serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang bernama  Al- Kauthar ”.

Oleh itu, terdapat tanda-tanda mubalaghah dalam hadith ini yang menunjukkan hadith mawdu’.

Hadis Kedua : Hadis bermaksud “Bulan Rejab bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku dan Bulan Ramadan bulan umatku”

Dalam sanad Hadis ini terdapat Ali b. Abd Allah b. Jahdam al-Suda’i yang lebih dikenali dengan nama Ibn Jahdam, dia dituduh pendusta. Sedangkan beberapa perawi lainnya dalam sanad ini tidak dikenali, bahkan beberapa ulama Hadis mengatakan bahawa barangkali mereka belum lagi dilahirkan (لعلهم لم يخلقوا). Hadis ini telah dihukumkan palsu oleh Ibn  al-Jawzi, Ibn Qayyim, Ibn Hajar, al-Suyuti dan  lain-lain.

Hadis Ketiga : Hadith bermaksud “Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga Firdaus. Puasa dua hari dilipat gandakan pahalanya. Puasa tiga hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang yang menghalangkan dia ke neraka (panjangnya setahun perjalanan). Puasa empat hari pada bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar dan daripada fitnah dajjal di hari Qiamat. Puasa tujuh hari pada bulan Rejab ditutup daripadanya tujuh pintu neraka. Puasa lapan hari pada bulan Rejab dibuka padanya lapan pintu syurga”.

Dalam sanad al-Baihaqi terdapat beberapa perawi yang dhaif, amat daif dan seorang yang dituduh  meriwayatkan hadith palsu daripada perawi thiqah. Antaranya adalah Uthman b. Matar, dia dhaif menurut Abu Hatim, al-Nasa’i, al-Dhahabi dan Ibn Hajar. Abu- Salih. Abd al-Ghafur al-Wasiti,

Menurut  al-Bukhari mereka meninggalkannya dan hadithnya munkar (تركوه وهو منكر الحديث). Ibn A’diy berkata:  Dia   daif dan hadithnya munkar (ضعيف منكر الحديث).

Al-Nasa’i berpendapat dia متروك  الحديث. Ibn Hibban pula menyatakan bahawa dia meriwayatkan hadith-hadith palsu daripada perawi thiqah (كان يروي الموضوعات عن    الثقات). Al-Baihaqi yang meriwayatkan hadith ini hanya mengatakan bahawa sanadnya dhaif, akan  tetapi Ibn Hajar yang kemudian diikuti oleh al-Kannani menghukumkannya dengan palsu. (Amin, 2012)

Hadis Keempat : Kelebihan membasuh tengkuk ketika berwudhu` : Abu Nu’aim meriwayatkan dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW. “Barangsiapa berwudhu’ dan ia membasuh tengkuknya, maka ia tidak akan dibelenggu dengan rantai-rantai pada hari Qiamat.

Menurut Al-Albani: Hadith tersebut adalah Maudhu’ (palsu). Selain itu, riwayat lain dari “Asy-Syaukani menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: (Menyapu tengkok (di kala berwudhu’) selamat dari belenggu (pada hari Qiamat).

Menurut An-Nawawi: Hadith ini adalah Maudhu’. Pendapat ini diakui oleh As-Sayuti, Asy-Syaukani, Al-Albani dan lain-lain. Ibnu Ash-Shalah berkata: Hadith ini tidak dikenal dari Nabi SAW, dia adalah perkataan sebahagian Salaf. (Abdul Ghani Azmi Idris, 2009)

 

MEMBINCANGKAN TAHAP PENGETAHUAN DAN PENERIMAAN AHLI JEMAAH MASJID KARIAH TERHADAP HADIS PALSU

 

Hasil daripada temu bual dengan Encik Amri Bin Jaini, Abdul Rahman Bin Kamal dan Puan Dayang Farah Binti Jemali daripada ahli jemaah di surau An-Najah, Kampung Samariang Batu Kuching di Sarawak, mereka berpendapat bahawa kurang pengetahuan secara mendalam berkenaan hadis tersebut walaupun biasa baca dan dengar, tetapi pengamalan itu sudah menjadi amalan kebiasaan bagi jemaah tersebut.

Manakala dari segi penerimaan mereka berpendapat bahawa. Kita hanya akur apa yang disampaikan oleh pendakwah atau guru takmir yang sentiasa menyampaikan ilmu agama di surau tersebut kerana dengan adanya sesuatu kelebihan sebagai perangsang dan penggerak untuk terus melaksanakan apa jua ibadat yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Oleh itu, penilaian hadis palsu ini adalah berdasarkan kepada pengajian ilmu hadis yang kurang didedahkan oleh para pendakwah kepada masyarakat awam bagi menilai kedudukan sesuatu hadis dan pengambilan sesuatu hadis sama ada dari segi riwayat, sanad hadis dan sebagainya.

HUKUM BERAMAL DENGAN HADIS PALSU DAN IMPLIKASINYA

Telah sepakat para ulama bahawa Hadith Maudhu’ sama sekali tidak boleh digunakan dalam semua perkara duniawi dan ukhrawi. Pembuat Hadith Maudhu’, penyebarnya dan pcnghayatannya secara sedar adalah salah satu dari dosa-dosa besar (Al-Kabaair), tetapi orang yang berbuat demikian tidaklah menjadi kafir kecuali apabila ia menghalalkan perbuatan dusta itu. Demikian pendapat Jumhur ulama. (Abdul Ghani Azmi Idris, 2009)

Seorang ulama dalam mazhab Asy-Syafie, iaitu Al-Imam Abu Muhammad Al-Juwaini bapa kepada imam Al-Haramain mengkafirkan orang yang sengaja berdusta terhadap Rasulullah SAW walaupun ia tidak menghalalkan perbuatan dusta itu.

Pendapat ini mungkin didasarkan kepada firman Allah SWT.:  Sesungguhnya yang mengada-gadakan kebohongan iju hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong.(An-Nahli : 105)

Ayat ini dengan tegas menafikan iman terhadap orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah, dan berdusta terhadap Rasulullah SAW. bererti berdusta terhadap Allah. Hadith-hadith yang Shahih, bahkan Mutawatir mengecam keras orang-orang yang berbohong terhadap Rasulullah SAW itu.

Rasulullah SAW. bersabda:  “Barangsiapa berdusta terhadapku, maka bersedialah mengambil tempatnya dari Neraka” (al-Bukhari & Ibn Majah)

Manakala, menyebarkan dan mengamalkan Hadith Maudhu’ secara sedar adalah

termasuk pula dalam ancaman Rasulullah SAW sabdanya: “Barangsiapa yang meriwayatkan sebuah Hadith dariku yang dipandang sebagai dusta, maka termasuklah ia sebagai salah seorang pembohong” (Riwayat Muslim)

Kebanyakan para ulama dan imam Hadith menghukum orang yang meriwayatkan Hadith Maudhu’ tanpa memberitahu akan maudhu’nya dan tidak memberi amaran kepada manusia mengenai Hadith maudhu’ itu dengan hukuman ta’zir yang keras.

Al-‘Abbas As-Sarrah berkata: “Aku melihat Muhammad bin Ismail Al-Bukhari sewaktu diberikan kepadanya sebuah kitab dari Ibnu Karram yang bertanya antara lain mengenai Hadith riwayat Az-Zuhri, dari Salim, dari ayahnya yang dirafa’kan (diangkatkan) kepada Nabi SAW.: “Bahawasanya iman itu tidak bertambah dan tidak berkurang”

Seterusnya dengan pengamalan hadis palsu ini akan membawa kesan yang akan berlaku penciptaan dan penyebaran hadis palsu ini semakin bereeluasa Kesan hadis palsu ini secara umum jika dibiarkan akan merebak dalam masyarakat.

Pertama : Meninggalkan Amalan Hadis Sahih

Sekiranya kita rasa mahabbah kepada Rasulullah SAW, maka kita perlu mempertahankan hadis dan mengamalkan hadis yang sahih.

Sesetengah berpendapat, “Tiada bersalahan mengamalkan hadis palsu kerana sebahagiannya mendorong kepada kebaikan”, itu yang biasa kita dengar. Misalnya, seseorang hendak menyuruh orang solat, maka dia mencipta fadilat amalan-amalan yang Rasulullah SAW telahsebutkan di dalam hadis sahih.

Menurut Al-Qaradawi, “Sesiapa yang mencipta hadis kemudian menyandarkan kepada Nabi Muhammad SAW, dan merasakan ia baik,maka seolah-olah ia telah menghina Nabi dengan ia berkata kepada Nabi, “Ya Rasulullah engkau mati dalam keadaan engkau belum sempat menyempurnakan kerja-kerja menyampaikan hadis sehingga selesai. ‘Duduk diam di dalam kubur, aku akan reka hadis bagi pihak engkau.”

Kita yakin dan percaya Rasulullah SAW wafat dengan amanah kenabian menyampaikan hadis telah selesai. Tidak perlu lagi hadis palsu.

Oleh itu ulama hadis Ibnu Mubarak berkata, “Hadis sahih ini telah menyibukkan kami daripada hadis-hadis palsu.”

Jika kita hendak mengamalkan hadis sahih sahaja pun, kita tidak mampu mengamalkan kesemuanya kerana terdapat banyak hadis sahih. Kita akan sibuk beramal dengan hadis sahih.

Tidak perlu lagi hadis palsu kerana hadis sahih sudah mencukupi, bahkan hadis palsu hanya akan membuatkan kita melakukan amalan yang kita tidak mampu.  Misalnya, ulama hadis menghukum riwayat-riwayat mengenai kelebihan hari Asyura berkaitan memberi makan sebagai tidak sahih.

Hal ini timbul disebabkan isu terdapat orang Syiah bersedih dan meratap pada hari tersebut. Golongan yang tidak bersetuju dengan Syiah membuat pesta dan mencipta hadis berkaitan digalakkan memberi makanan. Lalu, pada hari itu kita berpesta memberi makan, maka kita meninggalkan hadis yang sahih.

Pada hari tersebut apakah yang patut kita lakukan? Pada hari tersebut kita sepatutnya berpuasa sunat. Pada hari Asyura kita sepatutnya berpuasa pada 9 dan 10 Muharam atau 10 dan 11 Muharam. Namun begitu jika hendak masak bagi berbuka puasa beramai-ramai, tidak mengapa. Namun, jangan sampai kita terlupa untuk berpuasa pada hari tersebut. Tanpa disedari kita telah membuat pesta pada setiap tahun, dan terlupa untuk berpuasa.

Kesan kedua : Mencemarkan kesucian Agama  

Jika kita menyebarkan hadis palsu Contohnya, Rasulullah SAW kononnya bersabda, “Apabila Allah mahu mencipta diri-Nya, Dia mencipta kuda terlebih dahulu. Apabila kuda berkenaan berlari, maka dia akan berpeluh. Setelah itu Allah mencipta dirinya daripada peluh kuda tersebut.”( Imam al-Zahabi)

Imam al-Zahabi (748H) berkata, “Ia adalah hadis yang palsu. Allah melaknat pemalsu dan orang yang mempercayainya. la adalah sesuatu yang mustahil untuk difikirkan pada akal waras.”

Selain itu ada hadis “Sesiapa yang membaca hadis kemudian dia bersin itu tanda kebenarannya.”

Hadis tersebut tidak masuk akal. Bagaimana sesuatu hadis boleh disahihkan dengan hanya bersin? Jika seseorang yang berdusta, bersin sebanyak 50 kali sekalipun, hadis berkenaan belum tentu sahih daripada Rasulullah SAW.

Kesan Ketiga : Dorongan Kepada Syirik

Kadangkala hadis palsu menyebabkan kita termasuk dalam syirik. Ada hadis palsu mengatakan, “Sesiapa yang berbaik sangka dengan batu, maka Allah akan jadikan batu itu bermanfaat untuknya (tangkal).”( Al-Manar Al-Munif :139)

Jika kita membiarkan hadis ini berlegar dalam masyarakat ia hanya akan menjadikan masyarakat mengamalkan syirik. Orang akan mula menggunakan batu sebagai azimat. Orang akan menjadi percaya kepada tangkal

Kesan Keempat : Penghinaan terhadap Para Nabi

Sebahagian hadis palsu membawa maksud penghinaan kepada para nabi, Contoh hadis, “Sesiapa yang solat Dhuha sebanyak rakaat ini dan itu, maka akan diberikan pahala 70 orang para nabi.”( Al-Manar al-Munif :50)

Hadis palsu mendakwa jika melakukan solat Dhuha (beberapa rakaat) kita bukan sahaja akan mendapat pahala Nabi Ibrahim, bahkan pahala 70 nabi kita akan dapat. Adakah itu ajaran Islam? Kita seolah-olah telah menghina para rasul.

Jika kita lihat dalam urusan dunia, kita banyak menggunakan logik, tetapi mengapa dalam agama kita tidak menggunakan logik berdasarkan perkara yang dibenarkan. (Muhamad Rozaimi Ramle, 2016)

CADANGAN LANGKAH MENANGANI KEPERCAYAAN DAN PENGAMALAN TERHADAP HADIS PALSU

Penulis berpendapat bahawa penyebaran hadis-hadis Maudhu’ dan seumpamanya adalah disebabkan kerana kejahilan umat, kealpaan para ulama’ dan Ulul-Amri serta sikap taqlid buta di kalangan guru-guru agama kepada buku-buku atau guru-guru yang tertentu sehingga mereka menerima dan menyampaikan apa sahaja yang didengar ataupun yang tertulis tanpa membuat sebarang pertimbangan. (Abdul Ghani Azmi Idris, 2009)

Selain itu, tidak kurang pula guru-guru agama yang terlalu sangat kurang pengetahuannya mengenai seluk-beluk al-Hadith sehingga menyebabkan mereka tidak dapat membezakan antara Hadith atau bukan Hadith, asal dikatakan Hadith diterima dia dengan patuh. Walau apapun sebab yang berlaku, yang pastinya ialah penyebaran dan penggunaan Hadith-hadith Maudhu’ itu wajib dicegah dan dibasmikan dari akar umbi.

Oleh itu,  pencegahan dan pembasmian penyebaran Hadith-hadith Maudhu’ itu dapat dilakukan dengan cara-cara yang berikut mengikut keutamaannya seperti:

  1. Menyebarkan kepada orang ramai Hadith-hadith yang sah dari Rasulullah SAW berserta terjemahannya kerana kebanyakan orang ramai buta dengan al-Hadith disebabkan buku-buku yang berkenaan kebanyakannya dalam bahasa Arab.
  2. Menyebarkan kepada orang ramai risalah-risalah mengenai Hadith-hadith Maudhu’ dan bahayanya kepada iman dan Islam.
  3. Mengadakan majlis-majlis penerangan dan khutbah-khutbah Jum’at yang khusus mengenai keburukan-keburukan Hadith Maudhu’ tersebut dari semasa ke semasa.
  4. Mengadakan kursus-kursus kepada guru-guru agama seperti, imam-imam, pendakwah atau guru takmir mengenai seluk-beluk Hadith dengan mcmberikan penekanan khusus kepada hadith-hadith Maudhu’ dan yang seumpama dengannya.
  5. Mempastikan khutbah-khutbah Jumaat yang dibacakan pada tiap-tiap Jumaat oleh para khatib atau imam bebas dari Hadith-hadith Maudhu’ atau pun Hadith-hadith lain yang tidak halal.
  6. Mempastikan buku-buku yang dijadikan buku teks di sekolah-sekolah, pondok-pondok, masjid-masjid, surau-surau dan sebagainya bersih dari Hadith-hadith Maudhu’ atau yang sebangsa dengannya dan juga Hadith hadith lain yang tidak halal.
  7. Mengenakan hukuman Ta’zir yang keras terhadap orang-orang yang menyebarkan baik secara lisan ataupun tulisan akan Hadith-hadith yang tidak halal itu.

KESIMPULAN

 

Tuntasnya, pengenalpastian hadis palsu ini seharusnya berorentasikan kepada kepakaran ulama dalam bidang hadis yang seharusnya merujuk kepakaranya agar kerosakan dan kekeliruan masyarakat Islam dapat ditangani serta pengajian Ulum Hadis juga semestinya didedahkan diperingkat sekolah dan universiti dengan memastikan penggunaan hadis di dalam buku teks adalah terdiri daripada hadis-hadis sahih. Oleh itu, pengamalan masyarakat awam dengan hadis palsu dengan sebab kejahilan dan maklumat kurang terperincil dalam ilmu agama ini adalah faktor utama dalam hal ini yang seharusnya disuburkan dengan ilmu pengetahuan

 

Walau bagaimanapun, pihak yang berkuasa negeri melalui Jabatan Agama Islam agar diwujudkan satu akta penyebaran hadis di bawah jabatan agama. Di bawah akta ajaran sesat contohnya boleh dimasukkan satu akta khas penyebaran hadis. Sekitar kurun kedua dan ketiga hijrah, penyebar hadis palsu dihukum bunuh atau di penjara seumur hidup. Oleh itu perlu diwujudkan akta khusus bagi mengawal penyebaran hadis agar setiap hadis yang dibaca di mana-mana tempat seperti masjid, surau, akhbar, buku dan sebagainya terikat dengan undang-undang secara khusus sebagai langkah permulaan.

 

Selain dapat meletakkan kewajipan membasmi penyebaran dan penggunaan Hadith-hadith yang tidak halal ini sebagai perkara yang utama serupa dengan kewajipan melaksanakan Syari’at Islam dalam masyarakat dan membasmi ajaran-ajaran sesat lainnya jika kita ingin melihat umat Islam terpelihara dari kesesatan, dan agama Islam bersih dari segala khurafat dan bid’ah seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Bahkan usaha membasmi ajaran sesat itu tidak akan berhasil jika usaha pembasmian Hadith-hadith palsu ini tidak dijalankan kerana kebatilan dan kesesatan itu kebanyakannya berpunca dari sini.

Rujukan

Ab.Latif Muda & Rosmawati Ali. (2013). Ulum Al-Hadith. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn.Bhd.

Abdul Ghani Azmi Idris. (2009). Himpunan Hadis Dha`if dan Maudhu`. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications.

Amin, M. F. (2012, Mei 15). Beberapa Hadis Palsu Yang Tersebar Dalam Masyarakat. Didapatkan dari Lukisan Dakwah Islam: https://www.facebook.com/

Dr Fauzi Deraman. (2009). ABSH2103 Ulum Al-Hadith. Selangor: Open University Malaysia.

Fadlan Mohd Othman . (2013, Jun 06). Perkongsian tentang Hadith Palsu. Diambil kembali dari Ustaz Dr Fadlan Mohd Othman: http://fadlan-mohd-othman.blogspot.my/2013/06/perkongsian-tentan-hadith-palsu.html

Idris, A. G. (2007). Himpunan Hadith Shahil Mengenail Hukum Hudud. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.

Jahya, F. B. (2014, April 18). Rencana Sinar Harian. Didapatkan dari Hukum beramal dengan hadis lemah dan palsu: http://www.sinarharian.com.my

Muhamad Rozaimi Ramle. (2016). Tauhid Tiga Serangkai Ekstremis Agama : Hadis Palsu. Selangor: Kemilau Publika Sdn.Bhd.

Yazid Abdul Qadir Jawas. (2005, Ogos 08). Hadits-Hadits Palsu Tentang Keutamaan Shalat Dan Puasa Di Bulan Rajab. Diambil kembali dari Media Islam Salafiyyah, Ahlussunnah wal Jama’ah: https://almanhaj.or.id/1523-hadits-hadits-palsu-tentang-keutamaan-shalat-dan-puasa-di-bulan-rajab.html

Zulhilmi Mohamed Nor. (2016). Hadis Palsu Punca Syirik. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia.

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *