Dalam masyarakat hari ini, kita telah menyaksikan kadar peningkatan jenayah juvenil yang semakin tinggi yang kita tidak pernah saksikan sebelum ini. Kajian menunjukkan juvenil terutamanya mereka yang berusia 18 tahun ke bawah adalah pelajar yang tercicir. Oleh itu, kes jenayah yang melibatkan juvenil menjadi masalah yang berat dalam masyarakat kita. Mari kita bincangkan dan sama-sama kita cari penyelesaian…

Jenayah merupakan fenomena sentiasa subur di dalam kehidupan manusia. Jenayah tidak pernah berakhir, malah menjadi lebih serius dan membimbangkan. Walaupun sepatutnya tamadun yang dimertabatkan akan membawa ketinggian akhlak dan ketertiban hidup, namun keadaan sebaliknya terus mengancam kehidupan di alam ini.

Menurut (Noresah Baharom, et.al, 2015) , jenayah ialah perbuatan yang disertai dengan kejahatan seperti mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain yang salah di sisi undang-undang. Juvenil pula bermaksud anak muda yang belum matang atau bawah umur lapan belas tahun.

Menurut Soerjono Soekanto, masalah sosial merupakan sesuatu yang ketidaksesuaian antara unsur-unsur kebudayaan atau masyarakat, yang membahayakan kehidupan kelompok social dan sebagai suatu keadaan yang tidak diinginkan oleh sebahagian besar masyarakat.

Menurut Lesli, masalah sosial sebagai suatu persekitaran yang mempunyai pengaruh terhadap kehidupan sebahagian besar masyarakat sebagai sesuatu yang tidak diinginkan atau tidak disukai dan karena perlunya untuk diatasi atau diperbaiki.

Manakala, menurut Martin S. Weinberg, masalah sosial adalah situasi yang dinyatakan sebagai sesuatu yang bertentangan dengan nilai-nilai oleh masyarakat yang cukup signifikan, dimana mereka sepakat diperlukan suatu tindakan untuk memperbaiki situasi tersebut. (Sunarto, 1993)

Mengikut laporan, peningkatan mendadak kejadian kes jenayah kekerasan melibatkan golongan remaja seperti rogol, bunuh dan samun bersenjata yang meningkat kepada 2,553 kes pada 2013 berbanding 1,047 kes pada tahun sebelumnya.

Tambahnya, bagi jenayah harta benda yang melibatkan perbuatan seperti curi motosikal, ragut dan jenayah jalanan lain juga turut menyaksikan peningkatan kepada 9,704 kes pada 2013 berbanding hanya 3,399 kes pada 2012. (Sinar Harian, 31)

Istilah jenayah juvana merujuk kepada pelanggaran undang-undang oleh seseorang juvana. Mengikut akta Mahkamah Juvana, 1947 (AKTA 90) juvana membawa makna seseorang yang boleh menanggung tanggungjawab jenayah yang ditetapkan dibawah seksyen 82 Kanun Keseksaan dan dibawah umur 18 tahun. (Freedom, 2017)

Berdasarkan definisi diatas, boleh difahami bahawa kes juvana ini sebenarnya merujuk kepada golongan belia atau murid sekolah yang melakukan kesalahan jenayah dan berusia dibawah 18 tahun. Hal ini demikian kerana apabila mereka melepasi usia 18 tahun, mereka akan dikira sebagai golongan dewasa. Untuk makluman, hukuman untuk kesalahan jenayah yang dilakukan oleh golongan dewasa dan mereka yang berusia kurang dari 18 tahun adalah berbeza.

Justeru, kali ini kita membincangkan mengenai jenayah juvana yang mengancam dan memberi masalah kepada struktur jaringan sosial dan membincangkan mengenai kes-kes jenayah terkini yang melibatkan juvana di Malaysia.

Di samping itu, penulis menganalis dan membincangkan faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah tersebut serta penyelesaian yang dicadangkan.

Menurut (Mansor, 2015), statistik dan kajian membabitkan remaja negara ini untuk beri kesedaran bersama ialah :

Merokok

Mengikut statistik di Malaysia, seramai 40 hingga 50 perokok baru dicatatkan setiap hari. Dianggarkan, terdapat 4.7 juta orang merokok pada 2011 dan jumlah itu meningkat daripada 3.1 juta orang pada 2007.

Sementara itu, kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2010 turut merekodkan tabiat merokok menyebabkan kematian kira-kira 18,000 orang setahun. Lebih 23.7 bilion rokok dihisap dalam tempoh setahun dan jumlah ini meningkat dalam kadar tinggi daripada 18 bilion batang pada 1998.

Bukan itu saja, sebilangan besar perokok juga dikesan mula berjinak dengan tabiat ini sejak remaja. Purata umur mula merokok ialah 19 tahun. Pada 1985, 9.8 peratus remaja didapati merokok dan kadar itu meningkat kepada 18 peratus pada 2000.

Hasil kajian mendapati matlamat iklan rokok hampir semuanya ditujukan kepada remaja untuk dapatkan pelapis perokok baru. Setiap remaja yang mula merokok berkemungkinan akan merokok purata selama 30 tahun akan datang.
Mengikut statistik yang diperoleh di The Tobacco Atlas, 36.3 peratus remaja lelaki dan 4.2 peratus remaja perempuan Malaysia yang berusia antara 13 hingga 15 tahun merokok.

Masalah Moral

Kadar peningkatan krisis akhlak dan moral golongan remaja di negara ini semakin menggerunkan apabila statistik menunjukkan jumlah kes jenayah membabitkan pesalah juvana meningkat sebanyak 111 peratus dalam tempoh setahun.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 7,816 kes dicatatkan pada 2013 berbanding hanya 3,700 kes pada 2012 iaitu membabitkan peningkatan sebanyak 4,116 kes.

Malah, angka kegiatan jenayah berat golongan remaja yang tamat persekolahan pula mencatatkan peningkatan ketara sehingga 137 peratus kepada 2,011 kes berbanding hanya 849 kes dicatatkan pada 2012.

Kategori jenayah berat ini turut dikaitkan dengan remaja bawah umur berusia antara 12 hingga 17 tahun. Angka direkodkan turut meningkat kira-kira 47 peratus di seluruh negara dan ada daripada mereka terlibat dengan kes bunuh dan juga rogol.

Aktiviti Seksual

Kadar aktiviti seksual dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di negara ini sepanjang dua dekad lalu meningkat daripada 0.9 pada 1994 kepada 8.3 peratus pada 2012. Statistik itu diperoleh daripada kaji selidik Global Kesihatan Pelajar Sekolah (GSHS) serta Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berkaitan kelakuan sumbang dilakukan remaja sebelum nikah bermula 1994 hingga 2012.
Sementara itu, data direkod daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula 2005 hingga 2011 juga menunjukkan Malaysia menduduki tempat keempat daripada 10 negara berkaitan kehamilan remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun.

Lari Rumah

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan statistik pada 2010 yang menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat sebanyak 4,097 remaja terbabit dengan kegiatan ini seawal usia 13 hingga 17 tahun. Difahamkan, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kebanyakan kes ini membabitkan remaja.

Selain itu, remaja berumur 14 hingga 17 tahun adalah golongan yang paling banyak dilaporkan hilang di negara ini. Remaja perempuan kaum Melayu pula mencatatkan statistik tertinggi hilang berbanding kaum lain, tetapi kelompok itu juga tersenarai dalam kadar tertinggi mangsa yang mudah dijumpai semula.

Berdasarkan statistik Jabatan Pengurusan, Cawangan Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, secara kiraan rawak, dua daripada tiga laporan kes orang hilang membabitkan wanita.

Anak Luar Nikah

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencatatkan 81,000 anak luar nikah didaftarkan sehingga 2011. Manakala kajian penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) pula mendapati 300 remaja Melayu berusia 13 hingga 25 tahun terbabit dengan salah laku seksual dan seks bebas.

Dinyatakan, 85 peratus daripada mereka yang melakukan perbuatan itu langsung tidak menyesal, malu atau takut malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan.
Statistik Polis Diraja Malaysia pula mencatatkan kes pembuangan bayi yang dilaporkan antara 2000 sehingga 2006 ialah 580 orang, majoriti sebanyak 92 peratus adalah bayi baru dilahirkan, manakala lapan peratus adalah janin. Di Lembah Klang saja hasil laporan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007 mendedahkan seorang bayi dibuang setiap 10 hari.

Membakar dan membunuh

Tragedi dasyat yang mengorbankan yang mengorbankan 23 orang termasuk 21 pelajar pada berlaku pada 14 September 2017 lepas dengan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Tindakan kejam itu dikatakan berlaku hanya kerana kejadian ejek mengejek di antara mereka dengan pelajar tahfiz berkenaan beberapa hari sebelum itu yang membabitkan tujuh orang remaja tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun ditahan di sekitar Keramat yang melakukan jenayah membakar sekolah tahfiz tersebut yang berpunca untuk membalas dendam.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh suspek dipercayai mengangkat dua tong gas dari tingkat bawah ke tingkat tiga bangunan tahfiz ter­sebut sebelum memulakan ke­ba­karan menggunakan bahan pembakar yang turut mempercepatkan api marak dan kesemua suspek dipercayai membakar pusat tahfiz dengan niat tetapi bukan untuk membunuh kerana mereka masih muda dan mungkin tidak tahu perbuatan mereka boleh mengakibatkan perkara yang lebih besar


Analisis faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah ini

Menurut (al-Attas, 2002), secara umum daripada permasalahan jenayah juvana yang dibentangkan itu sebagai contoh yang biasa dilihat oleh orang dewasa. Gejala ini ibarat ‘duri dalam daging’. Di antara faktor umum ialah :

1- Kekurangan Kasih Sayang

Punca utama berlakunya jenayah juvana adalah disebabkan kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa.Mereka yang tidak dapat kasih sayang dari ibu bapa akan sengaja melakukan kes jenayah untuk menarik tumpuan perhatian ibu bapa mereka kepada dia.

2- Peranan Media Massa

Pengaruh-pengaruh luaran dan dalaman juga menyebabkan remaja terlibat dalam kegiatan jenayah juvana.Dalam proses memajukan negara,kita disogokkan dengan pelbagai rancangan dan artikel yang kurang bermutu dari Barat yang bertentangan dengan agama dan ajaran kita.Hal ini dilakukan melalui media-media elektronik mahupun media cetak.Rancangan dari Barat menonjolkan ciri-ciri keganasan yang sesuai dengan jiwa remaja yang kuat memberontak.Dengan ini,remaja yang menontonnya akan terpengaruh dengan adegan ganas yang sesuai dengan naluri mereka yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru.

3-Kekurangan didikan agama

Jenayah juvana juga berpunca akibat kekurangan didikan agama.Orang yang kekurangan didikan agama tidak dapat membezakan perbuatan yang haram di sisi agama.Mereka yang terlibat dalam jenayah juvana tidak kukuh pegangan agamanya dan mudah hilang pedoman apabila mereka menghadapi masalah dan tekanan.Jadi.mereka menganggap penglibatan dalam jenayah seperti ini dapat menjadi penyelesaian kepada bebanan jiwa yang dihadapi oleh mereka.

4-Kemiskinan

Kemiskinan adalah keadaan di mana seseorang tidak dapat mengekalkan dirinya mengikut taraf hidup kumpulan dan juga tidak dapat memanfaatkan tenaga mental dan fizikalnya dalam kumpulan. Tahap kemiskinan dalam masyarakat dapat diukur melalui berbagai pendekatan, iaitu:

Secara mutlak, makna kemiskinan boleh diukur dengan standard tertentu. Seseorang yang mempunyai taraf hidup ke bawah, maka boleh dikenali miskin. Walau bagaimanapun, jika seseorang yang melebihi standard boleh dikatakan tidak miskin.

Penyelesaian yang dicadangkan

Menurut, (Espira, 2013) bagi mencari jalan penyelesaian seharusnya kita mempelajari dua garis panduan berbeza dalam menyelesaikan masalah dengan konsep penyelesaian masalah dan strategi-strategi penyelesaian masalah. Umumnya, kebanyakan pengkaji telah mengkonsepkan penyelesaian masalah sebagai satu proses langkah demi langkah (stepwise).

Antara penyelidik awal dalam perkembangan konsep ini ialah George Polya, John R. Hayes, John D. Bransford dan Barry S. Stein.

Penyelidik pertama yang mengetengahkan konsep penyelesaian masalah ialah George Polya. Pada tahun 1957, beliau telah mengenal pasti empat langkah penting dalam penyelesaian masalah. Menurut Polya, penyelesaian masalah sepatutnya dilakukan mengikut empat kaedah berikut.
(a) Memahami masalah;
(b) Membina satu perancangan;
(c) Melaksanakan perancangan itu; dan
(d) Melihat kembali.

Seterusnya, Bransford dan Stein menyarankan satu lagi konsep penyelesian masalah yang berasaskan akronim :
I-Identify =Mengenal pasti masalah
D-Define=Mendefinisi dan mewakili masalah
E-Explore=Meneroka strategi-strategi
A -Act=Bertindak pada strategi
L-Look=Melihat kembali dan menilai kesan aktiviti anda

Manakala garis panduan strategi-strategi penyelesaian masalah pula, secara umum, terdapat satu tukar ganti (trade-off) antara julat kesesuaian dan kuasa. Lebih besar kegunaan atau kesesuaian sesuatu strategi itu, semakin kurang ia bergantung pada sesuatu bidang. Oleh itu, penting untuk kita mengetahui strategi mana yang patut digunakan supaya kita memperoleh kelebihan/kebaikan yang merentas pelbagai domain.

Jadi, apakah strategi-strategi yang boleh kita gunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah? Kita akan mempelajari lima strategi yang telah ditemui oleh pengkaji melalui kaedah pengalaman iaitu:

(a) Pembahagian masalah atau sub-masalah;
(b) Bergerak ke belakang;
(c) Mendaki bukit (hill-climbing)-,
(d) Analisis cara akhir (means-end); dan
(e) Rantaian hadapan (forward chaining).

Jadi pada pendapat saya, menggunakan alat penyelesaian masalah dengan kaedah percambahan minda adalah sesuai kerana ia memerlukan idea dari akar umbi permasalahan tersebut, melihat kepada latar belakang diri dan keluarga seseorang dan dikembangkan melalui idea mencari hasil yang terbaik sebelum dicadangkan. Ia tidak boleh dilihat dari segi luaran bahkan mesti menyelami ke dalam individu, keluarga dan persekitarannya. Antara cadangan penyelesaian :

i) Penguatkuasaan Undang-Undang Lebih Tegas

Undang-undang adalah cetusan kuasa kenegaraan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan dan pada amnya kebaikan sejagat manusia. Organisasi yang terlibat dalam menggubal undang-undang ialah pihak kerajaan. Justeru undang-undang yang digubal mestilah menekankan aspek keselamatan secara lebih serius. Hal ini kerana natijah daripada pelaksanaan undang-undang itu nanti ialah untuk menyedarkan masyarakat dan setiap golongan individu agar saling menghormati nilai kemanusiaan yang ada pada individu lain.

Maka, mereka akan lebih menghargai dan berfikir panjang sebelum melakukan sebarang bentuk jenayah.

Setelah undang-undang digubal oleh pihak yang berwajib, maka undang-undang tersebut akan dilaksanakan oleh pihak lain pula seperti Polis Diraja Malaysia, Badan Pencegah Rasuah dan lain-lain. Namun begitu masih timbul keraguan dalam sistem perlaksanaan undang-undang pada masa kini. Hal ini kerana badan-badan berwajib tersebut juga terdiri di dalamnya segelintir individu yang pecah amanah dengan terlibat dalam kegiatan tidak bermoral tersebut. Sebagai contoh, ada individu yang telah ditahan oleh pihak tertentu tetapi dilepaskan atas alasan yang tidak munasabah dan dalam situasi lain ada yang dilepaskan hanya kerana mereka terlibat dalam barisan kepimpinan negara. Pelu diingat disini bahawa, setiap individu yang berada dibawah kawasan tanah Malaysia adalah bernaung dibawah undang-undang yang sama.

Oleh itu sesiapa yang melakukan jenayah, maka dia perlu ditahan dan dikenakan tindakan, walaupun dia mempunyai status atau kedudukan yang tinggi. Justeru pihakberwajib haruslah mempunyai suatu mekanisme tambahan untuk membendung gejala pecah amanah dalam institusi mereka terus bermaharajalela.

ii) Mewujudkan Konsep Bandar dan Pekan Selamat

“Definisi Bandar Selamat” Bandar yang bebas dari semua ancaman fizikal, sosial dan mental. Pernyataan ini merujuk kepada persekitarannyayang sentiasa berada dalam keadaan paling terpelihara. Terpelihara di sini bermaksud mempunyai suatu struktur asas pencegahan jenayah yang mampu untuk memelihara penduduknya atau orang awam daripada terbabit dengan jenayah atau menjadi mangsa kepada penjenayah.

Jika hal ini dipandang dan diteliti dengan lebih jelas, usaha-usaha kerajaan dalam mewujudkan pecan atau Bandar selamat memang wujud. Namun begitu, ada sesetengah tempat yang dilihat berlakunya pengabaian keselamatan. Dengan ini si pelaku jenayah akan mempunyai peluang yang cerah untuk meragut, merompak, rogol dan sebagainya. Seharusnya kerja-kerja penambahbaikkan ini dipercepatkan lagi dan diteruskan pula ketempat tempat panas lain yang mana menjadi sasaran penjenayah.

Antara usaha yang dilakukan ialah, membangunkan prasarana-prasarana keselamatan seperti mengasingkan jalan untuk pejalan kaki dengan jalan raya, hal ini boleh mengelakkan jenayah ragut. Seterusnya ialah mewujudkan pondok-pondok polis di kawasan tumpuan umum. Usaha ini boleh membantu dalam mengawal dan memantau aktiviti-aktiviti yang mencurigakan dikawasan terbabit.

Seterusnya ialah setiap masyarakat yang berada di kawasan-kawasan panas ini semestinya wajib untuk sama-sama menjaga keselamatan diri dan orang di sekeliling mereka. Mereka juga boleh sama-sama turun padang membantu pihak yang berwajib menjaga keamanan setempat. Sebagai contoh mengadakan rondaan secara bergilir-gilir pada waktu malam. Perkara ini jika dilakukan bukan sahaja akan membuatkan penjenayah berfikir dua kali sebelum melakukan sebarang bentuk jenayah di kawasan terbabit, malah akan mengeratkan lagi ukhwah antara mereka.

Pada masa kini ada kawasan yang menggunakan khidmat pengawal keselamatan. Hal ini bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin. Ini juga bertujuan untuk membantu golongan yang berkerjaya yang mana mereka ini sukar untuk memberikan komitmen dalam aktiviti rondaan di sekitar kawasan perumahan mereka terutama pada waktu malam. Justeru kaedah menggunakan pihak pengawal keselamatan juga dilihat sebagai suatu inisiatif berkesan dalam membantu mengawal aktiviti jenayah di sesebuah kawasan.

iii) Memperkasakan Ekonomi Negara

Antara faktor yang menjadikan seseorang itu berstatuskan penjenayah adalah akibat sistem kewangan diri yang tidak stabil. Hal ini telah menyebabkan mereka mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah yang mereka hadapi iatu dengan cara melakukan jenayah seperti meragut, merompak dan pecah rumah. Justeru dengan saranan agar ekonomi negara diperkasakan, maka akan timbul banyak peluang pekerjaan bagi menampung lambakkan golongan yang bergelut untuk hidup ini. Mereka yang terpaksa memilih bidang jenayah sebagai alternatif untuk mereka menyara hidup mereka tidak boleh disalahkan secara seratus peratus. Hal ini kerana desakkan hudup pada masa kini terutama mereka yang tinggal diibu kota amat meruntun mereka untuk berjuang bagi mencari sesuap nasi.

Para penganalisis dan perintis ekonomi kerajaan boleh merangka suatu pendekatan yang bersifat sistematik dalam menyediakan pekerjaan kepada mereka. Hal ini kerana, ada dikalangan mereka yang mempunyai latar belakang akademik yang tinggi namun sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Mereka ini boleh digunakan oleh kerajaan untuk menjana ekonomi setempat. Antara cara untuk memperkasakan ekonomi ialah dengan menarik masuk para pelabur luar untuk melabur dalam neagara kita atau dengan lebih spesifiknya pada tempat-tempat yang mempunyai jumlah penggangguran yang tinggi. Justeru peluang pekerjaan untuk pemuda-pemudi tiang negara dapat ditingkatkan.

Sistem ekonomi yang mampan dapat memastikan keberlangsungannya kemajuan sesebuah negara.

Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun bolehlah menjadikan negara-negara maju yang lain sebagai contoh dalam melaksanakan pembangunan ekonomi mereka. Sebagai contoh di sini ialah negara Jepun, Jepun merupakan sebuah negara yang sering kali berada dalam keadaan yang genting. Terbaru negara tersebut telah mengalami kemusnahan yang teruk akibat daripada bencana alam yang menimpa. Namun begitu, mereka yakni kerajaan Jepun telah merangka suatu strategi susulan sekiranya mereka mengalami sebarang masalah akibat bencana alam. Seperti menarik semula aset-aset mereka yang berada di luar negara masuk ke dalam negara mereka semula. Ditambahkan lagi dengan kedudukan mereka sebagai salah sebuah negara G7 yang berpengaruh dalam kuasa ekonomi dunia.

Namun yang paling ketara dan perlu untuk kita contohi ialah berkenaan penggunaan sumber tenaga manusia. Jepun merupakan sebuah negara yang begitu menitik beratkan masalah sumer tenaga manusia. Mereka amat prihati dengan masalah pekerja sehinggakan mampu untuk menjadikan seseorang pekerja itu sanggup bertungkus lumus bekerja bagi menjana ekonomi negara. Sikap dan langkah sebegini yang harus ditiru oleh negara-negara lain seperti Malaysia untuk membangunkan kuasa ekonomi Malaysia. Justeru masalah berkaitan jenayah ekonomi seperti pemerdagangan manusia, rasuah, penipuan duit syarikat adalah sama sekali dapat dihapuskan kerena kesedaran yang timbul akibat penjanaan ekonomi yang mampan.

i) Kempen-kempen Pencegahan Jenayah

Kempen yang kebiasaannya diadakan mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan para remaja terutamanya peringkat sekolah rendah. Hal ini kerana antara faktor yang menyumbang dalam timbulnya minat untuk melakukan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah ialah kurangnya pendedahan berkenaan jenayah dan akibat mereka melanggar undang-undang negara. Kempen yang dilakukan haruslah mempunyaimatlamat yang jelas dimana para pelajar ini akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti berkenaan ancaman jenayah. Mereka akan dibawa untuk mendekati dunia penjenayah. Di sana mereka akan menilai sejauh mana kehebatan seseorang penjenayah kerana akhirnya mereka akan dihukum juga dengan hukuman setimpal dengan perbuatan mereka. Secara tidak langsung, mereka akan menanamkan dalam diri mereka bahawa penjenayah dan jenayah itu merupakan sesuatu yang buruk dan jijik.

Sebagai seorang manusia yang sihat mereka tidak akan menerima sesuatu yang bertentangan dengan fitrah mereka yang sukakan kebaikkan dan keindahan. Justeru pepatah ’melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ amat sesuailah dipraktiskan disini. Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada pesalah.

Kempen-kempen pencegahan jenayah ini bukan sahaja perlu dilakukan di sekolah-sekolah, malah boleh juga dilakukan ditempat-tempat awam atau tempat yang menjadi tumpuan umum. Masyarakat yang berpontensi untuk terlibat dengan jenayah ini akan mendapat input-input berguna untuk mereka ketahui bagi berdepan dengan masalah jenayah ini. Antara tempat-tempat tumpuan orang awam ialah pusat-pusat membeli belah, pasar-pasar malam dan taman permaianan. Diharapkan semua pihak yang mendengar atau mengikuti kempen tersebut akan lebih berwaspada dengan kegiatan jenayah yang mungkin berlaku dan seterusnya mengetahui langkah langkah yang berkesan sekiranya mereka berhadapan dengan situasi tersebut.

Antara impak tambahan ialah dapat menyedarkan penjenayah yang berada dalam kawasan berhampiran dengan kempen yang dijalankan. Si penjenayah pasti akan berfikir panjang sebelum melakukan jenayah di kawasan terbabit kerana rata-rata pengunjung akan mengambil langkah keselamatan seperti yang diajar dan hal ini akan meningkatkan risiko mereka akan ditangkap atas jenayah yang dilakukan. Atau sekurang-kurangnya mereka akan sedar bahawasanya tiada gunanya mereka melaksanakan aktiviti yang tidak bermoral terbabit dan insaf serta kembali kepangkal jalan. (Ahmad, 2004)

Perbincangan cara melaksanakan penyelesaian

 

Oleh itu, cara melaksanakan penyelesaian yang dicadangkan tersebut, penggubalan semula undang-undang mengikut kesesuaian bagi ketegasan undang-undang bagi membendung kes juvana agar mereka lebih gerun. Manakala dari segi pendidikan pula seharusnya diberi perhatian juga kepada ibu bapa dan menyediakan aktiviti-aktiviti yang lebih merapatkan hubungan antara anak-anak dengan ibu bapa.

 

Selain itu pihak sekolah juga dapat merangka aktiviti yang dapat menjana kemajuan sosial dan menghidupkan kembali budaya atau amalan-amalan kemasyarakat orang kampung atau orang dahulu serta pasukan penguatkuasa juga harus memberi pendidikan dan penerangan yang wajar diperingkat sekolah agar murid sekolah lebih memahami kes-kes jenayah juvana.

 

Manakala di peringkat kerajaan pula misalnya melalui Kementerian Belia dan Sukan seharusnya memperkasakan aktiviti kesukanan yang melibatkan sesebuah kekeluargaan, di samping meluarkan lagi aktiviti ekonomi dalam masyarakat setempat.

 

Seterusnya, melalui kempen-kempen adalah sentiasa dimainkan peranan melalui media massa seperti melalui animinasi atau filem agar lebih berkesan.

Kesimpulan

 Tuntasnya, peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat moden berhubung kait dengan etika dan peraturan sosial. Dalam mewujudkan masyarakat yang beretika, langkah yang wajar ialah kerjasama daripada semua lapisan masyarakat itu sendiri. Masyarakat yang beretika mempunyai tanggungjawab sosial dan moral yang kukuh dalam membanteras pelbagai bentuk jenayah. Jika tidak, lunas etika yang lemah boleh menyebabkan wujudnya krisis dan dilema dalam masyarakat kerana kecenderungan pihak tertentu untuk melakukan jenayah pastilah sukar dibendung. Jenayah akan terus meningkat dan menjadi lebih kritikal sekiranya etika tidak menjadi tunjang pembinaan masyarakat dan negara.

Masalah jenayah juvana yang mengancam masyarakat dan negara tidak boleh dibanteras tanpa kerjasama semua pihak. Keberkesanan sistem perundangan juga penting demi membanteras fenomena tersebut. Undang-undang memberi kuasa kepada pihak berwajib seperti polis dan pasukan keselamatan, untuk membantu dalam melindungi masyarakat dan negara daripada ancaman sebarang bentuk jenayah. Undang-undang perlu memberi lebih banyak kuasa kepada polis untuk melaksanakan tanggungjawab mereka demi kesejahteraan rakyat.

 

Pengukuhan kuasa juga membolehkan pihak yang berwajib ini bertindak dengan lebih tegas bagi mengatasi masalah jenayah, khususnya jenayah yang melibatkan pihak yang mempunyai pengaruh termasuk wang, kuasa, dan kedudukan yang tinggi. Kerjasama polis dan masyarakat setempat merupakan konsep pemuafakatan bijak yang berkesan dan sesuai dengan konsep membebaskan masyarakat dan negara daripada jenayah.

 

Rujukan

Ahmad, Z. M. (2004). Panduan Mengurus Remaja    Moden. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.

al-Attas, S. H. (2002). Kemana Dengan Islam. Kuala Lumpur: Utusan   Publications & Distributors.

Espira, H. K. (2013). Thinking Skill And Problem Solving. Selangor : Universiti Terbuka Malaysia.

Freedom. (2017, Oktober 13). Menangani Kes Juvana. Didapatkan dari http://myfreedom805.blogspot.my/2012/10/menangani-kes-juvana.html

Mansor, S. (2015, Mac 11). Statistik moral remaja kita. Didapatkan dari https://www.hmetro.com.my/node/36116

Noresah Baharom, et.al. (2015). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sinar Harian. (31, Oktober 2017). Kes Juvana Membimbangkan. Didapatkan dari http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/kes-juvana-membimbangkan-1.270245

Sunarto, K. (1993). Pengantar Sosiologi. Jakarta: Lembaga Penerbit FE – UI. Richard Osborne & Borin Van Loon.

Analisis faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah ini

 

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.