Penyebaran Hadis Palsu

Hadis merupakan sumber rujukan utama agama Islam selain daripada al-Quran selepas kewafatan SAW yang membabitkan pengamalan dan kepercayaan seseorang umat Islam. Penyebaran hadis palsu bukan sahaja boleh memberi impak negatif terhadap agama dan umat Islam, tetapi juga akidah seseorang Muslim boleh runtuh secara tidak sedar daripada amalan dari hadis palsu adalah sia-sia, kerana hadis palsu bukanlah asas sebenar ajaran Islam.

Namun, percanggahan antara hadis palsu dengan hadis sahih dan nas al-Quran membuka ruang dan peluang kepada musuh yang sentiasa memerhatikan Islam untuk memburuk-buruk serta mencari kelemahan agama Islam.

Oleh kerana bukan daripada sumber yang sama sebagaimana Rasulullah SAW menerima hadis dan ayat-ayat al-Quran, maka seringkali hadis palsu ini bercanggah dengan kedua-dua sumber asal ini. Kesannya mengakibatkan kekeliruan dan umat Islam akan berbalah sesama sendiri. (Zulhilmi Mohamed Nor, 2016)

Manakala (Mohd Shah Che Ahmad, 2016) pula melaporkan bahawa, keadaan ini membimbangkan dikalangan umat Islam sendiri tanpa rasa bersalah terus mengamalkan dan mempopularkan hadis palsu kepada orang lain tanpa mengetahui sumber dan rujukan yang sahih daripada matan (teks) hadis yang tepat.

Oleh itu, menurut (Ab.Latif Muda & Rosmawati Ali, 2013) mendefinisikan hadis Mawdu` atau hadis palsu dari segi bahasa berasal dari perkataan Wadha`, bererti meletak. Manakala maksud pada istilah, hadis dicipta dengan disandarkannya kepada Nabi SAW atau sahabat atau Tabi`in secara dusta, ekoran ada muslihat tertentu, samada pendustaan itu dilakukan secara sengaja dan sebaliknya atau hadis yang diriwayatkan oleh perawi dusta.

Konsepnya adalah hadis rekaan atau ditokok tambah yang dilaporkan oleh pendusta dengan menyandarkan dari Rasulullah SAW (Dr Fauzi Deraman, 2009).

Maka, tugasan ini akan membincangkan faktor-faktor dan kesan penyebaran hadis palsu dalam masyarakat serta langkah-langkah praktikal untuk menanganinya. Disamping itu, penulis akan mengemukakan contoh hadis palsu dalam ibadat yang tersebar dalam masyarakat kita hari ini.

FAKTOR-FAKTOR PENYEBARAN HADIS PALSU

Menurut ahli sejarah, hadis palsu mulai tersebar meluas selepas zaman Khulafa` al-Rasyidin. Peringkat permulaan kemunculan hadis palsu ekoran tercetusnya fitnah dan pertelingkahan antara penyokong Saidina Ali dengan Muawiyah pada tahun 40 Hijrah yang berpunca daripada isu politik, kemudian merebak kepada isu agama. (Mozea Zefli, 2016)

Golongan Pertama yang terlibat secara langsung dengan penciptaan hadis palsu ialah al-Rafidah yang merupakan pecahan daripada Syiah sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Hajar : Banyak hadis palsu yang dicipta oleh golongan al-Rafidah, seperti : hadis tentang kelebihan Ahl al-Bait. Mereka juga mencipta hadis tentang kejahilan Ahl al-Sunnah.

Justeru, bertitik tolak isu tersebut, lahir golongan mencipta hadis palsu bermotifkan untuk memihak kepada golongan-golongan yang disokongnya atau aliran pemikiran yang mereka pegang bagi mengukuhkan hujah. Hal ini, menyebabkan bercampur aduk dalam Islam antara hadis palsu dan hadis Sahih.

Seterusnya, antara bukti dan fakta yang menunjukkan terjadinya pemalsuan hadis dapat difahami daripada penjelasan kata-kata Muhammad Ibn Siri : Para ulama hadis sebelumnya tidak bertanya tentang sanad, tetapi apabila terjadi fitnah ( pertelingkahan sesama Islam), mereka berkata : Sebutkan kepada kami nama perawi-perawimu. Apabila didapati yang menyampaikannya seorang Ahl al-Sunnah hadisnya diterima, tetapi apabila yang menyampaikannya Ahl Al-Bid`ah hadisnya ditolak. (Ab.Latif Muda & Rosmawati Ali, 2013)

Oleh itu, faktor dan punca utama yang menyebabkan penyebaran hadis palsu yang dapat dibincangkan disini ialah:

Perselisihan Politik

(Ab.Latif Muda & Rosmawati Ali, 2013) menyatakan bahawa, golongan al-Rafidah yang merupakan sebahagian daripada Syiah menentang para Sahabat yang memberi Bai`ah atau taat setia kepada Abu Bakar dan Umar sebagai khalifah. Kemudian golongan ini berpecah pula kepada beberapa kelompok. Dimana mereka banyak mencipta hadis demi kepentingan parti atau fahamannya.

Hal ini telah diungkapkan oleh Imam Malik apabila beliau ditanya mengenai al-Rafidah, beliau menjawab: Jangan kamu bercakap dengan mereka dan jangan kamu meminta pendapat daripada mereka, kerana mereka itu adalah golongan pendusta.

Manakala pendapat Imam al-Syafi`i terhadap al-Rafidah, katanya : Daku tidak dapati satu golongan pun yang lebih mengikut hawa nafsu dengan memberi saksi bohong, kecuali golongan al-Rafidah.

Dalam konteks tersebut, terdapat hadis palsu yang dicipta oleh golongan al-Rafidah dengan mencela dan mencaci Muawiyah. Selain itu, ada pula golongan fanatik kepada Muawiyah yang mencipta hadis palsu mereka. Seterusnya terdapat hadis palsu yang dicipta oleh golongan memusuhi Muawiyah dan Ali serentak seperti contoh golongan yang fananik kepada Muawiyah juga mencipta hadis mawdu`: Orang-orang yang amanah itu ada tiga iaitu : Aku, Jibril dan Muawiyah (al-Suyuti,al-Lali al-Masnu`ah : 1012) dan hadis mawdu` yang dicipta atas dasar taksub kepada Ali bermaksud : Memandang kepada Ali suatu ibadat. (al-Syawkani, al-Fawa`id al-Majmu`ah, Bab Manaqib al-Khula` al-Arba`ah Wal Ahl al-Bait, Zikr Ali :54)

Wujud Kumpulan Qusos

Menurut (Muhamad Rozaimi Ramle, 2016) wujudnya kumpulan Qusos (tukang cerita) iaitu daripada golongan penceramah yang mencari rezeki dengan berceramah dengan mencipta hadis palsu bagi melunakkan dan menghiburkan ceramahnya, kerana seolah-olah sengaja mencipta hadis kerana habuan duniawi dengan membawa cerita-cerita yang ajaib dan cerita tersebut disandarkan kepada Rasulullah SAW. Pada zaman dahulu, ada sati kumpulan yang akan membuat halaqah (bulatan) di dalam masjid, dan dia akan berceramah. Kemudian orang ramai akan memberinya hadiah atau wang.

(Ab.Latif Muda & Rosmawati Ali, 2013) pula menyatakan, penceritaan-penceritaan yang dibawa itu bertujuan kepentingan pengaruh dan kemasyhuran kerana ramai orang terpedaya. Modus operandinya dengan mengemukakan hadis-hadis pelik, antara lain, mereka juga menukarkan sanad hadis supaya kelihatan ganjil. Penciptaan kisah dan riwayat yang direka oleh tukang cerita dengan menyifatkan dari Rasulullah SAW bagi menarik ramai orang, sebagai contoh hadis mawdu` yang diciptakan seperti kelebihan memakai cincin permata Yakut : Pakailah cincin permata Yakut, kerana ia boleh menghindari kepapaan. (Ibn al-Jawzi, al-Mawdhu`at :1377) dan hadis mawdu` mengenai kapal Nabi Nuh tawaf di kaabah : Sesungguhnya kapal Nabi Nuh tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan dan solat di Maqam Ibrahim dua rakaat.(Ibn al-Jawzi, al-Mawdu`at: 161)

Kejahilan

Kewujudan orang yang dianggap alim, tetapi jahil mengenai ilmu hadis. Mereka membicarakan kepada masyarakat hadis-hadis yang kononnya sahih tetapi malangnya ia tidak teliti. Masyarakat tidak mampu membezakan antara hadis sahih dan hadis palsu. (Muhamad Rozaimi Ramle, 2016)

Selain itu, terdapat juga sekumpulan ahli Bidaah yang dikenali sebagai al-Karamiyah, Dimana mereka mendakwa harus mencipta hadis-hadis berhubung galakan dan ancaman dengan alasan ingin mendekatkan diri kepada Allah iaitu dengan mencipta hadis-hadis yang menggalakkan manusia kepada kebajikan dan hadis-hadis yang menakutkan melakukan kemungkaran. Justeru, golongan ini mengharuskan mencipta hadis palsu dengan mengharapkan ganjaran daripada Allah seperti hadis palsu mengenai kelebihan memandang wajah elok yang bermaksud : Memandang kepada wajah orang alim suatu ibadat. (al-Syawkani, al-Fawa`id al-Majmu`ah:52)

Pentaksub Mazhab dan Fahaman

Perselisihan antara golongan Mazhab Aqidah dan Mazhab Fiqh sehingga pentaksub mencipta hadis palsu dikalangan mereka bertujuan menyokong fahaman dan mazhab dengan sebab perbezaan pendapat dalam beberapa permasalahan seperti sifat, nama Allah, mengenai kerasulan,kitab, kebangkitan hari kiamat dan lain-lain. Kemudian muncul dengan beberapa aliran al-Mutakalimin seperti Qadariayyah, Murji`ah, Mu`tazilah disamping Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sehingga sesuatu itu berpanjangan dan perselisihan dalam perkara furu` di dalam fiqh yang memunculkan kemudiannya beberapa mazhab fiqh. Dorongan sentimen ketaasuban yang mahu memenangkan mazhab pegangan masing-masing dan menonjolkan keisitmewaan imam-imam ikutan mereka dan merendah-rendahkan yang lain sehingga mencipta hadis palsu seperti : ” Dan akan lahir pada di kalangan umatku lelaki yang dikatakan Abu Hanifah beliau adalah pelita umatku” dan

Akan lahir pada dari umatku seorang lelaki yang dikatakan baginya Muhammad bin Idris,lebih bahaya bagi umatku dari Iblis. (Dr Fauzi Deraman, 2009)

CONTOH HADIS PALSU DALAM IBADAT YANG TERSEBAR

Berikut disenaraikan beberapa contoh hadis palsu dalam ibadat yang telah tersebar dalam masyarakat yang dinukilkan oleh (Abdul Ghani Azmi Idris, 2009)

Kelebihan Iktikaf Di Masjid

Ad-Dailami meriwayatkan dari Al-Husain bin Ali bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa beriktikaf (di masjid) sepuluh hari di bulan Ramadhan, maka pahalanya adalah seperti dua kali haji dan dua kali umrah”.

Hadis tersebut adalah palsu.Demikian ditegaskan oleh Al-Albani. Di dalam sanadnya terdapat dua orang pesalah, iaitu Muhammad bin Zadan yang matruk dan `Anbasah bin Abd. Rahman yang dituduh membuat hadis palsu oleh Az-Zahabi dan yang dikatakan membuat hadis palsu oleh Abu Hatim.

Kelebihan Berpuasa Akhir Zulhijjah Dan Awal Muharram

“Sesiapa yang berpuasa pada hari akhir zulhijjah dan awal muharam, nescaya Allah ampunkan segala dosa walau selama 50 tahun melakukannya” (Hadis riwayat Ibni Abbas)

Hadis tersebut tanpa dinyatakan sumbernya dan statusnya. Perbuatan menyandarkan sesebuah hadi terus kepada sahabat tanpa dinyatakan sumber kitab adalah sesuatu yang tidak diterima dalam penulisan akademik.

Menurut (Muhamad Rozaimi Ramle, 2016) sebenarnya hadis ini diriwayatkan dengan lafaz yang lebih panjang yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa pada hari terakhir bulan Zulhijjah dan hari Pertama bulan Muharram maka dia telah menutupkan tahun yang lalu dan membuka tahun akan datang dengan puasa. Maka Allah SWT akan jadikan baginya pengampunan dosa selama 50 tahun

Oleh itu, hadis tersebut palsu. Ia dinilai palsu oleh ulama hadis seperti Ibn al-Jauzi, al-Suyuti, Ibn `Iraq al-Kinani dan al-Syaukani. Ini kerana terdapat dua orang perawi yang bernama al-Juwaibari dan Wahb bin Wahb. Kedua-dua mereka adalah pendusta. Oleh yang demikian hadis ini sebenarnya sama sekali tidak pernah disebut oleh Rasulullah SAW. Tidak dinafikan puasa itu antara ibadah yang dianjurkan oleh Islam tambahan pula terdapat hadis sahih yang menganjurkan puasa pada bulan Muharram terutama pada hari Asyura (10 Muharram).Namun kelebihnan pengampunan 50 tahun bagi mereka yang berpuasa tidak terdapat dalam hadis yang sahih.

Qasar Solat Apabila melepasi 4 Barid atau 2 Marhalah

“Wahai penduduk Mekah, janganlah kamu sekalian mengqasarkan solat (bagi jarak perjalanan) yang kurang dari 4 barid (2 marhalah) iaitu dari Mekah ke Asfan.

Hadis ini maudhu’. Diriwayatkan oleh al-Thabrani dalam Mu’jam al-Kabir (1/112) dan al-Daruquthni dalam Sunan dengan sanad dari Ismail bin Iyasy dari Abdul Wahab bin Mujahid dari ayahnya dari Atha’ bin Abi Rabah dari Ibn Abbas r.a.

Syeikh al-Albani menjelaskan di dalam kitabnya Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah (no.439): “Menurut saya, riwayat ini adalah maudhu’ (palsu) disebabkan adanya Abdul Wahab bin Mujahid yang oleh Sufyan ats-Tsauri dinyatakan sebagai pendusta. (Imam) al-Hakim berkata: “Abdul Wahab bin Mujahid terbukti meriwayatkan hadis-hadis maudhu’ (palsu).

Ibn al-Jauzi berkata: “Seluruh muhaddithin (ahli-ahli hadith) sepakat tidak menerima riwayatnya. Adapun Isma’il bin Iyash adalah dha’if (lemah).

” Kenyataan Syeikh al-Albani di atas turut disokong oleh Imam al-Syaukani dimana beliau menyebut di dalam kitabnya, Nail al-Authar (3/481): “Hadith ini tidak boleh dijadikan hujah kerana dalam sanadnya (jalur perawi yang meriwayatkan hadith ini) terdapat Abdul Wahab bin Mujahid bin Jubair, dia adalah matruk (tertolak). Imam al-Nawawi juga menyatakan beliau adalah pendusta.

Menurut al-Uzdy, riwayat ini tidak sah darinya (iaitu Ibn Abbas r.a) kerana perawi yang meriwayat darinya adalah Isma’il bin Iyasy dan dia adalah dha’if (lemah di kalangan orang-orang Hijaz) dan Abdul Wahab tersebut adalah orang Hijaz. Yang benar, hadith ini adalah mauquf (terhenti) pada Ibn Abbas, sebagaimana yang ditakhrij oleh al-Syafie darinya dengan sanad yang shahih.”

Selain itu, hadith ini juga dilihat bercanggah dengan hadith-hadith lain yang menerangkan baginda s.a.w dan para sahabat r.a tetap meringkaskan (qashar) solat walaupun jarak perjalanan kurang daripada 4 barid atau 2 marhalah.

Hadith-hadith berikut menjadi rujukan: Anas bin Malik r.a meriwayatkan: Rasulullah SAW apabila keluar dalam satu perjalanan yang berjarak 3 mil atau 3 farsakh maka baginda bersolat hanya 2 rakaat (qasar). – Hadith riwayat Muslim dalam Shahih Muslim (no.691).

Jarak bagi satu 1 mil adalah bersamaan dengan 1, 748 meter. Oleh itu jika 3 mil maka jaraknya ialah 5, 244 meter (sekitar 5 km lebih).

Manakala ukuran bagi 1 farsakh pula adalah bersamaan dengan 5, 541 meter. Oleh itu jarak sebenar bagi 3 farsakh adalah bersamaan dengan 16, 623 meter (sekitar 16 km lebih). Dalam hadith yang lain, juga riwayat daripada Anas bin Malik r.a, beliau berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w solat Zuhur 4 rakaat di Madinah dan bersolat Asar di Dzil Hulaifah 2 rakaat. – Hadith riwayat Muslim dalam Shahih Muslim (no.690).

Sebagaimana yang kita ketahui jarak bagi perjalanan dari Madinah ke Dzil Hulaifah adalah 7 mil iaitu bersamaan dengan antara 12 hingga 13 kilometer. Dengan ini, maka jelaslah bahawa penetapan jarak 4 barid atau 2 marhalah bagi membolehkan solat diringkaskan (qashar) adalah bertolak belakang dengan al-Sunnah Rasulullah SAW (Mohd Hairi Nonchi, 2010).

Kelebihan Puasa Di Bulan Rejab

“Barangsiapa puasa satu hari di bulan Rajab dan shalat empat raka’at, di raka’at pertama baca ‘ayat Kursiy’ seratus kali dan di raka’at kedua baca ‘surat al-Ikhlas’ seratus kali, maka dia tidak mati hingga melihat tempatnya di Syurga atau diperlihatkan kepadanya (sebelum ia mati).

Keterangan: Hadis ini (مَوْضُوْعٌ) Mawdu`, Kata Ibnul Jauzy: “Hadits ini palsu, dan rawi-rawinya majhul serta seorang perawi yang bernama ‘Utsman bin ‘Atha’ adalah perawi matruk menurut para Ahli Hadits.” [Al-Maudhu’at (II/123-124)]

Menurut al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalany, ‘Utsman bin ‘Atha’ adalah rawi yang lemah. [Lihat Taqriibut Tahdziib (I/663 no. 4518)] (Yazid Abdul Qadir Jawas, 2005)

KESAN PENYEBARAN HADIS PALSU

Menurut (Amran Md Yusoff, 2012) terdapat beberapa kesan negatif yang akan berlaku jika penciptaan dan penyebaran hadis palsu ini semakin berleluasa dan jika dibiarkan akan merebak dalam masyarakat antaranya :

Merosakkan Akidah Yang Murni

Unsur-unsur yang terdapat di dalam Hadith Palsu mencemarkan kemurniaan agama, seperti hal akidah. Contohnya: “Jika seseorang kamu berbaik sangka dengan batu nescaya ia akan memberi manfaat kepadanya.”

Ibn Qayyim al-Jauziyah berkata: “hadis ini adalah pemalsuan daripada golongan musyrik yang menyembah berhala.”

 

Menjatuhkan Nilai Kewibawaan Agama

Ini kerana, kandungan dalam hadis palsu menjadikan Islam sebagai bahan sendaan semata-mata. Ini berlaku apabila rekaan hadis palsu dengan wahyu yang sebenar. Mana mungkin rekaan manusia diletakkan sama standing dengan wahyu.

Contohnya: “Sesiapa yang solat dhuha sekian rakaat, maka dia diberi pahala sebanyak 70 para nabi”

Hadith ini jelas telah merendahkan dan menjatuhkan martabat ketinggian para nabi kerana dengan menyamakan pahala sekalian para nabi dengan hanya solat beberapa rakaat sahaja.

Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam bukunya al-Manar al-Munif, ketika mengulas Hadith ini menyebut: “Seolah-olah pendusta yang keji ini tidak mengetahui bahawa selain nabi, sekalipun bersolat selama umur Nabi Nuh, ia tidak akan diberikan pahala setanding seorang nabi

Hadis ini menyebabkan manusia akan menyangka pahalanya sudah banyak kerana sudah menyamai pahala para nabi dan sudah tentu akan masuk syurga, maka umat Islam akan meningggalkan amal ibadah yang lain.

Mengharamkan Yang Halal

Kadangkala, hadis palsu boleh sampai kepada mengaharamkan perkara yang Allah SWT halalkan, contoh bab Talaq, Talaq dalam Islam adalah halal tetapi hadis palsu mengharamkannya. Oleh itu, apabila tiada kesefahaman dalam perkahwinan, maka harus untuk memilih jalan berpisah. Apabila suami pulang ke rumah dengan tidak memberi nafkah atau kes pukul, maka dalam keadaan ini dibolehkan bercerai. Namun, apabila ada hadis palsu yang menyebut Arasy bergegar kerana bercerai, maka penceraian dielakkan dalam apa jua kedaan. Bahkan ada sebahagian wanita yang lebam kerana ditumbuk suaminya datang ke pejabat agama untuk memohon cerai tetapi pihak berkenaan tidak memberi keizinan atas hujah hadis palsu seperti : “Kahwinlah kamu jangan bercerai-berai kerana bercerai itu boleh menggegarkan Arasy Allah” (Muhamad Rozaimi Ramle, 2016)

Mengabaikan hadith sahih.

Kesan yang pasti muncul akibat penyebaran hadis palsu ialah pengabaian hadis sahih. Seandainya menggunakan hadis palsu dalam sesuatu majlis, hadith sahih akan tersisih dan tidak mendapat tempat yang sepatutnya. Akhirnya orang ramai akan senang apabila mendengar hadis palsu dan merasa janggal apabila mendengar hadis sahih.

Ini adalah di antara musibah yang terbesar kepada umat Islam dengan menjatuhkan martabat populariti hadis sahih. (Fadlan Mohd Othman , 2013). Misalnya, ulama hadis menghukum riwayat-riwayat mengenai kelebihan hari Asyura berkaitan memberi makan sebagai tidak sahih.

CADANGAN LANGKAH MENANGANI PENYEBARAN HADIS PALSU

Berdasarkan keterangan-keterangan ringkas lalu, jelaslah kepada tentang sebab-sebab yang mendorong penyebaran hadis palsu sehingga membawa kesan yang negatif. Oleh itu, perbuatan keji itu mesti dibasmikan segera demi kesejahteraan umat Islam agar tidak berpecah belah.

Menurut (Abdul Ghani Azmi Idris, 2009) berpendapat pencegahan dan pembasmian penyebaran hadis-hadis palsu itu dapat dilakukan dengan cara-cara yang berikut mengikut keutamaanya:

Menyebarkan kepada orang ramai hadis-hadis yang sah dari Rasulullah SAW beserta terjemahannya kerana kebanyakan orang ramai buta dengan al-Hadis disebabkan buku-buku yang berkenaan kebanyakannya dalam Bahasa Arab.

Menyebarkan kepada orang ramai risalah-risalah mengenai hadis-hadis palsu dan bahayanya kepada iman dan Islam,

-Mengadakan kursus-kursus kepada guru-guru agama, mubaligh-mubaligh, imam-imam dan lain-lain petugas agama mengenai seluk-beluk hadis dnegan memberi tekanan khusus kepada hadis-hadis palsu dan sebangsa dengannya.

-Mempertingkatkan pengajian-pengajian ilmu hadis yang bermula peringkat sekolah rendah dan menengah serta universiti.

KESIMPULAN

Hasil perbincangan ini dapatlah disimpulkan bahawa kita dapat menilai sejauh mana kepentingan pengetahuan dalam memahami konsep hadis yang direka demi kepentingan tertentu dan contoh-contoh yang dikemukakan jelas bertentangan dengan sumber yang asal.

Justeru itu, dengan sebab berlaku penyebaran hadis palsu jelas membawa masyarakat Islam keliru yang berpunca daripada tidak mendalami ilmu pengajian hadis nabawi.

Namun begitu, impak besar penyebaran hadis palsu jika tidak dibanteras ia boleh membawa perpecahan dan pertingkahan sesama umat Islam dan agama suci Islam tercemar dan membuka ruang kepada musuh Islam mencipta hadis-hadis palsu yang tidak logik akal.

Walau bagaimanapun, menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikon dan contoh tauladan terbaik seharusnya menjaga kesucian Hadis yang disandarkan daripadanya agar tidak mudah dipermainkan oleh pihak berkepentingan tertentu dan kesedaran orang ramai terhadap penyalahgunaan hadis palsu yang tersebar secara meluas dalam laman sosial perlu ditingkatkan kerana kerajaan tidak mampu memantau sepenuhnya setiap akaun media sosial. Sewajarnya, masyarakat harus mencari jalan dalam mempertingkatkan usaha penerangan dengan jelas dan ikhlas dalam mempertahankan kebenaran.

(2775 Perkataan)

Rujukan

Ab.Latif Muda & Rosmawati Ali. (2013). Ulum Al-Hadith. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn.Bhd.

Abdul Ghani Azmi Idris. (2009). Himpunan Hadis Dha`if dan Maudhu`. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications.

Amran Md Yusoff. (2012, Januari 14). Kesan Negatif Penyebaran Hadith Palsu. Diambil kembali dari Pilihan Ustaz Amran: http://pilihanustaz.blogspot.my/2012/01/kesan-negatif-penyebaran-hadith-palsu.html

Dr Fauzi Deraman. (2009). ABSH2103 Ulum Al-Hadith. Selangor: Open University Malaysia.

Fadlan Mohd Othman . (2013, Jun 06). Perkongsian tentang Hadith Palsu. Diambil kembali dari Ustaz Dr Fadlan Mohd Othman: http://fadlan-mohd-othman.blogspot.my/2013/06/perkongsian-tentan-hadith-palsu.html

Mohd Hairi Nonchi. (2010, November 29). 8 Contoh Hadith Maudhu` (Palsu) dan Dha`if (Lemah) Yang Masyhur Di Malaysia. Diambil kembali dari Facebook Dot Com: https://www.facebook.com/notes/mohd-hairi-nonchi/8-contoh-hadith-maudhu-palsu-dan-dhaif-lemah-yang-masyhur-di-malaysia/177189125640686/

Mohd Shah Che Ahmad. (2016). Hadis Palsu Punca Syirik. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia.

Mozea Zefli. (2016, 06 12). PBS Usuluddin Hadis Mawdu. Diambil kembali dari Academia Edu: https://www.academia.edu/4302705/PBS_USULUDDIN_HADIS_MAWDU_mozea94

Muhamad Rozaimi Ramle. (2016). Tauhid Tiga Serangkai Ekstremis Agama : Hadis Palsu. Selangor: Kemilau Publika Sdn.Bhd.

Yazid Abdul Qadir Jawas. (2005, Ogos 08). Hadits-Hadits Palsu Tentang Keutamaan Shalat Dan Puasa Di Bulan Rajab. Diambil kembali dari Media Islam Salafiyyah, Ahlussunnah wal Jama’ah: https://almanhaj.or.id/1523-hadits-hadits-palsu-tentang-keutamaan-shalat-dan-puasa-di-bulan-rajab.html

Zulhilmi Mohamed Nor. (2016). Hadis Palsu Punca Syirik. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia.

 

 

Artikel Berkaitan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *