Apakah Sadd Al-Zara`i

Saya akan bincang mengenai konsep sadd al-zara’i’ sebagai sumber hukum yang merupakan dalil yang tidak disepakati (al-Adillah al-Mukhtalaf fīha) dalam perundangan Islam dan pemakaiannya dalam isu-isu fiqh semasa di Malaysia.

Pengenalan

Setiap hukum yang ditetapkan dalam fiqh Islam mempunyai sumber-sumber yang tertentu. Sumber-sumber tersebut mempunyai latar belakang yang berbeza dalam menentukan sesuatu hukum. Dalam mengeluarkan sesuatu hukum, kaedah pentafsiran adalah sangat diperlukan terutam yang melibatkan sumber teks (nasiyyah).

 

Walapupun al-Quran dan al-Sunnah menjadi rujukan utama dalam menyelesaikan sesuatu hukum. Malah, terdapat juga sumber-sumber lain yang digunakan sebagai dalil terhadap sesuatu masalah di antaranya seperti Masalih mursalah, Istihsan, Qawl al-Sahabi,Sadd al-Dharai`, Istishab, `Urf, Syar` min qablama dan Ijma` ahli madinah. (Rahman, 2009)

 

Maka, ulama telah membahagikan sumber-sumber hukum dalam perundangan Islam kepada dua kategori dari pelbagai sudut. Di antara pendekatan yang diambil oleh Islam dalam memelihara agama ialah Sadd al-Zara`I sebagai langkah pengawalan serta penjagaan agar setiap tindakan dan amalan kita tidak menyebabkan berlaku kehancuran dan kerosakan (mafsadah).

 

Justeru itu, tulisan ini akan memfokuskan salah satu sumber hukum sekunder iaitu Sadd al-Dharai` dari segi konsepnya yang menjadi sumber hukum yang merupakan dalil yang tidak disepakai (al-Adillah al-Mukhtalaf Fiha) dalam kanun Islam dan pemakaiannya dalam isu-isu fiqh semasa di Malaysia.  Di samping itu, perbincangan dari segi perbezaan pendapat Fuqaha tentang kedudukan sadd al-Zara`i sebagai sumber hukum. Selain itu, penulisan ini turut membincangkan mengenai pengamalan Sadd al-Zara’i dalam muamalat masa kini iaitu dalam produk perbankan Islam yang digunakan secara meluas dalam ekonomi pada hari ini.

Pengertian Sadd al-zara’i dari perspektif fuqaha`

Pengertian sadd al-zara`i dapat dilihat dari dua dimensi, iaitu dari gambaran dari segi bahasa dan gambaran dari segi istilah.

 

a. Pengertiannya dari sudut bahasa

 Sadd al-zara`i adalah terdiri dari dua perkataan iaitu Sadd dan al-zara`i.

Dalam bahasa Arab, Sadd, yasuddu, saddan bermaksud tutup, menegah, menghalang, menyekat atau pun sumbat. Manakala al-Zara`i dari segi bahasa berasal daripada kata jamak iaitu al-Zari`ah. (Ibn Manzur 1984, 4:190)

 

Dalam al-Qur’an, perkataan Sadd disebut pada tiga tempat dalam dua ayat al-Quran, Firman Allah SWT:

 

قَالُواْ يَٰذَا ٱلۡقَرۡنَيۡنِ إِنَّ يَأۡجُوجَ وَمَأۡجُوجَ مُفۡسِدُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَهَلۡ نَجۡعَلُ لَكَ خَرۡجًا عَلَىٰٓ أَن تَجۡعَلَ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَهُمۡ سَدّٗا ٩٤

 

“….oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka”. Terjemahan Surah al-Kahfi(18): 94

Dan firman Allah SWT lagi:

“Dan kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta tadhri’an), ia bermaksud lelaki itu meluaskan dan memanjangkan lengannya apabila berenang. Apabila disebut (al-tadhri’fi al-masyi),maka ianya memberi maksud, berlaku pergerakan pada kedua lengannya apabila berjalan.

Begitulah juga penggunaannya dalam ayat-ayat yang lain.

Selain itu, berpandukan kepada penggunaan asal perkataan (Zara’a), ia juga dapat dipakai dalam beberapa maksud, di antaranya bermaksud sebab (al-sabab), jalan yang boleh mendekatkan kepada yang lain (al-wasilah), alat yang digunakan oleh pemburu untuk mengelirukan buruannya iaitu perangkap (al-naqah), lingkaran yang digunakan oleh pemburu bagi memerangkap binatang buruannya (al-halaqah) .

Al-zara’i membawa maksud memanjangkan sesuatu dan berlaku pergerakan ke hadapan bagi mencapai sesuatu.

Ibn al-Qayyim menegaskan bahawa setiap objektif yang hendak dicapai oleh seseorang tidak akan berhasil kecuali melalui al-Dhara’i’ (sebab, jalan atau cara) yang mesti dilakukannya terlebih dahulu.

b. Pengertiannya Dari Sudut Istilah

 

Dalam perundangan Islam terdapat dua aspek al-zara`i yang dibenarkan, iaitu Fath al-Zara’i dan Sadd al-zara`i.. Fath al-zara`i bererti melaksanakan beberapa cara yang boleh mencapai kebaikan.

Manakala Sadd al-zara`i pula bererti mengelak daripada melakukan sebarang cara yang mempunyai unsur-unsur yang boleh membawa kepada kerosakan.

Dengan kata lain, perantaraan atau jalan yang membawa kepada wujudnya sesuatu, sama ada kejahatan (mafsadah) atau kebaikan (maslahah), sama ada pada perbuatan ataupun perkataan.

Dalam pada itu, terdapat pelbagai pengertian yang dikemukakan oleh ulama dalam mentakrifkan Sadd al-zara`i. Menurut al-Qurtubi, Sadd alDharâ’i’ialah perkara yang pada asalnya tidak ditegah melakukannya, namun sekiranya ia mengandungi unsur-unsur yang boleh membawa kepada kerosakan, maka ia ditegah dari melakukannya.

Al-Syatibi pula berpendapat bahawa Sadd al-zara`i ialah mengguna jalan maslahah (kebaikan) sebagai cara untuk mendatangkan mafsadah (kerosakan).

Selain itu, menurut Muhammad Hisyam al-Burhani, sadd al-zara`i ialah suatu perkara yang tidak ditegah pada asalnya, tetapi ia ditegah jika terdapat tohmah (unsur-unsur yang boleh membawa kepada kerosakan dan keburukan).

Selain itu, al-Qarafi pernah menegaskan bahawa Sadd al-zara`I ialah langkah pencegahan yang wajib dilakukan terhadap al-zara`i yang mendorong ke arah kerosakan. Keadaan ini berbeza sekiranya al-zara`i mendorong ke arah kebaikan kerana ia dinamakan sebagai Fath al-zara`i yang wajib diberi peluang.

Berpandukan kepada pandangan serta teori yang dikemukakan oleh beberapa orang ulama berkenaan pentakrifan Sadd al-zara`i, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa al-zara`i yang dilihat dari sudut ini terbahagi kepada empat situasi:

  1. Ia diharuskan jika mempunyai ciri-ciri kebaikan yang dibenarkan oleh Syarak dan boleh mendorong ke arah kebaikan.
  2. Ia diharamkan jika mempunyai ciri-ciri kerosakan yang diharamkan oleh Syarak dan boleh mendorong ke arah kerosakan.
  3. Ia diharamkan jika mempunyai ciri-ciri kerosakan yang diharamkan sekalipun boleh mendorong ke arah kebaikan.
  4. Ia perlu dilihat dari beberapa sudut yang dikemukakan oleh ulama dalam menentukan hukumnya sekiranya mempunyai ciri-ciri kebaikan yang diharuskan tetapi mendorong ke arah kerosakan yang diharamkan.

Penjelasan di atas ternyata pengertian Sadd al-zara`i ialah menutup, menghalang, menyekat, memotong jalan-jalan atau punca-punca serta perbuatan yang boleh membawa kepada kejahatan dan kerosakan.Walaupun pada asalnya jalan-jalan atau punca-punca perbuatan itu diharuskan, tetapi apabila didapati ia membawa kepada kejahatan dan kerosakan, maka ia diharamkan dan ditegah.

Justeru, konsep ini dapat difahami daripada kaedah “Sesuatu yang pada asalnya adalah harus, namun disebabkan oleh faktor yang kuat, ia boleh mendorong kepada perkara yang dilarang”.

Perbezaan pendapat fuqaha tentang kedudukan sadd al-zara’i’ sebagai sumber hukum.

 

Penerimaan atau penolakan Mazhab terhadap Saad al-Zara`i sebagai sumber hukum syarak. Maka terdapat perbezaan pendapat fuqaha seperti berikut :

 

  • Mazhab Maliki dan Hanafi menerima sumber hukum Saad Al-Zara`i dengan hujah yang berdasarkan al-Quran, Sunnah dan Ijma.

 

  • Hujah penerimaan berdasarkan al-Quran :

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَقُولُواْ رَاعِنَا وَقُولُواْ انظُرْنَا وَاسْمَعُوا ْوَلِلكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿١٠٤﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu megatakan ‘ra’ina’ (ketika kamu berbicara dengan Nabi Muhammad), sebalinya gunakanlah perkataan ‘unzurna’ dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya), dan (ingatlah bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab siksa yang tidak terperi sakitnya”

Al-Baqarah (2):104

 

b- Hujah penerimaan berdasarkan Hadith Nabi Muhammad SAW:

 

“Di antara dosa-dosa besar ialah seorang lelaki memaki hamun kedua ibu bapanya”. Lalu para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Adakah dia sanggup memaki hamun kedua ibu bapanya sendiri”. Jawab Baginda SAW; “Ya! Ianya terjadi apabila dia memaki hamun bapa kepada lelaki lain, lalu lelaki itu pula memaki hamun bapanya. Begitu juga apabila dia memaki hamun ibu lelaki lain, maka lelaki itu pula memaki hamun ibunya.”

 

c- Hujah penerimaan berdasarkan Ijma’ Ulama:

Para sahabat bersepakat bahawa isteri tetap mendapat    hak harta pusaka dari suami yang menceraikannya       dengan penceraian ‘ba’in’, sedangkan suami pada ketika     itu dalam keadaan sakit yang membawa kepada kematian. Ini disebabkan perceraian dijadikan helah mengelakkan si isteri daripada mendapat harta pusaka si suami.

 

  • Mazhab Hanbali menolak hujah hanya berdasarkan al-Quran dan sunnah.
  • Hujah penolakan berdasarkan Al-Quran:

 

وَلاَ تَقُولُواْ لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلاَلٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُواْ عَلَى اللّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللّهِ الْكَذِبَ لاَ يُفْلِحُونَ ﴿116)

“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang kamu sifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya”. (QS : al-Nahl : 116)

 

  • Hujah penolakan berdasarkan Hadith Nabi Muhammad SAW:

 

“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan haram itu jelas dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang mempunyai kesamaran, sedangkan ianya tidak diketahui oleh ramai manusia. Maka sesiapa yang memelihara daripada kesamaran itu, maka dia dapat menjaga agama dan maruahnya. Sesiapa yang terjatuh ke dalam perkara kesamaran tersebut, seperti pengembala yang mengembala binatang ternakannya berhampiran dengan kawasan larangan, yang dikhuatiri ternakannya itu memasuki kawasan tersebut.”

 

  • Mazhab Syafie menerima atau menolak ini bermaksud Imam Syafie menerima pakai Saad al-Zara`i dalam dua keadaan :

 

  • Situasi Imam Syafi’i yang menolak

 

Sesungguhnya sesuatu akad tidak akan rosak selama-lamanya kecuali dengan apa yang berlaku pada akad itu sendiri. Ia juga tidak dirosakkan dengan sebab sesuatu yang terdapat sebelum akad itu atau selepasnya, tidak pula hanya dengan mengikut sangkaan atau kebiasaan. Demikianlah juga semua sebab-sebab lain, tidak boleh menjadi sebab untuk dihukumkan rosak akad itu melainkan dengan sebab akad itu sendiri. Kita tidak boleh mengatakan jual beli itu rosak hanya disebabkan ia dikatakan sebagai jalan dan niat ke arah keburukan  (Kitab al-Umm)

  • Situasi Imam Syafi’i yang menerima

Disebabkan perkara ini seperti itu, maka dengan demikian, ia mensabitkan bahawa jalan-jalan ke arah halal dan haram menyerupai makna (hukum) perkara yang benar-benar halal dan haram.

  • Pemakaian sadd al-zara’i’dalam isu fiqh semasa di Malaysia

Menyingkap kepada pemakaian  sadd al-zara`I, kita lihat dalam muamat masa kini. Oleh itu, Imam al-Syatibi (2001, 2: 264)  membahagikan al-Zara’i kepada 4 bahagian:

  • Perbuatan secara qat’i (pasti) akan mendatangkan mafsadah atau kerosakan

Dalam kategori ini, kepastian bahawa sesuatu perbuatan itu akan mendatangkan mafsadah, yakni kerosakan adalah sebanyak seratus peratus. Perbuatan ini adalah dilarang kerana mafsadah yang terhasil daripadanya adalah sesuatu yang pasti.

 

Antara contoh bagi kategori ini ialah:

 

  1. Syarikat Gemilang Sdn.Bhd membina kondominium di atas cerun bukit yang terbukti tidak selamat.

 

  1. Bai’ al-Inah.

 

  • Perbuatan yang pada tanggapan kuat (ghalabat al-zann) akan mendatangkan kerosakan (mufsadah)

 

Dalam kategori ini, kemungkinan bahawa sesuatu kerosakan (mafsadah) akan terjadi, kesan daripada sesuatu tindakan adalah sebanyak 75 peratus. Mazhab Maliki dan Hanbali berpendapat bahawa haram melakukan perbuatan yang mendatangkan kerosakan, serta membenarkan transaksi tersebut adalah sama seperti tolong-menolong dalam perkara dosa dan pelanggaran hukum (Ibn Qudamah 1367H, 5: 303-304). Antara contohnya seperti:

  1. a) Menjual buah anggur kepada pembuat arak
  2. b) Menjual senjata semasa zaman peperangan

 

  • Perbuatan disyaki membawa kerosakan (mafsadah)

 

Pada kategori ketiga ini melibatkan perbuatan yang pada kebiasaannya akan membawa kepada kerosakan (mafsadah) tetapi tidak sampai kepada peringkat sangkaan yang kuat, apalagi ke peringkat yakin. Peratusan bahawa perbuatan tersebut membawa kepada mafsadah adalah sebanyak 50 peratus. Antara contoh bagi klasifikasi ketiga ini ialah:

  1. a) Penggunaan kad kredit
  2. b) Bai’ al-Tawarruq
  3. c) Bai’ Bithaman Ajil

 

  • Perbuatan secara nadir (jarang) mendatangkan kerosakan (mafsadah)

 

Kategori keempat ini kekal berada dalam konteks perbuatan yang diharuskan. Hal ini kerana manfaat yang diperoleh daripada perbuatan itu lebih besar daripada kemudaratan yang mungkin terjadi sebagai akibat sampingan daripada perbuatan tersebut. Peratusan bahawa perbuatan di bawah klasifikasi ini mendatangkan mafsadah adalah sebanyak 25 peratus. Antara contoh bagi klasifikasi keempat ini ialah:

 

  1. a) Penggunaan internet, komputer, dan alat telekomunikasi
  2. b) Bai’ al-Salam

Walau bagaimanapun, jika kita mengkaji dalam bidang muamalat pada masa kini mungkin melibatkan perbuatan yang membawa kepada mafsadah. Tidak kiralah jika transaksi yang dijalankan melibatkan perbuatan yang secara pasti, tanggapan kuat, disyaki, atau secara jarangnya mendatangkan kemudaratan (mafsadah). Oleh itu, Sadd al-Zara’i telah diaplikasikan sebagai sumber hukum syarak dalam muamalat yang dijalankan pada hari ini bagi menyekat pintu-pintu kepada kemudaratan.

Hal ini demikian kerana, dalam transaksi jual beli, mungkin ada melibatkan unsur riba, ketidakpastian (gharar), arak, dan judi (maisir). Oleh itu, Sadd al-Zara’i diterima pakai sebagai sumber hukum syarak bagi muamalat tersebut, bagi menjelaskan pemakaian Saad al-Zara`i (سد الذرائع) berdasarkan Imam al-Shatibi seperti berikut :

 

  • Bai’ al-Inah (بيع العينة)

Menurut, Imam Syafie mendefinisikan Bai’ al-Inah sebagai “membeli suatu barang daripada seseorang secara hutang, kemudian setelah barang tersebut diterima olehnya, barang tersebut dijual semula kepada pemilik asal atau kepada pihak ketiga sama ada dengan harga tunai yang lebih rendah atau lebih tinggi, atau secara hutang atau dengan tukaran barang.”

Contohnya :

  1. BANK menjual komoditi kepada Pelanggan A dengan harga RM 10,000 secara ansuran/kredit
  2. Pelanggan A menjual komoditi kepada BANK dengan harga RM 8,000 secara tunai.

Oleh itu, Bai’ al-Inah dikategorikan sebagai transaksi yang secara pasti (qat’i) akan mendatangkan keburukan (mafsadah). Pasti mendatangkan mafsadah, Imam Syafie berpendapat bahawa akad itu sah.

Jumhur ulama (Abu Hanifah, Malik dan Ahmad) berpendapat Bai’ al-Inah tidak sah; ada unsur helah, membawa kepada riba.

Imam Syafi’i dengan jelas mengiktiraf transaksi jual beli secara inah dalam kitabnya al-‘Umm. Al-Mawardi menegaskan bahawa Bai’ al-Inah bukan bermaksud riba, bahkan ia adalah suatu transaksi yang mencegah daripada terlibat dengan riba. Iman Al-Nawawi pula berpandangan bahawa Bai’ al-Inah bukan daripada kontrak jual beli yang dilarang oleh syarak.

Namun begitu, jumhur ulama iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, dan Imam Ahmad berpendapat bahawa Bai’ al-Inah adalah tidak sah mengikut kaedah Saad al-Zara’i. Hal ini demikian kerana, Bai’ al-Inah merupakan satu keadaan dimana seseorang yang memerlukan wang tunai datang kepada seseorang yang lain untuk meminta pinjaman. Pihak pemiutang enggan memberikan pinjaman melainkan beliau mendapat keuntungan. Namun, keuntungan tersebut akan menyebabkan berlakunya riba yang bertentangan dalam ajaran Islam.

Contoh tersebut menjelaskan, bahawa pihak bank menjual komoditi kepada pelanggan A dengan harga RM10,000 secara ansuran. Setelah itu, dalam sesuatu tempoh, bank akan membeli semula komoditi tersebut pada harga RM8,000 secara tunai. Dalam konteks ini, terdapat penambahan nilai sebanyak RM2,000 daripada pihak bank apabila harga kredit ditolak dengan harga secara tunai (RM10,000-RM8,000).Oleh itu, jelaslah bahawa terdapat unsur riba  dalam transaksi Bai’ al-Inah ini.

 

  • Bai’ al-Tawarruq (بيع التورق)

Bai’ al-Tawarruq bermaksud pembelian suatu barangan secara kredit oleh orang yang memerlukan tunai (mutawarriq) yang kemudiannya menjualkan barangan itu kepada orang lain atau pihak ketiga selain daripada penjual asal secara tunai dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang dibeli tadi. Transaksi ini dinamakan tawarruq kerana pembeli tidak mempunyai niat untuk mendapatkan manfaat daripada barangan yang dibeli melainkan untuk tujuan mendapatkan tunai semata-mata selepas barang tersebut dijual kepada pihak ketiga.

 

Contohnya :

a-Bank jual komoditi

b-Mutawarriq jual kepada pihak ketiga

c-Pihak ketiga bayar tunai

d-Mutawarriq membayar secara tangguh

 

Oleh itu, disyaki membawa mafsadah.

Majoriti: Mazhab Shafi’i, Hanafi, Maliki dan Hanbali menerima .

Minoriti: Ibn Qayyim dan Ibn Taymiyyah menolak; membawa kepada riba dan mempunyai unsur helah- transaksi melibatkan pertukaran tunai segera dengan nilai lebih kecil untuk jumlah lebih besar dengan bayaran tertunda.

  • Bai’ al-Salam (بيع السلم)

Bai’ al-Salam ialah jual beli sesuatu barangan secara tangguh dengan bayaran harga secara tunai, seperti menjual barangan yang telah disifatkan butiran bentuk, spesifikasi, kualiti dan kuantiti secara terperinci dengan bayaran harganya dibuat secara tunai, manakala penyerahan barang ditangguhkan pada suatu masa yang ditetapkan.

Contohnya :

a-Pembeli memesan komoditi mengikut spesifikasi tertentu daripada penjual misalnya memesan 1,000 kg beras.

b-Pembayaran penuh dibuat terlebih dahulu. Contohnya, tarikh pesanan dan bayaran ialah 28 September 2017.

c-Penjual membuat penghantaran kepada pembeli apabila beras siap diproses. Contohnya, Tarikh penghantaran pada 28 Januari 2018.

Jarang membawa mafsadah- kemarau atau tengkujuh

Imam Malik dan Hanbal menyatakan bahawa perbuatan yang membawa kepada keburukan adalah haram.

Gharar yang sedikit dibenarkan jika risiko tersebut minimum (Nas daripada Rasulullah) tetapi ada syarat; boleh serah barang.

  • Bai’ Bithaman Ajil بيع بثمن الأجل)

Bai’ Bithaman Ajil dikenali sebagai jualan harga tertangguh. Urus niaga Bai’ Bithaman Ajil melibatkan proses menjual sesuatu dengan disegerakan penyerahan barang dan ditangguhkan pembayarannya sehingga ke satu waktu atau tempoh yang telah ditetapkan.

Contohnya :

a-Pelanggan mengenal pasti rumah yang ingin dibeli (tandatangan S & P Agreement)

b-Bank membayar rumah pada harga kos. Contohnya RM20,000

c-Bank menjual pada harga kos+untung. Contohnya RM20,000 + RM50,000

 

Imam Syafi’i, Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hanbal  mengharuskan jual beli barangan dengan bayaran tangguh.

Disyaki membawa mafsadah iaitu Gharar dan tidak pasti rumah dapat disiapkan.

Kesimpulan

Tuntasnya, Saddu al-zarai merupakan satu salah satu kaedah yang dibincangkan sebagai sumber dalam penetapan bagi sesuatau hukum yang tidak dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran atau hadis. Dalam menetapkan saddu al-zarai sebagai sumber hukum, ulama telah berselisih pendapat  sama ada kaedah ini diterima sebagai sumber hukum atau tidak.

Oleh itu, di antara ulama yang menerima saddu al-zara`i sebagai sumber hukum  adalah ulama dari mazhab Maliki dan Hanbali, manakala ulama yang tidak menerima saddu al-zarai dari mazhab Syafie dan Zahiri. Setiap pandangan yang dikemukakan oleh para ulama dalam menetapkan saddu al-zarai sebagai sumber hukum atau tidak adalah bedasarkan alasan serta  kehujahan yang tesendiri

Maka, Sadd al-Zara’i adalah kaedah yang  diterima oleh majoriti ulama dalam menetapkan hukum Islam yang bertujuan untuk mengelakkan keburukan (mafsadah) atau kemudaratan daripada berlaku.

 

Rujukan

Azhar, A. (2013, April 03). Retrieved Oktober 12, 2018, from Elemen-elemen gharar dalam perjanjian Bay’ bithaman al-ajil (BBA): Suatu kajian ke arah penambahbaikan: http://repo.uum.edu.my/7507/

Hassan, W. Z. (2017). Sadd al-Dharâ’i’Dalam Memelihara Agama dan Kaitannya Dengan Asas Keharmonian Hubungan Baik. Jurnal Pengajian Umum Bil.6, 97-105.

Ismail, S. (2014). Perbahasan Usul Fiqh. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Mohammad Arifin,et.al. (2002). Pendidikan Syariah Islamiah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustak.

Muhammady, A. H. (1993). Perkembangan Undang-undang Islam. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Puteri Norashikin Abu Hassan Asari, e. (2017). Saad al Zarai. Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin (Uniza).

Qardhawi, Y. A. (2002). Fatwa-Fatwa Kontemporari, Jilid 2. Kuala Lumpur: Gema Press.

Rahman, A. A. (2009). Usul Fiqh II. Selangor: Open University Malaysia.

Zin, A. L. (2000). Perbahasan Kaedah-Kaedah Fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.