Syariah Islam adalah untuk mencantikkan kehidupan umat manusia dan diciptakan untuk menyelamatkan manusia daripada tipu daya seterusnya untuk menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat (falah) melalui penegakan pelbagai seruan yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah. Segala hukum dan perintah sebagai pengatur manusia dalam berbagai aspek iaitu bidang ‘ubudiyah dan muamalah. Menurut (Maulidizen, 2016) selain prinsip-prinsip ekonomi Syariah sebagaimana disebutkan di atas, dalam Hukum Islam terdapat moral ekonomi yang dikenali sebagai Golden Five, iaitu keadilan, kebebasan, persamaan, partisipasi dan pertanggungjawaban.

Menurut (Ab Rashid Dail, 2013), perbankan Islam menolak secara mutlak pengurusan kewangan yang berasaskan faedah, kerana cendikiawan Islam sependapat bahawa faedah secara mutlak sama dengan riba nasi`ah yang diharamkan oleh al-Quran sebagaimana firman Allah bermaksud :

“ Mereka yang memakan (mengamalkan) riba tidak dapat bangun melainkan seperti bangunnya orang yang dirasuki syaitan. Demikian itu kerana mereaka mengatakan (berpendapat) sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba. Padahal Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (QS: al-Baqarah: 275)

Walau bagaimanapun, sejarah telah membuktikan akibat buruk daripada amalan riba. Malah pada zaman Rasulullah SAW, kesannya telah kelihatan kerana amalan riba menyebabkan penindasan kepada golongan lemah, kezaliman daripada golongan yang kaya dan menyebabkan terjadinya perhambaan serta menjadi suatu peluang meraihkan keuntungan secara tidak adil.

Oleh yang demikian, penulisan ini adalah untuk membincangkan tentang pemahaman riba menurut sumber perundangan Islam dengan menerangkan setiap sebab pengharamanya bagi barangan ribawi (al-nuqud dan barangan al-at’imah). Selain itu akan menganalisi isu-isu kontroversi berkenaan riba yang bincangkan oleh ulama dengan penjelasan yang relevan.

Pengertian riba

Takrif

Riba dari bahasa Arab bererti “tambahan atau tumbuh.” (al-Misri, t.t).

Firman Allah bermaksud : “Dan apa-apa wang yang kamu berikan dengan riba (tambahan, bunga), agar bertambah banyak harta manusia, maka tidaklah wang itu bertambah banyak di sisi Allah. Dan apa-apa (zakat) yang kamu berikan (kepada orang), kerana menghendaki keredaan Allah, maka itulah yang berlipatganda. (QS Surah Ar-Rum: ayat 39)

Definisi

Riba bermaksud tambahan atau lebihan atau tidak sama timbangan atau sukatan semasa berlakunya pertukaran jenis bahan yang tertentu sahaja iaitu bahan ribawi.

Hadith Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan bahan ribawi(maksudnya): “Emas dengan emas, perak dengan perak, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, serupa dengan serupa, unjuk-berunjuk (secara kontan / tunai); sesiapa juga yang membayar lebih atau meminta (mengambil) lebih maka dia telah terlibat dengan riba. Orang yang mengambil dan yang membayar adalah sama.” (Riwayat Muslim, al-Tirmidhi, al-Nasa’i)

Namun daripada sudut Syariah, Imam Shafi’e berpendapat bahawa Riba diklasifikasikan kepada dua kategori, riba akan timbul daripada amalan-amalan berikut:

 Riba al-Duyun (Hutang):

Riba yang berlaku akibat pinjaman atau berhutang apabila pemiutang menetapkan bahawa peminjam perlu memulangkan lebih daripada pinjaman atau hutang asal, atau pun terdapat ketetapan bahawa jumlah bayaran semula akan meningkat dengan kelewatan bayaran.

Misalnya Abu Bakar memohon pinjaman wang berjumlah RM10,000 dari bank konvensional dan disyaratkan membayar balik wang tersebut dengan nilai RM18,000. Maka lebihan nilai hutang pokok tersebut yang bernilai RM8,000 itu adalah riba. Bagi keadaan yang kedua, En. Ikram menjual kereta berharga RM40,000 secara tangguh dalam tempoh 5 tahun. Disebabkan pembeli tidak dapat membayar dalam tempoh yang dijanjikan, En. Ikram memanjangkan lagi tempoh pembayaran dengan menambahkan hutang yang perlu dibayar oleh pembeli. Maka tambahan yang dikenakan itu adalah riba.

Riba al-Buyu` (Jual Beli):

Riba yang berlaku dalam akad jual beli barang ribawi dan berlaku dalam dua keadaan. Keadaan yang pertama ialah jual beli atau pertukaran antara barang ribawi yang sama jenis dengan berbeza kadar berat atau kuantiti. Keadaan yang kedua adalah jual beli atau pertukaran di antara barang ribawi yang berlainan jenis tetapi sama illah ribanya secara tertangguh (bukan dalam satu masa). Sepertimana dinyatakan di dalam hadis riwayat Muslim dalam syarat pertukaran barang ribawi.

Contoh bagi keadaan yang kedua, Puan Ruhana membayar RM3,585 untuk membeli matawang Rupiah Indonesia berharga RP100,000, oleh kerana masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan, matawang Rupiah tersebut diserahkan kepada Puan Ruhana selepas seminggu.

Akibat menangguhkan penyerahan matawang tersebut berlakunya riba kerana pertukaran diantara barang ribawi (matawang Rupiah dan Ringgit) oleh Puan Ruhana dikira sebagai riba yang diharamkan oleh Islam.

Ini adalah kerana pertukaran atau belian antara barang ribawi yang sama illah ribanya (dalam contoh ini illah riba adalah alat pertukaran) hendaklah berlaku secara serentak di dalam majlis akad (Bank Muamalat, 2015).

 Illah pengharaman riba

Menurut (Awang, 2012) ‘Illah pada istilah mengikut pandangan Imam al-Syairazy ialah makna yang membawa kepada hukum, manakala Prof Dr. Wahbah al- Zuhaily mengatakan ‘illah pada istilah ialah sifat yang terbina daripadanya hukum asal. Contohnya: Sifat matawang adalah `illah bagi penentuan hukum riba.

Oleh itu, pengharaman riba atau apa-apa saja nama lain bagi riba adalah untuk mengelakkan penindasan pihak yang mempunyai wang ke atas orang yang memerlukan. Perkara ini jelas bercanggah dengan kepentingan kemanusiaan kerana peminjam tiada pilihan melainkan terpaksa membayar lebih dari apa yang diperolehi dalam pertukaran. Selain itu, dari sudut kemasyarakatan, riba boleh merenggangkan dan merosakkan perhubungan di antara orang kaya pemakan riba dengan orang miskin seterusnya akan menimbulkan kekacauan di dalam masyarakat dan negara. Maka timbullah dari situ rompakan, pembunuhan, tekanan terhadap golongan kurang mampu dan lenyapnya keadilan dalam urus niaga.

Sebagai contoh, negara kita digemparkan dengan pelbagai jenayah yang dilakukan oleh Ah Long (ceti haram atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen) terhadap penghutang. Akibat penghutang tidak membayar hutang mereka sanggup menyerang, mengurung, merantai, memotong tangan, membunuh, dan melakukan pelbagai kezaliman lain terhadap para penghutang dan keluarga mereka.

 

Justifikasi ‘illah pengharaman riba barangan al-nuqud dan barangan al-at’imah

Illah yang membawa kepada pengharaman riba ke atas barangan ribawi, iaitu barangan al-nuqud, iaitu merujuk kepada emas dan perak dan juga mata wang; dan barangan al-at`imah iaitu barangan makanan, khususnya makanan asasi.

i) `Illah Riba bagi Emas dan Perak (al-Nuqud)

Menurut Mazhab Hanafi berpendapat `illah bagi barangan ribawi ialah ukuran kuantiti berserta jenisnya. Bagi barangan al-Nuqud, iaitu emas dan perak, `illah riba ialah timbangan bagi barangan yang sama jenis.

Oleh itu, semua komoditi yang mengambil ukuran timbangan seperti besi, tembaga dan sebagainya adalah tertakluk kepada hukum riba. Ini juga bererti `illah bagi riba al-Fadl terdiri daripada dua unsur iaitu kuantiti dan jenis; sedangkan `illah bagi riba al-Nasi`ah adalah salah satu daripada unsur-unsur tadi.

Pendapat mazhab Hanafi ini juga merupakan pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali dan diterima pakai oleh ulama al-Imamiyyah. Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf juga berpendapat mata wang selain daripada emas dan perak tidak tertakluk kepada hukum riba al-Fadl dan ianya boleh diniagakan secara lebihan nilai (keterangan lanjut di dalam karya Ab. Mumin, 1999, h. 204).

Manakala mazhab Maliki, mazhab Syafi`i dan pendapat kedua mazhab Hanbali pula mengatakan bahawa `illah bagi kedua-dua barangan iaitu emas dan perak ialah kebiasaan menjadi pengukur nilai kepada barangan lain (ghalabah al-thamaniyyah).

Namun, di kalangan ulama ini masih tidak sependapat berkenaan dengan pengukur nilai tersebut sama tertakluk kepada emas dan perak sahaja atau mencakupi jenis mata wang yang lain seperti wang kertas.

Dalam hal ini, mazhab Syafi`i dan sesetengah pendapat daripada mazhab Maliki mengatakan bahawa `illah ini hanya tertakluk kepada emas dan perak sahaja kerana ciri-ciri tersebut tidak terdapat pada komoditi lain. (Keterangan lanjut dalam Ab. Mumin, 1999, h.205).

Manakala sesetengah pendapat daripada mazhab Maliki cenderung untuk mengatakan `illahnya ialah mutlaq al-thamaniyyah. Pendapat ini agak menyeluruh dan relevan dengan situasi sekarang. Hal ini kerana semua alat atau barangan yang digunakan sebagai alat pertukaran dan pengukur nilai, tergolong dalam pengertian mutlaq al-thamaniyyah yang tertakluk kepada hukum riba termasuklah wang kertas dan syiling pada hari ini.

ii) `Illah Riba bagi Makanan (al-At`imah)

Menurut mazhab Hanafi, `illah bagi barangan ribawi ialah ukuran kuantiti berserta jenisnya, sama ada ukuran itu timbangan bagi al-nuqud atau sukatan bagi barangan al-at`imah. Ini bererti `illah bagi keempat-empat barangan ribawi dari kelompok al-At`imah ialah ukuran sukatan dan sama jenis. Dengan itu, semua barangan yang disukat dari jenis yang sama, sama ada barangan itu makanan ataupun tidak, ia boleh terdedah kepada riba.

Pendapat mazhab Hanafi ini merupakan pendapat yang masyhur di kalangan mazhab Hanbali, Imamiyun, Zaydiyyun dan Ja`fari.

Seterusnya mazhab Maliki pula berpendapat `illah bagi keempat-empat barangan al-at`imah itu adalah sifatnya sebagai makanan asasi yang boleh disimpan. Oleh itu, bagi pendapat mazhab ini, setiap barangan yang bukan makanan asasi dan tidak boleh disimpan tidak terlibat dengan riba.

Bagi mazhab Syafi`i pula, terdapat dua pendapat mengenai `illah barangan ini iaitu pendapat lama yang mengatakan `illahnya ialah makanan yang bersukat atau bertimbang. Dengan itu, apa-apa barangan yang bukan makanan berbentuk bersukat atau bertimbang, adalah tidak terlibat dengan riba. Manakala berdasarkan pendapat baru mazhab Syafi`i pula, `illahnya adalah makanan sahaja, tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti bersukat atau bertimbang, makanan asasi atau tidak dan sama ada boleh disimpan atau sebaliknya. (lihat keterangan lanjut dalam Ab. Mumin, 1999, h.206).

Hal ini sebagaimana yang diterangkan di dalam Encyclopaedia of Islam, iaitu Maliki berpendapat barangan makanan itu termasuklah selain dari empat jenis yang dinyatakan (iaitu gandum, barli, tamar, garam), selagi ianya makanan asasi dan boleh disimpan. Bagi Syafi`i pula, ianya tertakluk kepada makanan yang dijual secara sukatan atau timbangan meliputi semua jenis makanan tanpa sebarang syarat. (Mansor, 2011)

Analisis isu berkenaan riba yang telah dibahaskan oleh ulama

Simpanan wang di bank Riba

Menyimpan Wang Di Bank Riba Kerana Keadaan Terpaksa Dan Keperluan Mengambil Faedah, menurut Qal‘ahji mengharuskan kepada seseorang Islam menyimpan wang di bank riba, kalau di negara atau negerinya benar-benar tidak ada bank Islam, kerana meraikan keadaan darurat.

Berhubung dengan riba yang diberikan oleh pihak bank dari simpanan yang dibuat itu, Qal’ahji berpendapat harus mengambilnya tetapi tidak boleh mencampurkannya dengan harta sendiri, sebaliknya dibelanjakan kepada kepentingan umum orang-orang Islam, kerana bagi beliau ulama fiqh sepakat, tidak ada golongan yang berhak menggunakan harta haram, sebaliknya hendaklah dibelanjakan kepada kepentingan kaum Muslimin. Kedudukannya tidak ubah seperti harta yang dirampas, riba, upah pelacuran, sewa rumah, aktiviti fasik, membuat patung dan lain-lain. Perbelanjaan ini bukannya sedekah yang boleh mendekatkan diri kepada Allah, sebaliknya merupakan sedekah untuk mengelakkan dosa.

Kaedah fiqh menyatakan: Pertukaran sebab pemilikan mengambil tempat pertukaran zat. Asal kaedah ini diambil daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA katanya:

“Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah. Pada masa itu, di dapur periuk sedang mendidih. Baginda meminta dibawakan makanan tengahari. Lalu dibawakan kepada baginda SAW sekeping roti dan lauk yang biasa dimakan di rumah itu. Rasulullah SAWb ersabda: Tidakkah saya melihat periuk sedang mendidih di atas api? Para sahabat menyatakan: Ya Rasulullah, tetapi ia mengandungi daging yang disedekahkan kepada Burayrah dan Burayrah telah menghadiahkannya kepada kami, sedangkan tuan tidak memakan sedekah. Sabda Rasulullah SAW; Daging itu menjadi sedekah kepadanya tetapi menjadi hadiah kepadakita.”

Kupasan yang dibuat oleh Qal‘ahji berkaitan dengan keharusan menyimpan wang dalam bank riba bagi mereka yang berada dalam situasi darurah di atas, kerana tidak ada perbankan Islam di tempatnya, bukan satu perkara baru,bahkan pernah dibuat oleh tokoh-tokoh besar sebelum daripada beliau seperti al-Zarqa’ dan Burhan al-Din al-Sanbahili, manakala keharusan mengambil faedah dari simpanan wang dibuat itu dan diberikan kepada golongan fakir miskin telah dinyatakan oleh tokoh-tokoh ulama terdahulu seperti alQurtubi, Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim dan lain-lain.

  • Pembelian saham

Para ulama berselisih pendapat dari segi keharusan membeli saham-saham yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat yang mana tujuan asal penubuhannya berteraskan urus niaga halal tetapi kadang-kadang berurusan dengan riba.

Qal`ahji berpendapat berurusan dengan syarikat yang berurusan dengan riba seumpama ini adalah harus, kerana tidak ada sebuah syarikat besar hari ini yang tidak menyimpan wang di bank, kerana para pengaudit tidak dapat menanggung harta yang lebih, sekiranya dikekalkan dalam simpanan syarikat.

Tambahan pula, kalau diharamkan pembelian saham syarikat-syarikat ini, sudah tentu syarikat-syarikat besar keseluruhannya akan jatuh ke tangan orang-orang fasik dan kafir dan ekonomi pula berada di tangan mereka. Akibatnya, sudah tentu akan mendatangkan kerosakan kepada negara. Justeru, berinteraksi dengan riba dalam syarikat-syarikat ini walaupun haram, tetapi hanya mengikut benda lain sahaja dan bukannya benda yang asal. Benda yang mengikut benda lain tidak bebas memiliki hukum sendiri, tidak sebagaimana benda yang asal.

Tetapi wajib kepada orang yang memiliki saham-saham dalam syarikat-syarikat ini, melakukan proses menghalal dengan cara mengeluarkan bahagian yang pada tanggapannya, telah dimasuki oleh riba dengan cara membelanjakannya kepada kepentingan orang-orang Islam.

Qal‘ahji berhujah dengan keputusan yang dibuat oleh Nadwah Pasaran Harta dari perspektif Islam yang berlangsung di Rabat al-Maghribi bertarikh 20-24/4/1410H yang menegaskan: “Berhubung memiliki atau menukar tangan saham-saham syarikat-syarikat yang tujuannya asalnya adalah halal, tetapi kadang-kadang berurusan dengan riba, dengan meminjam harta atau menyimpannya dan mengambil kadar faedah tertentu, hukumnya adalah harus memandangkan tujuan asalnya adalah betul”.

Kupasan yang dibuat oleh Qal‘ahji di atas, turut dikupas oleh beberapa tokoh ulama semasa seperti Mustafa al-Zarqa’ dan lembaga pengawasan Syariah Yayasan al-Rajihi yang mengharuskan umat Islam membeli saham-saham syarikat yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat umum  seperti syarikat eletrik, pengangkutan dan seumpamanya yang menimbulkan kesukaran kepada masyarakat kalau tidak ada syarikat seumpama-seumpama ini dan tidak merangkumi semua jenis syarikat.

Ini kerana sekiranya modal milik individu dan juga negara tidak dapat memenuhi keperluan umum umat Islam, dananya wajib diwujudkan melalui syarikat-syarikat saham yang kadang-kadang berinteraksi dengan riba dalam menyimpan hartanya dan membuat pinjaman berteraskan riba daripada beberapa institusi kewangan. Ini bertujuan mengelakkan umat Islam dari berada dalam kesukaran di tambah pula dengan keadaan zaman yang sudahpun mengalami banyak kerosakan.

Rasulullah SAW sendiri berkongsi dengan orang-orang Yahudi Khaybar untuk menubuhkan sebuah syarikat pertanian di kawasan tersebut. Rasulullah SAW mengemukakan modal berbentuk tanah dan telaga air, manakala orang-orang Yahudi mengemukakan harta dan pengalaman dalam menguruskan tanah-tanah pertanian. Baginda SAW bersetuju dengan pembahagian keuntungan sebanyak 50 peratus untuk setiap pihak, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis riwayat Ibn ‘Umar RA:

 

دفع إلى يهود خيبر نخل خيبروأرضها على أن يعتملوها من أموالهم ولرسول اهلل صلى

اهلل عليه وسلم شطر ثمرها

 

“Rasulullah SAW menyerahkan kepada Yahudi Khaybar pokok-pokok tamar Khaybar dan tanah-tanahnya agar mereka dapat menguruskannya dengan menggunakan harta-harta mereka. Rasulullah memperolehi separuh daripada hasil buah-buahannya.”

Walau bagaimanapun perkara haram yang terdapat dalam pelaburan syarikat berkenaan hanyalah bersifat ikutan sahaja dan bukannya sebagai asas dan ia dimaafkan, Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Nafi‘ bin `Abdullah RA :

أنه حرق نخل بني النضيروقطع

“Rasulullah SAWmengarahkan supaya membakar dan memotong pokok-pokok tamar Bani al-Nadir.”

Pembakaran ladang tamar ini sudah tentu akan turut sama membakar segala binatang melata, burung-burung dan lain-lain, tetapi pembunuhan ke atas binatang-binatang ini hanyalah bersifat ikutan kepada pembakaran ladang tamar itu sahaja dan bukan tujuan utama pembakaran itu dilakukan dan ia

dimaafkan.

  • Jual Beli Dengan Harga Tangguh (al-Bay’ Bi Thaman al-Ajil)

Jual beli dengan harga tangguh seperti seseorang menjual barangan kepada seorang yang lain dan menyatakan: Harga secara tunai ialah RM100, manakala secara ansuran atau bertangguh selama dua tahun ialah RM120. Pembeli memilih harga secara ansuran yang mana bayarannya lebih daripada harga tunai dan kontrak dilakukan berdasarkan kepada harga tersebut.

Situasi tersebut menimbulkan perselisihan di kalangan ulama dari segi keharusannya kepada dua pihak. Satu golongan berpendapat, harus melakukan jual beli berdasarkan harga tangguh atau ansuran, walaupun penjual mengenakan bayaran tambahan sebagai imbalan dari penangguhan tempoh tersebut.

Pendapat ini adalah pendapat majoriti ulama yang terdiri daripada imam-imam mazhab empat, pandangan sekumpulan ulama salaf yang terdiri daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, Sa‘id bin al-Musayyab, Tawus bin Kaysan, ‘Ata’, al-Awza‘i, Qatadah, al-Zuhri, al-Thawri, al-Nakha‘i, alHakam bin ‘Utaybah, Hammad bin Abi Sulayman dan lain-lain. Pendapat ini juga dipegang oleh Qal‘ahji.

Mereka juga berdalilkan hadis riwayat Abdullah bin Amru RA:

أن رسول اهلل صلى اهلل عليه وسلم أمره أن يجهز جيشا فنفدت اإلبل فأمره أن يأخذ

في قالص الصدقة فكان يأخذ البعير بالبعيرين إلى إبل الصدقة

“Rasulullah SAW memerintahkannya melengkapkan angkatan tentera. Tetapi malangnya unta telah kehabisan, Rasulullah SAWmenyuruh beliau mengambil unta sedekah.”

Beliau mengambil satu ekor unta dengan menjanjikan untuk membayar dua ekor unta. Sehinggalah unta sedekah tersebut dipulangkan semula ke Baitulmal.

Mereka berhujah dengan kaedah fiqh iaitu asal kontrak dan muamalah ialah harus dan tidak boleh dihukumkan sebagai haram, kecuali yang sabit dengan nas yang mengharamkannya sahaja. Tidak terdapat sebarang dalil yang sahih yang menunjukkan batalnya pertambahan akibat dari penangguhan tempoh dalam jual beli.

  • Kad Kredit

 

Kad kredit adalah merupakan kad khas yang dikeluarkan oleh sesebuah institusi

atau syarikat kewangan, yang membolehkan pembawanya mendapatkan barang-barang, perkhidmatan atau wang tunai, daripada mana-mana premis perniagaan yang berinteraksi dengannya. Pihak yang membawanya boleh mendapatkan barangan tersebut dari pihak yang mengeluarkanya dengan syarat, pihak yang membawa kad tersebut membayar harga barangan, perkhidmatan atau mata wang yang diperolehinya.

Perbezaan pandangan ulama adalah dari segi operasi kad kredit menimbulkan perselisihan di kalangan ulama masa kini. Oleh itu, Qal‘ahji mengemukakan empat pandangan ulama tentang kedudukan operasinya iaitu:

  • Operasi kad kredit berasaskan kepada konsep pemindahan hutang (alhiwalah). Pendapat ini dipegang oleh al-Zuhayli, ‘Abd Allah bin Mani‘,

Rafiq al-Misri dan juga institusi syariat milik beberapa buah negara Islam.

  • Operasi kad kredit berasaskan kepada konsep wakalah. Pandangan ini juga dikemukakan oleh ulama masa kini iaitu al-Zuhayli. Beliau menyatakan bahawa kad ini tidak sunyi samada menggunakan operasi hiwalah. Hiwalah institusi kewangan hari ini semuanya dengan upah.
  • Operasi kad kredit berdasarkan kepada konsep Pinjaman (al-Qard)
  • Operasi kad kredit berdasarkan kepada operasi kafalah. Pendapat ini dipegang oleh Nazih Hammad, Muhammad ‘Ali al-Qura bin ‘Ayd, Muhammad `Abd al-Halim `Umar, `Abd Halim al-Sa‘di dan lain-lain.

Maka, Qal‘ahji lebih cenderung kepada pendapat yang keempat iaitu operasi kad kredit berdasarkan kepada konsep kafalah. Berdasarkan kepada konsep kafalah, pengeluar kad membuat jaminan pada masa kontrak kad dibuat, dia akan membayar segala hutang yang tercatat di atas kad, bagi pihak pembawa kad. Apabila pembawa kad membeli sesuatu, peniaga akan menemui pengeluar kad – yang merupakan penjamin – untuk mendapatkan nilai barangan tersebut daripadanya.

Pihak pengeluar kad kredit tidak boleh menolak untuk membayar nilai wang yang dituntut itu. Ini kerana di antara pembawa dan pengeluar kad terdapat kontrak yang mewajibkannya membuat bayaran apabila diminta. Apabila pihak pengeluar kad telah membuat pembayaran, ia akan menemui pembawa kad dan memintanya membayar nilaiyang telah dibayar itu kepada peniaga.

Kafalah menurut pandangan majoriti ulama ialah menggabungkan satu jiwa kepada satu jiwa yang lain dari segi keperluan membuat tuntutan dan hutang piutang. Abu Thawr, Dawud bin ‘Ali al-Zahiri, Ibn Abi Layla dan Ibn Syabramah berpendapat kafalah dan hiwalah adalah benda yang sama sahaja.

Keduanya melibatkan pemindahan hak dari pihak yang dijamin (pelanggan) kepada pihak penjamin.

Walau bagaimanapun, Qal‘ahji menolak pendapat yang mengatakan penggunaan kad kredit tidak harus kerana melibatkan jaminan ke atas sesuatu yang tidak wajib pada masa kontrak pengeluaran kad dilakukan. Bagi beliau jaminan ke atas sesuatu yang belum wajib, adalah harus menurut ulama mazhab Hanafi, Maliki dan juga Hanbali. Ia juga merupakan pendapat lama Imam al-Shafie Firman Allah SWT bermaksud:

“Orang-orang menteri menjawab: Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”. Surah Yusuf,12: 72)

Bersandarkan kepada ayat di atas Nabi Yusuf menjamin akan memberikan bahan makanan sebanyak muatan unta, sedangkan ia belum wajib lagi.

Maka. Qal‘ahji menolak hujah ulama yang menyatakan dalam penggunaan kad kredit, hutang adalah sesuatu yang tidak diketahui dengan jelas pada masa kontrak pengeluaran kad dibuat, dengan menyatakan kafalah ke atas hutang yang masih belum diketahui. Misalnya seorang menyatakan: Saya menjadi penjamin kepada hutang anda yang terdapat pada diri pulan bin pulan, sedangkan dia sendiri tidak mengetahui kadar hutang yang terlibat.

Ini adalah harus menurut pandangan ulama mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan juga al-Syafie berdasarkan salah satu pendapat kerana berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 72 . Di dalam ayat tersebut sepenuh muatan unta tidak diketahui dengan tepat, berapa timbangannya yang sebenar. Tambahan pula kedudukan seekor unta dengan seekor unta yang lain, adalah berbeza dan ia juga merupakan pengiltizaman hak tanpa bayaran.

Ketidakpastian, tidak memberi kesan kepadanya. Qal‘ahji menolak hujah sesetengah ulama yang menyatakan dalam penggunaan kad kredit, disyaratkan pembawa kad bersih dari sebarang tuntutan hutang oleh peniaga. Tuntutan peniaga terhadap haknya untuk mendapatkan bayaran dari pembawa kad, dibuat terus kepada pihak pengeluar kad sahaja, dengan berhujah ulama mazhab Hanafi, Maliki dan juga al-Syafie berdasarkan satu pendapat, mengharuskan disyaratkan di dalam kontrak kafalah, pihak yang dijamin bebas dari sebarang bebanan. Mereka berdalilkan dengan riwayat Jabir bin ‘Abd Allah RA yang bermaksud katanya:

“Seorang lelaki meninggal. Kami telah memandikannya, mengkafankannya dan menaruh jenazahnya dengan bau-bauan. Kemudian kami meletakkannya pada maqam Jibril untuk disolatkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana jenazah-jenazah lain diletakkan di tempat itu. Kemudian kami mempersilakan Rasulullah SAW untuk menunaikan solat ke atasnya.

Baginda menuju ke arah kami satu langkah, kemudian berkata: Kemungkinan sahabat anda ini mempunyai hutang yang belum dibayarnya? Mereka menjawab: Ya sebanyak dua dinar, lalu Rasulullah SAW mengundur ke belakang. Seorang lelaki dari kalangan kami yang dikenali dengan nama Abu Qatadah berkata: Wahai Rasulullah, kedua hutang itu akan saya bayar untuknya. Rasulullah SAW bersabda: Kedua hutang tersebut hendaklah anda bereskan dari harta kepunyaan anda sendiri dan mayat itu pula bebas dari sebarang tanggungan hutang? Jawab lelaki itu: Ya, lalu Rasulullah SAWmenunaikan solat ke atas jenazah lelaki itu. Setiap kali Rasulullah SAWberjumpa Abu Qatadah, beliau menyatakan: Apakah yang dilakukan oleh anda dengan dua dinar yang anda jamin itu? Dan lain-lain kata-kata Rasulullah s.a.w. Jawab Qatadah: Saya telah membayarnya wahai Rasulullah. Sabda baginda: Sekarang anda telah menyejukkan kulitnya.”

Kesimpulan

Tuntasnya, jelaslah kepada kita tentang pengertian Riba dan sebab pengharamannya, ini kerana di dalam muamalat, Islam melarang keras aktiviti-aktiviti yang didasari riba, gharar dan maisir (perjudian). Selebihnya hukumnya adalah harus selagi tidak terdapat dalil yang mengharamkannya.

Justeru, perbincangan ini juga menjelaskan kepada kita tentang beberapa isu yang dibahaskan oleh ulama seperti simpanan wang di bank mengamalkan riba, pembelian saham, jual beli secara ansuran dan kad kredit.

Oleh itu, seharusnya kita menyedari dari masa ke semasa betapa besarnya dosa riba, maka sewajarnya kesedaran mengenai sistem kewangan Islam haruslah diperluaskan lagi dari semua peringkat dengan pelbagai pendekatan yang mudah difahami mengikut tahap kefahaman seperti kartun atau program-program selebriti di media utama.

Rujukan

 

Ab Rashid Dail. (2013). Sistem dan Operasi Perbankan Islam : Tinjauan dan Ulasan. Selangor: Persatuan Ulama` Malaysia.
Ab.Ghani, A. (1999). Sistem Kewangan Islam dan Pelaksanaannya di Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Ab.Ghani, A. (1999). Sistem Kewangan Islam dan Pelaksanaannya di Malaysia . Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
al-Misri, M. b.-M. (t.t). Lisan al-‘Arab. Beirrut: Dar Shadir.
Awang, A. H. (2012). Gharar Dalam Perspektif Fiqh Al-Hadith : Analisis Terhadap `Illah dan Prinsip. Hadis : Jurnal Berimpak. Tahun Kedua, Bil : 4, 65-70.

Bank Muamalat. (2015). Riba dan Pengharaman. Kuala Lumpur: Jabatan Syariah, Bank Muamalat Malaysia.

Bank Negara Malaysia. (2010). Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia.
Hamid, H. A. (2012). Pemfatwaan Zakat Pendapatan dan Kesannya Ke atas Sistem Kewangan Islam di Malaysia : Kajian Kes di Selangor. Jurnal Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Bil.5 , 127-129.
Mansor, F. (2011). Kewangan Islam. Selangor: Open University Malaysia.

Maulidizen, A. (2016). Riba, Gharar dan Moral Ekonomi Islam Dalam Perspektif Sejarah dan Komparatif : Satu Sorotan Literatur. Jurnal Ekonomi Islam Vol.7 No.2, 142-158.

Zaharuddin. (2014). Fiqh Kewangan Islam. Selangor: PTS Islamika Sdn Bhd.

Zahidi, A. A. (2014). Konsep Sistem Kewangan Mengikut Perspektif Islam. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Zairul, A. (2018). Pembiayaan Islam : Mengapa Wajib Pilih. Kuala Lumpur: Pejuang Usahawan Sdn Bhd.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net adalah Rakan Penyelidik Nusantara dalam pembangunan dan perkembangan kajian Sains Sosial , Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perundangan Syariah di Nusantara. Selain itu, menyediakan Perkhidmatan & Perundingan Guaman Syarie dan Pengurusan Harta Islam. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.