Walaupun terdapat pelbagai kemahiran membaca bahasa Arab yang boleh dipraktikkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Namun, Husaini (2014) menggariskan beberapa jenis dan kepentingan kemahiran membaca yang di antaranya ialah:

Kemahiran Membaca Nyaring

Bacaan nyaring merupakan suatu aktiviti pembacaan yang dilakukan oleh pelajar dengan sebutan yang betul dan menjaga tanda bacaan di samping dapat menggambarkan makna teks yang dibaca. Kemahiran membaca secara nyaring memerlukan pembaca memberi tafsiran terhadap bahan yang dibaca.

Pembacaan secara nyaring merangkumi membaca suatu petikan untuk diperdengarkan kepada orang lain atau menyampaikan pidato untuk mempengaruhi para pendengar dengan idea yang disampaikan. Selain itu, pembacaan secara nyaring termasuk juga memberi syarahan kepada para pelajar di dalam dewan kuliah, perbicaraan di mahkamah, pertunjukkan puisi dan pantun atau sesuatu nyanyian yang disampaikan untuk diperdengarkan kepada khalayak ramai dan pembacaan secara nyaring kepada kanak-kanak akan merangsang minat, perkembangan emosi, imaginasi dan bahasa kepada mereka.

Manakala kepentingan pembacaan nyaring adalah bertujuan bagi melatih para pelajar menyebut perkataan dengan baik di samping memperbaiki kesilapan bacaan pelajar, memantapkan kefasihan pelajar membaca artikel dalam bahasa Arab, membantu pelajar memahami kesenian teks, mewujudkan sifat berani dalam diri di samping menghilangkan perasaan malu dan gagap. Justeru, keberhasilan tersebut dapat meningkatkan ingatan kepada bahan bacaan. Manakala dalam proses mengingat kembali, pelajar hanya perlu menumpukan perhatian kepada rangsangan akustik iaitu kepada suara sendiri.

Kemahiran Membaca Secara Senyap

Bacaan secara senyap pula ialah pelajar membaca teks dengan hanya menggunakan akal dan menggerakkan mata tanpa mengeluarkan suara. Bacaan senyap juga dikatakan sebagai bacaan mata. Kemahiran bacaan senyap lebih kerap digunakan oleh kebanyakan pelajar.

Kemahiran bacaan senyap meliputi bacaan akhbar, jurnal, majalah, buku akademik, buku cerita dan juga maklumat semasa yang berkaitan dengan isu politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Kemahiran bacaan senyap juga merangkumi pembacaan di perpustakaan dan pembacaan untuk mendapatkan pelbagai maklumat terkini.

Oleh itu, kepentingan pembacaan senyap bertujuan mewujudkan sifat suka mentelaah dan membuat persediaan bagi pelbagai mata pelajaran, menjimatkan masa dan usaha berbanding dengan pembacaan nyaring dan dapat membantu pembaca memahami bahan bacaan dengan lebih mendalam di samping memperolehi maklumat secara kendiri tanpa bantuan dari rakan.

Kemahiran Membaca Secara Kritikal

Kemahiran membaca secara kritikal ini adalah perlu apabila pelajar membaca untuk memahami konsep, istilah, logik dan sebagainya. Membaca secara kritikal adalah kaedah yang betul ketika mentelaah. Oleh itu pendekatan ini, pelajar akan merasa lebih seronok dan tidak bosan. Minat terhadap bahan bacaan mula terbit apabila pelajar mula memahami isi kandungan yang dibaca.

Kemahiran Membaca dengan Pantas

Pembaca yang mahir mampu membaca dengan kadar yang lebih cepat daripada pembaca yang lain. Pelajar yang dapat membaca dengan pantas, dapat menjimatkan masa dan tenaga untuk melakukan aktiviti lain. Dengan pembacaan yang pantas, pelajar dapat mengikuti sesuatu bahan bacaan itu dengan cepat di samping dapat memahami perkara yang hendak disampaikan.

Kepentingan dalam menguasai kemahiran membaca dengan pantas dapat menangani pelbagai tugas harian dengan efisyen dan lebih meyakinkan. Pelajar dapat menyempurnakan sesuatu tugas dengan baik mengikut masa yang telah ditetapkan. Membaca secara pantas dapat menyegarkan minda pelajar. Semasa membaca, minda pelajar akan bergerak aktif untuk mentafsir makna demi makna, data demi data, maklumat demi maklumat dan hujan demi hujah. Pengaktifan minda ini akan menjadikan seseorang pembaca itu memiliki tahap pemikiran yang mantap dan segar (Ishak, 2013) .

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.