Pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) dari 1965 hingga 1975, TUN DR. ARSHAD AYUB, memang sangat dikenali dengan sikap tegas melaksana wawasannya bagi mengilmukan anak bangsa dari keluarga miskin sehingga lahir kumpulan profesional dan menengah bumiputera yang ramai.

Arshad yang pernah dikecam kerana bertegas menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar di ITM yang kini dikenali Universiti Teknologi Mara (UiTM) masih jelas percakapannya dan tetap tajam pemikiran sekalipun usianya mencecah 92 tahun.

Sepanjang lebih sejam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, di kediamannya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, beliau mempersoalkan kualiti lebih 2,500 profesor khususnya Melayu di negara ini yang kebanyakannya belum mencapai sama taraf atau lebih baik daripada Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

SOKONG MINDA PENGARANG

UTUSAN: Boleh komen tentang mutu profesor di negara ini?
ARSHAD: Mulanya saya terbaca ruangan Minda Pengarang Utusan Malaysia pada 7 Januari lalu bertajuk Mana suara “sohor” cendekiawan? apabila Timbalan Pengarangnya, Zulkifli Jalil mempersoalkan tidak kedengaran lagi suara, nada kritis dan pena tajam oleh cendekiawan seperti Ungku Aziz yang bercakap pasal survival Melayu.

Penulis juga mempersoalkan kenapa cendekiawan tidak lagi turun padang bercampur masyarakat bagi membolehkan mereka mencambah minda bagi merungkai permasalahan politik Melayu yang berserabut, sebaliknya menjadi orang suruhan yang berkokok mengikut nada ahli politik sahaja.

Saya sendiri ketika menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM) pernah meminta seorang profesor mencari lima profesor lain dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk mengkaji secara mendalam mengenai semangat dan persefahaman antara kaum ketika tertubuh Persekutuan Tanah Melayu dan selepas itu apabila terbentuknya Malaysia.

Selepas tiga bulan, profesor terbabit memaklumkan, dia tidak dapat mencari lima orang tersebut.

Kenapa fenomena ini berlaku?
Itulah pada saya dalam sesebuah universiti, sekurang-kurangnya ada tiga fungsi iaitu pertama, teaching and development (mengajar dan pembangunan) untuk pelajar. Yang mustahak sekali ialah development. Sebab itu sehingga sekarang kita ada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.

Masuk universiti, bukan sahaja belajar (melalui) buku tetapi mendapatkan pendidikan daripada pensyarah. Sekarang apabila menjadi universiti penyelidikan, sudah terlupa untuk membangunkan pelajar. Pensyarah kena beri bimbingan untuk ubah sikap pelajar, dedah mereka dengan pelbagai disiplin ilmu dan beri pengalaman secara praktikal.

Fungsi universiti yang kedua, ialah research (penyelidikan). Penyelidikan penting tetapi masalahnya sekarang, rahsia bukan main. Kalau kita buat penyelidikan, mesti berhubung dengan orang lain. Penyelidikan tidak boleh buat seorang diri. Sesetengahnya ada sikap, ini hak aku, jadi tidak dikongsi sepenuhnya ilmu dan segala aktiviti yang dibuat. Ada tersorok sedikit macam guru silat tidak berkongsi sepenuhnya ilmu dengan anak murid.

Fungsi ketiga, banyak yang terlupa, inilah satu peranan yang pada saya membezakan profesor universiti yang banyak ini, yang masih kekurangan, iaitu (melaksanakan) tanggungjawab terhadap masyarakat.

Kenapa tanggungjawab kepada masyarakat diabaikan?
Para cendekiawan lebih sibuk mengatakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 mengikat mereka. Itu terpulang kepada kita. Undang-undang itu kalau ada pun supaya kita jangan merempat jauh.

Mana ada setahu saya, pada hari ini sesebuah universiti ataupun kerajaan yang mengatakan kamu sama ada pelajar atau pensyarah melakukan kesalahan di bawah AUKU dan dihadap ke mahkamah. Kalau ada pun, jarang.

Kebanyakannya menjawab, oh takut melanggar AUKU. Kita belum tahu lagi (buat salah) sehingga kita langgar. Universiti (termasuk pensyarah), dia tidak break the glass (memecahkan kaca), dia berhenti sahaja.

Mula-mula jadi pensyarah, lepas itu menjadi profesor madya, jadi profesor dan ada sehingga menjadi profesor ulung. Tetapi ini tidak banyak dalam memecahkan kaca atau berfikir di luar kotak yang dapat memberi seperti yang dikatakan Zulkifli dalam Minda Pengarang untuk menjadi ejen pembangunan, memajukan masyarakat supaya menjadi lebih baik dan tiada sesiapa ketinggalan.

Sebenarnya dalam penyelidikan, ada yang telah memecahkan kaca tetapi profesor sebagai satu kumpulan, saya rasa kurang sangat. Kalau kita perhatikan, ambil sebuah universiti sebagai contoh, tanya profesor di situ berapa orang yang telah buat research article (artikel penyelidikan), melainkan kalau dia jurutera atau bidang perubatan, itu dia ada buat.

Bilangannya tidak banyak untuk menyumbang kepada masyarakat. Jadi, boleh dikatakan kita kekurangan sumbangan terhadap masyarakat. Ini amanah yang diberikan kepada profesor untuk mereka tampil ke hadapan dan mereka tidak boleh lupa dan melarikan diri. Jangan sekadar seronok untuk bersyarah kepada pelajar sahaja.

Saya juga bimbang dengan masa depan kedudukan bumiputera yang tidak berfikir secara lebih kritikal. Jangan jadi macam kerbau yang dicucuk hidung dengan tali emas (duit).

KAJI TABUNG HAJI

Apakah bentuk sumbangan kepada masyarakat yang boleh dibuat?
Ada yang berkata, sudah ada bermacam-macam badan pemikir serta institut khusus, tetapi orang itu pun kadang-kadang kurang menjalankan tugas.

Tetapi apabila membuat sesuatu penyelidikan, ia macam terhad dan tidak mahu memecahkan kaca. Itulah kekurangan dan cabaran sehingga ada persoalan, mana suara “sohor” cendekiawan?

Mereka tidak pecahkan kaca atau berfikir di luar kotak.

Semua tahu, Ungku Aziz mencetuskan idea penubuhan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) pada 1963. Setelah lama ditubuhkan sepatutnya ada profesor yang mengkaji semula Tabung Haji berkaitan isu-isu kontroversi melibatkan pelaburan dan dakwaan wujud penipuan.

Jangan mudah putus asa. Jangan beri alasan semua maklumat penting dirahsiakan. Profesor sudah tentu ada cara untuk mengumpul maklumat. Kalau bukan UiTM, profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buatlah.

Itu soal artikel penyelidikan yang lebih mendalam. Baca tulisan biasa yang dihantar pensyarah ke akhbar, saya kalau editor akan membuangnya ke dalam tong sampah.

Saya bersetuju dengan pandangan cendekiawan tidak boleh sekadar ‘menga­rang’ dari dalam bilik univer­siti setelah mendengar cerita atau ‘mengupas’ bahan berita akhbar, sebaliknya mereka perlu bercakap dengan orang-orang yang mempunyai idea walaupun pandangannya bertentangan dengan kita.

Kita akan belajar banyak daripada orang-orang ini dan ia adalah satu pendedahan yang susah untuk diperoleh jika kita tidak turun padang bercampur masyarakat.

TIDAK BERKUASA

Sebagai Pro-Canselor UiTM, kenapa tidak meningkatkan kualiti profesor?
Jawatan Pro-Canselor itu bukan ada kuasa, hanya boleh berleter sahajalah. Yang berkuasa ialah Lembaga Pengarah dan Naib Canselor. Sepatutnya Naib Canselor perlu mengarahkan setiap profesor menghasilkan sekurang-kurangnya satu artikel penyelidikan yang substantif setiap tahun. Hasil penyelidikan ini harus didedahkan dan profesor terbabit perlu memberikan public lecture berkenaan hasil kajian itu.

Di ITM masa saya menjadi pengarah selama kira-kira 10 tahun, saya buat cara lain iaitu kita tidak tertumpu pada akademik sangat. Kita ada akademik tetapi kita ada profesional. Ini yang kita mustahakkan, lebihkan kepada profesional dan juga perniagaan.

Masa saya dahulu, tidak ada pengajian peringkat sarjana pun, kebanyakan ijazah pun di peringkat sarjana muda, tetapi saya gunakan orang profesional dalam undang-undang, peguam sebagai pensyarah sambilan. Juga pensyarah sambilan dalam kalangan jurutera. Kalau pensyarah dalam kalangan ahli akademik sahaja, impaknya kurang.

SUDAH NASIHAT BANYAK

Apakah nasihat kepada profesor supaya berfikir di luar kotak?
Banyak sudah orang memberi nasihat. Kepada cendekiawan, sasaran yang ditetapkan jangan terhenti begitu sahaja. Kalau boleh pergi terbang ke langit.Tak boleh kata saya sudah gembira, cukuplah kerana sudah menjadi profesor dan mendapat gaji tetap setiap bulan.

Teruskan. Bermacam-macam boleh dilakukan termasuk buat kajian. Bayangkan hasilnya kalau UiTM ada 200 hingga 300 profesor dan seorang buat kajian setahun sekali apa-apa sahaja artikel penyelidikan yang substantif atau berkaitan pembangunan pelajar.

Lihat macam mana saya broke the glass pelajar-pelajar UiTM dulu dengan memperkenalkan perkara-perkara yang baharu. Saya beri budak makan sandwic menggantikan nasi bagi menjimatkan masa pelajar yang terpaksa beratur lama setiap kali waktu makan.

Kita adakan sesi bimbingan dan kaunseling serta jalankan kursus-kursus profesional seperti perakaunan. Saya perkenalkan komunikasi massa, perhotelan dan katering, pengurusan industri perladangan, kursus yang tidak pernah didengar pada waktu itu.

Ini kerana kita berani buat percubaan yang berguna terhadap masyarakat. Akademik senang kalau nak dapat misalnya ijazah sarjana muda dalam perakaunan boleh, sarjana dan doktor falsafah (PhD) perakaunan pun boleh, tetapi kita mesti ingat bila kita nak bekerja kita mesti didedahkan kepada aplikasi industri dan kehidupan sebenar kita. Tetapi ini tidak didedahkan di universiti.

Orang macam Ungku Aziz telah didedahkan kerana pernah berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan, pensyarah dan juga terdedah kepada kegiatan koperasi sehingga ditubuhkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan pemikiran juga diguna untuk mewujudkan Tabung Haji. Cendekiawan kita sekarang kurang dari segi pemikiran, dia nak buat PhD sahaja dan menjadi profesor.

Bagi saya universiti perlu mengambil orang yang tiada gelaran profesor tetapi terlibat dalam bidang profesional untuk menjadi pensyarah sambilan. Kita kena ada gabungan kedua-duanya supaya profesor di universiti terdedah dengan bidang industri.

BIAR ORANG KATA KITA TAMAK

Komen sempena anugerah Tun pada tahun lalu?
Bukan senang untuk dapat anugerah ini kerana mereka yang layak sekurang-kurangnya berjawatan Ketua Setiausaha Negara dan pengerusi organisasi besar. Sumbangan saya itu sahajalah, sebagai Pengarah ITM selama 10 tahun.

Menarik juga untuk disebut, saya orang Johor, dapat anugerah Tan Sri 40 tahun lalu yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan gelaran Tun oleh anakanda baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Apa rahsia Tun kekal sihat dan kuat?
Walaupun umur sudah lebih sembilan dekad, saya masih lagi hendak go forward (pergi ke hadapan), saya masih lagi hendak berniaga. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad buka inap desa saya, (Rebungan Resort) di Langkawi pada 14 Februari tahun lepas.

Bila kita sentiasa nak pergi ke hadapan, ada orang marah, kata kita tamak. Tuhan bagi rezeki tidak cukupkah? Suka hatilah nak kata saya tamak. Masalah kita (orang Melayu) adalah nak pergi ke belakang, satu langkah ke depan dan dua langkah ke belakang.

Kita kena bergerak ke hadapan, mencari jalan macam mana kita nak hidup. Orang Melayu sekarang lebih banyak menerima, menerima dan menerima. Yang tukang beri, kerajaan. Dia tidak tahu kerajaan berhutang banyak. Kita pembayar cukai yang kena membayarnya. Ini kita tidak faham.

Rujukan:

Nizam Yatim. (2021, January 18). Mana pergi ribuan profesor Melayu? Utusan Digital. http://www.utusan.com.my/premium/2021/01/mana-pergi-ribuan-profesor-melayu/

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.