Kekeliruan akan berlaku bagi sesetengah wanita muslimah dalam menentukan tempoh antara darah istihadah dan darah haid. Seterusnya untuk kiraan haid setelah keluar istihadah?

Maksud haid dan istihadah menurut syarak untuk merungkaikan kekeliruan diantara darah haid dan darah istihadah:

Haid dari segi istilah syarak ialah darah tabi’i yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika badannya sihat dalam tempoh tertentu.[ al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1:118 ]

Sementara istihadah menurut syarak ialah darah penyakit wanita yang keluar daripada hujung urat yang berada di bawah rahim yang dikenali sebagai ( العاذل) selepas tempoh sebanyak-banyak haid atau selepas tempoh sebanyak-banyak nifas atau darah keluar berterusan selepas hari kebiasaan haid. [al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1:126] Seterusnya, ciri-ciri istihadah ialah:

  • Keluar darah sebanyak 2 kali yang diselangi oleh tempoh suci yang kurang 15 hari
  • Keluar darah selepas tempoh sebanyak-banyak haid 15 hari
  • Keluar darah kurang daripada 24 jam
  • Keluar darah sebelum umur 9 tahun
  • Keluar darah selepas tempoh 60 hari nifas

Daripada pengertian istihadah serta ciri-cirinya, dapat disimpulkan bahawa istihadah ialah darah yang keluar bukan waktu kebiasaan haid mahupun nifas atau dengan kata lain pada tempoh suci.

Seterusnya, merujuk kepada persoalan kiraan haid seterusnya, kami akan menjelaskan kaedah kiraan tempoh suci. Hal ini bagi mengetahui hari-hari yang menjarakkan diantara satu haid dengan haid seterusnya. Berikut kaedah kiraan suci antara dua haid:

  • Tempoh paling minimum suci ialah 15 hari أقل الطهر)). Ketentuan ini di ukur daripada tempoh tempoh sebanyak -banyak darah haid iaitu 15 hari ( أكثر الحيض). Ini berdasarkan kajian (istiqra’) daripada Imam Syafie.
  • Tempoh suci kebiasaan majoriti wanita adalah 23 hari (الطهر غالب). Ketentuan tempoh suci kebiasaan berdasarkan haid yang yang kebiasaan datang selama 7 hari (غالب الحيض )
  • Tempoh maksimum suci tiada had kerana kadang-kadang ada wanita yang haidnya dalam sebulan hanya sehari semalam sahaja iaitu 24 jam dan ada juga sekali dalam enam bulan.

[Rujuk  Izalatul Iltibas Syarah Tuhfah al-A`izza’ ].

 Kiraan tempoh suci antara dua haid

Sebagai contoh: Wanita (A) mendapati darah haid keluar pada 1-12 ogos iaitu selama 12 hari. Kemudian selepas seminggu, darah keluar pada 19 ogos. Maka darah tersebut adalah darah istihadah. Hal ini kerana darah keluar pada waktu tempoh minimum suci 15 hari selepas haid. Maka, wajib menunaikan solat fardu dengan memakai tuala wanita selepas mencuci alat sulit, kemudian mengambil wudhuk pada setiap fardu tanpa perlu mandi wajib. Namun apabila sudah masuk 29 ogos iaitu sudah tamat waktu sekurang-kurang suci iaitu 15 hari selepas hari terakhir tempoh haid. Maka kitaran haid  sudah dianggap bermula semula sekiranya pada 29 ogos terdapat darah yang keluar. Oleh itu, darah tersebut adalah permulaan kiraaan haid baru. Berikut jadual kiraan bagi situasi wanita (A) tersebut:

Haid pertamaMinimum 15 hari suciHaid kedua
1-12 ogos13-28 ogos29 ogos
Haid selama 12 hariDarah keluar pada 19 ogos adalah istihadahBermula kiraan haid baru sekiranya keluar darah

Bacaan lanjut berkaitan warna darah istihadah boleh baca pada ruangan  Darah Istihadah Mengikut Tamyiz Atau Adat? Selanjutnya baca di sini : http://zeckry.net/2021/01/11/darah-istihadah-mengikut-tamyiz-atau-adat/

Secara konklusinya, kaedah kiraan tempoh suci antara dua haid sangat penting bagi membezakan darah yang keluar dalam tempoh haid mahupun darah istihadah yang keluar pada tempoh suci. Tambahan pula, hukum wanita dalam istihadah (mustahadah) dianggap wanita suci dan boleh melaksanakan ibadah seperti solat, puasa, iktikaf dan membaca al-Quran. 

Rujukan:

Yaqin Bakharudin. (2019, December 11). Tempoh Suci Antara Dua Haid. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3881-al-kafi-1476-tempoh-suci-antara-dua-haid

By Muhammad Soulhiey Zeckry

Perumpamaan bagi permulaan mahabbah seperti seorang lelaki yang menghidu bau kasturi. Sentiasa dia mengikut bau itu sehingga dapat bauan tersebut. Bertambah bauan itu sehingga masuk ke dalam rumah kasturi itu. Apabila sudah masuk ke dalam rumah maka bau itu menyeliputi segala bau sehingga tidak terbau lagi. Demikian penuntut kebenaran, sentiasa hatinya ditarik kepada hadrat. Sentiasa dahaga kpdNya sentiasa mengadap sehingga tenggelam didalam menghadap cahaya. Itu adalah hadratil musyahadah. Maka tenanglah jiwanya, hilang dahaganya dengan terhasil oleh sampai kepada al Habib. Tidak kekal kecuali adab dan ketinggian pada maqomaat PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. PENDIRIAN : Pencinta Keharmonian, Keamanan dan Kesejahteraan Umat Sejagat. Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.