Menurut Mustafa Abdullah (2008), mukjizat secara etimologinya berasal dari kata perbuatan `ajaza yang bermaksud tidak berkemampuan atau sesuatu yang dapat melemahkan musuh apabila dicabar. Al-Quran hanya menggunakan perkataan `ajaza dalam bentuk kata perbuatan dan juga kata nama mu`jizin yang bermaksud orang-orang lemah. Perkataan lain yang digunakan oleh al-Quran bagi menunjukkan mukjizat ialah ayat (tanda), bayyinat (keterangan) dan juga barahin (bukti).

Menurut al-Suyuti, mukjizat adalah perkara luar biasa yang ada hubungannya dengan cabaran dan bebas dari sebarang penentangan. Manakala Muhammad `Ali al-Sabuni pula berpendapat, mukjizat ialah kejadian yang menyalahi adat yang berlaku kepada mereka yang mendakwa dirinya rasul semasa mencabar penentangnya dan mereka gagal untuk mengadakan yang seumpamanya.

Berdasarkan definisi yang dikemukakan mennjelaskan kepada kita bahaw bahawa mukjizat adalah perkara luar biasa yang dianugerahkan oleh Allah SWT hanya kepada rasul-rasul-Nya bertujuan untuk membuktikan kebenaran risalah yang dibawa serta melemahkan mereka yang menentangnya.

Oleh yang demikian, mukjizat-mukjizat para Nabi yang terdahulu adalah berupa mukjizat inderawi yang sesuai dengan masa dan situasi di mana nabi-nabi itu dibangkitkan, seperti mukjizat Nabi Musa AS berupa tangan dan tongkat kerana pada ketika itu berleluasa fenomena sihir. Begitu juga mukjizat Nabi Isa AS menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan penyakit buta dan kusta serta dapat mengetahui hal-hal yang ghaib kerana pada ketika itu ilmu kedoktoran dan pengetahuan begitu subur dan popular.

Berdasarkan kaedah yang sesuai dengan masa dan situasi di mana Nabi itu diutuskan serta kedudukan taraf Nabi itu sendiri, maka datanglah mukjizat kepada Nabi Muhammad SAW. yang lain daripada yang lain iaitu kitab suci al-Quran yang mana Allah SWT sendiri berjanji akan memeliharanya seperti mana firman-Nya yang bermaksud:

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.

    (QS al-Hijr:9)

Maka, dapatlah difahami bahawa al-Quran dengan seluruh aspek kemukjizatannya dari sudut bahasa, sains, hukum (tasyri`) dan berita ghaib tidak akan hilang walau dengan berlalunya masa. Oleh itu, al-Quran mengajak manusia untuk mengikut petunjuk ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Perkara-perkara ini jelas membuktikan kewujudan mukjizat kepada para Nabi dan Rasul untuk menjadi tunggak kekuatan kepada mereka untuk menyebarkan agama Allah SWT.

Walau bagaimanapun, penulisan ini menumpukan kepada surah an-Nur yang mengandungi 64 ayat yang diturunkan di Madinah. Dinamakan “An-Nur” bermaksud “Cahaya” diambil daripada perkataan an-Nur yang terdapat pada ayat 35, melalui mesej tersebut Allah SWT menjelaskan berkaitan Nur Ilahi iaitu al-Quran sebagai petunjuk yang berfungsi sebagai cahaya yang menerangi alam semesta. Surah ini sebahagian besarnya menggambarkan petunjuk Allah SWT yang berhubung dengan kemasyarakatan dan rumah tangga yang mengandungi intipati dengan keimanan seperti keimanan hari akhirat, kewajipan rasul sebagai penyampai dan keimanan merupakan dasar utama agar amal ibadah diredhaiNya. Kemudian, berkaitan dengan syariat Allah SWT tentang hukum-hakam seperti hukuman zina, li`an dan adab-adab pergaulan di luar dan di dalam rumah tangga. Selain itu, kisah-kisah yang dapat diambil pengajaran untuk umat Islam seperti cerita pembohongan terhadap Ummul Mu`minin `Aisyah RA. Disamping, Allah SWT membuktikan kebesaranNya dengan menciptakan makhluknya dan janji Allah kepada muslimin yang beramal soleh.[1]

Justeru, penulisan ini adalah bertujuan menyelidik tentang i`jaz al-Quran berdasarkan surah an-Nur dengan mengeluarkan 10 ayat yang memiliki unsur-unsur i`jaz mengikut aspek-aspek yang terkandung di dalamnya.


[1] Prof.R.H.A Soenarjo S.H. (1971). Al-Quran dan Terjemahnya. Yayasan Penyelenggara Penterjemahan/Pentafsir Al-Quran.hlm : 542

2.0 Pilihan Ayat Dari Surah An-Nur dan Unsur I`jaz

2.1 Surah An-Nur Ayat (2)

ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِي فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٰحِدٖ مِّنۡهُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٖۖ وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِهِمَا رَأۡفَةٞ فِي دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ وَلۡيَشۡهَدۡ عَذَابَهُمَا طَآئِفَةٞ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ٢

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman

2.2 Unsur I`jaz Al-Quran dari aspek Tasyri`i

Ayat tersebut merupakan salah satu ayat hukum bagi kesalahan jenayah dalam Islam. Zina ialah satu perbuatan terkutuk yang mencemarkan maruah dan kehormatan orang yang melakukannya. Dalil al-Quran dengan jelas mengharamkan perbuatan zina, maka bagi yang melanggar maka hukumannya kepada penzina yang bukan muhsan (belum berkahwin) sama ada lelaki atau perempuan akan dihukum dengan sebat 100 kali. Hukuman rotan adalah hukuman hudud yang mana hakim tidak berhak untuk mengurang atau menambah hukuman yang ditetapkan oleh nas al-Quran tersebut.

Melindungi keturunan dari percampuran nasab yang tidak jelas merupakan salah satu tujuan utama syariat Islam. Justeru, Islam mensyariatkan perkahwinan dan kewajipan menutup aurat untuk menghalang kemudaratan zina di kalangan manusia yang boleh menghancurkan kehidupan mereka[1].

2.3 Tafsiran dan Huraian

ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِي فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٰحِدٖ مِّنۡهُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٖۖ

Allah berfirman “penzina perempuan dan penzina lelaki, sebatlah masing-masing dari keduanya seratus kali

Ayat yang mulia ini menetapkan hukuman hudud bagi penzina. Orang yang berzina ada dua keadaan iaitu yang belum berkahwin dan telah berkahwin serta syarat lain orang merdeka, baligh dan berakal. Apabila berzina seorang yang belum berkahwin maka hukumannya disebat seratus kali sebagaimana dijelaskan dalam ayat.

Selain itu, menurut jumhur fuqaha, dibuang daerahnya selama setahun berdasarkan hadis yang berhubung dalam kitab Sahihain dari sahabat Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid Al-Juhani tentang peristiwa dua orang arab Badawi yang datang kepada rasulullah SAW, salah seorang dari mereka berkata, “Sesungguhnya anakku adalah buruh yang bekerja pada orang ini lalu dia berzina dengan isterinya, maka aku diberitahu bahawa anakku hari direjam.

Kemudian aku tebus anakku dengan seratus ekor kambing dan seorang budak wanita. Kemudian aku bertanya kepada ahli ilmu, lalu mereka memberi tahuku bahawa hukuman atas anakku cukup disebat seratus kali dan diasingkan selama setahun, sedangkan isteri orang itu direjam.”

Maka Rasulullah SAW bersabda, “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku memutuskan bagi kalian berdua dengan menggunakan Kitab Allah. Adapun seorang budak dan kambing seharusnya dikembalikan dan untuk anakmu dikenakan hukum sebatan sebanyak seratus kali dan diasingkan selama setahun. Adapun kamu, wahai Unais, esok pagi datangilah isteri orang itu. Jika dia mengaku, maka rejamlah.” Kemudian Unais mendatangi wanita itu dan dia pun mengakuinya. Maka, Rasulullah SAW memerintahkan agar wanita itu direjam.

Hadis tersebut menunjukkan bahawa hukuman bagi pezina yang belum menikah ialah didera seratus kali dan diasingkan dari daerahnya selama satu tahun. Adapun hukuman bagi pezina yang pernah berkahwin ialah direjam.[2]

Oleh itu, penurunan ayat-ayat al-Quran berasaskan peristiwa-peristiwa yang terjadi kepada umat Islam. Perkara tersebut mempunyai dalil-dalil berupa nas-nas al-Quran yang dapat dilihat dalam ayat-ayat Makki dan Madani. Contohnya pengharaman zina sudah diharamkan di Makkah, tetapi hukum hakam yang berkaitan dengannya diturunkan di Madinah. Demikianlah pendekatan yang digunakan oleh Allah SWT dalam menetapkan sesuatu hukum kepada umatnya. Tersusun, berperancangan sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang dialami oleh umat tersebut.

2.3 Ulasan Berkaitan Unsur I`Jaz Ayat

Pada pandangan penulis, apabila membincangkan maqasid syariyyah, maka terdapat salah satunya adalah menjaga keturunan. Ini menjelaskan kepada kita bahawa Islam menjaga kehormatan dan keturunan. Maka, Islam mengharamkan segala tindakan atau perbuatan zina. Malah Islam juga melarang segala perbuatan yang menghampiri zina seperti berdua-duaan antara lelaki dengan perempuan, melarang pandangan yang disertai nafsu syahwat, melarang perempuan berhias secara berlebihan, bercakap perkara-peraka yang berunsurkan seks dan sebagainya. Setiap individu dididik agar menjaga kehormatan dirinya, menjaga kemaluannya, menahan pandangannya, sama ada lelaki atau perempuan.


[1] Azniwati Abdul Aziz, Mohamed Akhiruddin Ibrahim, & Mohd Yakub Mohd Yusoff. (2012). Mengkagumi Syari`at Islam Menerusi Ayat al-Quran: Satu Penilian Dari Sudut Saintifik. Proceedings: The 2nd Annual International Qur’anic Conference 2012, Centre Of Quranic Research( CQR) Kuala Lumpur.hlm: 249

[2] Ibnu Kasir, Tafsirul Qurani’l Azim, Jilid 10, 1421 H/2000 hlm 159-160

3.0 Surah An-Nur Ayat (23)

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَرۡمُونَ ٱلۡمُحۡصَنَٰتِ ٱلۡغَٰفِلَٰتِ ٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ لُعِنُواْ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَلَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ٢٣

Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar;(23)

3.1 Unsur I`Jaz Al-Quran Tasyri`i

Unsur al-I’jaz al-Tasyri’I dalam aspek `Uqubah atau hukuman dalam Islam. Berdasarkan ayat ini, Allah melaknat di dunia dan di akhirat bahkan mendapat azab seksa yang besar bagi mereka yang melontar tuduhan ke atas perempuan suci melakukan zina. Di dalam fiqh jenayah dikenali sebagai kesalahan qazaf. Ayat ini sebagai punca kuasa dalam membincangkan kesalahan qazaf yang ada dihukum dengan hudud dan takzir. Bagi qazaf yang dihukum dengan had ialah menuduh seorang muhsan berzina atau menafikan nasab keturunannya. Manakala qazaf yang dihukum dengan takzir pula iala membuat tuduhan yang selain daripada zina atau penafian nasab seperti menuduh seseorang itu mencuri atau mengumpul harta secara haram dan tuduhan lain. Oleh itu, orang yang membuat tuduhan zina mestilah dengan tujuan jahat. Diab oleh dianggap telah mempunyai niat jahat apabila tidak dapat mengemukakan empat saksi. Maka, perkara asas dalam Fiqh Jenayah Islam, pendakwa mestilah mengemukakan saksi.

3.2 Tafsir Dan Huraian

Ayat tersebut turun disebabkan Riwayat daripada Khasif berkata kepada Sa`id bin Jubair : “Mana yang lebih hebat (dosanya), adakah zina atau qazaf (tuduhan melakukan zina). Ia berkata : “zina”. Aku berkata: Sesungguhnya Allah SWT berfirman :

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَرۡمُونَ ٱلۡمُحۡصَنَٰتِ ٱلۡغَٰفِلَٰتِ ٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ لُعِنُواْ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَلَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ٢٣

Ia berkata, sesungguhnya ayat-ayat ini turun berkenaan dengan Aisyah khususnya[1].

Tuduhan-tuduhan selain zina tidak dianggap qazaf. Ia dianggap jenayah takzir. Oleh itu, fuqaha membahagikan kepada sareh dan kinayah. Tuduhan berzina boleh dibuat dalam apa bahasa, asalkan ungkapan yang disebut jelas membawa maksud zina. Namun, dalam penulisan-penulisan fiqh, fuqaha` menyebut dua bentuk ungkapan tuduhan zina antaranya :

a-Sareh (jelas), tidak mengandungi maksud lain daripada tuduhan zina seperti ungkapan “kamu berzina”

b-Kinayah (sindiran) mengandungi maksud lain selain zina seperti ungkapan A kepada musuhnya B :  “Memanglah ! kamu bukan berzina”, “memanglah! Orang bukan kenal engkau penzina”, “Hai anak haram” atau lain yang seumpamanya. Ungkapan-ungkapan seperti itu boleh bermaksud zina dan boleh bermaksud lain.

Oleh itu, apakah yang dikatakan sindiran yang dikira qazaf? Menurut pandangan Imam SYafie, dikira qazaf sekiranya yang menuduh berniat menuduh zina[2].

3.3 Ulasan Berkaitan Unsur I`Jaz Ayat

Antara kemukjizatan lain al-Quran adalah dari segi syariat dan hukum-hakam. Al-Quran juga banyak membicarakan berkaitan hukum dalam menegakkan syariat Islam. Semua perkara ini disebut di dalam al-Quran kerana ia adalah untuk kesejahteraan umat manusia. Hukum-hakam ini hanya perlu diamalkan sahaja oleh manusia seperti mana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW dengan mengamalkan syariat Allah SWT menjadi makmur dan harmoni di samping mencapai kemajuan yang seimbang antara rohani dan material. Itulah buktinya mukjizat isi kandungan al-Quran yang membawa manusia ke arah kesejahteraan dan keharmonian hidup agar menjauhi segala bentuk tuduhan jahat ke atas seseorang yang boleh mengakibatkan kekacauan dan tidak bermoral. 

  • Surah An-Nur Ayat (35)

۞ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٖ فِيهَا مِصۡبَاحٌۖ ٱلۡمِصۡبَاحُ فِي زُجَاجَةٍۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوۡكَبٞ دُرِّيّٞ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٖ مُّبَٰرَكَةٖ زَيۡتُونَةٖ لَّا شَرۡقِيَّةٖ وَلَا غَرۡبِيَّةٖ يَكَادُ زَيۡتُهَا يُضِيٓءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارٞۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٖۚ يَهۡدِي ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُۚ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَٰلَ لِلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٞ٣٥

Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu

4.1 Unsur I`Jaz Al-Quran Dari Aspek Lughawi

Ayat-ayat al-Quran juga mengandungi unsur-unsur keindahan bahasa yang boleh menarik pendengaran manusia supaya lebih berkesan kepada jiwa. Antaranya seperti penggunaan tasybih, tamthil, isti`arah dan i`jaz. Dalam penggunaan tasybih misalnya, al-Quran menjelaskan perkara-perkara abstrak dengan gambaran yang dapat dilihat dan dirasa. Ia berunsurkan unsur-unsur alam tabi`i yang mana dapat memberi kesan kepada pendengar kerana ia dapat melihat unsur-unsur itu secara dekat, contohnya perumpamaan pada ayat:

ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٖ فِيهَا مِصۡبَاحٌۖ

Penggunaan tasybih yang dinyatakan dengan huruf tasybih ( (مَثَلُ dan huruf ( (ك pengulangan huruf tasybih sebagai[3] تقرير حال النشبة   . Oleh itu, perbandingan tersebut mempunyai matlamat tertentu yang dapat disimpulkan sebagai menegaskan keadaan musyabbah untuk menguatkan lagi perbandingan dengan perkara yang dapat ditanggapi oleh pancaindera.

4.2 Tafsiran Dan Huraian

Menurut Ibnu Qayyim, Nur adalah cahaya zat Allah SWT dan sifatNya,ayatNya dan hukumNya dan ini bukan makhluk. Maka cahaya yang disandarkan padanya untuk menyatakan wujud sesuatu kerana An-Nur juga salah satu daripada Asma` Al-husna. Cuma bagi makhluk hanya dapat menerangkan dan menceritakan perkara yang dapat ditangkap oleh pancaindera yang dipanggi حسىseperti cahaya matahari, bulan, bintang dan pelita atau lampu seperti dalam ayat lain di sebut :

وَجَعَلَ ٱلۡقَمَرَ فِيهِنَّ نُورٗا وَجَعَلَ ٱلشَّمۡسَ سِرَاجٗا١٦

“Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang) (16) dan

Firman Allah :

هُوَ ٱلَّذِي جَعَلَ ٱلشَّمۡسَ ضِيَآءٗ وَٱلۡقَمَرَ نُورٗا

Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, 5)

Oleh itu, pada ayat tersebut adalah secara maknawi hanya Allah SWT yang mencampakkan cahaya itu ke dalam hati orang untuk beriman kepadaNya sebagaimana yang di firmankan[4] : مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٖ فِيهَا مِصۡبَاحٌۖ

Namun, Allah adalah cahaya langit dan bumi) perumpamaan gaya bahasa Al-Quran, dan penentuan ajaran dan prinsip Islam, melalui perumpamaan. Perumpamaan ini mencapai kemuncaknya dalam ayat yang mulia ini, yang menggambarkan cahaya Tuhan yang merangkumi semua makhluk dan alam, dengan ini orang yang berfikir akan hampir terpukau di hadapan kreativitiNya yang luar biasa. Dialah yang memberi cahaya ke alam ini dan Dia jualah yang memberi cahaya hidayah untuk menjadikan kita menerima kebenaran yang dibawa oleh ajaran Rasulullah SAW melalui pengetahuan dan kesedaran. Dengan demikian, pengetahuan kita tentang Allah SWT yang dimiliki sekarang adalah dengan sebab cahayaNya menembusi hati dengan iman dan kita mengenali sesuatu adalah dengan ilmuNya atau cahayaNya, tanpa cahayaNya jua kita dapat mengenal sesuatu, itulah yang dikatakan ada makna secara hissi dan maknawi.

4.3 Ulasan Berkaitan Unsur I`Jaz Ayat

Gaya bahasa salah satu unsur perbandingan yang dikenali zaman berzaman, kebanyakan bahasa-bahasa dunia menggunakan unsur perbandingan yang sudah sebati dalam kehidupan mereka dan penggunaannya bergantung kepada kekuatan bahasa itu sendiri dan ketinggian kesenian.

Di zaman jahiliah, bangsa arab terkenal dengan penyair atau sastera dan pemidato yang hebat untuk mengangkat kelebihan dan kehebatan kabilah-kabilah mereka seperti mengadakan pertandingan di pasar al-`ukaz pada masa itu.. Bangsa arab terkenal menggunakan tasybih (perumpamaan) sebagai satu unsur persamaan yang ingin menjelaskan sesuatu makna dengan membandingkannya kepada persekitaran kehidupan bangsa arab, ketinggian budaya dan kepetahan ungkapan mereka. Justeru, kemasyuran bangsa arab itu sendiri dalam kesusasteraan apabila Islam datang, maka tidak dapat ditandingi kesusasteraan al-Quran yang diberikan mukjizat kepada Rasulullah SAW, maka al-Quran menggunakan ketinggian bahasa sastera dalam kalangan bangsa mereka sebagai salah satu bukti keagungan al-Quran sebagai kitab suci sekaligus untuk membenarkan Muhammad SAW merupakan utusan Allah SWT.

Oleh itu, perbandingan itu untuk menegaskan kepada kita bahawa sumber segala cahaya adalah dari Allah SWT sebagai sumber di atas segala sesuatu sehingga kita dapat mengetahui sesuatu dan mendapat kesedaran untuk beriman kepadaNya itulah keistimewaan yang bernama insan berbanding dengan haiwan lain yang tidak dapat mengetahui dan tidak mendapat kesedaran.

  • Surah An-Nur Ayat (39)

وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَعۡمَٰلُهُمۡ كَسَرَابِۢ بِقِيعَةٖ يَحۡسَبُهُ ٱلظَّمۡ‍َٔانُ مَآءً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَهُۥ لَمۡ يَجِدۡهُ شَيۡ‍ٔٗا

Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) (39)

5.1 Unsur I`jaz Yang Terdapat Dalam Ayat

Bentuk tasybih dalam ilmu balaghah biasa diertikan sebagai ungkapan yang memperlihatkan bahawa sesuatu itu sama dengan sesuatu yang lain dalam satu atau beberapa sifat [5].

Dalam tasybih perkataan pertama di sebut وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَعۡمَٰلُهُمۡ (musyabbah) dibandingkan dengan perkara kedua iaitu كَسَرَابِۢ بِقِيعَةٖ يَحۡسَبُهُ (musyabbah bih) dan ciri persamaannya ٱلظَّمۡ‍َٔانُ مَآءً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَهُۥ لَمۡ يَجِدۡهُ شَيۡ‍ٔٗا . Partikel tasybih ialah huruf kaf iaitu perkataan seperti.

5.2 Tafsiran Dan Huraian

Allah SWT menyebutkan permisalan untuk orang-orang kafir, iaitu permisalan keyakinan amalan berasal dari ilmu mereka walhal hanya fatamorgana yang berada di tanah rata yang terlihat oleh mata yang memandangnya sebagai air tetapi apabila didekati tiada[6].

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menerangkan tindakan pemujaan orang-orang kafir, agar dapat menjelaskannya, Allah SWT menyamakan sifat amalan mereka dengan sifat fatamorgana. Oleh itu, dengan corak tersebut, Allah menjelaskan sesuatu yang konseptual dengan kehidupan sebenar agar lebih difahami sekaligus dapat merasai bahawa al-Quran itu mesti difahami, difikirkan dan dihayati sehingga merasai nikmat apabila dibaca dan dipelajari.

5.3 Ulasan Berkaitan Unsur I`Jaz Ayat

Oleh itu, amalan-amalan yang bukan kerana Allah SWT dan tidak berlandaskan kepada keredhaannya. Si pelaku menyangkanya amalannya bermanfaat baginya, padahal tidak demikian di sisi Allah SWT. Amalan inilah yang disebut oleh Allah SWT pada dua pembandingan untuk satu golongan yang ingkar kepada Allah SWT.

Perbandingan sesuatu dengan lain yang mempunyai ciri yang sama dengan menggunakan perkataan tertentu dinamakan tasybih.

6.0 Surah An-Nur Ayat (63)

لَّا تَجۡعَلُواْ دُعَآءَ ٱلرَّسُولِ بَيۡنَكُمۡ كَدُعَآءِ بَعۡضِكُم بَعۡضٗاۚ قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنكُمۡ لِوَاذٗاۚ فَلۡيَحۡذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنۡ أَمۡرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمۡ فِتۡنَةٌ أَوۡ يُصِيبَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ٦٣

Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri ke luar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya

6.1 Unsur I`jaz Al-Quran dari aspek Lughawi

Dalam ayat tersebut menggunakan kalimah  لَّا تَجۡعَلُواْ   .kebiasaannya ayat larangan di dalam al-Quran terus menggunakan kalimat larangan sahaja seperti (وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَوۡلَـٰدَكُمۡ, (وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ), (وَلَا تَقۡرَبُواْ مَالَ ٱلۡيَتِيمِ).

Ayat-ayat ini kebanyakannya perkara batil yang memang dimaklumi umum secara adat  dan kemanusiaan bahawa ia adalah perbuatan salah.

Manakala dalam ayat di atas digunakan   لَّا تَجۡعَلُواْ دُعَآءَ ٱلرَّسُولِ بَيۡنَكُمۡ .

(لَّا) lam nahiyah iaitu larangan dan  دُعَآء disandarkan kepada orang yang kena panggil (mudhaf ila maf`ul), bermakna jangan kamu semua menjadikan panggilan kamu dan rasul di antara kamu dengan panggilannya seperti di antara kamu كَدُعَآءِ بَعۡضِكُم بَعۡضٗاۚ dengan memanggil seperti Wahai Muhammad atau Wahai Muhammad bin Abdullah atau Wahai Aba Al-Qasim dan seumpamanya sebagaimana kamu memanggil seseorang dalam kalangan kamu seperti wahai si fulan bin fulan. Bahkan sepatutnya memanggil dengan sifat kenabian dan kerasulan dengan mengatakan : Wahai Nabi Allah, Ya Rasulullah dengan merendahkan nada suara.[7]

6.2 Tafsiran Dan Huraian

Menurut Ibnu Abbas RA, para sahabat biasa memanggil Nabi Muhammad SAW dengan panggilan: “Wahai Muhammad, Wahai Abu Al-Qasim, maka Allah menegah meraka daripada demikian agar menghormati dan mengagungkan bagi nabi-Nya dengan memanggil Ya Nabi Allah, Ya Rasulullah. Maka turunlah ayat :[8]

لَّا تَجۡعَلُواْ دُعَآءَ ٱلرَّسُولِ بَيۡنَكُمۡ

Sebagaimana kita mengetahui, perbuatan yang salah terdapat banyak buku-buku orientalis dan barat dengan memadai dengan menulis perkataan (Muhammad) dan menggunakan ringkasan seperti huruf simbol ص  atau صلعم  bagi menggantikan kalimah[9] :صلى الله عليه وسلم

Ulama berpendapat, haram memanggil Nabi seperti memanggil atau menyapa orang biasa. Jika seseorang itu berbuat demikian dalam keadaan mengetahui dan melakukannya kerana seolah-olah mengejek.[10]

6.3 Ulasan Berkaitan Unsur I`Jaz Ayat

Unsur lughawi bersifat larangan ini bagi mendidik umat Nabi Muhammad SAW agar beradab dan berakhlak apabila memanggil seseorang yang dimuliakan oleh Allah SWT. Maka dalam hal ini, janganlah sesekali menyebut nama atau panggilan Baginda seperti orang biasa seperti berkata Muhammad dan seumpamanya. Begitu juga, apabila menyebut nama para sahabat atau alim `ulama dalam ceramah-ceramah agama sekadar menyebut, berkata Umar, berkatalah Uthman dan sebagainya. Persoalannya adakah mereka setaraf dengan para sahabat ? tentunya tidak kerana punca dan sebab hidayah itu datang dari mereka jua.

7.0 Kesimpulan

            Tuntasnya, perbincangan ini membuka ruang kepada kita menyelidiki dan memahami kemukjizatan al-Quran yang dikemukakan terdapat padanya unsur lughawi,tasyri`i,tarbiyyah Quraniyyah,al-ghibi dan `ilmi.

Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang kaya dengan ciri-ciri i`jaz. Bentuk-bentuk kemukjizatan yang terdapat pada al-Quran dalam pelbagai aspek adalah bukti kukuh tentang hakikat al-Quran sebagai kalam Allah SWT. Kemukjizatan al-Quran boleh dilihat dari aspek bahasa, sains dan syariat atau hukum. Al-Quran adalah kitab hidayah yang mengemukakan pelbagai asas dalam pelbagai disiplin ilmu untuk panduan umat sejagat.

Dalam tasyri`i yang merupakan hukum-hakam di dalam al-Quran telah diturunkan kepada Rasulullah SAW  yang diberikan kuasa untuk menyatakan hukum-hukum tersebut kepada manusia yang merangkumi hukum-hukum yang tetap, ayat-ayat yang mujmal diterangkan, ayat-ayat yang mutlaq ditaqyidkan, ayat-ayat yang umum telah dikhususkan, ayat-ayat yang dinasakhkan telah diterangkan penasakhnya.


[1] At-Tabrani dalam al-Mu`jam al-Kabur, Bab : Dhikr Azwaj Rasulullah, 23/151, hadis no.19180

[2] Dr Alias Othman (2001), Fiqh Jinayah. Selangor.OUM hlm.20

[3] Dr Abdul Wahid Salleh (2016), Ilmu Balaghah Lengkap.Selangor Darul Ehsan,Darul Syakir Enterprise.hlm:247

[4] Dr.Sulaiman Ibrahim.(2005).Insyirah As-Sudur Fi Tadabbur Surah An-Nur.Riyadh: Maktabah Al-Malek Fahad Al-Wataniyyah An-Nasyr.hlm :358

[5] Syahri Ramadhan, S. psi M.s.i. (2014). Belajar Psikologi Pendidikan Islam: Mukjizat al-Quran. https://raudlatulmuhibbin.blogspot.com/2014/05/mukjizat-al-quran.html

[6] Op.cit. Dr.Sulaiman Ibrahim.(2005) hlm :250

[7] Dr.Sulaiman Ibrahim.(2005).Insyirah As-Sudur Fi Tadabbur Surah An-Nur.Riyadh: Maktabah Al-Malek Fahad Al-Wataniyyah An-Nasyr.hlm :358

[8] ibid

[9] ibid

[10] Abu Baqir Ad-Dusuqi. (2009) Panduan Fardhu Ain Lengkap.Kelantan: Pustaka Al Baqir hlm:48

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.