Sebelum ini, anak tidak sah taraf dikenali sebagai “Anak Zina”. Kemudian sebutan itu dilunakkan sedikit menjadi “Anak Luar Nikah”. Kemudian terus dilunakkan lagi sampai disebut sebagai “Anak Tak Sah Taraf” (ATST). Apa pun juga mereka adalah golongan yang sama. Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terdapat 234,674 anak tidak sah taraf didaftarkan yang menunjukkan peningkatan dalam tempoh 2006 hingga 2010 atau 34.5 peratus adalah bayi yang ibu kandungnya beragama Islam.[1]

Secara biologinya, C adalah anak kepada A yang menyebabkan dia lahir ke dunia melalui ibunya B. Tetapi hakikat biologi ini tidak diiktiraf oleh masyarakat awam. Bagi seorang doktor, bila ditanya C anak siapa? dia akan menjawab, pastinya ia anak A. Sebaliknya, bagi masyarakat umum, ia bukan anak A tetapi anak tanpa bapa. Kerana ia lahir di luar tradisi masyarakat, iaitu pernikahan.

Bagi mereka, antara anak dan bapa perlu ada suatu jenis hubungan sosial yang khusus namanya dalam perkahwinan antara seorang lelaki yang menyebabkan anak itu lahir dan seorang wanita yang melahirkan anak itu. Maksudnya, antara anak dan ayah perlu ada hubungan budaya, iaitu perkahwinan antara ibu dan ayah. Soal biologi tidak berbangkit. Kerana itulah dalam konsep mereka, anak berkenaan bukanlah anak kepada bapa biologi itu tetapi sebaliknya anak tanpa bapa.

Dalam masyarakat beragama, seperti di Malaysia sekarang budaya biasanya berasaskan kepercayaan agama. Maksudnya segala yang berkait dengan hal berkenaan perlu berasaskan kepada ketentuan agama. Bagi agama, khususnya agama Islam hubungan antara lelaki dan wanita berkenaan perlu dimeterai dengan ikatan keagamaan. Tanpa ikatan seperti itu anak yang dilahirkan dianggap anak zina yang tidak mempunyai apa-apa kaitan yang boleh dihormati dengan bapa biologinya.

Undang-undang merupakan satu lagi pihak yang berkepentingan dalam masalah berkenaan. Oleh kerana biasanya undang-undang itu merupakan pernyataan daripada kehendak masyarakat, ia akan membuat ketentuan berdasarkan kehendak masyarakat umum, atau biasa juga disebut sebagai kehendak umum masyarakat berkenaan.

Oleh kerana masyarakat umum menghendaki mana-mana kelahiran yang sah perlu berdasarkan ikatan perkahwinan yang sah antara lelaki dan perempuan yang terlibat dalam melahirkan anak berkenaan, maka undang-undang juga menentukan begitu.

Sehubungan dengan persoalan anak yang lahir sebagai hasil daripada perhubungan antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan ini undang-undang telah menentukan, ia dari segi undang-undang tidak diiktiraf sebagai anak yang sah.

Selain itu undang-undang juga telah meletakkan prosedur tertentu yang kadang-kala boleh menafikan kehendak budaya dan agama. Dengan mengambil kira kedudukan ini, perkahwinan yang dimaksudkan oleh budaya dan agama itu perlu selaras dengan kehendak yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Satu perkahwinan yang tidak didaftarkan di bawah undang-undang berkenaan dianggap tidak sah dari segi undang-undang, meskipun sebaliknya dari segi agama dan budaya. Implikasinya, anak yang lahir dari perkahwinan seperti itu walaupun sah dari segi agama dan budaya, iaitu bukan anak zina atau anak luar nikah, namun ia tetap merupakan anak tak sah taraf dari segi undang-undang.

Semua persoalan ini berkait dengan hubungan antara anak berkenaan dengan bapa biologinya. Adapun antara dia dengan perempuan yang melahirkannya persoalan seperti ini tidak timbul. Asalkan sahaja secara biologinya anak itu adalah anaknya, masyarakat dan agama akan megiktiraf hubungan itu.

Perempuan itu tetap ibu kepada anak berkenaan walaupun dia telah melahirkan anak itu tanpa melalui perkahwinan yang sah dari segi budaya, agama mahupun dari segi undang-undang.[2]

Seterusnya….


[1] Johari Ibrahim, “Anak Tak Sah Taraf Cecah 234,647,” Berita Harian (Kuala Lumpur, Malaysia, 2011), h.14.

[2] Paizah Ismail, “Anak Tak Sah Taraf Dari Perspektif Syariah Dan Perundangan Islam Di Malaysia,” Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, no. 10, Jurnal Fiqh (2013): h.78.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.