Penulis cuba bincangakan cabaran dalaman antaranya :

i-         Cabaran Aqidah Islam

Di negara kita, antara cabaran utama kepada Islam dan umatnya di negara ini ialah cabaran berkaitan akidah. Perdebatan inilah yang menjadikan punca dalam masing-masing aliran pemikiran dalam menegakkan yang haq (kebenaran) dengan metode yang disesuai dengan masyarakat awam bagi menghapuskan doktrin-doktrin atau pengaruh yang terdapat dalam agama terdahulu sebelum Islam datang ke alam Melayu sebelum kurun ke-15.

Walau bagaimanapun, cabaran dalam aqidah terdapat apabila fahaman kebebasan dalam menentukan atau memilih akidah bagi orang-orang Islam ini ialah, setiap individu atau kumpulan akan mempunyai kebebasan menentukan doktrin kepercayaan mereka serta juga masih menamakan atau menggelar diri mereka sebagai Muslim tanpa menghiraukan kriteria-kriteria akidah Islam sebenar. Ini bukan sahaja memberikan kebebasan terbuka dan liberal, tetapi juga akan menyebabkan kekeliruan akidah dan seterusnya akan menghakis dan merosakkan akidah umat Islam. 

Kerosakan akidah adalah sebesar-besar cabaran kepada umat Islam kerana akidah merupakan sumber atau perkara pokok yang menjadi pasak kepada segala ajaran dan perintah atau syariat Islam. Sekiranya keputusan fatwa atau keputusan pihak berautoriti agama berkaitan akidah ini dipersoal maka itulah juga petanda kepada kemusnahan bukan sahaja akidah, bahkan juga kepada syariah dan syiar Islam – total failure or collapse of Islam.

ii-        Cabaran Ilmu dan Pendidikan

Kelebihan insan memiliki pengetahuan dan kesedaran merupakan darjat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kerana hanya insan saja yang dapat menerima hukum dan perintah. Ilmu pengetahuan yang menjadikan kita orang boleh mengetahui kerana tiada yang mengetahui selain Allah SWT. Maka, insan dilebihkan dengan ilmu pengetahuan sehingga sesorang itu mengetahui dan dapat memahami dan mengerti sehingga dapat membezakan sesuatu sama ada haq atau batil, wangi atau busuk, kiri atau kanan. Maka dengan pengetahuan yang dimiliki oleh insan, mereka boleh melakukan pilihan dengan akal yang normal.

Rentetan itu, Islam merupakan agama yang amat menitikberatkan ilmu. Ayat pertama yang diwahyukan oleh Allah SWT mengisyaratkan pentingnya ilmu:

Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang maha pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.” (al- `Alaq: 1-5)

Insan pertama, Nabi Adam AS. dilengkapi ilmu oleh Allah sebagai prasyarat untuk mentadbirkan alam, dengan dianugerahi nama segala kejadian yang ada (beserta sifat, kualiti dan kegunaan setiap benda dan kejadian itu) (al-Baqarah: 31).

Ilmu jualah yang membezakan mutu dan nilai seseorang manusia daripada manusia yang lain:

Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.” (al-Zumar: 9).

Bahkan, martabat ketaqwaan seseorang kepada Allah SWT ditentukan oleh taraf ilmunya:

Sesungguhnya orang yang paling taqwa (paling takut kepada Allah) ialah kalangan hambanya yang berilmu.” (Fathur: 28).

Oleh itu, Islam meletakkan hubungan tiga unsur yang tidak diasingkan untuk menjamin kelangsungan tamadun umatnya, iaitu panduan antara Islam, iman dan ilmu. Islam tanpa iman menyebabkan wujudnya umat Islam pada nama, sebahagiannya atas dasar keturunan. Maka, fenomena ini malangnya berlaku dan dapat disaksikan di beberapa banyak bahagian dunia). Salah punca terjadinya hal itu ialah ialah ketiadaan atau kekurangan ilmu dalam kalangan masyarakat berkenaan sehingga sebahagiannya disebabkan penjajahan yang demikian lama oleh kuasa yang sama anti agama atau anti agama Islam).

Demikian pula, iman tanpa ilmu dengan mudah menyebabkan berlakunya kesesatan, kerana ilmu ialah imam (pembimbing) kepada iman. Ketiadaan atau kekurangan, atau kekeliruan ilmu yang benar mendatangkan pelbagai musibah kepada umat Islam, baik dalam amalan beragama mahupun dalam kehidupan sehari-hari.

Secara ringkasnya, Islam menekankan pentingnya umatnya menguasai ilmu. Penekanan akan penguasaan sesuatu ilmu adalah untuk mengenal Allah sebagai pencipta sekalian kejadian dan segala yang berkaitan dengannya (yang dikenal sebagai Rukun Iman), untuk mengetahui dan mengamalkan syariat Islam (segala yang terangkum dalam Rukun Islam) dan segala aspek lain kehidupan yang menyeluruh seperti muamalat, munakahat, jinayat, siasah, akhlak dan yang lain.

Selain itu, tuntutan Islam kepada umatnya agar menguasai ilmu berkaitan rapat dengan keperluan mereka memenuhi amanah manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, dan kemudian untuk menjadi pemimpin umat manusia seluruhnya. Tanpa ilmu, tidak mungkin manusia, khususnya umat Islam dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah:

Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” (al-Zariyat: 56).

iii-       Cabaran Pemikiran

Pemikiran Islam masih dianggap baru yang bermaksud gagasan, idea dan fikiran. Dalam perspektif Islam sebagai rangsangan intelektual kepada persoalan-persoalan manusia, alam, Tuhan dan kehidupan yang timbul daripada pertembungan Islam dengan kebudayaan dan peradaban asing atau rangsangan terhadap permasahan dalaman umat Islam yang diperluaskan dengan pengertian “Falsafah Islam”. Ia dilihat sebagai usaha mempertahankan akidah. pada suatu tempoh masa dalam Sejarah Pemikiran Islam.

Pemikiran Islam mengandungi falsafah Islam dan juga apa yang disebut sebagai istilah “Pemikiran Agama”. Ia merangkumi respons terhadap cabaran luaran dan dalaman tanpa dihadkan kepada tempoh tertentu. Ertinya, ia meliputi tindak balas terhadap pemikiran atau falsafah Greek, Farsi, Hindu atau juga falsafah Sekularisme, Sosialisme, Marxisme malah Athiesme. Begitu juga yang berupa respons terhadap kelemahan dalaman yang lahir akibat perbezaan mazhab dan aiiran, samada dalam Politik, Akidah, Fiqh atau Tasawuf.

Dari segi sejarah, pemikiran Islam muncul dan berkembang apabila iman umat Islam sudah lemah oleh sebab kesibukan duniawi di mana respons timbul untuk menserasikan semula kegiatan mereka dengan agama Islam yang menjadi akidah, syariah dan akhlak. Fenomena ini dikira bermula pada suku akhir abad 1H. yang dicatat sebagai bermulanya pemikiran Islam dengan munculnya beberapa aliran pemahaman di dalam bidang akidah, fiqh, tasawuf, falsafah, tafsir al-Quran dan meluasnya jurang di antara Syiah dan Sunni (Mohd Kamil Ab Majid, 2017).

Justeru, golongan yang berfikir dan dapat memartabatkan kegemilangan Islam serta keharmonian umat Islam di Malaysia. Ahli sosiologi, Charles Horton Cooley menulis pada tahun 1902, “saya bukan apa yang saya fikir. Saya juga, bukan apa yang anda fikir. Saya adalah apa yang saya fikir, anda akan fikir tentang saya.”

Setiap manusia yang lahir ke dunia, telah ditetapkan pakej kehidupannya secara keseluruhan. Jantina, bangsa, agama dan sebagainya. Maka ilmu jualah yang mengiringi dan menghidupkan insan tadi secara berperingkat samada melalui pembelajaran atau secara semulajadi. 

Secara berperingkat, ilmu yang terkandung di dalam kehidupannya akan berkembang selari dengan kepesatan akalnya. Dan akhirnya, di antara setiap insan itu, akan kelihatan segala perbezaan tentang pemahaman ilmu dari waras akalnya, walaupun hanya sekecil zarah. Tidak akan ada yang sama secara mutlak.

Mengapa ini terjadi? mengapa kita saling berbalah dalam keilmuan terutama hal berkaitan bid`ah, tuduhan kafir atau tuduhan orang lain salah dan menghukum sesuatu yang haram atas kepentingan tertentu. Saling menidakkan apa yang berlainan dari kefahaman sendiri dan menerima hanya pada yang diingini sahaja. Ini menjelaskan kepada saya, perselisihan boleh berlaku apabila nilai pengetahuan dan kefahaman serta pengalaman perguruan yang berbeza. Hakikatnya, setiap ilmu itu bersumberkan dari Yang Maha Esa.

Jadi, siapakah yang dikatakan berilmu dan dimanakah kebenaran ilmu ?  Maka, tiada prejudis untuk semua ilmu kerana jumlah pengetahuan yang berbeza, nilai rezeki yang tidak sama, jarak langkah yang tidak selari atau perbezaan bulan dan matahari sekadar hadir bagi memperlihatkan pewarnaan penceritaan keindahan Tuhan.

Selanjutnya

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.