Salah satu hasil kajian yang dilakukan ke atas matan atau teks hadith adalah, Nabi tidak bercakap dengan sahabat ataupun yang bukan sahabat dengan menyebut nama badan orang itu, kecuali dalam konteks yang amat spesifik.
Nama badan adalah nama peribadi. Nama badan Nabi adalah Muhammad bin Abdullah.

Sahabat-sahabat Nabi pun apabila mereka bercakap dengan Nabi mereka tidak menyebut nama badan Nabi.
Dalam buku-buku panduan komunikasi interpersonal tulisan pakar-pakar Amerika, apabila kita bercakap dengan seseorang kita disuruh ingat nama badan orang itu dan sebut nama itu.


Dalam teori komunikasi interpersonal gaya Amerika, dikatakan manusia amat suka mendengar namanya disebut oleh orang-orang lain.

Ada buku yang memberi panduan supaya apabila kita berbual-bual dengan seseorang, sekurang-kurangnya sebut nama orang itu sebanyak tiga kali. Contohnya:
“Hello, John.”
“How are you, John?”
“Nice to meet you again, John.”
“Thank you, John.”

Dalam teori Amerika, dikatakan nama kita adalah bunyi yang paling merdu pada pendengaran telinga kita.
Jadi, supaya orang cepat menyukai diri kita, sebut nama orang itu apabila kita bercakap dengannya. Begitulah dalam teori komunikasi interpersonal Amerika.

Banyak jurulatih komunikasi di negara kita mengajarkan panduan-panduan yang terdapat dalam buku-buku komunikasi interpersonal tulisan pakar-pakar Amerika itu.


Perlu diingat, tiap-tiap masyarakat mempunyai nilai-nilai dan amalan budayanya sendiri. Sesuatu amalan yang dianggap betul dan baik dalam satu masyarakat mungkin dianggap salah dan dicela dalam masyarakat lain.
Ambil kes sistem panggilan dalam budaya Amerika yang amat berbeza dengan sistem panggilan dalam budaya-budaya Asia.

Sebagai contoh dalam budaya Melayu, ada peraturan yang amat ketat bagi menyebut nama orang yang bercakap dengan kita.

Andainya kita langgar peraturan ketat itu kita dianggap biadab, malah kurang ajar.
Dalam budaya Melayu, kita bukan sebut nama badan orang itu melainkan kita sebut:
i. Pangkat orang itu
ii. Nama jawatan orang itu
iii. Gelaran mulia orang itu

Bagi telinga orang-orang Melayu, apabila dirinya disapa dengan menggunakan nama jawatannya dan nama gelaran mulianya, bunyinya amat merdu pada pendengarannya.


Dalam matan hadith, apabila sahabat-sahabat Nabi bercakap kepada Nabi mereka sapa beliau dengan menyebut ‘Rasulullah’, bukan ‘Muhammad’. (Baca catatan sebelum ini di pautan : http://zeckry.net/2020/12/02/muliakan-rasulullah-s-a-w/


Sebagai contoh, sahabat Nabi berkata, “Wahai Rasulullah‚Ķ.” bukan “Wahai Muhammad‚Ķ.”
Dalam konteks sistem panggilan, perkataan ‘Rasulullah’ itu adalah nama jawatan Nabi.

Sumber :

Ainon Mohd. (2021). Puan Ainon Mohd | Facebook. https://www.facebook.com/ainonmohdrasmi

By Muhammad Soulhiey Zeckry

Merupakan seorang pengkaji, penulis dan pendakwah yang sentiasa mencari cahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.