Umumnya, harta adalah sesuatu yang subjek kepada pemilikan dalam Islam. Harta adalah subjek kepada kontrak muamalat seperti jual beli, sewaan, syarikat, wasiat, waqaf, pelaburan dan sebagainya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2016), harta adalah barangan berharga seperti rumah, tanah, bangunan, barang kemas dan saham yang dimiliki oleh individu, syarikat atau Pertubuhan. Dalam bahasa Arab, harta dikenali sebagai al-mal iaitu pemilikan oleh seseorang individu atau komuniti manusia seperti barangan berharga, barang perniagaan, aset tetap, wang atau haiwan.

Maka, fuqaha Islam mendefinisikan harta dengan pelbagai tafsiran seperti menurut pandangan Ibn Abidin, fuqaha mazhab Hanafi mentafsirkan harta sebagai sesuatu yang manusia berhajat kepadanya secara fitrah dan ia mestilah sesuatu yang boleh disimpan untuk kegunaan apabila keadaan diperlukan. Manakala Imam Syafie berpendapat, harta seabgai sesuatu yang berharga dan hendaklah diganti atau dibayar gantirugi sekiranya berlaku korasakan atau kemusnahan terhadapnya (Mustafa `Afifi Ab Halim, 2020).

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa, harta adalah hak milik seseorang atau kumpulan yang berfaedah kepada manusia dan sesama manusia, sama ada dalam bentuk benda (`ain) atau manfaat seperti kenderaan, bangunan, pakaian, saham dan sebagainya. Maka, harta dalam konteks ini secara umumnya merujuk kepada benda atau barangan yang bernilai atau berharga dan kehilangan barang tersebut akan menyebabkan kerugian kepada pemiliknya.

Berdasarkan senario tersebut, penulis ingin mengupas aplikasi menurut kaedah qawaid fiqhiyyah iaitu “Jika bercampur antara halal dengan haram, dikira sebagai haram”. Kaedah menjelaskan kepada kita, apabila berkumpul atau bercampur antara yang halal dengan yang haram, maka ia dikira haram. Sebagai contoh, apabila berhimpun sesuatu perkara yang mempunyai dua dalil, di mana salah satu dalil tersebut adalah hukum haram dan dalil yang lainnya menunjukkan hukum harus, maka hendaklah diutamakan yang haram.

Pengkategorian sesuatu urusan muamalat harta akan melibatkan pada sudut halal dan haram. Apabila Allah SWT melarang secara mutlak, maka Syariah menghukumkan sebagai sesuatu yang haram dan tidak harus dilakukan dalam aktiviti muamalah seperti larangan menimbunkan harta tanpa dilabur atau diusahakan, tidak boleh memakan atau menghasilkan harta dengan jalan yang batil, larangan mengusahakan harta yang membahayakan peribadi, umum atau menjatuhkan kemuliaan masyarakat dan larangan terlibat riba, rasuah, penipuan dan penyelewengan. Isyarat tersebut memberi gambaran kepada kita bahawa, penglibatan secara langusn dalam sesuatu kegiatan yang haram dianggap sebagai terbabit dalam perkara kejahatan dan pelanggaran yang ditegah ditetapkan oleh Allah SWT firmanNya:

dan janganlah kamu bantu membantu (menyokong) pada melakukan perkara dosa (maksiat) dan pencerobohan.

                                                                                                                              (al-Maidah : 2)

Firman Allah SWT:

Dan Janganlah kamu cenderung kepada orang yang bertindak kepada kezaliman, maka (jika kamu berbuat sedemikian), api neraka akan membakar kamu.

                                                                                                                                    (Hud: 113)

Maka, apabila kita melihat kepada pengharaman arak, ia bukan saja melibatkan peminumnya, bahkan segala aktiviti yang menyokong dan membantu pada penghasilan, pengedaran dan penjualannya juga adalah haram. Sepertimana dijelaskan dalam hadis, apabila Rasulullah SAW telah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak. seperti hadis daripada Anas bin Malik sabda Nabi S.A.W:

قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً عَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَآكِلَ ثَمَنِهَا وَالْمُشْتَرِيَ لَهَا وَالْمُشْتَرَاةَ لَهُ ‏

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah,yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya.

              (Hadis Jami’ at-Tirmidhi: 1295)

Berdasarkan dalil tersebut, menjelaskan kepada kita, apabila sesuatu sumber asal adalah diharamkan oleh syara` maka, secara langsung ia membawa kepada sesuatu yang haram atas dasar kita menyokong dalam perkara-perkara yang menjatuhkan kemuliaan seseorang dan memelihara agama dan memelihara keturunan dan akal manusia yang berfitrah yang suci yang tidak boleh dihimpunkan sesuatu yang suci dengan sesuatu yang kotor kerana menghasilkan kekotoran. Ini kerana berdasarkan pandangan mazhab Imam Syafie dalam kitab fiqh manhaji `ala Imam Syafie: 3/78 bahawa arak serta minuman yang memabukkan merupakan najis berdasarkan kepada ayat 90 daripada surah al-Maidah pada perkataan رِجْسٌ memberi makna dari segi bahasa: kotor atau najis. (Muhammad Fathi Noordin, 2019)

Rentetan itu, urusan muamalat harta sebagaimana menurut Zaharudin Muhammad (2010), mengatakan bahawa ulama kontemporari bersepakat bahawa institusi kewangan Islam dilarang menyediakan perkhidmatan atau kemudahan kepada sesuatu urusan yang haram. Syarikat yang menjalankan aktiviti tidak diharuskan syarak atau terlibat dalam urusan transaksi yang haram juga tidak dibenarkan membuka akaun-akaun kewangan Islam seperti akaun semasa (current account) atau akaun deposit (deposit account).

Situasi tersebut menjelaskan bahawa sekiranya institusi kewangan Islam membenarkan pembukaan akaun bagi aktiviti yang tidak diharuskan syarak, maka institusi tersebut boleh dianggap bersubahat atau terlibat dalam aktiviti haram tersebut.

Harta haram ada yang dianggap sebagai milik kepada pengusaha haram atau sebaliknya. Harta yang haram yang tidak dimiliki bukan menjadi perbahasan kajian ini kerana ulama bersepakat tentang kewajipan memulangkan harta tersebut kepada pemilik asal.

Berbalik kepada kaedah fiqhiyyah dalam hal ini iaitu :

إذا اجتَمَع الحلالُ والحرامُ غُلِّبَ الحرام

Maksudnya : “Apabila bercampur yang halal dan haram, maka dikira yang haram” kerana berasaskan ulama merumuskan kepada sumber asal kaedah yang keluar daripada hadis seperti :

إذا اجتَمَع الحلالُ والحرامُ غُلِّبَ الحرام

Tidaklah berhimpun yang halal dan haram, melainkan dimenangkan yang haram terhadap yang halal.

                                                                                         (Hasyiah At-Thohawi 1:100)

Sabda Nabi SAW:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya : “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.”

                         [Riwayat Bukhari (52) dan Muslim (20)]

Justeru, Islam menitikberatkan kesucian fitrah manusia agar tidak mencampuri sesuatu yang haram (kotor dan keji) kepada sesuatu yang suci sehingga Nabi SAW membawa nilai akhlak yang berkualiti kepada manusia agar menjauhi urusan muamalat yang melibatkan harta bersumberkan yang haram. Nabi SAW mengajar umatnya menjauhi perkara syubhat sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis;

الْحَلاَلُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَ ذَلِكَ أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَدْرِي كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ أَمِنَ الْحَلاَلِ هِيَ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ فَمَنْ تَرَكَهَا اسْتِبْرَاءً لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: Halal itu jelas dan haram itu jelas. Diantara keduanya (halal dan haram) terdapat sesuatu yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang ramai. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.

(Hadis riwayat Tirmizi, No.1205)

Meskipun perkara yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas melalui nas-nas al-Quran dan Sunnah, akan tetapi di antara dua perkara tersebut  terletaknya perkara syubhah atau kesamaran yang menjadi keraguan status sama ada ia adalah haram atau halal. Hadis tersebut memberi petunjuk kepada muslim untuk menjauhi perkara-perkara syubhah kerana dikhuatiri akan terjebak ke dalam perkara-perkara yang haram sekaligus meemelihara agama,nyawa, akal, harta dan keturunan untuk mencapai tujuan pensyariatan dalam Islam.

Seterusnya kita akan bersambung….Apakah Peranan Kaedah “Jika Bercampur Antara Halal Dan Haram, Dikira Sebagai Haram” Sewaktu Mengendalikan Pelaburan Yang Bercampur Aduk.

Jika Bercampur Antara Halal Dan Haram

By Muhammad Soulhiey Zeckry

Merupakan seorang pengkaji, penulis dan pendakwah yang sentiasa mencari cahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.