Peranan Kaedah “Jika Bercampur Antara Halal Dan Haram, Dikira Sebagai Haram” Sewaktu Mengendalikan Pelaburan Yang Bercampur Aduk

Berdasarkan kaedah “Jika Bercampur Antara Halal Dan Haram, Dikira Sebagai Haram” pada pandangan penulis terdapat tiga peranan yang mesti dimainkan dalam mengendalikan pelaburan yang bercampur aduk antara yang halal dan haram iaitu :

i-Pengasingan pelaburan yang halal dan haram

Menurut al-Qaradawi dalam kitab Fatawa Mu`asirah memutuskan bahawa hasil wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram secara yakin mesti ditinggalkan begitu sahaja. Maka, tidak harus seseorang menggunakan wang faedah tersebut kerana tindakan kita mengambil faedah tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi dengan jalan kezaliman.

Oleh yang demikian, pengasingan hasil pelaburan yang bercampur aduk ini tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan sebagainya. Berdasarkan pandangan tersebut, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik maslahah umum seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya yang bersifat kebajikan.

Justeru melakukan pengasingan adalah tindakan yang wajar kerana sekiranya wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan, misalnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama mesti melakukan pemurniannya ketika mengendalikan pelaburan yang bercampur aduk.

Menurut kaedah fiqh yang dibincangkan, “apabila berkumpul perkara yang halal dengan perkara yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram.” Berdasarkan kaedah tersebut dan pandangan al-Qaradawi dapat kita memahami, apabila perkara yang halal dan yang haram bercampur aduk dalam sesuatu perkara itu, maka ia dianggap sebagai haram.

Namun, dalam konteks ini, apa yang jelas adalah sesuatu yang halal tersebut (wang pokok) boleh digunakan manakala yang haram itu (faedah) hendaklah dilupuskan dengan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.

Namun sekiranya nilai yang halal dan haram itu tidak dapat dipastikan, maka kaedah berijtihad nilai (al-ihtiyath) boleh digunakan bagi menentukan pembahagian yang betul antara kedua-duanya. Dengan tersebut, perkara yang halal dapat disingkirkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya (Majlis Agama Islam Selangor, 2021).

ii-Memastikan kewujudan Penasihat Syariah dalam pelaburan

Setelah sistem kewangan Islam mula mendapat tempat di dalam negara ini, mejadi sebagaian keperluan untuk mempunyai Penasihat Syariah dalam sesuatu organisasi bagi memantau dan menyelaraskan hal ehwal syariah mengenai operasi keseluruhan yang dijalankan oleh sesebuah organisasi pelaburan bagi mengelakkan percampuran suatu yang halal dan haram semasa mengendalikan pelaburan. Penasihat syariah berfungsi sebagai pakar dalam bidang bidang syariah agar tidak berlaku pelaburan yang menyanggahi syariah iaitu memastikan perniagaan yang dijalankan patuh syariah.

Oleh itu, apabila sesuatu syarikat yang menawarkan pelaburan, tanpa pengawasan dan penyeliaan mereka yang pakar dalam bidang syariah, kecenderungan sesuatu perniagaan atau pelaburan itu untuk bercanggah dengan syariah adalah tinggi.

Dalam konteks kaedah ‘Jika Bercampur Antara Halal Dan Haram, Dikira Sebagai Haram” ia sebagai petunjuk kepada umat Islam dalam menentukan keabsahan pelaburan agar percampuran halal dan haram dapat diatasi pada peringkat awal dengan sebaiknya dalam memartabatkan maqasid syariah dan sistem kewangan Islam. Misalnya, Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan di bawa Akta Bank Pusat 1958 turut bertanggungjawab memberi khidmat nasihat kepada bank-bank komersial yang menawarkan perkhidmatan perbankan Islam mengenai aspek-aspek syariah di dalam operasi institusi-institusi berkenaan termasukkan produk dan perkhidmatan mereka (Abdul Aziz Ismail, 2018).

Ini menjelaskan kepada kita, penerimaan masyarakat Islam di Malaysia pada masa kini terhadap ekonomi berteraskan syariah Islamiah dipedulikan oleh umat Islam agar tidak berlaku percampuran aduk yang dapat disahkan melalui Penasihat Syariah yang bertindak sebagai Perunding Syariah. Maka, kaedah fiqhiyyah tersebut dijadikan sebagai petunjuk utama dalam memastikan tidak berlaku percampuran harta halal dan haram. Prinsip-prinsip utama pelaburan Islam yang diamalkan di Malaysia adalah bersandarkan kepada syariah Islam bagi memastikan bahawa setiap pelaburan yang dijalankan tidak bertentangan dengan hukum syarak sekaligus menghapuskan keraguan atas tawaran pelaburan yang akan disertai oleh umat Islam.

iii-Memartabatkan sistem pelaburan patuh syariah

Secara umumnya, pelaburan merupakan aktiviti meletakkan wang dalam sesuatu dengan mengharapkan keuntungan. Apabila diperhalusi, pelaburan adalah komitmen dengan melaburkan wang (modal) untuk membeli instrument kewangan atau aset lain untuk mendapatkan keuntungan berbentuk pulangan atau kenaikan dalam nilai instrument. Pada masa kini, pelaburan berbentuk pembelian bon (sukuk), FOREX (Tukaran Mata Wang Asing, REITs (Amanah Pelaburan Hartanah), ETF (Dana Dagangan Bursa), pembelian emas fizikal atau akaun emas dan sebagainya telah menarik ramai orang untuk menyertainya. Walaupun terdapat elemen risiko yang mustahil untuk dihapuskan dalam kehidupan, tetapi ia boleh dikawal selia atau dikurangkan (Abdul Aziz Ismail, 2018) .

Maka, pemahaman kaedah fiqhiyyah “Jika Bercampur Antara Halal Dan Haram, Dikira Sebagai Haram” telah memartabatkan prinsip sistem pelaburan yang selari dengan kaedah syariah agar tercapai maqasid syariah yang telah dibincangkan oleh ulama kontemporari untuk memandu kehidupan umat Islam yang selamat daripada memakan harta secara batil. Maka, kaedah tersebut memandu umat Islam yang terlibat dalam pelaburan pada masa kita agar dapat memahami konsep dan produk secara menyeluruh yang menuntut untuk tidak bertentangan dengan pelaburan yang mempunyai unsur sama ada riba, perjudian dan penipuan, kesamaran, percampuran halal dan haram. Walaupun dalam kaedah ini terdapat pengecualian jika kita bebalik kepada kaedah

اَلأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الِإبَاحَة

Maksudnya: Asal bagi setiap sesuatu adalah harus

Justeru, tiada yang haram melainkan jika terdapatnya nas yang sahih dan jelas daripada syariat yang menetapkan pengharamannya. Jika tidak ada nas yang sahih, umpamanya ada sesetengah hadis yang dhaif, iaitu lemah ataupun tidak jelas dalam dalil tentang pengharamannya, maka tinggallah perkara itu seperti asalnya, iaitu Mubah (mengharuskan). Contohnya seperti Wang negara yang diperoleh dari sumber yang pelbagai kemudian dibayar gaji kepada para pekerja halal. Begitu juga, bercampur duit rasuah dengan duit gaji tidak ingat jumlah yang mana halal dan yang mana haram, hendaklah diasingkan yang haram dengan yang halal. Ulama Islam menetapkan dasarnya bahawa semua barangan dan kemanfaatan ialah Mubah, iaitu membolehkan, berdasarkan ayat-ayat al-Quran al-Karim yang jelas.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam al-Halal wa al-Haram berkata: “Mustahil bagi Allah SWT untuk menciptakan semua barangan ini untuk memudahkan manusia serta dikurniakan-Nya buat mereka semua ini. Kemudian, diharamkan-Nya kepada manusia dari semua barangan itu dengan tetap menjadikannya haram pula kepada mereka. Jika demikian, apa hikmahnya ianya diciptakan untuk manusia menikmatinya? Tentulah ianya bertentangan sama sekali .

Tetapi sebenarnya, Allah SWT hanya mengharamkan sebahagian dari barangan itu, dengan adanya sebab dan hikmah disebaliknya. Dengan itu juga, lingkungan pengharaman dalam syariat Islam itu sangat sempit. Malah lingkungan penghalalannya pula sangat luas. Ini kerana nas-nas yang sahih lagi jelas membawa tentang hukum pengharaman itu sangat sedikit. Di samping itu, mana yang tidak ada nas dari hal penghalalannya atau pengharamannya, maka dihukumkan tetap di atas hukum asalnya, iaitu mubah (dibolehkan) atau dikategorikan dalam lingkungan yang dimaafkan oleh Allah SWT.

Justeru, perbincangan kaedah apabila berlaku percampuran halal dan haram, maka yang haram memenanginya sebagai salah simbol untuk umat Islam memperkasakan pelaburan sentiasa diteliti dan mematuhi garis panduan berasaskan syariah Islamiah.

Bersambung :

Pandangan Fuqaha: Pendekatan Pengendalikan Harta Yang Haram

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

One thought on “Jika Bercampur Antara Halal Dan Haram”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.