Pengkategorian sesuatu urusan muamalat harta akan melibatkan pada sudut halal dan haram, Apabila Allah SWT melarang secara mutlak, maka syariah menghukumkan sebagai sesuatu yang haram dan tidak harus dilakukan dalam aktiviti muamalat seperti larangan menimbunkan harta tanpa dilabur atau diusahakan, tidak boleh memakan atau menghasilkan harta dengan jalan yang batil, larangan mengusahakan harta yang membahayakan peribadi, umum atau menjatuhkan kemuliaan masyarakat dan larangan terlibat dalam riba, rasuah dan penyelewengan.

Muamalat bermaksud perhubungan secara aktif sesama manusia dalam urusan berkaitan harta. Muamalat patuh syariah pula bermaksud kegiatan ekonomi dan pengurusan harta yang selaras atau tidak bercanggah dengan hukum Islam. Setiap hari kita menjalankan pelbagai kegiatan muamalat melibatkan jual beli, berhutang, bekerja untuk mendapat gaji, menyimpan, melabukan wang dan pelbagai kegiatan lagi bagi memenuhi keperluan hidup.

Konsep halal dan haram dalam Islam adalah untuk menjaga kemaslahatan umat Islam daripada kemudaratan dari sudut rohani dan jasmani. Perkara yang halal dan haram telah disebut dengan jelas dalam al-Quran dan juga al- Sunnah, samada daripada sumber makanan, sumber pendapatan, peralatan dan bahan keperluan. Rasulullah SAW memberi peringatan dalam sabdanya, “Akan datang suatu zaman nanti dimana seseorang nanti sudah tidak lagi mempeduli apa-apa (pendapatan) yang diperolehinya, sama ada dari sumber halal atau haram”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Rentetan itu, urusan muamalat harta sebagaimana menurut Zaharudin Muhammad (2010), mengatakan bahawa ulama kontemporari bersepakat bahawa institusi kewangan Islam dilarang menyediakan perkhidmatan atau kemudahan kepada sesuatu urusan yang haram. Syarikat yang menjalankan aktiviti tidak diharuskan syarak atau terlibat dalam urusan transaksi yang haram juga tidak dibenarkan membuka akaun kewangan Islam seperti akaun semasa atau akaun deposit. Situasi tersebut menjelaskan bahawa sekiranya institusi kewangan Islam membenarkan pembukaan akaun bagi aktiviti yang tidak diharuskan syarak, maka institusi tersebut boleh dianggap bersubahat atau terlibat dalam aktiviti haram tersebut.

Berbalik kepada kaedah fiqhiyyah, maksudnya “Apabila bercampur yang halal dan haram, maka dikira yang haram, kerana berasaskan ulama merumuskan kepada sumber asal kaedah yang keluar daripada hadis seperti: “tidaklah berhimpun yang halal dan haram melainkan dimenangkan yang haram terhadap yang halal”. Misalnya harta yang diperoleh dengan cara mencuri, maka ia wajib dipulangkan semula kepada pemilik asal. Jika pemilik asal tidak ditemui, maka perlu diserahkan kepada warisnya. Jika warisnya juga tidak ditemui, maka harta tersebut wajib disedekahkan.

Bermuamalat dengan harta yang sumbernya haram mempunyai khilaf yang luas di kalangan fuqaha dari sudut kesahan pemilikannya, penggunaan hasil dan sama ada harta tersebut boleh dimiliki ataupun tidak setelah seseorang itu bertaubat. Harta haram yang dimiliki oleh pengusaha pekerjaan yang haram seperti pekerjaan berasaskan arak dan zina berbeza hukumnya dengan sumber haram dimiliki melalui pekerjaan merompak, menyamun dan mencuri.

Bagi harta yang dimilik menerusi sumber pekerjaan yang haram seperti bekerja di kilang arak atau berzina, ia merupakan milik pelaku pekerjaan tersebut. Imam Ibnu Taimiyyah mengistilahkan harta yang haram yang menjadi milik kepada pengusahanya (pekerja) dengan mengistilahkan sebagai:

                                وصاحبه قد رضي بإخراجه عن ملكه بذلك.

Terjemahan: Pemilik asal duit haram telah meredhai (wangnya) tidak lagi dimiliki dengan sebab transaksi yang haram.

Selain itu, contohnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama, maka bahagian yang haram itu menjadi milik awam dan yang halal pula sah untuk dimiliki. Tetapi sekiranya wang yang halal dan wang yang haram bercampur dan tidak dapat dibezakan, maka dalam konteks ini dihukumkan wang yang haram itu mestilah lebih banyak nilainya daripada yang halal. Adapun pembahagian nilai halal dan haram itu hendaklah dilakukan dengan cara ijtihad. Dengan cara ini, kedua-dua wang yang halal dan haram dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya walaupun telah berlaku campur aduk antara keduanya. Hukum ini diambil berdasarkan kaedah Fiqh yang menyebutkan maksudnya : Apabila berkumpul perkara yang halal dengan perkara yang haram maka tidak dapat diasingkan dilebihkan yang haram.

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.