________________________________________________

BAYAN LINNAS SIRI KE-117 : HINDARI BAHAYA ARAK

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ yang dirancang diadakan pada 6 dan 7 Oktober depan di Publika, Kuala Lumpur. Ia telah menimbulkan pelbagai pandangan dan ulasan daripada pihak yang menyokong dan membantah. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pula mengambil langkah dengan mengharamkan penganjuran pesta arak ini.

Kami melihat, isu ini perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak berwajib. Oleh itu, kami nyatakan dalam Bayan Linnas kali ini satu penjelasan berhubung arak di sisi Islam dengan tajuk Hindari Bahaya Arak. Kami juga mengambil maklum bahawa arak juga dilarang dalam agama-agama lain di Malaysia. Maka, sewajarnya hal ini diambil cakna oleh seluruh rakyat Malaysia.

Semoga Bayan Linnas kali ini memberi pencerahan yang tuntas akan mudaratnya arak kepada kehidupan peribadi dan juga masyarakat.

Kedudukan Arak dalam Syariat Islam

Dalam Fiqh al-Manhaji (3/75-81), para penulis menjelaskan kedudukan arak dalam Islam.

Haram meminum minuman yang memabukkan sama ada arak (خمر), iaitu yang dibuat daripada perahan anggur atau bukan arak, iaitu yang dibuat daripada benda lain.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Maidah: 90)

Arahan supaya menjauhi arak adalah lebih kuat daripada tegahan meminumnya. Hal ini kerana tegahan sahaja tidak termasuk tegahan lain yang berkaitan dengannya, seperti melayan seseorang minum, membeli atau menjualnya.

Sementara, arahan menjauhinya pula bermaksud, amaran supaya menjauhi segala perkara yang berkaitan dengan arak, termasuk minum dan sebagainya.

Setiap Perkara yang Memabukkan Adalah Haram

Ayat al-Quran terdahulu mengharamkan arak yang dibuat daripada anggur sahaja, tetapi pengharaman tersebut termasuklah semua benda yang memabukkan.

Ini berdasarkan hadith daripada Nabi SAW:

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Semua yang memabukkan adalah haram.”
Riwayat Bukhari (5263) dan Muslim (2001)

Hadith ini menjelaskan maksud arak, iaitu semua perkara yang memabukkan. Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram.

Menurut ijma’ ulama’, pengharaman arak adalah kerana ia memabukkan. Oleh itu, pengharaman tersebut mestilah sama atas semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya.

Ini berdasarkan hadith daripada Abu Malik bin al-Asy’ari RA, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِى الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya manusia di kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain.”
Riwayat Abu Daud (3688) dan Ibn Majah (4020)

Pengertian Mabuk

Maksud mabuk ialah pemikiran terlalu kacau, yang menghalang fungsi akal kerana tidak dapat mengawal dengan bijak dan sepatutnya. Maksud memabukkan pula ialah sesuatu yang diminum itu biasanya menyebabkan seseorang mabuk tanpa mengira kadarnya. Oleh itu, tidak harus sama sekali mengambil sesuatu yang pasti memabukkan peminumnya sama ada kadar yang diminum itu sampai had yang memabukkan ataupun tidak, dan sama ada peminum itu mabuk ataupun tidak.

Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

Maksudnya: “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.”
Riwayat Abu Daud (368), al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)

Hadith seterusnya daripada Aisyah R.Anha, katanya, sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ مَا أَسْكَرَ الْفَرَقُ مِنْهُ فَمِلْءُ الْكَفِّ مِنْهُ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq (فرق) boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram.”
Riwayat al-Tirmizi (1867) dan Abu Daud (2687)

Minuman yang Memabukkan Adalah Najis

Menurut Mazhab al-Syafie, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT (yang bermaksud):

“Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji).”
(Surah al-Maidah: 90)

Perkataan rijsun dengan makna kotor dan najis.

Hikmah Pengharaman Minuman yang Memabukkan

Allah SWT mengurniakan nikmat yang berbagai-bagai kepada manusia dan yang paling utama ialah nikmat akal yang membezakan manusia, bahkan memuliakannya berbanding dengan makhluk yang lain.

Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal.

Semua minuman yang memabukkan merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan di kalangan orang Islam, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang.

Lebih dahsyat lagi, kesan minum arak menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
(Surah al-Maidah: 91)

Begitu juga hadith daripada Rasulullah SAW:

اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ

Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.”
Riwayat al-Hakim (4/145)

Begitu juga, hadith daripada Uthman RA secara mauquf:

اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِثِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.”
Riwayat al-Nasaie (8/315)

Itulah sebahagian hikmah pengharaman arak dan semua jenis makanan atau minuman yang memabukkan.

Hukuman Peminum Arak

Selepas diterangkan maksud memabukkan dan diketahui hukum perkara yang memabukkan. Begitu juga, dalil dan hikmah. Maka di sini, diterangkan hukum berkaitan meminum perkara yang memabukkan. Peminum arak akan menghadapi dua hukuman yang berikut:

Pertama: Hukuman dari sudut perundangan dilaksanakan di dunia, iaitu hukuman hudud.

Kedua: Hukuman dari sudut agama yang dilaksanakan pada hari Kiamat.

Dari sudut agama, hukumnya berdosa. Perlaksanaannya terserah kepada Allah terhadap hamba-Nya yang sedikit pun tiada kaitan dengan undang-undang dunia. Walau bagaimanapun, ulama’ sepakat menyatakan bahawa meminum minuman yang memabukkan dengan sengaja adalah berdosa besar.

Pada hari Kiamat, balasannya amat dahsyat selagi tidak mendapat pengampunan dan kemaafan daripada Allah SWT:

Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA , sabda Nabi SAW:

إِنَّ عَلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ عَهْدًا لِمَنْ يَشْرَبُ الْمُسْكِرَ أَنْ يَسْقِيَهُ مِنْ طِينَةِ الْخَبَالِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا طِينَةُ الْخَبَالِ؟ قَالَ: عَرَقُ أَهْلِ النَّارِ أَوْ عُصَارَةُ أَهْلِ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan (طينة الخبال). Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?” Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka.”
Riwayat Muslim (2002)

Hukuman Had bagi Peminum Arak

Hukuman peminum minuman yang memabukkan sama ada arak atau yang lainnya adalah dengan sebatan 40 kali dengan syarat-syarat yang akan dijelaskan. Pemerintah harus menjalankan hukuman tersebut hingga 80 kali sebatan sebagai tambahan dengan hukum ta’zir (تعزير). Ini berdasarkan hadith daripada Anas RA:

كَانَ يَضْرِبُ فِى الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ أَرْبَعِينَ

Maksudnya: “Nabi SAW menyebat peminum arak sebanyak 40 kali sebatan dengan pelepah tamar dan selipar.”
Riwayat Muslim (1706)

Hadith yang lain, daripada Anas RA:

أَنَّ نَبِىَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَلَدَ فِى الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ ثُمَّ جَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ. فَلَمَّا كَانَ عُمَرُ وَدَنَا النَّاسُ مِنَ الرِّيفِ وَالْقُرَى قَالَ: مَا تَرَوْنَ فِى جَلْدِ الْخَمْرِ؟ فَقَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ: أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا كَأَخَفِّ الْحُدُودِ. قَالَ: فَجَلَدَ عُمَرُ ثَمَانِين

Maksudnya: “Nabi SAW menyebat peminum arak dengan pelepah tamar dan selipar sebanyak 40 kali. Abu Bakar juga pernah menyebat 40 kali. Pada zaman Umar RA, ramai orang dari pedalaman dan kampung datang ke Madinah, lalu Umar bertanya kepada para sahabat, katanya: “Apakah pendapat kamu tentang hukuman sebat atas peminum arak?” Jawab Abdul Rahman bin ‘Auf: “Aku fikir, kamu menjalankan hukum hudud yang paling ringan.” Abdul Rahman berkata: “Selepas itu, Umar RA menghukum 80 kali sebatan.”
Riwayat Muslim (4551)

Tindakan Umar tersebut menunjukkan bahawa sebatan yang melebihi 40 kali adalah ta’zir dan bukan hudud.

Ini berdasarkan hadith daripada Uthman RA:

فَاجْلِدْهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ جَعْفَرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا. وَعَلِىٌّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَعُدُّ حَتَّى بَلَغَ أَرْبَعِينَ فَقَالَ أَمْسِكْ. ثُمَّ قَالَ جَلَدَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعِينَ وَجَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ وَعُمَرُ ثَمَانِينَ وَكُلٌّ سُنَّةٌ وَهَذَا أَحَبُّ إِلَى

Maksudnya: “Uthman RA memerintahkan al-Walid bin Uqbah bin Abu Muait disebat, lalu dilakukan oleh Abdullah bin Ja’far RA, manakala Ali RA pula mengiranya. Apabila sampai 40 kali sebatan, Ali memberitahu Abdullah supaya berhenti, seraya berkata: “Nabi SAW menyebat 40 kali, begitu juga Abu Bakar, akan tetapi, Umar RA menyebat 80 kali. Semuanya adalah sunnah. Namun, hukuman ini yang lebih aku suka.”
Riwayat Muslim (1707)

Maksud Ali ialah hukuman 40 kali sebatan sudah memadai kerana kadar itulah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Kadar ini lebih selamat dalam pelaksanaan hukum daripada menambahnya yang ditakuti berlaku zalim. Ulama’ fiqh menyatakan bahawa hukuman 40 kali sebatan daripada Rasulullah SAW ialah hukuman asas. Adapun tindakan Umar RA menyebat 80 kali, Ali menjelaskannya seperti berikut:

نَرَى أَنْ تَجْلِدَهُ ثَمَانِينَ فَإِنَّهُ إِذَا شَرِبَ سَكِرَ وَإِذَا سَكِرَ هَذَى وَإِذَا هَذَى افْتَرَى

Maksudnya: “Kami berpendapat, engkau menghukum 80 kali sebatan adalah kerana apabila seseorang minum arak dia mabuk, ketika mabuk dia merepek, seterusnya berbohong.”
Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (1541)

Hukuman berbohong menuduh orang lain berzina ialah 80 kali sebatan. Justeru, hukuman minum arak yang melebihi 40 kali sebatan, sebagaimana yang dilaksanakan oleh Umar RA adalah sebagai ta’zir. Menurut Mazhab al-Syafie, hukuman yang lebih baik setakat 40 kali sebatan sahaja kerana itulah yang datang daripada Rasulullah SAW.

Ditegah melaksanakan hukuman sebat ketika peminum arak sedang mabuk. Hal ini adalah kerana hukuman yang dijalankan ketika itu tidak mencapai tujuan pencegahan. Oleh itu, pelaksanaannya hendaklah ditangguhkan sehingga dia pulih supaya terhasil pencegahan mengambil arak semula.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Dalam isu ini, hendaklah dilihat antara dua kondisi ini;

Jika agama-agama selain Islam mengizinkannya, maka ia termasuk dalam kebebasan beragama dan kami tidak ada masalah dengannya.
Mengadakan pesta arak secara terbuka adalah tidak ada kewajarannya dari sudut pendirian yang matang kerana mempromosikan arak itu sendiri adalah satu hal yang tidak bermanfaat.
Kami mengambil kesempatan untuk menasihat seluruh rakyat Malaysia untuk menghindarkan diri daripada hanyut dengan arak. Arak telah terbukti menjadi ibu bagi segala kerosakan masyarakat, perpecahan dan keruntuhan rumahtangga. Malah di dalam Islam, perbuatan meminum arak adalah satu maksiat yang wajib ditinggalkan.

Di United Kingdom (UK), angka rasmi jenayah akibat meminum alkohol adalah 45-46 % kejadian jenayah, 39 % keganasan rumah tangga dan hampir 1 juta serangan ganas berlaku pada 2007 hingga 2008 berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk. Ia jelas menunjukkan bahawa meminum arak bukanlah budaya yang baik dan sihat.

Semoga Malaysia terus maju ke hadapan dan meninggalkan budaya-budaya yang tidak bermanfaat kepada bangsa dan negara. Kami berpandangan, alangkah baiknya masyarakat Malaysia lebih meraikan pesta yang menyemarakkan semangat perpaduan sesama kita seperti pesta makanan dan minuman bangsa-bangsa di Malaysia. Ia juga lebih signifikan dan sesuai dengan masyarakat Malaysia yang tinggi dengan adab ketimuran.

Akhukum fillah

___________________________________________

AL-KAFI #415 : WAS-WAS KENTUT DALAM SOLAT

 26 OKTOBER 2016  JUMLAH PAPARAN: 141872

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 415 (26 OKTOBER 2016 M / 25 MUHARRAM 1438 H)

SOALAN:

Assalamualaikum. Bagaimana kentut yang tidak berbunyi?
Terima kasih, Admin. Keadaan yang saya alami adalah sama seperti keadaan perut berbunyi ketika lapar. Di mana, bunyi itu di kawasan punggung tetapi saya tidak merasa apa-apa sentuhan di lubang dubur tempat angin keluar. Kejadian ini berlaku ketika saya tengah nak menahan kentut.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Berkenaan perkara ini, terdapat hadis riwayat Abbad bin Tamim bahawa seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW tentang dirinya yang diganggu khayalan bahawa ada sesuatu (yakni, hadas seperti kentut) di dalam solatnya. Maka jawab baginda:

لاَ يَنْفَتِلْ – أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ – حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا
Maksudnya: Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.

Hadis riwayat Imam Bukhari (137)

Justeru, kalau tiada bau dan bunyi, dan lebih kepada was-was semata-mata, boleh dikira bahawa itu hanyalah pergerakan otot dubur semata-mata. Kadang-kadang kerana ada angin yang terperangkap di celah punggung tetapi bahagian luar. Itu bukan kentut. Kadang-kadang juga dirasai gas di bahagian hujung dalam dubur itu naik ke usus, membuatkan ada rasa sensasi di bahagian hujung. Itu juga bukan kentut.

Maka yang penting dalam isu ini ialah keyakinan bahawa memang ada hadas yang keluar, lalu membatalkan wuduk dan solat. Jika tiada maka kekallah hukum asal bahawa seseorang itu masih dalam keadaan suci.

Wallahua’lam.

_____________

Saya nak tanya adakah sah solat saya sekiranya saya memberi salam ke sebelah kanan dua kali kerana saya ingin memperbetulkan bacaan salam sebelah kanan saya yang pertama. Lalu, selepas membetulkan salam sebelah kanan, saya memberi salam sebelah kiri. Adakah sah solat saya?

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibadah solat merupakan satu ibadah yang telah ditetapkan waktu permulaan dan perakhirannya, firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu kewajipan ke atas orang-orang yang beriman yang telah ditetapkan waktunya”

(Surah an-Nisa’: 103)

Kepentingan ibadah solat dapat dilihat bilamana Nabi Muhammad SAW bersabda :

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ

Maksudnya : “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah berjihad.” [Riwayat al-Tirmizi (2616) dan Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]

Rukun-rukun solat :

Solat yang sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Rukun adalah bahagian yang asas bagi sesuatu perkara. Contohnya dinding bagi sesebuah bilik. Oleh itu bahagian-bahagian solat adalah rukun-rukunnya. Solat tidak akan sempurna dan tidak sah kecuali dengan menyempurnakan kesemua bahagiannya mengikut cara dan susun atur yang datang daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diterimanya daripada Jibril AS. Semua rukun solat dapat kita rumuskan kepada 13 perkara. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (1/141)]

Rukun-rukun ini juga boleh kita pecahkan kepada 4 bahagian iaitu :

  1. Rukun Qauliyyah : Ianya ada 5 iaitu takbiratul ihram, bacaan surah al-Fatihah, bacaan tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi SAW serta ke atas keluarga baginda, dan memberi salam.
  2. Rukun Fi’liyyah : Ianya ada 6 iaitu berdiri, ruku’, I’tidal, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk tasyahhud akhir.
  3. Rukun Ma’nawiyyah : Hanya ada satu iaitu tertib.
  4. Rukun Qalbiyyah : Hanya ada satu iaitu niat.

[Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah, m/s : 208-209]

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, memberi salam yang pertama adalah termasuk di dalam rukun solat kategori qauliyyah. Ianya dinamakan sebagai qauliyyah kerana disyaratkan kepada orang yang solat bagi melafazkan sebutannya yang didengari dirinya sendiri. [Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah, m/s : 208]

Memberi salam yang pertama adalah wajib berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW :

مِفتاحُ الصَّلاةِ الطُّهورُ، وتحريمُها التَّكبيرُ، وتحليلُها التَّسليمُ

Maksudnya : “Kunci solat itu adalah bersuci, ihramnya adalah takbir dan yang menghalalkannya adalah salam”[HR al-Tirmizi (238) dan al-Albani menilainya sebagai sahih]

Imam Nawawi mengulas hadis di atas dengan katanya :

“Kesimpulannya, memberi salam adalah merupakan rukun daripada rukun-rukun solat. Tidak sah sesuatu solat itu melainkan dengannya. Dan tidak ada yang dapat mengambil tempatnya (menggantikannya). Sekurang-kurangnya hendaklah dia menyebut lafaz salam (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ). Sekiranya dia kurang satu huruf daripada huruf-hurufnya ini, tidak sah salamnya itu” [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/475-476)]

Seringkas-ringkas lafaz salam adalah (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ) sebanyak sekali, dan yang sebaik-baiknya ialah (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ) sebanyak dua kali, iaitu pada kali pertama sambil berpaling ke kanan dan pada kali kedua pula berpaling ke kiri. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (1/141), al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/300), Mughni al-Muhtaj (1/385) dan Raudhah al-Talibin (1/267-268)]

Hal ini adalah berdasarkan hadis, daripada Sa’d bin Abi Waqqas RA :

كُنْتُ أَرى رَسولَ اللهِ ﷺ يُسَلِّمُ عن يَمِينِهِ، وَعَنْ يَسارِهِ، حتّى أَرى بَياضَ خَدِّهِ.

Maksudnya : “Aku melihat Rasulullah SAW mengucapkan salam ke kanan dan ke kirinya hingga kelihatan putih pipinya.” [HR Muslim (582)]

Adapun memberi salam dengan lafaz (عَلَيْكُمُ السَّلَامُ), menurut mazhab Syafie ianya diterima tetapi hukumnya adalah makruh. [Lihat : Tuhfah al-Muhtaj (2/90), Raudhah al-Talibin (1/267), al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/476) dan al-Azkar lin Nawawi, m/s : 148 ]

Lafaz-lafaz yang tidak sah

Sekiranya seseorang itu memberi salam dengan lafaz (السَّلَامُ عَلَيْهِمْ) ianya tidak sah tetapi solatnya tidak batal kerana itu adalah doa kepada pihak ketiga.

Manakala menggunakan lafaz-lafaz lain seperti (السَّلَامُ عَلَيْكَ) atau (سَلَامِي عَلَيْكَatau (سَلَامُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ), juga tidak sah. Sekiranya dia tidak sengaja menyebut lafaz-lafaz berkenaan, solatnya tidak batal tetapi dia wajib mengulangi semula lafaz salam yang betul dan sabit. Sekiranya dia menyebut lafaz-lafaz berkenaan dengan sengaja, maka solatnya terbatal.

Adapun memberi salam dengan lafaz (سَلَامٌ عَلَيْكُمْ) iaitu dibaca dengan tanwin pada huruf mim, ulama dalam kalangan mazhab Syafie berbeza pendapat :

Pendapat pertama, lafaz salam tersebut sah kerana tanwin telah menggantikan alif dan lam (ال). Pendapat ini telah dipegang oleh sebahagian ulama daripada Khurasan seperti Imam al-Haramain, al-Baghawi al-Rafie. Imam Nawawi menyatakan bahawa pendapat ini adalah ganjil.

Pendapat kedua, lafaz salam tersebut tidak sah. Ini adalah merupakan pendapat yang telah dipilih oleh Imam Nawawi dan dipersetujui oleh Syeikh Abu Hamid, al-Bandaniji, Qadi Abu al-Tayyib dan kebanyakkan ulama mazhab Syafie. Syeikh Abu Hamid dan Abu Ishak al-Marwazi menukilkan bahawa ianya adalah merupakan pandangan Imam Syafie. Mereka berdalilkan sabda Nabi SAW :

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya : “Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat” [HR al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)]

Hadis-hadis sahih telah menerangkan kepada kita semua bahawa Nabi SAW ketika memberi salam menyebut lafaz (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ) dan tidak ada lafaz yang dinukilkan daripadanya bahawa baginda menyebut (سَلَامٌ عَلَيْكُمْ).

[Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/476), Mughni al-Muhtaj (1/385), dan Raudhah al-Talibin (1/267)]

Di dalam kitab al-Azkar, Imam Nawawi menyatakan bahawa :

وإن كان ساهياً لم تبطل، ولا يحصلُ التحلّل من الصلاة، بل يحتاج إلى استئناف سلامٍ صحيح

Maksudnya : “Sekiranya dia tidak sengaja (menyebutnya), solatnya tidak batal, tetapi solatnya belum lagi selesai sehinggalah dia mengulang semula lafaz salam yang betul” [Lihat : al-Azkar, m/s : 149]

Kesimpulannya :

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti pandangan para ulama, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Pertama, sekiranya seseorang dengan sengaja memberi salam yang pertama dengan lafaz yang tidak sah, solatnya terbatal.
  • Kedua, sekiranya seseorang itu, tersilap atau tidak sengaja semasa memberi salam yang pertama dengan lafaz yang tidak sah, solatnya tidak batal tetapi wajib ke atasnya mengulangi semula lafaz salam yang betul dan sabit.
  • Ketiga, disunatkan sujud sahwi bagi sesiapa yang tersilap atau tidak sengaja memberi salam yang pertama dengan lafaz yang tidak sah sebagaimana yang telah disebut oleh Imam Nawawi dan Dr. Muhammad al-Zuhaili :

فَإِنْ قَالَهُ سَهْوًا لَمْ تَبْطُلْ صَلَاتُهُ وَلَكِنْ يسجد للسهو تجب إعَادَةُ السَّلَامِ

Maksudnya : “Sekiranya dia telah memberi salam (dengan lafaz yang tidak sah), solatnya tidak batal, tetapi dia (disunatkan) sujud sahwi dan wajib mengulangi lafaz salam (yang betul)” [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/476) dan al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/300) ]

  • Hukum sujud sahwi adalah sunat, apabila adanya sebab-sebab yang mengizinkannya. Caranya adalah selepas dia tersilap dalam melafazkan lafaz salam tersebut, hendaklah dia sujud sahwi dahulu dan barulah dia mengulang semula lafaz salam yang betul. Hal ini kerana tempat sujud sahwi adalah di penghujung solat iaitu selepas bacaan tasyahhud akhir serta selawat ibrahimiyyah dan sebelum memberi salam. [Lihat : al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/336-337)]

Assalamualaikum ustaz. Selepas saya beri salam, saya diberitahu bahawa solat yang dilakukan tidak cukup satu rakaat. Adakah saya perlu terus bangun dan tambah bilangan rakaat yang tidak cukup, atau perlu solat dari awal semula? Bagaimana pula jika selepas beri salam tadi, saya dah bercakap dan bergerak. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat merupakan di antara ibadah yang paling utama bagi seorang Muslim. Ianya juga merupakan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah SWT kepada hambaNya di akhirat kelak berdasarkan hadith Nabi SAW :

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ بِصَلَاتِهِ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara pertama yang akan dihisab dengannya oleh seorang hamba itu adalah solatnya. Jika sempurna (solatnya) maka dia akan beruntung dan berjaya. Namun, jika rosak solatnya maka dia binasa dan rugi.”[1]

Solat yang sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Rukun adalah bahagian yang asas bagi sesuatu perkara. Contohnya dinding bagi sesebuah bilik. Oleh itu bahagian-bahagian solat adalah rukun-rukunnya. Solat tidak akan sempurna dan tidak sah kecuali dengan menyempurnakan kesemua bahagiannya mengikut cara dan susun atur yang datang daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diterimanya daripada Jibril AS.[2]

Berbalik kepada persoalan di atas, kita boleh merujuk kepada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ أَوْ الْعَصْرَ فَسَلَّمَ فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَيْنِ الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَقَصَتْ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَحَقٌّ مَا يَقُولُ قَالُوا نَعَمْ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ أُخْرَيَيْنِ ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah solat Zohor atau Asar dengan mengimamkan kami. Setelah Baginda memberi salam, lalu Zul Yadain berkata: “Wahai Rasulullah, adakah solat telah berkurang (rakaatnya).?” Maka Nabi SAW pun berkata kepada para sahabat Baginda: “Adakah benar apa yang dikatakan oleh Zul Yadain itu?” Para sahabat menjawab: “Ya, benar.” Lalu Rasulullah menyambung dua rakaat yang berbaki, kemudian Baginda sujud dua kali.”[3]

Daripada hadis ini, dapat kita fahami jika ramai yang bersetuju bahawa imam terkurang rakaatnya dan imam meyakini bahawa memang dia meninggalkan rakaat maka wajib bagi imam untuk menyempurnakan rakaat yang berbaki dan kemudian melakukan sujud sahwi. Adapun jika imam sudah meyakini bahawa dia telah melakukan rakaat dengan sempurna tanpa ada pengurangan dan jumlah yang syak terhadap solatnya itu sedikit maka imam perlu beramal dengan apa yang dia diyakini.[4]

Hadis di atas menerangkan tunjuk ajar Nabi SAW kepada para sahabatnya, dan umat keseluruhannya, tentang tatacara melengkap solat fardu yang tidak sempurna bilangan rakaatnya, kerana lupa atau sebagainya.

Seafdhalnya juga bagi makmum untuk memberitahu imam yang rakaatnya tidak cukup.

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa boleh disambung untuk melengkapkan bilangan rakaat yang belum sempurna jika selepas salam yang tersilap itu tidak diselangi dengan percakapan dan pergerakan yang banyak. Manakala, jika sudah berlalu tempoh yang panjang berserta pergerakan yang banyak (seperti mandi, makan minum) maka perlu ditunaikan semula solat daripada awal.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Riwayat al-Nasa’ie (465)

[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141

[3] Riwayat al-Bukhari (1151)

[4] Lihat al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/388


Bagaimanakah kalau kita bagi salam sebelum cukup rakaat, kemudian baru perasan atau diberitahu rakaat belum cukup. Betulkah kita perlu bangun dan tambah bilangan rakaat yang tidak cukup, kemudian sujud sahwi dan bagi salam, atau kena solat semula dari awal. Bagaimana pula kalau setelah salam yang awal tadi kita dah bercakap dan bergerak?

Jazakallah atas perhatian syeikh.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Dalam hal ini, sayugia kita merujuk kepada sejarah Islam, dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim dan lain-lain riwayat, bahawa Rasulullah SAW solat fardu Zuhur, dalam satu riwayat solat fardu Asar, sebanyak 2 rakaat lalu Baginda SAW bangkit menuju ke pintu dengan wajahnya yang serius. Lalu seorang sahabat yang dipanggil Dzul Yadain bertanya kepada Rasulullah SAW:

أَقُصِرَتِ الصَّلَاةُ أَمْ نَسِيتَ

Maksudnya: Adakah solat telah dipendekkan (oleh Syarak) atau engkau telah lupa ?

Jawab Rasulullah SAW: Solat tidak dipendekkan dan aku tidak pula lupa. Baginda SAW lalu bertanya kepada para sahabat yang lain: Apakah benar yang dikatakan Dzul Yadain itu?. Mereka membenarkannya. Lalu Baginda SAW bangkit dan menyempurnakan baki solat dua rakaat lagi beserta sujud sahwi.

Hadis riwayat Imam Muslim (573) dalam Sahihnya

Hadis ini menerangkan tunjuk ajar Nabi SAW kepada para sahabatnya, dan umat keseluruhannya, tentang tatacara melengkap solat fardu yang tidak sempurna bilangan rakaatnya, kerana lupa atau sebagainya.

Justeru boleh disambung untuk melengkapkan bilangan rakaat yang belum sempurna jika selepas salam yang tersilap itu tidak diselangi dengan percakapan dan pergerakan yang banyak. Manakala, jika sudah berlalu tempoh yang panjang berserta pergerakan yang banyak (seperti mandi, makan minum) maka perlu ditunaikan semula solat daripada awal.


 saya berkemampuan untuk menyertai ibadah korban pada tahun ini. Saya ingin bertanya, bagaimanakah cara pembahagian yang afdhal untuk saya bahagikan daging korban ini?

Mohon pencerahan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT telah mensyariatkan ibadah korban kepada golongan yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Dalil pensyariatannya adalah berdasarkan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik RA:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melaksanakan korban dengan dua ekor kambing dan aku sendiri (Saidina Anas RA) juga melaksanakan korban dengan dua ekor kambing.

Hadith riwayat al-Bukhari: (5233)

Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2:478)

Selain itu, daging korban itu wajib untuk disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin dalam kalangan orang Islam berdasarkan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

(Surah al-Hajj: 28)

Menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa hal ini hendaklah terlebih dahulu melihat sama ada korban tersebut merupakan korban sunat atau korban nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban.

Jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan korban sunat, maka sunat juga baginya untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban tersebut. Walau bagaimanapun, harus untuk dia mengagihkan kesemua daging korban tersebut kepada orang lain. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban:

فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنة بِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا

Maksudnya: Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang terbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya.

Hadith riwayat Muslim: (1218)

Oleh itu, daging korban tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa cara, antaranya:

  1. Disunatkan untuk orang yang melakukan korban untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.
  2. Atau, orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan fakir miskin, serta 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga). Dalam hal ini, memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdhal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya.
  3. Namun cara yang afdhal ialah, seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat. Hal ini kerana menyedekahkan keseluruhan daging tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri. Manakala, memakan sedikit daripada daging tersebut sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)

Sebaliknya, jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan sebagai korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka dia wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk dia memakan sebahagian daripadanya. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)

Oleh itu, al-Sheikh Muhammad Bin Ahmad al-Syathiri di dalam kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis, mengatakan bahawa:

وَالأَفْضَلُ فِي الضَحِيَّةِ المَسْنُونَةِ : أَن يَتَصَدَّقَ بِأَكْثَرِهَا وَيَبْقَى لَهُ قَلِيلًا للبَرَكَةِ

Maksudnya: Adapun yang afdhal bagi pembahagian sembelihan korban yang sunat ialah dengan memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan meninggalkan sedikit untuk dimakan sebagai mengambil berkat daripadanya. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 826)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa jika sekiranya korban tersebut merupakan nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban, maka wajib untuk dia menyedekahkan kesemua daging tersebut dan tidak boleh dia memakan sebahagian daripadanya.

Manakala, jika sekiranya ia merupakan korban yang sunat, maka cara yang afdhal bagi pembahagian daging korban tersebut ialah menyedekahkan kesemuanya bagi mencapai tujuan korban tersebut, serta memakan sedikit daripadanya untuk beramal dengan zahir nas al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah dalam mengamalkan syariat agamaNya dengan sebaiknya. Amin.

WaAllahu a’lam.

AL-KAFI #351 : BERKONGSI SATU BAHAGIAN KORBAN

 05 OGOS 2016  JUMLAH PAPARAN: 81433

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 351 (5 OGOS 2016 M / 2 ZULKAEDAH 1437 H)

SOALAN:

Apakah hukum 1 bahagian dari 7 bahagian korban dikongsi oleh lebih dari seorang untuk menampung kos untuk 1 bahagian korban? Contoh 1 bahagian lembu korban berharga RM600. Kemudian 3 orang adik-beradik berkongsi bahagian tersebut dengan masing-masing membayar RM200 bagi membayar 1 bahagian korban.

JAWAPAN:

Di dalam Kitab al-Iqna’ (2/588) oleh al-Imam Muhammad al-Syarbini al-Khatib, ada menyebut:

“Hukumnya ialah sunat muakkad yang dianggap benar di sisi kami (Syafieyyah) secara sunat kifayah, (yakni) jika ramai ahli dalam sebuah rumah itu maka jika dilaksanakan korban seseorang daripada mereka, maka mamadailah (pahala korban) daripada sekalian lainnya. Jika hanya seorang sahaja, maka jadilah sunat ain”

Seterusnya penulis juga menyebut keharusan bersekutu dalam melaksanakan korban daripada seekor haiwan badanah (unta dan lembu) sebanyak tujuh orang berpandukan hadis Jabir RA:

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُهِلِّينَ بِالْحَجِّ: «فَأَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَشْتَرِكَ فِي الْإِبِلِ وَالْبَقَرِ، كُلُّ سَبْعَةٍ مِنَّا فِي بَدَنَةٍ

Maksudnya: Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam keadaan berihram haji lalu Baginda menyuruh kami bersekutu dalam menyembelih korban unta dan lembu, tujuh bahagian korban dibahagi tujuh orang.

Hadis riwayat Imam Muslim (1318)

Ulama juga berbincang tentang perkongsian dalam satu bahagian. Misalnya, seseorang itu berkorban seekor kambing untuk dirinya, untuk keluarganya, dan orang lain.

Dalam sebuah hadis Aisyah R.anha yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (no. 1967) dalam Sahihnya, bahawa Rasulullah SAW berkorban dua ekor kibasy dan bersabda:

بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ
Maksudnya: Dengan nama Allah. Ya Allah! Terimalah (korban ini) daripada Muhammad, keluarga Muhammad, dan daripada umat Muhammad.

Berkata Imam al-Nawawi:

“Ulama berpandukan hadis ini bagi membenarkan ibadah korban seseorang itu bagi dirinya dan keluarganya, dan pahala itu dikongsi oleh dirinya dan ahli rumahnya. Inilah pandangan mazhab kami (Syafieyyah) dan jumhur, sedangkan dianggap makruh oleh al-Thauri, Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya.”

Rujuk al-Minhaj (1967)

Memang, asal hukum ialah satu bahagian mewakili nama seorang sahaja. Namun, dari sudut pahala, InsyaAllah Allah akan bahagikan pahala pada syiar, pelaksanaan sunnah, dan tolong menolong atas kebaikan.

Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini:

“Jika seseorang itu berkorban dengan menyembelihnya (kambing) dari dirinya dan dari keluarganya, atau dari dirinya dan orang lain bersekutu pada pahalanya, maka dibenarkan.”

Rujuk Al-Iqna’ (2/567)

Wallahua’lam.


ما لا يُدرَك كُلُّه، لا يُترَك جُلُّه

“Barangsiapa yang tidak bisa mendapatkan seluruhnya maka jangan ditinggalkan secara keseluruhan”

(Disampaikan oleh Fulan, Member bias N10)

Jawaban :

وَعَلَيْكُمُ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللّهِ وَبَرَكَاتُهُ

بِسْـمِ اللّهِ

Alhamdulillah, wa laa haula wa laa quwwata illaa billaah, wash shalaatu was salaamu ‘alaa rasulillaah, Amma ba’du

Ini bukan hadits bukan pula ayat namun kaedah yang kita gunakan untuk memahami banyak persoalan dalam agama kita. Disebutkan dalam salah satu redaksi fatwa :

Ungkapan ini adalah merupakan kaidah yang salim, serta ucapan hikmah yang sangat agung. Dia banyak sekali disebut di dalam ucapan para ulama secara khusus dan di dalam lisan manusia secara umum. Ia bukan hadits sebagaimana dijelaskan di dalam kitab Kasyful Khofa‘ karya Al-‘Ajluni dan kitab yang lainnya.

Rata rata mereka menggunakan ungkapan ; Sesuatu yang tidak bisa didapatkan seluruhnya bukan berarti meninggalkannya secara keseluruhan.

Seandainya dikatakan : bukan berarti meninggalkan ba’dh/sebagiannya, atau aham/yang penting, atau aqol/ yang sedikit, maka maknanya tetap benar. Dan semua ungkapan tersebut ada di dalam ucapan para ulama. Dan yang semakna dengan ungkanap ini adalah firman Allah ta’ala : Dan bertaqwalah kalian sesuai kemampuan kalian. (QS At-Taghabun : 16).

Ungkapan ini juga cocok dengan sabda Nabi shalallahu ‘alaihi wa sallam : Apa yang aku perintahkan atas kalian maka laksanakanlah sesuai dengan kemampuan kalian. (Muttafaqun ‘alaihi). Wallahu a’lam.”
Sumber : Fatawa Islamweb no. 156631.


Wacana 12 : Makmum Masbuq Ketika Imam Tahiyat Akhir, Perlu Membaca Tahiyat Akhir Atau Awal?

Jika makmum yang masbuq berjemaah dengan imam yang sedang tahiyat akhir, adakah makmum tersebut perlu membaca bacaan tahiyat akhir atau awal?

Apabila makmum masbuq berjemaah bersama imam yang sedang keadaan duduk pada tahiyat akhir, maka makmum disunatkan membaca bacaan tahiyat akhir juga iaitu termasuk selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW dan bacaan selepas daripada itu.

Pertama hendaklah difahami terlebih dahulu maksud makmum muwafiq dan masbuq. Makmum yang muwafiq ialah makmum yang mempunyai masa yang cukup untuk membaca al-Fatihah selepas takbiratul ihram dengan bacaan kadar kelajuan sederhana ketika imam sedang berdiri pada rakaat pertama[1].

Manakala makmum yang tidak sempat menyempurnakan bacaan al-Fatihah selepas takbiratul ihram pada rakaat pertama dan berjemaah bersama imam selepas itu maka ia merupakan makmum masbuq[2].

Dalam hal ini seorang makmum sama ada masbuq atau muwafiq hendaklah mengikut kepada imamnya dalam solat berjemaah. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW bahawa Baginda bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا رَكَعَ، فَارْكَعُوا وَإِذَا رَفَعَ، فَارْفَعُوا

Maksudnya: Sesungguhnya imam itu untuk diikuti. Justeru apabila dia rukuk maka hendaklah kalian rukuk. Apabila dia berdiri untuk iktidal, maka hendaklah kalian berdiri iktidal[3].

Oleh yang demikian, makmum hendaklah mengikuti kepada perbuatan zahir imam dalam solat berjemaah. Apabila makmum mengikuti imam ketika sedang duduk tahiyyat akhir, maka hendaklah makmum membaca bacaan tahiyat akhir.

Ini sepertimana yang disebutkan dalam banyak kitab Fiqh al-Syafie, antaranya dijelaskan oleh Imam Zakaria al-Ansari bahawa:

أَمَّا الْمَسْبُوقُ إذَا أَدْرَكَ رَكْعَتَيْنِ مِنْ الرُّبَاعِيَّةِ فَإِنَّهُ يَتَشَهَّدُ مَعَ الْإِمَامِ تَشَهُّدَهُ الْأَخِيرَ وَهُوَ أَوَّلُ لِلْمَأْمُومِ وَلَا يُكْرَهُ لَهُ الدُّعَاءُ فِيهِ بَلْ يُسْتَحَبُّ.

Maksudnya: Adapun makmum yang masbuq, jika dia sempat mengikut imam dua rakaat terawal daripada solat empat rakaat, maka dia hendaklah membaca bacaan tahiyat akhir bersama imam walaupun ia merupakan tahiyat awal baginya(makmum). Selain itu, tidak makruh baginya untuk membaca doa yang lain ketika duduk tahiyat tersebut bahkan disunatkan[4].

Apa yang dimaksudkan dengan ‘doa’ tersebut ialah selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW dan selepas itu daripada bacaan tahiyat akhir. Ini apa yang disebutkan oleh Imam al-Syarwani dalam Hasyiah-nya bahawa:

 وَالْمُرَادُ بِالدُّعَاءِ الصَّلَاةُ عَلَى الْآلِ وَمَا بَعْدَهُ كَمَا يُصَرِّحُ بِهِ مَا يَأْتِي عَنْ سم وَقَوْلُهُ م ر أَنَّهُ لَا يُكْرَهُ لَهُ الدُّعَاءُ إلَخْ وَمِنْهُ الصَّلَاةُ عَلَى الْآلِ كَمَا نَقَلَهُ سم عَلَى حَجّ عَنْ إفْتَاءِ الشِّهَابِ الرَّمْلِيِّ اهـ

Maksudnya: Apa yang dimaksudkan dengan doa tersebut ialah selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW dan bacaan yang selepasnya daripada tahiyat akhir seperti yang dijelaskan Imam Ahmad Ibn Qasim al-’Abadi. Kata beliau iaitu Imam Syamsuddin al-Ramli, bahawa tidak dimakruhkan baginya doa, antaranya ialah selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW seperti dinyatakan oleh Imam al-’Abadi daripada Ibn Hajar al-Haitami dinukil daripada fatwa Imam Syihabuddin al-Ramli[5].

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa makmum masbuq yang berjemaah bersama imam yang sedang keadaan tahiyat akhir, maka makmum disunatkan membaca bacaan tahiyat akhir juga iaitu termasuk selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW dan bacaan selepas daripada itu.


[1] وَإِن وجد الإِمَام فِي الْقيام قبل أَن يرْكَع وقف مَعَه فَإِن أدْرك مَعَه قبل الرُّكُوع زَمنا يسع الْفَاتِحَة بِالنِّسْبَةِ للوسط المعتدل فَهُوَ مُوَافق فَيجب عَلَيْهِ إتْمَام الْفَاتِحَة وَيغْتَفر لَهُ التَّخَلُّف بِثَلَاثَة أَرْكَان طَوِيلَة كَمَا تقدم. (راجع نهاية الزين في إرشاد المبتدئين، ج 1، ص 124)

[2] وَإِن لم يدْرك مَعَ الإِمَام زَمنا يسع الْفَاتِحَة فَهُوَ مَسْبُوق يقْرَأ مَا أمكنه من الْفَاتِحَة وَمَتى ركع الإِمَام وَجب عَلَيْهِ الرُّكُوع مَعَه. (راجع نهاية الزين في إرشاد المبتدئين، ج 1، ص 124)

[3] Riwayat al-Bukhari (688) dan Muslim (412)

[4] Asna al-Mathalib fi Syarh Raudh al-Talib, Dar Kitab al-Islami, Beirut, jld. 1, hlmn. 166.

[5] Al-Syarwani, Abdul Hamid, 1983, Hasyiah al-Syarwani ala Tuhfat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, Dar Ihya al-Turath al-Arabiy, Beirut, jld 2, hlmn. 87.

Wacana 29: Solat Fardu Berimamkan Solat Sunat

Bolehkah seorang yang solat fardu berimamkan yang solat sunat?

Dalam masalah ini, para ulama telah khilaf. Ini kerana kedudukan fardu lebih tinggi daripada sunat. Justeru tidak dibolehkan bagi yang melakukan solat fardu mengikut solat sunat kerana ia lebih rendah.

Sebahagian yang lain pula berpendapat boleh dan harus kerana jenisnya sama iaitu solat. Imam Syafie berpendapat sah seseorang makmum yang mendirikan solat fardu berimamkan imam yang solat sunat.

Berdasarkan hadith yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, “Pernah suatu hari Muaz bersembahyang Isyak bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW. Kemudian selepas selesai, Muaz kembali ke rumahnya dan dia menjadi imam kepada ahli keluarganya.”

Imam al-Syafie mejelaskan, solat yang didirikan oleh Muaz pada kali kedua ini adalah solat sunat, manakala solat ahli keluarganya yang menjadi makmum itu adalah solat fardu Isyak. Ini menjadi dalil bahawa dibenarkan orang yang bersolat fardu berimamkan imam solat sunat.

Namun, adalah lebih baik dielakkan bagi menghindar daripada perbezaan pendapat kerana ulama yang lain berpendapat tidak sah makmum solat fardu berimamkan imam solat sunat[1].

Justeru kami berpendapat hukumnya adalah dibolehkan untuk seorang yang solat fardu mengikut dan berimamkan dengan orang yang bersolat sunat berdasarkan hujah dan dalil di atas.


[1] Lihat Mughni al-Muhtaj oleh al-Syarbini al-Khatib (1/503).

Wacana 33: PERLUKAH MENGIKUT IMAM SUJUD SAHWI

Saya terlewat sampai solat Subuh. Selepas membaca tahiyat, imam sujud sahwi. Adakah wajib saya ikut imam sujud sahwi atau bangun menambah rakaat?

Sujud sahwi ialah sujud yang dilakukan kerana kecacatan solat yang dilakukan seseorang ketika bersolat sama ada disengajakan atau terlupa. Ia dilakukan pada akhir solat sebelum salam dengan cara sujud sebanyak dua kali sepertimana sujud-sujud di dalam solat dengan niat sujud sahwi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/443)

Menjawab soalan di atas, boleh ikut sujud sahwi kerana tujuan makmum ialah mengikut imam. Imam itu adalah untuk diikuti. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya dijadikan imam untuk diikuti.[1]

Guru kami, al-Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Pada permasalahan sujud sahwi, ketika mana imam sujud dan makmum sujud bersamanya, sedangkan imam sujud kerana lupanya tetapi makmum tidak lupa, mereka juga hendaklah sujud bersama imam [2].  

Dalam menjawab isu ini, kami kemukakan hadis yang diriwayatkan daripada Umar R.A, daripada Nabi SAW, sabda Baginda:

لَيْسَ عَلَى مَنْ خَلْفَ الإِمَامِ سَهْوٌ فَإِنْ سَهَا الإِمَامُ فَعَلَيْهِ وَعَلَى مَنْ خَلْفَهُ

Maksudnya: Tiadalah seseorang yang sembahyang di belakang imam sujud sahwi. Jika sekiranya imam lupa, maka hendaklah imam dan makmum sujud sahwi [3].

Hadis ini seperti kata al-Baihaqi adalah dha’if. Kata al-Syaukani, salah seorang pada sanadnya Kharijah bin Mus’ab, sedangkan beliau dha’if. Dan juga Abu al-Husin al-Madini sedangkan beliau majhul.

Hadis ini menjadi dalil bahawa imam menanggung di atas lupanya makmum. Jika makmum lupa, sedangkan imam tidak lupa, maka makmum tidak perlu sujud sahwi. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn al-Munzir secara ijma’. Usul syariat menyokong hukum ini. Ini kerana makmum hendaklah mengikut imam sehingga mutaba’ah (ikutan hendaklah didahulu mengatasi tasyahhud awal)[4].

Hadis ini juga menunjukkan jika sekiranya makmum tidak lupa tetapi yang lupa ialah imam sedangkan makmum hanya sempat pada tahiyyat akhir, maka hendaklah dia sujud bersama imam ketika sujud sahwi kerana nas:

وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا

Maksudnya: “Apabila imam sujud, maka hendaklah kamu (makmum) bersujud.[5]

Ibn Munzir telah menyebutnya secara ijma’. Kadang-kadang makmum itu tidak melakukan kesilapan manakala imam melakukan kesilapan.

Sebagai contoh, imam terlupa membaca doa qunut sedangkan makmum tidak terlupa dan sempat membaca doa qunut walaupun yang ringkas. Kemudian di akhir solat, imam sujud sahwi kerana tidak membaca qunut, maka makmum mesti sujud bersama imam. Ianya tidak menjadi masalah dan tidak semestinya makmum juga lupa baru perlu sujud sahwi bersama imam.


[1] Riwayat al-Bukhari (378) dan Muslim (948)

[2] Lihat Syarh Bulugh al-Maram oleh Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim, 1/464

[3] Riwayat al-Bazzar, al-Baihaqi (2/532) dan al-Daraqutni (1/377)

[4] Lihat Taudhih al-Ahkam oleh al-Bassam, 2/351)

[5] Riwayat al-Bukhari (378)

Wacana 37

STATUS SOLAT JUMAAT KETIKA MUSAFIR

Apa hukum Solat Jumaat kalau saya musafir lepas Subuh hari Jumaat?

Solat Jumaat adalah solat dua rakaat yang didirikan pada hari Jumaat menggantikan Solat Zohor dan wajib dikerjakan ke atas setiap mukallaf lelaki dengan syarat-syarat tertentu berdasarkan firman Allah S.W.T dalam Surah al-Jumu’ah, ayat 9:

                            يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu).”

Para ulama memperincikan ayat tersebut dengan menetapkan syarat-syarat wajib Jumaat dan syarat-syarat sah Jumaat.

Antara syarat wajib Jumaat ialah bermastautin atau bermukim. Oleh itu, tidak diwajibkan ke atas orang yang bermusafir Solat Jumaat.

Pengecualian Solat Jumaat kepada orang musafir juga berdasarkan kepada perbuatan Nabi Muhammad ﷺ yang tidak melakukan Solat Jumaat ketika Baginda ﷺ bermusafir dalam perjalanan menunaikan haji yang mana hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, maka Nabi ﷺ telah melakukan Solat Zohor dan Asar secara jamak.

Sekiranya seseorang bermusafir pada hari Jumaat sebelum fajar, maka gugurlah ke atasnya Solat Jumaat menurut pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie. Namun, sekiranya dia bermusafir dan musafirnya melebihi empat hari tidak termasuk hari perjalanan pergi dan balik ke tempat tersebut, maka dia perlu menunaikan Solat Jumaat kerana dia sudah berniat sebagai bermukim. Manakala, jika musafirnya kurang dari empat hari tidak termasuk perjalanan pergi dan balik dari tempat tersebut maka gugur ke atasnya untuk melakukan Solat Jumaat.

Pendapat lain di dalam mazhab Syafie sepertimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi RA dalam Kitab Raudhah al-Talibin (2/38). Mereka berpendapat bahawa gugur kewajipan Solat Jumaat jika bertolak untuk bermusafir selepas fajar dan sebelum tergelincir matahari.           Pandangan yang terpilih dengan realiti yang ada pada hari ini adalah pandangan kedua. (http://mufti.terengganu.gov.my/index.php/bayan-almunir/persoalan/442-status-solat-jumaat-ketika-musafir

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net adalah Rakan Penyelidik Nusantara dalam pembangunan dan perkembangan kajian Sains Sosial , Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perundangan Syariah di Nusantara. Selain itu, menyediakan Perkhidmatan & Perundingan Guaman Syarie dan Pengurusan Harta Islam. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.