Apa itu Budaya

Budaya Global

Budaya Global

Budaya didefinisikan sebagai perkara-perkara berkaitan dengan budi dan akal. Istilah budi membawa maksud asli, pertama, sejati dan dipandang sempurna manakala daya pula dimaksudkan sebagai akal, jalan fikiran dan ciptaan (Rohana Yusof, 2010).
Istilah budi juga dimaksudkan sebagai kecergasan fikiran dan akal seseorang manusia dalam usaha mengatasi permasalahan dengan mencari jalan penyelesaian manakala istilah daya merujuk kepada kekuatan tenaga dan kuasa yang digunakan untuk membantu menjana pemikiran bagi menangani sesuatu permasalahan. Jika penyelesaian yang diambil daripada hasil pemikiran tersebut diterima dan dapat dijadikan amalan bersama, ianya diterima sebagai budaya dalam kehidupan (Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Maskon, 2010).

Istilah budaya dalam bahasa Inggeris ialah ‘culture’ yang berasal daripada perkataan bahasa Latin yang berbunyi ‘colere’. Ia bermaksud kehidupan manusia yang sentiasa memelihara dan mengerjakan pelbagai tindakan yang boleh menghasilkan tindakan budaya (Suwardi Endraswara, 2006:4). Pandangan Abdul Latif Abu Bakar (1987) menjelaskan bahawa istilah budaya merupakan sesuatu yang sukar untuk ditafsirkan dan ianya mempunyai pengertian yang luas, jelas menunjukkan teminologi budaya mempunyai pelbagai pengertian dan tafsiran berbeza dalam kalangan para sarjana.(Subramaniam 2017)

Justeru, sesuatu kelompok manusia hidup dalam lingkungan yang dikenali sebagai ‘budaya’ dan budaya ini memberikan identiti kepada kelompok itu dari segi cara ia mengendalikan hidupnya. Budaya turut diwarisi dari satu keturunan kepada satu keturunan yang lain. Maka, budaya juga dikatakan sebagai satu himpunan kelengkapan intelektual dan kebendaan yang dapat memenuhi kehendak biologi dan kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannya dengan keadaan sekeliling.

Definisi Budaya Oleh E.B. Taylor

Seorang sarjana antropologi E.B Taylor mendefinisikan budaya dari hasil bukunya berjudul, Primative Culture seperti berikut:
“Culture or Civilization, taken in its wide ethnographic sense, is that complex whole which includes knowledge, belief, art morals, law, customs, and any other capabilities and habits acquired by man as a member of society”
Budaya adalah merujuk kepada suatu keseluruhan yang merangkumi pengetahuan, kepercayaan, seni, tatasusila serta sebarang kemahiran tingkah laku yang dipelajar oleh manusia sebagai ahli sesebuah masyarakat.
Definisi Tylor menumpukan kepada sifat-sifat yang diperolehi oleh manusia hasil daripada membesar di dalam masyarakat di mana mereka telah dideahkan kepada tradisi budaya tertentu.

E.B. Taylor (1958) melihat, budaya sebagai sebuah kompleks yang merangkumi pelbagai bidang. Beliau juga melihat budaya sebagai kajian tentang pemikiran manusia yang beasaskan tindakan. Namun demikian, pengertian ini dianggap kurang tepat oleh beberapa orang sarjana yang berpandangan, Edward B. Taylor tidak menunjukkan perbezaan bagi organisasi sosial serta institusi sosial daripada konsep budaya secara amnya. (S. Milton, 1968). (Subramaniam 2017)

Oleh itu, budaya adalah cara hidup manusia yang melalui satu proses perkembangan sahsiah, akal, semangat dan usaha manusia dalam sesuatu kelompok. Hal ini dapat dilihat melalui etimologi perkataan “budaya” yang bermaksud budi + daya “; iaitu budi sebagai aspek dalaman manusia yang meliputi akal dan nilai.

Manakala daya sebagai aspek lahiriah manusia yang meliputi usaha dan hasilan. Oleh yang demikian, budaya boleh difahamkan sebagai segala penghasilan masyarakat manusia dalam pelbagai bentuk sama ada yang dapat dilihat atau tidak. Maka, konsep budaya merupakan satu konsep yang penting untuk membandingkan perbezaan antara suatu masyarakat dengan suatu masyarakat yang lain.

Sebagai insan sosial, manusia mempelajari tentang peranannya dalam masyarakat melalui proses pembudayaan. Adalah penting kita memahami bahawa proses ini bukanlah proses biologi di mana budaya itu diturunkan dari generasi ke generasi secara genetik. Hakikatnya, budaya itu dipelajar melalui interaksi sosial antara ahli masyarakat.
Budaya boleh dibahagikan kepada dua kerangka besar iaitu :
i- Budaya kebendaan
ii-Budaya bukan kebendaan

Budaya kebendaan ialah peralatan dan kelengkapan hidup seperti rumah, kereta, perahu, senjata dan sebagainya. Contohnya, orang Melayu mempunyai rumah yang berbeza dengan orang Inggeris atau orang Eskimo
Manakala, budaya bukan kebendaan ialah kepercayaan, adat istiadat dan undang-undang. Contohnya, setiap masyarakat mempunyai adat istiadat yang berbeza-beza dalam menjalani kehidupan seperti perkahwinan masyarakat Melayu yang mana pihak lelaki yang memberi hantaran kepada pihak perempuan manakala, bagi masyarakat India, hantaran(dowri) perkahwinan diberi oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki.

Oleh itu, dalam budaya Melayu, faktor agama paling penting kerana agama merupakan dasar tanggapan terhadap alam sekitar dari segi sosial dan fizikal. Bahasa juga penting sebagai alat komunikasi dan adat resam juga mustahak sebagai petunjuk jalan bagi seseorang dalam mengendalikan hidupnya bermasyarakat dan berbudaya.

Walau bagaimanapun, menurut (Hamidah Abdul Rahman 2009) takrifan tentang konsep budaya oleh sarjana-sarjana Barat memberi gambaran tentang hubungan di antara budaya dan pemikiran masyarakat terhadapnya. Namun demikian, pandangan yang diutarakan oleh sarjana Barat adalah berdasarkan kepada konsep budaya yang dipikul oleh masyarakat Barat yang berkemungkinan tidak sesuai dengan budaya orang Asia.

» Read more

Konsep Budi dan Bahasa

Pengertian Konsep Budi dan Bahasa

Boleh Dikategorikan kepada Lima Ciri-Ciri
-Pengertian Budi
-Pengertian Bahasa
-Pengertian Budi Bahasa
-Ciri-Ciri Budi Bahasa
-Budi Bahasa Dalam Masyarakat Malaysia

Apakah itu Budi?
Menurut Teuku Iskandar (1970), perkataan budi yang berasal daripada kata Sanskrit iaitu Buddhi bermaksud bijak, pekerti baik dan mulia.


Maksud budi yang ditakrifkan oleh Zaidi Daud (1996) pula adalah peribadi insan yang mulia.


Menurut Kamus Dewan (2005), budi merupakan: akal dan kebijaksanaan atau perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan, watak, atau sifat baik, perbuatan baik, kebajikan, bicara dan daya upaya yang baik.


Menurut Islam pula, budi ialah: adab, sopan santun yang menggambarkan orang yang beriman.


Pengertian budi pekerti yang dihuraikan oleh Imam Al-Ghazali (2002) adalah budi pekerti berasaskan pertimbangan akal, hawa nafsu dan marah.


Mustafa Haji Daud (1995), menjelaskan perkataan budi apabila ditambah dengan awal “ber” menjadi berbudi atau “man” di akhirnya menjadi budiman akan membawa maksud seseorang yang mempunyai budi bahasa, adab sopan bersungguh-sungguh dalam pekerjaan, mempunyai daya ikhtiar yang tinggi, matang, bijaksana dalam membuat sesuatu keputusan dan yang paling banyak menabur jasa dan bakti.


Secara Ringkasnya:
Budi merupakan tingkah laku individu yang baik, sopan, santun, berkakhlak terpuji dan berwatak insan mulia serta mempunyai akal fikiran yang baik dan bijaksana. Budi yang baik melambangkan sikap manusia yang terpuji dengan perbuatan yang berkakhlak serta memberikan kebaikan kepada individu yang lain,

Budi yang baik juga akan melahirkan bicara yang santun dan halus yang menggambarkan ketinggian akal fikiran dan kebijaksanaan yang tinggi.

Konsep Bahasa Dalam Masyarakat Malaysia
Apakah itu Bahasa?
Berpandukan Kamus Dewan (2002), maksud bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia, dan percakapan yang baik, tingkah laku yang baik, dan sopan santun.
Setiap bangsa mempunyai sistem lambang bunyi suara yang tersendiri dan berbeza dengan bangsa-bangsa lain.
Sistem lambang bunyi ini diterima, dipersetujui dan diguna pakai oleh kelompok masyarakat itu.
Sistem lambang bunyi ini menjadi medium komunikasi masyarakat tersebut dalam menjalani kehidupan seharian.
Sistem lambang bunyi ini menjadi identiti bangsa itu sendiri dan terus akan diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
Menurut Ferdinand de Saussure (1960), bahasa erupakan satu sistem isyarat yang abstrak yang mempunyai struktur tertentu yang digunakan untuk berinteraksi dalam masyarakat.
Peraturan merupakan hasil perlakuan bahasa untuk melahirkan persaan.
Sistem isyarat yang digunakan dalam sesuatu masyarakat dipersetujui dan diterima sebagai satu cara yang mempunyai makna boleh difahami oleh ahli masyarakat tersebut.
Sistem isyarat yang digunakan dalam sesuatu masyarakat bergantung kepada sosio-budaya, politik, kepercayaan dan nilai yang didukung dalam sesuatu masyarakat itu.
Hal ini bermaksud sistem isyarat yang digunakan akan berbeza antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain.

Berdasarkan definisi dan pengertian yang telah diberi oleh tokoh-tokoh termasuklah Noam Chomsky (1957), Asmah Hj. Omar (1986), Raminah Hj Sabran dan Rahim Syam (1985), dan Lufti Abas (1985),

Boleh kita membuat kesimpulan bahawa bahasa mengandungi ciri-ciri berikut:

Bersistem dan sistematik – bahasa mempunyai peraturan-peraturan atau pola-pola tertentu yang perlu dipatuhi. Pada umumnya bahasa terdiri daripada dua sistem iaitu sistem bunyi dan sistem makna.
Arbitari – bahasa yang wujud dalam sesuatu masyarakat tidak mempunyai peratursn khusus yang dapat mengatur pembentukan kata-kata atau makna yang diberikan dalam sesuatu bahasa itu. Mekanisme yang ada hanyalah kesepakatan yang diterima bersama-sama dalam kelompok masyarakat itu saja.
Vokal – bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh alat-alat artikulasi bersifat lisan (vokal).
Simbol – bunyi yang diucapkan oleh seseorang hasil daripada penggabungan simbol-simbol atau lambang bahasa yang disusun secara sistematik. Simbol-simbol itu akan dapat dilihat apabila bahasa itu diungkapkan secara bertulis dan mempunyai makna yang disepakati bersama.
Alat komunikasi – manusia menggunakan bahasa untuk berinteraksi dalam kehidupan seharian mereka.
Dinamis – sesuatu bahasa akan terus mengalami perubahan dan perkembangan mengikut peredaran zaman.

Perkataan budi dan bahasa apabila digabungkan akan menjadi kata majmuk budi bahasa.
Secara mendalamnya, pengertian budi bahasa meliputi tutur kata, tingkah laku pemikiran dan perasaan seseorang individu atau masyarakat.

Budi bahasa:

Merupakan nilai-nilai murni yang telah lama diamalkan sejak zaman dahulu hingga sekarang dalam menjaga keharmonian masyarakat.

Dirujuk kepada sifat seseorang individu maka terbentuklah perkataan berbudi bahasa dan budi dan berbahasa.
Pecakapan yang baik, teliti, dan elok dalam tutur kata, hormat, bijaksana, tinggi budi bicara, pemurah, belas kasihan, beradap, bersopan santun,
Sentiasa bertatatertib, mengamalkan budi pekerti yang baik dan mulia, tingkah laku yang baik dan akhlak yang mulia.
Orang yang berbudi bahasa dikenali sebagai budiman.

Menurut Kamus Elektronik Pusat Rujukan Melau Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), budi bahasa merangkumi pekerti, akhlak, watak dan kelalukan yang baik, sopan, pemurah dan sebagainyi disebut sebagai nilai-nilai murni.

Setiap gerak laku, tutur kata, tatahidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain dalam pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa.

Umumnya, nilai-nilai murni yang diterima diamalkan oleh masyarakat Malaysia yang merentasi:

Individu
Kekeluargaan
Masyarakat
Kenegaraan
Kesemuanya adalah nilai sejagat yang dituntut oleh agama, kepercayaan, adat rasmi dan kebudayaan.

Berbudi bahasa juga membawa erti berbudi melalui bahasa atau bahasa sebagai budi. Pengertiannya termasuk:
Berbudi dengan harta
Membantu dengan tulang empat kerat
Memberi nasihat.
Memberi buah fikiran yang baik dan bernas
Memberi tunjuk ajar kepada seseorang
Bermanis muka
Bersimpati dan menggunakan bahasa yang baik yang menyenangkan orang lain atau pendengar.

Malah dalam konteks Malaysia yang mempunyai bangsa yang pelbagai kaum: sifat berbudi bahasa sangat penting bagi menjamin keharmonian kaum.

Konsep budi bahasa berdasarkan agama:
Islam – Akhlak yang mulia dalam pergaulan masyarakat dinilai daripada tutur kata yang baik.
Buddha – Hubungan yang baik antara raja dan menteri, suami dengan isteri, abang dengan adik dan kawan dengan kawan; sifat sejagat.
Hindu – Manusia yang perlu ada pada manusia dan aspek purusharta merangkumi empat objektif mulia yang berasaskan moral dan etika termasuk budi bahasa dalam menjalani kehidupan seharian.

Ciri-Ciri Budi Bahasa

Orang yang berbudi Bahasa:

Memiliki akhlak yang sangat mulia yang terpancar melalui tutur kata yang halus.
Mempunyai tingkah laku yang santun.
Pemikiran yang luhur.
Perasaan yang tenang.
Gerak laku yang tertib.
Hati yang mulia.
Sentiasa memberi kebaikan kepada orang lain.
Tidak mementingkan diri sendiri.

Budi Bahasa Masyarakat Melayu

Keprihatinan masyarakat Melayu terhadap budi bahasa adalah selaras dengan tuntutan agama Islam yang sangat mementingkan ketinggian akhlak.

Nilai-nilai budi bahasa yang diamalkan oleh masyarakat Melayu antaranya ialah:

Bercakap dengan lembut dan halus semasa bercakap
Menundukkan badan apabila berjalan di hadapan orang tua
Memberi salam apabila bertemu
Berjabat tangan apabila bertemu dan berpisah
Berpakaian menutup aurat
Tidak membuat bising semasa waktu sembahyang
Makan menggunakan tangan
Tidak bercakap semasa makan
Sentiasa meminta maaf sekiranya melakukan kesalahan
Bersabar
Jujur
Tidak merenung mata dengan tajam semasa bercakap dengan ibu bapa, guru dan orang tua
Anak dara duduk bersimpuh
Tidak menyampuk semasa orang tua bercakap
Mendahulukan orang tua dalam segala urusan

Budi Bahasa Dalam Masyarakat Cina

Masyarakat Cina yang sebahagian besar menganut agama Buddha juga sangat mementingkan budi bahasa dalam pergaulan seharian bagi menjamin keharmonian hidup.

Ajaran Konfusius menekankan konsep Jen yang menekankan perasaan perikemanusiaan terhadap orang lain dan harga diri. Confusius menitikberatkan pengamalan lima kebaikan iaitu: budi bahasa, kemurahan hati dan sifat baik.

Nilai-nilai budi bahasa yang dapat dilihat dalam masyarakat Cina antaranya ialah:

Makan menggunakan penyepit (chopstick)
Tidak mengeluarkan bunyi yang terlalu kuat semasa makan
Siku tangan tidak diletakkan di atas meja semasa makan
Bercakap dengan lemah lembut dengan orang tua dan ibu bapa
Dilarang mengeluarkan kata-kata kesat dalam pergaulan
Individu yang sudah berkahwin memberi angpau kepada kanak-kanak
Ibu bapa menghantar wakil untuk meminang
Hormat-menghormati

Budi Bahasa Dalam Masyarakat India

Masyarakat India sangat patuh kepada ajaran agama Hindu yang mementingkan budi bahasa yang mulia dalam kalangan penganutnya. Penganut yang taat kepada agama akan menterjemahkan tingkah laku yang berbudi bahasa semasa bergaul dengan masyarakat.

Anatara amalan budi bahasa yang diamalkan oleh masyarakat India ialah:

Duduk ketika makan dan menggunakan tangan
Sentiasa bercakap dengan lembut dengan ibu bapa dan guru
Sentiasa menjaga ibu bapa yang uzur
Tidak bising ketika sembahyang
Bersabar dan tidak pemarah
Membuka kasut ketika memasuki kuil
Berpakaian tidak mencolok mata
Tidak meninggikan suara semasa bercakap dengan orang lain
Sentiasa menolong orang susah
Tidak membalas dendam
Pemaaf
Pemurah
Hormat-menghormati

Rujukan :

Ibrahim Ahmad et.al. (2015). Kamus Dewan (Keempat). Dewan Bahasa dan Pustaka.