PEMBAHAGIAN JENIS HUKUMAN

Terdapat pelbagai pembahagian bentuk hukuman yang dilakukan oleh Fuqaha` dalam Fiqh Jinayah. Bagaimanapun, pembahagian tersebut dibuat berasaskan kriteria yang tertentu dan jenis jenayah.

1.0      Hukuman Hudud

Hudud segi bahasa bermaksud cegah (al man‘u) mencegah manusia daripada melakukan kesalahan yang membawa kepada pelaksanaan hukuman itu. Jenayah hudud ini dihukum dengan hukuman yang tetap (uqubah muqaddarah), dikira sebagai hak Allah. Kadi tidak mempunyai sebarang kuasa budi bicara untuk mengurangkan hukuman, menambah atau menggantikan hukuman. Kadi juga tidak ada kuasa mengampun.

Kadi hanya menjalankan perbicaraan dan menjatuhkan hukuman yang tetap itu. Hukuman ini dilaksanakan demi kebaikan orang ramai.

Dalam hubungan ini kepentingan individu diketepikan. Hukuman ini tegas dan tidak dilonggarkan barang sedikit pun bagi menjamin keutuhan masyarakat, sistem undang-undang dan mengelakkan pertambahan kadar jenayah.

1.1  Jenayah Hudud

(i) Zina

Dalam jenayah zina, syariah membezakan hukuman antara seorang muhsan (iaitu seorang yang telah berkahwin) dengan bukan muhsan. Bagi pesalah yang muhsan hukumannya adalah rejam (berdasarkan ayat yang telah dimansuhkan bacaannya tetapi hukumnya masih terpakai iaitu, “Orang tua lelaki dan orang tua wanita jika mereka melakukan zina, hendaklah direjam kedua-duanya.

Dalam satu hadis Rasulullah bersabda:

Tidak halal darah seorang Muslim yang telah bersaksi bahawasanya tiada tuhan yang disembah dengan sebenamya melainkan Allah dan mengakui Muhammad sebagai Rasulullah, melainkan dengan salah satu daripada tiga perkara: penzina yang telah berkahwin, pembunuh orang dan orang yang meninggalkan agamanya.

Sementara pesalah yang bukan muhsan hukumannya sebat 100 rotan di khalayak ramai, sesuai dengan firman Allah :

ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِي فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٰحِدٖ مِّنۡهُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٖۖ وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِهِمَا رَأۡفَةٞ فِي دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ وَلۡيَشۡهَدۡ عَذَابَهُمَا طَآئِفَةٞ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٢

 

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu sekumpulan daripada orang yang beriman. (an-Nur: 2)

Hukuman zina dikenakan dengan berat, sebab jika ini tidak dilakukan ia akan menjejaskan kelangsungan hidup manusia dalam bentuk yang sesuai dengan fitrah kejadiannya. Zina akan menjadikan manusia kehilangan harga diri, keluarga dan sanak saudara. Kesemua perkara tersebut memang diatur sedemikian rupa oleh Islam melalui institusi perkahwinan dan kekeluargaan.

Penzina yang muhsan dikira melakukan dosa besar ke atas setiap manusia dan kemanusiaan sejagat. Itulah sebabnya setiap hukuman merupakan balasan bagi dosa yang dilakukan oleh penzina itu.

(ii) Qazaf

Hukuman bagi kesalahan qazaf atau menuduh orang berzina ialah sebat lapan puluh kali dan kesaksiannya ditolak selama-lamanya. Hukuman ini diperuntukkan dalam firman Allah.

Dan orang yang melemparkan tuduhan berzina kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali dan janganlah kamu terima kesaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Pesalah dalam kes ini bukan sahaja dihukum disebabkan berdusta, tetapi disebabkan dia telah menjatuhkan kehormatan wanita yang tertuduh, menjejaskan kehidupan, pekerjaan, hubungan sosial dan sebagainya. Selain dikenakan sebat 80 rotan, penyaksiannya tidak diterima hinggalah ia bertaubat.

Ini memandangkan kesaksian sangat tinggi kepentingannya dalam undang-undang Islam. Gabungan hukuman fizikal (sebat) dan hukuman yang bukan fizikal (tidak diterima sebagai saksi) menjadi deraan yang lebih kuat kepada pesalah ini.

(iii)      Minum arak

Seorang penjenayah yang aqil baligh dan telah disabitkan bersalah kerana kesalahan minum arak hendaklah dikenakan hukuman hudud. Sekiranya penjenayah itu seorang yang merdeka, ia hendaklah disebat 40 rotan. Sekiranya ia hamba, hukumannya ialah sebat 20 rotan.

Syariah telah memerangi arak demi menjaga kemurnian akal fikiran manusia yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan. Dari sudut perubatan, tabiat ini boleh mendatangkan penyakit yang berbahaya.

Demikian juga halnya dengan penghisap dadah, seperti yang jelaskan oleh Syeikul Islam Ibn Taimiyah dalam kitabnya al-Siyasah al-Syariyyah:

Sesungguhnya menghisap dadah (seperti ganja, candu dan lain-lain) dan penghisap (penggunaannya) dikenakan hukum hudud seperti yang dikenakan kepada peminum arak, malah ia lebih teruk daripada arak.

(iv)      Mencuri

Mencuri ertinya mengambil harta orang lain dengan cara sembunyi. Sesetengah ulama membahagikannya kepada jenayah mencuri yang kecil dan merompak. Apabila sabitan dibuat, penjenayah akan dihukum dengan hukuman hudud, iaitu potong tangan hingga ke pergelangan tangan kanan.

Sesiapa juga tidak berhak memberi keampunan atau menukar hukuman itu kepada hukuman yang lain atau diringankan.

Firman Allah bermaksud, “Pencuri lelaki dan wanila, potong tangan kedua-duanya, sebagai balasan perbualannya dan hukuman daripada Allah” (al-Maidah: 38).

Mencuri dihukum dengan hukuman yang berat lantaran pencuri (pesalah) ingin mengambil jalan mudah untuk mencapai kesenangan iaitu di atas titik peluh dan air mata orang lain yang berusaha. Wang atau harta yang dicuri itu juga kemungkinan untuk ahli keluarga orang miskin, anak yatim dan sebagainya yang apabila dicuri tentulah menjejaskan kebajikan orang ramai. Sifat mencuri ini juga mendatangkan sifat malas berusaha dan suka mengambil jalan mudah untuk mencapai kemahuan, walaupun dengan cara yang haram.

(v)       Jenayah merompak (hirabah)

Merompak bermaksud mengambil harta atau membunuh atau mengugut dengan menggunakan senjata. Jenayah ini dianggap sebagai jenayah mencuri yang besar (sariqah kubra) kerana ia boleh berlaku dalam empat keadaan:

  1. Cuba mengambil harta dengan cara menakutkan manusia, tetapi harta itu tidak diambil dan tiada orang yang dibunuh.

  2. Cuba mengambil harta dengan cara yang sama, harta diambil, tetapi tiada orang yang dibunuh.

  3. Cuba mengambil harta dengan cara yang sama, harta tidak diambil, tetapi orang dibunuh.

  4. Cuba mengambil harta dengan cara yang sama, harta diambil dan pembunuhan juga dilakukan.

 

Jelaslah, bahawa jenayah merompak ini berbeza dengan jenayah mencuri yang biasa kerana ancaman terhadap harta dilakukan secara terang-terangan dan seterusnya mengancam nyawa mangsa.

Hukuman terhadap perompak dinyatakan dalam ayat yang berikut:

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka bertimbal balik atau dibuang negeri…. ( al-Maaidah: 33 )

(vi)      Murtad

Maksud murtad dari segi bahasa ialah ‘kembali’ dari sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain. Dari segi syarak, murtad bermaksud keluar daripada agama Islam kerana agama kafir, sama ada dengan perkataan, secara sengaja atau bergurau atau dengan perbuatan yang melampaui batas ajaran Islam, atau dengan iktikad (kepercayaan).

Murtad termasuk dalam kesalahan yang besar. Oleh itu hukuman yang sangat berat dikenakan terhadap orang yang melakukan jenayah ini. Allah berfirman, yang bermaksud, “Barang siapa yang kafir kepada Allah sesudah ia beriman dia mendapat kemurkaan Allah, kecuali orang yang terpaksa kafir pada hak hatinya tetapi dalam iman (maka dia tidak berdosa) (an-Nahl: 106).

 

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas yang bermaksud, “Barang siapa yang menukar agamanya (agama Islam) maka bunuhlah dia.” Dengan berpandukan ayat al-Quran,_hukuman bagi kes murtad ialah bunuh, tanpa mengira jantina, dengan syarat tertuduh itu mukalaf.

(vii)     Zalim (Bagky)

Baghy diertikan sebagai kezaliman yang melampaui had dan batasan. Ia juga dikenali sebagai ‘penderhakaan’, menentang pemerintah atau imam dalam erti kata orang-orang Islam yang menentang pemerintah dengan tidak mematuhinya dan meninggalkan pimpinannya.

Niat derhaka ini dilakukan dengan melampaui batas dan menjejaskan ketenteraman awam. Dalam hal ini Allah berfirman,

Dan jika ada dua golongan daripada mukmin berperang, maka didamaikan antara kedua-duanya. Jika salah satu dari dua golongan itu berbuat aniaya kepada golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sampai golongan itu kembali kepada perintah Allah (al-Hujurat: 6).

Jelaslah bahawa penjenayah baghy dihukum dengan hukuman bunuh. Ini adalah kerana jenayah ini menimbulkan kekacauan dan mengganggu keamanan dalam negara.

2.0      Hukuman Qisas dan Diat

(i) Qisas

Qisas bererti persamaan dan keadilan (al-musawah wa al-ta ‘adul). Menurut istilah syarak, qisas juga adalah uqubah muqaddarah seperti hudud, cuma yang berbeza kesalahan qisas melibatkan hak individu. Yang dimaksudkan dengan hak individu ialah jika mangsa diserang maka dia atau warisnya berhak menuntut supaya penjenayah dihukum atau diampunkan, hingga penjenayah boleh terlepas daripada hukuman asal (uqubah asliyyah).

Abdul Qadir Audah mengatakan qisas adalah persamaan, dalam erti kata balasan terhadap penjenayah setimpal dengan perbuatannya.

Jenis jenayah yang melibatkan hukuman qisas ialah membunuh orang dengan sengaja dan kesalahan mencederakan tubuh badan dengan sengaja.

Bagi jenis kesalahan membunuh dengan sengaja, al-Mawardi telah menerangkan bahawa kesalahan ini bermaksud “sengaja membunuh orang dengan apa-apa (alat atau senjata) yang lazimnya mematikan.” Tentang perkara ini Allah berfirman,

وَكَتَبۡنَا عَلَيۡهِمۡ فِيهَآ أَنَّ ٱلنَّفۡسَ بِٱلنَّفۡسِ

 

maksudnya, “Dan kami telah menetapkan ke atas mereka di dalamnya bahawa jiwa dibalas dengan jiwa” ( al-Maidah: 45).

Orang yang disabitkan melakukan kesalahan membunuh atau dikenakan qisas, dibunuh juga, ataupun dikenakan diyat jika waris orang yang terbunuh tidak menuntut qisas dilaksanakan. Hukuman ini telah disepakati oleh Fuqaha.

Perbezaan pendapat timbul dari segi bagaimana qisas dilaksanakan. Mazhab Hanbali dan Hanafi berpendapat penjenayah itu mesti dipancung dengan pedang, tanpa merujuk kepada cara yang sama seperti yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya.

Kumpulan yang pertama lebih mementingkan perlaksanaan hukuman qisas dengan cara yang mudah dan cekap.

Kumpulan yang kedua pula lebih melihat soal ‘persamaan’ iaitu menyamakan cara pengambilan nyawa.

Sebagai jalan penyelesaian dan taufiq, Syekh Mahmud Shaltut berpendapat:

Baginda Rasulullah sendiri memerintahkan supaya cara pembunuhan, antaranya cara penyembelihan binatang, dilakukan dengan cepat, mudah dan cekap. Dengan itu perlaksanaan qisas, seperti yang telah ditetapkan oleh al-Quran itu dijalankan dengan apa jua cara yang mudah dan kurang menyakitkan.

Bagi kesalahan mencederakan dengan sengaja, setelah sabit kesalahan tersebut penjenayah akan dihukum dengan hukuman qisas, sama seperti apa yang dilakukannya kepada mangsa. Allah berfirman,

وَكَتَبۡنَا عَلَيۡهِمۡ فِيهَآ أَنَّ ٱلنَّفۡسَ بِٱلنَّفۡسِ وَٱلۡعَيۡنَ بِٱلۡعَيۡنِ وَٱلۡأَنفَ بِٱلۡأَنفِ وَٱلۡأُذُنَ بِٱلۡأُذُنِ وَٱلسِّنَّ بِٱلسِّنِّ وَٱلۡجُرُوحَ قِصَاصٞۚ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِۦ فَهُوَ كَفَّارَةٞ لَّهُۥۚ وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ ٤٥

“Dan kami telah menetapkan terhadapnya mereka di dalamnya (Taurat) bahawa jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka (pun) ada qisasnya …” (al-Maidah:45).

Walaupun ayat ini dipersoalkan lantaran ia ditujukan kepada penerima kitab Taurat, Ibnu Kathir menyatakan, bahawa “ shar‘u man qablana syaru‘un lana” (“ undang-undang orang sebelum kita adalah undang-undang kita ”.) Begitu juga pendapat Imam Hassan al-Basri.

Ada beberapa syarat untuk menjalankan qisas bagi kes-kes mencederakan ini.

  1. Pencederaan mestilah dengan sengaja, bukan tidak sengaja.
  2. Bahagian anggota yang ingin diqisas mestilah sama dengan yang dicederakan (dengan keadaan yang sama).
  3. Qisas mesti boleh dijalankan dan dijalankan oleh orang yang mempunyai keahlian (pakar) untuk mengelakkan kesilapan.

Diyat adalah satu-satunya hukuman untuk pembunuhan secara sengaja (shabah al-amd). Ia juga adalah hukuman bagi pembunuhan sengaja jika waris si mati yang terdekat tidak menuntut qisas dilaksanakan. Dalam satu riwayat, Rasulullah bersabda maksudnya, “ untuk pembunuhan shabah al-amd diatnya ialah 100 ekor unta yang 40 daripadanya mesti mengandung.”

Dalam riwayat yang lain dinyatakan bahawa seratus  ekor unta itu ditetapkan untuk diat pembunuhan secara sengaja.

Dalam syariah, mangsa dan waris serta walinya diberi kuasa memaafkan penjenayah yang dikenakan hukuman qisas. Ini adalah disebabkan kes-kes bunuh dan mencederakan anggota melibatkan hak manusia. Dalam pembunuhan secara sengaja, mereka berhak mengampun perbuatan pembunuh dengan meminta diyat atau tanpa sebarang bayaran.

2.1      Takzir

Dari segi bahasa Takzir bermaksud pengajaran dan penghinaan. Al-Mawardi mentakrifkan Takzir sebagai deraan (hukuman) sebagai pengajaran terhadap orang yang melakukan kesalahan yang tidak diperuntukkan oleh hudud.

Ibn Qasim al-Ghaza pula menjelaskan Takzir sebagai seksaan yang kadarnya tidak ditentukan, tetapi terpulang kepada pemerintah. Qalyubi dan Umairah berpendapat ta`zir ialah hukuman pada sebarang maksiat yang bukan hudud dan bukan kafarrah.

Daripada definisi tadi, dapat dikatakan bahawa Takzir hukuman yang dikenakan ke atas kes-kes yang tidak melibatkan kesalahan hudud, qisas, diyat dan kafarah dengan tujuan pengajaran dan pemulihan. Dalam konteks ini hakim atau kadi diberikan kuasa budi bicara yang luas.

Hukuman Takzir bertujuan untuk memperbaiki, memberi pengajaran dan untuk menakutkan orang ramai supaya tidak melakukan jenayah. Ia juga bertujuan untuk membersihkan masyarakat daripada perbuatan maksiat yang merosakkan.

Untuk mencapai tujuan ini, kesalahan Takzir ini telah diisytiharkan kepada organisasi, demi menjaga kesejahteraan umum, agar si penjenayah merasai kesan perlaksanaan undang-undang tersebut.

Pertimbangan kadi terhadap hukuman Takzir dibuat berasaskan keadaan kesalahan yang dilakukan, rekod jenayah si pesalah, keadaan psikologinya dan sebagainya. Hukuman Takzir tidak terhad kepada hukuman yang telah biasa digunakan dalam teks undang-undang dan dalam amalannya, tetapi apa juga bentuk hukuman yang berfaedah, sesuai dan tidak bertentangan dengan kaedah am syariah. Antara contoh hukuman Takzir yang lazim dijalankan adalah seperti yang berikut:

 

  1. Alwaz – memberi amaran dan peringatan kepada seseorang yang melakukan pelanggaran undang-undang dengan tujuan memberi peringatan kepada pesalah, memaklumkan jika tahu bahawa dia telah melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang. Misalnya pering-kat awal dalam kes nusyuz (isteri yang tidak taat kepada suami).
  2. Al-Tawbikh – membuat celaan secara rasmi, dengan kata-kata dan perbuatan yang dirasakan oleh hakim mencukupi untuk mencapai matlamat Takzir.
  3. Al- Tahdid – hukuman dengan cara meminta pesalah menbetulkan perlakuannya dengan ancaman bahawa ia akan dihukum sekiranya mengulangi kesalahan tersebut. Ia juga dilakukan dengan menjatuhkan hukuman, tetapi perlaksanaannya ditangguhkan hingga si pesalah melakukan lagi kesalahan lain (dalam jangka waktu yang tertentu).

Hukuman ini mempunyai persamaan dengan ‘suspended sentences’ yang diamalkan dalam banyak sistem undang-undang, antaranya English Criminal Justice Act 1967. (Pindaan 1982).

  1. Al-Hajr – hukuman permulaan. Ini pernah dipraktiskan oleh Rasulullah dalam kes yang melibatkan seorang yang tidak mahu menyertai Perang Tabuk. Sayidina Umar pula pernah menjalankan hukuman ini ke atas seorang yang suka membahas ayat mutashabih dalam Quran dengan tujuan mengelirukan orang ramai. Setengah-setengah ulama berpendapat hukuman ini kurang praktis pada masa ini.
  2. Al-Tashhir– pengisytiharan umum adalah hukuman yang penting sejak zaman awal Islam. Ia dilakukan dengan membawa pesalah ke semua bahagian dalam bandaraya (tempat). Pegawai dari jabatan kehakiman akan membawanya dan memberitahu orang ramai bahawa individu yang berkenaan telah melakukan kesalahan yang dihukum dengan hukuman Takzir. Tujuan hukuman ini ialah untuk memberitahu orang ramai bahawa pesalah itu tidak boleh dipercayai.
  3. Al-Qharamah wa al-Musadarah – hukuman denda dan rampas harta. Walaupun terdapat beberapa perbahasan di antara golongan yang menyokong denda dan rampas harta dan golongan yang menentang pelaksanaan hukuman itu, tidak ada siapa pun yang dapat menafikan kepentingannya. Bentuk hukuman ini terus diamalkan, dan disesuaikan dengan peredaran zaman.
  4. Al-Habs – hukuman penjara. Seperti juga dalam system undang-undang yang lain hukuman ini sama ada mempunyai had tertentu (definite) ataupun tidak ada had (indefinite). Mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali tidak menentukan kadar yang tetap bagi hukuman penjara Takzir, kerana setiap kesalahan dan bagi setiap pesalah kadar hukuman yang dikemukakan berbeza. Bagi mazhab Syafie, hak maksimum ialah satu bulan untuk soal siasat dan enam bulan untuk hukuman dan had maksimum melebihi setahun.
  5. Al-Jald – hukuman sebat. Lazimnya, hukuman Takzir jenis ini adalah untuk kes minum arak. Persoalannya ialah adalah sebat dalam kes-kes Takzir dibolehkan melebihi jumlah sebat dalam kes hudud. Ada perbezaan pendapat daripada kalangan ulama tentang had minimum dan maksimum sebat kerana hukuman tersebut bergantung kepada keadaan kes dan pesalahnya.
  6. Al-Takzir bial Qatl – hukuman Takzir dengan dibunuh. Hukuman mati selalunya diperuntukkan untuk kes-kes yang serius, iaitu untuk dua kesalahan hudud (hirabah, murtad) dan hukuman qisas (bagi kes bunuh dengan sengaja). Walaupun ada fuqaha yang menentang Takzir dengan cara bunuh, dalam setengah-setengah kes terdapat kekecualian. Antaranya ialah kes perhubungan sejenis yang sudah jadi tabiat, menjadi pengintip untuk musuh, dan sebagainya.

Memandangkan hukuman Takzir ini telah diserahkan kepada kuasa budi bicara pemerintah Islam dan kadi, mereka mempunyai hak untuk menentukan beberapa jenis kesalahan dan hukumannya yang tidak dijelaskan dengan tetap dalam kes undang-undang. Antaranya kes riba memberi kesaksian palsu, pecah amanah, mencela orang, rasuah dan lain-lain. Yang mutlak matlamat Takzir ialah menghukum perbuatan yang menyalahi undang-undang dan menjejaskan ketenteraman awam serta hak individu.

Setelah melihat hukuman hudud, qisas dan ta`zir wajarlah kita melihat pembahagian hukuman dari segi konsep hukuman.

Pada asasnya hukuman dibahagikan kepada hukuman asli (asliyyah), hukuman gantian (badaliyyah), hukuman turutan (tab‘iyyah) turutan dan hukuman pelengkap (takmiliyyah).

Hukuman yang asli telah ditentukan pada sejak semula lagi bagi jenayah yang tertentu, seperti qisas untuk jenayah bunuh, rejam untuk zina dan lain-lain. Hukuman gantian adalah pengganti kepada fungsi hukuman asli contohnya diat menggantikan qisas.

Hukuman turutan bermaksud hukuman terhadap pesalah dalam jarimah yang tertentu, walaupun tidak dinyatakan oleh kadi dalam keputusannya. la adalah kesan daripada hukuman asli dan tidak memerlukan hukuman khusus. Contohnya pembunuh tidak boleh mewarisi harta orang yang dibunuhnya, qazif (pesalah qazf) tidak diterima kesaksiannya.

Hukuman pelengkap bermaksud hukuman penyempurnaan serta memerlukan hukuman khas yang diputuskan oleh kadi. Contohnya menggantung tangan pencuri yang sudah dipotong di lehernya.

Ada juga fuqaha yang membahagikan hukuman ini mengikut bentuk hukuman, sama ada hukuman itu melibatkan tubuh badan seperti sebat, bunuh, rejam, potong dan lain-lain. Hukuman ini juga melibatkan kehormatan diri. Di samping itu ada juga hukuman yang menghalang kebebasan seperti penjara, hukuman yang melibatkan harta seperti denda, rampas harta dan sebagainya.

 

Rujukan

Zainuddin Jaafar. (1990). Hukuman Mengikut Undang-Undang Syariah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ilustrasi :

Mohd Azhar Abdullah et.al. (2014). Soal Jawab Hudud. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd.

 

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.