Kebajikan masyarakat begantung pada kebajikan setiap individu (anggota) dalam masyarakat. Namun begitu peningkatan kebajikan individu tidak semestinya membawa kesan yang selari dengan kebajikan anggota yang lain dalam masyarakat. Kebajikan dalam Islam bukan sahaja dapat memastikan kebajikan orang lain tidak terjejas, malah akan sama-sama meningkatkan kebajikan seluruh anggota masyarakat. Kegiatan seseorang Muslim yang baik tidak sahaja terhad kepada peningkatan kebajikan ekonomi (kebendaan) yang tidak menjejaskan kebajikan orang lain, tetapi juga kebajikan kerohanian yang akan mempengaruhi peningkatan kerohanian orang lain, sehingga kesan akhirnya ialah peningkatan kebajikan yang menyeluruh, iaitu al-falah.

 

Oleh itu, kebajikan Islam yang menyeluruh meliputi pelbagai aspek kesejahteraan dan kepuasan yang saling berkaitan antara satu dengan yang lain iaitu : Kebajikan keduniaan yang berbentuk kebendaan termasuk ekonomi, kebajikan keakhiratan yang berbentuk kerohanian, kebajikan persendirian dunia dan akhirat serta kebajikan sosial (masyarakat) dunia dan akhirat. Hal ini berbeza daripada konsep kebajikan Barat yang terhad kepada aspek kepuasan kebendaan, atas nama persendirian dan sosial (masyarakat), tanpa kesejahteraan kerohanian (individu dan masyarakat).

 

Tuntutan menunaikan tanggungjawab sesama umat Islam atau melaksanakan hak mereka merupakan salah satu daripada cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah SWT dan Rasul. Firman Allah SWT: “Kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).” (surah al-Hajj ayat ke 77)

 

Oleh itu, kebajikan dalam ekonomi merupakan kerja kebaikan yang dilandasi dengan keimanan dalam melakukan aktiviti ekonomi dengan jujur dan tidak dengan cara-cara yang batil agar menghasilkan kemanfaatan dan kemashlahan kepada orang lain. Justeru, tugasan ini akan membincangkan konsep kebajikan dalam ekonomi Islam yang perbincangan ini tertumpu kepada instrument-instrumen yang dikategorikan di bawah ekonomi kebajikan serta peranannya dalam pembangunan ekonomi umat Islam secara keseluruhannya.

 

KONSEP KEBAJIKAN DALAM EKONOMI ISLAM

 

Ekonomi Islam berteraskan Tauhid yang menekankan manusia hendaklah mengurus, mentadbir serta menggunakan sumber alam yang diciptakan Allah bagi mencapai al-Falah dengan berpandukan kepada peraturan yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

Menurut (Hasan, 2015) kebajikan ekonomi merupakan salah satu bahagian dari aspek kebajikan yang menyeluruh. Kebajikan yang menyeluruh pula bukan sahaja mengandungi nilai ekonomi tetapi juga merangkumi segala nilai sosial dan politik, di samping nilai akhlak dan kerohanian (M.A.Mannan, 1986:354). Nilai-nilai yang dimaksudkan adalah seperti yang berikut:

Nilai sosial: Nilai ini akan membentuk dan mengatur perlakuan individu dalam keluarga antara jiran, terhadap golongan miskin atau yang lemah dan seterusnya. Perbezaan warna kulit, bangsa, kekayaan dan sebagainya tidak menjadikan seseorang itu lebih tinggi atau rendah daripada orang lain. Di sisi Allah SWT, mereka adalah sama, satu keturunan dan bersaudara kecuali yang lebih bertakwa.

Nilai politik: Kekuasaan dan kedaulatan hanya terdapat pada Allah SWT. Walaupun manusia telah diberikan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini, namun kedaulatan manusia adalah terbatas, iaitu hanya setakat yang diizinkan oleh Allah SWT. Sudah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk mentaati pemerintah terhadap perkara-perkara yang bukan maksiat. Oleh sebab pemerintah mempunyai peranan penting dalam kebajikan rakyatnya, maka nilai ini menjadi kepentingan juga dari segi penentuan kebajikan.

Nilai ekonomi: Segala kegiatan ekonomi hendaklah dijiwai dengan hukum al-Qur’an dan al-Sunnah, halal dan haram sama ada dari aspek penggunaan, pengeluaran, peruntukan. pengagihan, pemilikan, dan sebagainya.

Nilai akhlak dan kerohanian: Asas nilai ini ialah kecintaan terhadap Allah SWT. Individu yang mencintai Allah SWT ialah hamba-hamba yang mengenalinya, dan hamba yang mengenalinya ialah orang yang faham dan sedar akan kepentingan Islam, bukan jahil atau fasik (walaupun alim). Dengan perasaan kasih sayang dan kecintaan terhadap Allah SWT inilah lahir juga kecintaan terhadap manusia yang lainnya.

Sehubungan dengan hal ini, segala nafsu buruk manusia yang bersifat kebendaan hendaklah diubah kepada nafsu baik yang berkualiti akhlak. Di sinilah perlunya pendidikan dan tarbiah untuk membentuk jiwa manusia agar dapat menilai sebarang aspek kerohanian dan akhlak seperti nilai kebendaan.

INSTRUMEN YANG DIKATOGERIKAN DI BAWAH EKONOMI KEBAJIKAN

 –Sedekah

Sedekah dalam pengertian oleh fuqaha disebut sadaqah al-tatawwu ’ atau sedekah secara sukarela. Di samping itu, erti sedekah juga adalah pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sedekah juga diistilahkan sebagai suatu pemberian ikhlas sama ada barang yang disedekahkan itu disayangi atau tidak. Sedekah kebiasannya menjurus kepada makanan, pakaian dan wang yang boleh dimanfaatkan oleh penerima.  Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menggalakkan kaum Muslimin untuk sentiasa memberikan sedekah. Antara ayat yang dimaksudkan adalah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat makruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah SWT, maka kelak kami akan memberi kepadanya pahala yang besar”. (Surah al-Nisa 4: 114)

“Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang dia kehendaki dan Allah maha luas kurniaan-Nya lagi maha mengetahui”. (Surah al-Baqarah 2 : 271)

Ayat al-Quran yang disebutkan dalam ayat ketiga ini bermaksud bahawa seeloknya dalam bersedekah disembunyikan perbuatan tersebut berbanding diperlihatkan. Selain itu, sedekah boleh mengembangkan harta, iaitu dengan pemberi sedekah akan mendapat rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka.

Konsep memberi sedekah dalam Islam telah digariskan dengan baik. Pemberian sedekah haruslah mengutamakan kaum kerabat terdekat terlebih dahulu. Pemberian kepada saudara terdekat ini adalah kepada mereka yang khususnya sangat memerlukan bantuan. Contohnya terdapat saudara yang mempunyai anak ramai, suaminya sakit dan tidak dapat bekeija, maka kepada golongan sebegini harus diutamakan. Setelah itu bolehlah memberi sedekah kepada masyarakat umum yang tidak mempunyai pertalian saudara dekat dengan kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sedekah yang paling utama adalah pengorbanan kepada orang yang dalam kekurangan, dan mulailah dari orang yang berada di bawah tanggunganmu (Riwayat Abu Daud)

“Apabila seorang memberi nafkah kepada keluarganya demi untuk mencari pahalanya dari Allah, maka menjadi sedekah baginya ”. (Riwayat Al-Shahihain)

“Sedekah yang diberikan kepada orang miskin mendapat satu pahala, sedangkan edekah yang diberikan kepada  sanak saudara mendapat dua pahala, pahala sedekah dan pahala silaturrahim.” (Riwayat Ahmad, Al-Nasa`i, Al-Tarmizi dan Ibnu Majah)

Kaedah lain dalam pemberian sedekah ini adalah dengan memberi lebih kepada saudara terdekat dan kurang kepada saudara yang jauh berdasarkan kemampuan pemberi sedekah. Hal ini supaya seseorang itu berasa puas kerana selain bersedekah kepada saudara terdekat, sedekahnya juga pergi kepada orang lain. Selepas sanak saudara, golongan yang perlu diutamakan dalam memberi sedekah adalah kepada golongan anak yatim. (Muhammad, Nasri & Sollehuddin, 2013)

-Zakat

Dalam Bahasa Arab, “Zakat” secara umumnya bererti pertambahan. Berasaskan kepada pengertian umum ini ia kemudiannya digunakan bagi pengertian yang banyak seperti cerdik, subur, jemih, berkat, kepujian, bersih dan banyak lagi. Sebagai satu istilah dalam Syariat Islam, zakat bererti mengeluarkan kadar tertentu daripada harta yang tertentu bagi faedah kalangan yang berhak menerimanya, sepertimana yang ditentukan oleh Allah. Dalam penggunaan lain, ia juga bererti harta yang dikeluarkan itu sendiri.

Sebagaimana diketahui umum, zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Dalam hadis-hadis Rasulullah disebutkan ia adalah rukun Islam ketiga, selepas syahadat dan sembahyang, iaitu sebelum puasa dan haji. Rukun bererti tonggah, atau asas utama pembinaan sesuatu. Ini bererti, tanpa mengeluarkan zakat, seperti juga tanpa sembahyang, berpuasa dan sebagainya, keislaman seseorang itu tidak boleh tegak dengan baik, atau tidak tertegak langsung.

Adalah wajar diperhatikan bahawa kedudukan zakat sebagai rukun Islam ketiga sesudah syahadah dan sembahyang memberi pengertian yang mendalam sekali, teaitama kepada masyarakat Islam Yang mahu kembali semula maju bersama Islam. Ia menggambarkan bahawa pembahagian rezeki secara adil merupakan agenda utama sekali berbanding dengan apa yang dilakukan oleh sesetengah mereka yang berada yang lebih cenderung menunaikan haji berkali-kali tetapi kedekut untuk menyumbang kepada golongan fakir miskin.

Sebagai salah satu rukun Islam yang lima, zakat mempunyai latar belakang yang jelas sebagai asas pembinaan masyarakat Islam yang kukuh. Berasaskan kepada latar belakang ini, zakat boleh disifatkan dengan secara mudah sebagai tonggak kewangan dan sosial dalam Islam. Bersama akidah dan sembahyang, ia boleh memberi gambaran yang jelas terhadap kerangka Islam yang sebenarnya walaupun belum begitu sempurna.

Bagaimanapun, sebagai asas kepada Islam, ia tidak boleh terlepas daripada sifatnya sebagai ibadat. Daripada segi ini ia adalah sebahagian daripada ibadat rasmi umat Islam, disamping sembahyang, puasa, haji, jihad dan sebagainya. Kerana itulah zakat tidak hanya diperkatakan oleh para fuqaha dalam satu bab sahaja, tetapi dalam banyak bab. Ia disebut dalam bab Ibadat, dalam bab kehartaan, sosial, kebajikan, pemerintahan dan sebagainya.

Manusia, sepertimana dimaklumi, dilengkapi oleh Allah dengan borbagai-bagai naluri bagi menjadikan mereka sejenis makhluk yang mampu untuk membangun dalam kehidupan duniawi dibumi Allah ini. Antara naluri-naluri berkenaan ialah kecintaan terhadap diri sendiri, keinginan untuk terus kekal hidup dan untuk mcmiliki. Antara hasil gabungan naluri berkenaan manusia biasanya bersifat kedekut dan mementingkan diri sendiri. Meskipun sifat kedekut ini satu gejala tabi’i pada manusia yang dihasilkan oleh berbagai-bagai naluri yang diperlukan oleh manusia untuk bersifat membangun, namun pada pandangan Islam ia merupakan sifat keji yang perlu dihapuskan oleh setiapmuslim dalam membina keunggulan peribadi. Dengan mengeluarkan zakat peranan kedekut ini dapat dikikis dari semasa kesemasa. Kerana dengan berbuat demikian pengeluar dapat merasai kemanisan berbelanja pada jalan Allah dan keselesaan melepaskan diri daripada cengkaman perhambaan diri terhadap harta benda.

Disamping menghilangkan rasa kedekut zakat juga boleh melatih seseorang bagaimana berbelanja dengan betul. Dalam Islam sikap berbelanja dengan cara yang betul ini adalah sebahagian daripada sifat taqwa kepada Allah. (Hassan, 2002)

-Wakaf

Orang yang beriman dan berharta walaupun sedikit akan berfikir tentang kesenangan hidup di dunia dan di akhirat serta memikirkan tentang nasib umat Islam yang lain. Dengan demikian, dia akan menggunakan hartanya untuk mencapai tujuan-tujuan tersebut. Ia tidak akan terpesona dengan kesenangan di dunia semata-mata. Demi untuk membuat kebajikan jangka panjang dan berkekalan bagi pembangunan masyarakat, caranya ialah dengan melaksanakan akad al-waqf (wakaf).

Perkataan wakaf berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud ‘terhenti’ atau ‘tertahan’. Menurut istilah syarak pula bermaksud menahan harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seseorang pengguna yang harus dan wujud dengan harapan ia dapat mendekatkan dirinya kepada Allah SWT (al-Khin et al„ 2003).

Oleh itu, hukumnya sangat digalakkan oleh syarak iaitu sunat hukumnya. Iniadalah berdasarkan kepada ayat al-Quran dan sabda Rasulullah SAW dalam al-Hadis berikut yang bermaksud:

“Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan sesungguhnya Allah mengetahuinya ”. (Surah Ali Imran 3: 92)

Selain itu, dalam satu hadis pula. Ibn Umar r.a. berkata: “Umar al-Khatab r.a. telah menerima sebidang tanah di Khaibar lalu beliau menemui Nabi SAW dan bertanya apa yang patut dilakukan dengan tanah tersebut. Nabi

SAW bersabda: “sekiranya mahu engkau wakafkanlah ia dan sedekahkan hasilnya ”. Lalu Umar al-khatab pun wakafkan harta tersebut sambil berkata: ‘‘Tanah ini sama sekali tidak akan dijual atau dihadiahkan mahupun diwariskan. Hasilnya akan disedekahkan kepada fakir miskin, kaum keluarga, hamba, fisabililah, ibnu sabil dan para tetamu. Tidak salah bagi penjaga tersebut memakan hasilnya ataupun memberi makan orang lain tanpa menyimpannya ”. ( Riwayat Muslim dan Bukhari).

Contoh pengamalan waqaf biasanya di amalkan di negara-negara Arab melalui penubuhkan institusi pengajian dan pendidikan seperti Universiti Al-Azhar di Mesir. Di samping itu, Mesir mewujudkan Kementerian Waqaf bagi menyeliakan harta-harta waqaf orang Islam.

PERANAN DAN SUMBANGAN INSTRUMENT-INSTRUMENT TERSEBUT DALAM PEMBANGUNAN EKONOMI UMAT ISLAM SEJAGAT

 Peranan Sedekah : Manfaat Umum

Di Malaysia sikap pemurah di kalangan dermawan juga dilihat menerusi pelbagai yayasan dan sumbangan daripada tokoh-tokoh korporat. Antaranya ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Ananda Krishnan, Tan Sri S.O.K Ubaidullah dan Tan Sri Robert Kuok.

 

Menyentuh mengenai sikap dermawan, Islam sebenarnya amat dekat dengan amalan tersebut sama ada dalam bentuk wajib seperti zakat atau sukarela iaitu sedekah atau wakaf.

 

Namun daripada segi kesan kepada kebaikan ummah, penulis berpendapat, sedekah sukarela lebih memberi kesan kebaikan berbanding sedekah wajib.

 

Ia hanya bergantung kepada keikhlasan seseorang dan boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa mengira tempat dan boleh disalurkan untuk masyarakat umum.

 

Ia juga boleh dikembangkan melalui alat-alat pelaburan yang ada di pasaran kewangan. Secara tidak langsung si penderma akan mendapat pahala yang berterusan jika sumbangannya tadi dapat dimanfaat secara berterusan di dalam bidang-bidang kebajikan yang dipilihnya.

 

Inilah yang dilakukan oleh yayasan-yayasan terkenal di Barat. The Carnegie Corporation yang ditubuhkan pada 1911 oleh Andrew Carnegie, sehingga sekarang masih lagi menyumbang kepada perkembangan pendidikan di Barat menerusi sumbangan sekitar AS$60 juta setahun. (Mohamad, 2009)

 

 Peranan Zakat : Membantu pihak yang memerlukan

Hal ini jelas dapat dilihat daripada senarai dimana zakat itu diagihkan. Mereka terdiri daripada fakir miskin, hamba abdi yang berusaha untuk membebaskan diri, mereka yang dihimpit beban hutang, mereka yang keputusan belanja dalam perjalanan dan sebagainya. Bagi Islam, kemudahan hidup juga merupakan sesuatu yang wajar diperolehi.

 

Dengan pemberian zakat kepada mereka, golongan yang memerlukan ini akan dapat menampong keperluan hidup mereka, yang dengan kerana itu mereka akan mampu berkongsi hidup dengan orang lain dan melaksanakan kewajipan taat kepada Allah. Dengan itu juga mereka tidak akan merasa tersisih daripada masyarakat dan tidak menaruh perasaan dengki serta dendam terhadap para pemilik harta.

 

Contohnya Zakat Fitrah, Ianya merupakan zakat peribadi yang diwajibkan ke atas setiap individu Muslim tanpa mengira had umur, jantina dan kedudukan. Iaitu diwajibkan setahun sekali dari makanan asasi sesuatu tempat. Ianya juga dikenali sebagai zakat badan, atau cukai kepala ataupun Zakat Ramadhan, yang tujuannya untuk menyucikan jiwa orang-orang yang berpuasa Ramadhan. Manakala, Zakat Harta pula,merupakan kadar tertentu dari pemilikan harta tertentu melalui syarat-syarat tertentu, yang diambil sebagai cukai kewangan berperaturan dalam Islam. Zakat harta terdiri daripada zakat emas dan perak, zakat vvang simpanan, zakat saham, zakat simpanan KWSP, zakat pendapatan, zakat tanam-tanaman (i.e. padi), zakat temakan (lembu, kambing, biri-biri, unta), zakat pemiagaan dan zakat ke atas harta rikaz.

 

 Peranan Waqaf : Jaminan Sosial

Wakaf berperanan sebagai mekanisme  agihan  semula  kekayaan  dalam  Islam.  Sebagaimana  yang  telah dibincangkan,  individu  Islam  akan  berwakaf  kerana  ingin  taqarrub  kepada Allah  kerana  jaminan  akan  mendapat  pahala  yang  berpanjangan.  Oleh  itu wakaf sebagai mekanisme agihan semula adalah sangat unik kerana pewakaf tidak  perlu  dipaksa  untuk  melakukannya  kerana  ia  dibuat  dengan  niat mendapat keredaan Allah.

 

Sesuatu perwakafan boleh dibahagikan kepada dua kategori umum, iaitu wakaf am dan wakaf khas. Wakaf am merupakan mana-mana bentuk harta wakaf yang dibuat  untuk  tujuan-tujuan  kebajikan  atau  khairat  umum  tanpa  menentukan mana-mana benefisiari khusus (sama ada terdiri daripada individu ataupun mana-mana  organisasi/institusi)  ataupun tujuan-tujuan  khusus  yang  tertentu. Perwakafan daripada kategori ini boleh diaplikasikan kepada perkara-perkara  atau tujuan-tujuan kebajikan umum yang dapat meningkatkan lagi imej Islam dan masyarakatnya, contohnya seorang yang berwakaf tanahnya untuk umat Islam secara umum dan untuk tujuan kebajikan. Pewakaf tidak mensyaratkan sebarang syarat kepada harta yang diwakafkan. Wakaf khas pula bersifat khusus apabila pewakaf menentukan wakaf yang dibuat  untuk  tujuan-tujuan  khusus  ataupun  benefisiari-benefisiari  tertentu. Dalam perwakafan khas, seseorang pewakaf akan menetapkan daripada awal lagi  kepada  siapakah  wakafnya  dibuat  atau  untuk  tujuan  manakah  wakafnya mesti diaplikasikan. Contohnya pewakaf mewakafkan tanah untuk perkuburan atau mewakafkan tanah untuk orang miskin. (Rahman, 2009

KESIMPULAN

 

Tuntasnya, sistem ekonomi Islam lahir daripada asas ideologi agama, bukan melalui rumusan idea dan pemikiran manusia. Oleh itu, ekonomi Islam kerap dinamai ekonomi i’tiqad dari segi prinsip dan panduan asasnya, namun sistem ekonomi ini lebih bersifat ijtihad dari segi pengamalannya.

 

Keutamaan kebajikan dalam ekonomi Islam dapat membantu pihak pemerintah dan masyarakat sejagat agar mencapai kesejahteraan dan kestabilan ekonomi negara. Oleh itu, usaha kesedaran kepada semua pihak harus dipertingkatkan agar kebajikan ini sentiasa dijadikan amalan dalam negara Islam dan diperkasakan sumbangan-sumbangan ikhlas dari pihak yang berkemampuan.

Rujukan

Abdullah Ahmad Badawi. (2000). Upacara Perasmian Bank Muamalat Malaysia. Kuala Lumpur: Koleksi Ucapan Perdana Menteri.

Bank Muamalat. (2012, Julai ). Perbandingan Antara Perbankan Islam Dan Konvesional. Didapatkan dari http://e-muamalat.islam.gov.my/sites/default/files/kertas_ilmiah/2012/07/perbandingan_bank_i-k.pdf

Hasan, S. K. (2015). Ekonomi Islam Peranan Pemerintah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Hassan, N. M. (2002). Ekonomi Islam dan Pelaksanaannya Di Malaysia. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam (IKIM).

Mohamad, M. H. (2009, April 24). Didapatkan dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

Muhammad, Nasri & Sollehuddin. (2013). Mengurus Harta Menurut Fiqh Muamalat. Kedah Darul Aman: Universiti Utara Malaysia.

Rahman, A. A. (2009). PERANAN WAKAF DALAM PEMBANGUNAN . Jurnal Syariah, 15-19.

 

 

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net adalah Rakan Penyelidik Nusantara dalam pembangunan dan perkembangan kajian Sains Sosial , Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perundangan Syariah di Nusantara. Selain itu, menyediakan Perkhidmatan & Perundingan Guaman Syarie dan Pengurusan Harta Islam. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.