Menurut (Zulkefli Aini, 2013) suasana mengancam kedudukan umat Islam yang menggambarkan kedegilan kaum Quraisy untuk menghentikan kejahatan mereka, maka Allah SWT telah menurunkan keizinan berperang kepada umat Islam tetapi tidak diwajibkan. Allah berfirman dalam surah Al-Hajj: 39 :

 

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan)

 

Berikut digambarkan contoh peperangan yang baginda sebagai ketua turus angkatan tentera dalam beberapa sesi peperangan seperti peperangan Badar, peperangan Uhud dan peperangan Khandaq yang diketuai oleh Nabi Muhammad SAW.

Perang Badar

Peperangan Badar ialah pertembungan bersenjata yang pertama antara orang-orang Islam dengan orang-orang Musyrikin. Ia adalah peperangan pemisah yang membuatkan orang Islam mendapat kejayaan besar sehingga menjadi perhatian orang-orang Arab selurunya. (Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri, 2004)

Peperangan Badar Berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-2 hijrah. Tentera muslimin diketuai oleh Rasulullah SAW serami 313 orang mujahid iaitu 82 orang Muhajirin dan, 231 orang Ansar. Manakala tentera Quraisy seramai antara 900 hingga 1,000 orang. Kaum muslimin telah keluar dari Madinah sehingga sampai ke suatu tempat bernama Badar yang terletak lebih kurang 160 kilometer dari Madinah.

Peperangan ini pada mulanya bertujuan menyekat dan menawan kefilah perniaggan Quraisy yang tiba dari Syam di bawah kelolaan Abu Sufyan. Persediaan awal Baginda dengan seramai 313 orang Islam adalah untuk mengambil semula hak mekera yang telah dirampas oleh Quraisy sebelum hijrah ke Madinah. Apabila dagangan Abu Sufyan mengetahui persediaan orang Islam, orang Qurasiy menghantar 1,000 orang yang dilengkapi dengan tentera berkuda dan pahlawan-pahlawan.

Strategi pengurusan yang dilaksanakan oleh Baginda seperti berikut :

 

  • Mengadakan risikan di kawasan Badar untuk mengetahui maklumat tentang tentera Makkah. Antara sahabat yang terlibat ialah Ali bin Abi Talib dan al-Zbair bin Al-`Awwam RA. Mereka mendapatkan dua orang kanak-kanak yang membawa air untuk tentera Makkah. Meraka ditaya tentang anggaran bilangan tentera Makkah, bilangan sembelihan mereka setiap hari dan ketua-ketua Quraisy yang mengiringi mereka.

 

  • Pemilihan markas tentera Madinah di kawasan Badar, Nabi Muhammad SAW bersetuju dengan pandangan Khubbab bin al-Mundhir tentang tempat yang lebih strategik untuk dijadikan markas tentera Madinah, iaitu di kawasan yang lebih dekat dengan markas tentera Makkah, merosakan telaga-telaga yang berhampiran dengan musuh dan membina takungan air untuk kemudan tentera Madinah.

 

  • Pembinaan rumah teduhan sementara untuk Nabi Muhammad SAW sebagai tempat gerakan perang sebagaimana yang dicadangkan oleh Sa`d bin Mu`adh RA

 

Dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar kemenangan berpihak kepada tentera Madinah terutama di waktu malam menjelang peperangan berlaku. Namun, Allah SWT memakbulkan doa Rasulullah SAW dalam peperangan ini dengan mengutuskan para malaikat membantu sebagaimana direkodkan dalam al-Quran dalam surah Ali `Imran ayat 123-126.

 

Hasil dari peperangan ini, tentera muslim berjaya mengalahkan tentera Quraisy. Namum 14 orang tentera muslim syahid.Manakalah 70 orang tentera Quraisy terkorban dan 70 orang menjadi tawanan kepada tentera Muslim. Antara pembesar Quraisy yang terbunuh ialah `Utaibah bin Rabi`ah, Syaibah bin Rabi`ah, al-Walid bin `Utaibah, Abu Jahal bin Hisyam dan Umaiyah bin Khalaf.

Manakala, selepas peperangan ini, tentera Madinah memperolehi banyak harta rampasan perang (Ghanimah).

Pembahagian harta tersebut adalah berdasarkan dari surah al-Anfal ayat :1 dan Nabi Muhammad SAW juga meminta pandangan dari para sahabat tentang nasib tawanan perang yang terdiri daripada tentera Makkah, berasaskan dua pandangan iaitu :

 

  • Memberi rahmat dan keampunan, pandangan Abu Bakar RA (mereka perlu menebusnya dengan bayaran fidyah). Jika tidak mampu membayar fidyah, mereka yang mempunyai kemahiran membaca dan menulis perlu mengajarkannya kepada anak-anak Madinah.

 

  • Melakukan ketegasn dan hukuman, pandangan `Umar bin al-Khattab RA (mereka perlu dibunuh) dan pandangan Abullah bin Rawahah RA (mereka perlu dibakar dengan kayu).

Oleh itu, Rasulullah SAW memilih pendapat Abu Bakar RA dengan asal “ Rahmatku mendahului kemarahan-Ku. Tetapi Allah SWT menurunkan wahyu-Nya yang menyokong pandangan `Umar bin al-Khattab dalam surah al-Anfal ayat 67-68 yang bermaksud :

 

Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi, kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa yang besar disebabkan (penebus diri) yang kamu ambil (dari orang-orang tawanan) itu.

 

Kesan daripada peperangan ini, kedudukan orang Islam di Madinah bertambah kukuh bebanding dengan orang Yahudi. Ini menyebabkan orang Yahudi bertambah benci dan marah kepada orang Islam. Selain itu, bilangan orang Islam semakin bertambah dan orang Quraisy terkejut dengan kekalahan mereka, ada kalangan mereka yang marah dan sakit hati seperti Abu Lahab bin Abdul al-Muttalib sehingga membawa kepada kematian.

Perang Uhud

Api kemarahan terhadap orang-orang Islam bersemarak di Mekah disebabkan insiden dalam peperangan Badar iaitu kekalahan yang mereka terima serta pembunuhan orang-orang kenamaan mereka. Maka, kesan tersebut timbullah semangat untuk membalas dendam sehinggakan kaum Quraisy bersepakat untuk melancarkan peperangan besar-besaran menentang orang Islam.

Peperangan ini tercetus pada hari Sabtu 15 hari bulan Syawal tahun ke tiga hijrah di Bukit Uhud yang terletak kira-kira tiga kilometer di luar kota Madinah.

Bilangan tentera Madinah adalah seramai 1,000 orang termasuklah dua pasukan tentera berkuda dan 100 orang tentera berbaju perisai besi. Tiga orang diberi amanah untuk memimpin panji-panji peperangan, iaitu Mus`ab bin `Umair (bagi pihak Muhajirin), Usaid bin Hudair (bagi pihak Aus) dan Hubab bin Munzir (bagi pihak Khazraj). Walau bagaimanapun seramai 300 orang menarik diri, yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, kerana tidak bersetuju dengan keputusan Rasulullah SAW berperang melawan tentera Makkah di luar kota Madinah. Setelah pembelotan dan penarikan diri kumpulan munafik ini, baginda SAW menerkan perjalananya bersama baki anggota yang masih tinggal iaitu seramai 700 orang menuju ke arah pihak musuh. Penempatan ketenteraan pihak musuh berada di tengah-tengah antara baginda dan bukit Uhud.

Manakala tentera Makkah adalah seramai 3,000 orang termasuklah 100 orang pasukan tentera berkuda, 700 tentera berbaju perisai besi dan sejumlah kaum wanita. Tentera Makkah disertai juga Khalid bin Walid yang memimpin pasukan di sebelah sayap kanan dan `Ikrimah bin Abi Jahil di sebelah sayap bawah.

Menurut (Zulkefli Aini, 2013) terdapat empat sebab berlakunya perang Uhud, iaitu :

-Faktor agama, iaitu orang arab Quraisy mensyrikin Makkah berusah sedaya upaya menghalang gerakan dakwah, menegah orang daripada memeluk agama Islam dan berusaha memastikan Islam tidak tumbuh subur di atas muka bumi.

-Faktor kemasyarakat, iaitu orang arab Quraisy Makkah merasa terhina dan malu di atas kekalahan mereka di tangan tentera Madinah pada perang Badar.

-Faktor ekonomi, iaitu apabila tentera Madinah melancarkan ekspedisi dan gerakan ketenteraan telah memberi kesan yang besar kepada ekonomi orang Makkah yang bergantung kepada kafilah perdagangan ke Yaman dan ke Syam.

-Faktor politik, iaitu apabila orang arab Quraisy Makkah merasa ketuanan mereka mula menurun dengan kekalahan dalam perang Badar.

Maka, berdasarkan faktor dan sebab tersebut, orang Quraisy bermesyuarat untuk menuntut bela dan dendam di atas kematian pejuang-pejuang mereka dan mahu menebus kembali kekalahan mereka dalam perang Badar.

Strategi pertahanan Rasulullah SAW dengan mengerahkan, mereka membuat barisan. Baginda memilih dari kalangan mereka satu pasukan pemanah yang cekap terdiri daripada lima puluh orang pemanah. Kepimpinan pasukan ini diserahkan kepada Abdullah bin Jubayr bin al-Nu`main al-Ansariy. Baginda perintahkan mereka supaya berpusat di atas bukit yang terletak di tebing selatan dari lembah Qanah dan berada di sebelah tenggara lokasi tentera Islam, sejauh kira-kira 150 meter dari lokasi tentera Islam.

 

Dalam peperangan ini, terdapat kecuaian dan kelalaian tentera pemanah terhadap pesanan Nabi Muhammad SAW menyebabkan tentera Makkah mengambil peluang dan ruang menyerang tentera Madinah. Ramai sahabat yang terkorban, termasuklah Hamzah bin `Abdul Muttalib, Mus`ab bin `Umair, Sa`ad bin al-Rabi`, `Abdullah bin Jahsy, dan Hanzalah bin Abi `Amir al-Ghasil RA.

Perang Khandaq

Peperangan ini dinamakan peperangan Khandaq dan Ahzab, Khandaq bermaksud parit. Dalam peperangan tersebut, orang Islam menggali parit sebagai kubu atau benteng kepada ketahanan kota Madinah daripada diserang tentera bersekutu yang diketuai oleh orang Arab Quraisy Makkah. Penggalian parit itu adalah mengikut cadangan Salman al-Farisi RA sebagai teknik dan strategi peperangan.

Manakala Ahzam bermaksud pasukan-pasukan. Ia merujuk kepada gabungan kumpulan-kumpulan tertentu yang diketuai oleh musyrikin Arab Quraisy secara bersekutu untuk menentang tentera Madinah pimpinan Nabi Muhammad SAW. Antara kumpulan yang bergabung itu ialah Bani Sulaim, Bani Murrah, Bani Asyja`dan Bani Kinanah.

Peperangan ini berlaku pada bulan Syawal tahun ke lima hijrah di Madinah. Tentera Madinah pimpinan Rasulullah SAW melawan tentera bersekutu (Ahzab) pimpinan Arab Quraisy Makkah dan gabungan kumpulan-kumpulan yang menyimpan hasad dengki dan dendam kesumat terhadap Islam dan Rasulullah SAW. Barisan tentera bersekutu Ahzab adalah seramai 10,000 orang. Manakala tentera Madinah hanya seramai 3,000 orang.

Punca peperangan disebabkan tentera Makkah Quraisy setiap detik memikirkan cara bagaimana mahu melenyapkan perkembangan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ia dilakukan dengan memerangi tentera Madinah pimpinan Nabi Muhammad SAW. Antara lain, orang Islam, pada pandangan mereka, merupakan pesaing utam dan menggugat aktiviti ekonomi dan perniagaan mereka.

Justeru, mereka bergabung dengan kabilah yang mempunyai, matlamat dan hasrat yang sama dengan mereka. Antaranya ialah apabila sebilangan pemimpin orang Yahudi Bani Al-Nadhir telah tiba di Makkah setelah berada di Khaibar, lantar mengajak arab Quraisy memerangi Nabi Muhammad SAW, akhirnya persepakatan dan persefahaman dilakukan untuk menyerang orang Islam di Madinah.

Strategi peperangan adalah dengan penggalian parit secara gotong-royong hasil idea Salman al-Farisi RA dan taktik penyamaran yang dilakukan oleh Nu`aim bin Mas`ud yang asalnya daripada Gatfan telah memeluk Islam, setelah mendapat restu daripada Rasulullah SAW. Dia bertindak mengkucar-kacirkan ikatan tentera bersekutu dengan merungkaikan keyakinan mereka antara satu sama lain. Antaranya, dia berjumpa dengan Bani Quraizah, Arab Quraisy dan Gatfan sendiri. Setiap kumpulan mencurigai antara satu sama lain dan saling menuduh yang akhirnya kekuatan pasukan tentera bersekutu semakin terungkai.

 

By Muhammad Soulhiey Zeckry

zeckry.net menjalankan penyelidikan, penelitian, penyuntingan dan proofreading bagi dokumen akademik dalam Pembangunan Sains Sosial (Perundangan Islam, Pengajian Islam & Bahasa Arab PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.