penyucian harta dengan berzakat
Penyucian harta dengan berzakat

Penyucian harta dengan zakat telah dianjurkan dalam Islam kerana di antara kurniaan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita ialah nikmat memiliki harta dan kekayaan.

Kedua-dua nikmat ini sebagaimana yang disebut oleh ar-Raghib al-Isfahani RA ialah nikmat berada di dalam keadaan yang baik dan hidup yang sempurna.

Ia merupakan medan untuk menguji manusia bagaimana mereka menggunakan harta tersebut bagi meraih keredhaanNya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra`, ayat 30 :

إِنَّ رَبَّكَ يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقۡدِرُۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرٗا ٣٠

Maksudnya : Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian).

Sesungguhnya, Ia Maha mendalam pengetahuanNya, lagi Maha melihat akan hamba-hambaNya. Nikmat kekayaan dan kesenangan tidak akan tercapai maksudnya melainkan harta tersebut diurus dengan baik dan menurut Objektif Syariah (Maqasid Syariah).

Dalam konteks kita di Malaysia hari ini, kita mengguna-pakai Piawaian Pematuhan Syariah (Indeks Syariah). Semua ini adalah dengan satu tujuan iaitu mengharapkan redha dan rahmat Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Ketika ini, secara umumnya kita sedang berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, peningkatan taraf hidup yang mencabar, dan cabaran ekonomi serantau dan global yang tidak menentu. Ini secara tidak langsung menuntut agar setiap individu muslim mengurus dan merencanakan pengurusan ekonomi dan kewangannya secara berhemat, bijaksana dan adil.

Pengurusan ekonomi dan kewangan secara berhemat telah menjadi anjuran di dalam al-Quran kepada orang yang beriman. Ia merupakan manifestasi ciri-ciri hamba Allah (Ibadur-Rahman) seperti yang terangkum di dalam surah al-Furqan, ayat 67

وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُواْ لَمۡ يُسۡرِفُواْ وَلَمۡ يَقۡتُرُواْ وَكَانَ بَيۡنَ ذَٰلِكَ قَوَامٗا ٦٧

Bermaksud : Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

As-Syahid Syed Qutb RA tatkala menafsirkan ayat tadi menerusi karya monumentalnya, Tafsir Fi Zilalil Quran, menegaskan bahawa: “Inilah ciri Islam yang direalisasikan di dalam kehidupan individu, jamaah (masyarakat) dan umat, ia memberi pengarahan dalam bentuk mendidik dan penguatkuasaan undang-undang. Semuanya tegak berdiri di atas prinsip-prinsip keseimbangan dan keadilan …”

Seorang muslim, meskipun diiktiraf hak pemilikan individu, namun tidak bermakna dia bebas membelanjakan hartanya sesuka hati, sepertimana yang diamalkan oleh para pemodal neo-kapitalisme liberal.

Malah amalan tersebut jika dilakukan amat bertentangan dengan Prinsip Syariah. Sesungguhnya, harta di dalam Islam diikat dengan prinsip bersederhana antara dua perkara iaitu tidak boros dan tidak kikir.

Sikap boros membawa kerosakan kepada diri, harta dan masyarakat, malah negara. Manakala kikir pula menghalang harta daripada dimanfaatkan oleh pemiliknya bagi kepentingan masyarakat. Sedangkan harta antara wahana penting untuk mewujudkan keadilan sosial (al-`adalah al-ijtima‟iyyah) dalam masyarakat, umpamanya, menerusi amalan bersedekah, berzakat dan berwakaf.

Penyucian harta dengan berzakat…

Justeru, kehadiran Islam adalah untuk mengatur aspek ini yang merupakan sebahagian daripada kehidupan bermula, dari peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Nilai keadilan yang menjadi satu ciri daripada ekonomi Islam yang juga disebut sebagai ekonomi manusiawi, sangat berhemat dan berkhidmat untuk umat sejagat.

Ekonomi Islam ditakrifkan oleh kebanyakan sarjana sebagai sains sosial yang mengkaji masalah ekonomi yang berpegang kepada nilai-nilai Islam. Ia lebih bersifat komprehensif berbanding dengan ekonomi konvensional kerana tidak mengabaikan faktor-faktor bukan ekonomi seperti etika, moral, sosial dan politik. Secara teori, apabila wujud golongan miskin dan golongan berada atau kaya, maka akan wujudnya kelas.

Justeru, wujudnya dua golongan ini, bermakna berlaku ketidakseimbangan atau sistem yang tidak sekata di dalam masyarakat. Jadi, apa keadaan itu dengan cara mewujudkan apa yang tiada di pihak golongan miskin atau menambah apa yang kurang. Zakat sebagai ‘pembersih atau penyuci roh’ hasil harta-harta tersebut yang lahir di dalam bentuk dividen, bonus, lebih untung dan sebagainya.

Penyucian harta dengan berzakat….

`Pembersihan‟ atau penyucian‟ itu dilakukan melalui pembayaran zakat, yang mana harta yang dizakatkan itu diagihkan pula kepada golonga asnaf yang berhak menerimanya sebagai sumber pendapatan dan ekonomi mereka pula, untuk diusahakan. Seperti yang telah dicontohkan sebelumnya, proses yang sama boleh dan akan berulang secara berterusan dan berantaian sehingga kemiskinan dapat dibasmikan.

Apabila ini terjadi, maka jurang perbezaan tadi dapat dikurangkan, atau lebih idealnya langsung dapat dihapuskan. Di dalam pengertian yang lebih tepat, zakat itu sebenarnya adalah hak yang dikembalikan kepada yang berhak, bagi memastikan keadilan ekonomi di dalam masyarakat Islam. Hal ini telah dijelaskan di dalam sabda baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimahullah, daripada Ibnu Abbas RA

Maksudnya : Sesungguhnya, Muaz RA berkata : “Aku telah diutuskan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.” Baginda bersabda  ((Engkau akan mendapati golongan Ahli Kitab, oleh itu ajaklah mereka supaya mengakui bahawa tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah, dan sesungguhnya aku Pesuruh Allah.

Jika mereka telah mematuhi yang demikian, terangkanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka solat lima kali sehari semalam. Kalau mereka mentaatinya, ajarkanlah bahawa Allah memerintahkan kepada mereka supaya membayar zakat dari harta mereka yang dipungut dari orang kaya mereka dan dikembalikan kepada orang fakir miskin …)).

Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita taufiq dan hidayah untuk sentiasa bersedia mentaati segala perintah dan larangan Allah SWT dan RasulNya SAW termasuklah dalam menunaikan kewajipan zakat.

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.