Ilmu Tajwid merupakan ilmu yang menerangkan hukum-hukum dan kaedah-kaedah yang mesti diamalkan semasa membaca al-Quran dengan menepati apa yang diterima daripada Rasulullah SAW melalui Jibril AS. Mengikut bahasa Tajwid bermaksud mengelokkan atau mencantikkan. Manakala dari segi istilah pula tajwid bermaksud suatu ilmu untuk mengetahi cara melafazkan huruf-huruf al-Quran dengan betul (An-Nadawi, 2007).

Sesungguhnya kitab al-Quran akan terus terpelihara dengan baik, antara penjagaannya yang dimaksudkan adalah membacannya mengikut kaedah tajwid yang tepat dan sempurna. Apabila al-Quran dibaca dengan tepat sebagaimana dikehendaki Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: Bacalah al-Quran itu dengan Tartil (bertajwid) (QS: al-Muzammil: 4)

Menurut Ghani, (2013) syarat utama untuk mahir dalam bacaan al-Quran mestilah menguasai sepenuhnya ilmu yang berkaitan dengan tajwid. Penguasaan ilmu ini akan membantu seseorang membaca dengan baik. Oleh itu, menjaga amanah kesahihan ilmu tajwid, wajarlah kita mempelajari ilmu Tajwid agar menjadi tanggungjawab sebagai Fardhu Kifayah, manakala membaca al-Quran mengikut hukum Tajwid adalah Fardu Ain.

Di Malaysia, pengajian dan pembelajaran ilmu Tajwid telah berkembang pesat dengan pelbagai kaedah sama ada kaedah tradisi atau kaedah kontemporari yang sentiasa diperbaharui bagi kesempurnaan mutu bacaan mengikut yang diperintahkan. Menurut (Mustaffa Abdullah, 2014)sejarah perkembangan tajwid di Malaysia terangkum dalam sejarah berkembangnya pendidikan Islam di Malaysia. Ini berasaskan kepada bentuk pendidikan Islam yang terawal datang ke Tanah Melayu ketika itu adalah dalam bentuk pengajian al-Quran yang terangkum di dalamnya pengajian Tajwid al-Quran.

Namun, kaedah pengajaran al-Quran adalah berasaskan kepada kaedah tertua yang diperkenalkan oleh Jibril AS kepada Rasulullah SAW ketika mula-mula menyampaikan wahyu pertama iaitu secara talaqqi dan musyafahah.(Sharifah Norashah Bani Syed Bidin, 2018)

Oleh yang demikian, perbincangan ini bertujuan untuk menjelaskan kepentingan ilmu Tajwid sebagai menjaga daripada kesalahan sama ada terang atau tersembunyi sehingga dapat menyakinkan kita apabila membaca al-Quran sekaligus meningkatkan minat untuk berterusan membaca al-Quran dan seterusnya untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Selain itu, penulis akan membincangkan metode pengajaran dan pembelajaran ilmu Tajwid digunakan pada sesi pengajian.

Di samping, penulis menghuraikan dari segi aspek pemerhatian terhadap pengajaran seorang guru yang ditemui di sebuah kelas al-Quran di At-Tartil Center, Seberang Jaya, Pulau Pinang bagi menjelaskan metode dan bahan yang digunakan dalam pengajian ilmu Tajwid.

Kepentingan mempelajari Ilmu Tajwid

Ilmu Tajwid merupakan lmu yang berhubung terus dengan seagung-agung kitab, iaitu al-Quran. Jesteru itu, tidak dapat dinafikan lagi tentang kepentingan mempelajarinya. Antaranya adalah seperti yang berikut:

Menjaga daripada kesalahan

Para ulama membahagikan kesalahan ketika membaca al-Quran itu kepada dua bahagian iaitu, al-lahn al-jaly dan al-lahn al-khafy.

Kesalahan Nyata (Al-Lahn al-Jaly)

Al-Lahn al-Jaly bermaksud kesalahan yang mengenai lafaz sama ada berubah makna ataupun tidak. Sekiranya ia dilakukan ketika membaca surah al-Fatihah sewaktu solat, maka hukum solatnya tidak sah. Dinamakan kesalahan nyata kerana dapat diketahui sesiapa sahaja yang boleh membaca al-Quran sama ada orang yang mahir dalam bidang tajwid ataupun tidak.

Antara kesalahan al-Lahn al-Jaly ialah:

(a)        Menukarkan sesuatu huruf kepada huruf yang lain.

(b)       Menukarkan sesuatu baris kepada baris yang lain.

(c)        Mematikan, menambah atau mengurangkan sesuatu huruf.

Terdapat satu kesalahan dalam kategori ini yang sangat perlu diberi perhatian iaitu membaca dengan wasal (sambung) di penghujung sesuatu ayat tanpa membariskan huruf terakhir pada ayat tersebut. Contohnya apabila menyambungkan kalimah ٱلرَّحِيمِ dengan ٱلۡحَمۡدُ   tanpa membariskan huruf Mim pada ayat:

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢

Oleh yang demikian, menurut (Ghani, 2013)pembaca al-Quran perlu berhati-hati ketika melafazkan kalimah-kalimah Allah SWT ini dengan memberikan penumpuan sepenuhnya terhadap hukum-hukum yang berkaitan dengan cara-cara wakaf yang betul kerana para ulama bersepakat menghukumnya sebagai haram.

Kesalahan Tersembunyi (Al-Lahn al-Khafiyy)

Al-Lahn al-Khafiyy bermaksud kesalahan yang tiada kaitan dengan lafaz bacaan, tetapi hanya berkaitan dengan kaedah atau cara bacaan sahaja. Dinamakan kesalahan yang tersembunyi kerana kesalahan ini hanya dapat dikesan dan diketahui oleh orang-orang yang mendalami ilmu tajwid. Contohnya seperti tidak dapat membaca sesuatu mad itu dengan kadar panjang yang betul, meninggalkan ghunnah dan sebagainya. Walaupun para ulama tidak sepakat mengenai hukumnya, namun ianya sangat aib apabila ia dilakukan oleh ahli al-Quran. Para ulama khalaf menghukumkannya makruh. Manakala para ulama salaf menghukumkannya sebagai haram.

 

Yakin dalam bacaan

Mempelajari ilmu Tajwid, seseorang itu akan merasa yakin dengan ketepatan bacaannya. Dia tidak akan ragu-ragu tentang apa jua bentuk ayat atau hukum bacaan yang ia temui di mana-mana tempat dalam al-Quran yang sebanyak 30 juzuk itu.

Adakah sesorang yang tidak mengetahui ilmu tajwid itu boleh mencapai keyakinan tentang kesahihan bacaannya? Sejauh manakah ia boleh meyakini dan menjamin ketepatan bacaannya? Kemungkinan apa yang diyakininya itu hanyalah sangkaan yang bermain dalam perasaannya sahaja, sedangkan pada dimensi orang lain yang lebih mengetahui bacaannya masih boleh diperbetulkan. Maka, tanpa melalui guru yang mahir kita merasakan tiada kesalahan dalam bacaan kita. Sekiranya bacaan secara berguru pasti kita akan lebih yakin kerana kita telah mendapat pengesahan terhadap bacaan kita. Oleh yang demikian apabila membaca al-Quran semestinya dengan berguru dan diperdengarkan agar kita mengetahui di mana kesalahan dan meningkatkan keyakinan apabila kita sentias mengikuti halaqah al-Quran di masjid atau surau.

Meningkatkan minat membaca al-Quran

Berkat penguasaan ilmu Tajwid maka para pembaca al-Quran akan yakin bahawa mereka akan terhindar dari sebarang kesalahan, seterusnya dengan adanya penguasaan ilmu Tajwid juga kualiti bacaan al-Quran akan terpelihara. Apabila tajwid itu betul maka kecenderungan minat untuk membaca al-Quran akan lebih meningkat kerana adanya perkaitan hati sanubari dengan ayat-ayat yang dibaca secara tadabbur.

Dengan demikian, kecenderungan tersebut bukan hanya di dalam peningkatan membacanyanya sahaja, bahkan lebih cenderung untuk mendalami makna-makna yang terkandung di dalam al-Quran. Apabila terdapat motivasi sedemikian dalam diri individu, membaca al-Quran akan menjadi dasar dalam kehidupan manusia dan menjadi insane yang bertaqwa kepada Allah. Seterusnya Allah akan memberikan darjat yang tinggi di akhirat kelak. Bagi mereka yang menyukai al-Quran sama ada minat untuk membacanya atau minat dalam mencapai kefahaman ayat-ayatnya mendapat perumpamaan seperti mana sabda Rasulullah SAW:

Dari Abu Musa Al Asy’ari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: “Perumpamaan orang mukmin yang membaca Quran ialah seperti jeruk manis. Baunya harum dan rasanya manis. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Quran, ialah seperti kurma, tidak berbau tetapi rasanya manis. Dan perumpamaan orang munafik yang membaca Quran, ialah seperti kemangi, baunya harum tetapi rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Quran, ialah seperti peria, tidak berbau dan rasanya pahit.” (HR Sahih Muslim Jilid 2: 0766)

Dari makna hadith di atas jelas kepada kita bahawa mempelajari al-Quran sama ada membacanya hinggalah memahami makna yang terkandung di dalamnya merupakan suatu perbuatan yang paling utama dibandingkan dengan lain-lain perbuatan.

Mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat

Terdapat banyak ayat Al-Quran dan hadis Nabi yang menerangkan tentang kelebihan membaca al-Quran yang menjamin kebahagian seseorang di dunia dan akhirat kerana selain mendapat pahala ibadah membaanya, ia juga memberi ketenagan dan menjadi penawar serta rahmat kepada kita. Di antaranya dalil seperti berikut:

  • Al-Quran sebagai penawar dan rahmat sebagaimana firman Allah SWT maksudnya, Dan kami turunkan dengan al-Quran itu beberapa ayat yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukmin (QS: Al-Isra`: 82)
  • Hadis yang diriwayatkan oleh Uthman bin Affan, Nabi SAW bersabda: Maksudnya: Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya. (HR, Sahih al-Bukhari: 4639)

Nabi SAW bersabda: Maksudnya, Bacalah al-Quran, maka sesungguhnya dia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya. (HR: Sahih Muslim: 1338)(Normaly Kamal Ismail, 2006).

Perbincangan metode pengajaran dan pembelajaran Ilmu Tajwid

Menurut (Sharifah Norashah Bani Syed Bidin, 2018) Di Malaysia terdapat beberapa metode pengajaran dan pembelajaran ilmu Tajwid dala memantapkan menguasaan pelajar dalam ilmu Tajwid antaranya seperti :

i-Kaedah Riwayah:

Mempelajari bacaan setiap huruf al-Quran dari Syeikh (guru) yang benar-benar mahir bacaan tersebut. Syeikh itu mestilah seorang yang pernah mempelajarinya dari Syeikh sebelumnya. Tidak memadai bagi seorang yang mempelajari ilmu Tajwid itu hanya membaca dan menghafaz fakta-fakta atau teori dari dalam buku saja.

Maka, cara sebegini akan mendedahkan kepada kesilapan-kesilapan sebutan. Ini kerana istilah-istilah dalam ilmu Tajwid tidak dapat dikuasai hanya sekadar memahaminya melalui pembacaan sahaja. Sebaliknya mestilah diambil secara musyafahah (mulut ke mulut) dari guru yang mempelajarinya dari guru sebelum itu. Rantaian ini mestilah berkesinambungan hingga kepada penerima wahyu pertama iaitu Rasulullah SAW. Inilah cara bagaimana bacaan al-Quran itu diwarikan kepada kita sejak bergenerasi.

ii-Teknik al-Baghdadi

Kaedah al-Baghdadi merupakan teknik mudah belajar dan mengajar al-Quran. Ia diperkenalkan oleh Ustaz Jalaluddin Bin Hj. Hasanuddin al-Baghdadi pada awal tahun 2009. Kaedah ini merangkumi dua proses utama iaitu pembelajaran dan pengukuhan.

Kaedah ini merupakan salah satu teknik yang dapat membantu umat Islam yang memerlukan bagi menguasai bacaan al-Quran dengan pendekatan yang mudah, inovatif, sistematik dalam tempoh yang singkat.

Teknik al-Baghdadi serta bahan-bahan bantuan mengajar terhasil dari pengalaman beliau mengendalikan kursus kaedah al-Barqy yang diasaskan oleh Allahyarham Ustaz Muhadjir Sulthon dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran kepada guru-guru dan ibu bapa di seluruh negara selama 8 tahun.

Menurut Ghazali Othman (2014) melalui teknik al-Baghdadi ini didedahkan kepada 6 perkara asas dan pokok dalam pembacaan al-Quran. Iaitu 29 huruf, tanda baris, tanwin, mad, sukun dan sabdu.

Set alat ketuk adalah satu alat bantu mengajar yang direka khas bagi tujuan memberikan kesan yang lebih baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran alQuran.

Teknik ketukan didapati mampu mendisiplinkan pembaca al-Quran bagi menguasai bacaan dengan lebih fasih dan tertib serta mampu melahirkan pembaca yang berdisiplin dalam bacaannya. Terdapat pelbagai teknik yang juga diaplikasikan dalam tamhid al-Baghdadi ini, antaranya; Teknik Bacaan Berirama, Teknik Titian Unta dan Kaedah Struktur, Analisis dan Sintesis (SAS).

Buku yang kedua pula adalah Buku Tajwid al-Baghdadi. Ia merupakan siri pelengkap kepada Tamhid al-Baghdadi yang mengandungi 10 bab pembelajaran yang menekankan asas dan amali dalam pembelajaran dan pengajaran tajwid alQuran.

Buku ini menumpukan kepada pengenalan asas bacaan dan asas hukum tajwid secara ringkas dan mudah dengan menjauhkan para pelajar daripada hafalan teori ilmu tajwid yang agak kompleks.

iii-Iqra’ at-Taisir

 

Iqra’ at-Taisir yang disusun oleh Mohd Rizal Abdul Ghani (2014) adalah buku siri bacaan Iqra’ yang berada di pasaran sekarang. Buku ini diterbitkan untuk membimbing golongan anak-anak terutamanya belajar membaca al-Quran. Buku ini mengutamakan penggunaan Ilustrasi grafik yang dimuat bagi menarik minat pelajar dan serta dapat menyegarkan minda. Gambar huruf yang berwarna-warni menarik minat untuk belajar.

Setiap kaedah diterangkan secara terperinci berserta contoh. Teknik simbol digunakan bagi mengingat hukum tajwid seperti tanwin, tanda sukun, hukum nun sakinah, hukum mad, cara waqaf dan sebagainya. Pelajar digalakkan supaya mempraktikkan Teknik mengetuk jari iaitu mengetuk jari pada setiap huruf sambil menyebutnya. Hentikan suara setelah jari menyentuh huruf. Hukum-hukum pula dijelaskan berserta dengan cara sebutan contohnya:

  1. Cara lafaz huruf bertanda sukun ialah lafaz huruf itu separuh sahaja
  2. Huruf istifal: lidah tidak menyentuh lelangit
  3. Dengung: matikan huruf yang bertanda syaddah, lafazkan huruf itu mengikut baris yang ada bersama tanda syaddah, Tarik huruf yang berbaris ke dalam huruf bertanda sukun kemudian lafaz
iv-Kaedah al-Matien

Dengan bertemakan ‘merevolusikan pengajaran al-Quran’, kaedah al-Matien diperkenalkan pada tahun 2009 sebagai satu kaedah membaca al-Quran yang terkini.

Ia disusun oleh dua orang guru yang terkenal di kaca televisyen media perdana tanah air iaitu Ustaz Haji Mohd Zamri Mohd Zainuddin dan Ustaz Haji Mohd Wahid Abdul Hanif, seorang guru al-Quran dan editor Syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd. (Zamri Mohd. Zainuldin 2009)

Kaedah ini dicipta hasil daripada pengalaman dan penglibatan mereka mengajar dan membangunkan kelas pengajaran al-Quran. Ia merupakan gabungan kaedah Baghdadi yang telah digunakan di Nusantara buat sekian lama dengan kaedah baru seperti Iqra’, kaedah Qiraati dan kaedah al-Barqi yang juga telah bertapak di Nusantara.

Kaedah al-Matien terdiri daripada dua siri buku iaitu:

al-Matien 1, dan al-Matien 2. Pelajar hendaklah menguasai al-Matien 1 sebelum dialih kepada al-Matien 2.

Kaedah ini tidak dibenarkan mengeja, hanya lihat, pastikan dan sebut dengan betul.

Pada al-Matien 1, pelajar hendaklah menguasai dengan kukuh huruf Hijaiiyah, kemudian baru diajar membaca dengan bunyi huruf pada setiap baris dan tanda.

Manakala pada al-Matien 2, pelajar didedahkan dengan hukum tajwid dan cara membaca yang betul dengan bimbingan guru sehinggalah mantap (Zakaria Din 2014).

Secara terperinci, siri al-Matien 1 menekankan empat aspek utama iaitu pertama menguasai huruf Hijaiiyah, kedua mempelajari tanda bunyi digandingkan sekali dengan huruf-huruf bercantum, ketiga menguasai cara memasukkan huruf berbaris kepada huruf mati atau huruf sabdu, keempat ialah menguji dan membezakan panjang pendek bacaan.

Pada siri al-Matien 2, pelajar didedahkan dengan 11 hukum tajwid dimulai dengan Bab Mad, Hukum Nun Mati, Hukum Mim Mati, Wajibul Ghunnah, Hukum Idgham, Hukum Qalqalah, Tafkhim dan tarqiq, Hamzah Wasal, Tanda Waqaf, Saktah, bacaan Khusus riwayat Hafs an Asim dan Sifat Huruf. Kelebihan siri al Matien ialah penyediaan infografik berwarna dan Ilustrasi huruf berwarna-warni sebagai membantu pengajaran dan pembelajaran al-Quran.

Pemerhatian pengajaran seorang guru Ilmu Tajwid

 Penulis telah menemui seorang guru Ustazah Siti Ahmad, lepasan Universiti al-Azhar, Iskandariah, Mesir yang membuka Kelas Pengajian Al-Quran iaitu At-Tartil Center di Taman Sutera, Sebarang Jaya Pulau Pinang yang mengadakan kelas secara personal bagi pengajian al-Quran bagi orang dewasa wanita. Kelas tersebut telah ditubuhkan pada 26 Oktober 2014 lalu, kebanyakan pelajar yang mengikuti kelas ini adalah golongan wanita yang bekerja. Menurutnya, kelas secara personal mendapat sambutan baik kerana sesetengah pelajar lebih selesa belajar kerana lebih berfokus dan tiada rasa malu untuk belajar.

Oleh itu, hasil daripada pemerhatian tersebut beberapa aspek pengajaran yang digunakan pada kelas tersebut iaitu:

i-Kaedah Tilawah

Kaedah bacaan ini gunakan bagi pelajar yang dapat membaca dan mengenal huruf al-Quran, Cuma kurang lancar lancar untuk menghabiskan satu-satu ayat dalam al-Quran. Maka pendekatan yang digunakan adalah menggunakan bacaan secara potongan pada ayat bergantung kepada maksud ayat itu sendiri seperti berhenti pada kalimah yang ada huruf sebagai memudahkan pelajar menguasai, mengenal dan melancarkan bacaaan. Ini memerlukan guru tersebut mahir dalam mengetahui makna sesuatu ayat dan sepatutnya boleh wakaf bagi tujuan pembelajaran.

Bagi pelajar yang baru untuk membaca al-Quran, kelas ini menggunakan buku Ar-Ruh Al-Amin-Belajar Membaca al-Quran Bertajwid 50 Jam yang dikarang oleh Dr. Muhammad Roihan Hasbullah Nasution untuk lebih cepat.

ii-Kaedah Talaqqi dan Musyafahah

Kaedah talaqqi dan musyafahah diajar yang mana guru menyebut dan membaca cara bacaan yang tepat yang diambil dari guru yang dibaca secara tartil dan tahqiq iaitu bacaan al-Quran secara perlahan-lahan dengan menjaga hukum-hukum Tajwid Nya dengan menunaikan hak-hak huruf dan apa yang sepatutnya ditunaikan bagi setiap huruf, menzahirkan sebutan huruf atu persatu, menyempurnakan degung dan izhar, menjaga Panjang dan pendek, memerhatikan tafkhim (tebal) dan tarqiq (tipis) sesuatu huruf dan menyempurnakan sifat setiap huruf yang dilafazkan.

Pada kelas tersebut menggunakan kaedah talaqqi iaitu mempelajari di hadapan guru. Guru menunjukkan cara bacaan dan murid pula akan mengikut bacaan guru. Kemudian murid akan membaca dan guru akan membetulkan bacaannya. Kelas ini menggabungkan dua kaedah kerana ia adalah lebih baik dan dapat melatih murid membaca dan guru pula dapat membetulkannya supaya ia lebih berkesan murid menguasai.

iii-Kaedah Pendidikan Al-Quran

Kaedah Pendidikan dalam al-Quran dijadikan selingan selepas pengajian dijalankan dengan mengambil sedikit masa untuk menyampaikan nasihat dan peringatan kerana wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW menekankan kepada kita kepentingan ilmu yang merangkumi semua bidang dalam menuntut dan menyampaikan ilmu, maka sewajarnya dapat menghayati dan menjelmakan saranan ini melalui tindakan dan kesungguhan kita menghidupkan budaya ilmu kerana al-Quran itu sendiri merupakan sumber ilmu. Memandangkan kelas secara personal ini pelajar juga dapat bertukar-tukar pandangan.

Menurut, Siti Sobbihah, masyarakat berhajat kepada keilmuan untuk mengisi kekosongan dari segi kerohanian kerana surah pertama dalam Al-Quran, Iqra` bererrti bacalah…bacalah bukannya hanya baca buku saja bahkan lebih dari itu, bacalah Universal itu sendiri iaitu amati alam dan berfikir ‘key question’ iaitu ‘kenapa’, sebagai contoh kenapa kita wujud, kenapa alam ada, kenapa kita manusia dan sebagainya.

Menurutnya lagi, penerapan pendidikan ini melalui kelas ini juga memandangkan Islam adalah agama yang suci yang mencorak adalah penganutnya kalau cantik dan elok maka baiknya dan sejahtera kesemuanya. Sekiranya berlaku kerosakan atau memburukkan imej itu bukan dari Islam tetapi dari penganutnya. Maka kerosakan itulah yang perlu sama-sama menggembleng tenaga untuk membaiki sebaik mungkin dan agar segala penyakit itu tidak merebak dan orang Islam tidak sepatutnya cepat menunding jari ke arah orang seagama atau tidak seagama dengan mereka, bahkan menilai kesilapan diri sendiri.

iv-Kaedah Penceritaan dan Pemahaman

Kaedah ini merupakan kaedah yang biasa diamalkan bagi menarik minat dan perhatian pelajar melalui penceritaan dan pemahaman apa yang dibaca. Guru merumuskan cerita dengan bahasa yang mudah dan ringkas yang boleh memberi keinsafan dan kesan yang mendalam dalam kalangan pelajar. Al-Quran menegaskan bahawa terdapat banyak kisah umat terdahulu untuk dipelajari. Menurut guru, Siti Sobbihah Ahmad, sejarah bukan untuk dikenang dan dikesali seperti sedih, susah dan sayu tetapi untuk dipelajari seperti muhasabah, perbaiki teknik, pendekatan, menguatkan diri dan menyelesaikan masalah. Buktinya, Nabi SAW dikatakan tidak pernah menyebut kesusahan atau kesedihan hidup pada waktu kecil sebagai anak yatim piatu.

Maka apabila penerapan kaeadah ini dalam kelas, guru dapat menyuntuk semangat dan memotivasikan pelajar dengan lebih positif walapupun mengalami kesukaran dalam menyebut ayat-ayat al-Quran.

Selain itu, guru menggunakan kaedah mengenali huruf yang kebiasaan sukar diingati dan kekeliruan huruf seperti huruf ج ح خ ب ن ت   yang mana bentuk huruf sama tetapi keliru dengan kedudukan titik yang menyebabkan pelajar akan terus keliru untuk meneruskan huruf apabila bersambung yang membentuk ayat. Kaedah cerita huruf untuk lebih mudah diingati dalam bahasa yang mudah seperti ص, ض maka gambaran sebutan dalam bahasa melayu melalui benda atau sesuatu digunakan agar pelajar cepat ingat.

 

KESIMPULAN

 

Kesimpulannya, pembacaan al-Quran adalah suatu ilmu yang diwarisi secara turun temurun melalui mulut ke mulut, bermula dari Nabi kita SAW yang menerima bacaannya dari malaikat Jibril AS. Kemudian Rasulullah SAW mewariskan pembacaan tersebut kepada para sahabat. Kemudian dari mereka lah al-Quran itu terus diwarisi secara musyafahah yang dipelihara keaslian dan ketepatan bacaannya sampai kepada kita hari ini. Justeru, Tajwid memerlukan kepada ilmu yang menerangkan hukum-hukum serta kaedah-kaedah yang mesti diamalkan semasa membaca al-Quran dengan menepati apa yang diterima daripada Rasulullah SAW.

Dalam dimensi kepentingan mempelajari tajwid pula, ia sebagai fardhu ain apabila kita membaca al-Quran untuk mengenalpasti daripada kesalahan yang nyata atau tersembunyi, seterusnya kita merasa lebih yakin dan selesa. Disamping kita meningkatkan minat untuk berterusan membaca kalamullah hingga ke akhir hayat sehingga kita mencapai ketenangan dunia dan kebahagiaan di akhirat kelak. Maka, untuk merealisasikan supaya bacaan bertajwid ini beberapa ulama Qurra` dan guru menggunakan pendekatan pelbagai cara dalam pengajian dan pembelajaran al-Quran bermula di peringkat asas sehingga mahir. Kemahiran seseorang guru dalam bidang al-Quran bukan sahaja dari segi bacaaan bahkan dari segi pemahaman ayat demi ayat juga diperlukan agar pelajar juga mendapat pendidikan secara langsung untuk mentadabbur apabila membaca kelak.

Oleh yang demikian, pelajar seharusnya mendapat alternatif pembelajaran daripada media seperti program yang disiarkan melalui televisyen atau radio untuk pembelajaran al-Quran secara bertajwid kemudian diperdengarkan dihadapan guru yang mahir agar lebih cepat dikuasai dan guru mesti menggunakan kreativiti yang sesuai dengan masa dan zaman bagi menarik minat pelajar untuk berterusan.

 

Rujukan

 

Al-Saud, K. A.-H. A.-S. A. M. S. A. A. (12 Mei 1999). Al-Quran Al-Karim. Madinah Al-Munawwarah: Percetakan Mushaf Al Asyarif Li Mujamma` Al-Malik Fahd

An-Nadawi, S. S. H. (2007). Ilmu Tajwid. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn.Bhd.

Ghani, A. R. A. (2013). Kemahiran al-Quran. Selangor Darul Ehsan: Open University Malaysia.

Mustaffa Abdullah, e. a. (2014). Peranan Ulama Melayu Dalam Menangani Buta al-Quran dalam Kalangan Masyarakat Malaysia, dalam Isu Kontemporari Pendidikan al-Quran. Kuala Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA).

Normaly Kamal Ismail, e. a. (2006). Mutiara Hadis.  Retrieved 01 November 2018, from Fakulti Komputer dan Sains Komputer http://sigir.uitm.edu.my/webhadis/

Sharifah Norashah Bani Syed Bidin, e. a. (2018). Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran al-Quran : Kajian di Masjid UniSZA. Jurnal Hadhari, 10, 93-34.

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

One thought on “Apa itu Ilmu Tajwid”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.