Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the rank-math-pro domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/zeckynet/public_html/wp-includes/functions.php on line 6114

Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the rocket domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/zeckynet/public_html/wp-includes/functions.php on line 6114
Apa itu Budaya — Wacana Zeckry
Budaya Global
Budaya Global

Budaya didefinisikan sebagai perkara-perkara berkaitan dengan budi dan akal. Istilah budi membawa maksud asli, pertama, sejati dan dipandang sempurna manakala daya pula dimaksudkan sebagai akal, jalan fikiran dan ciptaan (Rohana Yusof, 2010).
Istilah budi juga dimaksudkan sebagai kecergasan fikiran dan akal seseorang manusia dalam usaha mengatasi permasalahan dengan mencari jalan penyelesaian manakala istilah daya merujuk kepada kekuatan tenaga dan kuasa yang digunakan untuk membantu menjana pemikiran bagi menangani sesuatu permasalahan. Jika penyelesaian yang diambil daripada hasil pemikiran tersebut diterima dan dapat dijadikan amalan bersama, ianya diterima sebagai budaya dalam kehidupan (Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Maskon, 2010).

Istilah budaya dalam bahasa Inggeris ialah ‘culture’ yang berasal daripada perkataan bahasa Latin yang berbunyi ‘colere’. Ia bermaksud kehidupan manusia yang sentiasa memelihara dan mengerjakan pelbagai tindakan yang boleh menghasilkan tindakan budaya (Suwardi Endraswara, 2006:4). Pandangan Abdul Latif Abu Bakar (1987) menjelaskan bahawa istilah budaya merupakan sesuatu yang sukar untuk ditafsirkan dan ianya mempunyai pengertian yang luas, jelas menunjukkan teminologi budaya mempunyai pelbagai pengertian dan tafsiran berbeza dalam kalangan para sarjana.(Subramaniam 2017)

Justeru, sesuatu kelompok manusia hidup dalam lingkungan yang dikenali sebagai ‘budaya’ dan budaya ini memberikan identiti kepada kelompok itu dari segi cara ia mengendalikan hidupnya. Budaya turut diwarisi dari satu keturunan kepada satu keturunan yang lain. Maka, budaya juga dikatakan sebagai satu himpunan kelengkapan intelektual dan kebendaan yang dapat memenuhi kehendak biologi dan kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannya dengan keadaan sekeliling.

Definisi Budaya Oleh E.B. Taylor

Seorang sarjana antropologi E.B Taylor mendefinisikan budaya dari hasil bukunya berjudul, Primative Culture seperti berikut:
“Culture or Civilization, taken in its wide ethnographic sense, is that complex whole which includes knowledge, belief, art morals, law, customs, and any other capabilities and habits acquired by man as a member of society”
Budaya adalah merujuk kepada suatu keseluruhan yang merangkumi pengetahuan, kepercayaan, seni, tatasusila serta sebarang kemahiran tingkah laku yang dipelajar oleh manusia sebagai ahli sesebuah masyarakat.
Definisi Tylor menumpukan kepada sifat-sifat yang diperolehi oleh manusia hasil daripada membesar di dalam masyarakat di mana mereka telah dideahkan kepada tradisi budaya tertentu.

E.B. Taylor (1958) melihat, budaya sebagai sebuah kompleks yang merangkumi pelbagai bidang. Beliau juga melihat budaya sebagai kajian tentang pemikiran manusia yang beasaskan tindakan. Namun demikian, pengertian ini dianggap kurang tepat oleh beberapa orang sarjana yang berpandangan, Edward B. Taylor tidak menunjukkan perbezaan bagi organisasi sosial serta institusi sosial daripada konsep budaya secara amnya. (S. Milton, 1968). (Subramaniam 2017)

Oleh itu, budaya adalah cara hidup manusia yang melalui satu proses perkembangan sahsiah, akal, semangat dan usaha manusia dalam sesuatu kelompok. Hal ini dapat dilihat melalui etimologi perkataan “budaya” yang bermaksud budi + daya “; iaitu budi sebagai aspek dalaman manusia yang meliputi akal dan nilai.

Manakala daya sebagai aspek lahiriah manusia yang meliputi usaha dan hasilan. Oleh yang demikian, budaya boleh difahamkan sebagai segala penghasilan masyarakat manusia dalam pelbagai bentuk sama ada yang dapat dilihat atau tidak. Maka, konsep budaya merupakan satu konsep yang penting untuk membandingkan perbezaan antara suatu masyarakat dengan suatu masyarakat yang lain.

Sebagai insan sosial, manusia mempelajari tentang peranannya dalam masyarakat melalui proses pembudayaan. Adalah penting kita memahami bahawa proses ini bukanlah proses biologi di mana budaya itu diturunkan dari generasi ke generasi secara genetik. Hakikatnya, budaya itu dipelajar melalui interaksi sosial antara ahli masyarakat.
Budaya boleh dibahagikan kepada dua kerangka besar iaitu :
i- Budaya kebendaan
ii-Budaya bukan kebendaan

Budaya kebendaan ialah peralatan dan kelengkapan hidup seperti rumah, kereta, perahu, senjata dan sebagainya. Contohnya, orang Melayu mempunyai rumah yang berbeza dengan orang Inggeris atau orang Eskimo
Manakala, budaya bukan kebendaan ialah kepercayaan, adat istiadat dan undang-undang. Contohnya, setiap masyarakat mempunyai adat istiadat yang berbeza-beza dalam menjalani kehidupan seperti perkahwinan masyarakat Melayu yang mana pihak lelaki yang memberi hantaran kepada pihak perempuan manakala, bagi masyarakat India, hantaran(dowri) perkahwinan diberi oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki.

Oleh itu, dalam budaya Melayu, faktor agama paling penting kerana agama merupakan dasar tanggapan terhadap alam sekitar dari segi sosial dan fizikal. Bahasa juga penting sebagai alat komunikasi dan adat resam juga mustahak sebagai petunjuk jalan bagi seseorang dalam mengendalikan hidupnya bermasyarakat dan berbudaya.

Walau bagaimanapun, menurut (Hamidah Abdul Rahman 2009) takrifan tentang konsep budaya oleh sarjana-sarjana Barat memberi gambaran tentang hubungan di antara budaya dan pemikiran masyarakat terhadapnya. Namun demikian, pandangan yang diutarakan oleh sarjana Barat adalah berdasarkan kepada konsep budaya yang dipikul oleh masyarakat Barat yang berkemungkinan tidak sesuai dengan budaya orang Asia.

Ciri-ciri Budaya

i- Dipelajari

Budaya tidak akan lahir secara semula jadi malah ia perlu dipelajari. Mempelajari budaya melibatkan beberapa proses seperti difusi, akulturasi, adaptasi, asimilasi dan integrasi. Pembelajaran budaya juga berlaku dalam keadaan disedari atau tidak disedari, secara langsung atau tidak langsung serta formal dan tidak formal.

Terdapat beberapa unit yang bertindak sebagai agen pembelajaran budaya seperti keluarga, jiran, institusi dan persekitaran. Proses pembelajaran budaya juga boleh dikenali sebagai proses sosialisasi.

ii- Dikongsi

Unsur-unsur budaya dalam sesebuah masyarakat adalah dikongsi oleh anggotanya. Ini bermaksud setiap perlakuan yang diamalkan harus dilakukan, disokong, diiktiraf dan dirasai sebagai milik bersama oleh semua anggota masyarakat. Budaya tidak boleh dianggap sebagai budaya jika hanya seorang sahaja yang mengamalkannya. Budaya adalah sesuatu fenomena sosial yang dikongsi oleh sekumpulan masyarakat, sebagai insan sosial, kita akan berasa selamat jika kita mampu menjangka tindakan anggota-anggota masyarakat yang lain.

Sebagai contoh, masyarakat Melayu di sini mengamalkan adab bersopan-santun ketika menziarahi rumah orang. Secara lazimnya, kita memberi salam ketika sampai ke rumah jiran dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. Perkara ini difahami antara orang Melayu sebagai adab sopan ketika menziarahi rumah orang. Sekiranya kita tidak berkongsi sesuatu budaya, pelbagai perkara yang negatif boleh berlaku.

iii- Diwarisi

Kebudayaan itu juga adalah diwarisi dari generasi terdahulu kepada generasi terkini. Ia berlaku secara berterusan bukan sahaja di kalangan generasi malah dari zaman ke zaman berikutnya. Tetapi apa yang berbeza adalah dari segi kaedah pewarisan yang mana telah berlaku pengubahsuaian mengikut keadaan semasa, sebagai contoh, kaedah menulis.

Generasi dahulu menulis menggunakan papan batu yang sangat ringkas tetapi generasi sekarang menggunakan komputer. Matlamatnya adalah sama untuk menulis tetapi medium yang digunakan adalah berbeza mengikut perkembangan teknologi.

iv- Sejagat

Semua masyarakat di dunia mempunyai budaya oleh itu menjadikan budaya itu bersifat sejagat atau universal. Namun begitu, budaya yang dimiliki itu adalah berbeza-beza. Ia disebabkan oleh faktor alam semula jadi, tahap penyesuaian anggota masyarakat dan pengaruh luar yang pernah meresap dalam budaya berkenaan. Sebagai contoh setiap masyarakat di dunia mempunyai bahasa yang tersendiri. Seperti yang dinyatakan oleh Clyde Kluckhohn (1952) dalam karyanya Universal Categories of Culture terdapat tujuh unsur yang terdapat di dalam semua kebudayaan iaitu peralatan, kelengkapan hidup manusia, mata pencarian hidup, sistem sosial, bahasa, kesenian dan pengetahuan.

v- Pandangan dunia (World view)

Kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan dengan alam semula jadi. Oleh itu ia mendorong manusia untuk memberikan tafsiran terhadap alam sekeling ke dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya dalam masyarakat Melayu, untuk menggambarkan sesuatu yang tinggi ia seringkali dikaitkan dengan gunung; seperti “cita-citanya tinggi menggunung”, sementara untuk menunjukkan kesungguhan seperti “gunung yang tinggi akan didaki” dan sebagainya. Bagi masyarakat Cina, mereka juga mempunyai pandangan dunia seperti untuk menggambarkan daya usaha, ia dikaitkan dengan “jika hendak mencabut lalang, biar sampai ke akarnya”.

Contoh Budaya Malaysia

Masyarakat di Negara kita terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Setiap kaum di Malaysia mempunyai budaya yang unik dan warisan budaya tersendiri. Contohnya terdapat perbezaan antara tarian, muzik, bahasa dan dialek yang digunakan oleh pelbagai kaum. Seni tari merupakan sebahagian daripada budaya kita. Dalam masyarakat tradisional, tarian dipersembahkan semasa majlis keramaian. Budaya ini wujud sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, terdapat tarian tradisional yang diubah suai mengikut perkembangan semasa. Tarian biasanya diiringi dengan muzik.Alat-alat muzik terdapat dalam pelbagai jenis dan berbeza mengikut kaum.

Keunikan budaya Malaysia juga dapat diketahui melalui pelbagai bahasa dan dialek. Bahasa merupakan satu cara berkomunikasi. Terdapat pelbagai bahasa di Negara kita seperti Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Dialek pula wujud apabila sekelompok manusia mengubah suai bahasa mengikut budaya tempatan. Misalnya terdapat pelbagai dialek dalam Bahasa Melayu seperti dialek Kelantan, Kedah dan dialek Negeri Sembilan.Dialek yang ada dalam masyarakt Cina seperti Kantonis, Hokkien, Hakka, Teochew dan Foochow.Kaum India menggunakan bahasa Tamil, Malayalam dan Telegu.

Walaupun budaya masyarakat kita berbeza, namun kita masih boleh hidup dalam keadaan harmoni. Negara kita menjadi teladan kepada Negara lain yang mempunyai masyarakat majmuk.(2009)

Di antara contoh budaya Malaysia ialah :

i- Pakaian Tradisional

Malaysia mempunyai pelbagai jenis kain dan pakaian tradisional yang berbagai bentuk dan warna. Dari tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu hinggalah kain songket di raja yang antik. Pada zaman dahulu penduduk pribumi memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan hiasan manik. Dengan ketibaan tamadun lama kain tenunan dan batik melayu oleh orang kenamaan dan kerabat diraja.

Dengan ketibaan pedagang asing pakaian serta kain seperti sutera cina,pelikat dan jubah arab diperkenalkan di negara ini.Kini pakaian tradisional seperti kebaya Melayu,sari India dan cheongsam Cina masih digunakan dengan meluas di Malaysia.Budaya pemakaian tradisional semakin dilupakan.

Oleh itu,budaya memakai pakaian tradisional seharusnya dikekalkan supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.Jika dilihat,kebanyakkan remaja Melayu di zaman era globalisasi ini lebih menyukai pakaian ala-ala barat. Mereka tidak sedar dengan perbuatan yang sebegitu sebenarnya sedikit sebanyak menghakis budaya pemakaian pakaian tradisional sesebuah kaum itu sendiri.Dalam erti kata lain,berbanggalah dengan pakaian tradisional kita sendiri kerana itu dapat melambangkan identiti sesebuah masyarakat itu sendiri.

Baju Melayu merupakan pakaian lelaki Melayu dan ia terdiri dari dua jenis iaitu Baju Kurung Teluk Belanga ataupun Baju Cekak Musang. Baju ini biasanya dipakai semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan Sembahyang Jumaat.

Manakala bagi wanita pula, baju kurung popular dan dipakai oleh perempuan. Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti ‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam, sehinggalah istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang.

Seterusnya, pakaian Masyarakat Cina seperti Samfoo turut dipakai oleh lelaki berketurunan Cina tetapi mempunyai sedikit perbezaan dengan samfoo yang dipakai oleh wanita Cina. Pakaian ini terdiri daripada baju yang longgar dan terbelah di depan dan berkolar tinggi serta dipakai bersama seluar longgar seperti seluar baju Melayu. Pakaian ini biasanya diperbuat daripada kain lembut seperti kain sutera.

Cheongsam atau disebut juga Qipao merupakan pakaian wanita dengan corak bangsa Tionghoa dan menikmati kesuksesan dalam dunia busana internasional. Nama “Cheongsam” bererti “pakaian panjang”, diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggris dari dialek Propinsi Guangdong (Canton) di Tiongkok. Cheongsam merupakan gaun khas masyarakat Cina yang melekat di tubuh sehingga menonjolkan bentuk tubuh si pemakainya. Cheongsam tradisional banyak menggunakan bahan satin atau sutera yang bermotif khas seperti bunga, burung, naga, dan sebagainya

Bagi budaya pakaian masyarakat India pula, Dhoti merupakan pakaian untuk kaum lelaki. Pakaian ini diperbuat daripada kain yang bewarna putih. Kebanyakan dhoti hanya boleh dilihat di hari perkahwinan sahaja kerana generasi muda hari ini tidak berminat dengan pakaian tersebut. Dhoti diperbuat daripada lembaran kain putih yang panjang. Kain tersebut dililit di bahagian pinggang dan diikat pada celah paha dan kemudian disangkukan pada bahu. Kemudian kain tersebut dihiasi dengan manik-manik kecil supaya kelihatan menarik. Ada juga dhoti yang bewarna kuning pudar atau kuning susu. Pakaian ini banyak dipakai oleh golongan ceti.

Manakala, Sari merupakan pakaian untuk kaum perempuan dan ia adalah pakaian seharian dan turut dipakai pada musim perayaan. Sari terdiri daripada lembaran kain yang berukuran semeter hingga dua meter lebar dan panjangnya pula antara lima hingga lima belas meter mengikut saiz pemakai. Kebanyakan kain sati adalah jarang dan lembut. Sebelum memakai sari, Si pemakai perlu memakai anak baju yang ketat dan singkat. Kemudian sati dililit dari pinggan dan diselempang pada bahu kiri. Lilitan pinggang sebanyak tiga hingga lima kali untuk menguatkan lilitan supaya tidak terurai.

ii- Perayaan Utama di Malaysia

Hari Raya Qurban atau Aidiladha disambut pada tiap-tiap 10 Zulhijjah, Tahun Hijrah. Ia juga dikenali sebagai Hari Raya Haji iaitu hari yang dirayakan sebagai tanda kesyukuran dan rahmat kepada mereka yang berupaya menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Ketika itu, ramai umat Islam dari seluruh dunia sedang menunaikan fardu haji di Mekah, Arab Saudi. Hari raya ini digelar sebagai Hari Raya Qurban kerana sunat atau digalakkan bagi orang-orang Islam melakukan korban dengan menyembelih lembu, kerbau atau kambing. Kemudian daging korban ini pula disedekahkan kepada orang-orang miskin.

Amalan ini sebagai mengingati sejarah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan oleh Allah S.W.T untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail AS. Perintah itu merupakan suatu ujian yang sangat berat yang perlu dihadapi oleh baginda. Anak baginda, Nabi Ismail bersedia dan sanggup pula dikorbankan atau disembelih semata-mata kerana Allah.Lalu, Nabi Ibrahim turut redha dan bersedia dalam melaksanakan perintah Allah itu. Tetapi, di saat penyembelihan hendak dilakukan, Allah telah menggantikan tempat Nabi Ismail dengan seekor kibas.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya. Hari Raya Aidil Adha jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Manakala bagi masyarakat Cina budaya, Tahun Baru Cina adalah demi menyambut tahun baru bagi masyarakat Cina mengikut kalendar mereka. Mengikut kalendar Cina, setiap tahun akan diwakili dengan satu zodiak haiwan yang mana pada tahun ini (2018), jatuh pada tahun anjing. Bagi masyarakat Cina, setiap tahun mempunyai kelebihannya yang tersediri berdasarkan zodiak haiwan kalendar Cina. Sambutan Tahun Bari Cina akan berterusan selama 15 hari dan pada hari yang ke lima belas merupakan perayaan pesta tanglung.

Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Mereka mencari ikhtiar untuk menewaskan makhluk ini. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam.

Perayaan Tahun baru Cina adalah menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’, ia menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat cina.
Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha. Lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi Cuma 12 binatang sahaja yang sampai. Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab. Kononnya dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut.

iii- Gotong-royong dalam masyarakat Melayu

Gotong-royong perkahwinan Melayu atau budaya Rewang yang menjadi adat bagi masyarakat melayu. Mengikut rewang bermaksud gotong-royong sebagai persiapan menjayakan sesuatu majlis (terutamanya majlis kenduri perkahwinan). Perkataan Rewang ini berasalnya dari bahasa jawa yang membawa maksud beramai-ramai membanting tulang tolong-menolong dalam menyediakan persiapan sesuatu majlis.

Aktiviti rewang ini selalunya dilakukan beberapa hari sebelum majlis dilangsungkan. Bagi menyediakan persiapan hari bahagia, bantuan diperlukan dari jiran serta saudara-mara terdekat. Sebagai contoh aktiviti rewang ini seperti beramai-ramai kupas bawang, kentang, potong daging, bunga rampai, meletakkan telur di dalam karung bunga telur, menyediakan bunga manggar, mencuci pinggan, menyediakan cenderahati untuk tetamu dan sebagainya. Pembahagian tugas adalah secara sukarela mengikut kebolehan masing-masing bagi menggerakkan operasi tersebut berjalan lancar
Semua persiapan ini harus diselesaikan sebelum majlis bagi memudahkan proses kelangsungan majlis berjalan lancar. Persediaan rapi untuk bahan masakan, kerana mereka ini juga akan rewang bersama untuk masak lauk-pauk untuk dihidangkan kepada tetamu.

Kelebihan aktiviti Rewang dapat memberi banyak maanfaat kepada masyarakat, terutamanya di kampung. Di samping bekerjasama membuat tugasan yang diberikan, ia telah mengeratkan lagi tali persaudaraan antara satu sama lain. Selain itu, budaya Rewang ini telah dijadikan sebagai medan dakwah peringkat keluarga, sanak-saudara dan jiran terdekat serta dapat bertukar-tukar pandangan dan permasalahan semasa aktiviti tersebut.

Di samping itu, penerapan nilai adat dan budaya setempat di dalam masyarakat kita ia dapat mengajar erti kerja sukarela tetapi mendapat manfaat bersama tanpa mengenal penat lelah.

Mengikut Emile Dukheim (1855-1917) menjelaskan, tentang perubahan sosial adalah dari segi solidariti sosial yang menjadi tujuan utama dalam menjelaskan realiti sosial. Pemikiran Durkheim di dasari kepada gejala sosial yang terjadi pada ketika Revolusi Perindustrian di Eropah, dia mengamati perubahan sosial dari masyarakat primitif menuju masyarakat industri terutama berkaitan dengan pembahagian kerja.

Dalam masyarakat primitif pembahagian kerja sangat sedikit, manakala dalam masyarakat industri sangat kompleks disebabkan oleh pertambahan jumlah penduduk. Implikasi daripada pembahagian kerja ini adalah daripada perubahan jenis solidariti sosialnya iaitu masyarakat dengan pembahagian kerja yang rendah pula akan menghasilkan jenis solidiriti mekanikal sedangkan dalam masyarakat dengan pembahagian kerja yang kompleks akan menghasilkan jenis solidariti organik.
(Lauer, 1982; Samuel, 2010) Solidariti mekanik terbentuk kerana adanya saling kesamaan antara anggota masyarakat, manakalah solidariti organik lebih terbentuk kerana adanya perbezaan antara anggota masyarakat. Perbezaan ini menyebabkan setiap anggota masyarakat saling bergantung satu sama lain.

iv-Adab dan kesopanan orang Melayu

Walaupun Islam telah mengubah kepercayaan dan fahaman keagamaan kepada orang Melayu, namun masyarakat Melayu masih tekal dengan identiti dan entiti kemelayuan dengan mengekalkan nilai dan struktur yang tidak berlawanan seperti lemah lembut, sopan santun, dan sebagainya. Didikan ibu bapa atau keluarga sangat dalam sehingga nilai kemelayuan tidak terhapus dengan kedatangan Islam. Secara kebetulan pula nilai murni orang Melayu selari dengan Nilai Islam. Ini menyebabkan orang Melayu mudah menerima Islam dan pada masa yang sama masih mengekalkan indentiti kemelayuan.

Misalnya, suatu ketika dulu, institusi agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat bantahan ke atas kedua-dua persembahan popular tersebut, pengharaman terus dibatalkan pada kedua-dua persembahan K.RU dan Michael Jackson. Konsert muzik Michael Jackson yang bertajuk ‘HIStory World Tour’ sepatutnya dipersembahkan di Stadium Shah Alam pada 27 Oktober 1996.

Namun konsert ini telah diharamkan oleh Majlis Perbandaran Shah Alam. Terdapat pelbagai pihak termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia yang mendesak konsert tersebut diharamkan. Begitu juga Konsert kumpulan K.RU yang terdiri daripada tiga orang penyanyi tempatan merancang untuk membuat persembahan di lima belas tempat di seluruh Semenanjung Malaysia. Namun beberapa negeri telah mengharamkan konsert tersebut. Pengharaman konsert tersebut telah menimbulkan isu hangat sehingga ia dibincang di mesyuarat Exco seperti di negeri Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Melaka dan Johor.

Ini mengambarkan budaya orang melayu masih berpaut dengan adab dan etikanya yang diasuh dari masyarakat orang melayu yang memelihara budaya. Masyarakat Melayu sangat menjaga halal dan haram sesuatu budaya seperti dari aspek makanan, berpakaian menutup aurat kerana mentaati perintah agama, pergaulan dan kesenian.

v-Bahasa Rasmi

Bahasa rasmi yang digunakan di negara ini ialah Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu) namun, bahasa-bahasa berbagai kaum dan suku kaum yang lain adalah bebas digunakan seperti bahasa Cina dan Tamil. Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua dan digunakan dengan meluasnya di bidang-bidang perdagangan dan perindustrian. Kerajaan juga telah menggalakkan pekerja hotel dan ahli-ahli perniagaan yang berkaitan dengan sektor pelancongan dan perhotelan supaya mempelajari lain-lain bahasa antarabangsa.

Kesimpulan

Kefahaman mengenai budaya dan konsep sosiologi membolehkan kita mendalami bidang ilmu hubungan etnik secara ilmiah dan mendalam. Secara tidak langsung, pemahaman ini menimbulkan suatu kesedaran baru untuk memupuk keharmonian dalam kehidupan dan seterusnya menyumbang kepada perpaduan dan integrasi nasional. Apa yang penting memahami perkara-perkara tersebut secara ilmiah, kita dapat merealisasikan dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian dengan memupuk nilai-nilai murni dan mengelakkan tingkah laku negatif. Oleh yang demikian, sifat-sifat ini akan menghasilkan sikap rakyat yang lebih memahami terhadap budaya masyarakat lain ke arah pembinaan generasi bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Rujukan

1Klik, P. (2017, Februari 28). Sosio Budaya. Didapatkan dari Kementerian Penerangan Malaysia: http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/budaya/6-sosio-budaya.html

Abdullah, M. S. (2014). Hubungan Etnik. Selangor: Open Univesity Malaysia.

Aststar, M. (2017, Disember 30). Nota Guru Pelatih. Didapatkan dari Konsep Budaya: http://notagurupelatih.blogspot.my/2012/04/konsep-budaya.html

Blog Malaysia. (2008, Januari 28). Budaya, Pengertian Dan Definisi. Didapatkan dari https://blogbudaya.wordpress.com/2008/01/28/budaya-pengertian-dan-definisi/

Darusalam, G. (2014). Tamadun Islam dan Tamaduan Asia. Selangor: Open Universiti Malaysia.

Hamidah Abdul Rahman, N. A. (2009). Hubungan Etnik Di Malaysia : Perspektik Teori Dan Praktik. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia.

Mohamad Yusuf Ismail et.al. (2009). Manusia, Masyarakat dan Budaya. Selangor: Open University Malaysia.

Othman, S. (2015). Islam dan Kebudayaan Melayu. Selangor: Open Univerisit Malaysia.

Shalaby, A. (2001). Kehidupan Sosial Dalam Pemikiran Islam. Terj. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

Sunarto, K. (1993). Pengantar Sosiologi. Jakarta: Lembaga Penerbit FE – UI. Richard Osborne & Borin Van Loon.

By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.