Konsep pensyariatan Uqubah (hukuman) untuk mencegah manusia daripada melakukan jenayah, sekiranya mereka telah melakukannya, lazimnya mereka tidak akan melakukannya sekali lagi kerana mereka telah dikenakan Uqubah. Maka, konsep Uqubah dalam Islam sebagai alat untuk mencegah perbuatan jenayah sebelum dilakukan. Psikologinya sebagai menakutkan kepada penjenayah setelah dikenakan hukuman

Maka, hukuman jenayah syariah bertujuan untuk melindungi kepentingan umat manusia, menjamin kehidupan yang aman di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Rasululah SAW sebagai suri tauladan bersumpah dengan sangat serius dalam hal ini, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aishah, Nabi SAW bersabda : Seandainya Fatimah puteri Muhammad mencuri nescaya aku memotong tangannya. Apabila turun ayat mengenai hukuman potong tangan ke atas pencuri. (Riwayat al-Bukhari : 3475)

Jelas menunjukkan bahawa setiap kesalahan perlu dibalas dengan hukuman yang setimpal, firman Allah SWT yang bermaksudnya : Oleh itu, sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukan kepada kami (al-Baqarah : 194).

Dari Abu Hurairah RA, Nabi bersabda bermaksudnya : Seseorang tidak mengambil sejengkal tanah tanpa haknya melainkan akan dibelitkannya daripada tujuh lapis bumi pada hari akhirat (Riwayat Muslim)

Ayat al-Quran dan hadis tersebut menjelaskan bahawa sesuatu jenayah akan dibalas di dunia lagi dengan Uqubah yang setimpal. Menurut, Abdul Monir & Sarina Othman (2000) Uqubah dalam perundangan sivil bermaksud hukuman keseksaan yang dijatuhkan oleh mahkamah setelah seseorang itu didapati bersalah melakukan jenayah (Azman, 2013).

Persoalannya, sesetengah tertuduh pada hari ini seolah-olah telah dihukum di khalayak ramai melalui berita tular yang disensasikan dalam media elektronik atau cetak. Maka, berlawanan dengan kaedah asas sistem jenayah Islam : Semua Orang Tidak Bersalah Sehingga Dia Dibuktikan Bersalah.

Jelas menunjukkan persepsi masyarakat bahawa apabila seseorang itu melakukan kesalahan kemudian ditangkap oleh pihak berkuasa, kemudian diberitakan melalui media, seterusnya dijadikan isu dan menghukum seseorang tersebut sebagai orang yang bersalah sebelum dibicarakan dan jatuhkan hukum oleh mahkamah.

Penulis cuba mengupas permasalahan ini mengenai kaedah yang tersebut, bagaimanakah cara Islam memperkukuhkan pelaksanaan kaedah tersebut ? Apakah cara yang sepatutnya dipraktikkan dalam masyarakat Malaysia supaya tertuduh tidak dihukum di media sosial sebelum dibuktikan beliau bersalah.

Asas sistem jenayah dan Uqubah Islam

Jika kita lihat kaedah asas sistem jenayah dan ‘Uqubah Islam yang berdiri di atas asas Kaedah Semua Orang Tidak Bersalah Sehingga Dia Dibuktikan Bersalah merupakan kaedah yang diaplikasikan daripada Kaedah Fiqhiyyah:

اَلْأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ
Maksudnya :Asal Sesuatu Perkara Bebas Daripada Tanggungjawab ( Atas Hak Orang Lain)

Dalam bahasa Arab, al-Aslu bermaksud dasar, pokok dan kaedah. al-Ashlu pada istilah bermaksud kaedah asal yang terus berlaku.

Al-Zimmah secara etimologi bererti janji, aman, pemberian keamanan, dan pertanggungjawaban. Dalam terminologi fuqaha` bermaksud, perkara yang mengenai seseorang yang menerima kewajipan dan kepastian. Bbara`atudz dzimmah adalah terlepasnya dari tanggung jawab kepada hak orang lain. Jadi, kaedah tersebut bermaksud “Pada dasarnya (seseorang) bebas dari tanggungjawab (atas hak orang lain)” (Mohd Qary Al-Tantawy Mesry, 2003).

Kaedah ini berlaku memandangkan seseorang manusia pada permulaannya dilahirkan dengan ketiadaan zimmah dari sebarang kewajipan atau tanggungjawab dan keadaan ini berterusan hingga dating ke atasnya sebab-sebab atau faktor yang membawa ia kepada bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara.

Oleh kerana terlepas daripada tanggungjawab itu merupakan asal dan terikat dengan hak itu adalah perkara yang mendatang, maka tidak diterima dakwaan orang yang mendakwa bahawa seseorang yang lain itu memikul tanggungjawab (melakukan sesuatu perkara) bahkan mestilah ia mendatangkan saksi atau dengan sumpah daripada pihak yang mendakwa.

Oleh yang demikiran kaedah ini diguna pakai oleh hakim menentukan status orang yang didakwa dalam kes jenayah iaitu kaedah yang bermaksud “asalnya seseorang itu bebas daripada tanggungjawab”. Ini bermakna seseorang itu bebas kecuali dibuktikan dia melakukan sesuatu perbuatan itu (Hujjah, 2016).

Di mahkamah, hakim akan memastikan kehadiran pendakwa dan tertuduh atau terdakwa sebelum memulakan perbicaraan. Pendakwa akan membentangkan pertuduhan dan menerangkan secara ringkas dakwaan ke atas tertuduh, sekiranya tertuduh tidak mengaku salah, pendakwa dikehendaki mengemukakan keteranganya.

Prinsip ini berasaskan kaedah fiqhiyyah yang bermaksud: ‘Pada asalnya seseorang itu bebas daripada sebarang tanggungan’. Kaedah ini menjelaskan bahawa seseorang itu adalah bebas daripada sebarang tanggungan jenayah kecuali jika dibuktikan sebaliknya. Ini bermakna beban bukti terletak pada pihak pendakwa.

Jika pendakwa gagal mengemukakan keterangan yang dapat membuktikan kesalahan tertuduh, mahkamah akan membebaskan tertuduh dari sebarang kesalahan. Seseorang itu tidak boleh dihukum atau ditahan di bawah mana-mana undang-undang tanpa dibicara dan dibuktikan bersalah.

Berdasarkan prosedur jenayah di atas, dapat difahami bahawa Islam amat mengambil berat soal hak asasi manusia di samping mengutamakan nilai-nilai kemasyarakatan dan akhlak. Undang-undang Islam berusaha untuk memastikan semua pihak yang melakukan jenayah dihukum dengan seadilnya disamping tidak mengabaikan hak mereka untuk membela diri (Muhammad Fathi, 2017).

Contoh aplikasi kaedah atau di antara masalah fiqh yang keluar daripada kaedah ini antaranya:

i- Jika seseorang didakwa membunuh atau mencuri, sementara pendakwa tidak bisa menunjukkan bukti bahwa ia telah membunuh atau mencuri, maka pihak terdakwa tidak boleh dijatuhi hukuman apa pun. Karena pada asalnya seseorang bebas dari tindak pembunuhan dan pencurian.

ii- Sesiapa yang mendakwa ke atas orang lain berhutang dengannya, maka dia mesti membuktikan dakwaan itu apabila yang didakwa menafikannya kerana ia berpegang kepada keadaan yang asal iaitu Baraatu al-Zimmah. Maka pada zahirnya dia tidak mempunyai tanggungan hutang melainkan terbukti sebaliknya.

Bagaimana cara Islam memperkukuhkan pelaksanaan kaedah tersebut

i- Sistem Kehakiman Islam

Menurut Mohd Salleh (2014), kaedah ini juga digunakan dalam Sistem kehakiman Islam iaitu pendakwaan, dalam hal ini tidak boleh diterima satu saksi, selagi tidak dikuatkan dengan saksi lain atau sumpah pendakwa.

Oleh kerana itu, yang dibenarkan ialah keterangan mudda`a`alaih (pihak yang didakwa atau Defendan) kerana selari dengan ketentuan asal. Dalam mengenal pasti perbezaan di antara pihak pendakwa dan pihak yang didakwa adalah merupakan di antara beberapa perkara yang perlu diketahui dengan jelas, sama ada pihak hakim mahupun pihak yang bertikai, agar dapat dilaksanakan sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW bermaksud:

الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Maksudnya: Mengemukakan keterangan adalah menjadi kewajipan yang mendakwa dan bersumpah adalah tanggungjawab yang mengingkarinya.( HR. At-Tirmidzi, no. 1341, ad-Daruquthni,: 4311, dan al-Baihaqi dalam as-Sunanul Kubra, no. 17288. Hadis ini disahihkan oleh al-Albani dalam Irwa`ul Ghalil: 2661)


Oleh itu, maka hendaklah dikenalpasti siapakah yang dikatakan pendakwa atau orang yang menuntut hak (al-Mudda`i atau Plaintif) iaitu yang berkewajipan mengemukakan keterangan dan siapakah pula yang dikatakan sebagai orang yang didakwa (al-Mudda`a `Alaih atau Defendan) iaitu mesti bersumpah sekiranya dia mengingkari dakwaan pendakwa.


ii- Pemakaian Undang-Undang Keterangan Islam

Islam mengambil berat soal peraturan keterangan dalam membuktikan hujah di mahkamah. Keterangan mempunyai peranan yang besar dalam membuat keputusan atau penghakiman. Keterangan yang tidak sempurna akan menyebabkan penghakiman yang silap dan tidak adil. Nabi Muhammad SAW bersabda:

الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

“Bukti harus ditunjukkan oleh pendakwa (Plaintif), sementara terdakwa (Defendan) cukup mengucapkan sumpah (Al-Yamin)” (HR. At-Tirmidzi :1341, ad-Daruquthni,: 4311, dan al-Baihaqi dalam as-Sunanul Kubra: 17288. Hadis ini disahihkan oleh al-Albani dalam Irwa`ul Ghalil, no. 2661)

Dalam undang-undang Islam, keterangan dikenali sebagai al-Bayyinah yang bermaksud sesuatu yang menjelaskan atau menerangkan sesuatu hak, tanggungan atau kepentingan. Keterangan ini bukan semata-mata keterangan saksi, tetapi merujuk kepada bentuk keterangan yang luas yang merangkumi segala bentuk usaha untuk menunjukkan, menerangkan atau membuktikan sesuatu kedudukan, hak, kepentingan atau fakta di dalam mahkamah, Ini bermakna semua keterangan yang diterima pakai oleh Islam termasuklah ikrar atau pengakuan, sumpah, penyaksian, qarinah dan lain-lain boleh digunakan di dalam mahkamah.

Para ulama berpendapat bahawa mengemukakan keterangan adalah fardhu kifayah bagi mereka yang mengetahui kebenaran dan diminta untuk mengemukakannya. Ini bermakna jika ada salah seorang dari anggota masyarakat yang memberikan keterangan kepada mahkamah, maka ahli masyarakat lain akan terlepas dari tanggungjawab tersebut. Ketetapan ini berdasarkan kepada;


﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ إِنْ يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَى بِهِمَا فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَى أَنْ تَعْدِلُوا وَإِنْ تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا١٣٥﴾ [النساء: 135]

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman ! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya.

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (an-Nisa`: 135)

Oleh itu, sekiranya pihak yang didakwa enggan bersumpah selepas diminta berbuat demikian atau ketika pihak yang mendakwa bersama seorang saksi lelaki, maka sumpah (al-yamin) disyariatkan bagi pihak yang lebih kuat antara dua pihak yang bersumpah. Oleh itu, kaedah ini merupakan kaedah yang penting di dalam Undang-undang Keterangan Islam dalam memutuskan sesuatu kes.


iii- Mempertimbangkan Prosedur yang akan Diguna Pakai

Konsep kaedah fiqh juga telah diterapkan dalam Enakmen Tatacara Mal Selangor 2003. Sebagai contoh di bawah seksyen 121, Mahkamah boleh menolak dan membuang kes disebabkan ketidakhadiran pihak-pihak dalam perbicaraan atau meneruskan kes tanpa kehadiran pihak yang satu lagi. Kaedah yang bersesuaian bagi hal ini ialah “tidak dapat disandarkan sesuatu perkataan kepada orang yang berdiam, namun berdiam ketika memerlukan keterangan adalah keterangan”.

Kaedah ini merupakan kaedah juziyyah yang mempunyai kaitan serta menjadi kaedah pecahan daripada kaedah kulliyyah iaitu:

لا ينسب إلى ساكت قول

Maksudnya : Orang yang diam tidak boleh dianggap ia berkata
Kaedah ini bermaksud, tidak boleh dinisbahkan kepada orang diam itu berkata, iaitu tidak boleh disamakan kepada orang yang diam itu ia berkata dengan sesuatu perkataan apa pun.

Sesetengah ulama’ berpendapat bahawa kaedah ini adalah kata-kata dan fatwa imam al-Syafie berkenaan seseorang yang diam (atau tidak berkata-kata) itu tidak sama keadaannya dengan sebagaimana orang yang berbicara (atau berkata sesuatu). Namun begitu, sekiranya seseorang itu berdiam diri ketika diperlukan ia berkata atau berbicara, maka itu membawa makna pengakuan atau ikrar oleh dirinya dan dianggap pula sebagai satu keterangan (Abd Latif & Rosmawati, 2000).

Aplikasi kaedah atau di antara masalah fiqh yang keluar daripada kaedah ini antaranya

i- Janda yang mendiamkan diri iaitu tidak bercakap semasa walinya meminta keizinan untuk dikahwinkannya, tetapi sikapya hanya mendiamkan diri itu tidak menunjukkan bahawa ia merelakan untuk berkahwin.

ii- Dara yang mendiamkan diri tentang nikahnya dikira memberi izin kepada bapanya untuk dia berkahwin. Sabda Nabi saw:


إذنها صماتها

Maksudnya : Seseorang gadis ketika ditanyakan kahwin adalah diamnya.

Tiga cara yang wajar dipraktikkan dalam masyarakat Malaysia supaya tertuduh tidak dihukum di media sosial sebelum dibuktikan bersalah

i- Membebaskan diri daripada kejahilan

Hanya dengan ilmu dan cara kita berfikir yang dapat membebaskan dan mengubah diri kita dari kegelapan dan kejahilan disebabkan kurang ilmu yang mengakibatkan kita tidak memahami sesuatu perkara sehingga menghukum sampai berpecah-belah di antara kita. Islam telah turun dan zahir pada masyarakat Badawi yang mundur, saling berbunuh-bunuhan, pengabidian dan perhambaan manusia, menghina kaum wanita dan menanam mereka hidup-hidup.

Akhirnya mereka dapat menerima Islam dan bermuamalah bersamanya dengan mudah. Sebaliknya kita telah gagal menghadapi perkara ini, sedangkan kita yang boleh menilai sesuatu perkara itu baik atau jahat dengan pengenalan ilmu pengetahun, pembangunan dan berupaya untuk membina jambatan saling memahami?

Apakah yang mengubah kasih saying kepada kekerasan? Apakah yang menjadikan ‘tembok’ kita sebagai pembangunan dan disebaliknya adalah kejahilan dan kemunduran?

Sedangkan penjahat atau penjenayah itu tidak minta untuk berada di tempat itu seperti mana kita juga yang tidak mahu berada ditempat mereka itu. Dimana keimanan kita kepada Qada dan Qadar, sebaliknya keberadaan mereka itu adalah untuk kita bebaskan diri kita dari kejahilan sehingga kita dapat mengerti dan tahu apakah itu kebaikan dan hikmah disebalik kejahatan yang mereka lakukan.

Tohmahan dan fitnah telah menjadi budaya dalam masyarakat untuk mendapatkan pengaruh dengan mudah dengan hanya menggunakan hawa nafsu tanpa mempedulikan akal yang dianugerahi oleh Allah SWT dengan cepat membuat menuduh, memfitnah dan menghukum.

Cuba kita fikirkan kenapa Allah SWT sebut dalam firmannya :


وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

Maksudnya: … dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan…(Surah Al-Baqarah: 191)

وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ

Maksudnya: Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan. (Surah Al-Baqarah: 217)

Budaya memfitnah dan melakukan tohmahan ini dalam masyarakat seperti sebelum ini dengan kafir mengkafir, tohmahan fasiq, membidaah dan sesat berleluasa dalam kalangan kita sehingga kita boleh menempatkan seseorang dengan sewenang-wenangnya di dalam neraka?

Kenapakah mereka mengeruhkan kehidupan kita dan menjadikan mata air rahmat itu kering dengan sebab tohmahan negatif sehingga sikap ‘menghukum’ terbawa ke dalam media sosial membuka keaiban dan keegoan. Rantaian pembawa virus penyakit hati ini tidak terputus kerana hari ini kita menghukum orang sedangkan orang itu tidak minta untuk jadi penjenayah.

Tuhan yang maha adil, apa yang kita perkatakan jika benda ini berulang kepada keturunan kita pula dengan sebab kejahilan diri, akhirnya kita mendapat kehinaan.

ii- Berjuang mengubah diri

Perubahan diri bermaksud mengubah sikap kita terutama orang melayu dahulu terkenal sebagai orang yang tatalaku budi pekerti yang tinggi dan mulia. Akhirnya perilaku mulia sebagai nilai Budiman dalam masyarakat kini terhakis sehingga sering menghangat cerita palsu, cerita fitnah dan gossip. Memang benar teknologi dan kemodenan telah banyak memudahkan dan meringankan bebanan manusia.

Persoalannya, sejauh manakah teknologi dan kemodenan itu perlu dipersalahkan? Sedangkan kita dianugerah akal sebagai alat untuk memandu kita berfikir.

Saidatina Aisyah bertanyakan kepada Rasulullah SAW, “Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di dunia. Baginda SAW menjawab: Dengan akalnya. Saidatina Aisyah bertanya lagi: Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di akhirat. Baginda menjawab: Dengan akalnya. Lantas Aisyah bertanya: Bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalnya? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya.” (Riwayat Tirmidzi)

Prof Marc Rosenweig dalam kajiannya menyatakan, kebanyakan manusia baru menggunakan kemampuan otaknya sebanyak kurang daripada 1% sahaja. Kemajuan teknologi dan kehidupan moden pada hari ini adalah hasil pemikiran otak sebanyak 10% sahaja. Bayangkan apa yang terjadi, apabila kita menggunakan kapasiti otak melebihi 10% (Windura, 2011).

Maka jelaslah, teknologi tidak salah tapi yang salah adalah yang menggunakan tidak berubah untuk menaiktarafkan akalnya dari pemikiran lama ke pada berfikir sesuai dengan kemodenan teknologi.
Justeru, wajar kita menerapkan perubahan sehingga Allah SWT menyatakan dalam firmanNya :

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka” (Ar-Ra’d : 11)

Allah SWT tidak mengubah sebab apa-apa yang Allah kurniakan kepada satu-satu kaum itu sehingga kita semua yang mengubah sikap kita sendiri. Siapa yang mahu dirinya maju dengan agama misalnya, ada kuliah agama datang belajar, sebab kita banyak yang tidak tahu, kita datang dan mengambil ilmu kemudian fahamkan untuk menjadi pegangan.

Sedangkan ‘menghukum’ orang dengan yang negatif sehingga berkelahi dengan orang, hakikatnya kita ingin menyatakan diri kita adalah bagus, padahal kita tidak perlu pun menghukum sesiapa sebab kita sendiri pun tidak menempuh keadaan apa yang penjahat atau penjenayah lalui, bagaimana proses mereka, kenapa dan sebab apa dan apakah penyelesaian yang kita boleh beritahu orang lain akibat kelemahan mereka itu sebagai pencegahan kepada generasi lain dengan cara berhikmah dan cara pemikiran positif kita.

Sewajarnya, tidak perlu hanya kerana sedikit pasal dunia, kita ‘menghukum’ untuk meletakkan orang semua ke dalam neraka sehingga hanya sedikit kepandaian yang ada pada kita semua orang boleh celaru dengan berita sensasi dari kita.

iii- Berfikir sebelum bertindak

Dalam kehidupan harian berfikir dan bertindak merupakan amalan yang berkait rapat dengan ciri peribadi dan kejayaan dalam hidup apatah lagi dalam konteks penggunaan media sosial. Amalan berfikir dan bertindak mempengaruhi peribadi seseorang. Orang yang berfikir sebelum bertindak berkemungkinan besar berjaya.

Namun nilai fikir dan bila masa perlu atau boleh bertindak selepas berfikir juga menyumbang kejayaan tindakan.

Ada orang bertindak tanpa atau kurang berfikir. Tindakan seperti ini dipanggil melulu, terburu-buru atau sembrono. Tindakan seperti ini juga dikatakan tindakan orang tidak bijak, tidak matang, keanak-anakan malah boleh dikatakan tidak siuman. Bertindak yang dimaksudkan boleh jadi dalam bentuk lisan, tulisan dan perbuatan. Orang sedemikian juga sering kali mudah terlajak-laku, kata atau bicara. Peribahasa mengajar kita : terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata rosak binasa. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana. Apakah fenomena seperti ini semestinya benar dalam konteks penggunakan media sosial sekarang untuk terus menghukum seseorang sehingga dibuktikan bersalah oleh pihak berkuasa ?


Orang yang bertindak tanpa berfikir atau singkat fikiranya tidak semestinya salah hasilnya, Namun apakah yang memandu atau mendorongnya melakukan tindakan itu? Bolehkah misalnya tangan atau mulut melakukan sesuatu tanpa di dahului otak yang berfikir sekurang-kurangnya mencetus idea jika pun tidak menimbang baik dan buruk apa yang hendak dilakukan? Jawapannya boleh kerana selain akal manusia dibekalkan nafsu, perasaan, kepercayaan (iman), tindakan pantulan (refleks), ilham, nurani dan kemuliaan seperti karomah dan wahyu (bagi para Nabi).

Bagaimana kita boleh menjelaskan keadaan di mana seorang yang boleh dengan pantas menjawab persoalan atau menyelesai masalah atau mengambil keputusan yang sukar seolah-olah orang itu bertindak tanpa berfikir atau berfikiran singkat. Sebenarnya orang itu mungkin telah berfikir tetapi mengambil masa yang singkat atau pantas sepantas kilat sebelum bertindak.

Hal ini kerana akal dijadikan Tuhan daripada nur atau cahaya yang kelajuannya bergerak ialah 3.8 kali sepuluh kuasa sembilan meter sesaat. Orang yang mampu berfikir dan bertindak dengan pantas sebenarnya bukan sahaja telah melalui pendidikan, latihan, amalan atau pengalaman yang panjang tetapi mengguna segenap potensi, pancaindera dan bantuan yang diperoleh (Jamil, 2012).

Kesimpulan

Ruang lingkup jenayah atau kesalahan dalam Islam adalah lebih luas iaitu mencakupi kesalahan yang bersabit hak dengan Allah SWT, hak manusia serta hak Allah bersama-sama hak manusia. Undang-undang jenayah Islam mengutamakan aspke pencegahan melalui kaedah yang unit. Contohnya hukuman yang terdapat di dalam undang-undang Islam seperti sebat dan rejam bagi penzina dilihat sebagai berat dan menggerunkan oleh sesetengah pihak.

Sedangkan pensabitannya adalah sukar kerana syarat-sayat untuk mensabitkan hukuman adalah ketat seperti memelukan empat saksi lelaki yang tidak fasik yang melihat secara jelas ke atas apa yang berlaku. Jika zina tidak dapat dibuktikan, mereka mungkin dikenakan hukuman takzir yang lebih ringan.

Oleh itu, kaedah fiqh adalah salah satu ilmu penting dalam ruang lingkup ilmu fiqh dan usul fiqh kerana kaedah fiqh merupakan prinsip-prinsip fiqh yang mengandungi hukum-hakam secara umum untuk disesuaikan dengan bahagian-bahagiannya.

Walau bagaimanapun, kemunculan kaedah fiqh banyak dipengaruhi oleh faktor tuntutan semasa dan mampu menyelesaikan sebahagian besar hukum fiqh yang mana tidak ada sumber hukum yang jelas di dalam al-Quran dan al-Sunnah, begitu juga pengaplikasi kaedah fiqh menjadi panduan dalam sistem perundangan dan kehakiman syariah dalam memutuskan sesuatu kes.

Justeru, netizen yang melakukan tuduhan kepada penjenayah dengan mensensasikan berita tular sebelum mahkamah membuktikan mereka bersalah sebenarnya netizen menggalakkan perpecahan, berpuak-puak, ta`asub dan boleh membuatkan ‘kemunduran pemikiran’ kita yang asyik kepada perkara-perkara negatif di media sosial yang kita hadapi.

Maka, ini di antara faktor yang membuka selera ‘kuasa-kuasa besar’ untuk menikmati daging kita, menjajah pemikiran kita dan akhirnya memperhambakan rakyat kita tanpa sedar serta terus melalaikan kita kepada Allah SWT.

Rujukan :

Abd Latif, M., & Rosmawati, A. @ A. (2000). Perbahasan Kaedah-Kaedah Fiqh. Pustaka Salam Sdn Bhd.

Abu Mazaya,  al-H., & Abu Izzat al-Sahafi,  al-S. (2015). Fiqh Jenayah Islam. Al-Hidayah Publications.

Alias, O. (2011). Fiqh Jinayat. Open University Malaysia.

Azman, A. R. (2013). Qawaid Fiqhiyah (1st ed.). Open University Malaysia.

Hassan, S. (1984). Prinsip-Prinsip Fekah Islam. Pustaka Aman Press.

Hujjah, N. (2016, June 4). Pada Dasarnya Semua Bebas Dari Tanggungan. Hujjah.Net. https://www.hujjah.net/pada-dasarnya-semua-bebas-dari-tanggungan/

Jamil,A.(2012,December 29).Berfikir dan Bertindak. Dr Jamil Adimin’s Blog. https://drjamiladimin.wordpress.com/2012/12/29/berfikir-dan-bertindak/

Mohamad Ismail, M. Y. (2012). Prinsip Fiqh Jinayat. Open University Malaysia.

Mohd Qary Al-Tantawy Mesry, A. G. (2003). Qawaid Fiqhiyyah. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.

Mohd Said, I. (2000). Al-Qawaid al-Fiqhiyyah. Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Mohd Salleh, A. (2014). Sistem Kehakiman Islam. Pustaka Haji Abdul Majid.

Muhammad Fathi,Y.(2017, Mei). Keindahan Undang-Undang Islam. https://people.utm.my/fathi/files/2017/05/buku-keindahan undang-undang Islam.pdf

Siti Nur Amalina, C. O., & Norfaizah, R. (2014). Undang-Undang Keterangan: Maxim Perundangan Dan Qawaid Fiqhiyyah [Universiti Malaya]. https://www.academia.edu/7942063/Undang-Undang Keterangan Maxim Perundangan dan  Qawaid Fiqhiyyah

Windura, T. (2011). Melatih Anak Berfikir. PTS Professional.


By Abu Zeckry

zeckry.net merupakan Rakan Penyelidik Nusantara (RPN) untuk pembangunan dan perkembangan dalam bidang Sains Sosial di Nusantara. [[Perkhidmatan]]Guaman Syarie, Pengurusan Harta Islam, Editorial. PENAFIAN : Tidak semestinya tulisan dalam laman ini adalah pandangan muktamad penulis. SOKONGAN PADU :>>>Tabung Muallaf 50 Sen Sehari>>>

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.