Bermula dari sejarah penurunan al-Quran di Gua Hira’, ia mula diperdengarkan dan diajar kepada umat manusia melalui Nabi Muhammad SAW. Kemudian, al-Quran diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi yang lain melalui usaha dakwah penyebaran Islam selari dengan perkembangan Islam memasuki segenap ruang di muka bumi ini. Negara Malaysia juga tidak terkecuali dalam usaha ini.
Dengan menggunakan pendekatan talaqqi dan musyafahah sebagai kaedah pertama dalam mengajar al-Quran kepada masyarakat awal Islam di tanah Melayu, sehinggalah kaedah tersebut berkembang mengikut keperluan dan kesesuaian kaedah pengajaran semasa.
Ilmu Tajwid dari segi bahasa ialah mengelokkan sesuatu. Manakala dari segi istlah menurut Abi Asim Abd Al-Aziz Bin Abd Al-Fattah al-Qari (1404 H) ialah mendatangkan setiap huruf akan haknya (sifat-sifatnya yang asli) dan mustahaknya (sifat-sifatnya yang mendatang). Menurut Ghani (2013) para ulama telah membahagikan ilmu tajwid kepada dua bahagian iaitu tajwid ilmi dan tajwid amali.
Tajwid Ilmi adalah teori ilmu tajwid, mengetahui kaedah-kaedah yang diletakkan kemudian dinamakan ilmu tajwid oleh para ulama yang merangkumi makhraj huruf, sifat huruf, hukum nun mati dan tanwin, hukum mad dan waqaf dan ibtida`.
Manakala tajwid amali pula adalah praktikal ilmu tajwid kemudian hukum-hukum menyebut huruf-huruf al-Quran dengan cara yang betul yang meliputi cara mengeluarkan setiap huruf daripada makhrajnya, mendatangkan sifat-sifatnya, memanjangkan hukum-hukum mad dan mengizharkan hukum Izhar.
Maka, tulisan kali ini bertujuan untuk menjelaskan kepentingan ilmu Tajwid sebagai menjaga daripada kesalahan sama ada terang atau tersembunyi sehingga mendapat keyakinan yang tinggi apabila membaca al-Quran sekaligus meningkatkan minat untuk berterusan membaca al-Quran dan sehingga mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Di samping itu, perbincangan mengenai kaedah pengajaran dan pembelajaran ilmu Tajwid digunakan pada sesi pengajian. At-Tartil Center.
Kepentingan mempelajari ilmu tajwid menurut Imam al- Suyuti, umat Islam tidak hanya berbakti kepada Allah dengan memahami makna-makna dan hukum-hukumnya, malah dikatakan juga berbakti sekiranya melakukan ibadah dengan membetulkan sebutan, bacaan, menyebut dengan tepat, makhraj dan sifat huruf huruf yang diterimma daripada para qura’ yang bersambung sanadnya dengan Rasulullah SAW.