Cover al-Quran : The best Fine Leather-Bound from Harmatan and Oakridge leathers U.K

Kepentingan mempelajari ilmu tajwid menurut Imam al- Suyuti, umat Islam tidak hanya berbakti kepada Allah dengan memahami makna-makna dan hukum-hukumnya, malah dikatakan juga berbakti sekiranya melakukan ibadah dengan membetulkan sebutan, bacaan, menyebut dengan tepat, makhraj dan sifat huruf huruf yangditerimma daripada para qura’ yang bersambung sanadnya dengan Rasulullah SAW. Di antaranya adalah seperti yang berikut:

Menjaga lidah daripada kesalahan

Menurut (An-Nadawi, 2010) ulama membahagikan kesalahan ketika membaca al-Quran itu kepada dua jenis iaitu : Kesalahan Nyata dan Kesalahan Tersembunyi.

i) Kesalahan Nyata (Al-Lahn al-Jaly)

Al-Lahn al-Jaly bermaksud kesalahan yang mengenai lafaz sama ada berubah makna ataupun tidak. Sekiranya ia dilakukan ketika membaca surah al-Fatihah sewaktu solat, maka hukum solatnya tidak sah kerana membaca fatihah adalah wajib termasuk dalam rukun Qauli (sebutan) dalam solat yang kedua. Oleh itu, dikatakan kesalahan nyata kerana dapat dikesan oleh sesiapa sahaja yang boleh membaca al-Quran sama ada orang yang mahir dalam bidang tajwid ataupun tidak.
Antara kesalahan al-Lahn al-Jaly ialah:
(a) Menukarkan sesuatu huruf kepada huruf yang lain.
(b) Menukarkan sesuatu baris kepada baris yang lain.
(c) Mematikan, menambah atau mengurangkan sesuatu huruf.

Contoh kesalahan dalam kategori ini seperti, kesalahan yang mengubah makna perkataan seperti membaca perkataan ( أنعمتُ عَليهم ) dengan baris dibawah (kasrah) atau depan (dhommah), kerana makna أنعمتَ pada asalnya ialah
“Engkau (Allah) telah beri nikmat’ telah bertukar kepada ‘aku yang beri nikmat’ apabila berbaris dhommah dan ‘kamu (bagi muannath (feminine) apabila berbaris kasrah (bawah).

Begitu juga dengan mengubah huruf seperti ف dibaca dengan huruf ل atau huruf ق seperti perkatan قلب )hati) tetapi disebut bacaan كلب (anjing).

Oleh itu, pembaca al-Quran perlu berhati-hati ketika melafazkan kalam suci ini dengan meneliti huruf dan sebutan agar maknanya tidak lari jauh daripada yang sebenar. Begitu juga hukum yang berkaitan dengan cara-cara wakaf yang betul kerana para ulama bersepakat menghukumnya sebagai haram.
ii) Kesalahan Tersembunyi (Al-Lahn al-Khafiyy)

Al-Lahn al-Khafiyy bermaksud kesalahan yang tiada kaitan dengan lafaz bacaan, tetapi hanya berkaitan dengan kaedah atau cara bacaan sahaja. Dinamakan kesalahan yang tersembunyi kerana kesalahan ini hanya dapat dikesan dan diketahui oleh orang-orang yang mendalami ilmu tajwid.



Contohnya seperti tidak dapat membaca sesuatu mad itu dengan kadar panjang yang betul, meninggalkan ghunnah dan sebagainya. Walaupun para ulama tidak sepakat mengenai hukumnya, namun ianya sangat aib apabila ia dilakukan oleh ahli al-Quran. Para ulama khalaf menghukumkannya makruh. Manakala para ulama salaf menghukumkannya sebagai haram.

Keyakinan dalam bacaan

Keyakinan yang kita maksudkan di sini apabila membaca Al-Quran akan istiqamah untuk membaca dengan penuh rasa rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Kita akan rasa lebih tenang dan menyakinkan apabila mempelajari ilmu Tajwid dari guru yang mahir kerana ia mengajarkan cara menyebuat huruf dengan sempurna dan tepat dari segi hukum Tajwid. Maka mencari guru yang mahir dalam bidang ini menjamin bacaan kita dalam 30 juzuk al-Quran itu tidak rasa was-was kerana tiada lagi sangkaan dengan perasaan rasa bersalah. Akhirnya kita tidak berminat untuk membaca dan mentadbburkan.


Meningkatkan rasa minat membaca al-Quran

Apabila kita mempunyai keyakinan yang kukuh dalam pembacaan al-Quran secara tartil setelah dipelajari dari guru yang mahir kita akan yakin dan terhindar dari sebarang kesilapan. Memandangkan dengan penguasaan ilmu Tajwid kualiti bacaan al-Quran kita akan terpelihara dan apabila tajwid itu betul maka timbullah kecenderungan minat untuk membaca al-Quran akan lebih meningkat tambahan pula adanya getaran pada hati sanubari setiap ayat-ayat yang dibaca secara tadabbur.

Dengan demikian, kecenderungan tersebut bukan hanya di dalam peningkatan membacanya sahaja, bahkan lebih cenderung untuk menganalisis makna-makna yang terkandung di dalam al-Quran. Apabila terdapat motivasi sedemikian dalam diri individu, membaca al-Quran akan menjadi dasar dalam kehidupan manusia dan menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah. (Syarifuddin, 2004)

Mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat

Terdapat banyak ayat Al-Quran dan hadis Nabi yang menerangkan tentang kelebihan membaca al-Quran yang menjamin kebahagian seseorang di dunia dan akhirat kerana selain mendapat pahala ibadah membaanya, ia juga memberi ketenagan dan menjadi penawar serta rahmat kepada kita. Di antaranya dalil seperti berikut:

i- Al-Quran sebagai penawar dan rahmat sebagaimana firman Allah SWT maksudnya, Dan kami turunkan dengan al-Quran itu beberapa ayat yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukmin (QS: Al-Isra`: 82)

ii- Nabi SAW bersabda: Maksudnya, Bacalah al-Quran, maka sesungguhnya dia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya. (HR: Sahih Muslim: 1338)(Normaly Kamal Ismail, 2006)

Oleh itu, bagi yang mendapat empat misi yang disebutkan dalam membaca membaca dan mengkaji Al-Quran, maka dia akan merasa hebatnya Al-Quran untuk mengubah kehidupan kita menjadi lebih bermakna dan mengalami kemajuan yang amat pesat dalam semua keadaan. Jadi, membaca Al-Quran untuk mendapatkan ilmu, maka dia akan beroleh pengetahuan. Sesiapa membaca semata-mata untuk mendapatkan pahala membaca, beliau boleh menjadi pahala membaca sahaja, tidak untuk yang lain.

Menurut Ibnu Taimiyah berkata; “Sesiapa memikirkan makna Al-Quran bagi arahan, ia akan tidak lama lagi cahaya jalan betul-betul di hadapan Allah”. (al Aqidah Al Wasyithiyah 103)



Perbincangan metodologi pengajaran dan pembelajaran Ilmu Tajwid

Menurut (Sharifah Norashah Bani Syed Bidin, 2018) di negara kita terdapat beberapa metodologi pengajaran dan pembelajaran ilmu Tajwid dalam memantapkan menguasaan pelajar dalam ilmu Tajwid antaranya seperti :

i-Kaedah Riwayah:

Mempelajari bacaan setiap huruf al-Quran dari Syeikh (guru) yang benar-benar mahir bacaan tersebut. Syeikh itu mestilah seorang yang pernah mempelajarinya dari Syeikh sebelumnya. Tidak memadai bagi seorang yang mempelajari ilmu Tajwid itu hanya membaca dan menghafaz fakta-fakta atau teori dari dalam buku saja.

Maka, cara sebegini akan mendedahkan kepada kesilapan-kesilapan sebutan. Ini kerana istilah-istilah dalam ilmu Tajwid tidak dapat dikuasai hanya sekadar memahaminya melalui pembacaan sahaja. Sebaliknya mestilah diambil secara musyafahah (mulut ke mulut) dari guru yang mempelajarinya dari guru sebelum itu. Rantaian ini mestilah berkesinambungan hingga kepada penerima wahyu pertama iaitu Rasulullah SAW. Inilah cara bagaimana bacaan al-Quran itu diwarikan kepada kita sejak bergenerasi.

ii-Teknik al-Baghdadi Qira`ti

Teknik ini menekankan pengenalan huruf hijaiyah, baris dan ejaan.
• Memperkenalkan huruf secara analisa secara berperingkat-peringkat dengan cara latih tubi dan pengulangan.
Teknik
• Menggunakan bunyi yang dihasilkan oleh alat ketuk sebagai tempo untuk kanak-kanak membaca mengikut tajwid yang sempurna.
• Dilakukan dengan pelajar duduk mengelilingi guru dalam bentuk bulatan
• Pelajar dikehendaki duduk dalam keadaan khusuk sementara guru menyampaikan dengan bismillah, alhamdulillah, selawat ke atas nabi, kemudian memulakan pelajaran.
Memperkenalkan huruf hijaiyyah hinggalah ke buku jilid lima untuk pelajaran yang lebih susah seperti bacaan hurufqalqalah.
• Apabila selesai lima buah buku tersebut pelajar akan dilatih membaca dan seterusnya al-quran muhaf rasm othmani.
Teknik
• Guru melaksanakan pembelajaran kepada pelajar dalam sesi pembelajaran.
• Guru haruslah menguji serta menyuruh pelajar menyebut huruf hijaiyyah yang tidak berbaris dan haruslah membaca huruf yang berbaris. Pelajar juga didedahkan dengan huruf-huruf yang bersambung.
Kaedah ini merupakan kaedah yang paling lama dan meluas digunakan di seluruh dunia. Ia dipercayai berasal dari Baghdad, ibu Negara Iraq dan diperkenalkan di Indonesia seiring dengan kedatangan saudagar dari Arab dan India yang singgah di Kepulauan Indonesia (Mohd Zainul, 2008).


Manakala menurut (Komari, 2008) menjelaskan kaedah ini sudah bermula dari pemerintahan khalifah Bani Abbasiyah dan di Indonesia kaedah tersebut telah diperkenalkan pada awal tahun 1930an sebelum kemerdekaan. Kaedah ini juga dikenal dengan kaedah sebutan “eja” atau latih tubi, tidak diketahui pasti siapa pengasasnya.



Pendekatan yang digunakan oleh kaedah ini adalah pelbagai iaitu daripada yang konkrit kepada abstrak, daripada yang mudah kepada kompleks, daripada yang umum kepada yang khusus. Secara amnya terdapat tujuh belas langkah yang mesti dilalui murid selama mengikuti pengajaran dengan kaedah ini. Jika diperhatikan terdapat beberapa karakteristik dan tarikan-tarikan tertentu dalam strategi pengajarannya. Misalnya, 30 huruf hijaiyah akan selalu ditampilkan kepada murid di setiap langkah yang dilalui selama pengajaran dan pembelajaran. Ini bertujuan agar huruf-huruf tersebut menjadi tumpuan ke atas murid pada setiap kali pengajaran dan pembelajaran berlansung, pada setiap langkah guru akan memperdengarkan kepada murid pelbagai variasi bunyi sehingga pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan.

iii-Iqra’ at-Taisir

Iqra’ at-Taisir yang disusun oleh Mohd Rizal Abdul Ghani (2014) adalah buku siri bacaan Iqra’ yang berada di pasaran sekarang. Buku ini diterbitkan untuk membimbing golongan anak-anak terutamanya belajar membaca al-Quran. Buku ini mengutamakan penggunaan Ilustrasi grafik yang dimuat bagi menarik minat pelajar dan serta dapat menyegarkan minda. Gambar huruf yang berwarna-warni menarik minat untuk belajar.

Setiap kaedah diterangkan secara terperinci berserta contoh. Teknik simbol digunakan bagi mengingat hukum tajwid seperti tanwin, tanda sukun, hukum nun sakinah, hukum mad, cara waqaf dan sebagainya. Pelajar digalakkan supaya mempraktikkan Teknik mengetuk jari iaitu mengetuk jari pada setiap huruf sambil menyebutnya. Hentikan suara setelah jari menyentuh huruf. Hukum-hukum pula dijelaskan berserta dengan cara sebutan contohnya:
a. Cara lafaz huruf bertanda sukun ialah lafaz huruf itu separuh sahaja
b. Huruf istifal: lidah tidak menyentuh lelangit
c. Dengung: matikan huruf yang bertanda syaddah, lafazkan huruf itu mengikut baris yang ada bersama tanda syaddah, Tarik huruf yang berbaris ke dalam huruf bertanda sukun kemudian lafaz


iv-Kaedah Iqra`

Kaedah Iqra’ adalah suatu kaedah pengajaran dan pembelajaran membaca al-Quran yang disusun sebagai usaha mengubahsuai kaedah lama. Misalnya, al-Bahgdadiyah, ini bertujuan agar murid dapat belajar membaca al-Quran dalam waktu yang lebih singkat dan cepat. Kaedah ini disusun oleh al-Marhum Ustaz Hj. As’ad Humam (Pengarah Kumpulan Tadarus Angkatan Muda Masjid dan Musholla Yogyakarta). (Mohd Alwi Yusoff et.al 2008).

Pada mulanya beliau juga menggunakan kaedah al-Baghdadiyah, ia kemudian menggunakan kaedah Qira’ati selama tiga tahun. Setelah melalui percubaan dan peyelidikan yang mendalam beliau menemukan beberapa perkara yang masih perlu disempurnakan untuk kepentingan muridnya dalam pengajaran dan pembelajaran membaca al-Quran. Setelah beliau bincangkan dengan pihak penyusun kaedah Qira’ati, ternyata kurang memberi sambutan yang baik, pihak kaedah Qira’ati tetap berpegang kukuh dengan cara yang sudah disusunnya. Atas dasar itu, setelah tidak berjaya mengadakan penyempurnaan, ia menulis dan menyusun sendiri buku Iqra’ tersebut (Usep Fathudin 1994).

Mohd Jazir (1994) menyatakan pada awal perkembangannya. Kaedah ini digunakan dalam Majlis Tadarus Remaja di wilayah Yogyakarta dan wilayah persekitarannya yang berpusatkan di Masjid dan Musholla. Kegiatan ini diadakan seminggu sekali, kerana kaedah ini mendapatkan sambutan yang baik di kalangan masyarakat, maka pada masa itu ditubuhkan 600 majlis pengajian al-Quran yang diikuti oleh semua lapisan masyarakat dari peringkat anak-anak hingga orang dewasa. (Mahmud, 2000)

Oleh itu. penulis mendapat 10 karakteristik dari kaedah Iqra’ iaitu;
(i) bacaan terus (tanpa analisa dan dieja) ertinya murid tidak diperkenalkan nama-nama huruf hijayiyah namun murid lansung diperkenalkan dengan bunyi kalimat yang diambil dari ayat al-quran.
(ii) penggunaan teks tertentu iaitu; pada setiap pengajaran dan pembelajaran guru menggunakan satu set buku yang mengandungi enam juzuk.
(iii) guru menggunakan teknik pengajaran cara belajar murid aktif (CBMA) murid dijadikan “Student Center” berpusatkan kepada murid.
(iv) Talaqqi Musyafahah, dalam pengajaran dan pembelajaran murid berdepan lansung dengan guru.
(v) tahap berasaskan pencapaian individu, masing-masing murid akan mempunyai rekod pencapaian belajar yang akan dinilai guru pada setiap kali pengajaran dan pembelajaran.
(vi) seorang guru akan membimbing lima atau enam orang murid dalam satu masa, jika keadaan memerlukan guru boleh mengambil murid tertentu untuk menjadi penunjuk ajar dan penyemak bagi murid lain diperingkat bawah.
(vii) praktis, murid hanya diajarkan dengan sebutan sampai boleh membaca dengan baik dan tepat, tanpa diperkenalkan dengan teori tajwid.
(viii) sistematik, silabus tersusun secara lengkap, sempurna dan terancang dengan bentuk huruf dan letak yang seimbang.
(ix) komunikatif, adanya panduan yang tersedia bagi guru sehingga pembaca mudah memahami dan bagi murid menyeronokkan jika mereka mempelajarinya.
(x) kelenturan dan mudah, boleh dipelajari oleh sesiapa, bermula dari kalangan kanak-kanak usia pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan bahkan peringkat dewasa.

Penulis telah meninjau seorang pembimbing Kelas Mengaji al-Quran Dewasa secara harian (At-Tartil Center), Tasek Gelugor, Pulau Pinang (Labuh Banting, Kampung Guar Petai, Jalan Padang Menora) yang mengadakan kelas secara personal Tilawah al-Quran

Maka dapatlah disimpulkan bahawa kaedah yang digunakan adalah seperti berikut :

i-Kaedah Bacaan

Guru membaca secara tartil kemudian diikuti oleh semua. Kemudian ke sesi memperdengarkan (tasmik).

ii-Kaedah Talaqqi dan Musyafahah

Terdapat kaedah talaqqi dan musyafahah diajar yang mana guru menyebut dan membaca cara bacaan yang tepat yang diambil dari guru yang dibaca secara tartil iaitu bacaan al-Quran secara perlahan-lahan dengan menjaga hukum-hukum Tajwid dan menunaikan hak-hak huruf serta apa yang sepatutnya ditunaikan bagi setiap huruf, menzahirkan sebutan huruf satu persatu, menyempurnakan degung dan izhar, menjaga panjang dan pendek, memerhatikan tafkhim (tebal) dan tarqiq (tipis) sesuatu huruf dan menyempurnakan sifat setiap huruf yang dilafazkan.

Pada kelas tersebut menggunakan kaedah talaqqi iaitu mempelajari di hadapan guru. Guru menunjukkan cara bacaan dan murid pula akan mengikut bacaan guru. Kemudian murid akan membaca dan guru akan membetulkan bacaannya. Kelas ini menggabungkan dua kaedah kerana ia adalah lebih baik dan dapat melatih murid membaca dan guru pula dapat membetulkannya supaya ia lebih berkesan murid menguasai.

iii- Kaedah Tasmik

Kelas ini mengamalkan kaedah Tasmik. Tasmik yang berasal dari bahasa arab yang bermaksud mendengar. Kaedah ini digunakan guru dalam pengajaran Tilawah al Quran melalui aktiviti guru mendengar bacaan pelajar. Kaedah tasmik melibatkan guru dengan pelajar di dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Kaedah ini digunakan untuk menguji tahap pencapaian pelajar dalam penguasaan bacaan al Quran dengan baik.
iv-Kaedah Tazkirah

Kaedah Tazkirah juga diadakan apabila selesai Tilawah Al-Quran dengan tafsiran makna yang telah dibaca untuk terus menarik minat kepada al-Quran dan memahami apa yang dibaca. Pada perbincangan kaedah ini dapat mengetahui sebutan dan makna yang dapat mengesan dari kesilapan baris atau bunyi huruf.

Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Quran, halaman 17-70. Antara matlamat-matlamat al-Quran al-Karim seperti kata al-Qardhawi :

-Mentashihkan akidah sama ada berkaitan uluhiyyah, risalah dan perbahasan.
-Membenarkan karamah insani dan hak-haknya.
-Mengajar manusia ibadah yang baik kepada Allah.
-Menyeru kepada pembersihan jiwa.
-Pembentukan usrah yang solehah.
-Mengasaskan ummah yang menjadi saksi kepada sekalian manusia.
-Dakwah kepada alam insani yang bersifat tolong menolong.
Sebahagian ulama menyatakan intipati dalam al-Quran adalah permasalahan akidah, permasalahan Syariah, perbandingan agama dan akhlak serta kisah nabi-nabi dan umat dahulu kala.

Kesimpulan

Tuntasnya, perbincangan ini mengingatkan kita semua bahwa membaca Al Quran secara tajwid adalah salah satu dari tahap untuk menguatkan keimanan dan keyakinan kita kepada al-Quran terpelihara sejak diturunkan sehingga hari kiamat. Oleh itu, bagi seorang muslim berinteraksi dengan Al Quran menunjukkan sikap ambil berat guru dalam menggunakan teknik pengajaran. Justeru, tahap kelayakan guru yang pengalaman luas dalam bidang ini secara umumnya dapat membantu pelajar agar lebih berkeyakinan dan istiqamah untuk membaca al-Quran.

Cover al-Quran di atas : it is a great honoured to bound your Quran this second time he bound in leather with his highest expectation to leatherbound. fine leather from Harmatan and Oakridge Leathers 2008 Ltd. manufactures fine goatskin and calfskin bookbinding leathers.U.K

The House Of Book Bindery

By Muhammad Soulhiey Zeckry

Merupakan seorang pengkaji, penulis dan pendakwah yang sentiasa mencari cahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.